Di pekan Wushan. Di dalam manor Baruch.
Hogg baru sahaja selesai makan tengah hari tidak lama lalu, kini sedang duduk santai di atas sofa sambil berehat membaca buku.
Dua kelibat tiba-tiba masuk ke dalam manor. Kelibat itu adalah Linley dan Hillman yang bergegas pulang dari kota Fenlai. Pada ketika itu, wajah kedua-duanya kelihatan sangat teruja. Linley mula menjerit dari jauh. "Ayah, saya sudah pulang!"
"Tuan Hogg." Hillman juga menyapa dengan teruja.
Hogg mengangkat kepalanya. Apabila melihat keterujaan di wajah Linley dan Hillman, dia dapat menjangka berita baik. Dia segera berdiri. Dia memandang Linley dan Hillman sambil bertanya dengan suara menggeletar, "Bagaimana keputusan ujian kecenderungan ahli sihir?"
Sudah terlalu lama puak Baruch berada di bawah. Puak purba ini memerlukan seorang ternama yang kuat untuk mengembalikan kegemilangannya!
"Tuan Hogg, Institut Ernst! Institut Ernst! Linley diterima masuk ke Institut Ernst!" Hillman berkata dengan bersemangat.
Hogg membatu. Pada waktu itu, Hogg merasakan seolah-olah oksigen tidak sampai ke otak kerana segalanya terasa kosong buat seketika.
"Ernst… Tuan?Tuan?" Hillman memanggil Hogg dua kali.
Hogg perlahan-lahan tersedar semula dan segera berjalan ke arah Linley dan Hillman. Dengan nada tidak percaya, Hogg berkata, "Ernst? Kamu kata Institut Ernst?" Mata Hogg tersembul keluar.
"Ayah, ini surat penerimaan dari Institut Ernst." Linley terus menyerahkan sampul surat penerimaan kepada bapanya. Hogg tergamam seketika, kemudian mengambil sampul merah itu dan mengeluarkan surat dari dalamnya. Dia membaca surat itu perlahan-lahan.
Beberapa nama ditulis dengan dakwat merah terang jelas kelihatan –"Institut Ernst", "Linley".
"Haha, hahahahaha! Nenek moyang puak Baruch, masih ada harapan buat puak kita!" Hogg tiba-tiba mendongak ke langit dan ketawa terbahak-bahak sehingga seluruh badannya terhenjut-henjut dan air mata mengalir keluar. "Masih ada harapan buat puak Baruch!"
Ketawanya yang lepas dan air matanya yang mengalir itu membuat Linley tergamam.
"Ayah…" Linley berkata dengan suara yang lembut, bimbang mengganggu bapanya.
Linley tidak pernah melihat bapanya bersikap sebegini dan air mata bapanya itu menggetarkan hatinya.
Penjaga rumah Hiri juga datang ke arah mereka. Dia juga terkejut dengan reaksi Hogg. Hiri tidak tahu apa yang telah berlaku.
Hogg menarik nafas panjang kemudian melihat Linley, matanya dipenuhi dengan keterujaan. "Bagus, bagus."
"Hillman, Pak Cik Hiri!" Hogg memandang mereka berdua. Malam ini, saya akan mengadakan jamuan. Cepat, uruskan semuanya! Malam ini, saya sangat gembira, sangat gembira. Mempunyai anak seperti Linley, walaupun saya mati, saya akan berdepan dengan nenek moyang Baruch dengan bangga."
"Baik, Tuan Hogg," serentak kedua-duanya menjawab.
"Decit decit!" Tiba-tiba, Tikus Bebayang kecil, Bebe, keluar dari baju Linley. Dia melompat ke atas bahu Linley dan memandang Hogg, mata kecilnya dipenuhi amarah.
Apabila mengesan emosi Tikus Bebayang kecil secara mental, Linley tidak tahu sama ada mahu ketawa ataupun menangis.
Rupa-rupanya, ia tertidur di dada Linley tetapi ketawa Hogg yang kuat telah membuatnya terjaga. Bayi Tikus Bebayang memang mengabiskan banyak masa dengan tidur dan tidak suka apabila sesuatu membuatnya terjaga. Pada ketika ini, dia menjadi berang.
"Tikus Bebayang. Makhluk ajaib, Tikus Bebayang?" Apabila melihat Tikus Bebayang kecil itu bersama Linley, wajah Hogg berubah secara dramatik.
"Ayah." Linley bimbang bapanya akan memukulnya, dia segera berkata, "Saya dan Tikus Bebayang kecil ini telah membuat pakatan pengikat jiwa."
Hogg terkejut besar. Dia termangu-mangu seketika seperti orang bodoh. "Kamu, kamu telah menundukkan dan menjinakkan makhluk ajaib Tikus Bebayang ini?"
Terdapat dua cara untuk menjinakkan makhluk ajaib 1) Menundukkannya secara paksa, dan 2) Menggunakan formasi ajaib pengikat jiwa.
Hogg tahu kekuatan fizikal Linley amat lemah. Dan Tikus Bebayang yang paling lemah memiliki kuasa tahap ketiga. Tambahan pula, Linley tidak mungkin dapat menyediakan formasi ajaib pengikat jiwa, jadi perkara ini mustahil berlaku.
"Benar, Ayah, saya telah menjinakkannya." Linley berkata dengan nada yang serius.
Hogg merasakan anaknya itu berubah secara mendadak, berubah sepenuhnya!
"Tuan Hogg, Linley benar-benar telah menjinakkan Tikus Bebayang itu. Saya sendiri menyaksikannya. Tikus Bebayang kecil ini juga penyebab mengapa beberapa hari lepas Linley kerap menangkap haiwan liar untuk memberi 'haiwan belaan' comel ini makan di halaman belakang," jelas Hillman.
"Dia memberi makan 'haiwan belaan' ini?" Hogg berfikir seketika, kemudian memandang Linley tidak percaya. "Makhluk ajaib Tikus Bebayang. Ini haiwan comel yang kamu beritahu ayah kamu memberinya makan di halaman belakang?"
Linley menangguk jujur.
Hogg tidak tahu sama ada mahu ketawa ataupun menangis. 'Haiwan belaan comel' yang dia maksudkan sebenarnya ialah makhluk ajaib?
Walaupun Hogg mempunyai pelbagai pertanyaan bagaimana Linley membuat pakatan pengikat jiwa dengan Tikus Bebayang kecil ini, Hogg tidak bimbang memikirkannya. Kini, dia berasa sangat gembira.
"Baiklah, cukup dengan topik itu. Pak Cik Hiri, Hillman, arahkan beberapa pengawal untuk mula menguruskan jamuan tersebut sekarang. Malam ini, saya akan mengadakan jamuan besar." Hogg ketawa dengan kuat. Kini, ketawanya kedengaran kuat dan lepas.
Linley memandang bapanya. Seingat dia, dia tidak pernah melihat bapanya segembira ini.
…
Malam itu.
Suasana di manor Baruch sangat riuh. Lebih sepuluh orang pengawal peribadi serta keluarga mereka juga turut dijemput. Lima meja penuh dengan tetamu berada di halaman utama manor, dan manor Baruch dipenuhi dengan gelak ketawa dan keriangan.
"Sedap, sedap." Si kecil Wharton mengambil ini, mengambil itu, dan makan dengan berselera.
"Tuan Muda Linley, tahniah kerana diterima masuk ke Institut Ernst. Pada masa akan datang, Tuan Muda Linley pasti menjadi seorang ahli sihir yang hebat dan berkuasa." Pengawal puak Baruch ketawa sambil mengajukan ucap selamat buat Linley dengan sopan.
Di dalam jamuan itu, Linley menjadi tarikan utama.
Apabila mendengar berita Linley diterima masuk ke dalam Institut Ernst, semua yang hadir menjadi sangat teruja. Semua orang tahu penerimaan masuk ke dalam Institut Ernst bererti menerima masa depan yang baik. Suatu hari nanti, Linley pasti tidak lagi akan terkongkong di pekan kecil Wushan.
"Abang, semua orang mengucapkan selamat kepada abang. Saya pun mahu." Si kecil Wharton menyambar gelas jusnya.
Melihatkan tangan berminyak si kecil Wharton, Linley tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis. Tetapi dia masih juga mengangkat gelas jusnya dan menyentuhnya ke gelas di tangan Wharton.
"Mari, kita kan adik beradik." Linley tersengih sambil mengangkat gelasnya.
…
Pada lewat malam, di dewan pusaka keluarga Baruch. Linley berseorangan bersama bapanya.
Pintu dewan pusaka itu tertutup dan beberapa barisan lilin dipasang di keseluruhan dewan, menjadikan dewan hangat. Pada masa ini, Hogg sedang memandang ke arah batu roh yang terletak di tengah-tengah dewan. Dengan suara rendah dia berkata, "Linley, selepas kelahiran Pahlawan Berdarah Naga yang kelima, puak kita mulai lemah dari generasi ke generasi sehingga barang pusaka keluarga kita turut dijual. Setiap kali Ayah memikirkannya, Ayah berasa sangat malu. Kita puak bangsawan Berdarah Naga!"
Linley berdiri di belakangnya diam tidak berkutik.
Dia juga turut berasa malu.
Puak purba yang wujud sejak lima ribu tahun lalu. Puak Pahlawan Berdarah Naga. Linley berasa bangga di dalam hatinya. Tetapi mereka kehilangan barangan pusaka milik puak mereka.
"Linley." Hogg berpaling dan melihat ke arah Linley dengan wajah suram. "Mulai hari ini dan hari akan datang, Ayah tak akan melayan kamu seperti kanak-kanak lagi. Ayah akan memandang kamu sebagai tunggak paling kukuh masa depan puak Baruch kita! Harapan masa depan puak kita kini bergantung kepada kamu!"
"Baik, Ayah." Linley mengangguk yakin.
"Tunggu sekejap. Ayah ingin mengambil sesuatu." Hogg tiba-tiba berpaling dan memasuki bilik rahsia di sebelah dewan pusaka. Tidak lama kemudian, dia kembali dengan sebuah buku tebal di tangannya. "Linley, ambil buku ini dan baca. Hafal kesemuanya."
"Apakah ini…?"
Linley memandang curiga ke arah buku tebal yang baru sahaja diterimanya. Tiada sebarang perkataan di kulit hadapannya tetapi apabila dia membukanya, terdapat lima perkataan bersaiz besar yang tertulis di atasnya – Buku Rahsia Latihan Darah Naga.
"Kaedah Rahsia Latihan Darah Naga?" Linley memandang bapanya dengan pandangan yang aneh.
Hogg tersenyum. "Bukan sahaja Kaedah Rahsia Latihan Darah Naga. Buku ini juga membincangkan banyak perkara yang berkaitan dengan puak Baruch. Latihan tersebut turut dibincangkan di dalam termasuklah keadah untuk mencipta dan mengawal Jarum Darah Naga serta beberapa sejarah tentang beberapa orang tokoh dalam puak kita."
Linley menyelak halaman dalam buku itu dengan hati-hati.
Benar, buku itu dibahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah Buku Rahsia Latihan Darah Naga selebihnya perkara-perkara lain berkaitan dengan puak.
"Linley, jika buku ini jatuh ke tangan orang luar sekalipun, ia tidak akan mendatangkan apa-apa faedah buat mereka. Ini kerana mustahil untuk orang luar menjalani latihan berdasarkan Buku rahsia ini. Bagaimana pula jika ada orang yang mempelajari sejarah puak kita? Tidak mengapa kerana kita mempunyai banyak salinan buku ini. Buku ini juga cuma salinan daripada buku asal. Setelah beberapa tahun, buku yang asli telah pun menjadi debu." Hogg ketawa sambil bercakap.
Linley turut ikut ketawa bersama bapanya.
"Masuk akal. Walaupun seseorang berjaya mengambil buku ini, ia tak berguna buat dia." Linley yang mula menyelak halaman buku itu dengan rasa ingin tahu dan membaca setiap bahagian.
Buku Latihan Rahsia Darah Naga, Bab 1.
"Jika seseorang mahu menggunakan Kaedah Rahsia Latihan Darah Naga ini, dia mestilah memanggil semua darah milik Pahlawan Berdarah Naga yang mengalir di dalam tubuhnya. Terdapat dua cara untuk memanggil darah naga tersebut. Cara pertama adalah dengan mempunyai ketumpatan darah naga yang telah mencapai tahap tertentu. Tetapi jika kamu tidak mencapai tahap ketumpatan tersebut, masih ada cara kedua…"
Apabila membaca mengenai hal tersebut, Linley tergamam.
Selain daripada mempunyai ketumpatan darah naga yang tinggi, masih ada cara lain? Mengapa tiada orang pun di dalam puaknya yang berjaya dalam beberapa tahun ini?
"Cara kedua ialah dengan meminum darah naga hidup ataupun darah naga yang baru beberapa minit mati. Semakin lama naga itu mati, semakin rendah peluang untuk membangkitkan darah naga! Dengan minum darah naga, seseorang itu boleh mengaktifkan darah naga yang mengalir dalam tubuh ahli puak kita. Untuk mendapatkan hasil terbaik, minum darah naga yang bertahap Dewa. Jika seseorang minum darah naga tahap kesembilan, peluang untuk mengaktifkan darah naga agak rendah."
Apabila meneruskan pembacaannya, Linley tergamam.
'Moyang kita benar-benar menggerunkan. Mereka mendapat idea dengan meminum darah naga hidup untuk menggunakan Kaedah Rahsia Latihan Darah Naga ini.' Linley tidak tahu sama ada dia ingin ketawa ataupun menangis.
'Minum darah naga hidup? Naga tahap Dewa pula itu. Linley, moyang kamu memang sangat menggerunkan.' Doehring Cowart muncul di sebelah Linley dan turut membaca buku tersebut bersamanya. Sejurus selepas membaca perenggan pendahuluan, Doehring Cowart juga turut berasa terkejut.
Hogg pastinya langsung tidak menyedari kehadiran Doehring Cowart. Hogg ketawa pahit ke arah Linley. "Linley kamu nampak, bukan? Menurut kaedah moyang kita, ada darah naga tersembunyi di dalam darah kita semua. Hanya terdapat dua cara sahaja untuk membangkitkannya. Tetapi cara kedua memerlukan seseorang itu minum darah naga hidup. Ia bukan tugas yang mudah. Tambahan pula… Linley, selak halaman belakang dan cuba kamu baca."
Linley pun menyelak halaman seterusnya.
"Namun begitu, cara kedua iaitu dengan meminum darah naga hidup sangat berisiko. Darah naga sangat kuat. Apabila darahnya di sapu pada kulit, ia dapat meningkatkan kualiti badan seseorang dan dengan pantas meningkatkan kekuatan seseorang. Akan tetapi, ia juga akan menyebabkan kesakitan seperti kulit disiat-siat. Itu cuma pemakaian topikal. Jika seseorang meminum darah naga, maka tubuhnya akan berasa seolah-olah dibakar hingga menyebabkan kematian. Salur-salur darah yang pecah turut mengakibatkan kematian mengejut."
Apabila membaca bahagian ini, Linley terus terdiam.
"Ayah, siapa yang menulis Buku Rahsia Latihan Darah Naga ini? Jika ia berbahaya, mengapa ia terkandung di dalam buku ini?" Linley tidak tahu apa yang harus diperkatakan.
Hogg berkata dengan wajah serius, "Linley, Buku Rahsia Latihan Darah ini ditulis oleh pengasas dan juga moyang pertama puak kita, iaitu Pahlawan Berdarah Naga pertama yang muncul di benua Yulan, Baruch! Dia pasti mempunyai sebab tersendiri untuk menulis tentang itu dalam buku ini. Walau bagaimanapun, dalam sejarah keluarga kita, ada dua keturunan yang meminum darah naga tahap Dewa. Akhirnya, salur darah mereka berdua pecah mengakibatkan kematian kedua-duanya."
"Ada orang yang betul-betul minum darah naga tahap Dewa?" Linley sangat terkejut.
Tetapi sebenarnya, ini perkara biasa.
Suatu ketika dahulu, semasa generasi puak Baruch pertama, kedua dan ketiga merupakan Pahlawan Berdarah Naga, puak Baruch sangat berkuasa. Pada zaman itu, mendapatkan darah naga tahap Dewa bukanlah sesuatu yang mustahil.
"Peristiwa ini berlaku lama dahulu. Rahsia sebenar pada era itu, buku ini tak mendedahkannya. Apa yang Ayah tahu, disebabkan kaedah ini, bangsa naga telah menghantar wakilnya untuk berbincang dengan pemimpuan puak Baruch ketika itu. Sejak itu, puak kita tidak lagi menggunakan cara ini. Selepas puak kita menjadi lemah, kita tidak lagi mampu minum darah naga biarpun kita mahu." Hogg menggelengkan kepalanya dan mengeluh.
Linley mengangguk.
Sikap angkuh bangsa naga ada dibincangkan dalam banyak buku.
Menangkap naga tahap Dewa hidup-hidup untuk mendapatkan darahnya? Betapa hebatnya penghinaan ini bagi bangsa naga? Puak Baruch bernasib baik kerana bangsa naga tidak membunuh mereka dengan keberangan berapi-api. Walau bagaimanapun, kita dapat membayangkan kehebatan puak Baruch ketika itu.
"Tak mungkin, Ayah. Jika tiada seorang pun yang berjaya menjadi Pahlawan Berdarah Naga selepas meminum darah naga, mengapa moyang kita menulis yang menggunakan darah naga dapat meningkatkan kekuatan diri? Dia turut mengatakan darah naga tahap kesembilan tak memberi kesan yang sama?" Linley sedikit bingung.
Hogg tergamam.
"Linley, jangan banyak tanya. Sejujurnya, tak banyak yang Ayah tahu tentang sejarah keluarga kita. Apatah lagi peristiwa yang berlaku empat ribu tahun yang lalu. Tiada cara yang memungkin kita untuk mengetahui kisah sebenar." Hogg ketawa ke arah Linley.
Linley mengangguk.
Tetapi di dalam hatinya, Linley masih curiga. Jika tiada seorang pun yang berjaya menjadi Pahlawan Berdarah Naga dengan meminum darah naga, maka mengapa cara ini ditulis dalam Buku Rahsia Latihan Darah Naga ini?
"Linley, hari sudah lewat. Kamu harus pulang dan berehat." Hogg ketawa.
Linley mengangguk.
Waktu malam.
Linley sudah kembali ke biliknya dan membaca buku tersebut, tetapi hatinya penuh dengan pelbagai persoalan.
"Atuk Doehring, apa pendapat Atuk? Jika tiada sesiapa yang berjaya menggunakan cara ini, bagaimanakah ia dapat ditemui?" Linley tidak memahami logik perkara tersebut.
Usia Doehring Cowart yang sangat tua membuat dia lebih licik, selicik musang. Mengusap janggutnya, dia berkata dengan nada yakin, "Linley, jawapannya sangat mudah. Berdasarkan apa yang Atuk tahu, bangsa naga sangat angkuh dan juga sangat besar dan berkuasa! Atuk berani bertaruh meminum darah naga hidup cara yang berkesan, tetapi puak kamu mendapat tekanan yang besar daripada bangsa naga maka kandungan buku ini diubah."
Linley segera memahami.
Sangat munasabah.
Disebabkan tekanan daripada bangsa naga, Pahwalan Berdarah Naga puak Baruch tentu terpaksa berhenti menangkap naga hidup untuk meminum darahnya.
"Tetapi sudah tentu, itu cuma tekaan Atuk." Doehring Cowart berkata dengan tenang. "Dan Linley, berdasarkan apa yang Atuk tahu, meminum darah naga hidup tidak semestinya berakhir dengan kematian. Jika kamu mencampurkannya dengan Rumput Biru Hati, kesan negatif darah naga dapat dikurangkan. Tetapi Atuk pasti hanya beberapa orang sahaja yang mengetahui rahsia ini pada zaman ini."
Linley terpempan.
Kemudian, Linley menjadi sangat gembira. "Atuk Doehring, maksud Atuk, darah naga segar yang dicampurkan dengan Rumput Biru Hati selamat untuk diminum?"
Doehring Cowart mengangguk dengan yakin. "Sudah tentu. Suatu masa dahulu, di Empayar Pouant, ada seorang puteri mengalami penyakit kronik. Satu-satunya cara yang dapat menyembuhkannya ialah campuran darah naga segar dan Rumput Biru Hati. Untuk pengetahuan kamu, Atuk yang menangkap sendiri naga tahap Dewa itu."
"Atuk masih ingat. Seorang pakar perubatan yang memberi preskripsi berkata, setiap sesuatu di dunia ini mempunyai persamaan dan lawannya. Bagi setiap bahan, ada bahan lain yang akan melengkapkannya. Pada zaman itu, satu-satunya orang yang mengetahui cara mencampurkan darah naga segar dengan Rumput Biru Hati ialah pakar perubatan tersebut. Enam ribu tahun sudah berlalu, sudah tentu tiada sesiapa yang mengetahuinya sekarang." Doehring Cowart berkata dengan tenang.
Linley mengangguk.
"Darah naga segar dan Rumput Biru Hati…" Mata Linley bersinar keterujaan. "Pada masa akan datang, apabila saya sudah cukup berkuasa dan menjadi ahli sihir tahap kesembilan atau lebih tinggi, saya akan beri darah naga segar dan Rumput Biru Hati kepada Wharton supaya dia boleh menjadi Pahlawan Berdarah Naga."
Linley juga berharap…
Jika dia juga berpeluang, dia sendiri akan menggunakan cara tersebut.
Kalaulah dia boleh menjadi kedua-duanya, ahli sihir tahap Dewa dan juga Pahlawan Berdarah Naga… tetapi pastinya itu cuma mimpi. Menangkap naga bertahap Dewa pun cuma mimpi yang cukup sukar dicapai.
"Jalan di hadapan aku masih panjang. Masa untuk tidur, masa untuk tidur. Aku perlu berlatih esok."
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT