Sebulan kemudian…
SHAFIZ memandang Shadrina di tempat duduk sebelah pemandu yang kelihatan gelisah. Dia tahu wanita itu mula memikirkan hal yang bukan-bukan mengenai dirinya. Tiada niat jahat di hatinya ketika ini selain ingin membuat kejutan kepada kekasih hatinya itu. Mungkin masih terlalu awal. Belum ada sebulan dia dan Shadrina sah menjadi pasangan kekasih. Kini dia mahu melangkah ke kemuncak hubungan mereka pula.
Padanya, tidak elok bercinta terlalu lama. Walaupun belum ada setahun dia mengenali Shadrina, tapi naluri hatinya berkata Shadrina adalah wanita yang paling sesuai untuk menjadi isterinya. Kelembutan dan kesopanan Shadrina telah memikat hatinya. Sikap penyayang Shadrina pada emaknya meyakinkan lagi Shadrina bakal menjadi seorang ibu yang baik untuk anak-anaknya kelak. Selian itu, Shadrina juga seorang gadis solehah. Terlalu menjaga solatnya. Itulah yang dia inginkan.
"Kenapa kita ke hotel ni?" tanya Shadrina sambil memandang papan tanda hotel mewah di hadapannya. Dia mula risau. Dia bimbang Shafiz akan melakukan perkara yang bukan-bukan terhadapnya.
Shafiz tidak terus menjawab. Dia memarkir keretanya terlabih dahulu.
"Mesti awak fikir hal yang negetif fasal saya sekarang ni, kan?"
Shadrina sudah tidak sedap hati. Wajah Shafiz dipandang dengan tanda tanya.
Shafiz tergelak kecil melihat wajah cuak dan cemas Shadrina itu.
"Awak, awak jangan risaulah. Saya bawa awak ke hotel ni bukan nak buat perkara tak senonoh. Saya cuma nak belanja awak makan malam saja sebelum saya hantar awak balik," jelas Shafiz sambil membuka pin tali pinggang keledarnya. Enjin kereta dimatikan.
Mendengarkan jawapan Shafiz itu barulah Shadrina bisa menarik nafas lega.
"Apa awak tunggu lagi? Turunlah," tanya Shafiz yang sudah membukakan pintu untuk Shadrina.
Shadrina membuka pin tali pinggang keledarnya lalu dia melangkah keluar dari kereta.
"Jom kita ke restoran tu," ajak Shafiz.
Mereka berdua mula melangkah menuju ke arah pintu masuk utama restoran di aras paling bawah hotel mewah itu.
Melangkah sahaja mereka ke dalam restoran mewah itu terus buat Shadrina terpesona melihat dekorasi hiasan dalamannya. Hiasan lampu kristal yang tergantung pada siling yang ada di setiap meja makan membuatkan restoran itu nampak begitu elegen sekali. Terasa dirinya yang hanya bertudung biasa dan berbaju kurung labuh nampak janggal berada di dalam restoran sebegitu.
"Kenapa ni?" tanya Shafiz, hairan bila melihat Shadrina tiba-tiba berhenti melangkah.
"Awak, kita nak makan dekat sini ke? Macam mahal aje tempat ni?"
Shafiz tersenyum. Dia suka sifat rendah diri Shadrina.
"Tak apa, bukannya selalu pun kita makan dekat sini. Lagipun, ada sesuatu saya nak beritahu awak nanti."
Itulah niat sebenar Shafiz membawa Shadrina ke restoran mewah ini. Ada sesuatu yang penting melibatkan hidup dan matinya ingin dibincangkan dengan Shadrina.
Segan pula Shadrina bila ada yang memandang ke arahnya. Mungkin disebabkan pakaiannya dia dipandang sebegitu.
Mereka berdua melangkah menuju ke sebuah meja yang berhampiran dengan dinding lut sinar. Dari meja itu mereka dapat melihat keadaan luar restoran. Shafiz menarik kerusi untuk Shadrina duduk. Kemudian dia duduk di hadapan Shadrina.
Pelayan restoran dipanggil. Dalam masa tidak sampai sepuluh saat, pelayan sudah berdiri di sisi meja mereka lalu menghulur buku menu kepada Shafiz dan Shadrina.
"Awak nak makan apa?" tanya Shafiz selepas hampir seminit dia melihat Shadrina membelek-belek buku menu di tangannya berulang kali.
Berkali-kali Shadrina melihat senarai menu makanan dan minuman yang ada. Semuanya dalam bahasa Inggeris. Bukan dia tidak faham membaca bahasa Inggeris. Cuma dia tidak dapat membayangkan bagaimana rupa makanan yang disenaraikan.
"Emmm... awak, saya ikut ajelah apa yang awak order," jawab Shadrina, sudah berputus asa untuk memilih menu makananya.
Shafiz tersenyum. Dia memahami keadaan Shadrina yang tidak pernah ke restoran mewah sebegini sebelum ini.
"Tak apa, saya orderkan untuk awak ya? Saya akan orderkan makanan yang paling special dekat sini."
Lega hati Shadrina selepas mendengar balasan dari Shafiz itu. Selesai Shafiz membuat pesanan, pelayan meminta diri ke dalam untuk menyediakan makanan dan minuman yang dipesan.
"Sorrylah awak, saya tak pernah makan dekat tempat mewah macam ni. Jadi, saya tak berapa tahu menu-menu yang ada dekat sini," pohon Shadrina, serba salah.
"Tak apa, saya memahami."
Mereka berdua bertukar senyuman dan diam seketika.
Shadrina menanti Shafiz memulakan bicara memandangkan lelaki itu yang mengajaknya ke restoran ini. Jadi, lebih baik dia memberi laluan kepada lelaki itu untuk berbicara terlebih dahulu.
Shafiz menarik nafas dalam lalu dihembus panjang. Tiba-tiba hatinya dilanda gelisah dan debar. Tapi, sebagai seorang lelaki tulen, dia perlu memulakannya. Dia sudah bersedia dari segala segi. Apa yang bakal diluahkan, sudah dimaklumkan terlebih dahulu kepada emaknya. Dan emaknya juga telah bersetuju. Dia berharap, jawapan dari Shadrina sama seperti jawapan yang dia harapkan.
Telapak tangan digosok-gosok berulang kali. Dia semakin gelisah. Hendak atau tidak dia perlu meluahkan juga. Poket seluarnya dikorek. Kotak baldu biru berbentuk empat segi sama dikeluarkan lalu diletak di hadapan Shadrina.
Shadrina yang sedari tadi terus sabar menanti, terkejut melihat kotak kecil yang diletakkan di hadapannya itu. Melihatkan kotak itu dia sudah tahu apa isinya dan sudah tahu niat sebenar Shafiz mengajaknya makan bersama di restoran mewah ini.
"Inilah tujuan saya ajak awak keluar makan malam dekat sini. Inilah perkara yang saya mahu bincangkan dengan awak. Mungkin saya tak seromantik hero-hero dalam drama dan filem. Mungkin saya tak seromantis seperti lelaki-lelaki lain. Tapi, niat saya ikhlas kerana ALLAH," Shafiz bermukadimah dalam gementar.
Shadrina sudah terpunduk malu. Dadanya terasa seperti mahu meletup!
"Siti Shadrina binti Sulaiman, sudikah awak menjadi yang halal bagi saya?"
Dengan sisa keberanian yang ada, Shafiz melafazkan kata-kata lamaran itu dengan rasa penuh pengharapan yang menggunung sambil membuka kotak baldu biru di tangannya.
Shadrina sudah menutup mulut dengan tangannya. Terharu dengan lamaran itu. Dia tidak menyangka dia akan dilamar seawal ini. Dalam usia 20 tahun dia bakal menjadi seorang isteri. Air mata yang cuba ditahan tadi akhirnya berlinangan juga membasahi pipi.
Apakah dia sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri? Bagaimana dengan penerimaan keluarga Shafiz terhadap dirinya, terutama emak lelaki itu? Apakah emaknya bisa menerima Shafiz? Tiga persoalan ini mula bermain di dalam kepalanya. Jawapannya pula terlalu sukar untuk diperolehi buat masa ini.
Shafiz terus menanti jawapan dari Shadrina dengan rasa debaran yang tidak tertahan. Adakah lamarannya diterima?
# # # #
MELANGKAH sahaja mereka ke dalam rumah papan berlantai atas itu, kelihatan di suatu sudut rumah, Pawang Jeman yang berbaju hitam dengan ikatan kain merah di kepalanya sedang duduk bersila. Kelihatan juga dulang berisi semangkuk air, beberapa biji limau nipis, beberapa bunjut kain kuning, lampu minyak tanah dan kemenyan yang terbakar tersusun di hadapan Pawang Jeman yang masih menundukkan wajahnya itu.
"Jemput duduk," Pawang Jeman mempelawa dengan suara paraunya.
Mereka berdua melangkah takut-takut menghampiri Pawang Jeman. Semakin hampir langkah mereka mendekati lelaki tua itu, semakin tebal asap kemenyan memenuhi ruang rumah. Teragak-agak mereka duduk bersempuh di hadapan Pawang Jeman.
"Emm... kami datang ni ada hajat," Puan Hanifah memulakan bicara.
"Aku tahu hajat kalian," jawab Pawang Jeman sambil merenung tajam ke arah wajah kedua-dua wanita di hadapannya ketika ini.
Zenia dan Puan Hanifah terkejut.
"Sebelum aku tunaikan hajat kau, aku beritahu dahulu apa yang bakal berlaku. Bila kau sudah bersetuju dengan perjanjian kita, akan ada khadam yang akan mengekori kau ke mana sahaja kau berada. Dan khadam ini perlu kau jaga sebaiknya. Kau akan dapat melihat sesuatu yang gahaib tanpa kau duga. Usah kau takut pada makhluk itu kerana itu adalah khadam kau. Dia akan tunduk dengan kau. Jika kau bersetuju dengan syarat ni, baru aku mulakan," maklum lelaki tua itu, serius sekali.
Zenia dan Puan Hanifah saling berpandangan. Keyakinan Zenia mula goyah selepas mendengar syarat lelaki tua di hadapannya itu.
"Siapa yang berhajat?" tanya Pawang Jeman lagi.
Puan Hanifah menghala jari telunjuknya ke arah anaknya. "Dia Tok."
"Mak..." rungut Zenia ketakutan.
"Inilah masanya kamu nak buat orang yang dah sakiti hati kamu menderita seluruh keluarganya," bisik Puan Hanifah, sengaja mahu membangkitkan rasa dendam Zenia kembali membara.
"Sa... saya Tok," jawab Zenia teragak-agak pada lelaki tua itu.
"Kamu dah bersedia?" tanya lelaki tua itu lagi inginkan kepastian. Hal yang bakal dia lakukan sebentar lagi bukan sesuatu yang ringan. Andai terlanggar pantang, boleh memakan diri!
Zenia menelan liur. Perlu ke aku teruskan? Hatinya tertanya dalam kegelisahan.
# # # #
SUDAH menjadi kebiasaan bagi Mak Timah, sementara menunggu waktu Isyak, dia akan membaca al-Quran seberapa banyak surah yang boleh. Hari ini, dia membaca Surah Az-Zumar. Dari surah Az-Zumar dapat diambil pelajaran bahawasanya Al-Quran adalah petunjuk yang paling sempurna bagi manusia. Setiap makhluk akan mati dan di akhirat akan dihisab tentang amalan-amalannya. Sekalipun manusia itu banyak dosanya, dilarang berputus-asa terhadap rahmat ALLAH.
Tidak sampai setengah jam, Mak Timah sudah selesai membaca surah ini. Sejak usai solat Magrib tadi dia tidak mendengar bunyi derap langkah pada lantai rumah papannya ini. Ia menandakan Shadrina masih belum pulang dari tempat kerjanya. Petang tadi, anak gadisnya itu ada menghubunginya dan memberitahu akan pulang sedikit lewat malam ini.
Al-Quran di atas rehal ditutup perlahan. Dia mengangkat kitab suci itu lalu dicium tiga kali sebelum mendakapnya di dada. Dengan susah payah dan kudrat tuanya yang masih bersisa, dia bangkit berdiri. Rehal dicapai lalu dilipat dua. Al-quran dan rehal diletakkan di atas alamri lama di sebelahnya. Kedengaran bunyi tulang pinggangnya berlaga saat dia menegakkan tubuh. Rasa nyilu dan sengalnya hanya dia sahaja yang tahu betapa perit bisanya.
Mak Timah melangkah menuju ke ruang tamu. Salah satu tingkap kayu rumahnya dibuka separuh lalu dia mengintai ke luar rumah. Melihat jikalau Shadrina sudah pulang. Namun, hanya keluhan hampa yang dihembus bila kelibat Shadrina masih tidak kelihatan.
Dia kembali menuju ke ruang solat tidak jauh dari ruang tamu itu. Semasa dia berpaling ke dalam rumah, tiba-tiba wajah disapa angin lembut. Mendadak langkahnya terhenti. Dia merasakan seperti ada sesuatu di sekitarnya ketika ini.
Langsir tipis yang berjurai ke bawah menutupi tingkap rumahnya beralun lembut. Menandakan ada kehadiran angin di situ.
Beberapa saat kemudian, tanpa dia sedari muncul kelibat hitam dari bawah ke atas di permukaan tingkap yang terbuka tadi. Kelibat itu berdiri betul-betul di luar tingkap kayu rumah itu yang semakin luas terbuka semakin luas.
Dengan perlahan kelibat hitam yang menyerupai susuk tubuh manusia itu bergerak masuk lalu mendekati Mak Timah yang masih berdiri terpaku di dalam rumah. Kelihatan wajah makhluk itu yang menghitam, mengerutu dan anak matanya yang merah menyala sedang merenung tajam ke arah Mak Timah. Angin kencang tiba-tiba bertiupan, seraya menyebarkan bau busuk yang teramat sangat.
"Allahuakhbar," keluh Mak Timah sambil menutup hidungnya. Busuk sungguh bau yang menyapa hidungnya, persis bau bangkai manusia!
Hujung telekung yang masih membaluti tubuhnya turut beralun dan melambai-lambai di tiup angin dari arah tingkap yang terbuka tadi. Hatinya semakin yakin ada yang sedang memerhatinya ketika ini. Dadanya mula berdetak laju. Rasa takut itu tetap ada bila diganggu begini. Dengan sisa keberanian yang ada dia menoleh ke arah tingkap yang terbuka tadi.
"Astaghfirlah…" Mak Timah beristifar panjang bila matanya mula melihat makhluk misteri itu sedang berdiri terapung di luar tingkap rumahnya. Ini kali pertama dia dinampakkan dengan makhluk sebegitu! Perlahan-lahan dia melangkah ke belakang dalam keadaan mengundur.
Makhluk yang dipercayai syaitan itu menyeringai dan menampakkan giginya yang membusuk dengan lelehan darah merah membuak keluar dari mulutnya.
"Allahuakhbar!" Mak Timah tidak sanggup melihat wajah ngeri itu. Sesungguhnya dia percaya akan kewujudan syaitan dan jin. Tapi, tidak sangka pula dia dinampakkan dengan makhluk buruk itu di kala usia emas begini. Bibirnya mula membaca ayat-ayat suci al-Quran yang terlintas di kepalanya.
Kakinya terus melangkah setapak demi setapak ke belakang. Tidak sanggup dia mahu melihat makhluk ngeri itu. Dia berpaling membelakangi tingkap yang masih terbuka. Alangkah terkejutnya bila dia berpaling ke belakang, makhluk itu sudah berada betul-betul di belakangnya.
"Allah!" pekik Mak Timah terkejut lalu terganjak tubuhnya ke belakang. Entah bagaimana, dia tersandung kakinya sendiri lalu tubuhnya hilang imbangan dan rebah ke lantai.
Nasib tidak menyebelahi Mak Timah. Dahinya terkena bucu almari lama di sisinya sebelum rebah ke lantai. Pandangannya terus gelap. Beberapa saat kemudian, darah merah mula mengalir pekat dari dahinya yang terkena bucu almari tadi. Terlentang Mak Timah sendirian tanpa ada sesiapa perasan.
Makhluk mengerikan tadi terus lenyap bagai asap yang ditiup angin. Angin yang kenyang turut reda dan keadaan kembali seperti sediakala.
Hazel Jay - penulis dari Malaysia.
— New chapter is coming soon — Write a review