Seri mengetuk-ngetuk berus cat yang dipegangnya. Dia cuba membuang rumput yang tersangkut pada berus itu. Pagar yang baru dibetulkan kelmarin perlu dicat dan dia memilih warna merah bagi mengelakkannya daripada buruk. Sememangnya, dia akan mengecat pagar rumahnya sebulan sekali. Malah, dialah yang akan membantu ayahnya mengecat dinding rumah luar dan dalam terutama apabila tibanya hari perayaan. Seri mengecat pagar itu dengan berhati-hati. Kalau boleh dia tidak mahu setitik pun tumpah ke atas rumput.
Meow! Seri terdengar bunyi seekor kucing yang tidak diketahui dari mana datangnya. Seri menoleh ke belakang dan ternampak kucingnya Donny sedang mengejar seekor burung yang berterbangan di kawasan lapang berumput yang memisahkan rumahnya dengan rumah banglo besar itu.
"Donny jangan ke sana!" jerit Seri kepada Donny. Namun, langsung tidak dihiraukannya. Seri mencampakkan berus yang dipegangnya dan tanpa berlengah lagi, dia terus mengejar Donny. Kucing kesayangannya itu berlari dengan begitu pantas sekali mengikut arah tuju terbangnya burung itu yang terus terbang mendatar ke hadapan. Burung itu kemudiannya mengubah haluannya ke atas dan Donny hanya mampu melihat ia mengibarkan sayapnya ke udara.
Seri yang termengah-mengah menghampiri Donny dan menangkapnya dengan pantas. Dia memukul lembut kucing itu. "Naughty" kata Seri. Dia memerhati sekelilingnya, tanpa disedari, dia telah berada hampir dengan rumah banglo besar yang terletak di sebelah kanan rumahnya. Ini adalah kali pertama dia melihat rumah itu dari jarak dekat. Dari dekat, rumah itu kelihatan begitu gah, berwarna putih cerah dan masih kelihatan utuh. Namun, tiada pula bunga atau pokok-pokom hiasan mengelilingi rumah itu. Ianya seakan-akan kosong dan dipenuhi dengan daun-daun kering seperti tidak berpenghuni.
"Ada sesuatu yang pelik tentang rumah ini" gumal Seri sendirian sambil tangannya memegang Donny yang baru ditangkapnya tadi. Seri bergerak beberapa langkah ke hadapan. Dia melihat ke dalam rumah itu menerusi tingkap yang berada di bahagian kirinya. Dari tingkap itu, dia dapat melihat seorang perempuan yang sedang duduk di atas sebuah kerusi malas.
Ehem…! Ehem…! Tiba-tiba sahaja, dia mendengar suara seseorang berdehem. Seri terkejut dan terus memandang ke belakang. Seorang lelaki dalam lingkungan lima puluhan sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Matanya merenung Seri dengan renungan yang amat tajam sekali.
"Apa yang kamu buat di sini?" tanya lelaki itu.
"Saya…saya…ambil kucing saya. Dia…lari ke sini tadi" jawab Seri tergagap-gagap. Jantung Seri berdegup kencang. Renungan lelaki itu amat menakutkan.
"Pak cik tinggal di sini" tanya Seri dengan sopan. Wajah bengis lelaki itu membuatkannya begitu takut sekali.
"Walau apa sebabnya, pak cik tak suka sesiapa pun menganggu pak cik. Saya sedang berehat dan saya tidak suka gangguan. Jaga kucing kamu tu. Jangan sampai dia terlepas. Jika tidak, pak cik tidak akan teragak-agak untuk mencampakkan dia ke dalam sungai" soalan Seri tidak berjawab. Malah, lelaki itu memberi amaran kepada Seri dan tangannya memegang kedua-dua bahu Seri, "Dan sekarang, pergi!" perintah lelaki itu dengan kasar. Dia menolak Seri. Nasib baiklah dia tidak terjatuh.
Seri segera berlari ke rumahnya sambil memegang erat kucing kesayangannya itu. Sambil berlari, dia memikirkan sesuatu. Kenapa lelaki itu tidak membenarkan sesiapa mendekati rumah itu? Dia seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Dan wanita itu…. ya dia pernah melihat wanita itu. Tetapi di mana? Siapa dia? Dan apakah hubungannya dengan lelaki itu.