Huo Mian tidak ingat bagaimana dia dapat meninggalkan pangsapurinya dan bagaimana dia berjaya sampai ke bilik kecemasan hospital itu.
Bilik bedah sudah pun tertutup. Sekumpulan individu menunggu di luar pintu itu.
Dia melihat emaknya terduduk lemah di atas kerusi di laluan itu, menangis dengan esakan yang meruntun perasaan.
"Mak, bagaimana dengan Zhixin?"
"Oh, Zhixin saya yang kasihan. Kamu kena sembuh. Kalau tidak, bagaimana Mak akan hidup seorang diri?" Seolah-olah dia tidak dapat melihat Huo Mian, Yang Meirong berterusan meratap dengan mata terpejam.
Dua orang jururawat muda berjalan ke arahnya, berniat untuk memarahinya supaya memperlahankan suara. Mereka terkejut apabila ternampak Huo Mian. "Huo Mian, kamu pun keluarga pesakit juga?"
Huo Mian mengangguk. Wajahnya pucat. "Weiwei, bagaimana dengan adik saya? Macam mana situasinya?"
"Kami belum tahu lagi. Tapi keadaan dia ketika dibawa masuk tadi agak menakutkan. Degupan jantungnya tidak sekata dan tekanan darahnya sangat tinggi. Doktor pakar sedang cuba menyelamatkan dia. Kamu perlu tunggu buat masa sekarang."
"Okey, saya faham."
Huo Mian merasakan kekuatan bagaikan disedut keluar daripada tubuhnya. Dia hampir rebah.
Mereka baru sahaja makan tengah hari bersama tadi sambil berbual dan bergelak ketawa. Bagaimana kejadian seperti ini boleh berlaku pada tengah hari yang sama?
Jika ada apa-apa berlaku pada Zhixin, dia tidak dapat bayangkan bagaimana dia dan emaknya akan meneruskan hidup di bumi ini.
Tujuh tahun lalu, kematian Pak Cik Jing sudah menyelimuti keluarga mereka dalam kabus dingin. Jika sesuatu terjadi pada adiknya kini, dia takut dia akan kehilangan semangat untuk hidup.
Ketika itu, Huo Mian perasan ada keluarga lain yang menangis di luar bilik bedah itu. Kemudian, baru lah dia teringat untuk bertanya tentang apa yang berlaku.
Seorang lelaki pertengahan usia, dalam lingkungan usia 40an dan memakai kaca mata berbingkai emas, berjalan menghampirinya.
Huo Mian mengenalinya. Dia ialah profesor di universiti Jing Zhixin.
"Profesor Sun, apa yang telah berlaku sebenarnya?"
"Berdasarkan apa yang saya dengar, Jing Zhixin terlibat dalam kemalangan kereta semasa perjalanan pulang ke asrama dari perpustakaan. Bukan dia sahaja yang tercedera. Ada tiga orang pelajar lain yang mengalami kecederaan parah. Ini dikelaskan sebagai perlanggaran tindak balas berantai." Nada suara profesor itu sangat muram.
Huo Mian kaku buat seketika.
"Bagaimana itu boleh berlaku? Bukankah ada had laju dalam kampus? Dengan kelajuan yang rendah, bagaimana kemalangan kenderaan yang begitu serius boleh berlaku?"
"Saya tidak ada di sana ketika ia berlaku. Kita perlu menunggu rakaman kamera tertutup diproses untuk mengetahui maklumat lanjut. Tapi berdasarkan apa yang diberitahu oleh pelajar yang menjadi saksi, sebuah kereta sport Porsche telah memecut. Kereta itu telah menyebabkan kerosakan yang agak teruk pada infrastruktur universiti, kemudian melanggar dan mencederakan empat orang pelajar sebelum merempuh sebatang pokok."
"Kereta sport Porsche?" Kening Huo Mian berkerut. Dia tidak boleh membayangkan siapa yang akan memecut sebuat kereta sport dalam kampus universiti yang padat dengan pelajar dan menyebabkan kerosakan pada infrastruktur.
"Bagaimana dengan pesalah? Di mana mereka?" Huo Mian dipenuhi amarah.
"Dia melarikan diri. Saya dengar gadis yang berada di tempat duduk penumpang juga cedera parah dan sedang menjalani rawatan kecemasan di hospital. Namun, pihak universiti sudah menghubungi polis. Mereka kini sedang menyiasat. Jadi kamu tidak perlu bimbang."
"Macam mana saya tidak bimbang jika saya tidak tahu bagaimana keadaan adik saya?" Air mata Huo Mian mula menitis sewaktu dia bercakap.
Tiga jam kemudian, pintu bilik bedah dibuka.
Huo Mian dan emaknya bergegas ke arah doktor itu, menghalang laluannya.
"Doktor Liu, bagaimana dengan adik saya?"
"Keadaan tidak kelihatan baik. Kami sudah buat sehabis baik untuk menyelamatkan dia. Namun, ada pendarahan dalaman di dalam kraniumnya. Tambahan pula, lokasi pendarahan itu sangat sensitif. Kami tidak mempunyai keyakinan penuh untuk meneruskan pembedahan kedua. Sekejap lagi, jabatan neurosurgeri akan membuat rancangan. Kami akan bincangkan bagaimana untuk meneruskan rawatan dengan ahli keluarga selepas itu."
Mendengarkan perkara ini, kedua-dua Huo Mian dan emaknya merasakan lutut mereka lemah.
'Keadaan tidak kelihatan baik' bermakna mereka belum mampu menjadikan adiknya dalam keadaan stabil.
Dia memahami teori mengenai pendarahan dalaman di kranium. Pembedahan yang dilakukan oleh Qin Chu bersamanya sebelum ini ialah untuk pesakit yang menderita masalah ini.
Pembedahan itu merupakan prosedur yang memerlukan pelbagai teknik. Sebarang kesilapan kecil boleh menyebabkan kesan jangka masa panjang. Kes-kes yang kurang parah boleh menyebabkan kemerosotan fungsi kognitif atau pergerakan motor yang terbatas. Kes-kes parah pula boleh menyebabkan lumpuh atau meninggalkan pesakit dalam keadaan koma.
"Oh syurga-syurga di atas. Anak lelaki kecil saya yang begitu kasihan. Apa yang saya buat sehingga saya diuji begini?" Yang Meirong melolong, melutut di atas lantai.
Pada masa itu, Huo Mian merasakan langit seakan-akan runtuh di sekelilingnya.
"Rendahkah suara kamu. Kamu tidak boleh bising di sini." Seorang jururawat segera tiba untuk masuk campur.
"Mak, bertenang."
"Diam! Ini semua salah kamu, kamu ahli sihir! Kamu menyebabkan kematian ayah Zhixin dan kini kamu datang mengambil nyawa Zhixin. Apa yang saya buat sehingga saya diberikan anak sumpahan seperti kamu? Karma yang teruk!" Yang Meirong menangis sambil menumbuk-numbuk Huo Mian.
Huo Mian sendiri murung. Dia tiada perkataan untuk diucapkan…
Kemudian, Yang Meirong mencekak kolar Huo Mian dan menjerit, "Adakah ini perbuatan Keluarga Qin lagi? Hah? Adakah ini balasan seterusnya kerana kamu mengejar anak mereka lagi? Beritahu saya, beritahu saya sekarang!"
"Mak, bertenang. Encik Yao katakan ini kemalangan yang melibatkan pelbagai kereta, bukannya kemalangan yang dirancang." Huo Mian menerangkan.
"Saya tidak percaya. Saya tidak percaya. Ini mesti kamu. Ini mesti keluarga itu. Ini pasti ada kaitan dengan mereka! Saya akan bunuh mereka!" Apabila dia selesai bercakap, Yang Meirong berlari ke arah pintu keluar.
"Mak…" Huo Mian memegang tangan emaknya dengan kemas sambil teresak-esak.
Akhirnya, emaknya bersandar padanya dan rebah…
"Mak, jangan pengsan." Huo Mian merasakan otaknya seakan mahu pecah.
Adiknya belum lagi melepasi bahaya dan kini emaknya pengsan. Huo Mian sudah menerima dua kejutan dan mentalnya sudah hampir berkecai.
Selepas membuat aturan untuk emaknya, Huo Mian menenangkan dirinya dan berjalan ke tingkat teratas hospital itu.
-Di pintu bilik pengarah hospital-
"Saya mahu berjumpa dengan pengarah." Kata Huo Mian kepada pembantu lelaki tersebut.
"Adakah kamu mempunyai janji temu?"
"Tidak."
Pembantu itu pernah berjumpa dengan Huo Mian sebelum ini. Jadi, dia tahu siapa Huo Mian. Dia mengangguk. "Tunggu di sini sekejap dan saya akan bercakap dengan dia."
Kemudian, pembantu itu keluar. "Kamu boleh masuk sekarang."
"Terima kasih."
Huo Mian nampak pengarah itu sedang duduk di kerusinya semasa dia berjalan masuk. Mungkin dia sedang menulis laporan.
"Pengarah Wu."
"Oh, kamu di sini. Sila duduk." Pengarah itu tidak lagi asing dengan seragam ini.
Huo Mian mengangguk. Matanya merah. Dia duduk berhadapan dengan pengarah itu.
"Kamu di sini untuk sesuatu. Beritahu saya." Pengarah itu menyangkakan Huo Mian datang dengan permintaan kerana dia tidak memberi bonus secukupnya.
Tanpa dijangka-jangka, Huo Mian menangis sebaik sahaja dia mula bercakap, "Pengarah, to-tolong selamatkan adik lelaki saya."
"Apa yang berlaku? Bertenang. Ambil masa kamu." Pengarah itu berkata dengan nada serius. Melihatkan Huo Mian berkeadaan seperti itu, Pengarah Wu memberhentikan kerja yang dibuatnya dan membetulkan kaca mata.
"Pengarah, adik lelaki saya terlibat dalam kemalangan kereta hari ini di universitinya dan dihantar ke hospital kita untuk rawatan kecemasan. Ketua doktor bedah mengatakan dia mengalami kecederaan otak parah. Selepas pembedahan kecemasan, dia masih tidak melepasi zon bahaya. Jadi, doktor mencadangkan pembedahan kedua. Tapi, kerana kecederaanya berada di bahagian otak yang penting, pembedahan kedua ini sangat berisiko. Dia baru berusia 19 tahun dan dia sahaja adik saya. Saya tidak mahu kehilangannya. Tolong saya."
"Saya faham, jangan bimbang. Biar saya buat panggilan telefon dan bertanya."
Tidak lama kemudian, Pengarah Wu mendail nombor sambungan Jabatan Neuorsurgeri dan bercakap dengan doktor di sana.
Selepas beberapa minit, Pengarah Wu meletakkan telefon dan bercakap dengan nada yang berat, "Huo Mian, situasi adik kamu sangat sulit. Doktor Liu daripada Jabatan Neurosurgeri beritahu saya dia tidak begitu yakin dengan pembedahan ini. Lagipun, kalau pembedahan ini berjaya sekali pun, mungkin ada kesan sampingan."
"Jadi, apa yang patut kita buat? Apa kata kalau kita tidak lakukan pembedahan kedua itu? Adakah itu lebih baik untuknya?" Huo Mian bimbang.
Pengarah Wu menggelengkan kepalanya. "Dengar sini. Begini halnya. Kalau kita tidak buat pembedahan kedua, hidup adik kamu akan sentiasa dalam bahaya. Jika ketulan darah dalam otaknya tidak dikeluarkan sepenuhnya, ia boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang besar dalam otaknya pada bila-bila masa sahaja. Ini sangat serius."
"Jadi, apa yang patut kita buat?" Huo Mian benar-benar tergamam. Untuk pertama kalinya, dia buntu.
"Begini. Kamu pulang dan fikirkan mengenainya. Cakap juga dengan keluarga kamu dan bincang dengan mereka. Tetapi, saya perlu ingatkan kamu pembedahan kedua ini sangat mahal. Paling kurang, ia akan berharga 300,000 yuan dan jangka masa terbaik untuk pembedahan ini dilakukan ialah dalam masa seminggu. Kalau tidak, semakin lama kita menunggu, semakin besar risikonya. Buat kos hospital sekarang pula, kamu tidak perlu bimbang. Saya sudah berikan notis awal, jadi kamu tidak perlu terus membayar bilnya. Kamu boleh tunggu dan selesaikan bil itu di masa akan datang. Tapi, pergi dan bincangkan dengan keluarga kamu mengenai pembedahan kedua itu. Itu keputusan paling penting untuk dilakukan sekarang."
"Terima kasih, Pengarah. Saya akan pergi dan fikirkan mengenainya."
Kemudian, Huo Mian berdiri dengan fikiran bercelaru. 300,000 yuan. Itu jumlah yang sangat besar. Di mana dia mahu mencari semua duit itu?
"Tunggu." Pengarah itu tiba-tiba memanggilnya.
Huo Mian memalingkan kepalanya yang penat…
"Huo Mian, doktor bedah jemputan yang melakukan pembedahan untuk pegawai kanan yang bernama Doktor Qin itu kawan lama kamu, kan?" Soalan penting ini baru sahaja menjengah fikiran Pengarah Wu.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT