Doktor Sarah pulang ke rumahnya. Dia meluru laju menuju ke bilik bacaannya. Kehilangan fail di yayasan seperti mana yang dikatakan oleh Rohani sebentar tadi membuatkan dia risau memikirkan fail-fail yang diletakkan di rumahnya. Apa yang dikatakan oleh Rohani tadi masih terngiang-ngiang di telinga Doktor Sarah. Dia memikirkan pelbagai kemungkinan yang berlaku. Ada betulnya apa yang dikatakan oleh Rohani tadi. Hanya itu sahaja penjelasan logik yang boleh diterima buat masa ini.
Sebentar tadi ketika dia dalam perjalanan, dia menerima panggilan daripada Balai Polis Bukit Semarak. Mereka meminta dia datang ke sana untuk membuat keterangan berhubung dengan apa yang berlaku di PRASASTI tempohari. Dia berjanji untuk datang ke balai polis itu sebaik sahaja hal mengenai kehilangan fail itu selesai kerana fikirannya kini masih belum dapat lari lagi dari memikirkan mengenai fail Armitale Corporation yang hilang itu.
Dua kotak berisi fail dibawa keluar ke ruang tamu. Kedua-dua kotak itu mengandungi fail-fail penting Yayasan Rahsia Hati yang disimpan di rumahnya. Dia memeriksa fail-fail itu satu-persatu. Setelah selesai, dia mengucapkan syukur kerana tiada satu pun fail, dokumen atau rekod yang hilang. Dia menarik nafas lega. Tetapi, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu di atas meja kecil yang terletak di salah satu penjuru rumahnya. Dia segera bangun dan mendekati meja kecil itu. "Fail Armitale Corporation?" dia bersoal sendiri.