Di bawah bimbingan pegawai gereja, semua orang di dataran diiring masuk ke dalam dewan utama katedral.
Di dalam katedral.
Dewan besar katedral itu mempunyai lantai yang diturap dengan batu marmar, dan di atasnya tergantung sebuah candelier kristal yang besar. Ia boleh memuatkan beratus-ratus orang yang masuk tetapi ruang tersebut masih akan terasa luas.
Di hadapan dewan besar itu, terdapat sebaris kerusi tersusun yang diduduki oleh para wakil dan perekrut dari setiap akademi ahli sihir terkemuka. Di tengah-tengah dewan itu ialah lokasi ujian yang akan diadakan.
Pegawai gereja berjubah hitam itu senyum dan berkata dengan suara yang jelas, "Lokasi ujian di tengah dewan. Semua peserta sila datang ke hadapan seorang demi seorang. Tiada sesiapa yang lain dibenarkan berada di dalam bulatan di tengah-tengah dewan ini. Semua peserta sila berbaris. Keluarga dan rakan taulan, sila berdiri di satu tempat."
"Linley, ini yuran ujian. Ini pula bukti pengenalan diri kamu. Cepat pergi. Oh, tinggalkan Tikus Bebayang kecil itu bersama saya. Pasti sukar bagi kamu untuk mengambil ujian jika tikus itu ada bersama," kata Hillman.
'Bebe, kamu tinggal dengan Pak Cik Hillman dahulu. Saya ingin mengambil ujian.' Linley mengarahkan si Tikus Bebayang kecil secara mental. Ia seakan-akan tidak rela dan bergerak-gerak di bawah pakaian Linley. Setelah beberapa kali dipujuk oleh Linley, barulah si Tikus Bebayang kecil itu berlari masuk ke dalam pakaian Hillman.
Linley kemudian mengambil sepuluh syiling emas itu dan masuk ke dalam barisan. Para peserta di situ terdiri dari umur enam tahun atau tujuh tahun sehinggalah enam belas tahun. Kanak-kanak ini beratur kepada dua barisan, sementara pegawai kewangan gereja mengutip yuran daripada setiap peserta.
Pusat ujian yang berada di tengah dewan itu seluas kira-kira sepuluh meter, dan terdapat tiga orang dewasa di dalamnya. Dua daripada mereka bertanggungjawab mengendalikan ujian manakala seorang lagi bertanggungjawab merekod keputusan ujian. Peralatan ujian terdiri daripada sfera kristal dan formasi ajaib bersisi enam yang agak kompleks.
"Pertama sekali."
Seorang lelaki tua botak menunjuk ke arah bebola kristal dan berkata, "Letakkan tangan kamu di atas bebola kristal. Kami akan menguji daya tarikan intipati unsur kamu."
Peserta pertama ialah seorang anak muda berumur dua belas ataupun tiga belas tahun. Remaja itu dengan gementar meletakkan tangannya di atas bebola kristal tersebut. Bebola kristal itu dengan segera memancarkan cahaya merah muda samar-samar yang kadang kala bercampur dengan hijau.
Lelaki tua botak itu memandang sekeping kertas di tangannya dan tanpa emosi berkata, "Umur, 12 tahun. daya tarikan intipati unsur: Api, daya tarikan sederhana. Angin, daya tarikan rendah.
"Sekarang, masuk ke dalam formasi ajaib. Masa untuk menguji intipati spiritual kamu. Ingat, berdiri di sana. Jangan melutut ataupun jatuh. Mari kita tengok berapa lama kamu boleh bertahan." Lelaki tua botak itu tetap dingin. Remaja itu mengangguk dan kemudian melangkah masuk ke dalam formasi ajaib bersisi enam itu. Aura putih suci keluar daripada lelaki tua botak itu dan kemudian dipancarkan di tengah-tengah formasi ajaib tersebut.
Sihir unsur cahaya – Sungguh mengagumkan!
'Nampaknya, prosedur ujian era ini masih sama seperti dahulu.' Doehring Cowart terbang keluar dari cincin dan muncul di sebelah Linley.
'Atuk Doehring.' Dengan keberadaan Doehring Cowart, Linley berasa lebih tenang.
'Dalam ujian kecenderungan sihir, ujian daya tarikan intipati unsur bukanlah keutamaan. Ujian intipati spiritual ialah yang utama. Setelah setengah tahun bertafakur, intipati spiritual kamu sepatutnya 16 atau 17 kali ganda lebih daripada orang sebaya kamu.' Doehring Cowart ketawa kecil ke arah Linley. 'Untuk kamu, ujian ini sangatlah mudah.'
Tidak lama selepas itu, remaja yang berada di tengah formasi ajaib itu tidak dapat bertahan lagi.
"Intipati spiritual, dua kali ganda lebih kuat berbanding rakan sebaya. Tiada kelayakan menjadi ahli sihir." Tanpa emosi lelaki tua botak itu mengumumkan keputusan. Setelah itu, formasi ajaib dinyahaktifkan dan remaja tersebut beredar.
Bunyi riuh kedengaran dari berhampiran tempat ujian tersebut.
"Diam." Lelaki tua botak itu berkata dingin dan sekumpulan bangsawan tidak lagi berani bersuara. "Seterusnya."
Doehring Cowart menyaksikan dengan penuh minat dari tepi.
Seorang demi seorang anak muda diuji. Daripada sepuluh peserta pertama, tiada siapa yang layak. Kini, ada seorang gadis berdiri di dalam formasi ajaib yang bertahan lebih lama berbanding sepuluh orang sebelumnya.
"Hmm?" Mata lelaki tua botak itu bersinar dan dia segera meningkatkan kuasa formasi ajaib tersebut.
Setelah agak lama, sebelah lutut gadis itu akhirnya terjatuh.
Lelaki tua botak itu mengangguk berpuas hati. Dengan senyuman kecil di wajahnya, dia berkata, "Intipati spiritual, lapan kali lebih kuat berbanding kebanyakan rakan sebaya. Kelayakan minimum untuk menjadi seorang ahli sihir dipenuhi. Kamu juga memiliki daya tarikan intipati unsur yang sederhana. Kamu layak menjadi ahli sihir!" Penilaian lelaki tua botak itu telah menentukan nasib gadis tersebut.
"Oh, menakjubkan!" Orang pertama yang melonjak kegembiraan bukanlah gadis itu. Sebaliknya, ayah kepada gadis tersebut, seorang lelaki botak, pertengahan umur dan beradab tertib.
"Diam!" Lelaki tua botak itu membentak dengan nada dingin dan tidak gembira.
Penunjuk tempat duduk segera datang dan mengiringi gadis tersebut dan bapanya ke barisan perekrut akademi ahli sihir.
Banyak mata-mata yang iri hati memandang gadis itu.
Masa berlalu, semakin ramai orang memenuhi dewan utama. Acara pengujian sihir akan berlangsung selama tujuh hari, jadi tiada gesaan ke atas orang ramai untuk hadir pada hari pertama. Apabila tiba giliran Linley, barisan pengambil ujian telah mengunjur hingga pintu utama katedral.
"Seterusnya." Lelaki tua botak itu berkata lagi.
Linley berjalan ke tengah dengan tenang bersama Doehring Cowart berada di sisinya. Pada pandangan Doehring Cowart, hanya pahlawan tahap Dewa sahaja yang mampu mengesan kehadirannya, itu pun sedikit. Ahli-ahli sihir biasa ini tidak akan dapat mengesannya.
Linley meletakkan tangan kanannya di atas bebola kristal.
Dengan serta-merta!
Bebola kristal itu meletuskan cahaya secara tiba-tiba, seolah-olah matahari! Sinar cahaya tanah yang bercampur dengan sinar cahaya hijau, dan terdapat juga beberapa garis nipis merah di antara keduanya. Cahaya cerah yang menyilaukan memaksa mereka yang berada di situ mengecilkan mata.
Melihat kecerahan bak mentari bersinar dari bebola kristal mengejutkan semua yang berada di dalam dewan besar itu.
Lelaki tua botak itu menggeletar ketika membaca kertas di tangannya. Tertulis dengan jelas di atasnya Linley berusia lapan tahun.
"Umur, lapan tahun. Daya tarikan intipati unsur; Tanah dan Angin, kecenderungan yang luar biasa untuk kedua-duanya! Daya tarikan api, sederhana." Jantung lelaki tua botak itu berdegup kencang. Kebanyakan ahli sihir mempunyai daya tarikan intipati unsur yang sederhana. Malah daya tarikan intipati unsur yang tinggi juga sangat jarang inikan pula daya tarikan intipati unsur yang luar biasa, amat jarang!
Untuk lebih jelas, ahli sihir biasa mungkin memerlukan sehingga 10 jam untuk menghasilkan kadar daya sihir tertentu tetapi Linley hanya memerlukan sejam sahaja untuk menghasilkan kadar yang sama.
"Ooooooo."
Seluruh warga dewan terkejut. Budak itu bukan sahaja memiliki daya tarikan intipati yang luar biasa bagi satu unsur, tetapi dua unsur! Ini sangatlah menakutkan.
'Daya tarikan luar biasa bagi unsur angin?' Doehring Cowart yang berada di sebelahnya terkejut.
'Wah, saya juga mempunyai daya tarikan unsur angin juga?' Linley terpempan. Dia lantas menoleh ke arah Doehring Cowart.
Doehring Cowart memaksa dirinya untuk tersenyum. 'Linley, Atuk beritahu kamu Atuk hanya boleh menguji satu unsur sahaja, iaitu unsur tanah. Oh, ya. Sewaktu kamu menyerap intipati unsur semula jadi, adakah kamu dapat mengesan intipati angin?'
'Intipati unsur angin?' Linley terkejut. 'Pertama kali Atuk mengajar saya memproses intipati unsur, Atuk mengingatkan saya supaya jangan terseleweng, jadi walaupun saya menyedari beberapa cahaya berwarna hijau di sekeliling saya, saya tak menghiraukannya. Tetapi selepas itu, apabila saya mula menyerap intipati unsur tanah, saya hanya dikelilingi dengan intipati tanah dan cahaya berwarna hijau itu tidak lagi muncul.'
Doehring Cowart kini memahami.
Sewaktu menjalani latihan daya sihir, terutamanya bagi daya sihir dua unsur, jika seseorang itu hanya memberi perhatian kepada satu unsur sahaja seperti unsur tanah, semua initpati tanah berhampirannya akan ditarik manakala intipati unsur lain termasuklah angin ditolak.
'Sejak itu, setiap kali saya berlatih, saya hanya mengesan intipati unsur tanah yang berdekatan sahaja. Saya tidak fikir langsung tentang cahaya berwarna hijau itu.' Linley berasa sangat gembira.
Hal ini demikian kerana, dia tahu ahli sihir dua unsur jauh lebih kuat berbanding ahli sihir satu unsur.
Selepas ujian daya tarikan intipati unsur, ujian intipati spiritual pula!
'Ingat, apabila kamu mengambil ujian intipati spiritual, kamu mesti kuatkan diri. Tahan selama lama yang kamu mampu.' Doehring Cowart berkata dengan nada serius. 'Atuk tidak mahir tentang unsur angin, jadi kamu perlu masuk ke akademi ahli sihir. Dengan tarikan intipati unsur setinggi itu, rugi jika kamu tidak berlatih unsur angin.'
Linley juga amat memahami perkara ini.
"Sila masuk ke dalam formasi ajaib." Lelaki tua botak itu menggunakan perkataan 'sila' sewaktu memanggil Linley.
Malah, golongan bangsawan yang berada hampir dengan Linley juga memandangnya dengan pandangan yang berbeza. Seseorang yang mempunyai tarikan intipati unsur yang luar biasa bermaksud dia mampu menjana daya sihir dalam masa yang singkat. Masa selebihnya boleh digunakan mengumpul tenaga spiritual. Prospek masa depannya tidak terbatas.
Linley melangkah masuk ke formasi ajaib.
Formasi ajaib itu serta-merta memancarkan aura putih, dan kemudian mula merasai sesuatu tekanan ke atas semangatnya.
Sihir unsur cahaya – Luar biasa!
'Lemahnya. Jika dibandingkan dengan kehadiran luar biasa naga hitam setengah tahun lalu, ini langsung tak mencapai tahap itu. Linley cukup tenang yang membolehkan dia memikirkan semua itu.
Semakin lama masa berlalu, semakin kuat aura formasi ajaib itu, malah kehadiran luar biasa turut menjadi lebih kuat. Semua yang berada di dalam dewan besar itu menahan nafas kerana mereka yang menyaksikannya tahu pada masa akan datang, budak lelaki berpakaian sederhana ini akan menjadi seorang ahli sihir yang berkuasa.
"Ada sesiapa yang mengenali anak muda itu? Dari puak apakah dia?" Bangsawan di barisan hadapan saling berbisik sesama sendiri.
Jika mereka bersahabat baik dengan anak muda yang mempunyai potensi yang menakjubkan itu, pada masa akan datang, mereka akan memiliki sekutu yang cukup menggerunkan.
"Namanya Linley?" Beberapa orang perekrut akademi ahli sihir mengetahui namanya daripada pentadbir ujian.
Kumpulan perekrut akademi ahli sihir yang sebelum ini duduk dan tersenyum dan berlari beramai-ramai untuk menyaksikannya. Akademi ahli sihir mana yang tidak mahu merekrut anak muda genius sepertinya?
Berdiri keseorangan di dalam formasi ajaib, Linley terus melawan kehadiran menakjubkan itu.
Nafas Linley semakin memberat, pada masa itu, seluruh fikirannya kabur. Tekanan spiritual yang menekannya sekuat gunung dan kekuatannya masih terus meningkat. Tetapi Linley tetap bertahan…
'Lebih lama saya boleh bertahan, lebih baik akademi ahli sihir yang boleh saya sertai.' Linley mengetap giginya.
Dan apabila tekanan itu mencapai tahap tertentu, Linley akhirnya tidak dapat bertahan. Dia menjatuhkan sebelah lututnya, tangannya digenggam menjadi penumbuk di atas lantai.
Semua mata bertumpu ke arah lelaki tua botak itu.
Wajahnya naik merah kegembiraan, lelaki tua botak itu lalu mengumumkan dengan suara yang jelas, "Intipati spiritual, lapan belas kali ganda lebih kuat berbanding rakan seusia. Intipati spiritual yang tinggi, daya tarikan unsur yang luar biasa."
Ketika itu, semua perekrut ahli sihir berlumba-lumba mendekati. "Helo, Linley. Saya dari Akademi Ahli Sihir Lander (Lan'de). Akademi Ahli Sihir Lander benar-benar ingin kamu menyertai akademi kami. Jika kamu mendaftar dengan kami, yuran pendidikan adalah percuma dan setiap tahun kami akan beri kamu seribu syiling emas sebagai belanja sara hidup. Malah, kami akan menjemput ahli sihir yang berkemahiran tinggi untuk memberi kamu latihan persendirian."
"Linley, saya dari Akademi Welling (We'lin). Kami…"
…
Apabila orang ramai mengerumuni dan melayannya dengan baik, pada mulanya Linley terkejut tetapi di dalam hatinya, dia mengeluh kekaguman. Dalam sekelip mata, ramai perekrut mengetahui namanya. Ini benar-benar mengagumkan.
"Hadirin sekalian, sila kembali ke tempat duduk anda. Kami perlu meneruskan ujian ini." Lelaki tua botak itu berkata dengan nada yang ramah.
Dia mungkin sombong kepada orang kebanyakan, tetapi dia perlu bersopan apabila berhadapan para wakil daripada akademi ahli sihir yang terkemuka.
"Linley. Institut Ernst berbesar hati ingin mempelawa kamu menjadi salah seorang pelajar kami." Dari jauh, kedengaran satu suara dan apabila dia mula bercakap, seluruh dewan menjadi sunyi. Lelaki tua botak itu turut berhenti bercakap.
Linley berpaling.
Seorang lelaki pertengahan umur berjubah putih berjalan ke arahnya. Dia berkata sambil tersenyum, "Daya tarikan unsur yang luar biasa, intipati spiritual yang tinggi dan memiliki dua unsur. Linley, institut kami sangat mengalu-alukan kehadiran kamu. Adakah kamu sudi menyertai Institut Ernst?"
Hillman yang berada berhampiran tergamam kerana terkejut. Dia segera berlari mendapatkan Linley, sangat teruja sehingga tangannya menggeletar.
Institut Ernst?
Memasuki akademi ahli sihir nombor satu di benua Yulan, Institut Ernst? Apakah maksudnya?
Ini bererti sejurus selepas tamat pengajian, walaupun dia hanya pelajar sederhana, dengan mudah dia boleh menjadi earl di mana-mana kerajaan berhampiran. Jika dia seorang pelajar cemerlang, keempat-empat empayar besar sangat mengalu-alukan dirinya.
Di seluruh benua Yulan yang luas, setiap tahun Institut Ernst hanya menerima lebih kurang 100 orang pelajar sahaja!
Seratus pelajar setiap tahun. Apakah maksudnya?
Setiap pelajar yang diterima ke dalam Institut Ernst boleh dikatakan genius!
"Linley, terima pelawaan beliau." Hillman berkata teruja.
Linley juga berasa sangat teruja tetapi fikirannya sangat jelas, dan luarannya juga kelihatan sangat tenang. Linley cukup faham jika dia menyertai Institut Ernst diikuti bimbingan Doehring Cowart, tidak akan terlalu sukar baginya untuk menjadi ahli sihir tahap ketujuh atau kelapan hanya dalam beberapa dekad.
Puaknya akan terkenal semula.
"Tuan, dengan besar hatinya saya menerima tawaran memasuki Insitut Ernst." Linley berkata dengan penuh sopan.
Terkejut dengan ketenangan Linley, lelaki berjubah putih itu tersenyum. "Linley, saya akan memaklumkan Institut tentang butiran biografi kamu. Apabila tiba masanya, bawa bukti pengenalan diri kamu ke institut dan ambil ujian kolerasi sekali lagi. Kemudian, kamu akan menjadi pelajar rasmi institut kami."
Tidak guna jika kamu cuba menggunakan orang lain untuk mengambil ujian bagi pihak kamu kerana setiap akademi tetap akan menjalankan ujian sandaran.
"Setiap tahun akademik dibahagikan kepada dua semester. Semester pertama bermula pada 09 Februari. Pastikan kamu tiba di institut pada 09 Februari dan kamu tak akan alami apa-apa masalah. Ini bukti pengenalan diri kamu. Ia juga merupakan bukti kemasukan kamu." Lelaki berjubah putih itu mengeluarkan sampul berwarna merah daripada jubahnya.
Sebenarnya, sebaik sahaja mengetahui keputusan ujian Linley, dia telah merekod semua butir Linley ke dalam kertas kerja di dalam sampul tersebut. Lelaki berjubah putih itu yakin tanpa sedikit pun keraguan tiada seorang pun yang akan menolak tawaran daripada Institut Ernst!
"Terima kasih." Linley menerima sampul tersebut.
Linley tidak menunjukkan keterujaannya tetapi Hillman sebaliknya. Pelajar Institut Ernst. Siapakah dalam kalangan mereka yang tidak akan dihormati? Pencapaian masa depan Linley sudah boleh diramalkan.
"Pak Cik Hillman, mari pergi." Linley memasukkan sampul merah itu ke dalam bajunya dan meninggalkan dewan utama itu bersama Hillman.
Walaupun sesak, semua orang yang berada di dalam dewan, daripada orang biasa kepada bangsawan, semuanya memberikan laluan kepada Linley untuk bergerak. Malah bangsawan yang memandang rendah kepadanya sekarang tersenyum ramah kepadanya. Sikap mereka sangat bagus.
Ini contoh mudah status seorang pelajar Institut Ernst!
Disaksikan para bangsawan, orang biasa dan pegawai gereja, Linley dan Hillman meninggalkan katedral.
"Decittt!" Selepas keluar dari katedral, Tikus Bebayang kecil menjerit kuat, mengesan keterujaan Linley.
Kini barulah Linley membiar keterujaan terpancar di wajahnya. Dia menggenggam tangannya buku lima, matanya bersinar penuh tenaga. Menoleh ke arah Hillman, dengan pantas dia berkata, "Pak Cik Hillman, mari pulang, ayuh kita pulang! Pulang ke pekan Wushan! Saya mahu beritahu berita ini kepada ayah saya!"
You may also Like
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT