Di hutan belantara yang terpencil terletak tidak jauh dari Gunung Daqing, Meng Hao duduk di dalam Gua Dewa dengan tubuh yang menggeletar. Peluh mengalir deras lalu membasahinya tatkala badannya memancarkan kepanasan yang amat. Hal ini menghasilkan kabus yang tebal di sekitar gua dan dipenuhi dengan aroma peluh.
Seluruh tubuh Meng Hao berwarna merah cerah dan tubuhnya terasa seakan-akan terdapat api besar yang mengamuk di dalam dirinya dan akan segera mengeringkan daging dan darahnya lalu mengubahnya menjadi timbunan abu. Pada waktu ini, tubuhnya kaku sepenuhnya dan tidak mampu bergerak walaupun sedikit.
Sebenarnya, inilah salah satu kemudaratan memakan Pil Pengukuhan Asas. Setelah menelannya, tubuh kita tidak boleh bergerak. Tidak kira sama ada banjir mahupun ribut atau seseorang berdiri di hadapan dengan pedang untuk menikam sekalipun, kita tidak akan mampu menggerakkan otot sehinggalah kekuatan pil tersebar. Inilah sebabnya Pertapa sangat berhati-hati ketika memilih tempat mereka untuk memakan Pil Pengukuhan Asas.
Lebih-lebih lagi jika seseorang menghadapi musuh ketika mengalami kesan sampingan daripada pil yang mengagumkan itu, maka akibatnya ialah kematian.
Meng Hao orang pertama yang pernah memakan Pil Pengukuhan Asas ketika berada di tahap kelapan Pemekatan Qi. Tambahan pula, pil ini telah dicampur ramuannya oleh Grandmaster.
Tetapi, dia tidak mempunyai pilihan lain. Terlalu sukar untuknya menembusi halangan tahap kelapan Pemekatan Qi tanpa bantuan nasib yang baik atau pil perubatan khas.
Pil Rentas Penara tidak lagi berkesan, jadi sekarang satu-satunya yang dia ada ialah pil Pengukuhan Asas. Sudah tentu dia tidak berani menggunakan terlalu banyak sekaligus. Pil itu sangat kuat tetapi tubuhnya tidak kuat. Memakan pil tersebut sebenarnya seperti mempertaruhkan nyawanya sendiri.
Sekarang Meng Hao berasa cukup yakin dia tahu punca halangan tahap kelapan sangat sukar ditembusi. Ini pasti ada kena mengena dengan dia menghabiskan begitu banyak Teras Syaitan selama bertahun-tahun. Meskipun dia dilahirkan semula di Lautan Utara, kekuatan Syaitan di dalam tulangnya tidak boleh dihilangkan dengan mudah.
Kerana alasan ini, sekatan yang disebabkan oleh halangan ini lebih tebal daripada yang dialami oleh orang kebanyakan. Sudah tentu terdapat kelebihan juga daripada situasi ini. Sebaik sahaja dia berjaya menembusi halangan, dia akan melonjak sehingga ke pertengahan tahap kesembilan Pemekatan Qi. Lagipun, tubuh Meng Hao yang dahulunya kelihatan agak lemah jauh lebih gagah sekarang berbanding pada zaman belajarnya. Perubahannya lambat tetapi pasti.
Perubahan ini bukan disebabkan oleh Pertapaannya, tetapi disebabkan oleh kekuatan Syaitan di dalam tubuh dan Teras Syaitan di lautan Terasnya.
Hari demi hari berlalu. Tempoh dua bulan berlalu dengan pantas, selama itulah Meng Hao terus memakan Pil Pengukuhan Asas yang sangat minimum. Dia telah menyerap kekuatan pil sepenuhnya sebentar tadi. Tiba-tiba, dia membuka matanya. Dia dapat bergerak lagi! Dia merasakan raungan dalam dirinya bersama dengan kesakitan yang hebat seolah-olah banyak bahagian tubuhnya sedang dikoyak. Dia memuntahkan darah hitam.
Ketika dia muntah darah, matanya menjadi kabur seolah-olah dia akan hilang kesedaran. Oleh itu, dia menggigit lidahnya untuk memaksa dirinya tetap terjaga. Dia memutar asas Pertapaannya tatkala ia meluncur ke tahap kesembilan Pemekatan Qi.
Matanya penuh dengan keazaman. Sambil mengumpul tenaga rohaninya yang membuak-buak di dalam dirinya, dia mendorong ke hadapan.
Dalam seketika, tenaga rohani semakin bertambah dan menyebabkan kepalanya terdengar dentuman guruh. Dia merasakan tubuhnya seolah-olah akan meletup. Tiba-tiba, dia terasa seperti tenaga rohani telah membuka dunia baharu di dalam dirinya. Dia serta-merta merasakan sensasi luar biasa yang sukar digambarkan. Dia merasa geli seolah-olah ada seseorang membelainya dengan bulu yang sangat banyak.
Dia membenamkan dirinya dalam perasaan itu dan waktu yang lama berlalu sebelum dia membuka matanya. Kedua-dua matanya bersinar sehingga menyilaukan. Seolah-olah kegelapan gua itu disinari oleh halilintar yang dahsyat.
Meng Hao menarik nafas dalam dan tenaga rohani gua tersebut bagaikan disedut ke dalam dirinya sedikit demi sedikit. Kemudian ia meninggalkannya dan banyak kotoran yang keluar dari liang romanya. Tubuhnya menjadi lebih ringan dan matanya lebih cerah.
Lautan Teras tanpa sempadan di dalam dirinya bersaiz dua kali ganda sebelumnya seperti tidak dapat dilihat dari sisi lain. Air keemasan berombak dan meraung. Jauh di dasar, Teras Syaitan berehat, tidak bergerak dan menghantar tenaga rohani yang banyak membuatkan cahaya keemasan semakin menyilau lalu mengisi tubuh Meng Hao. Dia berasa seperti mahu mengangkat kepalanya dan mengeluarkan tangisan yang panjang dan kuat.
"Tahap kesembilan Pemekatan Qi! Aku, Meng Hao, akhirnya telah mencapai tahap kesembilan! Langkah aku seterusnya adalah Pengukuhan Asas!" Matanya dipenuhi kegembiraan sambil menarik nafas dalam.
"Dengan Kitab Suci Rohani, aku dapat mendirikan Asas Sempurna yang jauh lebih tinggi dari Asas Keretakan atau Asas Kepatahan." Dia berdiri dengan penuh keyakinan dan harapan tentang masa depan.
Dia menantikan penjelajahan ke Wilayah Selatan dan meneroka kawasan di sana. Bahkan, dia menantikan hari dia boleh mencapai Pengukuhan Asas. Dia tertanya-tanya perasaan memiliki Asas Sempurna. Apa yang bermain dalam fikiran para Pertapa yang lain apabila bertemu dengannya nanti?
Sudah tentu sebelum mencapai Pengukuhan Asas, dia tidak faham betapa peliknya Asas Sempurna. Walaupun dia tidak mengetahui apa-apa, dia masih menanti dengan penuh harapan.
Dia menjentik lengan baju dan Glob Air sebesar penumbuk muncul. Ia mengembang lalu membentuk helaian air sebesar badannya. Dia berjalan ke hadapan melepasi air tersebut. Apabila dia keluar ke arah lain, kotoran yang ada pada tubuhnya hilang dan diganti dengan aroma yang harum.
Pintu Gua Dewa hancur. Ketika itu sudah tengah hari dan musim sudah lama berubah. Meng Hao berjalan keluar untuk merasakan angin panas dan kering di wajahnya. Seluruh tubuhnya terasa santai dan segar.
"Apabila aku mencapai Pengukuhan Asas, akhirnya aku akan dapat mencapai kemahiran terbang yang sebenar." Dia memandang langit biru dan senyumannya semakin lebar. Dia berjalan sedikit ke hadapan lalu melompat ke atas kipas khazanah dan meluncur laju.
Dia terbang agak jauh dari Gunung Daqing dan tiba-tiba terlihat seseorang berlari ke arahnya. Orang ini bergerak sepantas mungkin dan dikejar oleh seorang lelaki yang besar dan kelihatan kejam.
Wajah orang yang dikejar itu pucat lesi tetapi matanya dingin. Dia tidak terlalu tinggi dan agak kurus dan kelihatan berusia sekitar tiga belas atau empat belas tahun. Meskipun demikian, asas Pertapaannya berada di tahap kelima Pemekatan Qi.
Dia telah dikejar oleh seorang pertapa tahap keenam Pemekatan Qi. Lelaki itu memakai jubah biru laut yang koyak-rabak dan kelihatan seperti telah dicederakan. Pembunuhan bergolak di dalam matanya yang marah.
"Tak kisahlah ke mana kamu cuba nak lari, Dong Hu. Kalau kamu beri aku mutiara itu dan mengenangkan status aku di Sekta Petang Lurus, aku boleh biarkan kamu hidup. Jika tidak, kamu mati!" Lelaki berbadan besar itu mengangkat tangan kanannya dan cahaya dingin muncul lalu membeku menjadi Pedang Lengkung Bulan Penuh. Dia melemparkannya lalu ia berputar ke arah pemuda itu.
Pemuda itu sebenarnya salah seorang daripada salah satu kelompok Meng Hao yang dibawa oleh Kakak Xu ke Sekta Reliance iaitu Harimau Kecil.1
Setelah pembubaran Sekta, dia telah dibawa pergi kemudian menghilang. Meng Hao terapung di atas sambil memandang Harimau Kecil.
Muka Harimau Kecil pucat tetapi niat membunuh bersinar pada matanya yang dingin. Dia melambai lengan bajunya lantas menghasilkan beberapa sinar cahaya dingin yang ditembakkan dengan anak panah berkilauan. Berdasarkan sinarannya, anak panah itu kelihatan dilapis dengan racun. Anak panah ditembak ke arah lelaki berbadan besar itu.
Dia ketawa sambil melambai lengan bajunya lalu menyebabkan angin bertiup dan dengan mudahnya mematahkan serangan anak panah tersebut. Tangannya meliang-liuk dalam pola mantera lantas menyebabkan pedang lengkungnya bergerak ke arah Harimau Kecil. Ia berada pada dirinya dalam sekelip mata. Mata merah Harimau Kecil berpusing. Tiba-tiba, mutiara biru laut muncul di tangannya. Sebahagiannya lutsinar dan dipenuhi dengan lapisan awan kerinting. Aliran awan meletus dari dalam mutiara lalu bergabung menjadi bayangan yang kabur kemudian bergerak ke arah pedang lengkung.
Ketika kedua-duanya bertembung, bunyi dentuman kedengaran dan pedang lengkung itu hancur berkeping-keping sama seperti bayangan yang kabur.
Lelaki berbadan besar itu muntah darah dan ketamakan di dalam matanya menjadi lebih kuat. Dia meneruskan pemburuannya.
Darah mengalir dari muka Harimau Kecil. Nampaknya, serangan tadi agak sukar untuk dilakukan. Dia terhuyung-hayang bergerak ke depan dan berlari sebelum jatuh ke tanah.
"Kamu tidak boleh melarikan diri!" lelaki berbadan besar itu ketawa dengan kejam lalu cepat-cepat mendekati Si Kecil Hu yang sudah berputus asa. Di kejauhan, Meng Hao menghela nafas sambil melihat kembali ke tempat kejadian. Akhirnya, dia mengangkat satu jari di tangan kanannya menyebabkan angin yang sangat laju muncul di hutan. Tekanan yang menghancurkan daripada tahap kesembilan Pemekatan Qi terus terkena lelaki berbadan besar itu. Dengan perasaan gementar, dia mendongak sambil terkejut melihat Meng Hao melayang ke arahnya.
Serentak dengan itu, Harimau Kecil yang masih di tanah mengeluarkan pisau belati beracun dari lengan bajunya. Dia melompat dengan kepantasan yang mengejutkan dan pisau belati itu melintas. Pada masa yang tepat ketika lelaki berbadan besar itu terkejut oleh Meng Hao, pisau belati itu memotong lehernya.
Dia melepaskan tangisan sengsara ketika darah menghujani semua tempat lalu terkena pada Hrimau Kecil. Harimau Kecil masih lemah dan letih, tetapi rebahannya tadi sebenarnya ialah satu helah. Ketika lelaki itu menghampirinya dengan kurang berhati-hati, dia telah merancang untuk menikamnya.
Lelaki berbadan besar itu jatuh ke tanah lalu tersentak. Dia cuba untuk menutup luka di lehernya, tetapi banyak darah mengalir keluar. Dalam beberapa saat, dia sudah mati. Matanya menatap kosong kejauhan.
Harimau Kecil mengambil beberapa langkah dan melihat Meng Hao kembali seperti bersedia untuk melarikan diri bila-bila masa sahaja. Kemudian, dia merasakan kekuatan asas Pertapaan Meng Hao dan tubuhnya mula menggeletar.
Meng Hao tidak berkata apa-apa. Dia berjalan dan melangkah mayat tersebut dan memeriksanya. Kemudian, dia memandang ke arah Harimau Kecil yang berdebar dan merenungnya dengan diam.
Harimau Kecil juga tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandang Meng Hao dengan riak wajah yang merumitkan di dalam matanya.
Beberapa ketika telah berlalu, setelah itu Meng Hao membuka mulutnya. "Disebabkan mutiara ini kamu membunuh Wang Youcai," katanya dengan tenang. Pandangan yang tidak terlihat di matanya mengungkapkan dia hanya menggertak, tetapi Harimau Kecil tidak melihatnya.
Sebaliknya, Harimau Kecil hanya berdiri diam dan tidak mahu bercakap. Tubuhnya pendek, berkulit gelap dan bertubuh kurus. Pakaiannya usang dan dia terang-terangan dalam keadaan yang sukar. Dia hampir kelihatan seperti seorang pengemis. Tetapi, sikap dingin yang baru sahaja dia tunjukkan ketika membunuh lelaki tadi seperti membuatkan semuanya jelas.
Meng Hao memandangnya sejenak sebelum menggeleng kepalanya. Dia mengeluh dan berpaling untuk pergi.
Sebaik sahaja dia berbuat demikian, pandangan teragak-agak mucul di mata Harimau Kecil. Dia tiba-tiba bercakap dengan suara garau yang penuh dengan debaran.
"Abang... Abang Meng, kamu akan pergi ke Gunung Daqing untuk menyelamatkan semua orang?"
"Meng Hao berhenti di jalannya dan kembali memandang Harimau Kecil. "Kamu cakap apa ini?" katanya dengan suara yang rendah.
Harimau Kecil melihat Meng Hao dengan teliti. Dari dulu lagi dia naif seperti seorang kanak-kanak, tetapi setelah menyertai Sekta Reliance, dia telah mengalami banyak kesukaran yang tidak dapat dibayangkan. Hatinya telah menjadi sekeras besi. Tiada siapa tahu berapa ramai Pertapa yang telah dia bunuh secara sulit.
Dia menatap wajah Meng Hao dan perlahan-lahan dia sedar dia tidak tahu tentang peristiwa yang berlaku baru-baru ini.
"Abang Meng, baru-baru ini seluruh dunia Pertapaan Negeri Zhao telah mencari abang. Tiga Sekta hebat telah mengeluarkan perintah bersama untuk penangkapan abang. Ramai Pertapa telah berpecah dalam pelbagai arah untuk memburu abang." Dia teragak-agak seketika sebelum menyambung kembali.
Riak wajah Meng Hao tidak berubah walau sedikit pun. Dia terapung di udara sambil melihat Harimau Kecil tanpa berkata apa-apa.
"Tiga Sekta hebat itu memerintahkan supaya abang tidak dibunuh," perlahan sahaja suaranya. "Abang mungkin cacat atau cedera parah, tetapi bukan dibunuh." Selama ini dia terus melihat wajah Meng Hao tetapi masih tidak dapat mengagak apa yang bermain di fikiran Meng Hao.
"Kalau kamu berbohong," Meng Hao bersuara dengan tenang dan riak wajahnya masih tidak berubah, "jangan salahkan abang kerana terlupa tentang hubungan kita dahulu."
Harimau Kecil telah berundur dua langkah ke belakang dengan tidak sengaja setelah mendengar kata-kata Meng Hao. Matanya berkedip.
"Abang Meng mesti masih ingat Guru Pak Cik Shangguan daripada Sekta Dalaman. Dua bulan lepas, dia mengelilingi tiga wilayah berhampiran Gunung Daqing dengan jampi yang besar dan dahsyat." Suaranya semakin kuat. Dia menggenggam penumbuknya. "Dia merancang untuk mempergunakan darah manusia di sana untuk membuat campuran Pil Darah bagi mencapai Pengukuhan Asas. Ia sudah berlaku selama dua bulan. Dengan asas Pertapaan saya, saya bukan tandingan dia. Tetapi saya datang untuk selamatkan ayah dan ibu saya!"
Meng Hao menatapnya dengan terkejut dan kepalanya berpusing. Api kemarahan telah meletus di dalam dirinya dan aura niat membunuh yang ganas telah tercetus daripadanya. Dia tahu yang matlamat sebenar Shangguan Xiu bukanlah untuk membuat campuran Pil Darah, tetapi untuk mengumpan dia keluar.
Wajahnya menjadi semakin muram.
"Shangguan Xiu melibatkan manusia dalam tiga wilayah dan dunia Pertapaan Negeri Zhao tidak berbuat apa-apa untuk menghalang dia?" Suara Meng Hao keras sewaktu mengutarakannya. "Semua orang benar-benar percaya yang matlamatnya untuk sekadar mengukuhkan Asas?"
"Semua orang cakap yang Shangguan Xiu mengimpikan Pengukuhan Asas," Harimau Kecil menyambung lagi, "dan dia sengaja memilih tiga wilayah di sekitar Gunung Daqing kerana tanda bertuah yang muncul di sini bertahun-tahun lalu. Dengan Pil Rohani Darah, dia boleh menembusi Pengukuhan Asas dengan mudah. Sebelum ini, tiga Sekta hebat itu tak akan benarkan dia buat sesuatu seperti ini, tetapi kini mereka mencari zon meditasi Bapa Reliance. Sebab itu mereka menghantar semua orang untuk mencari abang dan tidak mempedulikan apa yang berlaku di sini. Mereka tidak mahu menghadapi masalah lain lagi. Lagipun, Shangguan Xiu bukanlah orang biasa-biasa, saya telah menyelidik tentangnya dan mendapati dia berasal dari Bandar Bima Sakti. Rupa-rupanya, tiga buah Sekta hebat itu telah cuba untuk masuk campur pada mulanya, tetapi entah kenapa mereka menarik diri."
Meng Hao mendengar dengan teliti dan kemudian mula tersenyum. Sebuah senyuman sinis yang mengerikan. Niat membunuh yang wujud di dalam hatinya telah melampaui niat bunuh yang dirasainya pada masa silam terhadap Wang Tengfei atau Ding Xin sekali pun. Bahang keinginan untuk membunuh telah mengakibatkan lautan Terasnya membuak-buak. Ia lebih ganas daripada apa-apa yang pernah dirasainya sepanjang hayatnya selama dua puluh satu tahun.
"Shangguan Xiu..." Meng Hao berpaling dan melihat ke arah Gunung Daqing. Dia melibas lengan bajunya yang lebar itu dan Harimau Kecil melayang ke atas kipas khazanah dengan riak wajah terkejut.
"Abang Meng, apa ini?" Harimau Kecil bertanya dengan tercungap-cungap.
"Kita akan pergi ke Gunung Daqing. Kalau kamu berkata benar, tidak mengapa. Tetapi kalau kamu menipu, kamu tidak perlu risau lagi tentang orang yang memburu kamu untuk dapatkan khazanah kamu." Kipas khazanah itu berkilau dan mereka meluncur pergi.
Harimau Kecil diam seribu bahasa. Tiada apa-apa lagi hendak diperkatakannya. Dia berdiri di atas kipas khazanah bersebelahan Meng Hao dengan perasaan konflik yang boleh dilihat di dalam matanya. Tidak lama kemudian, perasaan konflik itu telah hilang dan digantikan dengan keazaman.
Beberapa ketika kemudian, Gunung Daqing muncul di hadapan mereka. Meng Hao tidak meluru secara terus. Kipas khazanah itu berkilau dan mereka telah mendarat di tanah. Di hadapan sana, aura merah yang menyala telah menyelubungi segala-galanya dan kelihatan di luar aura tersebut, seorang Pertapa berjubah hitam duduk bersila bertafakur di setiap lima ratus kilometer.
Mereka ada puluhan orang dan seolah-olah sedang menyokong asas jampi itu yang dikelilingi tiga wilayah.
Jauh di puncak gunung sana, terdapat seseorang sedang duduk bersila sambil bertafakur.
Semuanya sunyi sepi di dalam wilayah di bawah gunung itu. Jalinan Qi Darah yang halus bangkit daripada semua wilayah itu.
Niat bunuh Meng Hao semakin kuat. Dia menarik nafas panjang dan meleraikan ikatan yang dipasangnya pada Harimau Kecil.
"Bila abang panggil nama kamu, kamu mesti datang," Meng Hao bersuara dengan perlahan. Kemudian, dia melangkah ke hadapan dengan tubuhnya menghasilkan siulan di udara dan memencarkan udara sejuk beku.
"Wang Youcai masih belum mati," tiba-tiba Harimau Kecil bersuara. Tetapi, Meng Hao tidak mempedulikannya dan terus meluru ke hadapan.
Harimau Kecil melihat Meng Hao pergi sehingga bayangnya hilang. Kemudian, dia mengeluh dan duduk bersila dengan perlahan-lahan untuk bertafakur. Selain Shangguan Xiu, dia juga sudah menyiasat tentang Meng Hao. Dia tahu Meng Hao tiada keluarga terdekat di dalam Wilayah Yunjie dan Shangguan Xiu berkemungkinan besar menggunakan jampi darah ini semata-mata untuk mengumpan Meng Hao.
"Abang Meng, saya cuma mahu selamatkan ayah dan ibu saya. Kalau abang masih hidup nanti, saya akan terhutang budi yang sangat besar pada abang." Dia memandang ke atas dengan perasaan yang sukar digambarkan.
Meng Hao meluncur ke hadapan, terus ke arah aura merah darah itu. Walaupun Harimau Kecil itu masih muda, tetapi dia agak bijak dan anggapan dia tepat. Manakala Meng Hao pula, dia sentiasa bijak. Walaupun dia gagal sebagai seorang cendekiawan, tetapi dia telah menjalani pembaptisan di dalam Sekta Reliance. Setelah semua pengalaman itu, masakan dia masih gagal melihat matlamat sebenar pihak lawannya itu?
Shangguan Xiu telah memasang perangkap untuk dirinya. Tetapi, mana mungkin dia tidak menggigit umpan itu? Walaupun dia tiada keluarga terdekat di dalam Wilayah Yunjie, tetapi ini tetap kampung halamannya. Kenangan sewaktu dia masih kecil berada di sana dan semuanya sangat indah.
Shangguan Xiu benar-benar tidak mempunyai hati nurani dan tindakannya telah membuat Meng Hao marah sehingga ke tulang-temulangnya. Keinginan untuk membunuhnya sudah berada di tahap tertinggi.
Walaupun dia mempertaruhkan nyawanya dan memasuki perangkap Shangguan Xiu, namun Meng Hao sedar yang dalam hidup ini, ada sesuatu yang seorang lelaki wajib lakukan ... walaupun ia berbahaya, dia akan laksanakannya juga.
Lelaki sejati takkan berasa takut dan was-was.
Niat membunuhnya tidak pernah sekuat begini. Keinginan untuk membunuhnya tidak pernah membuak-buak begini. Ia tidak akan boleh hilang dengan satu nyawa sahaja, tetapi setiap orang yang terlibat dalam mengekalkan jampi darah ini.
"Selama Pertapaan aku ini, ada orang yang tidak aku bunuh. Bukan kerana aku tidak mampu, tetapi kerana aku tidak mahu." Kelajuannya meningkat dan matanya penuh dengan niat membunuh, tetapi hatinya kekal tenang. Kini, dia telah tiba di kawasan jampi darah itu. Dia meluncur ke arah seorang Pertapa peringkat keenam Pemekatan Qi yang sedang duduk bertafakur di sana.
Dia memakai jubah hitam dan kelihatan seperti berusia dalam dua puluh enam atau dua puluh tujuh tahun. Sewaktu Meng Hao meluru ke arahnya, dia telah membuka matanya dan terkejut. Lantas, dia terus mengangkat tangannya, tetapi dalam sekelip mata, Meng Hao dengan wajah dingin dan dipenuhi dengan niat membunuh telah meluru melepasi dirinya.
Terdapat sebilah pedang di dalam genggaman Meng Hao. Di belakangnya, terdapat kepala yang wajahnya kelihatan keliru terbang ke udara dan tubuh badannya tersungkur di tanah.
Bau busuk darah telah memenuhi udara dan mayat itu telah menggerenyet beberapa kali sebelum menjadi kaku.
Tiada jeritan, tiada pergelutan. Bagi Meng Hao, ia semudah menyembelih seekor ayam. Seperti yang dikatakannya, bukannya dia tidak boleh membunuh, cuma dia tidak mahu.
"Ketika kita cuba sembelih ayam," Meng Hao mengomel sendirian, "biasanya ia akan bergelut sedikit. Biasanya manusia akan lebih kuat bergelut. Tetapi, tanpa kepala, kau lebih hina daripada ayam." Tanpa menoleh pada mayat di belakangnya, dia berlalu pergi dengan mata yang dipenuhi niat bunuh.
Dia bergerak dengan pantas dan tidak lama kemudian, sesusuk tubuh lain yang sedang bersila muncul di hadapannya. Nampaknya, orang ini memang tidak sedar tentang kematian rakan segurunya itu. Dia tetap terus duduk bertafakur dan mengekalkan jampinya.
Kepalanya telah dipenggal tanpa dia sempat membuka matanya.
"Shangguan Xiu, kau paksa aku membunuh. Baiklah ... hari ini aku akan bunuh semua benda di hadapan mataku." Dia menlibas pedang kayu di dalam genggamannya sehingga titisan darah terpercik ke merata tempat dan lenyap.
Disebabkan oleh kematian dua orang Pertapa itu, telah muncul riak pada jampi berwarna merah itu. Ini telah mengejutkan orang lain yang sedang mengekalkannya sehingga seorang demi seorang telah membuka mata dan berdiri sambil memerhatikan sekeliling mereka dengan berhati-hati.
Sementara itu, di puncak gunung, mata Shangguan Xiu terkedip-kedip dan berkilau sewaktu dia melihat peristiwa yang sedang berlaku di bawah sana.
Qi Darah itu kelihatan seperti semakin tebal, tetapi dia tidak dapat melihat dengan jelas benda yang sedang berlaku. Dia berkerut dan berdeham. Dia mengangkat tangan kanannya dan sebuah Bebola darah telah muncul sebesar lebih kurang saiz kepala manusia dengan Qi Darah berpusar di dalamnya. Dengan melibas lengan bajunya sahaja, dia telah melancarkan Bebola Darah itu ke Gunung Daqing di bawahnya lalu menghentam menembusi jampi berwarna darah itu dengan satu bunyi letupan yang sangat dahsyat.
Jampi berwarna darah itu semakin lemah. Tiba-tiba, kedengaran satu jeritan yang nyaring dan bergema keluar dari dalam jampi itu. Ia sukar untuk digambarkan dan seolah-olah dipenuhi dengan derita sengsara.
Beberapa saat kemudian, kedengaran satu lagi jeritan yang jelas datang daripada orang yang berbeza, tetapi sama mengerikan. Dahi Shangguan Xiu semakin berkerut sewaktu melihat jampi berwarna merah di bawahnya itu kelihatan telah menyusut hampir separuh daripada saiz asalnya dan agak keruh.
Satu lagi jeritan kedengaran daripada orang ketiga dan kemudian keempat dalam jangka masa yang hampir sama. Banyak lagi jeritan kedengaran bersahut-sahutan sehingga jampi berwarna darah itu menjadi jernih sepenuhnya. Shangguan Xiu memandang ke bawah dan melihat belasan mayat tidak berkepala.
Keningnya berkerut sekali lagi dan badannya berpusing. Di hujung sana, pada laluan gunung yang kecil, Meng Hao berjalan dengan memakai jubah cendekiawan biru berlumuran darah. Walaupun begitu, dia kelihatan lemah. Dia mendaki gunung itu perlahan-lahan dengan riak wajah yang kosong.
Di tangannya, dia membawa dua belas kepala yang telah dipenggal. Shangguan Xiu melihat sahaja Meng Hao menghampirinya. Meng Hao mencampakkan kepala-kepala itu yang jatuh bergolek di hadapan Shangguan Xiu. Kemudian, dia telah mengibaskan lengan bajunya dan menyebabkan kepala-kepala itu berselerak.
"Giliran kau," suara Meng Hao garau. Biasanya dia tidak mahu membunuh, tetapi bukan hari ini. Hari ini, dia mahu membunuh.
You may also Like
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT