'Linley, jangan mengalah. Atuk hanya bermaksud tiada cara untuk memaksanya tunduk kepada kamu. Atuk tidak mengatakan ia mustahil untuk menjinakkannya.' Doehring Cowart ketawa kuat. 'Jika makhluk ajaib itu merupakan Tikus Bebayang dewasa, Atuk sendiri tidak dapat membantu kamu, tetapi... ia hanya bayi Tikus Bebayang. Sebagai seorang Ahli sihir Agung tahap Dewa, Atuk mempunyai cara yang berkesan untuk menangkap bayi Tikus Bebayang. Di samping itu, kamu tidak perlu menggunakan formasi sihir pengikat jiwa.'
Fikiran Linley yang baru tenang gelisah semula. Dia menoleh ke arah Doehring Cowart dan memandangnya dengan mata bersinar.
'Atuk Doehring, cepatlah beritahu saya, apakah rancangan Atuk?' Linley yang teruja bercakap di dalam kepalanya.
Doehring Cowart berkata dengan senyuman puas, 'Mudah sahaja. Teknik 'pengikat jiwa' yang digunakan oleh formasi ajaib pengikat jiwa menghasilkan ikatan tuan dan hamba. Sewajarnya, jika seseorang dapat menundukkan makhluk ajaib, dia layak menjadi tuannya. Buat masa sekarang, tiada jalan untuk kita memulakan 'ikatan tuan dan hamba', jadi kita hanya boleh berundur selangkah... dan memulakan 'ikatan setaraf' dengan Tikus Bebayang itu. '
'Ikatan setaraf?' Linley bertanya ingin tahu. 'Apa tu? Tidak pernah saya mendengarnya.'
'Ia perkara biasa jika kamu tidak pernah dengar mengenainya. Malah, lima ribu tahun lalu, semasa zaman saya masih hidup, hanya segelintir yang mengetahui tentang 'ikatan setaraf' ini.' Mata Doehring Cowart berkedut sambil tersenyum. 'Membina 'ikatan setaraf' bermakna kamu dan makhluk ajaib tersebut berkongsi status yang sama dalam perhubungan, iaitu tiada sesiapa yang menjadi tuan dan tiada sesiapa yang menjadi hamba. Sebenarnya, 'ikatan setaraf' ini memberi kamu hubungan yang lebih akrab dengan makhluk ajaib kamu dan mereka akan lebih senang membantu kamu, memberikan kerjasama yang baik.'
Linley kini semakin faham.
'Oh, Atuk Doehring, daripada apa yang Atuk katakan, lebih banyak manfaat yang diperoleh daripada 'ikatan setaraf'. Mengapa tidak ramai orang menggunakan cara ini?' tanya Linley.
Doehring Cowart ketawa dengan kuat. 'Kerana, 'ikatan setaraf' ini tidak dimulakan oleh manusia tetapi dimulakan oleh makhluk ajaib itu sendiri.'
'Dimulakan oleh makhluk ajaib?' Linley tergamam.
Patutlah formasi ajaib pengikat jiwa tidak diperlukan. Ikatan ini dimula oleh makhluk ajaib itu sendiri. Doehring Cowart menyambung, 'Setiap makhluk ajaib, sewaktu lahirnya mempunyai kebolehan untuk memulakan 'ikatan setaraf' tetapi sepanjang hidup mereka, makhluk ajaib dapat memasuki ikatan ini sekali sahaja. Ia bukanlah seperti pengikat jiwa tuan dan hamba, di mana jika tuan itu memutuskan hubungan tersebut, maka orang lain boleh menggunakan teknik pengikat jiwa untuk menjinakkan makhluk ajaib itu semula.'
Linley mengangguk.
'Akan tetapi meyakinkan makhluk ajaib untuk memulakan 'ikatan setaraf' sesuatu yang sukar,' Doehring Cowart meneruskan lagi dengan nada yang serius. 'Kamu perlu meyakinkan makhluk ajaib itu kamu seperti keluarganya dan buat ia percaya ia tak akan sanggup untuk berpisah dengan kamu. Hanya dengan cara itu ia akan memasuki 'ikatan setaraf' dengan kamu secara sukarela.'
Linley mengangguk.
'Makhuk ajaib dewasa mempunyai kepintaran yang tinggi, jadi jika meyakinkan makhluk ajaib itu untuk percaya kamu seperti keluarganya ialah agak mustahil.' Doehring Cowart mengeluh. 'Tetapi bayi sangat berbeza. Ia seperti bayi manusia yang memiliki kepintaran yang rendah dan dalam masa yang singkat boleh menyukai kamu seperti apabila kamu memberinya makan. Kepintaran bayi makhluk ajaib sangatlah rendah. Semakin kerap kamu memberinya makan, semakin ia suka kepada kamu. Kemudian, peruntukkan masa untuk bermain bersamanya. Dalam masa yang singkat, makhluk ajaib ini akan sayang kepada kamu. Terutamanya bagi bayi makhluk ajaib yang telah terpisah daripada komunitinya, ia lebih mudah untuk dijinakkan.'
Mendengarkan kata-kata Doehring Cowart, Linley merasakan seolah-olah beban berat telah diangkat daripada bahunya.
'Bagaikan memujuk anak kecil.' Linley ketawa.
Dia sememangnya mempunyai pengalaman dalam hal ini. Sejak kecil, dia sering menemani adiknya, Wharton, bermain bersama dan memujuknya. Linley sememangnya pakar dalam hal ini.
'Linley, jangan terlalu yakin. Jika kamu mahu memujuk bayi makhluk ajaib, kamu perlu memberi perhatian kepada banyak perkara. Jika kamu tidak berhati-hati, si kecil Tikus Bebayang ini boleh menggigit kamu.' Doehring Cowart mengingatkan Linley.
'Menggigit saya?'
Linley melihat dari jauh Tikus Bebayang itu. Bunyi dia sedang menghancurkan batu dapat didengar dari jauh. Tikus Bebayang itu mengunyah batu itu dengan mudah sekali seperti Linley biasanya mengunyah roti. Linley tidak sedikit pun mempersoalkan ketajaman gigi Tikus Bebayang ini.
'Jadi apa yang patut saya lakukan?' Keyakinan Linley perlahan-lahan hilang.
'Tenang. Berdasarkan cara Atuk, kamu tidak akan mempunyai masalah. Berdasarkan 'idea janggal' yang Atuk, kamu hanya perlukan masa dan kesabaran. Jangan mudah marah dan hilang sabar.' Doehring Cowart mula menerangkan tentang 'idea janggalnya'. 'Linley, Tikus Bebayang ini merupakan haiwan omnivor. Ia akan makan apa saja. Tulang, batu, daging. Tetapi makanan kegemarannya tetap daging terutamanya daging panggang. Ini berdasarkan pengalaman serta pemerhatian nenek moyang.'
'Oleh itu, pergi ke Gunung Wushan dan bunuh beberapa haiwan dan kemudian letakkan daging yang telah dimasak itu di atas lantai jauh sedikit daripadanya. Ingat, jangan cuba untuk menghampirinya. Setiap kali ia makan, tunggu sehingga ia datang kepada kamu.' Doehring Cowart ketawa. 'Jika kamu cuba menghampirinya, ia mungkin akan menyerang kamu kerana takut! Tetapi jika dia datang sendiri kepada kamu, kamu tak akan berdepan dengan bahaya.'
'Kaedah ini agak janggal tetapi selamat,' Doehring Cowart berkata sambil tersenyum.
Linley faham.
Kaedah ini mungkin sedikit janggal tetapi ia ringkas dan mudah.
'Atuk Doehring, tidakkah Tikus Bebayang ini akan merayau-rayau?' Linley bimbang sekembalinyanya dia daripada mendapatkan daging panggang, dia akan mendapati Tikus Bebayang itu sudah tiada. Dia tidak akan boleh untuk berbuat apa-apa.
'Siapa tahu? Ia bergantung kepada tuah kamu. Tetapi Atuk percaya dalam tempoh masa singkat ini, ia tidak akan ke mana-mana,' kata Doehring Cowart.
'Baiklah, saya akan dapatkan daging.' Linley mengangguk kemudian berlari ke Gunung Wushan. Langkahnya kuat tetapi anehnya, tiada satu pun bunyi yang terhasil. Ini membuktikan keupayaan seseorang sebagai ahli sihir unsur tanah.
Selepas keluar dari pagar manor, Linley berlari pada kadar biasa dan kedengaran langkahnya.
"Tuan Muda Linley, kamu mahu ke gunung semula?" tanya Pak Cik Hiri dengan penyapu di tangan, sedang menyapu lantai. Dia ternampak Linley dan melemparkan senyuman kepadanya.
"Ya." Linley menjawab ringkas lalu mempercepatkan langkahnya.
Sepanjang setengah tahun ini, Linley pergi ke Gunung Wushan untuk berlatih seni sihir hampir setiap waktu tengah hari. Tiada siapa yang tahu apa yang dilakukannya. Tetapi mereka semua tahu pada waktu tengah hari, Linley suka menghabiskan masanya bermain di gunung.
…
Musim luruh. Banyak pokok menggugurkan daunnya tetapi masih banyak lagi pokok menghijau, dan beberapa pokok maple dipenuhi dengan daunnya yang berwarna merah.
Bayang-bayang pantas dan lincah dapat dilihat merentasi hutan di pergunungan. Linley berlari dengan senyap tetapi lincah dan pantas. Selepas menyerap intipati tanah selama enam bulan, Linley bukan sahaja memiliki daya sihir, kekuatan fizikalnya juga telah meningkat.
Pada ketika ini, tubuh badan Linley menyamai tubuh badan remaja berusia 15 ke 16 tahun di pekan Wushan dan memiliki kekuatan pahlawan tahap satu.
Terdapat banyak tupai dan arnab di kawasan pergunungan Wushan, dan tidak banyak binatang liar. Inilah sebab mengapa kebanyakan orang dewasa tidak bimbang jika anak-anak mereka bermain di kawasan pergunungan. Lagipun, pergunungan Wushan hanyalah bukit kecil, tidak banyak binatang besar dan apatah lagi makhluk ajaib di sini.
Langkah Linley tiba-tiba terhenti sewaktu dia melihat seekor arnab berwarna kuning sedang memakan rumput.
Arnab liar yang sangat peka juga langsung tidak dapat mengesan Linley.
'Arnab liar mempunyai tindak balas yang cepat dan pergerakannya juga sangat pantas. Lebih baik saya menggunakan sihir.' Linley segera membaca mantera ajaib.
Linley merasakan di tengah-tengah dadanya, ledakan kecil daya sihir unsur tanah mula bergetar. Kebanyakan pahlawan menyimpan qi-tempur mereka kira-kira 10 sentimeter di bawah pusat mereka tetapi ahli sihir menyimpan daya sihir mereka di tengah-tengah dada. Tenaga spiritual tentulah tersimpan di dalam kepala mereka.
Tidak banyak beza jika mantera ajaib dibaca perlahan ataupun dijeritkan. Apa yang penting sekarang, memastikan tenaga spiritual seseorang itu dipandu oleh tenaga yang dilepas oleh mantera.
Dalam beberapa saat, Linley selesai membaca mantera dan matanya bersinar ketika dia merenung arnab itu.
Unsur tanah, sihir tahap pertama, Pancang Bumi!
Poof!
Pancang yang tajam keluar tepat dari bawah di mana arab liar itu berada, menusuk tepat ke dadanya. Darah merah mengalir mewarnai bulunya. Terkejut dengan serangan hendap itu, arnab liar itu berusaha untuk melepaskan dirinya tetapi itu hanya membuatkan ia kehilangan darah dengan lebih cepat.
Linley segera berlari lalu menyambar leher arnab itu dengan sekali genggam. PATAH! Arnab itu yang sebelum ini meronta-ronta kesakitan, mengerenyet dua kali dan terdiam. Sejak melihat dua pertarungan setengah tahun yang lalu, sifat dahagakan darah dalam diri Linley semakin membuak.
'Saya pahlawan tahap pertama dan juga ahli sihir tahap pertama tetapi dari aspek serangan, kuasa sihir saya lebih kuat.' Sambil memegang leher arnab itu, Linley tidak dapat mengawal dirinya daripada ketawa dan mengeluh.
Ahli sihir dibahagikan kepada sembilan tahap dan menjadi ahli sihir tahap satu ialah mudah. Tetapi selepas itu, keadaan akan menjadi semakin sukar dan memerlukan masa yang lebih lama untuk naik ke setiap tahap seterusnya! Ramai ahli sihir mahir tahap ketujuh atau kelapan menghabiskan masa ratusan tahun dan masih lagi mengalami kesukaran untuk mencapai tahap seterusnya.
Tetapi bagi tahap pertama, setengah tahun sudah cukup bagi seseorang yang berbakat. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai bakat, selagi mereka memenuhi syarat asas untuk menjadi ahli sihir, dua atau tiga tahun sudah cukup untuk mereka menjadi ahli sihir.
Dengan arnab dalam genggamannya, Linley segera berlari turun dari gunung itu.
'Linley, kenapa kamu tidak memasaknya? Walaupun Tikus Bebayang boleh makan daging mentah tetapi kegemarannya ialah daging yang dimasak.' Suara Doehring Cowart bergema di dalam minda Linley.
'Atuk Doehring, saya yakin Atuk tidak pernah memujuk kanak-kanak sebelum ni.' Linley membalas dalam nada yang mengusik sambil berlari.
Doehring Cowart terperanjant. Dia tidak pernah mempunyai cucu, dan mengapa seorang Ahli sihir Agung seperti dirinya perlu merendahkan dirinya untuk memujuk kanak-kanak?
'Um, tidak. Atuk tidak pernah.' Doehring Cowart terpaksa mengakuinya.
Linley dengan yakin berkata, 'Saya sering memujuk Wharton. Mari saya beritahu, jika Atuk mahu beri sesuatu kepada kanak-kanak, Atuk tidak boleh berikan barang yang terbaik. Jika tidak, pada masa akan datang, mereka akan menginginkan barang yang lebih hebat lagi. Sekarang, Tikus Bebayang ini mengunyah batu. Jika saya berikan daging mentah, dia pasti akan gembira. Saya akan berikannya daging mentah selama tujuh ke lapan hari dan kemudian barulah saya beri ia daging masak. Itu pasti akan membuatkannya lebih gembira.'
Doehring Cowart segera memahami.
Lagi berumur, seseorang akan lebih licik. Bagaimana dia gagal memahami logik ini? Ini kaedah sama yang dia gunakan apabila berhadapan dengan orang bawahan. Pertama, berikan mereka rasa sedikit sahaja dan kemudian barulah berikan lebih. Jika kamu berikan lebih pada awalnya, pasti sukar untuk memenuhi kehendak mereka kemudiannya.
'Saya baca semua ini dalam buku berkenaan cara membesarkan monyet. 'Mengatakan tiga pagi dan kemudian naik ke empat petang' jauh lebih berkesan berbanding ;mengatakan empat pagi dan kemudian menurunkan kepada tiga pada waktu petang'.' Linley tersengih.
Doehring Cowart merasakan walaupun Linley baru berusia lapan tahun tetapi daya fikirkanya tidak kurang daripada orang dewasa.
'Nampaknya, kaedah pendidikan puak Baruch memang lebih berkesan.' Doehring Cowart diam-diam memuji. Pendidikan dapat meningkatkan pengetahuan seseorang tetapi kebanyakan orang biasa tidak mempunyai akses kepada pendidikan. Kebanyakan orang biasa sama ada tidak mempunyai bakat atau tidak mampu membayar yuran untuk memasuki akademi ahli sihir ataupun akademi pahlawan yang bagus.
…
Tiada seorang pun penduduk pekan Wushan yang melihat Linley berlari ke rumah dengan membawa arnab liar di tangannya sebagai sesuatu yang ganjil. Sebenarnya, sejak Linley belajar sihir 'Pancang Bumi', dia kerap membawa balik arnab liar.
"Tuan Muda Linley begitu hebat. Dia menangkap seekor lagi arnab liar." Orang-orang di pekan itu tersengih apabila Linley berlalu di hadapan mereka.
Linley juga akan tersenyum sopan ke arah mereka apabila terserempak dengan mereka.
'Agaknya Tikus Bebayang akan makan sesuatu yang disediakan oleh orang lain atau atau tidak.'
Menghela nafas panjang, Linley memasuki manor keluarganya dan segera ke halaman belakang. Dengan langkah berhati-hati, dia menghampiri lokasi Tikus Bebayang tadi muncul. Langkahnya langsung tidak menghasilkan sebarang bunyi. Dalam masa yang singkat, Linley kembali kepada kedudukan asalnya.
'Di mana Tikus Bebayang tadi?' Linley memerhatikan bangunan usang tersebut. Selain daripada beberapa runtuhan dan daun yang layu, dia tidak nampak apa-apa.
Sesetengah batu di situ nampak seperti sudah dikunyah. Walaupun sudah meneliti seluruh kawasan dalam bangunan, bayang Tikus Bebayang pun dia tidak nampak. Linley berasa sedih dan kecewa. "Atuk Doehring, Tikus Bebayang tiada lagi di sini. Padahal baru sahaja sejam. Adakah ia sudah pergi dari sini?"
Sinar cahaya keluar dari cincin Naga Pusar dan bertukar menjadi lelaki tua berjubah putih, Doehring Cowart.
Doehring Cowart juga turut berkerut keliru. "Tak mungkin. Baru sahaja sejam berlalu. Tak mungkin ia sudah pergi?"
Tiba-tiba!
* Kerap-kerup * Bunyi mengunyah yang perlahan kembali kedengaran. Mata Linley kembali bersinar dan dia segera berpaling dan menuju ke arah halaman usang berhampiran. Dari laluan masuk, dia jelas dapat melihat Tikus Bebayang Hitam sedang mengunyah batu di satu sudut, tidak bergerak. Dia kelihatan seperti pengukir, mengunyah setiap batu menjadi bentuk-bentuk aneh yang mengejutkan.
Linley berdiri di laluan masuk.
Ketik! Linley sengaja menghentak kakinya ke pintu dan membuat bunyi.
"Eek!"
Tikus Bebayang itu segera bergerak dan dalam sekelip mata, ia muncul sepuluh meter jauhnya. Kedua belah mata jernih itu merenung ke arah laluan masuk dan ia terus ternampak Linley. Matanya dalam keadaan awas.
"Mari sini, ini makanan untuk kamu."
Linley tersenyum ke arah Tikus Bebayang kemudian mencampak arnab liar itu di hadapan pintu. Mungkin Tikus Bebayang itu tidak faham bahasa manusia, tetapi Linley tahu makhluk ajaib yang bijak pasti memahami maksud di sebalik senyumannya.
Lagipun, makhluk ajaib tidak seperti binatang buas. Tahap kepintarannya hanya sedikit rendah berbanding manusia dan sesetengah makhluk ajaib sangat licik.
'Jangan menggesanya, jangan menggesanya.' Linley mengingatkan dirinya berkali-kali dan memaksa dirinya berjalan pergi dari situ.
Tikus Bebayang itu nampak Linley beredar, dan memandang ke arah arnab liar itu. Ia dapat bertahan sekejap saja. Kemudian sepantas kilat ia tiba di hadapan pintu sambil memerhatikan Linley yang menjauh. Barulah dia melihat arnab liar itu. Tikus Bebayang itu sangat teruja dan gembira sehingga dia melompat-lompat.
"Decit, decit!" Tikus Bebayang itu mula membuat bunyi menunjukkan kegembiraannya.
Kemudian dia terus memakan arnab itu. Giginya yang tajam mengunyah dengan pantas sekali. Walaupun Tikus Bebayang mempunyai badan yang kecil dan arnab itu lebih besar daripadanya, selain daripada bulu, habis dilahap. Malah tulang arnab itu juga tiada yang tertinggal.
"Burppp!" Tikus Bebayang kecil itu sendawa dan membuat gerakan seperti manusia, ia meraba perutnya kekenyangan.
Berbanding batu, jelas sekali daging mentah hidangan yang lebih lazat.
Selepas menghabiskan makanannya, Tikus Bebayang itu sekali lagi mengerling ke arah di mana Linley beredar. Bayi Tikus Bebayang ini segera merasakan hubungan persaudaraan dengan anak muda itu. Tambahan pula, ia baru sahaja dilahirkan, bayi makhluk ajaib. Bayi Tikus Bebayang itu mula menaruh harapan. Adakah anak muda itu akan kembali dengan membawa arnab liar lagi?
Hari yang sama sebelum makan malam.
'Agaknya Tikus Bebayang kecil itu makan atau tidak arnah tadi?' Linley berada di halaman belakang manor, berjalan ke arah di mana dia meletakkan arnab liar itu.
'Linley, jangan bimbang. Makhluk ajaib itu masih bayi. Ia sentiasa lapar.' Ketawa riang Doehring Cowart bergema dalam minda Linley.
Linley mengangguk sedikit. Dia segera tiba di laluan masuk tadi dan nampak bulu dan darah arnab berserakan di laluan itu. Tetapi daging dan tulang arnab itu telah tiada. Melihat keadaan itu, mata Linley bersinar.
"Bagus!" Linley menggengam penumbuknya.
Langkah pertama sudah berjaya. Sekarang yang tinggal hanyalah ketabahan!
Tengah hari keesokannya, Linley membunuh seekor lagi arnab liar dan juga seekor ayam hutan. Dia memberikan arnab liar itu kepada Pak Cik Hiri untuk hidangan makan malam dan dia mencampak ayam liar itu di tempat yang sama dia tinggalkan arnab liar semalam, di laluan masuk ke halaman.
"Tikus Bebayang itu sedang merenung saya." Linley ketawa kecil apabila ternampak Tikus Bebayang itu memerhatikannya berjalan masuk ke halaman.
"Linley, nampaknya, segalanya berjalan dengan lancar. Ia tidak lagi lari apabila melihat kamu. Ini bermakna ia tidak lagi menganggap kamu sebagai ancaman." Melihatkan keadaan tersebut, Doehring Cowart dalam diam berasa gembira untuk Linley. Linley sungguh bertuah bertemu dengan bayi makhluk ajaib yang berkuasa ini.
'Apalah agaknya ibu bapa makhluk kecil itu sedang lakukan.' Doehring Cowart dalam diam berasa curiga.
Selepas meletakkan ayam hutan di laluan masuk, Linley berkata sepatah dua kepada bayi Tikus Bebayang itu sebelum tersenyum dan berlalu pergi. Tetapi kali ini Tikus Bebayang kecil itu tidak melarikan diri, sebaliknya memerhatikan Linley dari jauh. Tidak lama selepas itu, Tikus Bebayang kecil itu berlari keluar melompat-lompat. Ia melihat sekelilingnya dan apabila dia melihat Linley yang menjauh, dia tidak lagi berasa takut. Dia segera menundukkan kepalanya dan mula memakan ayam hutan itu.
…
Hari ketiga. Hari keempat. Hari kelima.
Aktiviti ini berterusan. Hari demi hari, Linley meneruskan latihan takafur sementara memburu arnab liar dan juga haiwan lain untuk dimakan Tikus Bebayang kecil itu. Tiada seorang pun di pekan Wushan, termasuklah Hogg dan Hillmam, yang mengetahui Linley sedang mempelajari sihir. Malah, mereka juga tidak tahu Linley sedang menjaga bayi makhluk ajaib yang sudah mempunyai kuasa tahap keempat!
Hanya Doehring Cowart sahaja yang mengetahuinya, sambil dia melihat Linley yang semakin matang.
'Pekan kecil Wushan ini tidak cukup luas untuk Linley.' Melihatkan Linley sedang asyik bertakafur untuk melatih sihirnya, Doehring Cowart berasa sedikit teruja. 'Lambat laun lagi, dia akan bersama Tikus Bebayang Violet dewasa dan melangkah keluar ke dunia luas benua Yulan.'
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT