"Ramuan pil ini dicampur sendiri oleh Grandmaster Pil Syaitan daripada Sekta Ungu Lembayung. Tuan Muda Ding, apa hubungan kamu dengan Grandmaster Pil Syaitan… ?"
"Sebutkan harga kamu." Meng Hao tidak berkata apa-apa lagi. Dia mengerutkan kening dan matanya dipenuhi dengan pandangan pura-pura, bagaikan dia mahu atau tidak berbuat begitu. Dia tidak mempunyai pilihan selain daripada menjual pil itu.
"Pil yang dicampur sendiri ramuannya oleh Grandmaster Pil Syaitan dan boleh dilelong dengan harga yang luar biasa. Pil ini… " Wanita itu teragak-agak sejenak lalu membuat keputusan. "Saya boleh beri kamu dua ratus lima puluh ribu Batu Rohani!"
Meng Hao terdiam sejenak. Akhirnya dia mengangguk dan berkata, "Setuju." Dia pun berdiri.
Wanita itu mengangkat tangannya dan menjentikkan jari ke arah pembakar setanggi yang berada di tengah bilik. Setelah sepuluh saat kemudian, kedengaran suara yang jelas dan merdu apabila seorang gadis muda turun dari tingkat tiga membawa piring batu jed. Dia tiba di hadapan Meng Hao dengan cepat lalu menawarkan piring dengan kedua-dua belah tangan.
Di atas pinggan jed putih itu terdapat satu beg sakti.
Meng Hao mengambilnya dan melihat ke dalam kemudian berpaling dan berjalan menuruni tangga. Di bawah pandangan para Pertapa di tingkat satu, dia berjalan keluar dari Toko Bima Sakti dan meninggalkan toko itu jauh ke belakang.
Sejurus kemudian, dia sampai ke tempat yang tidak terlalu terlalu ramai orang lalu dia masuk ke sebuah lorong dan menanggalkan pakaian luarnya. Dia dengan cepat menukar jubah lain dan kemudian berjalan secepat mungkin dengan kepala yang menunduk.
Sementara itu, sekembalinya di tingkat dua Toko Bima Sakti, wanita itu berdiri dengan hormat di sebelah seorang lelaki tua. Lelaki tua itu memakai pakaian luar biasa dan sedang berdiri berdekatan tingkap sambil memandang kejauhan. Di tangannya terdapat Pil Pengukuhan Asas yang telah dijual Meng Hao.
Masa berlalu sebelum dia akhirnya membuka mulut. "Kamu pasti?" dia selamba bertanya.
"Saya daripada generasi muda sudah melakukan sedikit pemeriksaan," katanya dengan nada hormat. "Memang ada pengikut Sekta Ungu Lembayung yang bernama Ding yang baru-baru ini telah tiba di Negeri Zhao."
"Kamu pasti itu dia?" tanya lelaki tu itu perlahan.
"Pada awalnya, saya tidak yakin. Walau bagaimanapun, Ding Xin berada di tahap kesembilan daripada Pemekatan Qi dan orang ini berada ditahap kelapan. Namun, perangainya yang angkuh di tingkat satu tentu kelihatan seperti seorang pengikut Sekta yang hebat. Inilah petunjuk pertama.
Setelah sampai di tingkat dua, dia tidak memilih kerusi berdekatan tingkap atau tangga melainkan di tengah bilik. Ini membuktikan keyakinannya seolah-olah dia tidak mengendahkan kemungkinan kita menyerangnya. Tahap keyakinan seperti ini mustahil dimiliki oleh seseorang daripada tahap kelapan Pemekatan Qi kecuali dia merupakan anggota Sekta yang hebat. Inilah petunjuk kedua.
Selepas itu, saya melihat pakaian putihnya dan loket jed daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung. Dia sengaja mendedahkannya walaupun dia berada di Negeri Zhao. Dia sepatutnya lebih berhati-hati. Inilah petunjuk ketiga.
Lebih ketara lagi, dia terus memberikan botol pil kepada saya seolah-olah dia tidak peduli sama ada saya akan makan pil itu ataupun tidak. Ketika saya bertanya tentang hal ini, jawapannya bukan yang lazim diberikan oleh pengikut Sekta Negeri Zhao. Inilah petunjuk keempat.
Akhirnya, Pil Pengukuhan Asas ini ditutup dengan penanda Grandmaster Pil Syaitan. Tiada sesiapa yang berani membuat pil palsu seperti itu. Tambahan pula, saya telah meneliti hal sebegini dan yakin penutup itu asli.
Disebabkan lima petunjuk ini, saya yakin dia Ding Xin daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung. Ada yang mengatakan dua tahun lalu, Grandmaster Pil Syaitan ada menerima seorang perantis bernama Ding Xin. Nampaknya, dialah orangnya." Wanita itu tersenyum, riak wajahnya penuh keyakinan, kelicikan dan kebijaksanaan.
"Melainkan… " Tiba-tiba dia kelihatan teragak-agak.
"Melainkan apa?" Tanya lelaki tua itu sambil berpaling kepadanya dengan raut wajah yang mesra dan meyakinkan.
"Melainkan dia sangat bijak dan dengan sengaja melakukan semua ini. Mungkin dia mereka cerita yang sempurna dan berselindung dengan Pil Pengukuhan Asas yang sememangnya palsu. Tetapi, kebarangkalian hal sebegini berlaku ialah jauh sekali. Tiada pengikut dalam kalangan Sekta Negeri Zhao yang boleh melakukan hal sebegini." Wanita itu tersenyum sekali lagi dengan raut wajah yang meyakinkan.
"Betul," kata lelaki tua itu. "Mampu menyusun semua petunjuk dengan cara ini menunjukkan kebijaksanaan diri kamu, Mu'er. Nampaknya kamu telah menjadi lebih pintar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pil perubatan ini asli. Nampaknya, kemungkinan dia Ding Xin yang sebenar dalam lapan puluh hingga sembilan puluh peratus." Dia menatap wanita itu dengan mesra.
"Terima kasih banyak atas pujian Bapa," katanya sambil tersenyum. Wanita itu bertanya sambil memandangnya, "Bapa betul-betul membiarkannya pergi begitu saja?"
"Kita tidak boleh mencari masalah dengan Sekta Takdir Ungu Lembayung. Pil Pengukuhan Asas Grandmaster Pil Syaitan ini… " Orang tua itu nampaknya berfikir sejenak sebelum berkata dengan lembut, "Mu'er, memandangkan bakat kamu yang terpendam itu biasa, apa kata kamu berikan pil itu kepada ayah kamu? "
Apabila wanita itu mendengar kata-katanya, matanya tiba-tiba berkedip.
"Dia sudah kembali?" Suaranya tiba-tiba bertukar muram.
"Dia kembali beberapa bulan yang lalu. Selama ini dia pergi bertahun-tahun lamanya untuk menyertai Sekta Reliance, tetapi Sekta itu telah dibubarkan. Seperti biasa, dia belum mencapai Pengukuhan Asas... kamu mesti berjumpa dengannya." Melihat wanita itu, lelaki tua tersebut mengerutkan keningnya lalu mengeluh.
Dia terdiam sejenak. "Saya ada tanggungjawab di sini," katanya dingin. "Bapa hendak beri Pil Pengukuhan Asas itu kepada sesiapapun saya tak kisah."
"Dia masih ayah kamu. Lagipun, bagiku dia mungkin ada beberapa hal yang sulit di fikirannya dan dia mungkin akan pergi lagi nanti. Kamu mesti fikir masak-masak." Sambil menggelengkan kepalanya, lelaki tua itu berpusing dan pergi.
"Ayah… " Shangguan Mu duduk dengan tenang sambil memandang ke luar tingkap dan matanya dipenuhi dengan kemuraman.
Bagi Meng Hao pula, setelah menukar pakaian, dia meninggalkan Kota Bima Sakti yang berdinding hitam itu tanpa sedikit pun keraguan. Setelah dia berada agak jauh dari kota, dia melompat ke atas kipas khazanah dan meluncur jauh dengan tubuhnya berubah menjadi seperti pelangi prismatik.
Dia terus berjalan selama beberapa hari sehingga jelas tidak ada yang mengejarnya. Pada saat itu, dia berasa lebih santai. Di dalam hutan belantara yang agak jauh dari Gunung Daqing, dia menggunakan pedang terbang untuk membina Gua Dewa untuk dirinya sendiri lalu masuk ke dalam untuk bermeditasi sendirian.
Kali ini, dia berazam untuk menembusi tahap kesembilan Pemekatan Qi.
Dia mempunyai Batu Rohani yang banyak sehingga dia boleh menduplikasi Pil Rohani Syurga. Apabila dia menggunakan Pil Rohani Syurga yang mencukupi, asas Pertapaannya akan mencapai tahap sesuai untuk dia mencapai ke tahap yang seterusnya.
Masa berlalu dengan perlahan. Selepas itu, beberapa bulan berlalu. Meng Hao tidak meninggalkan Gua Dewa. Dia duduk bersila di sana dengan diam sambil memakan pil perubatan dan mengedarkan asas Pertapannya. Dari masa ke masa, asas Pertapaannya menjadi bertambah hebat.
Setelah lima bulan berlalu, ia bagaikan tidak terbatas. Asas Pertapaannya menjulang naik dan lautan Terasnya bergolak. Dia telah lama sampai di puncak tahap kelapan Pemekatan Qi. Sedikit lagi dia hendak menghampiri tahap kesembilan dan tidak ada sebarang perubahan setelah dua bulan.
Memikirkan tentang lebih seratus ribu Batu Rohani yang telah dia gunakan membuatkan Meng Hao menjadi pening dan kusut memikirkannya. Tetapi apa yang lebih menyakitkan hati, setelah menghabiskan kesemua Batu Rohani tersebut, dia masih belum mampu menembusi tahap kesembilan Pemekatan Qi.
"Orang Lama Xu pernah memberitahu aku tahap Pemekatan Qi keempat, keenam dan kelapan ialah tahap yang sukar untuk dilepasi. Pada tahun aku menembusi tahap keempat, aku memiliki banyak Pil Rohani Kering. Aku menembusi tahap keenam ketika Lautan Utara menunjukkan Tao. Sekarang aku berada di halangan tahap kelapan... Macam mana aku nak menembusinya?" Meng Hao membuka matanya yang merah.
Lebih daripada dua ratus ribu Batu Rohani yang dimilikinya sekarang hanya lima puluh ribu yang tinggal. Bakinya telah diubah menjadi Pil Rohani Syurga. Sekarang, dia juga kehabisan Pil Rohani Syurga.
Seperti yang dia jangkakan, apabila dia terlalu bergantung pada pil perubatan untuk mempertingkatkan asas Pertapaannya, kesannya akan menjadi semakin lemah sehinggakan dia terpaksa makan lebih banyak pil. Dia memerlukan jumlah yang lebih besar dan ini sesuatu yang sungguh keji.
"Aku ingin tahu apa yang dilakukan oleh orang lain dalam situasi ini," dia fikirnya sambil mengerutkan kening. Meskipun dia sudah memikirkan situasi ini berulang kali, dia tidak dapat jawapannya.
Nampaknya, tidak kira berapa banyak Pil Rohani Syurga yang dimakannya dan tidak kira betapa asas Pertapaannya meningkat, dia tidak dapat menembusinya.
Satu bulan berlalu. Meng Hao telah menghabiskan setengah tahun untuk bermeditasi sendirian. Pada hari ini, dia duduk di sana dengan rambut kusut-masai dan mata yang merah. Pada bulan lepas, dia telah menduplikasi sepuluh Pil Rentas Penara yang semestinya berkesan di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Dia berharap dengan menggunakannya, dia akan dapat untuk menembusi halangan ini. Meskipun ia agak berkesan tetapi masih tidak membuahkan hasil yang diingini.
"Aku mesti mencapai tahap kesembilan Pemekatan Qi!" Dia menggertakkan giginya ketika dia melihat hanya lima puluh ribu Batu Rohani yang tinggal. Tanpa teragak-agak, dia mengeluarkan cermin tembaga. Dia telah memutuskan untuk menduplikasi Pil Pengukuhan Asas!
Cahaya muncul dan di depannya terdapat dua Pil Pengukuhan Asas. Termasuk yang asal, dia sekarang mempunyai tiga Pil Pengukuhan Asas. Jika ada yang menunjukkan tiga pil ini kepada seorang pengikut daripada salah satu Sekta besar Wilayah Selatan, mereka pasti akan berasa terkejut. Jika ada yang melihat situasi ini di negeri Zhao, pasti pertumpahan darah akan berlaku.
Pada hari ini, Meng Hao akan menggunakan pil ini bukan untuk mencapai Pengukuhan Asas, tetapi untuk menembusi halangan yang dialaminya. Sesiapa yang tahu dia menggunakan pil dengan cara ini pasti akan menjadi gila memikirkan pembaziran yang dilakukannya.
Melalui sejarah, terdapat kemungkinan beberapa orang yang akan pergi sejauh itu untuk menembusi halangan Pemekatan Qi.
Meng Hao menarik nafas dalam lalu mengangkat pil itu dan memasukkannya ke dalam mulut dan menelannya. Raungan gemuruh memenuhi fikirannya dan tubuhnya menggeletar. Tenaga rohani agung memenuhi dirinya yang tidak pernah dibayangkan sebelumnya meletup dalam tubuhnya.
…
Selama setengah tahun bermeditasi sendirian, ada beberapa peristiwa telah terjadi tanpa dia sedari. Peristiwa ini sangat mempengaruhi seluruh Negeri Zhao. Yang pertama ialah penyebaran berita tentang urusan Meng Hao dengan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung. Nama Meng Hao dikenali di seluruh negeri dalam tempoh yang singkat.
Semua orang tahu Meng Hao menipu Sekta Takdir Ungu Lembayung tanpa belas kasihan.
Sejurus selepas itu, Sekta Badai Salju dan Sekta Arus Berliku hampir mengisytiharkan perang antara satu sama lain. Akhirnya, pendeta Sekta daripada tahap Pengukuhan Teras muncul dan berjaya menenangkan segalanya. Tidak lama kemudian, kedua-dua Sekta mengeluarkan arahan penangkapan bersama.
Si pelaku jahat Meng Hao daripada Sekta Reliance sedang dicari dan diburu. Sesiapa yang membunuhnya akan menerima ganjaran yang terdiri daripada Batu Rohani, pil perubatan dan barangan sakti. Inilah kali pertama dalam ratusan tahun dua Sekta besar bergabung bersama untuk mengeluarkan arahan penangkapan. Berita ini mencetuskan sensasi yang hangat di dunia Pertapaan Negeri Zhao.
Tentu sahaja tiada sesiapa yang tahu cara untuk menjejaki pemuda yang telah menyebabkan kejadian berdarah berkenaan lembing perak. Namun, dia sudah disasarkan untuk dihukum dan berita itu telah tersebar dengan pantas. Tidak lama kemudian, Meng Hao akan menjadi bahan perbualan dalam kalangan semua Pertapa Negeri Zhao.
Di mana-mana sahaja Pertapa berkumpul, mereka akan bercakap mengenai Meng Hao.
"Aku dengar semasa dia berada di Sekta Reliance, dia merompak seseorang daripada salah satu Puak besar dari Wilayah Selatan iaitu seorang lelaki yang bernama Wang Tengfei yang telah menyertai Sekta itu. Ketika dia menjadi anggota Sekta Dalaman, Wang Tengfei pergi dalam keadaan marah. "
"Itu tak ada apa-apa. Aku dengar secara langsung daripada beberapa bekas pengikut Sekta Reliance yang Meng Hao membuka toko di sana. Dia menipu ramai pengikutnya. Mereka semua memang marah tetapi tidak berani berkata apa-apa."
"Wah, nampaknya dia seorang yang licik dari dulu lagi. Tak hairanlah dia menipu pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung, Liu Daoyun dan Sun Hua… "
"Nampaknya dia akan menipu sesiapa sahaja yang ditemuinya. Dia telah menipu ramai orang sejak dia meninggalkan Sekta Reliance… "
Perbualan dan perbincangan seperti ini telah menjadi bualan di Dunia Pertapaan Negeri Zhao. Jika setakat itu sahaja, hal ini tidak akan menjadi masalah yang sangat besar. Akhirnya, desas-desus itu akan hilang. Namun sebelum itu terjadi, ketiga-tiga Sekta besar bergabung untuk menarik balik arahan penangkapan yang asal dan mengeluarkan yang baharu. Tidak ada alasan yang jelas untuk tindakan ini.
Arahan yang baharu juga mengenai penangkapan Meng Hao. Walau bagaimanapun, pembunuhan terhadapnya dilarang sama sekali. Ganjaran akan diberikan bukan untuk kematiannya tetapi untuk penangkapannya atau petunjuk di mana keberadaannya!
Berdasarkan arahan itu, dia boleh dicederakan atau dicacatkan tetapi tidak boleh dibunuh.
Arahan penangkapan yang pelik seperti itu telah membangkitkan perhatian beberapa orang. Akhirnya, sebilangan orang yang berpengetahuan luas dapat menyusun petunjuk untuk memahami perkara yang sedang terjadi.
"Pembentukan Teras yang Aneh daripada ketiga-tiga Sekta besar telah mengunjungi Negeri Kalam pada bulan lalu. Mereka memberi hormat kepada Kalam Dewa dan memintanya untuk meramalkan sama ada Bapa Reliance benar-benar mati ataupun tidak. Menurut ramalannya, Bapa Reliance sangat lemah sehingga hampir menemui ajal. Namun, Gua Dewa tempat dia berada hanya dapat dibuka oleh pengikut Sekta Dalaman. Kalam Dewa sudah ada di sini bersama mereka di Negeri Zhao sambil mencari tempat Bapa Reliance dimeteraikan dalam meditasi perseorangan!"
Sebaik sahaja berita ini tersebar, ketiga-tiga Sekta besar berusaha keras untuk melenyapkan khabar angin itu. Sesiapa yang didapati menyebarkannya akan dihukum dengan hukuman mati dan mana-mana kota yang telah tersebar dengan khabar angin ini akan dihalang oleh mantera penutupan yang dibuat oleh tiga Sekta besar bagi mencegah sesiapapun yang masuk atau keluar.
Di hutan belantara yang terpencil terletak tidak jauh dari Gunung Daqing, Meng Hao duduk di dalam Gua Dewa dengan tubuh yang menggeletar. Peluh mengalir deras lalu membasahinya tatkala badannya memancarkan kepanasan yang amat. Hal ini menghasilkan kabus yang tebal di sekitar gua dan dipenuhi dengan aroma peluh.
Seluruh tubuh Meng Hao berwarna merah cerah dan tubuhnya terasa seakan-akan terdapat api besar yang mengamuk di dalam dirinya dan akan segera mengeringkan daging dan darahnya lalu mengubahnya menjadi timbunan abu. Pada waktu ini, tubuhnya kaku sepenuhnya dan tidak mampu bergerak walaupun sedikit.
Sebenarnya, inilah salah satu kemudaratan memakan Pil Pengukuhan Asas. Setelah menelannya, tubuh kita tidak boleh bergerak. Tidak kira sama ada banjir mahupun ribut atau seseorang berdiri di hadapan dengan pedang untuk menikam sekalipun, kita tidak akan mampu menggerakkan otot sehinggalah kekuatan pil tersebar. Inilah sebabnya Pertapa sangat berhati-hati ketika memilih tempat mereka untuk memakan Pil Pengukuhan Asas.
Lebih-lebih lagi jika seseorang menghadapi musuh ketika mengalami kesan sampingan daripada pil yang mengagumkan itu, maka akibatnya ialah kematian.
Meng Hao orang pertama yang pernah memakan Pil Pengukuhan Asas ketika berada di tahap kelapan Pemekatan Qi. Tambahan pula, pil ini telah dicampur ramuannya oleh Grandmaster.
Tetapi, dia tidak mempunyai pilihan lain. Terlalu sukar untuknya menembusi halangan tahap kelapan Pemekatan Qi tanpa bantuan nasib yang baik atau pil perubatan khas.
Pil Rentas Penara tidak lagi berkesan, jadi sekarang satu-satunya yang dia ada ialah pil Pengukuhan Asas. Sudah tentu dia tidak berani menggunakan terlalu banyak sekaligus. Pil itu sangat kuat tetapi tubuhnya tidak kuat. Memakan pil tersebut sebenarnya seperti mempertaruhkan nyawanya sendiri.
Sekarang Meng Hao berasa cukup yakin dia tahu punca halangan tahap kelapan sangat sukar ditembusi. Ini pasti ada kena mengena dengan dia menghabiskan begitu banyak Teras Syaitan selama bertahun-tahun. Meskipun dia dilahirkan semula di Lautan Utara, kekuatan Syaitan di dalam tulangnya tidak boleh dihilangkan dengan mudah.
Kerana alasan ini, sekatan yang disebabkan oleh halangan ini lebih tebal daripada yang dialami oleh orang kebanyakan. Sudah tentu terdapat kelebihan juga daripada situasi ini. Sebaik sahaja dia berjaya menembusi halangan, dia akan melonjak sehingga ke pertengahan tahap kesembilan Pemekatan Qi. Lagipun, tubuh Meng Hao yang dahulunya kelihatan agak lemah jauh lebih gagah sekarang berbanding pada zaman belajarnya. Perubahannya lambat tetapi pasti.
Perubahan ini bukan disebabkan oleh Pertapaannya, tetapi disebabkan oleh kekuatan Syaitan di dalam tubuh dan Teras Syaitan di lautan Terasnya.
Hari demi hari berlalu. Tempoh dua bulan berlalu dengan pantas, selama itulah Meng Hao terus memakan Pil Pengukuhan Asas yang sangat minimum. Dia telah menyerap kekuatan pil sepenuhnya sebentar tadi. Tiba-tiba, dia membuka matanya. Dia dapat bergerak lagi! Dia merasakan raungan dalam dirinya bersama dengan kesakitan yang hebat seolah-olah banyak bahagian tubuhnya sedang dikoyak. Dia memuntahkan darah hitam.
Ketika dia muntah darah, matanya menjadi kabur seolah-olah dia akan hilang kesedaran. Oleh itu, dia menggigit lidahnya untuk memaksa dirinya tetap terjaga. Dia memutar asas Pertapaannya tatkala ia meluncur ke tahap kesembilan Pemekatan Qi.
Matanya penuh dengan keazaman. Sambil mengumpul tenaga rohaninya yang membuak-buak di dalam dirinya, dia mendorong ke hadapan.
Dalam seketika, tenaga rohani semakin bertambah dan menyebabkan kepalanya terdengar dentuman guruh. Dia merasakan tubuhnya seolah-olah akan meletup. Tiba-tiba, dia terasa seperti tenaga rohani telah membuka dunia baharu di dalam dirinya. Dia serta-merta merasakan sensasi luar biasa yang sukar digambarkan. Dia merasa geli seolah-olah ada seseorang membelainya dengan bulu yang sangat banyak.
Dia membenamkan dirinya dalam perasaan itu dan waktu yang lama berlalu sebelum dia membuka matanya. Kedua-dua matanya bersinar sehingga menyilaukan. Seolah-olah kegelapan gua itu disinari oleh halilintar yang dahsyat.
Meng Hao menarik nafas dalam dan tenaga rohani gua tersebut bagaikan disedut ke dalam dirinya sedikit demi sedikit. Kemudian ia meninggalkannya dan banyak kotoran yang keluar dari liang romanya. Tubuhnya menjadi lebih ringan dan matanya lebih cerah.
Lautan Teras tanpa sempadan di dalam dirinya bersaiz dua kali ganda sebelumnya seperti tidak dapat dilihat dari sisi lain. Air keemasan berombak dan meraung. Jauh di dasar, Teras Syaitan berehat, tidak bergerak dan menghantar tenaga rohani yang banyak membuatkan cahaya keemasan semakin menyilau lalu mengisi tubuh Meng Hao. Dia berasa seperti mahu mengangkat kepalanya dan mengeluarkan tangisan yang panjang dan kuat.
"Tahap kesembilan Pemekatan Qi! Aku, Meng Hao, akhirnya telah mencapai tahap kesembilan! Langkah aku seterusnya adalah Pengukuhan Asas!" Matanya dipenuhi kegembiraan sambil menarik nafas dalam.
"Dengan Kitab Suci Rohani, aku dapat mendirikan Asas Sempurna yang jauh lebih tinggi dari Asas Keretakan atau Asas Kepatahan." Dia berdiri dengan penuh keyakinan dan harapan tentang masa depan.
Dia menantikan penjelajahan ke Wilayah Selatan dan meneroka kawasan di sana. Bahkan, dia menantikan hari dia boleh mencapai Pengukuhan Asas. Dia tertanya-tanya perasaan memiliki Asas Sempurna. Apa yang bermain dalam fikiran para Pertapa yang lain apabila bertemu dengannya nanti?
Sudah tentu sebelum mencapai Pengukuhan Asas, dia tidak faham betapa peliknya Asas Sempurna. Walaupun dia tidak mengetahui apa-apa, dia masih menanti dengan penuh harapan.
Dia menjentik lengan baju dan Glob Air sebesar penumbuk muncul. Ia mengembang lalu membentuk helaian air sebesar badannya. Dia berjalan ke hadapan melepasi air tersebut. Apabila dia keluar ke arah lain, kotoran yang ada pada tubuhnya hilang dan diganti dengan aroma yang harum.
Pintu Gua Dewa hancur. Ketika itu sudah tengah hari dan musim sudah lama berubah. Meng Hao berjalan keluar untuk merasakan angin panas dan kering di wajahnya. Seluruh tubuhnya terasa santai dan segar.
"Apabila aku mencapai Pengukuhan Asas, akhirnya aku akan dapat mencapai kemahiran terbang yang sebenar." Dia memandang langit biru dan senyumannya semakin lebar. Dia berjalan sedikit ke hadapan lalu melompat ke atas kipas khazanah dan meluncur laju.
Dia terbang agak jauh dari Gunung Daqing dan tiba-tiba terlihat seseorang berlari ke arahnya. Orang ini bergerak sepantas mungkin dan dikejar oleh seorang lelaki yang besar dan kelihatan kejam.
Wajah orang yang dikejar itu pucat lesi tetapi matanya dingin. Dia tidak terlalu tinggi dan agak kurus dan kelihatan berusia sekitar tiga belas atau empat belas tahun. Meskipun demikian, asas Pertapaannya berada di tahap kelima Pemekatan Qi.
Dia telah dikejar oleh seorang pertapa tahap keenam Pemekatan Qi. Lelaki itu memakai jubah biru laut yang koyak-rabak dan kelihatan seperti telah dicederakan. Pembunuhan bergolak di dalam matanya yang marah.
"Tak kisahlah ke mana kamu cuba nak lari, Dong Hu. Kalau kamu beri aku mutiara itu dan mengenangkan status aku di Sekta Petang Lurus, aku boleh biarkan kamu hidup. Jika tidak, kamu mati!" Lelaki berbadan besar itu mengangkat tangan kanannya dan cahaya dingin muncul lalu membeku menjadi Pedang Lengkung Bulan Penuh. Dia melemparkannya lalu ia berputar ke arah pemuda itu.
Pemuda itu sebenarnya salah seorang daripada salah satu kelompok Meng Hao yang dibawa oleh Kakak Xu ke Sekta Reliance iaitu Harimau Kecil.1
Setelah pembubaran Sekta, dia telah dibawa pergi kemudian menghilang. Meng Hao terapung di atas sambil memandang Harimau Kecil.
Muka Harimau Kecil pucat tetapi niat membunuh bersinar pada matanya yang dingin. Dia melambai lengan bajunya lantas menghasilkan beberapa sinar cahaya dingin yang ditembakkan dengan anak panah berkilauan. Berdasarkan sinarannya, anak panah itu kelihatan dilapis dengan racun. Anak panah ditembak ke arah lelaki berbadan besar itu.
Dia ketawa sambil melambai lengan bajunya lalu menyebabkan angin bertiup dan dengan mudahnya mematahkan serangan anak panah tersebut. Tangannya meliang-liuk dalam pola mantera lantas menyebabkan pedang lengkungnya bergerak ke arah Harimau Kecil. Ia berada pada dirinya dalam sekelip mata. Mata merah Harimau Kecil berpusing. Tiba-tiba, mutiara biru laut muncul di tangannya. Sebahagiannya lutsinar dan dipenuhi dengan lapisan awan kerinting. Aliran awan meletus dari dalam mutiara lalu bergabung menjadi bayangan yang kabur kemudian bergerak ke arah pedang lengkung.
Ketika kedua-duanya bertembung, bunyi dentuman kedengaran dan pedang lengkung itu hancur berkeping-keping sama seperti bayangan yang kabur.
Lelaki berbadan besar itu muntah darah dan ketamakan di dalam matanya menjadi lebih kuat. Dia meneruskan pemburuannya.
Darah mengalir dari muka Harimau Kecil. Nampaknya, serangan tadi agak sukar untuk dilakukan. Dia terhuyung-hayang bergerak ke depan dan berlari sebelum jatuh ke tanah.
"Kamu tidak boleh melarikan diri!" lelaki berbadan besar itu ketawa dengan kejam lalu cepat-cepat mendekati Si Kecil Hu yang sudah berputus asa. Di kejauhan, Meng Hao menghela nafas sambil melihat kembali ke tempat kejadian. Akhirnya, dia mengangkat satu jari di tangan kanannya menyebabkan angin yang sangat laju muncul di hutan. Tekanan yang menghancurkan daripada tahap kesembilan Pemekatan Qi terus terkena lelaki berbadan besar itu. Dengan perasaan gementar, dia mendongak sambil terkejut melihat Meng Hao melayang ke arahnya.
Serentak dengan itu, Harimau Kecil yang masih di tanah mengeluarkan pisau belati beracun dari lengan bajunya. Dia melompat dengan kepantasan yang mengejutkan dan pisau belati itu melintas. Pada masa yang tepat ketika lelaki berbadan besar itu terkejut oleh Meng Hao, pisau belati itu memotong lehernya.
Dia melepaskan tangisan sengsara ketika darah menghujani semua tempat lalu terkena pada Hrimau Kecil. Harimau Kecil masih lemah dan letih, tetapi rebahannya tadi sebenarnya ialah satu helah. Ketika lelaki itu menghampirinya dengan kurang berhati-hati, dia telah merancang untuk menikamnya.
Lelaki berbadan besar itu jatuh ke tanah lalu tersentak. Dia cuba untuk menutup luka di lehernya, tetapi banyak darah mengalir keluar. Dalam beberapa saat, dia sudah mati. Matanya menatap kosong kejauhan.
Harimau Kecil mengambil beberapa langkah dan melihat Meng Hao kembali seperti bersedia untuk melarikan diri bila-bila masa sahaja. Kemudian, dia merasakan kekuatan asas Pertapaan Meng Hao dan tubuhnya mula menggeletar.
Meng Hao tidak berkata apa-apa. Dia berjalan dan melangkah mayat tersebut dan memeriksanya. Kemudian, dia memandang ke arah Harimau Kecil yang berdebar dan merenungnya dengan diam.
Harimau Kecil juga tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandang Meng Hao dengan riak wajah yang merumitkan di dalam matanya.
Beberapa ketika telah berlalu, setelah itu Meng Hao membuka mulutnya. "Disebabkan mutiara ini kamu membunuh Wang Youcai," katanya dengan tenang. Pandangan yang tidak terlihat di matanya mengungkapkan dia hanya menggertak, tetapi Harimau Kecil tidak melihatnya.
Sebaliknya, Harimau Kecil hanya berdiri diam dan tidak mahu bercakap. Tubuhnya pendek, berkulit gelap dan bertubuh kurus. Pakaiannya usang dan dia terang-terangan dalam keadaan yang sukar. Dia hampir kelihatan seperti seorang pengemis. Tetapi, sikap dingin yang baru sahaja dia tunjukkan ketika membunuh lelaki tadi seperti membuatkan semuanya jelas.
Meng Hao memandangnya sejenak sebelum menggeleng kepalanya. Dia mengeluh dan berpaling untuk pergi.
Sebaik sahaja dia berbuat demikian, pandangan teragak-agak mucul di mata Harimau Kecil. Dia tiba-tiba bercakap dengan suara garau yang penuh dengan debaran.
"Abang... Abang Meng, kamu akan pergi ke Gunung Daqing untuk menyelamatkan semua orang?"
"Meng Hao berhenti di jalannya dan kembali memandang Harimau Kecil. "Kamu cakap apa ini?" katanya dengan suara yang rendah.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT