3 Julai 1974
Ayame,
Dendamku terbalas juga akhirnya. Mereka telah menerima pembalasan atas apa yang mereka lakukan kepada Miki. Jika hari itu mereka melemaskan Miki, sekarang giliran aku pula untuk melemaskan mereka. Aku harap mereka akan terus dihantar ke neraka!
Aku menggunakan cara yang sangat mudah. Ubat pelali. Ya! Beberapa botol kecil ubat pelali yang ada di makmal sekolah tempohari telah pun aku curi.
Aku mengajak mereka minum bersama di satu pondok di dusun yang terletak tidak jauh dari kawasan sekolah. Tanpa sedikit pun rasa syak di dalam hati, mereka tidak menolak dan terus mengikut aku. Bodoh! Mereka memang bodoh! Sedikit pun mereka tidak curiga dengan ajakan aku. Ubat pelali itu aku letakkan ke dalam air minuman mereka. Beberapa minit kemudian, mereka mengadu sakit kepala. Lama-kelamaan, mereka pengsan tidak sedarkan diri. Ketika itulah, aku mengambil kesempatan untuk mengikat mereka semua. Aku mengikat mereka dengan ikatan mati. Dengan menggunakan pelepah pinang, aku mengheret mereka semua ke tepi sungai.
Apabila mereka semua telah tersedar, barulah aku tolak mereka ke dalam sungai. Mereka menjerit-jerit meminta aku untuk melepaskan mereka. Tetapi semuanya sudah terlambat kerana aku sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghantar mereka ke neraka.
Aku hanya ketawa terbahak-bahak melihat mereka dibawa arus sungai. Puas hati aku! Aku dah membalas apa yang mereka buat kepada Miki!