Selepas menyelesaikan kedua-dua Sayap Hadapan dan Sayap Tengah dungeon, Zhang Yang dan pasukannya berkumpul di hadapan dungeon yang terakhir.
Lima minit kemudian, pasukan kedua yang diketuai Ratusan Tembakan tiba diikuti dengan pasukan Han Gemuk dan akhir sekali pasukan Bukit Besi. Dalam dungeon kecil ini, kebolehan seorang tank akan menentukan kejayaan pasukan tersebut. Maka, pasukan Bukit Besi menjadi yang terakhir kerana tank pasukan tersebut kurang berupaya walaupun mereka mempunyai sokongan hebat seperti Si Salji.
"Aku harap semua orang sudah betul-betul faham dengan mekanik bos itu." Zhang Yang bertanya. "Kalau begitu, ayuh selesaikan cabaran dan serang Sayap Utama!"
"Woohoo! Peralatan!"
"Penyelesaian Pertama!"
Semangat mereka semua membara sambil mereka berjalan bersama-sama memasuki Sayap Utama.
Dungeon itu terletak di sebuah istana dan Zhang Yang bersama pasukannya sedang berdiri di tengah-tengah laman yang besar pada ketika itu. Apa yang di hadapan mereka adalah Sayap Utama istana tersebut dan di situlah Marzerway berada!
Zhang Yang berdeham sebagai isyarat permulaan ucapannya.
"*Ahem* Sekarang, aku akan terangkan strategi untuk bertarung di sini. Bos ini mempunyai 5 peringkat. Di peringkat pertama, dia akan mengambil bentuk Roh Air dan mempunyai semua kemahiram bos Roh Air. Dalam peringkat ini, kita perlu menangkis bacaan jampi kemahirannya. Ratusan Tembakan, Tangisan Komet, Ben Besar, kau bertiga pasukan pertama yang akan menembak panahan berterusan <Tembakan Membisukan>, pasukan yang akan menembak panahan berterusan kedua adalah Han Gemuk, Jantung Besi, dan Salji Hangus. Lagi satu, sentiasa berjaga-jaga dan elak <Bulatan Ais>!"
"Di peringkat kedua pula…"
Zhang Yang terhenti seketika dan tersenyum. "Apa kata begini? Kita selesaikan dulu berlatih untuk peringkat pertama!"
"Ok! Jom!"
Pasukan itu maju ke hadapan sehingga mereka akhirnya ternampak kelibat Marzerway sendiri.
Daripada apa yang boleh dilihat, Marzerway kelihatan seperti seorang lelaki pertengahan usia dan tidak melebihi 30 tahun. Dia mengenakan sehelai jubah ungu gelap pada tubuhnya yang kurus dan tinggi dan memegang tongkat sakti kayu yang panjang di tangan kirinya lantas kelihatan seperti seorang ahli falsafah yang berilmu. Dengan perawakannya sebegitu, dia tidak kelihatan seperti seseorang yang telah membunuh ramai orang.
[Marzerway yang Berpaling Tadah]
Tahap: 25
HP: 1,000,000
"Pasukan 1, bergerak ke Utara! Pasukan 2, ke arah Timur! Pasukan 3, Selatan! Pasukan 4, serang dari arah Barat! Setelah kau tiba di kedudukan kau, kita akan mulakan serangan!" ujar Zhang Yang sambil dia meluru ke arah bos tersebut.
"Manusia durjana, berani kalian ganggu aku yang sedang beristirehat! Manusia lemah yang mencari maut, aku akan tunaikan permintaan kau itu! Hmm… hmm… Dengan kuasa air sahaja, aku akan tewaskan dan nyahkan kalian daripada dunia ini!" Marzerway memulakan serangannya.
Sebaik sahaja jarak antara Zhang Yang dan Marzerway semakin hampir, Zhang Yang mengaktifkan <Serangan> yang diikuti dengan serangan normal dan <Provokasi>.
'-332!'
'Kebal!'
Dengan sebegitu sahaja, Zhang Yang telah berjaya mendapatkan maklumat penting dan mengetahui Marzerway kebal dengan <Provokasi> serta mempunyai 100 nilai Pertahanan.
Namun, aggro Marzerway tertumpu kepada Zhang Yang dan dia mengangkat tongkat saktinya untuk menyerang Zhang Yang.
Sebagai seorang bos berkuasa ajaib, kelajuan serangan Marzerway cukup perlahan bagi Zhang Yang mengelak pada bila-bila masa yang dia mahu! Namun, dia tidak mengelak dan sebaliknya menerima serangan bos itu untuk mengetahui betapa kuatnya serangan fizikalnya. Seperti yang diterangkan Sun Tzu dalam bukunya 'Art of War', 'kenali musuhmu dan dirimu sendiri dan kamu akan memenangi ratusan peperangan'.
'-448!'
Zhang Yang menerima kerosakan tersebut tanpa membalas. Dia tidak menyangka bos berkuasa ajaib sepertinya mempunyai kuasa serangan fizikal yang tinggi sebegitu. Marzerway memang benar-benar dahsyat!
Zhang Yang kemudian terus memperolehi 30 Rage.
'<Pelumpuh Pertahanan>!'
'-141!' Kerosakan daripada <Pelumpuh Pertahanan>.
'-714!' <Sambaran Mendatar>.
Zhang Yang terus mengutamakan tindihan <Pelumpuh Pertahanan> bagi berdepan dengan bos berpertahanan tinggi itu di samping meningkatkan output kerosakan pasukan ke tahap maksimum.
Setelah pertahanan bos tersebut berkurangan sebanyak 50%, pasukan itu mula mengenakan kerosakan yang tinggi ke atasnya.
"Manusia kerdil yang lemah, aku akan bekukan kau hingga ke rohmu!" Marzerway menghentikan serangan fizikalnya dan mula membaca sebuah jampi.
Pew!
Selepas tiga saat membaca jampi, Marzerway menembak anak panah ais yang mengenai Zhang Yang.
'-1200!'
"Jahanam! Kenapa serangannya lebih dahsyat daripada Roh Air dalam dungeon lima orang sepasukan?!" Setelah bertarung dengan roh berunsur selama beberapa hari, Si Salji sebagai seorang penyembuh telah memahami kerosakan yang dibawa semua kemahiran.
"Hmm. Ini dungeon 20 orang sepasukan, sudah tentu serangannya lebih tinggi!" ujar Zhang Yang.
Walaupun bos ini lebih kuat berbanding bos dalam Mod Paling Sukar, Zhang Yang masih dapat bertarung dengan tenang memandangkan pasukan tersebut mempunyai empat orang penyembuh. Beban penyembuhan dikongsi sama rata antara mereka lantas mengurangkan beban Si Salji.
99%, 98%, 97%...
HP bos tersebut terlalu tinggi. Walaupun bos itu diserang 20 orang pemain, kadar pengurangan HP miliknya sangat perlahan!
"Matilah dalam musim sejuk berpanjangan!" Marzerway berteriak sambil mendepang tangannya lalu menjampi lapan bulatan ais yang jelas kelihatan di seluruh medan pertempuran.
'Ding! Marzerway telah menggunakan <Bulatan Ais>!'
"Perhatikan lantai! Elak kalau ada bulatan ais!" Zhang Yang hanya dapat menjerit untuk mengingatkan ahli pasukannya kerana dia tidak mampu memerhatikan mereka seorang demi seorang.
Tiga saat selepas kemahiran itu diaktifkan, lapan bulatan ais telah terbentuk.
'-2500!'
'-2500!'
'Ding! Pemain Empat Rambut telah mati!'
'Ding! Pemain Ben Emas Besar telah mati!'
'Tak guna! Dua orang telah terbunuh!'
Zhang Yang yang sedang mengawal marah bertanya. "Macam mana kau berdua boleh mati?! Bukankah aku sudah cakap, jaga-jaga dengan bulatan itu?!"
"Maaf, bos. Aku terlalu khusyuk menyerang tadi!"
"Aku pun!"
Zhang Yang menggeleng kepala dalam kemarahan. Dia mahu meluahkan amarahnya, tetapi dia sebaliknya mengawalnya. Ini bukan masanya untuk menyalahkan satu sama lain kerana kerjasama antara ahli pasukan mungkin terjejas.
Zhang Yang menarik nafas panjang dan berkata, "Lain kali hati-hati. Satu lagi kesilapan disebabkan kau cui, mata sumbangan kau kepada persatuan akan ditolak!"
"Kami faham!"
Kedua-dua pemain yang telah terbunuh itu menerima teguran Zhang Yang, tetapi sama ada kata-kata maaf mereka itu tulus atau sekadar untuk dikatakan, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan mereka.
Zhang Yang mengeluh… memikirkan yang dia telah menugaskan Ben Besar ke pasukan "Tangkisan".
"Sami Ingkar, sekarang kau ditugaskan kepada pasukan "Tangkisan", jadi pergi sertai pasukan Ratusan Tembakan!"
"Baik!" Sami Ingkar mematuhi arahan Zhang Yang memandangkan mereka telah lama mengenali satu sama lain.
Setakat ini, hanya beberapa kelas yang mempunyai kemahiran menangkis jampi iaitu Ahli Sihir, Pemburu, dan Pencuri. Pemburu memerlukan Fokus sementara Pencuri memerlukan Stamina. Kedua-dua kelas mempunyai sistem kos dengan nilai maksimum 100 mata dan mereka boleh memulihkan 10 mata setiap saat. Menjampi kemahiran tangkisan seperti kedua-dua <Tembakan Membisukan> atau <Tendangan Rendah> memerlukan 25 Fokus bagi Pemburu dan 25 Stamina bagi Pencuri. Mereka perlu memastikan mereka mempunyai Fokus mencukupi bagi meneruskan pusingan tanpa henti.
<Penangkis Sihir> iaitu kemahiran menangkis bagi seorang Ahli Sihir memerlukan Mana. Selagi Mana mencukupi dan kemahiran itu tidak berada dalam tempoh bertenang, pemain boleh menghentikan penyaluran jampi dengan membaca jampi sebelum sempat bos melengkapkan jampinya. Setakat ini, Ahli Sihir merupakan pemain yang paling sesuai untuk menjadi "penangkis".
Terdapat empat orang Ahli Sihir dalam pasukan tersebut. Zhang Yang menugaskan dua orang kepada Ratusan Tembakan dan dua orang lagi kepada Han Gemuk. Kini setelah mereka kehilangan seorang Ahli Sihir, Zhang Yang perlu menugaskan Sami Ingkar sebagai penggantinya.
Namun, adakah ia satu keperluan bagi ketiga-tiga pemain itu membaca jampi "tangkisan" dengan serentak?
Pertama, ia untuk mengelak kemungkinan di mana mereka mungkin tewas dan kedua, kelajuan membaca jampinya lebih pantas berbanding bos Roh Air. Sekiranya mereka hanya meletakkan seorang sahaja, dia mungkin kehilangan peluang untuk menghentikan jampi.
Marzerway telah menjampi <Bulatan Ais> sebanyak dua kali semasa pertarungan berjalan. Zhang Yang tetap mengingatkan pasukannya agar tiada lagi sesiapa yang terkena mana-mana jampi.
"Hmmph! Serangga menyemak yang menjengkelkan! Aku akan tenggelamkan kalian dalam ribut hujan batu!"
Marzerway mengangkat tinggi tongkat saktinya dan mula membaca sebuah jampi. Ratusan Tembakan dengan pantas berteriak lalu menjampi <Tembakan Membisukan>.
"Sama-sama tangkis bacaan jampi itu!"
Namun, antara Sami Ingkar dan Tangisan Komet yang telah ditugaskan untuk jampi tersebut, hanya Sami Ingkar yang mengaktifkan <Tembakan Membisukan> manakala Ahli Sihir itu masih lagi menjampi <Bebola Api>!
Mereka bernasib baik kerana <Tembakan Membisukan> itu tepat pada sasarannya lantas menghentikan <Ribut Hujan Batu> daripada dijampi.
"Tangisan Komet, kenapa kau tak jampi <Penangkis Sihir>!?"
Ahli Sihir itu menggumam dengan perlahan. "Aku mahu selesaikan <Bebola Api> dulu sebelum aku menjampi jampi tangkisan. Tapi bila kau berdua dah menjampi kemahiran kau, aku ingatkan aku tak perlu baca jampi aku."
Ratusan Tembakan merenung dan mengherdiknya. "Jangan buat lagi kesilapan itu! Hanya kerana kau hendak menyerang, kau boleh menyebabkan satu pasukan ini terbunuh! Sebagai seorang ahli pasukan ini, kau mesti jalankan tanggungjawab kau! Kau tak boleh buat sesuka hati kau!"
Tangisan Komet nampak murung setelah ditegur sebegitu.
"Baiklah, apa yang sudah lepas, biarkan. Tiada guna menyesali apa yang sudah berlalu. Naikkan semangat kau. Masih banyak lagi tangkisan yang perlu dilakukan selepas ini!" Ratusan Tembakan akhirnya lembut hati.
Zhang Yang terkesima melihat Ratusan Tembakan yang tegas! Sekiranya Ratusan Tembakan menerima latihan daripadanya, dia mungkin boleh menjadi ketua yang bagus!
Setelah berakhirnya kekecohan tadi, pasukan penangkis menjadi lebih serius dan menjalankan tugas dengan lebih cemerlang. Mereka langsung tidak membenarkan Marzerway melengkapkan bacaan jampinya walau sekalipun!
90%...85%...80%!
Walaupun Zhang Yang kerap mengingatkan mereka semua, ada juga beberapa pemain yang cuai dan terbunuh apabila terkena <Bulatan Ais>. Sebanyak tiga orang pemain lagi telah terbunuh dan salah seorang antara mereka ialah seorang Penyembuh. Mereka kini telah kehilangan lima orang ahli!
Setelah beberapa ketika, Marzerway menempik. "Aku telah memandang rendah kalian! Sahutlah seruan aku, Dewa Roh Tanah! Berdampinglah denganku dan hancurkan makhluk tak berguna ini!"
Bos ini telah memasuki peringkat kedua!
Pak!
Marzerway bertukar menjadi reksasa yang menyerang secara fizikal. Dia menghayun tongkat saktinya lalu menyebabkan kepala Zhang Yang dikelilingi bintang! Zhang Yang telah terkena <Hentakan> dan telah dipegun! Serangan fizikal Marzerway tiba-tiba meningkat dan ia kemudian menumpukan rantaian serangan yang berat ke atas Zhang Yang
'-704!'
'+402!' <Penyembuhan Tertinggi> Si Salji.
'+80!' <Pertumbuhan Semula> Terkaku Wajah.
'-735!'
'-747!'
'+240!' <Penyembuhan Tertinggi> Terkaku Wajah.
'+207!' <Cahaya Suci> Aiskrim Vanila.
'-711!'
Dalam masa hanya dua saat, Marzerway telah menyerang sebanyak empat kali dan mengenakan sejumlah lebih 3,000 mata kerosakan! Nasib baik pasukannya mempunyai tiga orang lagi penyembuh yang serta-merta memulihkannya dan menyelamatkannya sebelum dia terbunuh!
Zhang Yang cepat-cepat mengaktifkan <Hadangan> sebaik sahaja dia pulih daripada kesan pegunan dan memberi peluang bagi penyembuh untuk menjalankan tugas mereka.
"Penyerang hanya perlu beri perhatian dan elak pacak di lantai! Si Salji, sama seperti sebelum ini, gunakan <Doa Suci> ke atas aku bila bos itu memegun aku!" Zhang Yang berteriak.
"Peringkat kedua ini sangat mudah! Bos ini sama seperti tiang kayu!"