Download App
9.93% AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 73: Pertempuran Sengit

Chapter 73: Pertempuran Sengit

Editor: EndlessFantasy Translation

"Peringkat kesembilan Pemekatan Qi!" Shangguan Xiu menghela nafas panjang sambil memerhatikan Meng Hao. Dia telah mengekalkan jampi itu di sini selama dua bulan. Para pertapa dari Bandar Bima Sakti tidak tahu sebab sebenar dia berada di sini dan dia tidak mahu pertapa hebat datang mengganggunya di sini. Dia hanya berada di sini untuk Meng Hao.

Berdasarkan semua yang dia sudah lihat dan dengar baru-baru ini, dia sudah rasa enam puluh peratus pasti yang Meng Hao memiliki barang khazanah sangat berbahaya yang boleh menyalin khazanah tanpa had.

Jika tidak, masakan dia boleh ada begitu banyak pil ubat dan pedang terbang? Macam mana Meng Hao tidak perasan yang sepuluh bilah pedang terbangnya hilang pada hari pertarungannya dengan Wang Tengfei?

Pedang itu kelihatan sudah patah, tetapi sebenarnya ia telah dibawa pergi secara rahsia oleh Shangguan Xiu dan dia mengkajinya dengan teliti. Dia mendapati kesemua sepuluh bilah pedang itu telah dibentuk oleh bahan yang benar-benar sama.

Walaupun semua pedang terbang kelihatan sama pada dasarnya, tetapi ia akan tetap ada perbezaan kecil yang ditinggalkan dalam proses penempaannya dan ia boleh dikesan nanti. Berbeza dengan pedang Meng Hao, perincian pedangnya benar-benar sama dan ini telah membangkitkan kecurigaan Shangguan Xiu.

Namun, dia tidak yakin sepenuhnya hanya kerana bukti itu. Tetapi kini, setelah melihat asas Pertapaan Meng Hao sudah pun mencapai peringkat kesembilan Pemekatan Qi, keyakinannya bertambah sehingga lapan puluh peratus atau lebih lagi.

"Kau mungkin sudah capai peringkat kesembilan Pemekatan Qi, tetapi aku tahu yang kau baru sahaja mencapainya," Shangguan Xiu berkata dengan matanya bersinar dingin. "Kalau kau melarikan diri sekali lagi hari ini, aku akan letupkan Bebola Darah yang aku baru hantar ke bawah gunung itu tadi. Kalau itu berlaku, seluruh rakyat tiga wilayah itu akan menjadi abu dan asap dalam sekelip mata sahaja." Dia benar-benar khuatir Meng Hao akan melarikan diri. Jadi, sebelum menyerang, dia telah membuat persediaan untuk menghalang Meng Hao daripada berbuat demikian.

"Aku takkan lari hari ini." Kenangan selama hampir lima tahun bermain di minda Meng Hao sewaktu dia melihat Shangguan Xiu. Pertelingkahan mereka sebelum Sekta itu berpecah, kejar-mengejar setelah Sekta itu dibubarkan, semuanya terimbas di mata Meng Hao. Niat membunuhnya timbul serta-merta. Dia mengangkat tangannya dan seekor Ular Sawa Api besar dalam tiga puluh meter panjangnya muncul. Bukan sahaja saiznya yang mengagumkan, tetapi di kepalanya terjojol satu tanduk besar. Badan berapinya berkelip-kelip dan memancarkan haba yang sangat tinggi sewaktu dilancarkan ke arah Shangguan Xiu.

Kepala yang dipenggal di sekitar Shangguan Xiu meretak dan terbakar akibat kepanasan itu dan beberapa kepala mula bergolek ke arahnya. Dia ketawa sambil menepuk beg saktinya dan mengeluarkan panji lima warna. Panji besar itu direntang dan kabut lima warna bergulung keluar dari dalamnya. Kabut itu kemudiannya bertukar menjadi lima hantu kabut dan setiap satu daripadanya berketinggian berpuluh-puluh meter. Hantu-hantu itu meluru ke arah Ular Sawa Api itu sambil menyeringai dengan ngeri.

Sebuah letupan besar berlaku dan menghentam batu tongkol berhampiran menjadi debu serta melenyapkan pokok di sekitar termasuklah pokok rotan Gunung Daqing sehingga menjadi abu. Abu dan debu berputar-putar di udara menjadikan kawasan itu berjerebu.

Di tengah-tengah jerebu itu, Meng Hao meluru ke hadapan dengan sangat pantas. Kepala yang masih belum terbakar itu terus bergolek-golek ke arah Shangguan Xiu. Matanya bersinar dan jari-jarinya meliang-liuk membuat simbol mantera. Kemudian, dia menyodok tangannya ke hadapan.

"Maut lima warna!" Dia menjerit dan bunyi seram yang bergetar tiba-tiba muncul di sekelilingnya. Meng Hao menepuk beg saktinya dan gulungan lukisan muncul di dalam tangannya. Lantas dia membentangkannya dan enam ekor haiwan meloncat keluar sambil melolong.

Bunyi gemuruh yang sangat dahsyat mengelilingi mereka. Meng Hao meluru ke arah Shangguan Xiu yang mata dinginnya bersinar terang. Shangguan Xiu juga meluru ke hadapan dan lebih banyak kepala yang dipenggal itu dihancurkan menjadi lembik.

"Kau tahu apa nama Sekta Reliance sebelum zaman Bapa Reliance?" Shangguan Xiu bertanya dengan tenang. "Ia dipanggil Sekta Pengunci Syaitan!" Tiba-tiba dia melihat ke arah puncak Gunung Daqing dan menghentakkan kakinya ke tanah. Gunung Daqing bergegar dan kemudian, aura yang tidak dapat digambarkan telah meletus keluar dari dalam gunung itu dengan tiba-tiba. Ia bukan sekadar satu jalinan biasa, tetapi ia seolah-olah bergetar dengan kekuatan langit dan bumi. Ia juga bukan bergerak sendiri, tetapi ia dikawal oleh Shangguan Xiu. Ia berpusar ke atas dari tanah di bawah kaki Meng Hao.

Shangguan Xiu kelihatan seperti bertambah tua seolah-olah dia berumur sepuluh tahun lebih tua. Dia kelihatan hampir seperti mayat hidup yang merangkak keluar dari kubur.

Hikmat yang baru dilancarkan tadi memang jelas sangat sukar untuk dilaksanakan dan memerlukan pengorbanan hayatnya. Pada asalnya, dia takkan menggunakannya, tetapi setelah melihat tahap asas Pertapaan Meng Hao, dia tiada pilihan lain. Dia mahu tamatkan pertarungan ini dengan mudah dan lancar. Lagipun, semua Pertapa di dalam Negeri Zhao sedang memburu Meng Hao sekarang.

Pertarungan ini pasti akan menarik perhatian mereka. Jika dia dapat tamatkan pertarungan ini dengan pantas, dia akan ada banyak masa untuk merampas khazanah yang diimpikannya.

"Sekta Pengunci Syaitan memanggil keluar Syaitan hebat di dunia ini, kunci mereka, melepaskan rohani mereka dan mengambil kuasa mereka untuk merempuh langit! Kau baru sahaja masuk peringkat kesembilan Pemekatan Qi, apa yang kau boleh guna untuk melawan aku? Kalau aku mahu, aku boleh capai tahap Pengukuhan Asas lima puluh tahun lalu!" Sewaktu Shangguan Xiu bercakap, Meng Hao menghayunkan gulungan lukisan itu dan menggunakannya untuk menghalang jalinan aura yang telah keluar di sekitar kakinya.

Tetapi, sebaik sahaja gulungan lukisan menyentuh aura itu, sebuah letupan kedengaran dan rekahan telah muncul di permukaannya seolah-olah ia telah dicampak dengan ganas. Jalinan aura itu dilancarkan ke arah Meng Hao.

Satu lagi letupan kedengaran dan Meng Hao membatukkan segumpal darah. Kipas berbulu itu telah muncul di hadapannya dalam sekelip mata untuk melindungi dirinya. Bulu-bulunya telah terbelah sewaktu Meng Hao mengambil peluang itu untuk mengelakkan diri. Walaupun dia berjaya mengelak, tetapi dia masih lagi terumbang-ambing ke belakang dan membatukkan tiga gumpal darah lagi.

Hanya satu langkah telah dibuat dan Meng Hao sudahpun cedera. Nampaknya, Shangguan Xiu memang memliki rahsia yang tidak dapat dikesan. Dia ketawa dengan sinis dan dia telah membazirkan nyawanya untuk melaksanakan serangan ini. Walaupun ia tidak dapat membunuh Meng Hao, Shangguan Xiu tetap bertekad untuk menang. Dia melangkah ke hadapan dengan memijak kepala-kepala yang hancur dan berdarah itu.

Mulut Meng Hao penuh dengan darah, tetapi matanya masih bersinar ganas. Sewaktu Shangguan Xiu mula melangkah ke hadapan, Meng Hao telah mengangkat tangannya dan aura hitam bangkit dari dalam kepala yang dilenyek itu. Dalam sekelip mata, aura itu bersatu menjadi kala jengking hitam. Ia bergerak sepantas kilat sehingga Shangguan Xiu tidak sempat untuk menarik kakinya atau meloncat pergi. Sengat kala jengking itu telah ditusuk ke dalam daging kaki Shangguan Xiu.

Sewaktu sengat itu tertusuk ke dalam, kala jengking itu bertukar menjadi aliran hitam yang melimpah masuk dalam Shangguan Xiu.

Wajahnya berkerut. Kejadian ini berlaku terlalu pantas dan tidak dijangka. Kala jengking itu daripada pil ubat yang jarang didapati dan dia telah memperolehinya daripada Qian dan Lu dari Sekta Takdir Ungu Lembayung tempoh hari. Kala jengking sakti ini sangat beracun!

Aura hitam itu memasuki kaki Shangguan Xiu dan bergabung ke dalam laluan Qinya sehingga memenuhi seluruh tubuh badannya dalam sekelip mata. Wajahnya berubah menjadi hitam dan dia meludahkan segumpal darah berwarna hitam yang berbau tengik seperti bangkai ikan busuk.

"Racun apa ini?" Shangguan Xiu terkejut dan berundur. Tubuhnya menjadi lemah bermula dari kakinya dan merebak ke seluruh tubuh seperti air bah. Dia tahu dia tiada masa untuk berfikir, jadi dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan pil ubat yang terus ditelannya.

Meng Hao telah merancang semua ini dengan sempurna supaya dapat melaksanakan serangan balas dalam saat-saat sebegini. Malah, tiga gumpal darah itu juga memang sengaja dimuntahkannya. Itu semua hanya untuk membuat Shangguan Xiu ingat yang dia sedang menguasai pertarungan ini. Sebaik sahaja pihak lawannya berundur dan mengeluarkan pil ubat, Meng Hao terus meluru ke hadapan sambil menepuk beg saktinya dan mengeluarkan jaring hitam yang dilancarkannya untuk menyelubungi Shangguan Xiu.

Terlalu banyak benda yang berlaku dalam waktu yang sangat singkat. Riak wajah Shangguan Xiu berubah-ubah setelah dia menelan pil ubat itu. Jari-jarinya mula meliang-liuk menunjukkan simbol mantera walaupun jaring itu telah mula melitupi dirinya. Meng Hao terus mara tanpa henti. Sebuah busur kayu hitam muncul di dalam tangannya dan dia menarik tali busur itu lalu melancarkan anak panah yang meluru pantas ke arah Shangguan Xiu.

Shangguan Xiu berundur dengan sangat pantas. Sebiji pil ubat, sebuah jaring hitam, sebatang anak panah dan satu mantera. Dia tiada masa untuk semua itu, jadi dia terpaksa memilih dua sahaja.

Sebuah letupan kedengaran. Shangguan Xiu menelan pil itu, tetapi mengabaikan manteranya. Dia berjaya mengelakkan jaring hitam, tetapi terpaksa menerima anak panah itu. Anak panah itu tepat menembusi bahu kanannya dan darah hitam mencurah-curah keluar.

Dia berasa sangat sakit dalam sekelip mata, tetapi Shangguan Xiu hanya mendengus perlahan. Meng Hao tidak berhenti walau sesaat pun. Anak panah kedua telah pun dilancarkan yang diikuti anak panah ketiga dan keempat. Meng Hao terus mara ke hadapan. Setiap langkah yang diambil, dia akan melancarkan anak panahnya; tujuh langkah, tujuh anak panah.

Tujuh anak panah dilancarkan ke hadapan menerusi udara dengan niat membunuh yang mengejutkan!

Shangguan Xiu terus berundur dan masih bergelut untuk mengekang jalinan hitam yang merebak di seluruh tubuhnya. Malah, bukan itu sahaja, dia juga terpaksa mengelak daripada terkena anak panah yang dilancarkan itu. Itu sahaja yang dia mampu kerana baru berada di peringkat kesembilan Pemekatan Qi. Dia mungkin berada di puncak peringkat kesembilan Pemekatan Qi dan sudah hampir mencapai tahap Pengukuhan Asas, tetapi dia masih belum berada di tahap Pengukuhan Asas.

Tidak, dia masih jauh lagi daripada tahap Pengukuhan Asas. Seperti Meng Hao, dia masih lagi di dalam tahap Pemekatan Qi. Perbezaan tahap kuasa di antara dua tahap itu seperti langit dan bumi.

Dia tidak mampu untuk buat semua benda dengan sempurna secara serentak. Sebuah letupan bergema di udara sewaktu tujuh anak panah itu menusuk dan memusnahkan lengan kanan Shangguan Xiu sepenuhnya. Dia terpaksa mengabaikan lengan kanannya supaya dapat menumpukan perhatian dalam mengawal racun di dalam badannya untuk sementara waktu.

Walaupun dia berjaya berbuat demikian, anak panah kelapan pula telah dilancarkan Meng Hao dan kemudian kesembilan. Dia mendongakkan kepalanya ke langit dan meraung.

Sejak hari pertama dia mula melalui jalan Pertapaan sehingga ke hari ini, dia tidak pernah berada dalam keadaan yang tertekan dan bahaya begini. Dia telah kehilangan sebelah tangannya! Dengan harga yang perlu dibayar dan kesakitan yang dirasainya, keinginan untuk membunuh Meng Hao semakin membuak-buak dan menjadi sangat kuat.

Matanya merah; racun itu sudah berada di bawah kawalan, tetapi sukar untuk dibuang. Malah, dengan keadaannya kini, dia tahu yang mustahil untuk dia menyingkirkan racun itu sewaktu dia berada di tahap Pemekatan Qi. Dia hanya boleh menyingkirkannya jika dia berjaya mencapai Pengukuhan Asas.

"Laut Bima Sakti!" dia menjerit dengan rambutnya yang menggerbang. Dia menggigit hujung lidahnya dan meludahkan segumpal darah. Sebiji mutiara ungu lembayung terbang keluar dari dalam darah itu dan di dalamnya boleh dilihat angin yang bergulung-gulung. Sejurus sahaja ia muncul, angin kencang bertiup dan tiga batang anak panah yang Meng Hao baru lancarkan itu berpusing akibat dipukul angin tersebut. Kemudian, ia jatuh berkecai.


Chapter 74: Seratus Tahun Belum Berlalu

Editor: EndlessFantasy Translation

Mutiara itu berputar kembali ke dalam mulut Shangguan Xiu lantas dia menggunakan sebelah tangannya yang masih ada untuk menepuk beg saktinya. Pedang terbang, panji-panji dan barang sakti lain telah muncul dengan banyak sekali dan kesemuanya melayang ke hadapan serentak. Kemudian, satu demi satu meletup menjadi kepingan. Shangguan Xiu mengangkat tangannya dan serpihan pelbagai barang sakti itu bangkit dan membentuk sesuatu seperti laut yang terbentang.

Dari jauh, semua serpihan itu berkilau dengan sangat terang dan seolah-olah mewujudkan lautan yang terapung di langit. Laut itu mula berpusar dan kemudiannya dilancarkan ke arah Meng Hao dengan menghasilkan bunyi siulan sewaktu bergeser dengan udara.

Inilah Laut Bima Sakti iaitu hikmat sakti yang membuatkan Bapa Bima Sakti layak menerima gelaran itu beberapa tahun lalu. Kemudian dia telah pecahkan hikmat itu menjadi beberapa peringkat. Peringkat pertama hanya boleh digunakan oleh seseorang yang berada di peringkat kesembilan Pemekatan Qi.

Mana-mana Pertapa di tahap Pengukuhan Asas memang boleh melibas lengan jubah mereka dan menghasilkan Laut Bima Sakti daripada serpihan barang. Namun, untuk seseorang di tahap Pemekatan Qi, hikmat ini terlalu kuat untuk dilaksanakan.

Oleh itu, ini bukannya hikmat yang mudah untuk dilancarkan. Hanya orang yang berada di puncak peringkat kesembilan sahaja yang boleh melancarkannya dan mereka perlu mempunyai sokongan kuasa rohani yang sangat banyak. Dalam seluruh Bandar Bima Sakti, Shangguan Xiu satu-satunya Pertapa di tahap Pemekatan Qi yang mampu melancarkannya.

Pada saat ini, dia hanya mahu menamatkan pertarungan ini secepat mungkin kerana bukan sahaja dia mahu merampas khazanah Meng Hao, tetapi dia juga mahu kembali ke Bandar Bima Sakti untuk mengubati racun di dalam tubuhnya. Jadi, dia terus menyerang dengan hikmatnya yang paling hebat dan melancarkan segumpal awan serpihan khazanah ke arah Meng Hao dengan pantas. Sewaktu ia sudah menghampirinya, Meng Hao menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian menepuk beg saktinya.

Satu persatu pedang terbang muncul. Sepuluh bilah, lima puluh bilah, seratus bilah, sehingga tiga ratus bilah pedang terbang berpusing mengelilingi dirinya. Meng Hao mengangkat tangannya, kemudian menolak kesemua pedang itu ke arah Shangguan Xiu.

Sewaktu dia menolaknya, tiga ratus bilah pedang terbang itu membentuk sebuah hujan pedang yang sangat besar bergabung dan membentuk seekor Naga Hujan Bersayap. Dia melangkah ke hadapan dan dua jalinan cahaya keemasan muncul di dalam tangannya iaitu dua bilah pedang kayu. Tubuhnya menjadi satu pancaran cahaya ketika dia melayang ke dalam hujan pedang Naga Hujan Bersayap itu.

Ia seolah-olah seperti dia telah menjadi semangat pedang terbang Naga Hujan Bersayap. Ia telah mengangkat kepalanya ke langit dan mengaum. Kemudian, ia terus meluru ke arah Laut Bima Sakti.

Sebuah letupan bergema telah menggegarkan langit dan bumi. Serpihan khazanah Laut Bima Sakti itu bertembung dengan pedang terbang Meng Hao. Bunyi letupan kecil dapat didengari sewaktu pedang demi pedang jatuh menjadi kepingan. Tetapi jika Laut itu menghentam sepuluh bilah pedang, Meng Hao boleh menghasilkan sepuluh bilah lagi untuk menggantikannya.

Kini, paling banyak pedang terbang yang dapat dikawalnya secara serentak sebanyak tiga ratus bilah dan di dalam beg saktinya terdapat lebih kurang tujuh ratus bilah yang disalinnya perlahan-lahan sepanjang tahun lepas. Setelah pertarungan sengit menentang Ding Xin dan sewaktu proses merempuhi dinding ke peringkat kesembilan Pemekatan Qi, dia telah bersiap-sedia sepenuhnya.

Wajah Shangguan Xiu berubah ketika melihatnya. Tangan kirinya meliang-liuk menunjukkan simbol jampi dan kemudiannya menghasilkan lebih banyak barang sakti yang ditambah masuk ke dalam lautan di langit itu.

Pedang terbang Meng Hao berbunyi nyaring sewaktu terus menghentam Laut Bima Sakti. Bunyinya bergema ke semua arah, tetapi kuasa Laut Bima Sakti itu sangat menggerunkan. Di saat itu, dia tidak mampu mara dengan mudah. Tiba-tiba, dia memutarkan tubuhnya dan menyebabkan pedang terbang di sekelilingnya mula berputar di sekitarnya. Pedang-pedang tersebut berputar dengan semakin pantas sehingga menjadi puting beliung dengan Meng Hao di tengah-tengahnya. Dia berhenti bergerak, tetapi puting beliung pedang terbang itu terus berputar dengan semakin pantas.

Dari jauh, ia kelihatan seolah-olah puting beliung pantas itu membelah menerusi tengah-tengah Laut Bima Sakti. Serpihan barang sakti Laut Bima Sakti itu masih terus menghentam pedang kayu itu. Tetapi setelah beberapa ketika, pedang itu berjaya mara ke hadapan dengan membelah menerusi laut itu.

Wajah Shangguan Xiu berkerut terperanjat. Asas Pertapaan Meng Hao agak mengejutkan, sama seperti jumlah barang sakti yang dimilikinya. Namun, yang paling mengejutkan ialah pengalaman bertarungnya. Keupayaannya untuk mengubah hikmat pertarungannya telah membuatkan Shangguan Xiu rasa tidak percaya.

Di tengah-tengah bunyi gemuruh yang bergema itu, Meng Hao dan hujan pedangnya meranduk menerusi Laut Bima Sakti itu sehingga serpihannya berselerak. Tiba-tib,a Meng Hao meloncat ke hadapan, dua jalinan keemasan iaitu pedang kayunya itu mengeluarkan bunyi siulan nyaring sewaktu dilancarkan ke udara bersama-sama dirinya. Wajah Shangguan Xiu penuh dengan rasa terkejut.

"Meng Hao!" dia menjerit dan meluncur ke belakang sepantas mungkin dengan wajah cemasnya. Tetapi Meng Hao berbeza. Ketika Meng Hao menyerang, dia tetap berdiam diri. Riak wajahnya tidak pernah berubah. Malah, dia tingkatkan lagi kepantasannya dengan menyasarkan dua bilah pedang kayu itu. Sebilah untuk ditikam terus pada jantung lawannya dan sebilah lagi pada dahinya.

Shangguan Xiu berasa sangat sakit hati. Dia mempunyai peluang untuk menang pada mulanya, tetapi dia telah diracun. Dia mula diasak teruk bermula dari sana. Dia tidak dapat menyingkirkan racun itu maka dia tidak boleh menggunakan kuasa asas Pertapaan sepenuhnya. Dia perlu menggunakan sedikit kuasanya secara terus-menerus untuk mengekang kesan racun itu. Kini, dia dipaksa berundur selangkah demi selangkah.

Tangannya bersinar dan Shangguan Xiu menepuk dadanya sendiri. Dia memuntahkan segumpal darah bersama-sama mutiara yang muncul tadi. Satu lengkungan cahaya telah muncul dan dilancarkan ke hadapan untuk menghalang dua bilah pedang kayu itu. Pelindung itu bergegar dan mula pecah sehingga mendorong Shangguan Xiu berundur ke belakang dengan lebih pantas.

Lantas Shangguan Xiu terus bersuara setelah melihat pelindungnya pecah, "Meng Hao, kita berhenti di sini sajalah. Tiga buah Sekta yang hebat sedang memburu kau dan pertarungan kita kali ini pasti akan menarik perhatian mereka. Mereka akan tiba bila-bila masa sahaja sekarang. Aku takkan apa-apakan rakyat tiga wilayah ini. Kita tinggalkan sahaja permusuhan kita ini, macam mana?"

Meng Hao tidak menjawab. Tenaga rohaninya melonjak dan pedang kayu itu berkilauan menusuk menembusi pelindung itu. Kini, Shangguan Xiu benar-benar cemas. Dengan satu raungan, dia menghayunkan tangannya dan menunjukkan ke arah kaki gunung itu.

"Kalau kau teruskan, aku akan hapuskan seluruh rakyat tiga wilayah ini!"

"Harimau Kecil! Meng Hao menjerit. Ini kali kedua dia bercakap sewaktu pertarungan itu.

Sewaktu jeritannya bergema, kelihatan sebiji bebola berwarna merah berkelip di kaki gunung itu. Sebiji Bebola Darah bersaiz kepala telah muncul. Ia mula berkembang seolah-olah mahu meletup dan kelihatan susuk tubuh keding terpacul iaitu tidak lain tidak bukan, Harimau Kecil. Rahangnya digetapkan dan dia memegang sebiji mutiara yang terjulur di tangannya.

Mutiara itu dilancarkan ke arah Bebola Darah itu dan mengelilinginya dengan pantas untuk membentuk sebuah halangan kekangan yang menyebabkan darah itu berhenti mengembang.

"Abang Meng Hao, saya boleh menahannya selama masa sebatang colok habis terbakar!" Harimau Kecil terus memuntahkan segumpal darah dan kemudiannya dia duduk bersila untuk bertafakur.

Pelbagai perasaan timbul di wajah Shangguan Xiu setelah melihat perkara ini berlaku. Tetapi dia tiada masa untuk membuat apa-apa lagi. Pelindung itu telah meletup hancur dan mutiara Shangguan Xiu berselerak. Pedang kayu itu mara sekali lagi dan di belakangnya, Meng Hao dengan niat membunuhnya telah meningkat hingga ke langit.

Darah termuntah keluar dari mulut Shangguan Xiu dan dia telah hilang kawalan terhadap racun di dalam tubuhnya. Ia telah meletus keluar dan dia hampir mahu jatuh pengsan. Dia terus berundur dengan senyuman yang menyedihkan terukir di wajahnya.

"Syurga tidak membantuku langsung ..." dia ketawa pahit. "Meng Hao, aku takkan tewas dalam pertarungan ini. Dan kau ... Aku bersumpah yang aku akan hancurkan laluan Qi kau!" Senyumannya seolah-olah mengandungi rasa tidak puas hati dan tidak berdaya. Tetapi ia tidak mengandungi rasa berputus asa. Namun, rasa tidak puas hati dan tidak berdaya itu mencipta aura yang lebih gelap daripada mana-mana perasaan berputus asa.

Tangan kiri Shangguan Xiu menepuk beg saktinya tanpa menghiraukan pedang kayu yang menuju ke arahnya dan dia mengeluarkan sebiji pil ubat. Sebaik sahaja ia muncul, tenaga rohani yang berhampiran seperti berpusu-pusu dan aroma ubat yang kuat memenuhi udara. Dengan ketawa yang pahit, dia menelan pil itu.

Mata Meng Hao mengecil sewaktu dia melihat pil itu. Ia berwarna kuning jingga dan tidak lain tidak bukan adalah Pil Pengukuhan Asas. Tertera di atas permukaannya ialah satu meterai; pil ini benar-benar sama seperti Pil Pengukuhan Asas yang telah dijualnya di Bandar Bima Sakti.

"Aku, Shangguan Xiu, telah capai peringkat pertama Pemekatan Qi ketika aku berumur tujuh tahun," dia menggumam sendirian. "Pada umur tiga puluh tahun, aku sudah berada di peringkat keenam. Tiga puluh sembilan tahun, aku di peringkat kesembilan. Hari ini, aku berumur sembilan puluh sembilan tahun …" Dia tidak melihat pada Meng Hao pun. Dia hanya merenung ke langit. Dalam sekelip mata, kuasa di dalam tubuhnya mula melonjak naik. Sudah tentu dia tidak dapat bergerak, dia mesti mendiamkan diri sehingga Pil Pengukuhan Asas itu diserap sepenuhnya.

Walaupun situasi ini akan meletakkan dia dalam keadaan lemah, kuasa di dalam tubuhnya kini sudah jauh melebihi peringkat kesembilan Pemekatan Qi. Sambil jiwanya pantas mencapai kemuncak Pengukuhan Asas, dua pedang kayu tadi terhenti perlahan-lahan pada jarak kira-kira tujuh inci dari tubuhnya.

Wajah Meng Hao berubah. Dia dapat merasakan aura lawannya menjadi semakin kuat. Dia sedang mengukuhkan Asasnya di atas Gunung Daqing ini. Jika wajah Meng Hao pun berubah, apatah lagi wajah Harimau Kecil.

"Aku mampu kukuhkan Asas aku lima puluh tahun yang lalu," Shangguan Xiu bersuara, wajahnya kelihatan menakutkan dan penampilannya semakin mengganas. "Tetapi aku tidak mahu. Aku tidak mahu Asas Sempurna. Aku telah rancang selama lima puluh tahun untuk kukuhkan Asas luar biasa yang boleh melangkaui Asas Sempurna! Aku mahukan Asas Terulung. Tetapi hari ini ... Malangnya, hari ini aku telah cedera dan diracun. Jika aku tidak dapat mencapai Pengukuhan Asas, aku pasti akan mati. Persediaan selama lima puluh tahun, dan langkah terakhir ... dimusnahkan oleh kau! Meng Hao, kau tahu betapa besarnya kebencian aku pada kau?" Shangguan Xiu menundukkan kepalanya dan memandang Meng Hao. Dia tidak mengetap giginya atau meraung. Wajahnya tenang, namun matanya dipenuhi dengan kebencian yang jelas mendalam hingga ke tulang-temulang dan jantungnya.

Jantung Meng Hao mula berdegup kencang dan dia dapat merasai yang bayangan maut berada di hadapannya. Tetapi dia tidak berundur. Matanya bersinar dan dia terimbas kembali pengalamannya sewaktu dia menelan Pil Pengukuhan Asas sehingga tidak mampu bergerak selama dua bulan.

"Aku masih lagi di peringkat kelapan Pemekatan Qi ketika itu, jadi aku perlukan masa dua bulan," Meng Hao terfikir begitu. "Shangguan Xiu telah berada di puncak peringkat kesembilan selama lima puluh tahun. Jadi dia mampu untuk menyerap tenaga dengan lebih pantas. Tetapi mesti ada jalan lain!" Matanya bersinar-sinar lalu dia mengeluarkan sebutir Pil Rentas Penara dan memasukkannya ke dalam mulut. Sambil tenaga rohani mula tersebar dari tubuhnya, dia menghulurkan tangannya ke arah dua pedang kayu itu.

Dengan bunyi gemuruh, dua bilah pedang kayu itu bergetar dan mula memencarkan aura yang sangat kuat. Pedang-pedang itu menghampiri Shangguan Xiu dengan perlahan-lahan dan terhenti sewaktu sudah hampir tiga inci jaraknya dari Shangguan Xiu. Itu batasan Meng Hao. Dia tidak cukup kuasa rohani dan tidak mampu menggerakkan pedang itu dengan lebih jauh lagi.

"Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga," Shangguan Xiu bersuara dengan gelak ketawa yang sinis. "Aku boleh kukuhkan Asas aku lima puluh tahun lalu. Dengan kepekatan asas Pertapaan aku, aku mampu serap Pil Pengukuhan Asas ini dalam masa kurang sejam. Kau boleh buat apa-apa sahaja untuk melarikan diri. Tetapi kalau kau berlari ke hujung dunia sekalipun, aku pasti kau akan mati." Dia menatap wajah Meng Hao, kebenciannya telah membuahkan ratusan cara untuk membunuh Meng Hao.


Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C73
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank 200+ Power Ranking
    Stone 0 Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login

    tip Paragraph comment

    Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.

    Also, you can always turn it off/on in Settings.

    GOT IT