Kepentingan untuk seorang ketua yang bagus kepada mana-mana pasukan dapat dilihat dalam pasukan
Dengan peringatan yang sesuai daripada Zhang Yang, sesiapa yang terkena <Sumpahan Air dan Api> serta-merta bergerak ke posisi untuk mengatasi sumpahan itu. Mereka masih belum kehilangan mana-mana pemain! Kalaulah ini pasukan lain, mereka mungkin akan kacau-bilau dengan situasi yang huru-hara itu dan mungkin akan berkali-kali ditewaskan!
"Manusia durjana! Babarerba telah memandang rendah pada kau, sekarang Babarerba akan lebih serius!" Selepas HP menurun ke 25%, Babarerba mula membaca mantera ketiganya, "Datanglah syaitan dari jurang kegelapan…"
Bulatan magik berbentuk hexagram sekali lagi bercahaya dan satu perempuan menggoda muncul di sebelah Babarerba. Ia mempunyai dua tanduk panjang di atas kepalanya dan ekor yang panjang di belakangnya, Tangannya memegang tali cemati dan kakinya ada huf telapuk!
Pakaiannya sangat menjolok mata dengan bahagian atas badannya yang hanya diliputi baju dalam kulit harimau bintang yang kecil dan mendedahkan kulitnya manakala bahagian bawah badannya dibalut skirt mini bersulam. Ini memang satu godaan kepada sesiapa yang memandang.
[Alice, Boneka Syaitan Babarerba] (Elit)
Tahap : 13
HP : 6,000
Succubus ialah satu syaitan yang berada di kedudukan lebih tinggi berbanding imp dan syaitan terapung, tetapi memandangkan ia hanya diseru ke dungeon ini, ia tidak mempunyai apa-apa kemahiran yang khusus.
"Pap!" Alice menggunakan tali cematinya sambil menghayun pinggangnya dengan gaya menggoda, "Mm… Tuanku, kau telah menyeru Alice, adakah kau inginkan sesuatu yang nakal?"
"Jahanam, betul ke semua ni?" Han Gemuk mengelap air liurnya, "Yang Kecil, bolehkah aku jadikan ia haiwan peliharaan aku? Melihatnya berdiri di sebelah aku setiap hari akan meningkatkan mood aku 100 kali ganda!"
Zhang Yang tertawa dan berkata, "Tukar kelas kau kepada Paderi atau Ahli Sihir dan kau mungkin akan ada peluang untuk mendapatkan Pewarisan Penyeru apabila Tampalan Pewarisan dilancarkan. Kau nanti akan boleh menyeru pelbagai jenis syaitan, termasuk succubus ini!"
Han merenung Alice dengan penuh perasaan dengan matanya yang bersinar-sinar dan akhirnya berkata dengan terpaksa, "Yalah! Aku akan kekal sebagai seorang Pemburu kerana ia satu kelas yang mempunyai masa depan yang cerah!"
"Zhan Yu, periuk biru aku dah habis!" kata Salji Lembut.
Kesedihan Lautan turut berkata, "Aku mungkin hanya boleh pulihkan 2 kali lagi!"
Sebenarnya, nasib baik mereka berdua masih bertahan sehingga ini! Tank selalunya yang paling kerap memerlukan penyembuhan dalam mana-mana serangan dungeon. Namun, memandangkan Zhang Yang mempunyai kebolehan mengelak kerosakan yang tinggi, dia tidak memerlukan MP penyembuh itu. Sebab itulah mereka berdua boleh bertahan sehingga ke tahap ini! Kalau tidak, mereka mungkin akan kehabisan MP lebih awal kalau mereka perlu menyembuhkan satu lagi tank dengan konfigurasi alat kelengkapan sedia ada mereka.
"Penyembuh telah kehabisan periuk biru. Semua kena bersedia dengan periuk merah masing-masing, jangan kedekut untuk menggunanya! Bergerak lebih laju kalau terkena <Sumpahan Air dan Api>, jangan tunggu peringatan dari aku!" kata Zhang Yang dalam saluran pasukan.
"Baik!"
Pemain menyerang sepenuh daya memandangkan penyembuh telah kehabisan periuk biru. Bos ini tidak akan berhenti menjampi <Sumpahan Air dan Api> hanya kerana mereka telah kehabisan periuk biru. Kalau pertarungan ini masih berlanjutan, mereka semua akan ditewaskan!
22%, 19%, 16%!
'Ding! Pemain Kematian Bersalji telah mati!'
'Ding! Pemain Sami Ingkar telah mati!'
Bos itu sekali lagi menjampi <Sumpahan Air dan Api>. Memandangkan Kematian Bersalji dan Sami Ingkar hanya tinggal 200 HP dan periuk merah mereka masih dalam tempoh bertenang, mereka telah mati kerana terlewat 2 langkah dan terkena sumpahan itu.
"Teruskan serangan!" Pedang Zhang Yang terus dihayun. Dia sedang mengelak 4 serangan raksasa sambil menyebabkan kerosakan teruk pada masa yang sama, "Salji Lembut, Kesedihan Lautan! Masuk ke jarak dekat!"
Salji Lembut dan Kesedihan Lautan keliru dengan arahan itu, tetapi mereka tidak teragak-agak dan serta-merta berlari mendekati bos. Lagipun, mereka tidak dapat melakukan apa-apa lagi jadi, mereka mengeluarkan senjata mereka dan mula menyerang bos dan menyebabkan serangan '-1' bertubi-tubi.
14%, 11%, 9%!
'Ding! Pemain Salji Lembut telah mati!'
'Ding! Pemain Maharaja Api telah mati!'
"Hari Bayangan dan Api Merah ialah pemain DPS utama. Dan hanya mereka berdua yang berada pada posisi jarak dekat. Kalau tiada sesiapa yang datang memenuhi ruang kosong itu, mereka pasti akan ditewaskan beramai-ramai!" jelas Zhang Yang dengan bersahaja.
"Jahanam, Yang Kecil, liciknya kau! Kau korbankan Salji Lembut yang cantik ini macam tu saja?" Han Gemuk mengeluh bagi pihak Salji Lembut sambil dia memerhati tubuh Salji Lembut yang terbaring kaku di atas tanah dan menyumpah agar skirtnya terselak lebih tinggi untuk dia mengintai.
"Aku gembira kerana masih boleh berkhidmat hingga ke penghujung!" Salji Lembut menghantar simbol senyuman di saluran pasukan.
Han Gemuk serta-merta mengusiknya, "Salji Lembut yang cantik! Aku sudah lama jatuh cinta pada kau! Harap kau tak berubah hati dan jatuh cinta dengan Yang Kecil! Ni Abang Gemuk beritahu, lelaki tu pernah tak mandi sekalipun untuk 3 bulan. Sesiapa pun boleh bau betapa busuknya dia walau daripada 3 kilometer jauhnya!"
Salji Lembut hanya tersenyum malu dan tidak menghiraukan Han Gemuk.
7%, 6%, 4%!
'Ding! Pemain Api Merah telah mati!'
'Ding! Pemain Ratusan Tembakan telah mati!'
"Teruskan, sikit lagi!" jerit pemain yang telah tewas yang terfikir mungkin ini seperti pertarungan dengan Cakar Hitam tadi di mana mereka hampir tewas.
Zhang Yang terus berfikir dan berkata, "Kesedihan Lautan, gerak ke posisi jarak jauh!" 3 pemain berada di posisi jarak dekat pada waktu ini sementara Han Gemuk satu-satunya yang berada di posisi jarak jauh. Kalau tiada apa-apa perubahan, Han Gemuk pasti akan mati! Han Gemuk ialah output DPS kedua tertinggi buat masa ini dan Zhang Yang perlukan dia untuk hidup sehingga tamat pertarungan. Kini dia hanya boleh bergantung pada tuah apabila bos itu memilih sasarannya!
3%! 2%!
'Ding! Pemain Hari Bayangan telah mati!'
'Ding! Pemain Kesedihan Lautan telah mati!'
"Ya!" Semua bersorak apabila bos itu menyerang Kesedihan Lautan dan bukan Han Gemuk dan secara tidak sengaja telah mengguris hati Kesedihan Lautan. "Aku tak pernah sakitkan hati sesiapa. Kenapa gembira sangat bila aku mati?"
1%!
0 %!
Babarerba jatuh tewas dengan jeritannya setelah HP yang terakhir hilang.
'Ding! Pasukan anda telah membunuh Babarerba! Menerima 39,050 EXP (50 mata Bonus Pasukan)!'
"Kita berjaya! Kita berjaya lagi!" pasukan itu tidak berhenti bertepuk. Sebelum ini, tiada sesiapa yang menyangka pasukan publik seperti mereka boleh menewaskan 2 bos berturut-turut seperti ia sesuatu yang mudah!
"Wah, banyaknya EXP!" ujar Han Gemuk.
Zhang Yang menghayun pedangnya untuk terus menewaskan 3 lagi syaitan dan berkata dengan bersahaja, "Kalau kau dah mati, aku akan dapat lebih banyak EXP!" Dia terhenti sebentar dan berkata, "Jangan sesiapa lepaskan jasad kamu semua lagi, rasanya ada pencapaian nanti!"
Han Gemuk mengarahkan haiwan peliharaannya untuk menyerang sementara dia menyerang dengan panahnya dan bertanya, "Yang Kecil, pencapaian apa?"
"Hanya benda mengarut, untuk menunjuk apa yang telah dicapai tanpa memberi ganjaran apa-apa pun sebenarnya!" jawab Zhang Yang bersahaja.
Walaupun 3 boneka syaitan itu mempunyai 6,000 HP setiap satu, mereka tetap tidak dapat bertahan lama dengan serangan Zhang Yang dan Han Gemuk. Mereka satu persatu mati dengan lajunya.
'Ding! Anda telah menerima pencapaian, Aku Boleh 1V4!'
"Apa ni?" ujar Han Gemuk.
Zhang Yang menerangkan, "Sistem Pencapaian ini selalunya ada dalam dungeon Mod Sangat Sukar dan ia selalunya digunakan untuk menggalakkan cara pembunuhan yang lebih sukar. Contohnya, kita telah mengabaikan boneka yang diseru sepenuhnya dan hanya mensasarkan bos. Sistem ini telah mengenalpasti ini sebagai cara yang lebih sukar dan memberi ganjaran kepada kita dengan pencapaian ini!"
Barulah semua faham. Namun, mereka semua juga faham yang mereka tidak akan dapat mencapai semua ini kalau bukan kerana kebolehan Zhang Yang! Kenapa alat kelengkapan mereka hanya sekadar ini untuk membolehkan mereka membunuh bos secara normal?
"Bangkit semula!"
8 antara mereka melepaskan jasad masing-masing. Sambil berlari semula, mereka bertanya, "Zhan Yu, ada apa-apa pencapaian lain di luar dungeon?"
"Ada banyak lagi sebenarnya. Kita mungkin tidak boleh mendapatkan semuanya walaupun setelah bermain selama 10 tahun!" Zhang Yang berfikir sejenak dan berkata, "Contohnya, kalau kau dibunuh oleh orang yang sama sebanyak 100 kali, kau akan dapat pencapaian dipanggil 'Aku Benci Kau'! Kalau kau dibunuh oleh orang yang sama sebanyak 1000 kali, kau akan dapat 'Aku Benci Kau Sampai Mati'!"
"…"
Apabila semua telah selesai bangkit semula, Zhang Yang berkata kepada Han Gemuk, "Pergi ambil hasil rampasan daripada bangkai itu!"
Han Gemuk tidak sabar lagi kerana ini waktu yang dia tunggu-tunggu setelah pertarungan panjang dengan bos itu tadi!
"Tengok! Tangan Bertuah Abang Gemuk yang besar!" Han Gemuk menghulurkan tangannya ke bangkai bos itu.
"Abang Han, basuhlah tangan tu dulu!" jerit Kematian Bersalji.
[Lembing Kilat] (Tembaga Hijau, Lembing Dua Belah Tangan)
Serangan Senjata: 85 – 113
Sela Masa Serangan: 3.8 saat
DPS: 26
Keperluan Tahap: 10
"Alat yang hebat!" Hari Bayangan mula terliur dan jelas keinginan di matanya.
Selainnya, ahli pasukan yang lain secara automatik menolak untuk membaling dadu. Alat kelengkapan itu terus masuk ke dalam inventori Hari Bayangan.
"Terima kasih, semua, terima kasih!" Hari Bayangan terus menggayakan lembing itu dan tunduk hormat sebagai penghargaan kepada semua orang, "Terutamanya Abang Sulung Zhan Yu!"
Han Gemuk berasa marah dan berkata, "Hari Bayangan, aku yang ambil hasil rampasan daripada bangkai itu! Kenapa kau tak berterima kasih kepada aku?"
"Terima kasih, Abang Gemuk!" Hari Bayangan yang masih di awang-awangan kerana gembira terus tunduk hormat kepada Han Gemuk dan membuatkan semua tertawa.
[But Berat] (Tembaga Hijau, Baju Perisai Berat)
Pertahanan: +6
Vitality: +5
Kekuatan: +4
Ketangkasan: +1
Keperluan Tahap: 10
'Tidak', 9 antara mereka menolak untuk membaling dadu sejurus selepas tetingkap Balingan Dadu muncul dan ini membenarkan Zhang Yang terus mendapat alat kelengkapan yang digugurkan itu tanpa saingan.
"Terima kasih, semua!" Zhang Yang berterima kasih kepada pasukan dengan hormatnya dan memakai but itu. Atribut wataknya meningkat serta-merta.
HP: 520, Kekuatan: 70, Baju Perisai: 31, Kerosakan Serangan: 86 – 94.
[Simpanan Rahsia Skirt Mini Succubus Babarerba] (Tembaga Hijau, Baju Perisai Berkain)
Perisai: +2
Vitality: +10
Kepintaran +7
Semangat: +3
Keperluan Tahap: 10
Sebaik sahaja alat kelengkapan ini muncul, semua orang terkedu. Mereka semua ingat ini skirt mini yang dipakai succubus tadi. Kalau pemain wanita memakainya… itu pasti akan menarik perhatian sesiapa!
"Jahanam, bos tadi memang gatal! Teruknya!" Han Gemuk berkata penuh perasaan. Namun, walaupun setelah dia mengatakannya, matanya sibuk memandang antara skirt itu dan Salji Lembut tanpa segan silu akan niatnya yang sebenar!
"Kami semua meminta agar alat kelengkapan ini diberikan kepada Salji Lembut!" jerit Kematian Bersalji.
Hanya 2 pemain yang boleh memakai baju perisai berkain – Salji Lembut dan Maharaja Api. Kalau Maharaja Api menolak untuk membaling dadu, jadi alat kelengkapan akan dimiliki Salji Lembut.
Maharaja Api tertawa dan terus menolak untuk membaling dadu. Memandangkan mereka berdua daripada persatuan yang sama, ia akan dimasukkan ke dalam simpanan yang sama walau sesiapapun memilikinya. Selain itu, dia watak lelaki. Memakai skirt mungkin agak melampau bagi sesiapa yang melihat. Dia tidak akan berani memakai sesuatu seperti itu, kecuali kalau ia alat kelengkapan Suci.
Wajah Salji Lembut merah padam kerana malu.