Download App
57.14% KAU BIDADARI SYURGAKU / Chapter 12: BAB 11

Chapter 12: BAB 11

Enam Bulan Kemudian…

HARI berganti hari. Hubungannya dengan Shafiz semakin rapat. Siapa sangka, awalnya dahulu, dia agak janggal dengan ketuanya itu. Tapi kini, dia semakin mesra dengan lelaki itu. Dunia ini penuh dengan kejutan dan perkara yang tidak disangka-sangka. Perkara yang awalnya mustahil, bisa sahaja terjadi tanpa diduga. Dia cukup senang dengan sikap Shafiz. Diam-diam, sudah lebih enam bulan dia berkerja di Shaf Engineering Sdn. Bhd.. Hubungannya dengan ketuanya juga semakin rapat.

Masing-masing mula menyimpan suatu perasaan yang cukup aneh di dalam hati. Buat masa ini, mereka masih memendam rasa dan belum ada yang meluahkan rasa.

Lama Mak Timah memandang wajah anak gadisnya itu. Sejak akhir-akhir ini, anak gadisnya itu selalu sahaja tersenyum sendiri. Menguli tepung pun, bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

"Kamu ada masalah ke, Rin?"

Shadrina yang sedang menguli tepung bersama air bancuhan ibu roti untuk dibuat donat gula, mengangkat wajahnya memandang Mak Timah.

"Masalah? Tak adalah mak. Kenapa mak tanya macam tu?" tanya Shadrina diakhiri dengan soalan.

"Tak adalah, mak tengok sejak akhir-akhir ni kamu asyik tersenyum-senyum sendiri. Kadang-kadang mak dengar suara orang menyanyi-nyanyi. Mak ingat siapalah yang menyanyi kat rumah ni. Bila mak tengok, rupanya kamu.".

Shadrina tersenyum lebar seraya tergelak kecil.

"Rin senyum pun tak boleh ke?"

"Bukan tak boleh, cuma mak hairan. Sebelum ni, kamu tak pula macam ni? Ada apa-apa ke, yang kamu sembunyikan dari mak?"

Shadrina mengeluh halus. Namun, senyumannya masih tidak lekang di bibirnya.

"Tak ada apalah mak. Tak ada apa-apa yang Rin nak rahsiakan dari mak."

Shadrina tetap berahsia. Buat masa ini dia masih belum bisa memaklumkan apa-apa kepada emaknya itu tentang Shafiz.

Puan Fatimah merengus tipis. Dia tidak percaya dengan jawapan Shadrina. Kelmarin, Siah si jiran sebelah rumahnya ada menyampaikan satu berita mengejutkan kepadanya. Siah maklumkan, dia pernah ternampak Shadrina dihantar pulang oleh seorang lelaki dengan menaiki kereta besar di hadapan kampung. Bukan sekali dua, tetapi beberapa kali jugalah Siah terlihat Shadrina dihantar oleh lelaki itu. Dia bimbang fitnah mula melata.

"Siapa yang hantar kamu balik setiap petang, Rin? Dengan kereta besar lagi. Kalau ya pun dah ada kekasih, kenapa tak kenalkan dengan mak?" tanya Puan Fatimah, cuba menguji kejujuran anak gadisnya itu.

Senyum Shadrina terkaku selepas mendengar pertanyaan emaknya itu. Bukan dia mahu berahsia. Cuma masih belum ada kepastian. Dia tidak mahu menghebohkan hal yang belum pasti. Sudah berkali-kali dia menolak pelawaan Shafiz supaya tidak perlu menghantarnya pulang. Tetapi lelaki itu berkeras mahu menghantarnya.

"Bukan Rin tak mahu ajak dia ke rumah, mak. Tapi kalau Rin ajak dia ke rumah macam mana dengan hasil jualan kat warung Mak Jemah? Siapa nak bawa balik basikal dan bakas kuih dekat warung Mak Jemah tu? Lagipun, Rin dengan lelaki tu, kawan aje. Dia bos dekat tempat kerja Rin," Shadrina jujur menjawab. Tiada apa yang perlu dirahsiakan.

