Jelas sekali, lelaki berjubah hijau yang mempunyai pedang itu bernama Dillon manakala lelaki berjubah kelabu itu bernama Rudi.
Naga Hitam yang berada di bawah lelaki berjubah kelabu itu menghembus api hitam, mengelilingi lelaki berjubah hijau dan melingkar seperti asap. Tiba-tiba, mata lelaki berjubah hijau bersinar dengan cahaya hijau yang terang dan seluruh tubuhnya dikelilingi oleh aura hijau pelindung, menghalang api daripada mencederakannya walaupun sedikit. Pada masa yang sama, bunyi nyaring pedang kedengaran.
Bunyi yang terhasil itu lebih kuat dan lebih jelas daripada ngauman naga, tersebar ke seluruh langit dan bumi.
Lelaki berjubah hijau itu mengeluarkan pedang panjangnya. Tiba-tiba, mata pedang yang besar dan tidak jelas bentuknya mencecah puluhan meter panjang muncul. Ia terhunus ke udara, menyerang lelaki berjubah kelabu dengan tangkas. Lelaki berjubah kelabu itu memandang dingin pedang cahaya itu. Dia langsung tidak bergerak. Namun bibirnya terus-menerus menggumam mantera ajaib.
'Adakah itu mata pedang? Mata sebuah pedang yang yang besar?' Sewaktu berlari ke arah gudang, Linley masih lagi tertoleh-toleh memerhatikan pertarungan tersebut. 'Bagaimana lelaki berjubah kelabu itu mahu menangkisnya? Menggunakan Naga Hitam?'
* Dentum! *
Naga Hitam sama sekali tidak menghalangnya. Ia membiarkan mata pedang itu terkena pada lelaki berjubah kelabu. Serta-merta jubah kelabu lelaki itu meletup ke segenap arah. Setelah itu, satu perisai perlindungan pertempuran muncul di bawahnya. Perisai tersebut sungguh bersinar menyilaukan pandangan bagaikan diperbuat daripada berlian.
Pelanggaran mata pedang dengan perisainya langsung tidak mencederakan diri lelaki berjubah kelabu itu.
'Bagaimana mungkin ia terjadi?' Linley benar-benar ketakutan.
Oleh sebab Linley tidak melihat jalan di hadapannya, Linley tersadung batu lalu jatuh tersembam di tanah. Namun, dia masih tetap menyaksikan pertempuran tersebut. 'Perisai jenis apakah itu? Bagaimana kebolehan pertahanannya begitu kuat?'
"Linley, cepat! Berhenti berangan!" Melihatkan Linley, Hogg tidak dapat menahan dirinya daripada menjerit dengan kuat.
"Baik, Ayah!" Linley tersedar. Dia segera berdiri dan berlari ke arah gudang.
* Deram-derum * Tiba-tiba bunyi menakutkan kedengaran di langit, diikuti dengan bunyi pekikan yang menggegarkan seluruh pekan Wushan. Linley sekali lagi menoleh ke arah langit timur untuk melihat apa yang berlaku. Sekilas pandang itu mengejutkannya sekali lagi.
Langit timur dipenuhi bongkah batu yang mana setiap satunya sebesar sebiji rumah.
* Swoosh, swoosh, swoosh! *
Semua bongkah batu sebesar rumah itu diselubungi cahaya berkelip berwarna kuning pasir. Batu-batu itu merentasi udara dengan kelajuan yang menakjubkan seakan-akan meteor menuju ke arah lelaki berjubah hijau. Setiap seberat batu puluhan juta paun. Setiap bongkah batu lebih berat dan lebih besar daripada batu-batu yang digunakan oleh tarbil semasa peperangan.
Dinding-dinding kota juga tidak dapat bertahan dek hentakan yang begitu kuat.
Setiap sebiji bongkah batu itu sudah pun membawa daya yang cukup kuat. Namun kini seluruh langit dipenuhi dengan bongkah batu yang menuju ke arah lelaki berjubah hijau. Setiap penduduk pekan Wushan terkejut melihatnya.
* Dentum! *
Sebaik sahaja bongkah batu gergasi itu menghampiri lelaki berjubah hijau, jumlah cahaya hijau yang melindungi badannya juga semakin terang. Dia bertukar menjadi matahari hijau, memancarkan cahaya hijau menyinari seluruh arah.
Bongkah batu yang tidak terhitung banyaknya itu bertumpu kepada lelaki berjubah hijau seperti titisan air dalam hujan ribut.
Dalam sekelip mata, seolah-olah dia telah dikelilingi batu sepenuhnya. Cahaya hijau boleh dilihat melalui celahan-celahan kecil di antara batu.
"Hancurkan!"
Dengan bunyi retakan yang kuat, satu persatu bongkah batu gergasi itu mula meletup dan menjadi serpihan kecil oleh Qi-tempur yang menakutkan itu. Setiap bongkah batu gergasi yang bersaiz sebuah rumah berkecai menjadi serpihan yang terpelanting ke seluruh arah.
Mereka berada beratus meter jauhnya. Namun apabila ditembak dengan kekuatan Qi-tempur, runtuhan itu terpelanting jauh dengan jarak yang luar biasa.
"Oh, tidak!" Wajah Hogg bertukar pucat. Hillman yang masih lagi berada di lorong-lorong pekan Wushan turut menjadi pucat melihatkan pertempuran tersebut. Mereka tahu…
Bencana akan melanda pekan Wushan!
Batu-batu yang tidak terkira banyaknya, berukuran diameter dari dua meter sehingga bersaiz manusia, tanpa ritma atau pola tertentu. Setiap bongkah batu gergasi menghasilkan sepuluh, jika bukan seratus serpihan. Kira-kira 20 peratus daripada batu-batu itu akan menghujani seluruh arah di pekan Wushan.
"Lekas. Masuk ke dalam cepat!" Hogg begitu gelisah dan menjerit marah.
Pada ketika ini, Linley masih berada puluhan meter jauh dari arah gudang. Mendengar jeritan marah bapanya, Linley kembali fokus dan berlari ke arah gudang dengan pantas. Sewaktu berlari, Linley dapat mendengar satu persatu bunyi dentuman. Bunyi batu yang tidak terkira banyaknya mula menghujani pekan Wushan.
Situasinya seperti gempa bumi sedang berlaku. Gambaran bencana besar.
* Whoosh! * Sebuah bongkah batu gergasi seberat beratus paun melintasi Linley dan terhempas tidak jauh dari kaki Linley. Ia menghasilkan sebuah kawah besar. Linley dapat merasakan peluh sejuk mengalir di belakang badannya. Jika trajektori hempasan itu beralih sedikit, nyawanya pasti melayang.
* Dentum! * *Dentum! * * Dentum! * * Dentum!*
Bunyi batu menghancurkan rumah kedengaran. Bunyi batu yang terhempas ke tanah, bunyi batu menghancurkan kayu, dan bunyi mereka yang menjerit kesakitan… Pelbagai bunyi ini bercampur tanpa henti menghasilkan sebuah simfoni bencana.
* Dentum! * Satu lagi batu gergasi terhempas di atas tanah di hadapan Linley, memaksanya melompat ke belakang dengan pantas.
Tetapi jika dia asyik terpaksa mengelak begini, bagaimana dia hendak ke gudang untuk dan bersembunyi?
"Tuan Muda Linley, cepat!" Seorang lelaki keluar dari gudang. Dia Pak Cik Hiri, penjaga rumah mereka. Badannya diselubungi dengan Qi-tempur merah dan dia segera berlari ke arah Linley.
"Abang, cepat!"
Di hadapan pintu gudang, Wharton yang berusia empat tahun menangis sambil menjerit ke arah Linley.
"Wharton, masuk ke dalam sekarang!" Linley menjerit marah.
* Dentum! * Sebiji batu besar berdiameter dua meter melayang dari jauh, menuju ke arah gudang. Linley sedar jika batu itu terhempas ke gudang, Wharton mungkin mengalami kecederaan teruk ataupun mati!
"Cepat Wharton, masuk ke dalam!" Mata Linley terbeliak hingga nampak kemerah-merahan. Dia menjerit marah sambil berlari sepantas mungkin menuju ke arah gudang.
Dia tidak lagi menumpukan perhatian terhadap batu yang menghujaninya mahupun mengelak daripadanya. Dia berlari dalam garisan lurus menuju ke gudang.
Hiri sedang memandang Linley dan tidak perasan akan batu gergasi yang sedang menuju ke arah gudang. Tetapi Linley dapat melihat dengan jelas. Jika batu itu terhempas dan menghancurkan ruang itu, bagaimana si kecil Wharton boleh terselamat?
"Tuan Muda Linley?" Hiri terkejut melihat tindakan Linley.
Tiga lagi batu gergasi terhempas berhampiran Linley. Linley bergerak lincah seperti seekor harimau kumbang dan terus menuju ke hadapan. Pandangannya dihala ke arah si kecil Wharton sebaik sahaja dia masuk ke dalam gudang. Hiri menoleh ke belakang dan baru menyedari batu sebesar dua meter sedang menghampiri gudang. Wajahnya bertukar pucat.
"Baring!" Linley menjerit marah, wajahnya bertukar garang.
Wharton tidak pernah melihat abangnya marah sebegini. Dia yang ketakutan segera baring. Matanya berkaca. Dia melihat abangnya dan berkata, "Abang..." Dengan pantas Linley memeluk Wharton dan melindunginya dengan tubuh sendiri.
Pada detik itu...
* DENTUM! *
Bunyi batu terhempas ke gudang. Bongkah besar itu meranapkan bumbung gudang dengan kuasa yang menakutkan. Walaupun bumbung batu gudang itu kukuh, apabila dilanggar dengan batu sebesar itu, ia tetap pecah. Lantai gudang itu turut hancur oleh getaran dari pelanggaran itu.
"Tuan Muda…" Mata Hiri segera bertukar merah. Qi-tempur pada badannya meletus dan dia terbang ke arah mereka bagaikan kilat berwarna merah. Menggunakan badannya sebagai perisai perlindung. Kedua belah tangannya digunakan untuk menolak sekeping bumbung besar yang hampir menghempap Linley. Hiri dan runtuhan bumbung itu tiba di sebelah Linley pada masa yang hampir sama.
* Deram-derum *
Sekelip mata, Wharton, Linley dan Hiri terperangkap dan dihempap runtuhan tersebut.
Hogg yang berada di halaman menggunakan pedang besar dalam genggamannya untuk mengelak daripada dihujani bongkah batu. Apabila dia menoleh ke arah Linley, dia melihat Linley mempertaruhkan nyawanya untuk melindungi Wharton. Hiri kemudiannya terbang ke arah mereka berdua untuk melindungi mereka. Fikirannya menjadi kosong.
Gudang itu runtuh dan runtuhan jauh ke atasnya.
"Linley!" Mata Hogg bertukar merah.
Kini, Hogg tidak tahu sama ada Hiri sempat melindungi Linley atau batu-batu itu terlebih dahulu menghempap Linley.
* Berdebap, berdebup! *
Beberapa bunyi runtuhan masih berterusan di sekitar pekan Wushan. Namun tidak lama kemudian, tiada lagi batu yang jatuh dari langit. Kesemua bongkah gergasi itu telah dimusnah oleh ahli pedang berjubah hijau. Tetapi ketika ini, tiada seorang pun penduduk pekan Wushan yang mempunyai tenaga untuk melihat pertempuran tersebut.
"Tuan Hogg, pekan Wushan kini dalam keadaan yang teruk. Tuan Hogg? Apa yang tak kena?" Hillman bergegas ke manor. Sebaik sahaja dia mula melaporkan keadaan pekan Wushan, dia terlihat Hogg berdiri kebingungan, kaku tidak berkutik.
Badan Hogg menggigil. Hanya selepas itu dia kembali tersedar. "Linley." Hogg berlari ke arah gudang dengan pantas. Melihatkan itu, Hillman dapat meneka apa yang berlaku dan segera mengikuti Hogg.
* Smash! * Sebelum Hogg tiba, runtuhan yang menghempap Hiri, Linley dan Wharton telah pecah.
Penjaga rumah, Hiri berdiri dari dalam runtuhan itu.
"Pak Cik Hiri, bagaimana keadaannya?" Suara Hogg kedengaran menggeletar. Pada masa yang sama, dia melihat ke arah badan yang tertiarap itu. Perkara pertama yang dilihatnya adalah Linley dengan kepala yang dipenuhi darah. Keadaan kepala Linley yang berdarah itu membuat kepala Hogg pening. Badannya seakan melayang hampir tumbang.
Sehingga kini, badan Linley masih lagi terangkat dari tanah. Dia menggunakan penumbuknya dan berada dalam keadaan tekan tubi supaya runtuhan itu tidak terkena badan Wharton.
"Ayah." Suara kanak-kanak kedengaran dari bawah.
Perlahan-lahan Wharton merangkak keluar dari bawah Linley. Badannya kecil, dan dia dilindungi sepenuhnya oleh Linley. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan pada tubuh badannya.
"Abang, Abang. Kenapa dengan Abang?" Wharton menggoncang badan Linley.
"Linley. Linley!" Suara Hogg tersekat-sekat.
Penjaga rumah, Hiri berkata dari sisi, "Saya terlewat sedikit. Satu runtuhan telah menghempap kelapa Tuan Muda Linley sebelum sempat saya menghalangnya. Tetapi saya percaya runtuhan tersebut tidak terlalu besar.
"Saya... Saya tak apa-apa," kata satu suara parau dengan perlahan. Linley memaksa dirinya untuk mengangkat kepala dan memandang Hogg. Dia melemparkan satu senyuman lemah.
Melihat senyuman Linley, air mata Hogg mengalir.
Linley meluruskan badannya dan duduk. Pakaiannya dipenuhi darah, begitu juga dengan muka dan rambutnya. Batu yang menghempapnya mengakibatkan dia kehilangan banyak darah. Pada waktu itu, Linley berasa sedikit pening. Pandangannya tidak lepas daripada wajah ayahnya. Linley berkata dengan suara yang lemah, "Ayah menangis."
"Ayah tak apa-apa." Senyuman teruja terukir di wajah Hogg.
"Wharton? Kenapa kamu berdiri di hadapan pintu tadi?" tegur Linley sambil mengusap kepala Wharton.
Wharton tahu dia telah melakukan kesalahan. Dengan kepala yang ditundukkan, dia berkata, "Abang, saya minta maaf."
Penjaga rumah, Hiri di sebelah mereka berkata, "Ini semua salah saya. Bencana ini berlaku secara tiba-tiba. Sebaik sahaja saya membawa Wharton ke dalam gudang, saya nampak Tuan Muda Linley dalam keadaan bahaya. Saya bergegas untuk membantunya. Saya tidak sedar ada batu besar yang sedang menuju ke gudang. Ini semua salah saya."
* Deram derum! *
Tiba-tiba, gegaran yang besar menggoncang bumi.
Riak wajah mereka semua berubah ketika memandang ke langit timur. Gergasi melebihi 10 meter tinggi telah muncul. Ia terapung di langit. Ia memiliki otot-otot yang tegap. Ekspresi wajahnya kejam. Seluruh badannya berwarna kuning tanah. Pada masa ini, gergasi tanah itu terlibat dalam pertarungan sengit dengan lelaki berjubah hijau. Setiap pukulan antara mereka menghasilkan bunyi seperti kilat menyambar atau guruh yang berdentum kuat.
Bunyi pukulan itu bukti kehebatan gergasi tanah itu. Setiap pukulannya lebih kuat berbanding gabungan daya hempasan batu-batu yang banyak sebelum ini.
Linley melihat pertempuran itu dengan kagum. 'Gergasi tanah ini pasti dijelmakan oleh lelaki berjubah hijau itu.' Linley dapat membuat kesimpulan dengan mudah memandangkan lelaki berjubah kelabu itu juga merupakan seorang ahli sihir yang sangat berkuasa.
"Linley, bagaimana keadaan kamu?" Hogg bertanya kebimbangan.
Linley mengukir senyum. "Saya okey. Kepala saya cuma luka sedikit. Saya kehilangan sedikit darah."
"Tuan Muda Linley, kamu sebenarnya kehilangan agak banyak darah. Jika dibiar terus mengalir, kamu boleh mati." Penjaga rumah Hiri segera mengambil beberapa kain kasa putih dari dalam gudang dan membalut kepala Linley.
Hogg melihat Linley dengan lebih dekat. "Pak Cik Hiri, bagaimana dengan kecederaannya?"
Pak Cik Hiri melemparkan senyuman kepada Hogg. "Tidak terlalu parah. Fizikal Linley dalam keadaan yang baik dan dia juga tak pengsan. Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan. Beberapa hari ini, dia perlu mengambil protein yang lebih untuk menambah darahnya. Kemudian dia akan sihat."
Dalam diam Hogg dapat menghela nafas yang ditahannya.
Sewaktu Hogg melihat Linley menuju ke arah Wharton untuk melindunginya, Hogg berasa sangat takut. Dia benar-benar takut kedua-dua anaknya akan mati begitu sahaja.
Setelah menarik nafas panjang, Hogg melihat ke arah Hillman. "Hillman, tadi kamu ada beritahu pekan Wushan dalam keadaan yang teruk. Berapa teruk keadaan tersebut?"
"Saya tidak dapat nyatakan dengan tepat kemusnahan yang berlaku," kata Hillman dengan wajah muram. "Tetapi daripada apa yang saya nampak, beberapa orang telah meninggal dunia, ramai juga yang tercedera malah lumpuh! Bencana ini datang secara tiba-tiba. Walaupun saya telah menjerit meminta semua orang untuk bersembunyi, namun masih ada lagi penduduk yang tidak sempat berlindung di ruang bawah tanah rumah mereka."
"Benar, ia berlaku dengan cukup pantas." Hogg menoleh ke arah langit timur.
Pahlawan tahap Dewa sangat berbeza jika dibandingkan dengan penduduk pekan Wushan. Pahlawan tahap ini mampu menghapuskan seluruh bandar dengan satu libasan tangan. Hujan bongkah batu dan kehancuran bongkah tersebut dihentam pedang lelaki berjubah hijau sebelum ini hanyalah langkah permulaan pertempuran dua pahlawan hebat ini.
Namun kesan sampingan serangan permulaan sudah cukup untuk menimbulkan bencana pada pekan Wushan.
"Sihir berunsurkan tanah tahap kesepuluh yang terkena yang juga mantera terlarang iaitu 'Pelindung Bumi' unsur tanah. Kekuatan Pelindung Bumi ini amat menggerunkan. Ia dianggap sebagai mantera serangan yang paling kuat yang boleh dihasilkan oleh ahli sihir unsur bumi." Melihat gergasi tanah itu, wajah Hogg menjadi semakin dingin sewaktu dia bercakap tentangnya.
Hogg merupakan anggota Puak Berdarah Naga. Walaupun Puak Berdarah Naga ini mengalami kejatuhan, mereka mempunyai sejarah selama lima ribu tahun. Ini bermakna di dalam arkib keluarga mereka, terdapat maklumat tentang semua serangan ajaib yang paling kuat yang digunakan oleh orang yang paling berkuasa dalam sejarah. Hogg boleh memberitahu dengan sekali pandangan sahaja.
"Mantera tahap kesepuluh…" Linley menarik nafas panjang.
Linley juga mahu menunggang naga hitam dan menggunakan mantera membawa malapetaka tahap kesepuluh suatu hari nanti. Fikirannya melayang memikirkan ujian pengambilan ahli sihir. 'Ujian pengambilan tersebut hanya diadakan pada musim luruh di ibu negeri Fenlai. Masih ada setengah tahun berbaki…'
Jauh di sudut hatinya, Linley tidak sabar menunggu ujian sihir yang akan berlangsung dalam setengah tahun lagi.
"Hillman, sebentar lagi teman saya periksa keadaan setiap penduduk di pekan ini," Hogg berkata lalu memandang Hiri. "Pak Cik Hiri, selepas kedua-dua pahlawan tahap tertinggi ini beredar, tolong bawa Linley pulang ke rumah, tukarkan pakaiannya serta pastikan dia berehat."
"Baik, Tuan." Hiri mengangguk.
Hogg berpaling melihat Linley yang masih leka memerhatikan pertempuran antara dua pahlawan tahap Dewa itu. Dia ketawa lalu berkata, "Oh Linley, budak nakal. Walaupun kamu telah cedera kamu masih lagi mahu menyaksikan pertempuran tersebut. Nasib baik, memandangkan pahlawan tertinggi itu telah melepaskan Pelindung Dunia, maka pertempuran ini akan berakhir tidak lama lagi."
Linley tidak sedar apa yang berlaku di sekitar dadanya kerana terlalu leka menyaksikan pertempuran hebat tersebut.
Kepalanya yang tercedera dan berdarah menyebabkan cincin Naga Pusar yang terkalung dalam pakaiannya itu turut terkena darah. Namun, darah di cincin itu lenyap seperti air yang mengalir di lautan. Bahan hitam itu telah menyerapnya secara perlahan-lahan.
Cincin Naga Pusar itu kemudiannya mula bersinar-sinar dalam cahaya yang malap.
Tetapi memandangkan ia berada dalam pakaiannya, tiada seorang pun yang menyedari cahaya samar-samar yang bersinar dari permukaan cincin Naga Pusar itu.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT