Han Gemuk mula menyumpah-nyumpah dalam saluran pasukan, "Yang Kecil! Orang bedebah ni nak turunkan tahap aku hanya sebab bos mereka tak nak aku berada di kedudukan yang lagi tinggi daripada dia! Jahanam. Mereka siap hantar pesanan peribadi kepada aku dan memberi amaran supaya aku duduk di bandar dan jangan keluar dari sini, atau mereka akan membunuh aku kalau aku cuba keluar!"
Zhang Yang bertanya lebih lanjut, "Siapa bos mereka?"
"Lelaki bernama Bola Api Terapung, Ketua Persatuan Megah. Dialah yang berada di kedudukan pertama dalam Papan Kedudukan Tahap sebelum ni dan mereka marah sebab kita mengambil kedudukan itu daripada mereka! Mereka juga akan membunuh empat pemain lain yang berada di kedudukan yang lebih tinggi daripada dia!"
Drizzler menghantar jawapan balas dengan penuh perasaan, "Macam mana dia boleh jadi sombong begitu? Kedudukan pertama tu memang untuk dia seorang saja ke? Siapa yang mati dan buat dia raja dalam permainan video ni?!"
Bola Api Terapung? Zhang Yang berfikir sejenak. Dia tidak dapat mengingati siapa lelaki itu daripada kehidupannya yang lepas. Malah, antara semua persatuan, Megah bukan satu persatuan yang terkenal langsung! Mungkin semasa dia menyertai permainan ini sebelum ini, Megah telahpun rebah dan digugurkan.
"Kumpulan pemain ni… beraninya mereka!" Ratusan Tembakan seorang yang beradab, tetapi dia kini turut mula berang. "Hmm, baiklah. Kita musnahkan mereka ni!" ujar Zhang Yang sambil dia merenung ahli Megah yang masih di situ dengan marahnya. Ada 13 pemain di situ dan 4 antara mereka Berperisai Sutera. Mereka mungkin Ahli Sihir ataupun Paderi, tetapi dia tidak dapat menekanya dengan tepat.
Strategi paling ketara sekarang ialah memulakan serangan ke atas mereka yang Berperisai Sutera dan meneruskan serangan dari situ. Dia tidak perlu risau dengan serangan fizikal memandangkan dia tank yang berpertahanan tinggi. Zhang Yang menggunakan <Serangan>, meluru untuk menyerang, dan memegunkan pemain Berperisai Sutera bernama Undang-undang Kematian. Dengan hayunan pedangnya, dia menyebabkan satu teks kerosakan "-402" terapung di atas kepalanya dan menurunkan HPnya ke 228!
"Tak guna! Ada orang serang aku!" jerit Undang-undang Kematian sambil dia cepat-cepat mengambil posyen merah dan menjampi <Panahan Fros>.
"Ini mesti kawan pemburu tu. Bunuh mereka semua!" Pemain yang lain nampak Zhang Yang yang sedang mara dan menjerit menandakan bermulanya pertarungan sambil menyerangnya. Mereka semua berpendapat yang Zhang Yang pernah ditendang keldai melihat dirinya menyerang mereka walaupun dia hanya bersendirian!
Nasihat Bermaruah, Pengasuh Bayi Bermaruah, dan Seluar Pendek Berbunga terus pucat melihat raut wajah Zhang Yang. Ingatan mereka tentang memori pahit semasa mereka dibunuh hingga turun ke Tahap 3 muncul semula.
Disebabkan dia masih berasa trauma daripada serangan dulu, Seluar Pendek Berbunga memberi cadangan kepada yang lain-lain melalui saluran persatuan itu, "Abang Khinzir, pahlawan ni sangat hebat! Aku rasa dia guna program menggodam! Baik kita berundur buat masa ni!"
Khinzir Bermaruah menjerit kembali, "Godam apa. Hanya genius yang boleh godam permainan video ni! Cepat pergi dan bunuh dia! Kita akan bertahan!"
"-1!"
"-5!"
"-9!"
"..."
Mereka semua mencuba sedaya upaya, tetapi sekuat manapun serangan mereka, mereka tak mampu mencapai jumlah kerosakan berganda!
"Tak guna!" Kerosakan 'besar' yang dikenakan membuatkan mereka semua terpinga-pinga!
"Gemuk! Giliran kau sekarang! Guna <Panahan Bertalu-talu>!" jerit Zhang Yang dalam saluran pasukannya sambil dia menjampi <Sambaran Mendatar>.
"-683!"
"-727!"
"-689!"
"-1452!"
"….."
10 teks kerosakan teruk muncul! Dua serangan kritikal! Dengan hanya satu serangan, hanya tinggal dua pemain dengan baki 50 HP! Mereka hanya pada Tahap 13 hingga 15 dengan peralatan Keluli Hitam Tahap 5 yang diperolehi dari Mod Normal di Dungeon Makam Bangar. Kalau mereka menggunakan semua AP pada Vitality merekapun, mereka hanya mampu memperolehi 1,000 HP. Mereka tidak akan mampu bertahan dengan kemahiran tahap dewa Zhang Yang!
Semua ini terjadi sekelip mata hingga ia memeranjatkan bukan sahaja ahli Megah, malah ahli pasukan Zhang Yang sendiri! Mereka hampir lupa menahan diri dalam serangan mereka!
"Yang Kecil! Jangan bunuh semua dulu! Tinggalkan sikit untuk Si Gemuk ni!" Han Gemuk memulihkan dirinya dan sesaat kemudian, dia menarik busurnya, menggunakan <Panahan Bertalu-talu>, dan menyebabkan kerosakan yang cukup untuk membunuh dua pemain yang tinggal itu. <Panahan Bertalu-talu> satu kemahiran AoE yang boleh dipelajari seorang pemburu pada Tahap 20.
[Panahan Bertalu-talu]: Memanah secara rawak ke kawasan sasaran. Menyebabkan 200% kerosakan jarak jauh kepada semua musuh dalam kawasan tersebut selama 10 saat. Kemahiran ini memerlukan penyaluran. Kemahiran ini akan terbatal jika pemain menerima apa-apa kerosakan pada pergerakan.
Kos: 100 Fokus
Dalam masa yang singkat itu, 13 ahli Megah tadi hanya tinggal tiga penyerang jarak jauh.
"-175!"
Ratusan Tembakan kembali beraksi dan menarik busurnya untuk menyerang pihak musuh sambil mengarahkan haiwan peliharaannya untuk menyerang pada masa yang sama. Drizzler juga ahli pasukan yang bagus. Selepas terpaku melihat kejadian tadi, dia dengan bersemangat menggunakan <Serangan> untuk menyerang mereka. Si Salji pula dengan pantas membaca jampi untuk memulihkan Han Gemuk.
"+392!"
Peralatan sedia adanya sudah cukup mengagumkan dan kerosakan magiknya kini meningkat ke 300 mata selepas dia memperolehi tongkat ajaib Tembaga Hijau Tahap 20. Selepas tundaan 2 saat dalam membaca jampi penyembuhan itu, dia telah berjaya meningkatkan semula separuh HP Han Gemuk.
"Salji comel! Si Gemuk ni sayang pada kau!" Han Gemuk menghantar layangan ciuman ke arahnya dan terus menyerang 3 pihak musuh yang masih tinggal itu.
Walaupun 3 pemain yang tinggal itu berada pada tahap lebih tinggi daripada Tahap 20 dengan peralatan Tembaga Hijau mereka, kuasa serangan mereka tidak sehebat kuasa serangan Zhang Yang. Pemain biasa mungkin menganggap mereka pemain tahap dewa, tetapi melihatkan keadaan ketika itu, mereka sebenarnya tidak dapat menandingi Zhang Yang.
"Pui!" Han Gemuk meludah dalam kemarahannya. "Si bedebah ni dapat apa yang mereka patut dapat! Aku susah payah usaha untuk capai Tahap 21, tapi sekarang aku dijatuhkan pula orang tak guna ni!" Ratusan Tembakan mencelah dengan gurauannya, "Hei Si Kurus, orang yang bersusah payah tu Zhan Yu. Bukan ke kau cuma pejam mata dan main serang saja sepanjang masa tadi?"
"Patut ke kita kawal semua jasad ni?" soal Si Salji. Walaupun dia tidak begitu teruja dengan pertarungan, dia berasa tidak sedap hati dengan keadaan ini.
"Mestilah!" jawab Han Gemuk. "Aku nak si tak guna ni semua ingat pengajarannya: Jangan sekali-kali buat Si Gemuk ni marah!"
Di titik kebangkitan semula, ketakutan jelas kelihatan pada wajah Kucing Liar Terpinggir. Matanya jelas menunjukkan ketakutan sehingga dia membayangkan dibunuh Zhang Yang. "Abang Khinzir, patut ke kita panggil bantuan?"
"Tak guna!" Pencinta Khinzir Bermaruah melempangnya, tetapi memandangkan mereka dalam keadaan roh, lempangan tersebut hanya melalui keadaan mereka yang telap itu. "Kita diarahkan membunuh mereka, tapi kita pula yang dibunuh. Macam mana kau boleh fikir nak panggil bantuan! Panggillah kalau kau tak tahu malu, sebab aku malu nak panggil bantuan!"
"Abang Khinzir! Zhan Yu tu memang hebat! Dulu, Abang Bulu dan kami bertiga dibunuh dan jatuh daripada Tahap 10 ke Tahap 3!" Nasihat Bermaruah betul-betul takut dengan Zhang Yang. Bagaimana dia boleh mengangkat pedangnya dan bertarung dengan Zhang Yang lagi?
"Sudahlah! Kau memang tak guna! Bedebah! Apa masalahnya kalau kau mati beberapa kali? Ikut aku! Aku nak semua berpecah dan abaikan tank noob tu dan serang empat yang lain! Kita akan serang dia akhir sekali. Serangan AoEnya yang kuat tu tak ada gunanya kalau kita serang mereka satu persatu. Apa lagi yang dia boleh buat?!" Selepas cemuhan Pencinta Khinzir Bermaruah itu, kumpulan roh itu mendekati jasad mereka. Semua boleh melihat yang Zhang Yang dan empat pemain lain sedang berbual dengan gembira, tetapi mereka tidak dapat mendengar apa-apa dan mereka hanya mampu melihat semua dalam hitam putih semasa dalam kedaaan menyerupai hantu ini.
"Dalam kiraan tiga, bangkitkan diri kau dan serang mereka sehabis-habisnya!"
"Baik!" Semua mengangguk, tetapi Seluar Pendek Berbunga dan gengnya memandang satu sama lain.
"1!"
"2!"
"3!"
10 tubuh, tidak termasuk Seluar Pendek Berbunga, Nasihat Bermaruah, dan Pengasuh Bayi Bermaruah, muncul di mana jasad tadi terbaring.
"Bunuh semua!"
Seperti kata pepatah, pengalaman ialah guru terbaik. Seluar Pendek Berbunga dan dua pemain lagi telah membuat keputusan yang tepat! Dalam masa hanya dua minit, Pencinta Khinzir Bermaruah dan yang lain-lain sekali lagi bergelimpangan di atas lantai!
"Seluar Pendek Berbunga! Apa yang kau bertiga buat ni! Kenapa kau tak bangkit semula?!" jerit Pencinta Khinzir Bermaruah dengan berang sambil dia kembali ke titik kebangkitan semula.
"Tangan aku menggigil. Aku tak boleh nak tekan butang bangkit semula!"
"Aku pun!"
"Hm. Hm."
"Goyang kaki! Itu yang kau buat tadi kan! Permainan ini dikawal menggunakan gelombang otak, bukannya tetikus! Kau semua ni penakut! Kalau kau semua turut serta tadi, kita boleh menang!"
Mereka bertiga memandang satu sama lain dan terfikir. 'Kalau kau semua tewas teruk macam anjing jalanan, apa gunanya tiga pemain tambahan? Itu cuma akan menambah tiga lagi kematian.' Walaupun mereka tahu kata-kata itu dapat melukai perasaan seseorang, mereka mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa.
Pencinta Khinzir Bermaruah akhirnya bertenang setelah dia meluahkan perasaan marahnya. Dia bukan bodoh. Dia tahu mereka tiada peluang menewaskan Zhang Yang selepas pasukan itu dua kali ditewaskan. Dia cepat-cepat membuka peti pesanan suara dan menghubungi Bola Api Terapung.
"Abang Api! Aku ni! Ketua Khinzir!"
"Hm. Macam mana kerja yang aku suruh kau buat?"
Lu Min telah mengumpulkan ramai ahli pada tahap tinggi bagi membantunya dalam penarafan dan mendapatkan kedudukannya kembali. Disebabkan dia telah mencapai Tahap 20, dia berjaya mempelajari kemahiran AoE Ahli Sihir dipanggil <Hujan Api> yang meningkatkan kadar pembunuhannya dengan berlipat kali ganda.
"Pemburu di kedudukan pertama yang kau suruh kami bunuh tu. Kami dah bunuh dia, ya… tapi dia panggil bantuan dan mereka semua dalam Papan Kedudukan Tahap! Mereka bunuh kami semua! Abang Api, kami semua jatuh 4 tahap. Kami dah tak boleh bertarung!"
"Ada berapa pemain di sana?"
"… 5 pemain!"
"Tak guna! Kau ada lebih daripada 10 orang di sana!"
"Abang Api, hantarlah lebih ramai orang dan aku akan bunuh mereka semua!"
"Ah! Pemain pada tahap tinggi dalam persatuan kita ni tengah tolong penarafan aku. Kalau aku hantar lebih ramai orang ke sana, boleh ke kau bagi ganti rugi untuk kadar perlahan penarafan aku? Macam mana aku nak perlahankan kadar aku dengan ramainya pemain yang cuba menduduki kedudukan tertinggi?!" Lu Ming tidak teragak-agak menolak untuk menghantar bantuan. Kalau dia mahu menduduki kedudukan tertinggi, dia tidak boleh bergantung sepenuhnya pada cubaan membunuh sesiapa yang mendahuluinya, tetapi dia sekurang-kurangnya boleh bersaing untuk mendahului mereka!
Kalau semua ahli persatuan turut serta sekalipun, mampukah mereka membunuh pemain itu berkali-kali? Sebab itulah dia perlu mengekalkan kemajuannya yang terkini! Itu cara yang sepatutnya.
"Habis tu macam mana, Abang Api?" Walaupun Pencinta Khinzir Bermaruah bertutur dengan penuh rendah diri dan hormat, dalam hatinya penuh dengan sumpahan dan herdikan.
"Macam ni… Pisau Pendominasi dan pasukannya baru sertai 'Keajaiban Tuhan'. Aku akan suruh mereka uruskan mereka yang tak guna tu!"
"Abang Api, bukan ke pemain profesional tu tengah bermain permainan video 'Zaman Naga'?"
"Tak mungkin. Tengoklah betapa popularnya 'Keajaiban Tuhan' beberapa hari ni! Mereka tak akan lepaskan peluang ni! Ini peluang baik. Mereka akan buat apa saja untuk mendapat bayaran tinggi. Baik, semua dah selesai. Kau semua pergi grind dan naikkan semula tahap kau! Kita akan dapatkan pencapaian penyelesaian pertama untuk dungeon seterusnya!"
Zhang Yang dan pasukannya mengawal jasad itu untuk seketika, tetapi apabila mereka menyedari yang jasad itu mula menjadi lutcahaya dan lenyap, mereka tahu yang mereka memilih untuk bangkit semula di bandar. "Jom. Masa untuk balik!" Zhang Yang menyarung pedangnya. Han Gemuk mengangguk tanda setuju. Walaupun dia sebenarnya masih belum betul-betul puas hati, dia sekurang-kurangnya gembira kerana dapat membunuh mereka dan menyebabkan mereka mendapat penalti bertag Merah dan turun 4 tahap dengan tambahan 1 tahap selepas mereka memilih untuk bangkit semula di bandar.
Zhang Yang dan yang lain-lain selain Han Gemuk menyertai ahli Asap Gurun Terpinggir dan terus menyerang Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar. Han Gemuk pula pergi mencari gadis di Pusat Mengurut untuk membincangkan perihal 'kehidupan'.
30 minit kemudian, Zhang Yang selesai dengan serangan dungeon, kembali ke bandar, dan pergi mendapatkan kirimannya. [Perisai Tanah Bulat]nya telah terjual, tetapi hanya pada harga 650 kepingan emas dan bukan pada harga 1,000 kepingan emas. Tiada mana-mana pemain yang membida pada harga yang lebih tinggi dan apabila tempoh lelong telah tamat, transaksi itu dianggap lengkap! Zhang Yang terkejut dengan keadaan ini. Dia tidak pernah terfikir yang harga peralatan yang sangat bernilai ini boleh menurun mendadak begini! Setelah berfikir sejenak, dia menuju ke rumah lelong untuk mencari [Perisai Tanah Bulat] dan hasil carian menunjukkan ada orang lain yang menjual alat yang sama, tetapi dengan bidaan terendah 500 kepingan emas dan bidaan tertinggi 700 kepingan emas. Penjual itu juga tidak menyembunyikan namanya iaitu Terapung.
'Dia ni!?'
Zhang Yang terperanjat dengan situasi ini dan cuba untuk mengingatkan apa-apa yang dia tahu tentang pemain ini. Dalam kehidupannya yang lepas, ada sekumpulam askar upahan kuat yang dipanggil 'Askar Upahan Pedang dan Api'. Kumpulan itu hanya mempunyai 10 ahli, tetapi kekuatan mereka memang tidak dapat dinafikan. Mereka telah berjaya memperolehi separuh daripada pencapaian Penyelesaian Pertama Dungeon yang dikawal lima orang dan sepuluh orang dalam Mod Paling Sukar bagi seluruh pelayan China!
Askar upahan ini sanggup melakukan apa sahaja kerja yang diberikan sesiapa yang sanggup memberi upah lumayan. Itu termasuk mendapatkan pencapaian Penyelesaian Pertama dungeon untuk persatuan pelanggannya hingga menamakan pasukan mereka dengan nama pelanggan tersebut. Mereka turut menerima kerja selain permintaan berkaitan serangan dungeon seperti menjalankan pembunuhan atau mengawal sasaran tertentu. Dengan kekuatan kumpulan askar upahan itu kini, ia tidak diketahui berapa ramai pemain yang telah mati disebabkan mereka. Ada seseorang pernah bertanya tentang penubuhan satu-satu persatuan dan mereka telah memberi jawapan ia memerlukan 30 ahli, tetapi mereka hanya mempunyai 10 ahli.
Askar upahan "Sampah" ini bertahan selama setengah tahun sehingga bermulanya Liga Profesional Kelas A dan Kelas S. Pasukan itu kemudian mula mengalami konflik dalaman tentang jenama penaja yang patut mereka pilih. Kumpulan itu akhirnya dibubarkan. Enam ahli kumpulan itu yang paling tamak telah mengambil kerja membawa nama syarikat Jepun "Pasukan Toyota" dan menyertai Liga Profesional Kelas S. Sementara itu, empat pemain yang lain cuba mengambil ahli baru, tetapi disebabkan mereka kekurangan kualiti dan kemahiran, mereka tidak dapat melepasi liga Kelas A.
Terapung ini salah seorang askar upahan yang keluar daripada kumpulan dan tidak dapat melepasi Liga Kelas A. Dia seorang Pelindung dan Zhang Yang pernah berhadapan dengannnya. Memang tidak dapat dinafikan yang kemahirannya setanding Zhang Yang!
Namun, mereka perlu menyelesaikan Mod Paling Sukar dan menewaskan bos tersembunyi untuk mendapatkan resepi serta menghasilkan dan menjual [Perisai Tanah Bulat]. Dalam kehidupannya yang lepas, pencapaian penyelesaian pertama itu hanya diperolehi sebulan selepas… dan Zhang Yang akhirnya faham segala-galanya.
Kebanyakan pasukan elit sebelum ini tidak dapat melepasi bos ketiga itu disebabkan kemahirannya yang menyerupai serangga! Namun kali ini, dia telah "mencipta" cara pepijat rupa bumi terlampau awal dan memandangkan Syurga yang Hilang dan Asap Gurun Terpinggir turut menjumpai cara yang sama, ada kemungkinan yang ia telah dibocorkan! Bos kebal yang sebelum ini sukar dikalahkan kini telah dapat ditewaskan dengan mudah dan sesiapa sahaja boleh menewaskannya!
Kemajuan permainan video ini telah berubah disebabkan olehnya dan kesan rama-rama ini semakin berterusan! Zhang Yang mengeluh dan mengeluarkan satu lagi perisai dan menetapkan harga permulaan 500 kepingan emas dan harga terakhir 700 kepingan emas. 'Janganlah macam ni. Berilah kerjasama dan jangan susahkan aku! Ada bahagian untuk semua orang. Janganlah buat sesuatu yang akan menyusahkan kita berdua!' kata Zhang Yang dalam hatinya.
'Pengumuman pelayan: Pasukan Askar Upahan Pedang dan Api telah mencatat rekod masa baru di Dungeon Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar. Pencapaian mereka akan dicatatkan dalam Papan Pencapaian Tempoh Serangan Mod Paling Sukar (Pelayan China). Raikan kejayaan mereka!'
'Pengumuman pelayan: Pemain Pisau Pendominasi (Ketua Pasukan) telah berjaya memecahkan rekod tempoh penyelesaian Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar. Menerima 10 kepingan emas, 1 x Rune Tahap 1, dan 250 mata Nilai Reputasi untuk semua kaum daripada ganjaran sistem!'
'Pengumuman pelayan: Pemain 44 Perompak (Ahli Pasukan) telah berjaya…'
Saluran pelayan sekelip mata dipenuhi teks merah.
"Apa ni… Dari mana datangnya mereka ni? Mereka pecahkan rekod tu!"
"Askar Upahan Pedang dan Api… Aku rasa mereka ni pernah main dalam permainan video 'Zaman Naga'!"
"Hebatnya!"
"…"
Saluran tempatan riuh-rendah.
Zhang Yang sedikit terperanjat dengan semua ini, tetapi dia kemudian berasa ia sedikit lucu. Api Merah ingin sangat mencapai rekod kelajuan itu, tetapi impiannya kini hancur punah! Walaupun ahli utama Syurga yang Hilang boleh dikatakan pemain profesional, mereka dianggap tiada apa-apa kekuatan jika dibandingkan dengan "Askar Upahan Sampah" ini.
'Ish! Nampaknya usaha untuk mencapai penyelesaian pertama seterusnya akan menjadi sangat ganas!'
Zhang Yang membuka Rekod Kelajuan Penyelesaian Mod Paling Sukar dan memeriksa rekod masa mereka.
27 minit dan 30 saat!
Itu sangat mengagumkan! Zhang Yang teringat rekod itu beberapa kali dipecahkan dalam kehidupannya yang lepas, tetapi ia akhirnya kekal tercatat pada 24 minit dan 17 saat. Tiada rekod waktu yang lebih pendek daripada itu. Rekod itu sangat sukar dipecahkan kerana had tahap dungeon itu adalah 15 dan dengan kekuatan sebegitu, sukar bagi sesiapa untuk mendapatkan hasil yang mengagumkan!
Sebagai contoh, keperluan tahap untuk masuk ke Sarang Marzerway adalah Tahap 20 dan had tahapnya pula adalah Tahap 29. Ada jurang 10 tahap yang memberi pemain masa mencukupi untuk melalui percubaan dan memecahkan rekod kelajuan. Selepas Tahap 100, jangka masa penarafan mungkin 10 hari ke setengah bulan dapat memberi masa mencukupi kepada pemain.
'Beep.' Menerima satu pesanan peribadi.
"Zhan Yu! Argh… habislah aku kali ni!" Api Merah meraung dengan nada kecewa.
"Sabarlah. Akan ada lebih banyak peluang nanti!" pujuk Zhang Yang. Zhang Yang sebenarnya tidaklah begitu rapat dengan Api Merah dan dia tidak suka terlibat dengan seseorang yang agak beremosi. Dia lebih selesa bercampur dengan orang seperti Hari Bayangan.
Api Merah tersenyum tawar. Dia sedar kebolehannya sendiri dan kebolehan ahli Syurga yang Hilang walaupun dengan betapa banyaknya bilangan dungeon dalam permainan video ini. Mereka tidak cukup konsisten untuk mendapatkan walau pencapaian penyelesaian pertama Makam Bangar, sedangkan itu sewaktu Zhang Yang membantu mereka!
"Zhan Yu! Aku nak buat perjanjian dengan kau ni!"
"Macam tulah. Kau nak beli perisai aku? 1,000 kepingan emas setiap satu! Terima kasih atas pembelian anda!"
Api Merah cepat-cepat memperbetulkannya, "Tak, tak! Bukan tu! Aku nak tempah satu serangan dungeon! Aku nak pencapaian penyelesaian pertama untuk Sarang Marzerway!"
Selepas memikirkannya, Zhang Yang berkata, "Maaf, tapi serangan dungeon yang dikawal lima orang itu dah ditetapkan!"
Api Merah enggan menyerah kalah dan cuba menawarkan lebih lagi, "Ala, janganlah macam tu, Zhan Yu. Kita dah lama sama-sama berurusan ni! Bagilah aku peluang! Sekurang-kurangnya satu tempat untuk aku ke! Macam mana kalau aku bayar 10,000 kepingan emas pada kau?"
Matlamat terkini Zhang Yang ialah untuk menubuhkan satu pasukan yang kukuh dan stabil, bukan sahaja untuk menyerang dungeon, tetapi juga untuk bersaing dalam pertandingan seterusnya nanti! Dia telahpun mempunyai jumlah emas yang mencukupi dan tidak perlu lagi bekerja untuk orang lain!
Zhang Yang tertawa dan berkata, "Tak bolehlah! Aku dah buat perjanjian! Lagipun, kami akan menyerang sarang tu esok! Kau ada sesiapa yang dah capai Tahap 20?" Api Merah terkedu. Setiap pemain elit persatuan itu tidak meningkatkan tahap mereka melepasi Tahap 15 semata-mata untuk memecahkan rekod kelajuan itu. Mereka semua pada tahap yang sama. Bagaimana dia hendak mendapatkan seorang ahli yang berjaya mencapai Tahap 20 dalam masa satu malam?!
"Zhan Yu, janganlah terburu-buru! Tengok papan tu, tak ramai pemain Tahap 20 sekarang ni! Tutuplah sebelah mata untuk serangan dungeon tu dalam masa beberapa hari ni. Aku boleh tambah lagi 10,000 kepingan emas! Macam mana?" Api Merah semakin tidak keruan. Namun, Zhang Yang tetap menolak tawarannya.
"Maaf, Ketua Persatuan Api Merah. Aku dah berjanji."
Api Merah terdiam sejenak. "Baiklah. Kalau macam tu, kami akan berusaha lebih kuat untuk meningkatkan tahap kami. Mungkin kami akan hubungi kau lagi untuk dungeon Tahap 30."
Zhang Yang tertawa, "Haha, itu perjanjian masa depan. Sampai waktunya nanti ya!"
Selepas perbualannya itu, Zhang Yang menuju ke rumah lelong dan sekali lagi membeli habis [Rumpai Brassica] dan [Bunga Gingko]. Sejak Zhang Yang mula membeli habis bahan itu, pemain telah menaikkan harga dua herba itu dan telah membuatkan pengguna Alkimia tidak keruan. Tidak semua pemain sekaya Zhang Yang.
Selepas dia menggunakan semua bahan tersebut dalam craftnya, Zhang Yang telah mengumpulkan 300 timbun [Posyen Anti Bayangan Pemula] dan memenuhi 60% ruang simpanan dalam banknya. Jika dia meneruskan lagi usahanya sehari dua ini, ruang simpanannya pasti akan penuh. Segalanya selesai menjelang 11 malam dan Zhang Yang log keluar dan berhenti untuk hari itu.
Keesokan harinya, Zhang Yang terjaga pada pukul 6 pagi dan meneruskan rutin hariannya. Dia mengenakan jersinya dan berjoging selepas satu pusingan latihan tinju. Dia berlari keluar dari kawasannya, melalui satu taman dan satu kawasan pasar, dan akhirnya tiba di laluan masuk satu lorong. Dia terhenti di situ. Dia terhenti bukan untuk berehat seketika, tetapi disebabkan apa yang dilihatnya di laluan masuk lorong itu iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun yang sedang terbaring di lantai. Tangannya memegang kepalanya seperti dia cedera teruk. Ada ramai orang di sekelilingnya, tetapi tiada sesiapa yang melakukan apa-apa.
Belum sempat Zhang Yang mendekatinya, dia ditahan seorang lelaki tua berusia 60 tahun yang lain. "Hei anak muda, jangan pedulikan dia! Lelaki tu penipu. Sesiapa yang menolong dia akan mendapat masalah. Entah berapa ratus ke ribu dolar yang dia dah dapat dengan cara dia menipu tu."
Ia bukan lagi satu misteri kenapa anak muda sekarang tiada belas kasihan, tiada rasa hormat, dan kurang adab! Berita tentang orang jujur yang cuba membantu orang lain dan akhirnya ditipu dengan kejam banyak dikongsi di internet. Disebabkan penipu sebegitu, ramai orang yang betul-betul memerlukan bantuan tidak diendahkan dan dibiarkan begitu sahaja. Apabila penipu itu telah mendapat sasaran, mereka akan menggasak dan menipu sehingga berjaya mendapatkan wang. Jika mereka gagal mendapatkan wang, mereka dengan mudah melarikan diri dengan kata-kata seperti "Maaf, ini bukan orang tu!" atau "Maaf, aku tersalah cam orangnya."
Zhang Yang hanya menggeleng kepala dan berjalan ke depan.
Lelaki tua tadi menarik tangan Zhang Yang lagi, "Hei anak muda, kan aku dah cakap jangan pedulikan lelaki tu?"
"Aku tiada pilihan, pakcik. Aku kena ambil jalan ni untuk balik rumah!" ujar Zhang Yang sambil tersenyum.
"Kalau macam tu, baik kau berhati-hati. Lelaki penipu tu sangat jahat!"
"Aku faham, terima kasih banyak-banyak, pakcik!"
Namun, sesuatu yang tidak dapat dielak terjadi. Zhang Yang berjalan mengelilingi lelaki tua yang sedang terbaring itu dan belum sempat dia melepasinya, dia terasa betisnya dipeluk erat. Dia berpaling. Siapa lagi yang sedang memeluk kakinya kalau bukan si tua penipu itu?
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT