Masa pun berlalu, Tikus Bebayang kecil yang tidak pernah merasai kasih sayang, semakin pudar rasa takutnya terhadap Linley. Pada hari kelapan, apabila Linley meletakkan arnab tersebut, ia cuma mengundur dua langkah. Tikus Bebayang kecil itu kemudian terus berlari untuk makan malah mendecit dua kali kepada Linley.
Hari kesepuluh!
'Baiklah, hari ini saya akan beri si kecil Tikus Bebayang itu makan daging yang dimasak.' Linley menutup seekor ayam hutan dengan karung kain dan dengan gembiranya kembali ke halaman purba manor.
Doehring Cowart berjalan seiring Linley, tetapi selain Linley, orang lain tidak dapat melihatnya. Doehring Cowart tersenyum lebar sehingga misai putihnya kelihatan lurus melintang. "Linley, sepanjang sembilan hari ini, Tikus Bebayang kecil itu semakin kurang takut dengan kamu. Hari ini, kamu akan memberinya daging masak. Pasti ia akan teruja dan semakin akrab dengan kamu."
Mendengarkan kata-kata itu, Linley tersengih.
Sebaik sahaja Linley melangkah masuk ke halaman…
"Decit, decit!" Si kecil Tikus Bebayang berlari ke arah Linley dan mula melompat-lompat sambil mendecit ke arah Linley.
"Saya belum sempat mengeluarkan makanan dan ia sudah berlari ke arah saya. Ia sudah tidak takut dengan saya lagi." Linley berasa sangat gembira.
Di sebelahnya, Doehring Cowart tersenyum melihat Tikus Bebayang kecil itu yang tidak langsung menyedari kehadirannya. Doehring Cowart berkata sambil tersenyum, "Nampaknya ia sudah semakin akrab dengan kamu."
"Decittt!" Si kecil Tikus Bebayang memandang Linley dengan mata hitam suci dan mula berdecit tidak sabar, seolah-oleh memberitahu Linley supaya memberinya makanan dengan segera.
"Jangan tergopoh-gapah." Linley mengeluarkan ayam panggang dari karung kain.
Sebaik terbau aroma ayam panggang, mata si kecil Tikus Bebayang bersinar dan ia memandang Linley mohon simpati. Melihatkan si kecil itu, Linley ketawa sehingga perutnya senak. Dahulu, sewaktu Linley memberikan si kecil Wharton makanan, dia akan berkata, "Abang, saya nak!" sambil melihat Linley meminta simpati.
Kini si kecil Tikus Bebayang juga melakukan perkara yang sama!
"Hehe, ini semua untuk kamu!" Linley memberikan ayam panggang kepada Tikus Bebayang itu.
Si kecil itu mendecit kegirangan dan dengan segera menyambar ayam panggang itu. Selepas satu gigitan, kunyahan si kecil Tikus Bebayang semakin laju. Dalam masa yang singkat, ayam panggang bersaiz lebih kurang dengan badan Tikus Bebayang kecil itu, telah habis dimakan.
"Saya tidak faham bagaimana perutnya boleh muat semua itu. Bagaimana ia boleh menelan sebegitu banyak makanan?" Linley melepaskan ketawanya.
Sepertinya kali ini, si kecil Tikus Bebayang sangat menikmati hidangannya. Ia berasa sangat gembira sehingga mula terlompat-lompat dan mendecit ke arah Linley, sambil memeluk kaki Linley dengan tangan hadapannya. Linley berasa sangat senang kerana ini merupakan kali pertama si kecil ini menzahirkan keakrabannya walaupun sudah makan.
"Linley, cuba gunakan tangan kamu untuk membelai bulunya. Selalunya, makhluk ajaib suka kaum keluarganya merapi dan membelai bulu mereka," nasihat Doehring Cowart.
Linley menghulurkan tangannya dengan berhati-hati dan meletakkannya di atas kepala si kecil Tikus Bebayang. Si kecil itu langsung tidak mengelak. Malah, ia memejam mata senang hati. Linley semakin yakin dan mula membelai bulu Tikus Bebayang kecil itu menyebabannya berasa selesa dan mula berdengkur.
"Comel sungguh si kecil ini." Linley semakin suka si kecil Tikus Bebayang ini.
"Atuk Doehring, makhluk ajaib memang aneh. Naga Veloci sungguh besar dan mempunyai sisik yang keras, menjadikannya makhluk ajaib tahap ketujuh. Tetapi si kecil Tikus Bebayang ini, apabila dewasa, ia juga akan menjadi makhluk ajaib tahap ketujuh. Kedua-duanya mempunyai tahap yang sama tetapi mengapa terdapat perbezaan besar antara mereka?"
Linley berasa kagum melihat Tikus Bebayang kecil itu sambil membelainya.
"Kamu tidak boleh menilai mereka berdasarkan rupa fizikal. Mungkin orang tua ganyut yang kamu jumpa di jalanan berupaya untuk menunggang naga terbang dan memusnahkan gunung dengan sekali ayunan tangan sahaja." Doehring Cowart ketawa riang.
Liney faham akan logik itu.
Tetapi tanpa disedari dia masih juga menilai berdasarkan fizikal.
Contohnya, naga Veloci. Melihatkan betapa saiz badannya yang besar dan sisiknya yang bersinar dengan cahaya keemasan, sesiapa pun boleh tahu betapa kuatnya ia.
"Bilakah agaknya si kecil Tikus Bebayang ini akan memulakan 'ikatan setaraf' dengan saya." Linley menggumam. Tiada apa yang boleh dia lakukan. 'Ikatan setaraf' hanya boleh dimulakan oleh makhluk ajaib dan dia hanya boleh menunggu sahaja.
Doehring Cowart ketawa. "Perkara berlaku dengan begitu lancar. Ingat. Kamu mesti bersabar."
"Baiklah. Saya faham." Linley juga turut ketawa.
…
Dalam sekelip mata, masa berlalu. Sudah dua puluh hari Linley memberi makan kepada Tikus Bebayang kecil itu dan ia juga sudah semakin rapat dengan Linley. Tetapi entah mengapa, walaupun kedua-duanya sudah semakin akrab, si kecil Tikus Bebayang ini masih lagi belum memulakan 'ikatan setaraf'.
Kegelapan mula menyelubungi kawasan dan seluruh pekan Wushan menjadi senyap sunyi.
Di ruang tamu manor Baruch, cahaya lilin meliuk-meliuk bersinar dari dalam di mana Linley dan keluarganya bersama penjaga rumah mereka, Hiri sedang menikmati makan lewat malam mereka di meja makan.
"Linley, ayah dengar kamu sering membawa arnab panggang ke halaman belakang?" Ketika sedang makan, Hogg meletakkan sudu garpunya dan menoleh ke arah Linley.
Linley terkejut.
'Sudah tiba masanya aku membuat pengakuan.' Linley berkata kepada dirinya kemudian melihat ke arah Hogg lalu mengangguk. "Ayah, baru-baru ini saya menemui seekor haiwan comel tinggal di halaman belakang manor kita. Haiwan itu sangat comel. Jadi saya kerap membawa makan untuknya."
"Haiwan comel?" mata si kecil Wharton bersinar.
"Oh."
Hogg mengangguk. "Orang jarang pergi ke belakang sana, sudah tentu ada haiwan di situ. Oh, ya. Lebih kurang seminggu lagi, kota Fenlai sekali lagi akan mengadakan ujian bakat sihir dan pengambilan ahli sihir. Adakah kamu mahu mengambil bahagian?"
"Oh, acara ujian ahli sihir dan pengambilannya?" Linley tiba-tiba teringat akan acara tersebut.
Sinar cahaya yang hanya boleh dilihat oleh Linley keluar dari cincin Naga Pusar dan bertukar menjadi seorang lelaki tua berjanggut putih, Doehring Cowart. Doehring Cowart ketawa ke arah Linley. "Linley, penyertaan dalam ujian ahli sihir dan pengambilannya ialah pilihan kamu. Di bawah tunjuk ajar saya, adakah pencapaian kamu akan kurang daripada akademi ahli sihir?"
Linley bersetuju dengan kata-kata Doehring Cowart.
Doehring Cowart merupakan Ahli sihir Agung tahap Dewa. Adakah mana-mana akademi yang memiliki Ahli sihir Agung tahap Dewa sebagai tenaga pengajar?
"Kenapa? Kamu tak mahu pergi?" Wajah Hogg yang sebelumnya tersenyum kini berubah menjadi dingin sambil dia berkerut.
Hogg masih ingat dengan jelas semenjak peristiwa pertempuran antara ahli sihir dua unsur tahap kelapan dan pasukan kecil pengembara, Linley sangat ingin menjadi ahli sihir. Kenapa sekarang dia berasa ragu-ragu? Dalam hati Hogg, dia juga berharap anaknya itu menjadi ahli sihir.
"Ayah, saya…"
"Jangan, Linley. Terima sahaja tawaran ayah kamu." Doehring Cowart berkerut dan segera berkata.
Kata-kata Linley mati di bibirnya. Pada masa yang sama, dia bertanya dengan curiga, 'Atuk Doehring ada untuk mengajar saya bukan? Dengan adanya tunjuk ajar Atuk, kenapa saya perlu masuk ke akademi ahli sihir? Bukankah ini membazirkan sumber keluarga?'
'Tidak.' Doehring Cowart berkata dengan serius. 'Sudah lima ribu tahun Atuk tidak berinteraksi dengan benua Yulan. Lima ribu tahun, Linley! Kamu harus faham kebanyakan ahli sihir di dunia ini berterusan mengkaji dan memperkembang mantera-mantera baru sepanjang masa. Siapa tahu berapa banyak mantera baru yang dihasilkan dalam masa itu.'
Linley faham.
'Dan Linley, kamu harus sedar pekan Wushan bukanlah medan sesuai untuk kamu kembangkan bakat kamu. Kamu harus melangkah lebih jauh.' Deohring Cowart berkata dengan serius.
'Medan yang lebih besar…"
Fikiran Linley mula berubah.
Dia ingat akan naga Veloci yang besar dan kuasa pemusnah yang dilepaskan oleh 'Tarian Ular Berapi' malah dia juga teringat akan Ahli sihir Agung tahap Dewa yang bernama Rudi, yang mengawal kesemua bongkah-bongkah batu besar hingga menyebabkan bencana.
'Masa depan..'
Jantung Linley mula berdetak laju. Jika suatu hari nanti dia mampu berdiri di atas kepala naga dan mengawal kuasa membawa bencana serta jika dia dapat merasai kuasa berdiri di kemuncak seluruh bangsa manusia, pasti perasaan itu sangat menakjubkan. Apabila dia terfikir akan hal ini, Linley berasa darahnya mula mendidih.
"Linley, apakah yang kamu fikirkan?" Hogg semakin geram. Apabila dia bercakap dengan Linley, Linley seolah-olah sedang berangan.
"Oh, tak ada apa-apa, Ayah!" Linley terus memandang Hogg dan segera mengangguk lalu berkata dengan bersungguh, "Ayah, dalam hati saya, saya memang ingin menjadi ahli sihir. Dalam seminggu ini, saya mohon Ayah uruskan pemergian saya ke kota Fenlai untuk mengambil bahagian dalam ujian serta pengambilan ahli sihir."
Mendengarkan kata-kata Linley, Hogg akhirnya tersenyum.
"Ahli sihir, ooo, ooo seperti ahli sihir mengeluarkan api dari mulutnya?" Wharton menepuk kedua belah tangannya.
"Wharton, itu hanya helah sarkas! Jangan keliru antara helah sarkas dengan sihir sebenar." Hogg berkata dengan nada yang serius.
"Oh", si kecil Wharton memuncungkan bibirnya dan berhenti bercakap.
Linley ketawa kecil dan menoleh ke arah Hogg. "Ayah, tentu ada banyak akademi ahli sihir. Mana yang bagus? Oh ya, adakah terdapat akademi yang menggabungkan pelajaran ahli sihir dan pahlawan?"
Hogg juga ketawa. "Sebenarnya, kesemua empat empayar utama dan kedua-dua pakatan utama mempunyai akademi elit tersendiri. Kamu harus tahu salah satu daripada empat empayar utama, empayar O'Brien mempunyai kuasa ketenteraan yang kuat."
Linley mengangguk. Semua orang tahu fakta tersebut.
"Sekolah paling elit di dalam empayar O'Brien merupakan akademi O'Brien, yang terkenal sebagai akademi pahlawan nombor satu di seluruh benua Yulan. Tetapi bagi akademi sihir pula..." Hogg ketawa kecil. "Akademi ahli sihir nombor satu di seluruh benua Yulan ialah milik Kesatuan Suci. Namanya berasal dari Maharaja Suci terkenal dari Gereja Suci, 'Maharaja Suci Ernst'. Ia bernama 'Institut Ernst'."
"Institut Ernst merupakan akademi ahli sihir nombor satu di dunia. Semua graduan Institut Ernst sekurang-kurangnya ahli sihir tahap enam, dan ada ramai juga yang berada di tahap ketujuh! Sekiranya puak Baruch dapat menghasilkan ahli sihir tahap ketujuh, sekurang-kurangnya kita akan berpeluang untuk mendapatkan semula harta pusaka nenek moyang."
Semasa bercakap, Hogg memandang Linley dengan penuh minat.
Linley dapat merasakan harapan yang diletakkan Hogg ke atas dirinya.
"Harta pusaka nenek moyang kita. Kehilangan pusaka nenek moyang kita merupakan satu penghinaan yang harus kita bersihkan." Hati Linley semakin memberat.
Sebagai keturunan puak purba Berdarah Naga, dia berasa bangga dilahirkan dalam leluhur purba dan perkasa. Namun begitu, puak Pahlawan Berdarah Naga kehilangan harta pusaka moyangnya. Suatu yang memalukan! Hogg dan orang-orang tua yang telah meninggal dunia pasti berasa malu apabila memikirkannya.
Malangnya, keluarga yang mengumpul pedang perang 'Penyembelih' tentu bukan keluarga sembarangan, sementelah puak Baruch kini terlalu lemah.
'Ernst? Maharaja Suci dari Gereja Cahaya yang menjadi legenda?' Doehring Cowart di sebelahnya terkejut.
'Kenapa, Atuk Doehring?' Linley bertanya. 'Saya pasti ratusan juta rakyat daripada enam kerajaan dan lima belas duci Kesatuan Suci semuanya tahu tentang Maharaja Suci Gereja Cahaya yang menjadi legenda.' Linley juga mengetahui peristiwa serta sejarah legenda Maharaja Suci Ernst.
Beliau telah menaikkan nama Gereja Cahaya dan mencipta Kesatuan Suci seorang diri.
'Atuk tidak menyangka budak Erns itu akan mencipta pencapaian setinggi ini. Malah dia juga dinobatkan sebagai Maharaja Suci Gereja Cahaya yang menjadi legenda!' Doehring Cowart mengeluh.
'Atuk Doehring kenal Maharaja Suci Ernst?' Linley agak terkejut.
Tetapi kemudian Linley terfikir.
Benarlah. Suatu ketika dahulu, sewaktu Empayar Pouant masih bersatu, Gereja Cahaja, Kultus Bebayang termasuk Pavilion Dewa-Dewi mempunyai banyak gereja di dalam empayar tersebut. Tetapi kesemua gereja itu di bawah pemerintahan Empayar Pouant.
'Sudah tentulah. Ernst memang seorang genius yang berjaya mencapai tahap Dewa walaupun usianya baru lima puluh tahun. Tetapi semasa zaman Atuk, pencapaiannya itu dianggap agak lewat.' Doehring Cowart berkata dengan tenang.
Sewaktu Doehring Cowart masih hidup, Ernst masih lagi memperkembang dirinya. Apabila Ernst akhirnya mencapai tahap Dewa, Doehring Cowart sudah lama mencipta nama di puncak tertinggi di benua Yulan. Malah, dalam kalangan pahlawan tahap Dewa, Doehring Cowart dianggap salah seorang ahli sihir yang terhebat.
Status Doehring Cowart di dalam Empayar Pouant terlalu tinggi hingga Ernst sendiri tidak mampu mengatasinya.
Jika Ernst berselisih dengannya, beliau perlu menunduk hormat kepada Doehring Cowart.
'Atuk tidak menjangka selepas kematian Atuk, Ernst akan berkembang menjadi seorang yang mengagumkan.' Doehring Cowart ketawa.
Linley tidak dapat menyangkal rasa hormat yang mendalam terhadap Doehring Cowart daripada terbit di dalam hatinya. Seorang Ahli sihir Agung tahap Dewa Empayar Pouant, dan salah seorang yang berkuasa di benua Yulan. Dan kini, Doehring Cowart dengan cermat melatih dirinya tentang sihir. Bertuah sungguh Linley!
Sepanjang mereka makan malam, perbualan semasa ahli puak Baruch agak rancak.
"Linley, dalam masa seminggu, Ayah akan mengarahkan Pak Cik Hillman supaya menguruskan pemergian kamu ke Kota Fenlai dan menghadiri acara pengujian ahli sihir dan pengambilannya." Hogg tersenyum memandang Linley.
"Baiklah, Ayah."
Linley mengangguk.
"Tuan Muda Linley, saya yakin kamu akan terpilih dan diterima masuk ke akademi yang terbaik." Pak Cik Hiri ketawa kecil.
"Yang terbaik. Oh, yang terbaik!" Tangan kecil Wharton diselaputi minyak makanan, tetapi dia masih lagi tersenyum berseri sambil melambaikan tangannya yang berminyak.
Hogg senyum nipis sambil berkata, "Menjadi ahli sihir bukanlah perkara mudah. Mungkin hanya seorang daripada sepuluh ribu orang yang berbakat. Syarat kemasukan ke Institut Ernst lebih tinggi. Hanya mereka yang mempunyai bakat sihir yang sangat tinggi sahaja akan diterima. Jika Linley dapat menjadi ahli sihir, saya sudah berpuas hati tidak kiralah akademi mana yang menerimanya."
"Saya tidak akan menghampakan Ayah," ucap Linley dengan penuh keyakinan.
Kerana sebenarnya Linley, sudah pun menjadi ahli sihir tahap pertama.
…
Masa terus bergerak ke hadapan dan dalam sekelip mata tujuh hari telah berlalu.
Linley sedang berbaring di atas rumput berhampiran halaman belakang, sementara si Tikus Bebayang kecil sedang melompat-lompat di sekeliling Linley. Ia mendecit tanpa henti namun Linley tidak mengendahkannya.
Si Tikus Bebayang kecil membulatkan matanya, kemudian berdiri dengan kaki belakangnya sambil meletakkan kaki hadapan di atas badan Linley.
"Decittt." Tikus Bebayang itu melahirkan rasa kurang senangnya.
Linley mengusap kepala si Tikus Bebayang kecil itu. "Baiklah, berhenti berbuat kecoh. Esok, saya akan meninggalkan rumah untuk pergi ke ibu kota. Selepas acara pengambilan ahli sihir tamat, saya akan masuk ke dalam akademi. Saya bimbang kita tidak mempunyai peluang untuk bertemu lagi selepas itu."
Tidak mungkin dia boleh membawa si Tikus Bebayang kecil itu masuk ke akademi ahli sihir.
Tiada seorang pun pelajar akademi ahli sihir itu seorang yang biasa, dan ramai antara mereka merupakan ahli sihir yang kuat. Jika mereka menemui si Tikus Bebayang kecil itu, kemungkinan besar mereka akan menawan dan menjinakkannya. Ahli sihir tahap ketujuh dan kelapan juga ada di dalam akademi. Menangkap si Tikus Bebayang kecil bukanlah sesuatu yang sukar bagi mereka.
Lagipun, dia masih belum membina ikatan dengan si Tikus Bebayang kecil, jadi sesiapa sahaja boleh menawan dan menjinakkannya.
"Senguk, senguk..." Mendengarkan bicara Linley, si Tikus Bebayang kecil turut tersenguk-sengak dengan suara yang rendah.
"Kamu tidak faham pun apa yang saya katakan," Linley menggelengkan kepalanya.
"Saya tidak tahu berapa lama masa yang perlu saya habiskan di akademi ahli sihir atau berapa tahun saya akan berada di sana. Adakah kita akan berjumpa lagi?" Linley mengusap bulu si Tikus Bebayang kecil, bagaikan tidak mahu berpisah dengannya. Selepas sebulan bermain dengan si Tikus Bebayang kecil itu, dia benar-benar telah jatuh sayang kepadanya.
Si Tikus Bebayang kecil itu berasa seronok diusap begitu hingga matanya semakin mengecil sambil mendecit perlahan tanda berpuas hati.
…
Selepas makan tengah hari keesokan harinya, keluarga Baruch berkumpul di halaman hadapan.
Hogg berdiri di situ, tegak seperti tiang. Sambil merenung tepat ke mata Linley, dia berkata, "Linley, pekan Wushan terletak tidak jauh dari ibu kota, cuma dalam 90 kilometer. Kamu sepatutnya tiba di ibu kota sebelum malam berlabuh. Ingat, apabila kamu tiba di sana, jagalah kelakuan kamu. Terdapat ramai orang kaya dan berkuasa di ibu kota."
"Baik, Ayah." Linley berkata sambil menunduk hormat.
"Hillman, saya serahkan Linley dalam jagaan kamu." Hogg memandang Hillman yang berada berhampirannya.
Hillman senyum sambil berkata, "Tuan Hogg, jangan bimbang."
"Baiklah, kamu boleh bertolak sekarang." Hogg ketawa.
"Selamat tinggal, Ayah." Linley berkata penuh hormat dan kemudiannya melemparkan senyuman kepada si kecil Wharton. "Wharton, Abang pergi dulu, ya?"
Si kecil Wharton segera mengecilkan matanya ketika melihat Linley. "Selamat tinggal, Abang!"
Linley menoleh ke arah halaman belakang, sambil berfikir sendiri, 'Aku bimbang tiada siapa yang akan memberi daging kepadanya beberapa hari ini.' Hillman yang berada di sisinya berkata, "Linley, ayuh!"
"Baik, Pak Cik Hillman."
Linley berhenti memikirkannya dan segera menurut langkah Pak Cik Hillman keluar dari manor.
"Decit." Di atas bumbung ruang tamu manor puak Baruch, si Tikus Bebayang kecil memerhati Linley dan Hillman bertolak. Timbul pelbagai pertanyaan di minda si Tikus Bebayang kecil itu. Dari pandangan matanya, ini ialah waktu Linley memburu arnab liar. Mengapa dia membawa beg dan berlalu pergi dengan seseorang?
Si Tikus Bebayang kecil itu sangat menyukai Linley.
Sepanjang sebulan lepas, si Tikus Bebayang Kecil yang tidak mempunyai kawan itu benar-benar menganggap Linley sebagai keluarganya.
"Decit!"
Badan si Tikus Bebayang kecil itu meliuk-liuk dan dalam sekelip mata, ia lenyap dari cucur atap manor Baruch. Dalam dua atau tiga pergerakan, ia bergerak dan muncul semula di atas bumbung rumah seorang orang kampung, masih memerhatikan Linley dan Hillman. Ia mengekori Linley dari belakang dan akhirnya si Tikus Bebayang kecil itu meninggalkan pekan Wushan.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT