Download App
95.23% KAU BIDADARI SYURGAKU / Chapter 20: BAB 19

Chapter 20: BAB 19

WALAUPUN hatinya sedikit terasa dek kata-kata emak Shafiz tadi, dia tetap cuba mengabaikan rasa itu. Dia tahu emak Shafiz sengaja menguatkan bicaranya supaya dia mendengar apa yang diperkatakan. Sungguhpun begitu, tangannya tetap laju menyediakan hidangan makan tengah hari mereka. Tidak sangka pula dia, baru kali pertama bertandang ke rumah ini dia sudah disuruh memasak.

Shafiyah yang sedang menghidang sayur campur masak tumis ke atas pinggan memandang kekasih abangnya yang sedang mangacau perlahan asam pedas ikan keli di dalam periuk dengan perasaan serba salah. Bimbang juga dia andai wanita itu terasa hati dengan kata-kata emaknya tadi.

"Kakak, Fiya harap akak tak ambil hati sangat dengan kata-kata emak Fiya tu. Mak tu memang mulut dia tak bertapis sikit. Lapisan ozon dah tipis, tu yang cakap main lepas aje," pohon Shafiyah, serba salah.

Shadrina tersenyum sambil melihat isi periuk.

"Tak apalah Fiya. Akak faham situasi mak Fiya. Dia nak yang terbaik untuk satu-satunya anak lelaki dia."

Shafiyah angguk dengan senyuman. Sedikit lega selepas mendengar jawapan Shadrina itu.

"Fiya, cuba rasa asam pedas ni, sedap tak? Akak risau terkurang rasa. Ya lah, manalah tahu mak Fiya tak suka pedas sangat," pinta Shadrina lalu mencapai sudu di sebelah dapur gas. Dia menyudu sedikit kuah asam pedasnya lalu disua kepada Shafiyah.

Shafiyah menikmati kuah asam pedas ikan keli masakan bakal kakak iparnya itu.

"Emmm... sedaplah kak. Cukup pedas, masam dan perasanya. Tapi, rasa hanyir ikan keli tu tak rasa langsung. Bukan ke, ikan air tawar ni biasanya hanyir dia kuat?" Jujur Shafiyah memberikan komennya.

Lega Shadrina selepas mendengar komen Shafiyah itu. Api dapur gas dimatikan.

"Memang hanyir. Tapi akak dah cuci dengan air asam jawa dan air perahan limau kasturi tadi. Selain tu, lendir-lendir dia kena cuci bersih dulu baru boleh hilangkan hanyir dia."

Shafiyah angguk. Baru dia tahu petua itu. "Mak tu entah mimpi apa dia agaknya tiba-tiba nak makan asam pedas ikan keli. Buang tabiat kut? Pandai juga akak masak ikan air tawar ni ya?"

Shadrina hanya tersenyum.

"Akak ni orang kampung, Fiya. Semua jenis ikan akak pernah masak."

"Untung abang dapat akak. Fiya ni entah bila nak pandai masak. Masak nasi pun kadang-kala lembik. Inikan pula nak masak asam pedas, jadi magi karilah gamaknya nanti."

Tergelak-gelak Shafiyah tika menuturkan kata-kata itu. Shadrina turut tertawa.

Selesai menghidang masakan asam pedas ikan kelinya ke dalam mangkuk, dia melangkah ke meja makan. Sudah tersedia nasi, potongan buah-buahan dan sejag air sirap ais di atas meja. Selain asam pedas ikan keli dan sayur campur masak tumis. Dia turut menyediakan kerabu pucuk paku.

"Mak, abang, marilah makan. Makanan tengah hari dah siap!" Pekik Shafiyah sambil menuang air sirap ke dalam gelas.

Shafiz dan Puan Zainab menoleh sekilas ke arah meja makan sebelum mereka melangkah beriringan menuju ke ruang makan. Sampai sahaja, Puan Zainab memandang hidangan yang ada di atas meja. Nampaknya, wanita idaman Shafiz itu bukan calang-calang wanita.

"Hai mak, terpaku tengok semua masakan Kak Rin sampai tak nak duduk?" perli Shafiyah sambil meletak gelas yang berisi air sirap aos di hadapan pinggan abangnya.

Shafiz tersenyum melihat gelagat emaknya. Sekarang baru emaknya tahu yang bakal isterinya itu bukan jenis wanita pemalas dan serba serbi tidak tahu.

"Mak tahulah," regus Puan Zainab, terasa hati dengan perlian anak gadisnya itu. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi.

Shadrina mula dilanda resah dan berdebar. Dia bimbang semua masakannya tidak menepati citarasa Puan Zainab.

Puan Zainab mula menyudu kuah asam pedas ikan keli ke atas pingganya. Seekor ikan keli turut disudu.

"Ehem."

Kedengaran Shafiz berdeham. Puan Zainab terkaku bila semua yang ada di meja itu sedang menadah tangan untuk membaca doa makan sambil memandangnya. Dia perasan Shafiyah sudah tersengih janggal melihat kelakuan gelojohnya yang tidak sabar-sabar mahu merasa masakan Shadrina. Dengan rasa malu, dia menadah tangan lalu Shafiz terus membaca doa makan.

"Amboi mak, tak sabar menyabar nampak?" perli Shafiz turut malu pada Shadrina atas kelakuan emaknya itutadi selepas usai membaca doa makan.

Tiada balasan dari Puan Zainab. Kuah asam pedas ikan keli masakan Shadrina dicicip sedikit.

"Macam mana mak, sedap asam pedas ikan keli kegemaran mak ni?" tanya Shafiyah sambil tersengih.

Shadrina memandang Shafiz. Buat seketika mereka saling berpandangan. Resah dan berdebar hatinya ketika ini menanti jawapan Puan Zainab. Sedapkah makanannya di tekak Puan Zainab?

# # # #

"HAI mak, jauh termenung?" tanya Shafiyah sambil meletak sepinggan biskut coklat berkrim dan segelas milo panas di atas meja kopi di ruang tamu itu.

Puan Zainab yang jauh termenung memikirkan tentang anak sulungnya, tersentak kecil. Dia memandang wajah anak gadisnya itu sekilas sebelum kembali memandang skrin televisyen.

Shafiyah menghirup minumannya sedikit.

"Ni mesti mak tengah risau fikirkan tentang abang, kan? Apa masalahnya lagi ni mak? Sebelum ni mak yang beria-ia nak abang tu kahwin. Sekarang, bila abang dah meluahkan hasrat hatinya nak kahwin dengan Kak Rin, mak macam tak suka pula. Apa hal?" tanya Shafiyah, hairanan. Biskut di tangannya mula dikunyah.

Puan Zainab mengeluh halus.

"Apa lagi yang mak tak berkenan dengan Kak Rin tu? Nak kata dia tak pandai masak, berkali-kali mak tambah nasi masa makan asam pedas ikan keli masakan Kak Rin tengah hari tadi. Nak kata tak pandai buat kerja rumah, lepas selesai makan tengah hari tadi, dia yang kemas dapur. Cermat dan bersih aje dia masak mak. Kalau Fiya yang masak, garenti macam tongkang pecah dapur tu." Sambung Shafiyah lagi bila melihat tiada tanda-tanda emaknya ingin bersuara.

Puan Zainab menjeling menyampah melihat anak gadisnya itu.

"Alah, tu mula-mula aje. Entah-entah lepas dia kahwin dengan abang kamu nanti, dia terus naik kepala. Berlagak 'mem besar' dekat rumah ni. Silap-silap dia dera mak, macam mana?"

Tergelak Shafiyah mendengar kata-kata emaknya itu. Jauh sungguh fikiran emaknya.

"Apalah mak ni, fikir sejauh tu. Fiya dengan Kak Rin, Fiya lagi kasar tau? Dia tu terlalu lembut mak. Mustahil dia nak dera mak. Silap-silap mak yang dera dia nanti."

"Motif, mak dera dia?"

"Ya lah, mak kan tak suka dia. Nanti, mulalah buat rancangan nak pisahkan abang dengan Kak Rin. Telenovela sangat mak," ujar Shafiyah, masih tergelak-gelak. Biskut di tangannya dikunyah habis.

"Wah, mulut kamu. Suka hati kamu aje mengata mak macam tu. Mak cuma risau aje dengan abang kamu tu. Takut orang mengata dia," Puan Zainab meluahkan rasa resahnya.

"Mengata abang?"

"Y alah, kamu tak nampak ke, fesyen perempuan kampung tu? Tudung entah zaman bila punya fesyen dia sarung dekat kepala. Lepas tu, baju kurung dari kain kapas corak bunga-bunga kecil. Mana 'ini' fesyen macam tu sekarang ni? Sekarang ni orang pakai tudung Fadeena yang sarat dengan batu-batan dan berlapis-lapis tu. Baju dari kain Prada, Gucci. Baru grand."

Shafiyah tertawa lagi. Ternyata emaknya itu tahu juga tentang edaran fesyen masa kini.

"Amboi..." panjang Shafiyah menyebut perkataan itu. "Mak dah macam pakar fesyen pula Fiya tengok. Mak, setakat gaya, any time boleh diubahlah mak. Lagipun, gaya Kak Rin tu okey apa? Simple dan tak berlebihan. Mak ingat cantik sangat ke perempuan yang mekap tebal-tebal, tudung berlilit kat kepala tapi baju sendat sana, sendat sini? Zaman sekarang ni dah susah nak jumpa perempuan macam Kak Rin tu tau? Pakai baju labuh dan tudung ringkas," sambungnya lagi.

"Haruslah dia kena pandai bergaya. Abang kamu tu pengurus besar Shaf Engineering Sdn. Bhd. kamu tahu tak? Bukan tauke jual ikan atau jual sayur. Kreabiliti dia kenalah jaga. Kalau dia pergi anual dinner yang melibatkan Shaf Engineering Sdn. Bhd. dengan perempuan tu, kamu ingat ada ke kontraktor besar nak bekerjasama dengan abang kamu nanti? Tak ada job abang kamu nanti tau?" Puan Zainab masih mahu menangkan pendapatnya.

"Mak, rezeki tu di tangan ALLAH, bukan dekat tudung, mekap atau baju Prada mak tu."

Terdiam terus Puan Zainab selepas mendengar kata-kata anaknya itu. Tersentap hati!

"Eh, bukan main membela kamu pada perempuan tu? Kamu dah kenapa? Dah termakan ilmu hitam dia?" Ada sahaja yang Puan Zainab tidak puas hati.

Shafiyah mancapai lagi sebiji biskut coklat berkrim di atas meja.

"Mak, kalau Fiya termakan ilmu hitam Kak Rin, ilmu tu tak akan menjadi pada Fiya tau?"

"Kenapa pula?"

"Mak lagi banyak melantak masakan dia hari ni, kan?"

Puan Zainab terkedu, terkejut.

Diam seketika.

"Ni mesti kes mak nak Kak Nia jadi menantu mak, kan?" tebak Shafiyah, yakin sekali.

"Ya lah," jujur Puan Zainab menjawab. "Nia tu cantik, bergaya, berkerjaya dan bijak. Ada jawatan tinggi. Tak adalah jadi pembantu pejabat cabuk aje. Nia tu baru layak dan sepadan dengan abang kamu tu."

"Mak..." Shafiyah meletak sisa biskutnya yang tidak habis dimakan di atas pinggan. "Yang nak kahwin tu abang, bukannya mak. Abang lebih tahu apa yang dia nak pada seorang wanita itu untuk dijadikan isteri dia. Kahwin paksa ni dah tak 'ini' lah mak."

Shafiyah memulang paku buah keras. Minumannya dihirup sedikit.

Puan Zainab mengetap gigi. Sakit hatinya bila bercakap dengan anaknya itu. Asyik diperli sahaja sejak tadi.

"Malaslah mak nak cakap dengan kamu. Tak habis-habis nak membela perempuan kampung tu aje."

"Apa yang Fiya cakap ni betul, mak. Kalau nak dibandingkan Kak Rin dengan Kak Nia. Jauh panggang dari api. Bagai bumi dengan planet pluto, gitu. Kalau pandai bergaya dan melawa, tapi tak pandai masak dan buat kerja rumah, tak guna jugak mak."

"Mana kamu tahu dia tak pandai buat kerja rumah dan memasak? Sebelum ni, hampir setiap minggu mak dia hantar makanan untuk kita. Katanya, Nia yang masak untuk abang kamu rasa. Kamu mana tahu, kamu sibuk study."

Puan Zainab membela Zenia. Jika boleh dia tetap mahu Zenia menjadi menantunya, bukannya Shadrina!

"Mak percaya ke, semua makanan tu Kak Nia yang masak? Mak pernah nampak Kak Nia masak ke, sebelum ni? Mak lupa apa yang berlaku tiga tahun lepas? Berderai pinggan seramik Accopal kesayangan mak tu bila Kak Nia kena cuci pinggan lepas makan malam. Lupa dah ke?"

Shafiyah mengungkit tragedi lama bagi menyokong kata-katanya tadi. Masih lagi dia ingat tragedi pinggan mangkuk kesayangan emaknya pecah berderai ketika Zania mencuci pinggan selepas selesai makan makan malam bersama keluarganya tiga tahun yang lalu.

Puan Zainab terdiam. Kenangan itu kembali berputar di kepalanya.

"Mak fikirlah masak-masak, mak. Yang nak kahwin bukannya mak. Mak nak abang tu tak bahagia disebabkan kehendak mak ke? Ingat mak, konsep kahwin paksa dah tak 'in' sekarang." Sempat lagi Shafiyah memperli emaknya.

"Okeylah, Fiya masuk bilik dulu," ujar Shafiyah sambil bangkit berdiri. Pinggan dan cawannya dicapai.

"Weh, kamu ingat mak ni budak kecik ke, nak cakap macam tu?"

Shafiyah hanya tergelak-gelak sambil melangkah ke dapur.

Puan Zainab merengus benci lalu kembali memandang skrin televisyen. Kata-kata Shafiyah tadi difikirkan semula.

Betul juga kata anak aku tu. Kalau aku paksa Shaf kahwin dengan Nia tapi Shaf tak bahagia, tak guna juga, kan? Detik hatinya.

Puan Zainab mengeluh. Dia di dalam dilema ketika ini. Terjerat dengan kebahagiaan anaknya dan janjinya dengan Puan Hanifah. Apa perlu dia buat sekarang?


CREATORS' THOUGHTS
Cik_Bintang Cik_Bintang

Hazel Jay - penulis dari Malaysia.

Load failed, please RETRY

Weekly Power Status

Rank -- Power Ranking
Stone -- Power stone

Batch unlock chapters

Table of Contents

Display Options

Background

Font

Size

Chapter comments

Write a review Reading Status: C20
Fail to post. Please try again
  • Writing Quality
  • Stability of Updates
  • Story Development
  • Character Design
  • World Background

The total score 0.0

Review posted successfully! Read more reviews
Vote with Power Stone
Rank NO.-- Power Ranking
Stone -- Power Stone
Report inappropriate content
error Tip

Report abuse

Paragraph comments

Login