"Rin, kita ni hidup dekat kampung yang berukun tetangga. Walaupun kamu dan lelaki tu sekadar berkawan, tapi tanggapan orang kampung berbeza, Rin. Mak tak nak, orang kampung mengata anak mak ni, perempuan tak bermaruah. Kerja di bandar untuk memikat lelaki, bukan mahu mencari rezeki."

Shadrina terdiam. Senyum mekar yang berbunga tadi terus hilang. Bukan terkilan atau kecewa. Cuma dia tidak terfikir akan hal itu.

"Maafkan Rin mak, kalau hal tu buat jiran-jiran kita fikir yang bukan-bukan," pohon Shadrina, kesal sambil memandang emaknya dengan pandangan sayu. Dia bimbang akan membuat hati emaknya terasa. Setitik dia membuat hati emaknya terasa, nescaya dia sudah berada dalam golongan anak yang dehaka.

"Mak bukan apa Rin, cuma mak takut fitnah tu semakin teruk. Kita ni orang Islam, orang Melayu. Ada hukum hakam dan adat resam. Kalau betul dia sukakan kamu, suruh dia masuk meminang. Bukan dengan cara hantar kamu pulang sembunyi-sembunyi macam tu. Macam nak sorokkan sesuatu aje."

Puan Fatimah sekadar mencadangkan.

"Isy mak ni, ke situ pula. Rin dengan dia kawan aje, mak. Lagipun dia tu bos Rin, mana layak dengan Rin yang hanya pembantu pejabat biasa aje dekat syarikat dia tu," tepis Shadrina.

Puan Fatimah hanya mengeluh halus. Masih ada kesaratan jiwa di kalbunya.

Shadrina menyambung membentuk doh kepada bentuk gelang. Tapi, bila melihat keluh kesah emaknya membuatkan dia rasa bersalah.

"Baiklah mak, mulai esok Rin tak akan terima pelawaan bos Rin tu untuk hantar Rin balik lagi ya?" Shadrina memberi jaminan pasti. Dia tahu, hal itu yang membuat hati emaknya gelisah, rungsing dan tidak senang hati.

"Ya lah Rin, itu yang terbaik. Ingat, kalau kita berdua dengan lelaki yang bukan muhrim kita, pasti ada yang ketiga. Jadi, kalau kamu dan lelaki tu dah serius, cepat-cepatlah bernikah. Nikmati cinta selepas menikah itu lebih nikmat berbanding bercinta tanpa ikatan yang sah," cadang Puan Fatimah lagi.

Shadrina hanya tersenyum lalu menyambung kerjanya. Belum ada jawapam pasti untuk pertanyaan itu. Dia dan Shafiz hanya berkawan buat masa ini. Tidak lebih dari itu.

Perbualan terus tergendala. Masing-masing kembali sibuk menyediakan bahan mentah untuk jualan esok.

Kau kena sedar diri kau siapa, Rin, desis di hati Shadrina, pilu. Tanpa sedar dia telah mengharap sesuatu yang masih belum pasti. Ada ruangkah untuk dia berada di hati Shafiz?

# # # #

SEKEJAP-SEKEJAP telefon pintar di atas meja kopi di hadapannya akan berbunyi. Kemudian Shafiz di sebelahnya cepat-cepat mencapai telefon pintarnya itu lalu ditatap. Anak sulungnya itu akan tersenyum-senyum sendiri saat menatap telefon pintarnya. Sebelum ini, jarang anak lelakinya itu memegang telefon pintarnya jika di rumah. Tapi, sejak akhir-akhir ini telefon pintarnya itu sudah seperti kembar siamnya pula.

"Tet tot, tet tot handset kamu berbunyi sejak tadi. SMS dari Zenia ke?"

Akhirnya, terluah juga pertanyaan itu dari mulut Puan Zainab. Sepertinya anak sulungnya itu sedang dilamun cinta.

Shafiz tidak terus menjawab. Dia tersenyum-senyum sendiri selepas membaca mesej yang baru diterimanya. Dia menaip dulu apa yang perlu ditaip. Beberapa saat kemudian baru dia memandang emaknya di sebelah. Telefon pintar di tangan diletak di atas meja kopi.

"Bukanlah mak. Dah lebih lima tahun Shaf mengadap Zenia tu dekat pejabat. Dah naik bosan dah," soalan emaknya baru dijawab lalu dia memandang skrin televisyen.

Puan Zainab kehairanan.

"Dah tu, dengan siapa? Siap tersengih-sengih lagi. Tak pun duk ketawa sorang-sorang macam orang sewel. Kamu dah ada kekasih ek?" tebak Puan Zainab, sedikit risau.

Senyuman di bibir Shafiz semakin melebar. Nampaknya, gerak-gerinya telah diperhatikan oleh emaknya tanpa dia sedari. Dia sendiri tidak tahu, apakah dia sudah di lamun cinta atau tidak. Apa yang pasti setiap kali dia berbalas mesej dengan si dia pasti akan membuatkan hatinya berbunga riang.

"Emmm… belum sah jadi kekasih Shaf lagi. Mak doa-doalah Shaf dengan dia ni akan jadi pasangan kekasih dan berkahwin. Tercapai juga cita-cita mak nak bermenantu, kan?" pinta Shafiz setulus hati. Dia mengesotkan punggungnya menghampiri emaknya. Dengan manja dia meletakkan kepalanya di bahu Puan Zainab.

"Aik, bukan main gembira lagi kamu malam ni? Jadi, betullah kamu dah ada kekasih?"

Shafiz tersenyum sendiri. Semakin meleret!

"Eh, mak macam bercakap dengan kambing pula. Cakap dengan kambing pun, ada juga responsnya. Kamu dengar tak apa mak cakap ni?" tanya Puan Zainab bila tiada balasan dari anak terunanya itu.

Shafiz tersentak. Termengelamun pula.

"Apa mak?"

"Betul, kamu dah ada kekasih?" ulang Puan Zainab.

"Buat masa ni belum bergelar kekasih lagi. Masih dalam proses berkenalan. Mungkin dalam masa terdekat ni Shaf akan melamar dia jadi kekasih Shaf. Bila dah sah nanti, Shaf bawa dia jumpa mak," soalan emaknya baru dijawab dengan senyum gembira. Di dalam hatinya dia berharap emaknya bisa menerima insan yang mula dia cintainya itu seadanya.

"Jadi, perempuan tu bukan Zenia?"

"Zenia? Apa kaitan dengan dia, mak? Lagipun setiap bulan Zenia datang ke sini, kan? Shaf rasa mak pun dah naik muak nak hadap muka dia. Perempuan yang Shaf suka tu bukan Zenia. Tapi orang lain."

"Orang lain? Siapa? Dekat mana kamu kenal dia?" soal Puan Zainab, gelisah dan terkejut. Adakah rancangannya dengan Puan Hanifah bakalan berantakan?

Shafiz menegakan tubuhnya lalu dia berpusing menghadap Puan Zainab.

"Pembantu kerani dekat pejabat Shaf, mak. Baik budaknya. Sopan satun, jaga aurat dan baik hati," jujur Shafiz menjawab.

"Pembantu kerani?"

Shafiz beria-ia angguk.

"Pembantu kerani dekat pejabat kamu jadi kekasih kamu? Apa kata orang nanti bila kamu bercinta dengan pembantu kamu sendiri? Tak rasa ke, macam jatuh standard kamu dengan kawan-kawan kamu nanti? Pemilik syarikat pembinaan yang semakin gah dan berjaya, berkahwin dengan pembantunya sendiri? Kalau akauntan ke? Engineer ke? Boleh juga diterima akal."

Dari kata-kata Puan Zainab itu jelaslah dia tidak berkenan dengan pilihan Shafiz. Nampak gayanya, rancangannya bersama Puan Hanifah bakalan menemui jalan kegagalan!

Senyum bahagia dan ceria Shafiz pudar pelahan-lahan. Dia perasan ada nada tidak setuju di sebalik kata-kata emaknya tadi.

"Aik, tak kan mak nak jadi macam Nyonya Mansoor dalam filem Ibu Mertua-ku tu kut? Memilih menantu?"

Puan Zainab mengeluh halus.

"Bukanlah macam tu, Shaf. Kita ni hidup bermasyarakat. Apa yang kita buat, kita pilih dan kita ambil semua akan dinilai orang. Mak tak nak anak mak ni dipandang rendah oleh orang sekeliling,"

Shafiz tertawa kecil.

"Mak, Shaf cari seorang isteri. Bukan cari perempuan untuk dijadikan bahan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk pada orang. Isteri terbaik adalah isteri yang menjaga aib suaminya, taat pada suaminya. Baik budi pekerti dan akhlaknya. Menjaga aurat dan agamanya demi untuk suaminya dan anak-anak yang bakal dilahirkan. Dan Shaf dah jumpa wanita idaman Shaf, mak. Apa yang pasti wanita itu bukan Zenia. Zenia tu, Shaf anggap dia sebagai kawan sahaja selama ni. Tak lebih dari itu," jelas Shafiz panjang lebar.

Semakin kasar keluhan Puan Zainab.

"Apa mak nak jawab pada Mak Cik Pah kamu tu nanti? Setiap minggu dia datang sini bertanyakan kamu. Dah bertahun dia rancang nak jodohkan kamu dengan Zenia." Puan Zainab meluahkan keresahannya.

"Tu lah mak, kan dah berkali-kali Shaf cakap, Shaf anggap Zenia tu tak lebih dari seorang kawan rapat. Lagipun, ciri-ciri wanita idaman Shaf tak ada pada Zenia tu. Hati Shaf dah pada orang lain."

Puan Zainab terdiam, tidak tahu untuk berkata apa lagi. Dia bimbang andai dia berkata lebih, dia akan membuat hati anak sulungnya itu terkilan. Sekarang dia serba-salah dengan Puan Hanifah. Apalah reaksi kawan baiknya itu andai Shafiz tiba-tiba berkahwin dengan orang lain dan bukan dengan anaknya?

"Kalau Mak Cik Pah kamu datang bertanyakan pasal hal ni, mak nak jawab apa?"

"Mak," Shafiz mencapai tangan emaknya lalu jari-jemari emaknya digenggam dan diramas-ramas lembut.

"Kalau hal tu lah yang membuatkan mak risau, biar Shaf sendiri cakap dengan Zenia tentang hal ni ya? Mak tak perlu risau, okey? Shaf nak masuk tidur dulu. Mak jangan tidur lewat pula, duk layan slot Hindustan ni. Assalamualaikum mak," sambung Shafiz, cuba mengusir keresahan emaknya. Dahi emaknya dicium sekali sebelum meninggalkan ruang tamu itu bersama telefon pintarnya.

Puan Zainab hanya tersenyum hambar. Mungkin bagi anaknya, hal itu boleh selesai hanya dengan memberi penjelasan sebenar. Tapi apa yang berlaku di sebaliknya hanya dia yang tahu tahu. Dia bimbang Puan Hanifah tidak boleh terima semua ini. Apa perlu dia lakukan sekarang?


CREATORS' THOUGHTS
Cik_Bintang Cik_Bintang

Hazel Jay - penulis dari Malaysia.

next chapter
Load failed, please RETRY

Weekly Power Status

Rank -- Power Ranking
Stone -- Power stone

Batch unlock chapters

Table of Contents

Display Options

Background

Font

Size

Chapter comments

Write a review Reading Status: C12
Fail to post. Please try again
  • Writing Quality
  • Stability of Updates
  • Story Development
  • Character Design
  • World Background

The total score 0.0

Review posted successfully! Read more reviews
Vote with Power Stone
Rank NO.-- Power Ranking
Stone -- Power Stone
Report inappropriate content
error Tip

Report abuse

Paragraph comments

Login