Download App
96% Our Tomorrow (Malay) / Chapter 24: Kebakaran

Chapter 24: Kebakaran

PAPAN tanda yang senget bertuliskan kediaman Wu direnung lama. Tidak kira apa jua keadaan kediaman itu, dia akan tetap berada di situ. Tiada tempat lagi dia boleh pergi melainkan kediaman lama itu.

Pintu utama yang berkayu itu ditolak perlahan. Seakan-akan ingin runtuh sahaja pintu utama itu. Menunjukkan betapa usangnya kediaman yang ditinggalkan selama 5 tahun itu. Kakinya melangkah masuk ke dalam kawasan utama. Penuh dengan semak samun dan habuk. Di lantai juga penuh dengan daun-daun kering. Pokok-pokok di situ sudah pun mati.

Lama Ying Hua memandang sekeliling bangunan yang sudah separuh terbakar itu. Ada juga kayu-kayu yang sudah reput. Sedih sekali ketika dia melihat semua itu. Apatah lagi Xiao Hua yang melihat semua itu. Dia dapat membayangkan fobia yang terpaksa Xiao Hua hadapi setiap masa kerana kebakaran itu.

"Putera Yan tak benarkan sesiapa pun masuk ke tempat ni selepas kebakaran. Dia juga tak benarkan sesiapa pun usik kediaman ni walaupun sudah musnah teruk." Xin Xin memecah ruang kesunyian itu. Dia hanya memandang kiri dan kanannya. Tempat dia membesar bersama tuannya musnah dijilat api. Segala memori bahagia mereka musnah.

Ying Hua hanya membisu. Legasi Wu akhirnya hanya tinggal Xiao Hua sahaja. Ahli keluarga wanita itu sudah tiada semenjak 5 tahun yang lalu. Meskipun dia bukan Xiao Hua yang sebenar tetapi tempat itu cukup memilukannya.

"Kita akan tinggal di sini lepas ni," ujar Ying Hua perlahan. Apa yang dia akan lakukan untuk hidup, dia akan fikirkan selebihnya nanti.

Hanya itu sahaja pilihan yang dia ada. Walaupun keadaan tempat itu tidak begitu baik tetapi cukuplah untuk mereka berdua menginap di situ. Sekurang-kurangnya ada juga tempat untuk dia berteduh berbanding duduk di tepi laluan jalan tanpa tujuan.

"Tuan puteri..." Xin Xin seakan-akan tidak percaya dengan keputusan yang dibuat oleh tuannya. Tidak pernah pun dia menyangka tuannya begitu kuat untuk kembali ke kediaman yang telah meragut seluruh ahli keluarganya.

Ying Hua mengatur langkah, mengangkat kayu-kayu reput yang bersepah di lantai. Apa yang dia perlukan sekarang adalah mengemas.

Xin Xin terus menghalang tuannya daripada berbuat demikian. "Biar Xin Xin uruskan semua. Tuan puteri masih belum sihat. Lebih baik tuan puteri rehat."

Ying Hua tersenyum. Perlahan dia menggeleng kepala. "Saya okey la. Dan satu lagi Xin Xin, awak tak perlu panggil saya tuan puteri lagi. Saya hanyalah orang biasa. Hubungan saya dengan Putera Yan sudah berakhir. Lebih elok awak panggil saya Xiao Hua aje. Kita bukan lagi duduk di kediaman Yan. Awak anggap aje saya ni kakak awak, boleh?"

Xin Xin menggeleng pantas. "Xin Xin tak nak."

Senyuman kecil terukir di bibir Ying Hua. Jarinya menjentik dahi Xin Xin yang manja itu. "Awak ni degil juga kan..."

Tangan Xin Xin menggosok perlahan dahinya, padahal tidak terasa sakit pun. Cuma dia sedih melihat keadaan tuannya. Dia tahu wanita itu cuba berpura-pura kuat di hadapannya.

Ying Hua kembali mengangkat serpihan kayu-kayu itu ke satu tempat. Entah mengapa kakinya begitu berat untuk melangkah. Dadanya juga terasa begitu sesak dengan tiba-tiba. Apakah mungkin kerana kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

Dadanya ditumbuk perlahan. Perasaannya kini bercampur baur. Dia bingung. Mengapa nafasnya begitu berat sekali. Bayangan asing kembali bermain di mindanya. Satu bayangan yang semestinya bukan tentang memorinya.

Dia melihat seorang gadis sudah terduduk di hadapan kediaman itu meraung kuat. Api yang semakin marak memaksa seorang lagi gadis menarik gadis itu jauh dari situ. Dia melihat beberapa barangan lukisan sudah pun tersadai di lantai.

Ying Hua menyentuh kepalanya. Mengapa bayangan Xiao Hua muncul dengan tiba-tiba? Bayangan itu membuatkan nafasnya semakin sesak.

"Tuan puteri!" Xin Xin terus mendapatkan tuannya. Dirangkul bahu itu apabila melihat tuannya berdiri tidak stabil.

Ying Hua memandang Xin Xin. Titisan air jernih menitis di tangannya. Mengapa dengan tiba-tiba dia menangis? Dia langsung tidak merasa air mata mengalir di pipinya.

"Tuan puteri dah ingat segalanya?" tanya Xin Xin sedikit risau. Dengan tiba-tiba sahaja tuannya berubah, dia jadi takut. Agak lama tuannya mengambil masa untuk pulih dari ketakutan itu.

Ying Hua memejam mata. Dia tidak tahu apa jawapan yang dia patut berikan kepada Xin Xin. Ingat? Dia bukan Wu Xiao Hua. Dia cuma gadis yang tersesat di situ sebagai Xiao Hua. Masakan dia ingat semua itu berlaku. Yang ada hanyalah bayangan demi bayangan yang dia sendiri bingung.

Tubuh Ying Hua terasa lemah. Kakinya sudah tidak mampu berdiri. Semakin dia cuba untuk melawan perasaan itu, semakin dadanya sesak. Air matanya pula seakan-akan tidak mahu berhenti mengalir.

"Tuan puteri!"

Tubuh kecil Xin Xin ditolak jauh darinya. Kepalanya begitu sakit bagaikan ingin pecah. Satu demi satu bayangan Xiao Hua muncul di mindanya tanpa henti. Tatkala itu dia terduduk. Tangannya menahan tubuhnya daripada jatuh ke tanah. Dadanya berkali-kali ditumbuk. Sakitnya tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Pedih. Perit. Dan dia ingin menjerit.

Wajah demi wajah terbayang di mindanya. Seorang lelaki separuh umur memakai pakaian besi yang lengkap bersama pedang, seorang wanita yang berwajah lembut tersenyum dan seorang lelaki muda bersama seekor kucing berwarna putih. Dia tidak mengenali wajah asing itu tetapi hatinya begitu pilu.

"Xin Xin... saya..." Tangan Ying Hua terkapai-kapai mendapatkan Xin Xin. Suaranya antara dengar dan tidak. Tekaknya begitu perit. Dadanya semakin terasa mencucuk-cucuk.

"Tuan puteri... kenapa ni?" Xin Xin sudah gelabah. Tidak pernah dia melihat tuannya dalam keadaan begitu.

"Saya..." Bibir Ying Hua sudah mengigil. Kepalanya dirapat ke bahu Xin Xin. Kedua tangannya yang turut mengigil sudah digenggam erat oleh Xin Xin. Matanya dipejam dan dibuka dalam keadaan begitu lemah. Namun air matanya masih lagi mengalir tanpa sebarang sebab.

"Api..." Terketar-ketar Ying Hua menyebut perkataan itu sebelum menutup kedua telinganya dengan tangannya.

"Tak apa api, tuan puteri..." Xin Xin sudah mahu menangis. Apa yang dia takutkan akhirnya berlaku jua. Perkara yang sama berlaku sewaktu tuannya sedar selepas kebakaran itu. Menggigil ketakutan dan melihat api di sekelilingnya.

"Api... padamkan api Xin Xin..." Ying Hua masih lagi bersuara. Matanya dipejam rapat seperti tidak mahu melihat apa yang berlaku di sekelilingnya.

Xin Xin menggeleng kepala. Erat dia memeluk tubuh kecil tuannya, mengharapkan tuannya bertenang. "Tak ada api, tuan puteri..." ulang Xin Xin lagi sambil cuba menenangkan keadaan itu.

"Api..." Ying Hua sudah duduk merapatkan lututnya dengan dada sambil kedua tangannya memekup telinga. Kepalanya digeleng berkali-kali sambil menangis.

Belum sempat Xin Xin bersuara, daun pintu utama ditolak oleh seseorang. Terpancul dua batang tubuh yang tidak asing dari pandangannya.

"Putera Yan..." Xin Xin sedikit terkejut lalu segera melutut di hadapan putera keempat itu. Kepalanya sempat berpaling memandang tuannya yang masih tidak berganjak itu.

Shu Yan merapati tubuh kecil yang berulang kali menyebut perkataan api. Biarpun perlahan tetapi dia masih dapat menangkap suara itu.

"Xiao Hua..." Shu Yan merendahkan tubuhnya, mendekati wanita itu.

"Api... padamkan api..." ujar Ying Hua separuh merayu. Masih lagi memejam matanya dan menggeleng kepala. Wajah itu sudah basah dengan air mata. Dan dirinya juga sudah tidak terurus.

Tangan kanan Shu Yan menggenggam erat. Matanya menatap wajah hiba itu. Perlahan dia merangkul bahu dan membawa ke dalam dakapannya.

"Tak ada api, Xiao Hua..." pujuknya perlahan.

Erat dia memeluk tubuh kecil yang menggigil itu. Esakkan kecil itu mengingatkan dia akan keadaan 5 tahun yang lepas. Tangan kecil itu sudah memegang erat bajunya bagaikan tidak mahu dilepaskan.

"Api..." ulang Ying Hua lagi namun kali ini suaranya kedengaran begitu lemah. Perkataan api disebut berulang kali sehinggalah tidak kedengaran lagi. Tubuh yang lemah itu sudah terkulai dalam dakapan Shu Yan tanpa sedar. Mata itu sudah terpejam rapat. Tiada lagi esakan.

Sebelah tangan Shu Yan menyentuh dahi wanita itu. Panas. Malah lebih panas berbanding awal tadi. Wajah itu nampak lebih pucat.

Dia mengalih pandangan ke arah Xin Xin yang masih melutut itu. Pandangan yang begitu tajam sehingga gadis itu menunduk rapat.

"Saya dah cakap, tak kira apa yang jadi sekalipun jangan benarkan Xiao Hua jejakkan kaki ke sini. Awak lebih tahu apa yang berlaku pada Xiao Hua dan awak tahu apa yang akan berlaku kalau dia datang ke sini." Keras Shu Yan bersuara.

"Maafkan Xin Xin, Putera Yan. Tuan puteri yang berkeras nak datang ke sini. Tuan puteri cakap dia akan tinggal di sini selepas ni. Dia tak nak duduk di kediaman Yan lagi," jawab Xin Xin dalam ketakutan.

Dia tahu dia bersalah tetapi dia tidak mahu tuannya terus menderita. Dia sangka segalanya baik-baik sahaja. Tiba-tiba sahaja tuannya bersikap begitu. Mujur putera keempat itu datang tepat pada masanya. Kalau tidak dia sendiri tidak tahu bagaimana ingin menenangkan tuannya dari ketakutan itu.

Shu Yan bingkas bangun sambil mengendong tubuh kecil itu. "Saya maafkan awak untuk kali ni. Tapi akan datang, awak akan terima hukumannya!" ujar Shu Yan tegas lalu keluar dari kediaman itu.

Xin Xin mengangguk lantas bangun sambil mengesat air matanya. Yuan Zhen yang berdiri di sebelahnya dipandang.

"Putera Yan takkan bawa tuan puteri ke penjara lagi kan?" tanyanya perlahan.

Yuan Zhen menggeleng kepala. "Awak jangan risau, Xin Xin. Putera Yan tak begitu kejam. Keadaan Puteri Yan masih lagi tidak stabil. Walau macam mana pun, Puteri Yan tetap isterinya." Yuan Zhen cuba meredakan hati Xin Xin.

Sebenarnya dia tahu di hati putera keempat itu merasa lega apabila Putera Yan lebih memilih untuk pulang ke kediaman Wu. Andai racun yang menjadi pilihan, dia tidak pasti apa yang akan berlaku selepas itu. Sekurang-kurangnya ketakutan itu boleh diubati. Mati? Sememangnya tiada apa-apa yang tinggal. Hanya sekujur tubuh kaku yang sudah tidak bernyawa sahaja.

Mendengar kata-kata Yuan Zhen, hatinya Xin Xin sedikit lega. Apa yang dia harap adalah tuannya pulih semula.


next chapter
Load failed, please RETRY

Weekly Power Status

Rank -- Power Ranking
Stone -- Power stone

Batch unlock chapters

Table of Contents

Display Options

Background

Font

Size

Chapter comments

Write a review Reading Status: C24
Fail to post. Please try again
  • Writing Quality
  • Stability of Updates
  • Story Development
  • Character Design
  • World Background

The total score 0.0

Review posted successfully! Read more reviews
Vote with Power Stone
Rank NO.-- Power Ranking
Stone -- Power Stone
Report inappropriate content
error Tip

Report abuse

Paragraph comments

Login