TING! Inspektor David menekan butang loceng rumah banglo itu. Kali ini rasanya sudah lima kali dia menekan. Namun, masih tiada jawapan. Tetapi yang peliknya, ada sebuah kereta di luar rumah berkenaan.
"Helo! Ada sesiapa di dalam?" jerit Inspektor David. Namun, hampa. Tiada jawapan yang diberi.
"Tak boleh ke kita masuk je? Encik Johari memberi cadangan.
"Tak boleh. Kita boleh dituduh menceroboh pula" Inspektor Daniel memberi penjelasan.
Inspektor David menekan lagi loceng. Namun, keadaan masih lagi sama.
"Hai… nampaknya terpaksalah kita…" Inspektor David yang cuba memusing tombol pintu terpegun apabila mendapati pintu banglo itu tidak berkunci.
"Ianya tidak berkunci" kata Inspektor David kepada Inspektor Daniel. Dia membuka pintu itu perlahan-lahan. Inspektor David dan Inspektor Daniel melangkah masuk ke dalam. Daripada pengamatan mereka, keadaan banglo itu nampak kemas dan teratur. Perabot seperti meja dan kerusi sedikit berhabuk seolah sudah lama tidak dikunjungi.
"Kosong sahaja..." kata Inspektor David sambil matanya liar memerhati ke setiap sudut yang terdapat di dalam rumah itu.
"Daniel, periksa semua bilik di tingkat bawah. Saya akan periksa bahagian atas." Arah Inspektor David.
"Baik David" Inspektor Daniel mengangguk menerima arahan.
Inspektor David menaiki tangga yang menghubungkannya dengan tingkat dua rumah banglo itu. Dia memeriksa semua bahagian tingkat dua banglo itu dan bergerak dari bilik ke bilik. Namun, dia masih gagal menemui sebarang tanda atau bukti. Terdapat lima bilik di bahagian atas. Empat daripadanya telah diperiksa. Hanya satu bilik sahaja yang masih lagi tidak diperiksa. Dia memutar tombol pintu bilik itu. Namun, ianya berkunci. Pelbagai andaian mula hadir ke dalam fikirannya.
Bunyi tapak kasut Inspektor David menusuk ke telinga Cammy. Dia membuka matanya.
"Dia. Mungkin dia sudah kembali" kata Cammy di dalam hati.
"Tolong! Tolong! Tolong lepaskan kami!" Cammy menjerit dan merayu.
Inspektor David menekup telinganya ke pintu. Dia seperti mendengar satu bunyi suara dari dalam bilik itu. Bilik itu sebenarnya adalah bilik kebal. Jika ada kebisingan yang dibuat di dalam. Hanya sayup-sayup sahaja yang akan kedengaran dari luar.
Inspektor David mengeluarkan walkie-talkienya. Lalu terus menghubungi Inspektor Daniel.
"Daniel, ada apa-apa yang awak jumpa?"
"Tiada David" jawab Inspektor Daniel.
"Naik ke tingkat atas sekarang"
"Baik"
Beberapa minit kemudian, Inspektor Daniel muncul. Ketika itu Inspektor David sedang menekup telinganya ke pintu.
"Kenapa David. Kamu ada jumpa apa-apa ke?" soal Inspektor Daniel.
"Cuba kamu dengar" Inspektor David mengarah Inspektor Daniel melakukan apa yang baru dilakukannya tadi.
"Ada orang dalam ni" kata Inspektor Daniel.
"Ya. Saya pun fikir begitu" sokong Inspektor David.
"David, aku rasa ada baiknya kita pecah masuk ke dalam" cadang Inspektor Daniel.
"Baiklah. Mari kita mulakan" Inspektor David bersetuju.
Dengan menggunakan tenaga yang ada, Inspektor David dan Inspektor Daniel bersatu tenaga merempuh pintu bilik itu. Hentakkan pertama tidak berjaya. Begitu juga dengan hentaman yang kedua dan ketiga. Namun, mereka tidak berputus asa. Kali ini tumpuan diberikan sepenuhnya dan dengan kudrat yang ada, pintu itu dirempuh sehingga akhirnya ia dapat dibuka. Kelihatan Cammy dan Seri yang diikat kaki dan tangan mereka sedang terbaring di lantai.
Mereka segera masuk dan membuka ikatan tali yang merantai pergerakan Seri dan Cammy.
"Awak semua okey?" tanya Inspektor David.
"Kami okey. Terima kasih ya" ucap Cammy dengan lemah. Seri ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia tidak bermaya. Dia kehilangan banyak tenaga.
"Baiklah Daniel. Mari kita bawa mereka keluar"
"Ada bom dalam bangunan ini. Doktor… Fendi….. dia yang pasang bom itu…" Cammy menunjuk kepada bom yang digantung di dinding rumah itu.
"Bahaya! Daniel cepat keluar!" Inspektor David berteriak. Dia dan Inspektor Daniel dengan pantas membawa Cammy dan Seri keluar. Syukur mereka berjaya diselamatkan. Cammy dan Seri segera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan susulan. Encik Johari dan Puan Julia berasa amat lega sekali. Begitu juga dengan Farah dan Faiz. Mereka turut sama menemani Seri ke hospital.
Dalam masa yang sama, Skuad Bom ditugaskan untuk memusnahkan bom yang diaktifkan di rumah itu. Cammy dan Farah bernasib baik kerana jangka masa yang telah ditetapkan untuk bom jangka agak panjang iaitu selama tiga puluh enam jam. Skuad Bom menjalankan tugas mereka dengan begitu baik. Bom jangka itu berjaya dimatikan.
Inspektor David dan Inspektor Daniel bersama-sama dengan beberapa anggota yang telah menyusul terus menjalankan siasatan ke atas rumah itu. Mereka masih lagi tidak berpuas hati. Naluri mereka merasakan masih ada lagi yang belum diselongkar di rumah ini.
Inspektor David kini sedang memeriksa bahagian ruang makan. Dia menghentak-hentakkan kakinya pada lantai ruang makan rumah berkenaan. Lantai itu dirasakannya tidak padu. Seperti ada ruangan kosong di bawahnya. Dia menyelak karpet biru yang terhampar cantik di lantai ruang makan itu terdapat sebuah pintu di bawahnya. Ianya tidak berkunci.
Inspektor David membukanya dengan perlahan. Dia menunduk dan menjengukkan kepalanya ke dalam. Bilik itu berkeadaan gelap. Dia mula menuruni tangga. Berbekalkan lampu suluh yang dibawanya, dia menyuluh ke sekeliling biliknya itu. Langkahnya penuh berhati-hati. Suluhannya mengenai suis lampu yang terletak di atas dinding sebelah kiri tempat dia berdiri. Dia bergerak ke arah suis itu dan memetiknya. Perlahan-lahan lampu yang terdapat di situ menyala menerangi bilik itu.
Inspektor David agak terkejut dengan penemuan ini. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lebih kurang dua puluh baling-balang berisi tubuh-tubuh manusia di selaputi dengan cecair berwarna biru cair memenuhi ruang bilik itu. Terdapat juga satu satu computer berskrin besar yang memaparkan nombor-nombor yang sukar difahami. Gambaran inilah yang dilihatnya ketika melihat gambar-gambar di dalam cakera padat yang ditinggalkan bersama-sama dengan formula i-chip di rumah Pak Cik Fadhil. Dia menduga, mereka adalah klon-klon yang disimpan oleh Doktor Fendi.
Di satu sudut pula terdapat rak buku yang disusun dengan kemas sekali. Inspektor David melangkah. Dia mendekatinya dan meneliti buku-buku yang terdapat di situ. Matanya tertumpu kepada sebuah buku yang bertajuk 'Derof'.
Dia mengambil buku itu dengan perlahan dan membukanya. Apa yang menghairankan, buku itu kosong. Tiada satu muka surat pun yang bertulis. Tiba-tiba, satu gegaran kecil berlaku. Dinding bilik itu terbuka… Inspektor David cuba mengawal perasaannya yang berdebar-debar itu. Inspektor David meletakkan kembali buku itu. Kali ini dinding itu tertutup kembali. Dia mengambil buku itu sekali lagi dan buat kali yang kedua, dinding itu terbuka.
Sangkaanya tepat, buku itu merupakan suis pembuka kepada sebuah bilik rahsia. Doktor Fendi sebenarnya memasang satu alat pengesan di dalam buku itu dan juga di bawah rak buku itu. Ia bagi memastikan yang dinding itu tidak dapat dibuka dengan sewenang-wenangnya. Inspektor David bersyukur kerana hatinya digerakkan untuk mengambil buku itu.
Inspektor David memberanikan diri memasuki bukaan dinding itu. Asap-asap berkepul-kepul keluar dan menerjahkan diri memasuki kepulan asap itu. Dalam kesamaran, dia dapat melihat seorang lelaki sedang duduk sambil terikat di kerusi. Mulutnya diikat dengan kain berwarna merah. Dia dapat mengecam wajah lelaki itu. Berdasarkan gambar yang telah ditunjukkan oleh Puan Leela, dia pasti itu adalah Encik Murukesh. Dia segera datang ke kepada lelaki itu.
"Encik tak apa-apa?" tanya Inspektor David. Dia membuka ikatan pada mulut Encik Murukesh.
"Saya okey sahaja" jawab Encik Murukesh lemah.
"Saya akan bawa encik keluar dari sini"
"Terima kasih. Mari kita selamatkan yang lain"
"Yang lain?"
"Cuba encik lihat tu" Encik Murukesh menunjukkan sebuah bilik yang terdapat di situ.
"Bilik apa tu?"
"Mereka semua ada di dalam" kata Encik Murukesh.Dia jatuh pengsan.
"Encik Murukesh!" Inspektor David menggerak-gerakkan badan lelaki itu dengan tujuan untuk membangunkannya. Namun, dia tetap tidak sedarkan diri. Dia kelihatan tidak bermaya. Badannya lemah sekali. Inspektor David mendukung Encik Murukesh dan dengan segera pergi ke bilik yang disebut oleh Encik Murukesh sebentar tadi.
Kali ini, apa yang dijumpainya lebih mengejutkan. Rupa-rupanya, tempat itu dijadikan 'penjara' yang menyimpan orang-orang yang belum lagi diklonkan oleh Doktor Fendi. Seramai lebih kurang lapan puluh orang dikurung di situ. Mereka kelihatan begitu lemah. Sebahagian daripada mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Tanpa berlengah lagi, dia menghubungi Inspektor Daniel dan mengarahkannya membawa beberapa orang untuk ke bilik bawah tanah itu. Inspektor David juga menelefon ambulan supaya datang memberikan bantuan.