Aku berasa begitu teruja sekali apabila diberitahu oleh Chan bahawa aku, The Urban Fruits dan beberapa lagi staf dari Hey akan dibawa ke Singapura bagi menghadiri malam anugerah muzik terbesar di Asia Tenggara.
"Kamu semua akan buat liputan di sana nanti" kata Chan kepada kami.
Di saat itu, kami mula membayangkan keseronokkan yang bakal kami rasai sebaik sahaja melangkahkan kaki ke Max Pavilion, tempat berlangsungnya anugerah itu. Apa yang paling membuatkan kami teruja sudah semestinya peluang untuk berjumpa dengan orang-orang terkenal yang akan berada di sana.
"Siti Nurhaliza, Agnes Monica, Sleeq, Regine Velasquez.... Eh ramai lagilah!" Miss B mula menyenaraikan nama-nama selebriti yang ingin ditemuinya.
"Eh Marina. Kau nampak macam biasa sahaja. Kau tidak rasa terujakah untuk ke sana?" kata Miss D kepadaku yang sedang mencari pita selofan di dalam laci. Ketika itu, aku baru sahaja sampai ke pejabat.
"Mestilah teruja! Aku sebenarnya hendak sangat jumpa dengan Ariel Peterpan!" jawabku selamba.
"Wah! Bukan main lagi kau ya!" kata Miss B sambil mencekak pinggang.
"Hai. Kenapa? Salahkah? Bukannya aku mahu..." keterujaanku untuk bercakap lanjut tentang Ariel terus terhenti. Dadaku kencang sebaik sahaja membaca sekeping kad yang diletakkan di atas meja kerjaku. Kad berwarna merah hati itu terbuka luas.
Marina,
Harap sudi luangkan masa untuk ke rumah saya pada 15 Mac ini pukul 8 malam di Bukit Timah, Singapura.
Daniel.
Miss B dan Miss D ketawa kecil apabila melihat aku berkerut dahi ketika membaca apa yang tertulis pada kad itu. Sah! Mereka sudah membaca apa yang tertulis sebelum aku sampai ke pejabat. Aku merasa sangat-sangat malu ketika itu. Walau pun tanpa cermin, aku tahu wajahku sudah bertukar merah. Di saat itu, aku ingin sahaja mencubit-cubit muka Daniel sehingga lebam kerana tidak meletakkan kad itu di dalam sampul surat. 'Kenapalah kau biarkan kad ini terbuka sahaja tadi Daniel? Habis semua orang baca. Aduhai!'
"Awak semua dijemput sekali bukan?"soalku kepada Miss B dan Miss D.
"Siapalah kami ini Marina. Kami tidak dijemput pun..." kata Miss B. Dia menjeling ke arah Miss D dan mereka tertawa lagi. Beberapa minit kemudian, Miss R memasuki pejabat.
"Ha! Kamu semua mesti tengah sibuk cakap pasal anugerah di Singapura itu nanti bukan?"
"Yalah apa lagi. Tetapi ada yang lebih menarik lagi yang akan berlaku di Singapura nanti kau tahu?" kata Miss B.
"Apa dia?" tanya Miss R penuh keterujaan. Miss D memuncungkan bibirnya menunjuk ke arahku. Miss R pantas mengalihkan perhatiannya kepadaku dan melihat kad yang sedang aku pegang. Kemudian dia tersenyum nakal. Aku pasti, dia juga sudah membaca isi kandungannya.
"Hai bertuahnya badan..." kata Miss B. "Kita yang sudah lama di sini pun jangan kata jemput ke rumah, ajak minum petang pun tidak pernah"
"Betul kata kau Miss B. Untung... Untung..." kata Miss D.
"Kamu semua cakap apa sebenarnya? Sudahlah, sambung kerja masing-masing" hanya itu sahaja yang boleh aku katakan kepada mereka. Terus terang aku katakan, memang hati aku berbunga-bunga semasa membaca kad jemputan itu. Tetapi apabila aku mula membayangkan kemungkinan yang bakal berlaku. Aku mulai gementar dan risau.
Apa yang Daniel lakukan adalah satu langkah kecil yang besar kesannya. Di saat sendirian, aku mula terfikir tentang kemungkinan keluarganya menjadikan aku sebagai topik perbualan selepas sahaja kami berjumpa.
- Di ruang tamu ( "Eh. Baju yang pelakon itu pakai serupa macam Marinalah")
- Di meja makan pula ("Bila aku tengok budak ini makan. Aku teringat perempuan yang Daniel bawa tempohari. Siapa nama dia? Marina?")
- Di halaman rumah ( "Kalau tengok batu itu. Mesti aku teringatkan Marina. Alah Kawan Daniel yang terjatuh tempohari. Kain dia tersangkut selepas itu dia terus jatuh. Hahahahaha!")
Malam itu, sebaik sahaja aku sampai di rumah, aku terus mendapatkan Gina untuk bertanyakan pendapatnya tentang undangan Daniel itu.
"Apa yang patut aku buat?"tanyaku kepada Gina.
"Kau hendak pergi atau tidak?"soal Gina. Matanya tertumpu kepada skrin televisyen yang bernyala. Mulutnya pula begitu asyik mengunyah kerepek pisang yang menjadi kegemarannya.
"Entah. Kalau ikutkan hati, aku hendak pergi. Tetapi... Entahlah"
"Jadi apa yang kau risaukan?" tanya Gina. Matanya masih fokus ke arah televisyen.
"Keluarganya Gina"
"Kenapa dengan keluarga Daniel?"
"Mereka..." teragak-agak untuk aku memberitahu, " 'menakutkan' aku."
"Lah... Kenapa pula? Mereka macam beruk?" tanya Gina dengan selamba. Dia menyumbat lagi kerepek pisang ke dalam mulutnya.
"Haish! Teruk betullah kau Gina." aku memukulnya lembut.
"Habis apa yang kau takutkan sangat dengan mereka?"
"Kau faham-faham sahajalah. Mereka ini berstatus Gina dan aku rasa..."
"Oh. Sebab mereka berada?" kali ini Gina mula memandangku.
"Mmm.. Hmm.." aku mengangguk laju.
"Pelik aku dengan kau sebenarnya Marina. Setahu aku, kau tidak pernah kisah tentang semua ini. Bagaimana dengan Norman dahulu? Bukankah dia lebih kurang sama sahaja dengan Daniel?"
"Ya. Sebab itulah aku rasa semacam sedikit kali ini"
"Kau fobia ya?"
"Entahlah. Sebenarnya, aku rasakannya dari dahulu lagi. Sebelum aku mengenali Norman. Aku selalu percaya, jika aku menjalinkan hubungan dengan orang yang berlainan status dari aku, pasti akan ada krisis di pertengahan sama ada dengan dia ataupun dengan keluarganya."
"Kau yakin teori kau ini benar?"
"Entahlah. Aku pun tidak pasti. Tetapi jika boleh, aku mahu yang setaraf dengan aku atau pun kurang sedikit sebab keluarga aku tidak kisah. Mungkin kau betul Gina. Norman membuatkan aku sedikit fobia untuk menjalin hubungan serius dengan Daniel."
"Atau pun, kau sebenarnya terpengaruh dengan drama-drama di tv? Kau tahu Marina, sebenarnya kebanyakkan orang yang betul-betul berstatus selalunya tidaklah seperti mana yang kita semua bayangkan"
"Oh begitu? Kalau sebaliknya?"
"Kalau dia sombong, angkuh , bongkak, kekwat dan apa-apa lagilah, itu bermaksud dia tidak cukup kaya dan berstatus lagi. Atau mungkin, baru hendak merasa menjadi kaya" kata Gina penuh bersemangat dengan matanya yang membulat. Kemudian, perhatiannya dialihkan semula ke arah peti televisyen. Sepaket kerepek pisang dibukanya dan pantas tangannya menyuap masuk beberapa keping kerepek ke dalam mulut.
"Jadi Gina, apa pendapat kau?"aku bertanya lagi. Kali ini, badannya aku gegar. Aku menggesanya memberikan aku cadangan yang boleh aku ikuti.
"Pergi sujud pada keluarga dia. Cium kaki mereka!"
"Betul-betullah Gina! Janganlah main-main!"
"Ya Tuhan! Betullah... Kau pergi sahaja ke rumah dia. Makanan pun percuma. Kalau kau rasa keluarga dia tidak boleh ngam dengan kau. Jangan gatal-gatal hendak bercakap, telefon atau hubungi Daniel lagi selepas ini samada secara elektronik, kertas, atau pun secara langsung!"
"Itu terlalu ekstrem! Dia bos aku Gina oiii...."
"Ingat Marina. Kau yang letak diri kau dalam situasi ini. Sebelum kau cuba mengurat si Daniel, kenapa kau tidak periksa latar belakang dia? Selepas kau bermesra, beri harapan, begitu dan begini. Kau buat macam ini pula"
"Eh. Bila masa pula aku mengurat dia? Gina, itu satu kenyataan yang tidak adil! Kau tidak boleh menyalahkan aku!"entah kenapa aku tiba-tiba sahaja menjadi defemsif apabila mendengar kata-kata Gina.
"Aku bukannya menyalahkan kau" Gina tertawa seketika melihat aku yang agak beremosi. "Aku bergurau sahaja okey!" Gina menarik nafasnya dalam-dalam sebelum memulakan bicara "Marina, jangan takut untuk mencuba okey. Tidak ada ruginya kau pergi dan mencuba sekali lagi. Aku tidak mahu kau menyesal di kemudian hari kalau kau terlalu sibuk dengan imej-imej negatif dalam kepala kau itu"kata Gina cuba memujuk.
Aku menghabiskan masa hujung mingguku dengan bermenung dan berfikir. Sudah semestinya, apa yang berputar di dalam fikiranku adalah tentang Daniel dan undangannya untuk ke rumah keluarganya itu. Aku juga memikirkan tentang apa yang diperkatakan oleh Gina kepadaku tentang keluarga Daniel. Aku tahu, isu 'status' ini sebenarnya adalah sesuatu yang agak basi untuk diperkatakan. Kalau buat filem pun, aku pasti ramai yang akan mempersoalkan relevannya. Mungkin ramai yang percaya masyarakat sudah lebih terbuka dan status sebenarnya adalah sesuatu yang bersifat dinamik. Ia berubah-ubah. Tetapi, bagi aku ia sebenarnya adalah sesuatu yang masih menjadi perkiraan semua orang dan oleh kerana itu, segala apa yang dikatakan Gina tidak mampu menghilangkan keresahanku.
***************************
Sebaik sahaja selesai menjalankan tugas dan meronda kota Singapura bersama-sama dengan The Urban Fruits, aku pulang semula ke hotel dan mula menyiapkan diri untuk ke rumah keluarga Daniel di Bukit Timah. Sepanjang waktu itu, Miss B, Miss D dan Miss R tidak henti-henti mengusikku. Bukan sahaja aku diusik tentang Daniel, malah, sejak dari majlis anugerah lagi, aku telah dijadikan bahan ketawa kerana memilih untuk memakai topi yang dihiasi dengan replika anggur kecil.
Sepuluh minit sebelum pukul lapan malam, Daniel menjemputku di hotel.
"Awak kata makan malam pukul lapan. Kita tidak terlambatkah Daniel?" tanyaku sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.
"Kenapa? Kalau terlambat, awak fikir mereka akan marah kita?" Daniel menyoalku kembali.
Aku hanya tertawa. Membiarkan soalan itu tidak berjawab. Daniel terus meluncur laju membawa aku ke Bukit Timah.
Entah mengapa, ketika dalam perjalanan itu, saat aku dan Daniel terdiam tidak berkata-kata, memori aku dan Norman pada suatu malam tiba-tiba muncul semula dalam kotak siaran fikiranku.
Ianya berlaku beberapa tahun yang lalu. Pada malam itu, kami berdua pergi ke Times Square. Ibu Norman mengajak kami menghadiri parti yang dianjurkan oleh majalah G&G.
"Kita sudah sampai" kata Norman kepadaku. Namun, aku masih lagi duduk di dalam kereta tidak berganjak. Hanya mataku sahaja yang aku kedip-kedipkan.
"Baiklah Marina, saya tahu awak tidak suka datang ke parti ini. Tetapi kita pergi sekejap sahaja boleh?"
Aku masih lagi berdiam diri. Tanda protes kerana Norman membawa aku ke situ dalam keadaan mengejut. Awalnya, sebelum keluar, aku sangkakan dia hendak membawa aku makan di Taipan.
"Saya tahu awak tidak suka, tetapi dia ibu saya dan saya sudah berjanji pada dia yang saya akan datang"
"Ya. Pergi ke parti Glam dengan memakai ini" aku menunjukkan sweater dan sneakers yang sedang aku pakai.
"I'm sorry Marina. But please..."Norman cuba memujukku. Aku bukanlah suka sangat memprotes sebegitu tetapi aku tidak suka apa yang Norman lakukan. Lebih-lebih lagi, dia membawa aku ke majlis sosial sebegitu dalam keadaan aku tidak bersedia dan yang membuatkan aku resah, ibunya Puan Saerah juga ada di sana. Entah apalah yang dikatanya nanti apabila melihat penampilanku yang sebegitu. Namun, akhirnya aku mengalah. Norman berjaya memujukku.
"Baiklah. Mari kita pergi" aku memaksa sekuntum senyuman.
Kami bersama-sama masuk ke Time Square. Perlahan-lahan, langkah diatur ke ruangan yang dikhususkan untuk parti itu. Semasa aku sampai, sekumpulan trio jazz sedang mengalunkan lagu Edith Piaf. Barisan potret karya jurugambar terkenal dari tahun enam puluhan hingga akhir tahun lapan puluhan turut dipamerkan di situ.
Aku memerhatikan orang disekelilingku yang semuanya tampak begitu bergaya sekali. Sesekali, ada yang melihat aku dari atas ke bawah. Aku tidak salahkan mereka. Apa yang aku pakai pada ketika itu memang tidak kena dengan majlis itu. Aku memandang ke arah cermin yang berdekatan. Memandang refleksi diriku yang serba tidak kena.
"Marina! Jom!" konsentrasiku terganggu apabila Norman menepuk bahuku dengan kuat.
"Ouch! Norman, janganlah ganas sangat!"
Norman melambai ke arah seorang wanita berumur lima puluhan yang memakai baju serba putih.
"Ibu!" jerit Norman.
Ya. Itulah dia ibu Norman, Puan Saerah. Seorang pelakon veteran yang sudah lama bersara tetapi masih lagi dijemput ke majlis-majlis sosial kerana dirinya yang masih kekal elegan di usia lima puluhan.
Puan Saerah melambai kembali kepada Norman. Ya kepada Norman. Bukan kepada aku walaupun aku berada hanya beberapa inci sahaja dari Norman.
Norman pantas mendapatkan Puan Saerah dan memeluk erat tubuh wanita yang ramping itu. Aku hanya berdiri terjegat di situ. Menanti saat-saat yang mengharukan itu berakhir. Sambil menonton drama yang mengharukan itu, aku meneliti Puan Saerah dari atas ke bawah.
Ah! Memang tidak dapat dinafikan, dia seorang wanita yang amat-amat menarik. Jelita, awet muda dan elegan. Tulang pipinya tampak menonjol dan bentuk matanya sungguh menawan kalbu.
"Apa khabar sayang?"soal Puan Saerah kepada anaknya.
"Khabar baik.... ibu?"Norman pula menyoal kembali Puan Saerah.
Aku ingin sahaja mentertawakan Norman kerana dia seperti sudah berbulan-bulan tidak berjumpa dengan Puan Saerah. Seingat aku, empat hari sebelumnya, dua beranak itu baru sahaja berjumpa. Namun, aku menahannya sahaja.
"Marina....." lembut Puan Saerah memangilku setelah lapan minit aku tercegat di situ.
"Puan Saerah.... " aku mendekatkan diriku kepadanya dan memeluknya dengan erat. Harumannya cukup memikat.
"Puan Saerah apa khabar?"
"Oh. Baik... Cantik baju Marina hari ini"
"Terima kasih Puan..." ucapku sambil tersenyum. Di dalam hati, aku tertanya-tanya di manakah cantiknya sweater dan sneaker yang aku pakai pada ketika itu?
Sepanjang majlis berlangsung, aku banyak mendiamkan diri, memerhatikan gelagat Puan Saerah dengan rakan-rakannya. Norman pula, sibuk berbual dengan sekumpulan lelaki yang dikenalinya.
Sesekali, rakan-rakan Puan Saerah mengusik aku dengan soalan-soalan yang begitu merimaskan.
"Oh ya Marina. Jadi bagaimana dengan Markonah?" tanya Puan Jess.
"Setakat ini dia okey"
"Seronok bekerja dengan dia?"
"Ya seronok" aku menganguk-anggukkan kepalaku.
"Betulkah? Saya dengar dia sukar untuk dipuaskan dari segala segi" tanya Puan Nadia pula. Aku hanya tersenyum. Belum sempat aku menjawab, Puan Jess muncul dengan soalan baru.
"Awak tidak pernah teringin untuk menjadi pelakon Marina?"
"Oh. Mungkin tidak. Saya rasa, jadi pelakon ini mencabar. Lagi pun minat saya bukan di situ"
"Itu betul. Segala-galanya mesti mula dengan minat. Kemudian bakat dan karisma. Ha! Itu paling penting. Macam Marina ini, dia memang sesuai kerja pejabat. Pakejnya tidak seberapa lengkap untuk jadi seorang pelakon...!" kata Puan Saerah. Diiringi gelak tawa dari rakan-rakannya.
"Saerah ini tidak habis-habis menyakat Marina" kata Puan Nadia. Tangannya mencubit lembut lengan Puan Saerah.
'Apa? Aku tidak mempunyai pakej yang lengkap? Sabar. Sabar. Take a deep breath Marina. A very deep breath'
"Ya. Saya pun tidak mempunyai bakat dalam bidang lakonan. We work with what we have don't you think?" aku mengiakan sahaja kata-kata Puan Saerah.
"Yes! Exactly! Such a great future in law you have here Saerah. But you are right about her not having the right package" kata Puan Jess.
'Adui. Ini satu mental torture! Bilakah semua ini akan berakhir?' aku menjerit-jerit di dalam hati.
"Marina. Kita sudah sampai" Daniel mengejutkan aku dari lamunan masa lalu.
"Wow! Cepatnya!"
"Singapura ini bukan besar mana pun. Jom!"
Aku melangkah perlahan sambil mataku melihat-lihat kawasan sekitar yang cantik dan bercahaya.
"Encik Daniel sudah sampai. Marilah masuk" kata pembantu rumah yang menyambut kedatangan kami. Daniel memperkenalkan wanita berusia empat puluhan itu sebagai Kak Teh kepadaku.
"Kak Teh. Mana yang lain?" tanya Daniel.
"Mereka ada di dalam. Jemputlah masuk. Mari Cik Marina" kata Kak Teh.
'Dia sudah tahu nama aku nampaknya. Okey! Nampaknya Daniel sudah ceritakan tentang aku kepada semua orang yang ada di dalam rumah ini. Sehinggakan pembantu rumah pun tahu nama aku!' kataku di dalam hati.
Aku di bawa ke ruang tamu dan diperkenalkan dengan ayah, ibu dan adik perempuan Daniel. Darius, Karina dan Sarah.
"Selamat datang Marina. Mari kita ke ruang makan. Jangan bimbang. Ada televisyen di sana. Kita tidak akan bosan. Boleh kita dengar berita bersama" jemput Puan Karina.
'Mendengar berita? Dia berguraukah' kataku di dalam hati.
"Marina. Dengar cerita kampung Marina hanya seberang tambak sahaja. Betulkah?" tanya Puan Karina sebaik sahaja makanan dihidang oleh pembantu.
"Ya. Saya lahir dan dibesarkan di sana"
"Emak dan ayah masih ada lagi?"
"Kedua-duanya masih ada. Syukur masih sihat dan bertenaga. Seperti Encik Darius dan Puan Karina juga" jawabku lalu diiringi gelak tawa dari mereka sekeluarga.
"Kalau ada kelapangan, bolehlah bawa kami ke sana ya. Selepas itu teman saya shopping" kata Sarah pula.
"Boleh. Apa salahnya"
"So Marina. How do you like publishing industry so far?" soal Encik Darius.
"Ianya menarik. I'm enjoying it. Tetapi saya banyak buat kerja-kerja pejabat dan pengkeranian. Kadang-kadang sahaja saya bantu editorial"
"Mungkin di masa akan datang, kamu ada peluang untuk terlibat secara terus"
"Ya. Harap-harap begitulah. Jadi apa rahsia Encik Darius dapat mempertahankan akhbar tabloid Rainbow sehingga sekarang?"
"Rahsia? Mana ada rahsia" jawab Encik Darius. Senyumannya memberitahu bahawa ada sesuatu yang tersimpan di fikirannya.
"Mesti ada. Encik Darius ini sama macam Daniel rupanya, suka berahsia"
Daniel menendang kakiku, ia sebagai isyarat supaya aku berhenti mengusiknya di hadapan keluarganya. Puan Karina dan Sarah tersenyum sambil melihat ke arah Encik Darius dan Daniel yang terdiam tidak terkata.
"Sebenarnya Marina, kalau kita ada modal bukanlah sesuatu yang susah untuk memulakan sesebuah majalah" Encik Darius memulakan bicara. "Yang susahnya adalah merancang bagaimana untuk mengekalkan sesebuah majalah"
"Oh begitu..." kataku sambil mengangguk tanda paham.
"Sukar untuk bertahan lama. Lagi-lagi dengan teknologi yang ada sekarang ini. Ramai yang risau dengan masa depan penerbitan majalah" sambung Encik Darius lagi.
"Tetapi bagi saya, majalah masih ada masa depan yang cerah kerana ianya bahan penting dalam ketamadunan kita. Ia seperti satu... ikon" aku mengeluarkan pendapat. Aku sendiri tidak sangka dengan apa yang telah aku katakan. Tertanya-tanya juga ketika itu dari manakah datangnya semua idea-idea itu.
"Saya suka dengar kata-kata optimis sebegitu. Sebenarnya Marina, ada tiga perkara yang perlu diambil kira dalam dunia penerbitan majalah iaitu editorial, pengiklanan dan edaran. Kalau salah satunya hancur, maka hancurlah majalah itu nanti"
"Oh. Boleh Encik Darius terangkan dengan lebih lanjut?"
"Perkara yang paling penting dalam penerbitan majalah adalah kandungannya kerana ianya menjadi sebab utama untuk pembaca membeli majalah kita. Begitu juga dengan pengiklan kerana itu adalah salah satu sumber kewangan terpenting majalah. Kita dan mereka memerlukan antara satu sama lain. Bercakap tentang edaran pula, apa yang perlu kita buat adalah memastikan yang ianya beredar di tempat-tempat yang betul di mana sasaran pembaca kita boleh mendapatkannhya dengan mudah. Kalau ini semua okey, maka mudahlah untuk majalah kita bertahan"
"Dan jangan lupa pilih pekerja yang baik seperti kamu" kata Puan Karina. Aku menjeling Daniel. Dia tersenyum sinis mengusikku.
Sepanjang malam, kami bercerita tentang pelbagai perkara. Dari bisnes majalah ke isu inflasi, gosip artis dan politik. Ada sahaja topik yang keluar dari mulut kami sejak mula kami duduk, hinggalah saat kami menghadap pencuci mulut.
"Terima kasih Marina sebab sudi datang"ucap Daniel semasa dia dalam perjalanan menghantarku pulang ke hotel.
"Terima kasih juga pada awak sebab bawa saya ke sini. I love the neighbourhood though"
"Mereka semua suka pada awak.."
Aku hanya tersenyum apabila mendengar kata-kata Daniel itu. Aku harap, Daniel tidak hanya ingin menyedapkan hatiku sahaja. Aku harap, keluarganya benar-benar menyukaiku.
Ternyata, mereka amat baik dan peramah. Aku akui amat terkesan dengan kebaikan dan kesederhanaan yang ditunjukkan oleh mereka. Namun, aku masih berasa kurang selesa. Di dalam fikiranku, berkali-kali aku diingatkan akan status mereka sekeluarga.
Mungkin betul apa kata orang, apa yang ada di dalam fikiran boleh menjadi satu pengaruh yang amat kuat. Ianya boleh menjadi imej-imej yang mengawal minda. Contohnya macam aku, walaupun mereka melayan aku dengan baik, tetapi kerana imej-imej itu, masih sukar untuk aku menerima situasi yang jelas tidak sejajar dengan imej-imej itu. Tetapi sekurang-kurangnya, malam itu aku pulang dengan senyuman.