Jam menunjukkan pukul 1.20 pagi. Inspektor David dan Marina hanya mendiamkan diri di tempat duduk belakang kereta yang dipandu oleh Gina. Di tempat duduk sebelah pemandu, Hans yang merupakan teman lelaki Gina kelihatan sibuk memicit-micit punat telefon bimbitnya. Dia sedang menghubungi ketuanya di pejabat. Mengekori mereka dari belakang pula adalah sebuah kereta yang dipandu oleh Puan Leela bersama-sama dengan Profesor Kardiff. Dengan bantuan Radar Konsti yang diberikan oleh Ikran, mereka dapat kembali semula ke Kaokalo dan terus bergerak menuju ke Kampung Talam.
Marina memandang ke luar. Kampung Talam yang terletak di selatan Seranas itu masih lagi sibuk dengan orang ramai yang lalu lalang di tepi jalan. Tidak kurang juga kanak-kanak yang berlari-lari ke hulu dan ke hilir. Kelihatan juga sekumpulan anak muda yang sedang asyik menyanyi dan bermain gitar. Anak-anak muda itu memerhatikan kereta yang dinaiki mereka sewaktu mereka lalu di hadapan kumpulan itu. Marina mengagak yang kebanyakkan daripada mereka itu adalah penduduk yang tinggal di kampung itu atau pun penduduk dari kampung lain yang datang melepak. Barangkali, mereka masih belum tahu lagi tentang kehilangan Seri.
Kereta yang dinaiki mereka sudah menghampiri rumah Encik Johari dan Puan Julia yang dilaporkan kehilangan anak mereka yang bernama Seri. Berdasarkan alamat yang diberi, inilah dia rumah yang ditujui mereka. Dari jauh, mereka dapat melihat dua buah kereta di halaman rumah itu.
Sejurus sahaja Gina memberhentikan keretanya di hadapan rumah Puan Julia, seorang lelaki kelihatan keluar dari pintu hadapan rumah itu. Inspektor David dapat mengecam wajah lelaki itu dari jauh. Dia adalah Inspektor Daniel.
Inspektor David, Marina, Gina dan Hans keluar dari kereta dan dengan langkah yang pantas Inspektor Daniel menghampiri mereka. Puan Leela dan Profesor Kardiff mengekori mereka daripada belakang.
"Silakan naik, mereka semua ada di atas" jemput Inspektor Daniel. Keempat-empat mereka lantas mengikuti Inspektor Daniel naik ke atas.
"Inspektor, inilah dia Puan Julia dan ini pula suaminya Encik Johari" Inspektor Daniel memperkenalkan mereka kepada Inspektor David.
"Apa khabar?" Inspektor David menghulur tangan untuk bersalaman dengan mereka. Begitu juga Marina, Gina dan Hans.
"Baik" jawab Encik Johari dan Puan Julia serentak.
"Jemputlah…" kata Encik Johari mempersilakan mereka untuk duduk di atas sofa yang ada di ruang tamu rumah mereka. Ketika itu, Faiz sedang duduk di pintu rumah mereka yang terbuka luas. Dia termenung jauh teringatkan kakaknya Seri. Wajah mereka sekeluarga kelihatan biasa sahaja seperti tiada apa yang berlaku. Tapi jauh di sudut hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mereka dilanda kerisauan berikutan kehilangan Seri.
"Emm….. boleh kamu berdua ceritakan sedikit bagaimana kamu menyedari tentang kehilangan Seri?" tanya Inspektor David kepada Encik Johari dan Puan Julia setelah beberapa ketika dia duduk.
"Kami sekeluarga pergi ke rumah saudara kami di Taman Selasih. Pada ketika itu, Seri tidak mengikut kami kerana dia terpaksa menghadirkan diri ke sesi latihan perbarisan di sekolah. Kami ingatkan dia sudah sampai di rumah ketika kami pulang tetapi hingga lewat malam dia masih tidak pulang ke rumah. Kawan-kawan rapatnya di sekolah juga tidak tahu di mana dia berada. Kami mula risau dan kami terus membuat laporan polis." Encik Johari memberi penerangan. Puan Julia hanya mendengar, sesekali dia menganggukkan kepalanya. Mengiyakan apa yang dikatakan oleh suaminya.
"Pukul berapa kamu sekeluarga keluar dari rumah?" soal Inspektor David lagi.
"Lebih kurang pukul tiga setengah petang" Encik Johari cuba mengingat.
"Pukul berapa pula kamu pulang?"
"Dalam pukul lapan lima belas minit malam. Seingat saya…"
"Bagaimana keadaan rumah ketika itu?"
"Keadaan rumah ketika itu terang. Lampu ruang tamu dan bilik Seri menyala" kali ini Puan Julia pula mengambil peluang untuk menjawab.
"Ada apa-apa yang mencurigakan?"
"Tiada. Cuma....�� Encik Johari teragak-agak untuk memberitahu. Dia tidak pasti sama ada apa yang dijumpainya boleh membantu ataupun tidak.
"Cuma apa?" Inspektor David menunggu dengan penuh sabar.
"Ada senaskah surat khabar yang terbuka di sebelah meja telefon"
"Surat khabar?" Inspektor David berasa agak hairan. Dahinya berkerut.
"Ya. Surat khabar." Kata Encik Johari. Dia kelihatan yakin.
"Boleh tunjukkan saya surat khabar itu?" pinta Inspektor David.
"Boleh. Julia, tolong ambilkan surat khabar tu." Kata Encik Johari kepada Puan Julia.
"Baik bang…." Dengan segera, Puan Julia bergegas pergi mengambil surat khabar yang diletakkannya di dalam bilik Seri. Lantas, dia menyerahkannya kepada Inspektor David.
"Muka surat mana yang terbuka?" tanya Inspektor David sejurus sahaja dia mengambil surat khabar itu.
"Em… seingat saya. Di halaman…. tujuh." Puan Julia menjawab. Inspektor David membuka halaman tujuh dan menelitinya dengan berhati-hati. Namun, tiba-tiba konsentrasinya sedikit terganggu.
"Kak Farah! Kak Farah!" Faiz yang sedang duduk di pintu tiba-tiba memangggil nama Farah. Inspektor David mengalih perhatiannya. Marina, Gina dan Inspektor Daniel juga begitu.
"Siapa tu?" tanya Inspektor Daniel.
"Farah. Dia kawan baik Seri" jawan Puan Julia.
"Pak cik. Mak cik, saya dengar Seri hilang. Betul ke?" tanya Farah sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dalam rumah.
"Betul Farah. Mak cik dan Pakcik dah tak tahu nak buat apa. Risau kamu dibuatnya." Jelas Puan Julia kepada Farah. Farah mendapatkan Puan Julia dan duduk di sebelahnya. Dia memegang erat tangan Puan Julia.
"Farah, ini Inspektor David. Dia baru sahaja sampai" Encik Johari memperkenalkan Inspektor David kepada Farah.
"Apa khabar…" Farah menghulurkan tangan bersalaman dengan semua yang ada di situ. Dia melemparkan senyuman. Ke semua mereka yang ada di situ menyambut salam Farah.
"Farah terkejut dengar berita ni. Mak Farah yang beritahu. Lepas Farah dapat tahu je yang Seri hilang, Farah terus datang ke sini" ujar Farah. Dia juga berasa amat risau sekali dengan kehilangan kawan baiknya itu.
"Bila kali terakhir Farah berjumpa dengan Seri?" Inspektor David bertanya. Dia meletakkan surat khabar yang dipegangnya tadi di atas meja.
"Petang tadi selepas raptai perbarisan" jawab Seri. Tiba-tiba, matanya terpandang berita mengenai wanita yang menyerupai Marina Adam pada surat khabar yang terbuka luas di atas meja.
"Pak cik, makcik, Seri ada beritahu apa-apa tentang itu?" tanya Farah kepada EncikJohari dan Puan Julia.
"Tentang apa Farah?" tanya Encik Johari. Dia kurang mengerti.
"Tentang ini" tangan Farah menunjuk ke arah kenyataan tentang wanita yang menyerupai Marina Adam itu.
"Tapi wajah ni…." mata Farah pantas memandang ke arah Marina. Dia baru menyedari akan kehadiran Marina Adam di situ.
"Kenapa? Apa yang kamu tahu tentang dia?" Inspektor Daniel dengan pantas menyoal setelah menyedari yang Farah berasa sedikit keliru.
"Sebenarnya hari tu…." Farah ingin menceritakan sesuatu. Dia menyusun ayat yang sesuai.
"Kenapa Farah? Ada apa-apa yang Farah nak beritahu?" tanya Inspektor David dengan lemah lembut.
"Hari tu Seri ada memberitahu saya yang dia ada ternampak wanita ini" Seri memberitahu dengan pantas.
"Bila?" Inspektor Daniel bertanya pula. Dia nampak serius.
"Saya tak ingat. Saya rasa dia tak beritahu saya pun bila dia ternampak perempuan ni".
"Dekat mana dia nampak? Ada dia beritahu Farah?" tanya Inspektor David pula.
"Dia beritahu saya yang dia ternampak klon ini di rumah banglo besar di sebelah rumah ni"
"Betul ke Farah?" Encik Johari seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru diberitahu oleh Farah.
"Betul…dia sendiri yang beritahu Farah. Mula-mula Farah pun tak percaya juga..."
"Ya…! Betullah. Hari tu pun dia ada beritahu saya tentang hal ini. Saya betul-betul terlupa" kata Puan Julia. Dia mula mengingati saat di mana Seri memberitahu perihal wanita itu kepadanya.
"Kami juga ada membaca diari ni" Farah mengeluarkan diari itu daripada beg galasnya.
"Diari siapa ni?" tanya Marina.
"Entahlah, tak tahu pula. Yang menulis tak pernah mention pun tentang nama dia"
"Mana Farah jumpa diari ni?"
"Bukan Farah yang jumpa tapi Seri. Dia kata dia jumpa diari ni di tepi jalan berhadapan dengan rumahnya. Mungkin ianya tercicir….."
"Cuba lihat ni..." Inspektor David mengeluarkan kertas berlipat yang terselit di tengah-tengah diari itu.
"Salinan surat lahir…. SARAH FARIDAH DARIUS…"
"Jadi, inilah dia diari milik Doktor Fendi sebelum dia menjadi Doktor Sarah" kata Marina.
"Dan rumah banglo di sebelah adalah milik Doktor Sarah dan ada kemungkinan yang diari ini tercicir semasa dia sedang menuju ke sana"
"Ini juga bermakna yang Encik Murukesh ada di situ" kata Puan Leela dengan yakin.
"Apa yang perlu kita buat sekarang?" Marina meminta pendapat Inspektor David.
"Kita ke rumah banglo tu sekarang!" kata Inspektor David. Tanpa melengahkan masa, dia terus mengarahkan mereka yang lain supaya bersiap-sedia untuk ke sana.
"David…" Marina memanggil Inspektor David. Dia menghulurkan Sypiscan. "…mungkin awak memerlukannya nanti…"
"Terima kasih Marina" ucap Inspektor David sambil tersenyum.