"Meng Hao…" Bapa Reliance mengetap giginya. Bukan sahaja dia berasa hiba, malah dia lebih berasa menyesal. Kalaulah dia tahu yang perkara ini boleh berlaku, dia akan mengeluarkan kata-kata yang lebih baik pada Meng Hao.
Dia benar-benar tidak menyangka Meng Hao boleh jadi sekejam itu. Sudahlah kejam, dia masih lagi mempunyai sebuah beg Kosmo pula! Usahkan beg Kosmo itu, dia telahpun memasuki peringkat kesepuluh Pemekatan Qi!
Peristiwa yang berlaku di hadapan mata membuatkan dirinya mahu menangis, tetapi dia sudah tiada air mata untuk dikeluarkan. Dia menggeritkan giginya dan hatinya diselubungi ketakutan. Dia masih ingat syarat untuk Jed Pengunci Syaitan itu; ia hanya boleh diambil dan digunakan seseorang yang telah mencapai peringkat ketiga belas Pemekatan Qi. Sewaktu si bajingan tua itu mengatakannya dahulu, dengan angkuhnya dia tidak mempercayai mereka. Dia yakin dia dapat menghalang warisan Sekta Pengunci Syaitan daripada diteruskan ke generasi akan datang. Tetapi, setelah dia melihat Meng Hao mencapai peringkat kesebelas, hatinya bergetar dengan kegelisahan.
Malang bagi dirinya, tiada apa-apa yang dapat dilakukannya melainkan hanya mengetap gigi dan terus menyerap tenaga rohani sebanyak yang mungkin. Dia perlu dapatkan lebih banyak dan lebih pantas daripada Meng Hao. Dia perlukan kompas Feng Shui di hadapannya dibaiki sepenuhnya dan menghalang Meng Hao daripada mara ke hadapan.
Tenaga rohani yang disedut ke dalam tanah dan diserap ke dalam kompas Feng Shui itu berwarna merah terang. Seolah-olah sambil ia melalui tanah itu, ia diresapi galian tertentu daripadanya.
"Tak guna, Meng Hao. Aku hanya beri kau Batu Rohani bermutu rendah sahaja dan tidak menghapuskan racun kau. Kau sudah melampau, bukan? Aku ini masih lagi Bapa kau." Bapa Reliance berasa sangat marah.
Manakala bagi diri Meng Hao pula, satu bunyi gemuruh memenuhi seluruh tubuhnya. Setelah menyerap dua puluh peratus tenaga rohani pelita itu, tubuhnya menggigil dan dia dapat rasa dirinya berubah. Perubahan itu pada laut Terasnya. Ia menjadi semakin besar dan laluan Qinya juga menjadi semakin tebal. Satu letupan kedengaran dalam kepalanya dan dia dapat merasai perasaan merempuhi dinding batasan ke peringkat seterusnya.
Peringkat kesebelas Pemekatan Qi!
Laut Terasnya menyebar keluar untuk memenuhi seluruh tubuhnya. Jenis laut Teras ini benar-benar mustahil untuk seseorang yang berada di tahap Pemekatan Qi. Keagungannya akan memastikan perkembangan masa hadapan dan kuasa pertarungan yang tiada batasan.
Sukar bagi Meng Hao untuk mencapai Pengukuhan Asas dengan laut Teras sebegini, tetapi... kalau dia berjaya, dia akan menjadi dua kali ganda lebih kuat daripada seseorang yang berada di tahap yang sama!
Peringkat kesebelas Pemekatan Qi telah menyempurnakan laut Teras dan bukan tubuhnya!
Perkembangan laut Terasnya menyebabkan tubuh Meng Hao bergema dengan bunyi gemuruh. Tenaga rohani tanpa batasan seperti sebuah lautan memenuhi dirinya. Gelombang laut Teras itu menghentam dan bergolak tanpa henti.
Meng Hao membuka matanya dan menarik nafas panjang. Bunyi tarikan nafasnya seperti bunyi kilat. Dia berdiri dengan mata yang terus-menerus bersinar. Dia mengambil satu lagi langkah ke hadapan. Kemudian langkah kedua. Kemudian langkah ketiga!
Kini, dia benar-benar berdiri bersebelahan tujuh buah pelita itu dan cukup hampir untuk menyentuhnya. Dia telah menyerap tiga puluh peratus tenaga rohani pelita itu.
Tiga puluh peratus mungkin kedengaran tidak banyak, tetapi mustahil bagi Meng Hao kalau bukan kerana keupayaan peringkat kesepuluh Pemekatan Qi. Lagipun, itu peringkat Pemekatan Qi yang boleh mencuri tuah daripada Syurga.
"Meng Hao, kau belum selesai lagi…" Bapa Reliance memerhatikan Meng Hao mengambil tiga langkah ke hadapan dan kerisauannya semakin bertambah kuat. Jika Meng Hao dapat mencapai peringkat kedua belas, dia hanya tinggal selangkah lagi untuk mampu menggunakan Jed Pengunci Syaitan itu.
"Terima kasih banyak atas bantuan kau, Bapa," Meng Hao bersuara dengan tenang. "Aku akan selesai tidak lama lagi." Dia menutup matanya dan bersedia untuk menyerap lebih banyak tenaga rohani ke dalam tubuhnya. Tubuhnya bergegar sewaktu dia melangkah ke peringkat kedua belas Pemekatan Qi.
Sejak dahulukala, tiada siapa pernah memasuki peringkat kedua belas Pemekatan Qi.
Sejurus sahaja dia berbuat demikian, minda Meng Hao berasa sangat sakit. Deria Rohaninya hanya di takat itu sahaja dan tidak bergerak. Tetapi, dia dapat rasa seolah-olah mindanya telah berpecah menjadi dua. Kini, dia berasa... seperti sesuatumencurah-curah dalam mindanya.
Ini adalah... Lautan Tanggapan!
Pada masa kini, para Pertapa yang berjaya mencapai Pengukuhan Asas daripada Pemekatan Qi akan membentuk sebuah Lautan Tanggapan daripada ketiadaan. Biasanya, jenis Lautan Tanggapan ini tidaklah begitu besar dan tiada kena mengena dengan bakat terpendam dan lebih kepada kaedah yang digunakan. Semakin luas Lautan Tanggapan itu, semakin banyaklah kuasa yang dapat digunakannya dan Deria Rohani Pertapa itu akan menjadi semakin tidak terhad.
Zaman dahulukala, para Pertapa lebih suka untuk mencapai Pengukuhan Asas sewaktu dalam peringkat kedua belas Pemekatan Qi. Ini kerana peringkat kedua belas ialah masa untuk Lautan Tanggapan terbuka. Jika mengamalkan Pertapaan dengan cara ini, Lautan Tanggapan akan menjadi lebih kuat daripada yang lain di tahap Pengukuhan Asas ini.
Di dalam dunia Pertapaan kini, Meng Hao adalah Pertapa pertama yang memasuki peringkat kedua belas Pemekatan Qi. Jika khabar ini tersebar, seluruh dunia Pertapaan akan menjadi gempar.
Pada masa ini, Bapa Reliance berasa goyah. Dia menatap Meng Hao dengan kelu dan hanya mampu menyaksikan di depan matanya sendiri sewaktu peringkat kesembilan Pemekatan Qi Meng Hao sebelum ini telah meningkat ke peringkat kedua belas.
"...Zaman dahulukala," dia bergumam, "ada legenda menyatakan yang lingkaran hebat Pemekatan Qi boleh disempurnakan di peringkat ketiga belas. Tetapi, walaupun sewaktu zaman itu, hal itu jarang dilihat. Mereka kata peringkat ketiga belas Pemekatan Qi berhubung kait dengan tuah Syurga dan boleh mengubah bakat terpendam seorang Pertapa! Ia hanya berubah sedikit sahaja. Tetapi, bakat terpendam ialah kurniaan Syurga, jadi walaupun berubah sedikit sekali pun, akan pasti jadi satu pengingkaran Syurga."
"Aku sudah lupa berapa tahun yang lalu, si bajingan tua daripada Sekta Pengunci Syaitan itulah yang asyik berbangga mengatakan aku ini sangat bertuah... Tetapi berbanding dengan aku, budak inilah yang bertuah. Tak guna, dia terlalu bertuah! Macam mana aku boleh membangkitkan tindak balas ini!"
Sewaktu Bapa Reliance bercakap, Meng Hao telah membuka matanya. Matanya bersinar terang. Dia dapat rasa kesakitan seolah-olah kepalanya mahu pecah. Tetapi, di dalam kesakitan itu, dia dapat rasa kejernihan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
Dunia kelihatan seolah-olah berbeza sewaktu dia melihatnya, walaupun dia tidak dapat memastikan yang mana yang berbeza. Semuanya kelihatan berseri-seri seperti tidak pernah disedarinya sebelum ini.
Di saat ini, daya graviti yang sangat kuat itu nampaknya berada di ambang kemerosotan seolah-olah tubuhnya tahu yang dia telah mencapai had penyerapannya.
Tidak lama kemudian, jumlah tenaga rohani yang diserap dari pelita minyak tanah itu telah jatuh daripada tiga puluh peratus kepada dua puluh peratus dan kepada sepuluh peratus.
Ini telah menyebabkan Meng Hao mengerutkan kening, berasa pelik. Dia tahu asas Pertapaannya masih belum berada di puncak... Dia boleh rasa yang terdapat satu lagi lapisan setelah lapisan terkininya dan kitaran hebat Pemekatan Qi.
Ia satu perasaan yang hebat, tetapi daya graviti menjadi semakin lemah seolah-olah tahap seterusnya telah ditutup selama-lamanya bagi dirinya.
Bapa Reliance ketawa berdekah-dekah. "Aku sudah kata! Peringkat ketiga belas Pemekatan Qi memang sangat jarang dicapai walaupun pada zaman dahulukala. Ia hanya tersebut dalam mitos dan cerita sahaja, sampai ada orang yang menyangka ia tidak wujud sebenarnya. Peringkat kedua belas ialah peringkat terakhir. Meng Hao, jangan halang rancangan utama aku. Kalau tidak, kau siaplah bila aku keluar nanti. Aku akan cuci lantai ini dengan tubuh kau! Kau ini memang perlu dipukul, tak guna!" Walaupun Meng Hao telah menyedut tenaga rohani itu, tetapi ia tidak memadai sebenarnya kerana baki itu masih cukup untuk menyempurnakan rancangan utamanya dan jika Meng Hao tidak mencapai peringkat ketiga belas, itu bermaksud dia memang tiada bakat terpendam untuk menggunakan Jed Pengunci Syaitan itu.
"Nampaknya, tuah budak ini sampai di sini sahajalah," Bapa Reliance bersuara dengan nada berpuas hati. Tetapi, kemudian mata Meng Hao bercahaya. Dia mempunyai sikap yang degil. Tambahan pula, dia telah mencapai peringkat kedua belas Pemekatan Qi dan dapat melihat sekali imbas peringkat seterusnya, dia akan melakukan apa-apa sahaja yang mungkin untuk merempuhi dinding batasan itu.
"Daya graviti itu semakin lemah... Macam mana aku boleh terus menambah tenaga rohani…" Minda Meng Hao berpusing memikirkan ribuan kemungkinan sehingga matanya mula bersinar dan dia menepuk beg saktinya. Dua bilah pedang kayu telah muncul.
Dia melihat pada kedua-dua bilah pedang itu, kemudian mengetapkan giginya dan menyebabkan sebilah daripadanya melayang terus ke arah dirinya sendiri. Bapa Reliance tergamam sewaktu menyaksikan pedang itu mengelar Meng Hao. Tidak lama kemudian lebih sepuluh luka kelaran memenuhi tubuhnya.
Meng Hao mengetap rahangnya ketika pedang itu membelah dan meninggalkan luka berdarah di seluruh badannya. Matanya bersinar dengan penuh tekad. Sewaktu darah terpercik keluar dari luka itu, Meng Hao dapat merasakan yang kuasa rohani di dalamnya juga turut mengalir keluar.
Ini benar-benar seperti yang dikehendakinya!
Apabila kuasa rohani itu terbocor keluar dari tubuhnya, kuasa graviti di dalamnya juga tiba-tiba bergegar dan perlahan-lahan menjadi lebih kuat. Apabila ini berlaku, Meng Hao membulatkan tekadnya. Dia kini mengawal pedang kedua dan membuat kedua-dua bilah pedang itu berpusing-pusing mengelilingi dirinya sambil mengelar bertubi-tubi. Dalam sekelip mata, kulit tubuhnya penuh dengan hampir seratus kelaran.
Kecederaan itu membangkitkan kuasa fizikal tubuhnya dan pada masa yang sama, kuasa graviti dalam dirinya juga menjadi bertambah kuat.
Bapa Reliance terkedu. Cara Meng Hao ini memang tidak tercapai akalnya. Apabila dia melihat kelaran berdarah pada tubuh Meng Hao dan mata Meng Hao yang masih bersinar dengan keazaman, baru dia sedar tahap kezaliman Meng Hao. Jika dia sanggup menzalimi dirinya sendiri seperti ini, apatah lagi orang lain?
Lebih banyak luka yang ada di badannya, lebih kuat daya graviti itu. Jumlah tenaga rohani yang disedut daripada pelita itu telah melonjak dari sepuluh peratus kepada empat puluh peratus. Namun, walaupun tenaga rohani itu diserap masuk ke dalam tubuhnya, dia tetap tidak berjaya merempuh ke peringkat seterusnya
Setelah beberapa ketika, Meng Hao ketawa. Dengan senyuman sinis, dia mengangkat tangan kanannya dan menyebabkan sebilah pedang kayu itu menghasilkan bunyi siulan dan terus meluncur pergi ke arah dadanya. Pedang itu telah ditusuk masuk dan memercikkan banyak darah. Darah juga tersembur keluar dari mulutnya. Dalam sekelip mata, jumlah peratus kuasa rohani di dalam tubuhnya jatuh menjunam. Ini telah menyebabkan daya graviti itu meningkat lebih tinggi dalam beberapa peratus.
Sehingga kini, dia telah menyerap lima puluh peratus daripada tenaga rohani yang datang dari tujuh buah pelita itu.
Satu letupan kedengaran. Meng Hao telah melancarkan segala-galanya pada dinding penghalang di antara dua peringkat itu dengan tenaga rohani yang tiada batasan. Darah berhamburan dari mulutnya dan pedang-pedang kayu itu masih terus mengelar-ngelar tubuhnya. Tenaga rohani dari tujuh pelita itu berpusu dan kini Meng Hao sedang menyedut tujuh puluh peratus tenaganya!
Dengan cara inilah Meng Hao melancarkan serangannya daripada peringkat kedua belas Pemekatan Qi kepada peringkat ketiga belas.
Masa terus berlalu. Lebih banyak luka muncul pada tubuhnya yang menunjukkan betapa tegarnya hati Meng Hao. Tidak lama kemudian, tubuhnya mula menggigil dan pandangannya semakin kabur. Dia telah menyerap sembilan puluh peratus tenaga rohani dari tujuh buah pelita sehinggakan dia kelihatan seperti sedang bermandikan tenaga rohani tulen yang tebal.
"Kau akan terbunuh nanti…" Nafas Bapa Reliance menjadi tidak teratur setelah menyaksikan kejadian itu. Kedegilan Meng Hao membuatkan dia terkesima.
"Aku akan menjadi kuat! Aku tak kira. Aku mesti menjadi kuat!" Kesedaran Meng Hao telah mula menghilang, tetapi kedegilannya tidak membenarkannya. Walaupun dengan keadaannya sebegitu, dia tetap tidak mahu berputus asa. Dia terus mengomel sendirian dia mesti menjadi kuat!
Meng Hao mesti menembusi dinding batasan ke peringkat ketiga belas Pemekatan Qi.
"Ini tao dirinya…" Akhirnya Bapa Reliance faham sambil menghela nafas panjang.
Bom!
Dua bilah pedang kayu itu menusuk tubuh Meng Hao bertubi-tubi sehingga darah terpercik di sana sini. Api daya hidup Meng Hao semakin malap. Namun, daya graviti di dalam dirinya telah meningkat pada ketinggian yang luar biasa. Ia sangat kuat sehingga ia kelihatan mampu menyedut semua benda di sekelilingnya. Seolah-olah tidak kira apa-apa jua rintangan yang menghalang, tanpa mengira apa-apa jua bahaya yang menimpa, tiada apa-apa yang boleh menghalang laluannya untuk menjadi seorang pakar yang kuat.
Kuasa graviti tersebut seperti telah menyedarkannya daripada hampir pengsan. Mindanya telah berkembang tanpa batasan.
Bapa Reliance melihat Meng Hao dan bergumam, "Ini... mencuri tuah daripada Syurga!"
Pada waktu ini, keinginan Meng Hao untuk menjadi kuat telah bergabung dengan asas Pertapaannya, iaitu kedegilan yang dimiliki oleh peringkat ketiga belas Pemekatan Qi. Dia akan mencuri daripada Syurga; dia akan mengingkari Syurga untuk mengubah daya hidupnya.
Satu letupan yang sangat kuat kedengaran sewaktu lingkungan tenaga rohani yang penuh dan sempurna dari tujuh buah pelita itu dicurahkan ke dalam Meng Hao. Ketika ia memasuki tubuhnya, ia menjadi pedang yang digunakan untuk menyerang dan merempuh jurang batasan untuk ke tahap seterusnya.
Ia gabungan kuasa enam orang Pertapa Pembentukan Teras dan seorang Pertapa Pertumbuhan Roh. Tetapi, itu hanya sebahagian daripadanya. Bahagian paling penting dan paling sejati dalam serangannya ialah perangai degil serta keazamannya untuk menjadi kuat. Keinginannya benar-benar selari dengan peringkat ketiga belas Pemekatan Qi yang telah disingkirkan oleh Syurgat. Inilah yang telah membentuk peringkat ketiga belas Pemekatan Qi-nya!
Di tengah-tengah kegamatan itu, jurang tahap itu menghilang. Sejurus sahaja ia lenyap, Meng Hao disimbahi tenaga rohani yang berterusan dan dia dapat merasakan yang asas Pertapaannya meningkat daripada peringkat kedua belas kepada peringkat ketiga belas. Kini, dia telah menjadi Pertapa pertama sejak zaman dahulukala yang telah menyempurnakan lingkaran agung Pemekatan Qi.
Di saat itu, bakat terpendam di dalam diri Meng Hao yang membuatkan dia mampu melakukan Pertapaan telah berubah dengan tiba-tiba. Tiada bunyi atau apa-apa petanda yang menunjukkan ia telah berlaku. Malah, Meng Hao sendiri tidak begitu sedar akan perubahannya. Namun, jika orang luar memeriksa bakat terpendamnya kini, mereka akan lihat yang ia bukan lagi biasa-biasa seperti masa lalu. Walaupun dia tidak boleh dianggap Insan Terpilih, bakat terpendamnya kini telah menjadi lebih tinggi.
Dari zaman dahulu lagi, tiada siapa yang mampu mengubah bakat terpendamnya sendiri. Tiada bahan langit atau khazanah dunia yang mempunyai kuasa untuk mengubah takdir yang telah ditentukan oleh Syurga. Akan tetapi, hari ini Meng Hao telah berjaya melakukannya!
Dia orang pertama sejak zaman dahulukala yang berjaya menyempurnakan kitaran agung Pemekatan Qi dan juga orang pertama yang berjaya mengubah bakat terpendamnya. Ini permulaan baharu pada laluan untuk menjadi pakar yang hebat.
Sebaik sahaja dia menyempurnakan kitaran agung Pemekatan Qi itu, kesemua luka pada tubuhnya telah pulih serta-merta. Tenggelam di dalam tenaga rohani, tubuhnya telah mengalami satu lagi kelahiran semula.
Boleh dikatakan yang Meng Hao telah dilahirkan semula.
Setelah masa untuk sebatang colok habis terbakar berlalu, mata Meng Hao terbuka dan bersinar. Tenaga rohani di sekitarnya mula meluru ke dalam bumi sekali lagi. Kini, setelah dia menyempurnakan kitaran agung Pemekatan Qi, daya graviti di dalam tubuh telah hilang sepenuhnya.
Bapa Reliance kelu untuk berkata apa-apa setelah menyaksikan perubahan Meng Hao dengan mata kepalanya sendiri.
Benda yang lebih mengagumkan, setelah Meng Hao membuka matanya, dia mencapai dan mengambil salah sebuah pelita itu dengan tangan kanannya. Lampu ini mengandungi Pertumbuhan Roh Kalam Dewa. Setelah mengambilnya, dia berpusing dan tubuhnya bertukar menjadi pancaran cahaya sewaktu dia meluru ke arah jalan keluar pusaran itu.
"Kau, kau, kau... kau tak takut dibakar hingga mati?" Bapa Reliance duduk kebingungan untuk sementara waktu dan kemudian, dia mula menyumpah seranah ketika melihat Meng Hao hilang di dalam pusaran itu.
"Kau tak guna! Tak tahu malu! Semua orang Sekta Pengunci Syaitan tak guna! Sangat tak tahu malu!" Dia mundar mandir dengan marah sambil meraung tanpa henti.
Sebaik sahaja Meng Hao keluar menerusi pusaran itu, Gua Dewa itu mula tertutup di belakangnya. Hanya tinggal rekahan yang memencarkan bau maut tetapi rekahan itu pun sedang bertaut pantas.
Dalam Wilayah Selatan, di luar Negeri Zhao, terdapat sebuah negeri yang dipanggil Negeri Kalam. Tanah itu sendiri tidaklah berbeza sangat daripada Negeri Zhao, tetapi rakyatnya aneh belaka.
Negeri Zhao menghormati Tanah Timur, tetapi Negeri Kalam tidak begitu. Mereka tidak menghormati Tang Agung, tetapi mereka menghormati misteri Syurga. Oleh itu, kesemua Sekta dalam Negeri Kalam ialah cawangan Sekta Kalam.
Di wilayah timur Negeri Kalam yang misteri, terdapat tiga banjaran gunung bercerakah seperti naga dipalu. Salah sebuah puncak gunung kelihatan seolah-olah kepala dua ekor naga sedang bertempur. Ini kemuncak Negeri Kalam. Kabut berlingkar di sekeliling puncak itu dan di atasnya terdapat sebuah loceng. Sekali setahun, loceng itu akan berbunyi dan bergema selama tiga hari.
Di bawah loceng itu terdapat bangunan yang penuh dengan hiasan. Ini tidak lain tidak bukan... Sekta paling kuat di negeri ini, Sekta Kalam!
Di atas pintu pagar utama Sekta Kalam itu terdapat seorang Pertapa berjubah hitam yang sedang duduk. Dia sangat tua dan mempunyai perilaku seorang yang unggul. Dalam ingatan para pengikut Sekta Kalam, dia sudah terlalu lama duduk bertafakur di sana. Tidak kira angin ribut atau hujan lebat yang menimpa dan tidak kira berapa tahun sudah berlalu, dia masih duduk kaku dan keras di sana seperti batu.
Ramai pengikut yang tidak tahu siapa gerangannya itu. Memandangkan cara dia duduk bersila dan bertafakur di bawah Loceng Kalam, dia pasti seorang Orang Lama Sekta. Namun, jika pakar Sekta yang kuat melihat dirinya, mata mereka akan dipenuhi dengan rasa hormat.
Pada waktu ini, Sekta Kalam dipenuhi dengan suara mantera para pengikutnya yang tidak putus-putus. Suara itu membentuk sebuah kuasa yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar yang dibawa pergi dan kemudiannya perlahan-lahan bersatu menjadi seperti sejenis pusaran di puncak gunung itu. Pusaran itu menyedut kuasa mantera itu perlahan-lahan.
Ini sesuatu yang hanya boleh dilihat Pertapa sahaja. Bacaan mantera para pengikut Sekta Kalam bangkit dan kemudiannya bergabung ke dalam Loceng Kalam. Tetapi, sebenarnya loceng itu yang menyedut bukan sahaja mantera para Pertapa itu, malah doa setiap orang di seluruh negeri.
Pada ketika ini, orang tua yang duduk di bawah Loceng Kalam yang seolah-olah terabadi di sana mula menggigil dan kemudiannya memuntahkan segumpal darah. Tiba-tiba, loceng itu berbunyi dan bergema di angkasa menerusi seluruh Negeri Kalam.
Para pengikut dalam Sekta Kalam terkejut. Orang Lama Sekta dan pakar yang kuat telah membuka mata mereka daripada tertutup dan berhenti bertafakur dengan serta-merta. Seorang demi seorang bertukar menjadi pancaran berwarna-warni yang meluncur ke arah Loceng Kalam itu.
Ketika mereka tiba, mereka melihat seorang tua berjubah hitam duduk di sana dengan matanya terbuntang luas.
"Selamat sejahtera, Bapa!"
"Bapa, bapa tidak apa-apa?" Berpuluh-puluh Pertapa mengelilinginya, menunduk dan memberi salam tumbuk hormat.
Mata orang tua berjubah hitam itu bersinar seolah-oleh berserta dengan kilat. Anak mata kirinya menyala dengan sangat terang dan kelihatan seperti matahari. Manakala anak mata kanannya pula hitam kegelapan dan menampakkan bulan sabit. Kedua-dua anak mata itu berbeza sepenuhnya. Wajah itu memang tidak akan dapat dilupakan oleh orang yang telah melihatnya.
Sewaktu dia membuka matanya, ia seolah-olah seperti dahinya telah terbelah dan sebiji lagi mata muncul. Namun, orang lain tidak boleh melihat mata ini. Orang yang melihatnya hanya akan nampak satu sinar merah darah sahaja. Di atasnya, awan hitam mula berkumpul dan angin bertiup kencang.
"Bapa Reliance! Kau musnahkan klon aku dan menolak niat baik aku. Matilah kau! Bukan aku sahaja yang ada helah. Bagaimana kau mahu berundur? Dengan Pemisahan Roh kau yang entah apa-apa itu? Kau benar-benar berani membangkitkan kemarahan Dewa Fajar?" Wajah orang tua itu kelihatan menggerunkan. Dia menepuk tangannya ke tanah dan puncak gunung itu bergegar. Ia juga mengakibatkan tanah di sana turut bergegar dan menjadikan para Pertapa yang berada di sekitar berundur dalam keadaan terkejut.
Serentak dengan gegaran gunung itu, Loceng Kalam telah berbunyi dan kemudian bangkit ke udara. Pelbagai simbol sakti yang tidak terkira melayang mengelilingi loceng itu dengan sinar terang. Sinaran itu sangat terang dan menyinari seluruh Negeri Kalam.
"Tentera Syaitan sedang turun! Benar-benar seperti yang diramalkan nenek moyang kita! Ini akan buktikan malapetaka untuk Syurga dan Bumi, tetapi juga peluang untuk Kalam bangkit! Aku akan ambil kembali Pertumbuhan Roh klon aku dan kemudian kita lihat sama ada Bapa Reliance masih berani untuk bersikap angkuh lagi!"
Ya! Lelaki berjubah hitam itu tidak lain tidak bukan, Kalam Dewa. Klonnya telah diserap oleh Bapa Reliance dan ini dirinya yang sebenar. Dia bercakap sambil berdiri dan terbang ke langit. Dia merampas Loceng Kalam itu dan kemudian berubah menjadi pelangi pelbagai warna serta terus meluru ke arah Negeri Zhao sambil diselubungi keinginan untuk membunuh.
Sementara itu, di Negeri Zhao, satu bunyi dengungan dapat didengari dari dalam dewan pusaka Sekta Bayu Salju. Dengan riak wajah pelik di mukanya, pengikut yang sedang bertugas telah menolak pintu itu untuk membukanya. Sewaktu dia menjenguk di dalamnya, tubuhnya mula menggeletar dan riak wajahnya bertukar menjadi kagum dan sangat takut.
Di dalam dewan pusaka itu, batu hayat pelbagai Pertapa Sekta telah disusun dengan kemas untuk dipamerkan. Tiba-tiba, batu hayat milik Paderi Pembentukan Teras Sekta dan juga Abang Seguru Taishang mula retak dan hancur!
Ini bermaksud Paderi Pembentukan Teras dan Abang Seguru Taishang telah meninggal dunia!
Tambahan pula, batu hayat milik Orang Lama Pengukuhan Asas juga berkecai. Sewaktu perkara ini berlaku, pengikut yang sedang bertugas untuk mengawal dewan pusaka itu terkejut dan wajahnya dipenuhi dengan ketidakpercayaan.
Sewaktu Paderi Pembentukan Teras pergi dengan yang lain, dia meninggalkan Orang Lama Pengukuhan Asas untuk melindungi Sekta itu. Setelah lelaki itu mendengar perkhabaran itu, wajahnya menjadi pucat dan dia serta-merta mengarahkan supaya hal ini dirahsiakan. Dia tahu jika sesuatu seperti ini berlaku pada sesebuah Sekta iaitu jika pakar Pembentukan Terasnya dibunuh, ia tidak lain tidak bukan sebuah malapetaka. Ia berkemungkinan akan membawa kejatuhan pada seluruh Sekta. Apabila hampir semua para Pertapa Pengukuhan Asas telah dihapuskan, hal ini hanya akan mempercepatkan kejatuhan itu.
"Apa yang telah berlaku dalam kawasan tafakur Bapa Reliance?" Orang Lama Pengukuhan Asas telah mengumpulkan sekumpulan pengikut Pemekatan Qi dengan serta merta dan menghantar mereka ke arah Sekta Reliance.
Seterusnya, untuk menenangkan mindanya, dia mengambil sebuah tetuang istimewa yang tidak pernah ditiup selama beratus-ratus tahun.
Tetuang itu mempunyai satu nama iaitu Tetuang Tao.
Membunyikan Tetuan Tao hanya akan membangkitkan Rizab Tao Sekta!
Setiap Puak dan Sekta mempunyai Rizab Tao yang akan diturunkan dari generasi ke generasi. Untuk tiga Sekta hebat ini, Rizab Tao mereka lazimnya terdiri daripada Bapa Sekta yang gagal mencapai tahap Pertumbuhan Roh, tetapi menunda kematian mereka dengan tidur abadi dalam keadaan Pembentukan Roh Kepura-puraan. Hanya mereka sahaja yang boleh menenangkan keadaan yang akan timbul akibat malapetaka yang bakal menimpa.
Ketika tetuang itu berkumandang dalam Sekta Bayu Salju, ia telah sampai ke telinga seorang orang tua kerepot yang sedang duduk bersila di dalam sebuah Gua Dewa yang sangat sulit. Dia kelihatan seolah-seolah seperti sudah mati; tubuhnya sangat kurus sehingga ia kelihatan seperti tulang dibaluti kulit. Tetapi sewaktu dia mendengar panggilan tetuang itu, matanya terbuka.
Deria Rohaninya mengaum tiba-tiba sehingga menyelubungi seluruh Sekta Bayu Salju. Sewaktu ia memasuki tubuh Pertapa Pengukuhan Asas, lelaki itu mula menggigil dan di wajahnya terpancar rasa kesakitan. Dia dipenuhi satu perasaan yang kuat seolah-olah ia mampu memusnahkan dirinya. Ini adalah Deria Rohani yang digunakan untuk membelek-belek ingatannya.
Setelah beberapa ketika, Deria Rohani telah hilang dan Pertapa Pengukuhan Asas itu terjatuh ke tanah dengan pernafasan yang tersekat-sekat dan lemah badan serta muka yang pucat. Dia tahu yang jika bukan kerana dia berada di tahap Pengukuhan Asas, pencarian kenangan yang baru sahaja dilancarkan kepada dirinya itu akan mengakibatkan kematiannya.
Satu suara yang dalam telah bergema menerusi Sekta Bayu Salju itu. "Ambil Jed Pembekuanku dan kunci seluruh banjaran di sekitar Sekta Reliance. Jangan benarkan sesiapa pun keluar dari wilayah itu. Aku akan bangkit dalam beberapa jam lagi. Sementara itu, kau pergi geledah kawasan itu untuk mencari apa-apa petunjuk." Pertapa Pengukuhan Asas itu bangun dengan penuh susah payah, lantas mendekatkan kedua-dua tangannya dan menunduk.
Sekeping jed biru yang sejuk beku melayang ke tangannya.
Perkara yang sama juga berlaku dalam Sekta Arus Berliku dan Sekta Petang Lurus. Apabila batu-batu hayat milik Paderi dan Orang Lama mereka turut sama berkecai, mereka juga menggunakan semua Rizab Tao Sekta mereka.
Kini, dunia Pertapaan di segenap Negeri Zhao telah digemparkan habis-habisan.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT