Download App
42.12% Legenda Chu Qiao : Agen Puteri Divisyen Ke-11 / Chapter 123: Bab123

Chapter 123: Bab123

Editor: EndlessFantasy Translation

"Pak cik! Ada tulisan di sini!"

Zhuge Yue terus meluru ke arah unggun api dan mendapati beberapa perkataan yang tertulis pada dinding gua tersebut. Dari cara penulisannya, orang yang menulis ini pasti mempunyai pelbagai perasaan yang telah bercampur baur.

'Saya pergi dulu, dan jangan cari saya. Saya tak akan datang balik untuk balas dendam. Jaga Mo'er baik-baik.'

Di bawah kata-kata itu, terdapat sebaris lagi perkataan yang telah ditoreh.

'Terima kasih, Zhuge Yue.'

'Berterima kasih kepada saya? Untuk apa? Sebab tak bunuh awak? Sebab dah tolong kau? Atau sebab tolong jagakan budak ini?'

Zhuge Yue tiba-tiba menempik dan menendang timbunan kayu api itu ke tepi yang lantas memeranjatkan Mo'er yang hanya berundur ke tepi, langsung tidak berani untuk mendekati lelaki itu.

Zhuge Yue terus mengatur beberapa langkah ke hadapan seperti ingin berlari keluar dari gua tersebut.

"Pak cik!" Anak kecil yang berasa risau jika dia ditinggalkan itu terus memanggil lantang, "Pak cik nak pergi mana?"

Betul itu, dia nak pergi mana? Nak kejar gadis itu? Atas sebab apa?

Zhuge Yue tiba-tiba tertawa sambil melemparkan barang-barang yang dipegangnya, berdiri di dalam gua yang kosong itu sambil menarik nafasnya sedalam yang mungkin sebelum menggumam sendirian, "Bodoh betullah kau ini, Zhuge Yue!"

Hujan yang turun di luar begitu lebat sekali sehingga boleh menyebabkan berlakunya banjir di sungai dan kuda Chu Qiao terus menderap di dalam kelebatan hujan tersebut tetapi fikiran gadis itu sudah melayang jauh. Semua perkara yang terjadi akhirnya mula dapat dikatikan bersama di dalam fikiran wanita ini dan serta-merta dia memarahi dirinya sendiri kerana telah menjadi seorang yang dungu sehingga dia terpaksa melihat sendiri perkara tersebut berlaku di hadapan matanya untuk memahaminya. Darahnya kemudian mula membuak-buak. Tatapan matanya mula bersinar manakala nafasnya pula semakin kencang tatkala kuda tersebut menderap di sepanjang banjaran gunung.

Langit kelihatan gelap dan dingin. Setelah sekian lama, akhirnya lembah tersebut sudah kembali dalam penglihatan mata wanita itu. Chu Qiao mula berasa lemah menunggang kuda, tetapi setelah melihat lembah yang kosong kini, dia mula berasa tenang. Lantas dengan itu, dia pun melompat turun dari kudanya lalu berjalan di atas air berlumpur setapak demi setapak dan seperti yang dijangkakan, dia ternampak tubuh kecil Xingxing yang terbujur kaku di tempat asal mayatnya dijumpai.

Empat jam kemudian, sebujur kubur baharu telah dibina di tempat tersebut dan tiga insan yang tidak berdosa telah ditanam di dalamnya. Chu Qiao berdiri di hadapan kubur tersebut lalu mengeluarkan pedangnya dan menghunusnya ke dalam tanah di sebelah kubur tersebut, kemudian dia melutut di atas tanah tanpa mempedulikan sekotor mana pun tanah tersebut.

"Xingxing, kakak minta maaf," Ujarnya dengan sedih dan perlahan. "Kakak tak mampu menuntut bela atas kematian kamu lagi." Dia segera menyembah hormat di tanah dan menyebabkan air lumpur tersebut terpercik.

Dia berlutut namun tetap berdiam. Wanita itu mahu mengujar banyak lagi perkara namun semuanya akan kedengaran seperti sindiran sahaja, jadi dia kemudiannya mencapai rumput kering di atas tanah. Wajahnya kelihatan nekad tetapi air mata tetap mengalir deras membasahi pipi dan dia sendiri pun tidak mengerti dia sedang menangisi kematian anak kecil ini ataupun disebabakan hal lain.

"Maafkan kakak! Kakak tak boleh lakukannya!" Dia mula berasa sebak. Lantas dia pun berdiri lalu menunggang kudanya dan segera menderap ke arah Tang Jing.

Walaupun masih petang, namun langit kelihatan amat gelap dengan awan mendung yang berada di langit yang telah memberikan sebuah perasaan yang kurang enak bersama angin yang meniupkan pokok-pokok di hutan telah menghasilkan bunyi desiran. Namun, segala-galanya kini tertumpu pada sebuah kelibat yang perlahan-lahan menghilang di kejauhan dan juga kubur yang baru dibina. Angin bertiup begitu kencang sehingga menyebabkan daun-daun berguguran di atas tanah. Bila agaknya cuaca mendung seperti ini akan berakhir?

Pada masa yang sama, pintu gerbang bandar Tang Jing yang terletak beratus batu jauhnya telah dibuka dan kereta kuda yang kelihatan gah terus meluru keluar dengan segera. Pengendali kereta kuda tersebut berusia dalam lingkungan 18 atau 19 tahun namun dia kelihatan murung apabila bercakap dengan lelaki di dalam pedati tersebut, "Tuanku, kita dah tak boleh bergerak lebih laju dari ini. Kuda dah nampak macam nak pengsan, Tuanku!"

"Cepatlah! Lajulah lagi!" Teriak lelaki di dalam pedati tersebut sambil menunjukkan wajah liciknya itu. Lelaki tersebut sedang memakai sepasang jubah merah yang kelihatan seperti sepasang baju perkahwinan. Dia membeliakkan matanya dan mengarah lagi, "Kalau saya tertangkap lagi kali ini, saya akan arahkan dua orang adik-beradik perempuan kamu ke istana untuk dijadikan gundik."

Pemuda itu terperanjat setelah mendengar kata-kata pemuda itu lalu dengan menggunakan saki-baki tenaga yang ada, dia melibas punggung kuda tersebut dan menyebabkan ia meringkik panjang dan menderap dengan lebih laju ke hadapan.

Puncak Yuping, Tasik Ponan.

Ribut yang melanda telah menyebabkan bunga teratai yang terapung di atas tasik untuk menenggelam ke dasarnya, hanya meninggalkan ranting hitam sahaja yang terapung di atas permukaan tasik tersebut bersama burung yang kadangkala mendarat di atas tanah yang menyebabkan air tasik itu berkocak. Angin dingin bertiup di atas permukaan tasik tersebut. Sebuah jambatan kayu panjang yang diperbuat daripada kepingan kayu dan tali telah dibina di atas tasik tersebut, dan walaupun reka bentuknya kelihatan amat ringkas, namun ia juga kelihatan natural dan lantas membuatkan ia terasa bagaikan di alam fantasi.

Angin tidaklah terasa begitu kencang dengan bunga putih di tepi tasik yang mula menumbuh dengan mekar bersama ikan yang berenang-renang di dalam tasik, langit pula bersih berwarna biru tanpa kehadiran awan selepas ribut. Matahari bersinar dengan terangnya di langit sehingga dapat menyilaukan mata sesiapa yang merenungnya. Senja sudah pun mengumumkan kehadirannya namun suasana kawasan sekeliling masih lagi terang.

Jambatan kayu yang menjadi penghubung ke astaka itu telah dibina di atas permukaan tasik melalui titik tengah tasik tersebut. Pemuda berjubah merah berdiri berseorangan di tengah-tengah astaka dengan angin yang bertiup telah menyebabkan lengan bajunya untuk mengepak-ngepak di udara, begitu juga dengan rambut ikal mayangnya itu. Corak bunga mawar merah yang besar telah disulamkan pada pakaiannya, sememangnya kelihatan seperti bunga mawar asli yang sedang berkembang mekar apabila ditiup angin.

Raut wajah lelaki tersebut ibarat sebuah potret. Hidungnya mancung, keningnya terletak manakala bentuk badannya pula kelihatan menawan. Matanya merenung ke arah orang ramai yang sedang berdiri di luar astaka dengan wajah yang mengandungi tiga puluh peratus menawan, tiga puluh peratus bangsawan, tiga puluh peratus dingin dan sepuluh peratus serius.

"Berambuslah! Kalau tak saya bunuh diri!" Sebuah suara yang nyaring berkumandang lalu memecahkan suasana indah tersebut. Lelaki berjubah merah ini terus mengacukan pisau ke lehernya sambil menggigil ketakutan namun,dia tidak mampu melakukannya. Oleh sebab tangannya menggeletar dalam jangka masa yang agak lama, dia tidak mampu mengangkat pisau itu lagi.

"Tuanku, kami tiada masa untuk melihat drama Tuanku ini lagi. Maharaja sudah bertitah dan dia ingin melihat Tuanku pulang tak kira kalau Tuanku masih hidup atau tak. Kalau Tuanku tak ikut kami pulang, nahaslah kami nanti," Seorang gaji muda berpakaian hijau berleter sambil bersandar pada tiang yang terdapat di luar astaka tersebut, wajahnya jelas kelihatan menderita.

Lantas dengan itu, lelaki berjubah merah tersebut terus menoleh dan berkata dengan bengis, "Lu Yunxi, kamu dengar sini. Selama ini saya jaga kamu dengan baik tapi sekarang ini berani betul kamu serang seorang lelaki dalam kesusahan ya? Selepas saya balik ke ibu negara nanti, saya akan tangkap adik-adik kamu dan hantar mereka ke istana."

"Yalah, Tuanku," Lu Yunxi berkata dengan pasrah. "Sewaktu saya ditugaskan dalam misi ini secara tak rela, kakak sulung saya dah bawa tiga adik-beradik perempuan saya yang belum berkahwin ke Biara Nian An. Jadi, walaupun Tuanku balik ke Tang Jing dan masih bernyawa, mereka pun dah jadi rahib. Pisau yang akan mencukur kepala mereka pun dah tersedia."

"Apa?" Lelaki itu terkaku dan wajahnya jelas kelihatan marah. "Mereka sanggup menjadi rahib dari bersama saya? Mengarutlah!" Tempik lelaki itu. Setelah dia menghabiskan kata-katanya, lelaki itu berpaling dan berkata kepada seorang lagi lelaki yang sedang memakai pakaian berwarna coklat, "Tie You, kamu pun nak bangkang saya juga?"

"Tuanku…" Lelaki bertubuh besar itu duduk bertinggung di atas jambatan kayu dengan lemah, cuba menampar-nampar kepalanya dengan kedua tangan supaya tidak tertidur. Lantas, dengan suara yang mamai, dia membalas, "Saya tak ada adik-beradik perempuan."

"Saya tahu!" Tempik lelaki tadi lagi. "Tapi kamu ada anak perempuan!"

Tie You mengeluh lagi dan wajahnya kembali lesu sebelum berkata, "Tuanku, anak saya baru saja berusia sebulan semalam. Tak terlalu awal ke Tuanku nak ugut saya?" Kemudian dia menambah lagi sambil menggelengkan kepalanya, "Belum sempat saya raikan ulang tahun Nannan, Tuanku dah nak ambil dia."

"Baiklah, nampaknya kamu semua dah mula nak memberontak ya!" Lelaki tersebut mula berasa terdesak lalu dia berpaling ke arah seorang lagi pemuda kacak sambil merungut, "Sun Di! Kamu pun membangkang saya ke?"

Sun Di tersenyum sinis dan membalas dengan mata yang bersinar, "Tuanku, walaupun saya tiada adik-beradik perempuan, tetapi ibu saya hadiahkan empat orang gundik kepada saya jadi saya dengan berbesar hatinya akan membawa mereka ke istana untuk tuanku." 

"Tuanku," Sebuah suara yang kedengaran lesu tiba-tiba bersuara dan seorang lelaki bertubuh sasa yang berusia dalam lingkungan 17 atau 18 tahun berkata sambil menguap, "Tuanku dah habis berdrama ke? Kalau kita bergerak melalui gunung sekarang, masih sempat lagi kita kembali ke bandar sebelum pintu gerbang ditutup. Rumah pelacuran pun ada tempat kosong lagi."

"Rumah pelacuran apa?" Jawab lelaki itu dengan perasaan marah. "Kali ini saya betul-betul nekad untuk larikan diri."

Semua orang hanya memandangnya dengan tidak berdaya. Cemuhan yang terpancar di mata mereka sudah cukup untuk mengibaratkan yang Maharaja Xia sedang menyembah hormat di hadapan kubur Yan Shicheng dengan perasaan malu. Mesejnya cukup jelas: Bila masa yang tuanku tidak nekad?

Namun, lelaki tersebut langsung tidak berasa bersalah. Dia hanya berkerut sambil berkata, "Saya takkan akur dengan ancaman Ayahanda yang keji itu!"

Tie You mengeluh. Sebagai seorang yang lebih tua, dia menasihatinya, "Tuanku, puteri Xia dah tiba di bandar. Utusan diplomatik dari pelbagai daerah pun dah tiba. Kalau Maharaja Xia tahu yang Tuanku larikan diri, dia pasti akan berasa marah."

"Betul itu. Cuba Tuanku tengok dari sudut yang lain. Kalau tak pun, selepas Tuanku kahwin dengannya, Tuanku boleh abaikan dia saja."

"Betul! Tuanku bertahan sekejap saja lagi. Lebih baik kalau Tuanku dengar saja cakap Maharaja. Tuanku janganlah berfikiran sempit sangat."

"Diamlah!" Tempik lelaki itu sambil mendongak ke langit. "Saya dah sukakan seseorang lah jadi saya kena simpan satu tempat dalam hati saya ini untuk dia sehingga dia muncul kembali."

Mereka berempat hanya memuncungkan mulut seperti mencemuh. Dia dah sukakan seseorang? Kalau Xia faham tak apalah juga.

Lu Yunxi mendongak dan mengeluh. "Tuanku, dah lewatlah. Janganlah bazirkan masa lagi."

Lelaki berjubah merah berundur beberapa langkah ke belakang dengan berhati-hati sambil berkata, "Apa yang kamu nak buat? Saya seorang lelaki yang berpegang pada kata-kata saya tahu. Jangan suka arah orang sangat."

Tie You menepuk kedua belah tangannya sebanyak dua kali dan bangun. Kemudian, dia mara ke hadapan dengan malas dan menambah, "Jom cepat buat kerja. Habis awal, boleh makan awal."

Sun Di mengeluarkan tali yang panjang sambil menggelengkan kepalanya dan berkata, "Nampaknya ini saja caranya."

"Kamu semua nak buat apa ini? Jangan lupa saya yang ambil kamu semua untuk bekerja di istana itu. Lu, sewaktu kamu tak ada duit di pusat perjudian itu, saya yang jamin kamu keluar, kan! Baiklah, walaupun saya mengaku saya yang tuduh kamu tapi saya tak suruh mereka potong tangan kamu pun kan!?"

"Dan kamu, Sun Di! Kamu lupa ke waktu kamu dibuang oleh ibu kamu? Kamu berhutang dengan rumah pelacuran! Semua gadis di bandar memandang rendah pada kamu! Kalau bukan sebab saya, kamu masih terkurung di dalam bilik bawah tanah Bangunan Yihong… walaupun kamu dibuang oleh ibu kamu sebab saya yang paksa kamu untuk mengaku kamu ayah kepada anak yang Qiu Tao kandungkan… tapi kamu pun beruntung juga! Qiu Tao seorang yang jelita dan dia dah jadi isteri kamu pun…"

Bunyi meronta-ronta kemudiannya bergema dan membelah kesunyian sehingga burung-burung dan makhluk yang berada dalam jarak 20 batu pun melarikan diri kerana terkejut. Li Ce, Putera Mahkota kesayangan empayar Tang meronta-ronta di puncak Gunung Yuping. "Tak sedar diuntung! Bedebah! Saya dah layan kamu semua elok-elok, ini yang kamu balas pada saya? Tak apa! Lihat saja nanti! Cepat atau lambat, saya akan tangkap semua wanita dalam keluarga kamu!"

Dengan beberapa pergerakan sahaja, Li Ce sudah pun ditangkap dan diikat. Sebaik sahaja mereka menghembuskan nafas lega, seekor kuda tiba-tiba menderap di laluan pergunungan itu. Kuda itu teruskan menderap tetapi setelah melihat mereka, ia berhenti dan merenung aneh ke arah mereka. Tetapi, yang menjadi isu utama ialah identiti orang yang menunggang kuda tersebut. Mereka semua terus terperanjat apabila memandang orang itu.


next chapter
Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Rank -- Power Ranking
    Stone -- Power stone

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C123
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank NO.-- Power Ranking
    Stone -- Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login