Bahagian I
Tidak seperti sekolah-sekolah yang lain, Sekolah Tinggi Harima sangat mementingkan akademik, justeru akan mengutamakan peperiksaan sebelum bermulanya festival sekolah. Selepas dua minggu musim peperiksaan, para pelajar diberikan dua minggu untuk menjayakan hari festival di bawah kelolaan majlis pelajar. Walaupun masa agak suntuk, tetapi festival selama tiga hari itu tidak pernah gagal. Saat-saat inilah yang dinantikan oleh para pelajar, sebagai salah satu memori indah mereka sebagai pelajar di sekolah tinggi ini. Keceriaan, kegembiraan dan kebahagiaan, menjadi rencah menggambarkan betapa meriahnya acara tahunan sekolah ini. Bagaimanakah pula kisahnya apabila kita merujuk kepada Kurosaki Yami, protagonis kita ini?
Tahun lepas, ketika Yami berada pada tahun satu, dia tidak menghadiri sekolah sepanjang berlangsungnya festival ini dengan alasan sakit perut yang kronik. Waktu itu, kelab bola sepak diketuai oleh Yasuri, senior tahun 3 yang mencemburui kebolehan Yami, telah mencadangkan persembahan skil dan teknik bola sepak di hadapan pengunjung. Yami enggan menyertainya lalu membuat alasan tersebut. Sanosuke yang rapat dengan Yami, cuba memujuknya untuk membantu kelab menjayakan aktiviti ketika festival itu, namun permintaan kawan baiknya itu tetap ditolaknya. Yami tahu, tujuan senior-seniornya hanyalah mahu berlagak dan menunjukkan kehebatan mereka bagi memikat gadis, lantaran Yami tidak ragu-ragu membuat pilihan untuk tidak menyertainya. Senior-senior kelab tersebut tidak marah akan keputusannya dan tindakannya itu, sebaliknya gembira kerana 'musuh' mereka itu tidak akan mengganggu objektif miang mereka itu. Malang buat Sanosuke, kerana dia hanya menjadi pelayan tetamu dan juruacara sahaja, justeru tidak berpeluang untuk menunjukkan bakatnya itu. Sanosuke juga mempunyai agendanya, memikat gadis, kerana kerisauannya tidak memilik kekasih sungguh pun bergelar pelajar sekolah tinggi. Lantaran, pada tahun ini, Sanosuke cuba mencadangkan kafe hos (pelayan lelaki) tetapi ditolak mentah-mentah oleh Yami. Dalam senyap-senyap, Sanosuke telah menghantar borang permohonan untuk tujuan itu, sebaliknya gagal. Ahli-ahli pasukan bola sepak berbelah-bahagi untuk menyokong Sanosuke, terutamanya kebanyakan antara mereka sudah mempunyai kekasih. Hanya penjaga gol, Shinji sahaja yang menyokong Sanosuke, namun Yami ada mendengar khabar angin bahawa Shinji ialah 'gay'. Yami selalu terlihat Shinji memeluk Sanosuke untuk memberikan sokongan moral, tetapi senyuman Shinji agak lain daripada kebiasaan.
Yami memilih untuk mengadakan aktiviti menyauk ikan emas kerana Aya. Gadis itu tidak pernah menyertai mana-mana festival atau keraian kerana status mahou shoujonya itu. Suatu hari, ketika mereka sedang menonton rancangan televisyen sewaktu mereka sedang makan malam, satu segmen berita mengenai festival kuil yang dianjurkan secara tahunan telah mendapat liputan oleh pihak media. Aya yang tidak pernah menyaksikan kemeriahan festival tersebut, menontonnya dengan penuh curiga. Salah satu perkara yang menarik perhatiannya ialah apabila melihat beberapa orang kanak-kanak cuba menangkap ikan dengan menggunakan skop kertas.
"Mengapakah kanak-kanak itu cuba menangkap ikan emas itu? Tuan kedai tidak marah?" Soal Aya, yang tertarik dengan aktiviti tersebut.
"Ha? Sudah tentulah mereka mahu menangkapnya kerana mereka membayar untuk itu!" Eri menjawab soalan Aya, seakan menyindirnya.
"Orang bodoh saja yang bayar untuk menangkap ikan menggunakan skop itu," Aria yang mendengar kata-kata Eri, memberikan pendapatnya.
"Yarem pasti berminat..." Sampuk Mai.
"Mengapa nama aku disebut? Kamu mahu kata yang aku ini bodoh? Dan yang paling penting, nama aku bukan Yarem, tetapi Yami!" Yami kurang senang apabila nama panggilannya disebut oleh Mai.
"Oh, awak perasan? Marahkan saya..." Mai bernada monoton.
"Aya, aktiviti menyauk ikan memang popular di festival kuil. Mungkin tahun baharu nanti, saya akan bawa awak menyertainya. Tentu seronok..." Ujar Saaya, seperti biasa mengekalkan senyuman lembut dan sopan, tidak seperti dua orang gadis tertentu.
"Yami, awak berfikir sesuatu yang kurang sopan, ya?" Aria menjeling ke arah Yami, menyebabkan Yami mengalihkan pandangannya.
"Itu hanya dalam fikiran kamu sahaja...." Kata Yami. Naluri perempuan sangat tajam. Anda telah diamaran!
"Hahaha... Kalaulah ada peluang, saya pasti mahu mencubanya!" Aya beriak ceria, seperti kanak-kanak dijanjikan sesuatu yang istimewa.
"Aktiviti itu memang sesuai dengan kebijaksanaan master!" Mai memuji Aya, setelah melihatkan senyuman manisnya.
"Siapakah yang mengatakan aktiviti itu bodoh, huh?" Marah Aria.
""KAMUlah orangnya!"" Aku dan Eri serentak menjawab.
Perbualan itu berlaku beberapa hari sebelum peperiksaan, dan Yami masih tidak melupakan kata-kata Aya tersebut. Dia menggunakan kuasa veto sebagai presiden kelab merangkap kapten pasukan, untuk mengadakan aktiviti tersebut. Yami tidak mempunyai kuasa untuk memenuhi semua impian Aya, kecuali hanyalah permintaan kecil itu. Sebab itulah Yami bersikap keras kepala dan kuku besi, menolak rayuan air mata Sanosuke untuk menyempurnakan hajat miangnya itu.
Keadaan sebaliknya di kelab gimnastik sekolah, presiden kelab, Oda Sayuri menghadapi krisis apabila Amamiya Aya, mencadangkan kafe haiwan, yang agak popular dalam kalangan gadis muda. Malang sekali, Oda Sayuri mempunyai alergi bulu haiwan, menjadi suatu masalah besar perlu dihadapinya. Dia tidak mempunyai kuasa mutlak seperti Yami, sebaliknya terpaksa menerima undian majoriti daripada ahli-ahli kelab gimnastik. Tidak ramai yang tahu kelemahannya itu, kecuali beberapa orang teman rapatnya dan ahli-ahli keluarga. Disebabkan keputusan telah dicapai, Sayuri meletakkan syarat bahawa segala urusan mengenai kafe haiwan ini mestilah di bawah tanggungjawab dan pengawasan Aya. Setelah Aya dan semua ahli bersetuju dengan syarat yang diberikan, Sayuri pun mengarahkan Aya untuk menghantar borang permohonan kepada badan persatuan pelajar bagi dipertimbangkan serta diluluskan. Aya yang teruja dengan festival sekolah pertamanya itu, dengan pantas menghantar borang tersebut, dan menyiapkan proposal aktiviti itu dalam masa yang cepat! Oda Sayuri terkejut melihat perancangan Aya, memilih untuk tidak memberikan sebarang kritikan kerana keefisienan kerja Aya tersebut. Harapan Sayuri, sekurang-kurangnya, dia boleh memarahi dan mengkritik Aya seperti ibu tiri andai kata menemukan kelemahan gadis itu!
Kelab memasak pula yang diketuai oleh presidennya, Shiori sedang giat melatih pewaris dan penggantinya, Saaya untuk menghadapi pertandingan memasak. Kelab tersebut akan menganjurkan cabaran memasak, seakan-akan rancangan 'Iron Chef' yang popular di kaca televisyen. Saaya, sebagai chef utama, bakal berhadapan dengan pencabar-pencabar yang terdiri daripada para pelajar yang mempunyai kemahiran dalam memasak. Shiori begitu mengagumi Saaya, yang merupakan anak kepada pengusaha ramen terkenal di daerah Harima. Tamano Ramen, gerai makanan tradisional ramen, merupakan destinasi peminat mi berkuah yang fanatik dan telah mendapat label 'mesti dikunjungi' oleh khalayak umum. Gerai kecil tersebut pernah menghiasi ruang-ruang majalah gormet, segmen-segmen makanan di televisyen dan mendapat liputan khas daripada wartawan serta pengkritik makanan seluruh dunia. Sudah pasti, Tamano Nobori, merupakan nama yang tidak asing lagi, dan anak perempuannya Saaya, dikatakan cef harapan untuk masa hadapan gerai ramen itu.
Ahli baharu kelab masakan, Matsushima Eri yang merupakan teman rapat Saaya, juga berlatih dengan gigih agar dapat menjadi pembantu Saaya dalam pertandingan tersebut. Bilangan ahli kelab masakan yang kurang menyebabkan Eri yang tidak biasa dalam melakukan kerja rumah kerana status 'ojou-sama'nya, terpaksa dikerah menyertai aktiviti ini. Dia telah diajar untuk menyediakan bahan-bahan rencah, menyiang ikan dan ayam serta menghidangkan makanan yang sudah siap dimasak. Eri tidak dibenarkan memasak kerana masih belum mendapat lampu hijau daripada tok gurunya, Saaya. Namun, Eri tetap diberikan kepercayaan tinggi untuk menguruskan bahan-bahan mentah dan kering untuk memudahkan Saaya memasak hidangan untuk pertandingan itu. Biarpun anak orang kaya, dia tidak kekok mengendalikan bahan-bahan masakan, malah cermat dan teliti, tidak seperti gadis kaya sebayanya.
Kelab dan persatuan bukan sahaja antara organisasi yang terlibat dalam festival sekolah ini, malahan juga kelas-kelas mengikut tahun. Kelas 2-A juga tidak terkecuali dalam hal ini. Yami menjeling tajam kepada Sanosuke yang sedang bahagia kini kerana sudah berjaya membalas dendam kepadanya. Nama Yami tertulis pada papan hitam sebagai watak utama dalam persembahan lakonan 'mime' yang akan diadakan oleh kelas tersebut. Dalam tiga hari persembahan, Yami telah dinamakan sebagai pelakon utama bagi hari pertama. Dalang yang bertanggungjawab dalam kejadian itu tidak lain dan tidak bukan ialah Sanosuke. Sebagai balasan, nama Sanosuke juga tercatat sebagai pelakon utama hari ke-3, hasil cadangan Yami yang kemarahan itu. Penulis skrip merangkap pengarah drama itu, Sakagami Kyou yang juga ketua kelas 2-A, mengagihkan tugas kepada semua rakan sekelas untuk menjayakan program ini. Saaya, yang juga mahir menjahit ditugaskan membuat kostum bersama beberapa orang pelajar yang lain. Eri turut menjadi pelakon pembantu, mencadangkan dirinya sendiri untuk persembahan hari pertama – sudah tentulah demi nii-san tersayangnya.
Pementasan mini drama bertajuk "One Heart" yang dipersembahkan oleh kelas 2-A mengisahkan seorang lelaki yang enggan mempercayai segala-gala kebaikan yang datang kepadanya. Dalam persembahan itu, watak utama akan mengayakan perasaannya tanpa berdialog dan setiap aksi lakonnya dibantu oleh suara narator, Ueda Kasumi, rakan sekelas Yami yang sedang mengikuti latihan sekolah alih bahasa secara sambilan di sebuah institut khas. Hanya beberapa pelajar sahaja yang terlibat dalam persembahan yang penuh abstraks itu sebagai pendukung watak, justeru para pelakon yang terlibat akan bertukar ganti untuk tiga hari itu bagi memastikan semua pelajar terlibat. Yang mengejutkan para pelajar setelah membaca skrip itu, watak itu begitu sesuai dengan Yami, tidak – seolah-olah watak itu ialah dia sendiri. Yami seperti biasa, tidak menyedari hakikat tersebut.
Setelah pemilihan pelakon dijalankan, mereka mengadakan latihan selama beberapa hari sebelum hari dinanti-nantikan tiba. Prop dan kostum semuanya buatan tangan dan dihasilkan oleh para pelajar. Saaya mengukur badan Yami untuk membuat kostumnya, menyebabkan jelingan cemburu datang daripada Aya dan Eri, yang masing-masing membantu penyediaan prop persembahan. Biarpun kelihatan agak marah, tetapi Yami tidak pernah ponteng atau lari daripada latihan. Dia memberikan kerjasama agar kelancaran majlis dapat dipastikan.
Di bilik persatuan pelajar, suara Kanade bergema kuat "APA?!!" setelah membaca proposal kelas Yami, dan terus sahaja mengadakan lawatan mengejut bagi memastikan kesahihan bahawa pelakon utama.... bagi memastikan segala kerja dilakukan oleh kelas tersebut sempurna. Kedatangan Kanade disambut oleh Kyou, ketua kelas Yami. Mereka terus sahaja bersalaman sambil tersenyum dengan penuh bermakna.