Rohani sedang dalam perjalanan menuju ke balai polis yang berdekatan. Dia ingin membuat laporan mengenai kehilangan fail yang menyimpan rekod 'Armitale Corporation' seperti yang diarahkan oleh Doktor Sarah sebentar tadi. Telefon bimbitnya berbunyi. Nama pemanggil tertera di skrin. Dia pantas menjawab.
"Ya Doktor Sarah?"
"Saya nak tanya. Kamu dah buat laporan polis?"
"Dalam perjalanan. Saya memang sedang menuju ke balai polis sekarang ni. Kenapa doktor?"
"Saya rasa tak perlulah kamu buat sebab….."
"Kenapa doktor? Kenapa pula saya perlu batalkan? Apa yang berlaku?" bertubi-tubi soalan muncul dari mulut Rohani.
"Fail itu dah ada Rohani."
"Eh! Betul ke? Jangan main-main…" Apa yang diberitahu oleh Doktor Sarah mengejutkannya. Sangkanya, wanita itu hanya bergurau. Dia memberhentikan kereta di tepi jalan.
"Betul Rohani. Saya jumpa fail itu di rumah saya"
"Di rumah doktor?" soal Rohani penuh kehairanan.
"Saya sendiri pun rasa pelik. Saya betul-betul tak faham dengan apa yang sedang berlaku sebenarnya."
"Pelik betullah. Entah-entah doktor atau Cammy terbawa balik tak…"
"Eh. Takkanlah saya boleh terbawa balik. Semasa saya berkemas pagi tadi. Saya tak perasan pula fail tu di atas meja. Saya berani jamin yang saya tak tersilap pandang. Saya betul-betul periksa rumah saya pagi tadi. Setiap inci dan penjuru rumah saya periksa pagi tadi."
"Kalau begitu. Hanya ada satu penjelasan sahaja yang dapat menerangkan keadaan ini."
"Apa dia?"
"Saya rasa ada orang yang dah pecah masuk ke yayasan dan kemudian dia menceroboh masuk pula rumah doktor. Saya tak tahulah pula apa tujuannya" ujar Rohani. Dia cuba membuat andaian.
Kata-kata Rohani membuatkan Doktor Sarah berfikir sejenak. Kemungkinan besar, andaian yang dibuat Rohani itu betul. Cuma siapa dan apa motifnya agak sukar difahami.
"Mungkin betul apa yang awak katakan tu." Doktor Sarah bersetuju dengan pandangan Rohani.
"Beginilah Rohani. Awak pulang semula ke pejabat. Saya akan datang ke yayasan sekarang juga! Kemudian kalau ada apa-apa yang mencurigakan, barulah saya laporkan kepada pihak polis" putus Doktor Sarah.
"Baiklah doktor. Saya tunggu" kata Rohani. Mereka mematikan talian masing-masing. Doktor Sarah termenung sejenak. Dia mula menerawang memikirkan sesuatu. Dia teringatkan Doktor Adam Raufal. Orang yang memberi sokongan kepadanya sewaktu dia membuat keputusan untuk menubuhkan Yayasan Rahsia Hati. Alangkah bagusnya kalau dia masih lagi hidup ketika ini.