Semua ini untuk memberi kesempatan pada pedang kayu untuk membunuh!
Mata Ding Xin mengecil ketika dia berasa ini sesuatu yang sangat merbahaya. Buat pertama kalinya dia mengalami perasaan ini di Negeri Zhao yang terpencil. Bahkan di Wilayah Selatan, dia tidak pernah menaikkan kemarahan Pertapa di tahap Pengukuhan Asas; dia hanya pernah berlawan dengan orang yang berada di tahap yang sama seperti dirinya.
Terkejut dengan keadaan yang merbahaya seperti ini, dia mengangkat tangan kanannya dan menekan dahinya. Satu bunyi ledakan berdesir dan sejumlah besar Qi Ungu mengalir keluar daripada kepalanya. Dengan cepat ia membeku menjadi susuk seseorang dan belakangnya menghadap Meng Hao.
Susuk yang samar itu mengenakan jubah ungu. Setelah ia meletup, Qi Ungu bertebaran di mana-mana dan menyebabkan jaring berhenti di tempatnya.
Wajah Ding Xin pucat ketika jaring besar itu lambat berhenti. Dia terus berundur ke belakang. Kedua-dua pedang kayu itu tidak ada tanda akan berhenti. Pedang kayu tersebut terus bergerak ke hadapan tanpa sedikit pun keraguan; kemudian melepasi awan ungu dan bergerak laju ke arah Ding Xin.
"Mustahil!" Ding Xin terkaku dan berasa sangat hairan. Dia tidak pernah membayangkan dua pedang kayu Meng Hao mampu menentang kekuatan sihir penyelamatnya?!
Sihir penyelamat ini dianugerahkan kepada pengikut di tahap kesembilan Pemekatan Qi dan mampu melawan Pertapa di tahap Pengukuhan Asas dengan kekuatan penuh. Ia hanya mampu digunakan sekali sahaja. Malahan setelah bertahun-tahun, dia tidak pernah menggunakan kekuatan itu. Akhirnya, tatkala menghadapi bahaya yang dialaminya ini, dia terpaksa menggunakannya hari ini. Namun, itu tidak mampu menghentikan kedua-dua pedang kayu itu.
"Jenis pedang apakah ini?!" Ding Xin menjadi pucat. Pada saat berbahaya seperti ini, dia tidak punya masa untuk memikirkannya. Dia mengetapkan rahangnya dan kemudian bertempik. Dia menggigit lidahnya dan meludahkan sedikit darah. Ini darah daripada asas Pertapaannya dan berkait rapat dengan hayatnya. Sebaik sahaja dia meludahkannya, asas Pertapaannya menurun sedikit. Ia memerlukan masa yang lama dan perlu bermeditasi di tempat terpencil sebelum mampu pulih sepenuhnya.
Sebaik sahaja dia memuntahkan darah, darah itu berubah menjadi seperti kabus merah yang disedut oleh kabus ungu yang muncul dari kepalanya. Dia berteriak:
"Qi Ungu dari Timur!" Dengan segera, susuk yang berjubah ungu itu berpaling. Wajahnya kabur, tetapi matanya jelas memancarkan sinar ungu yang kuat.
Ketika cahaya ungu itu muncul, tubuh Meng Hao menggeletar dan dia terasa bagaikan dipukul bah air. Dia mundur ke belakang dan darah menyembur dari belakangnya. Bunyi yang menderu memenuhi tubuhnya dan kesedarannya mulai goyah. Dia melayang ke belakang seperti layang-layang yang terputus talinya, lalu jatuh atas permukaan Lautan Utara. Dia perlahan-lahan tenggelam ke dalam air.
Pada masa yang sama, kedua-dua pedang kayu mulai bergetar. Salah satu daripada pedang tersebut berubah menjadi ungu apabila ia tidak lagi dikawal oleh Meng Hao. Pedang tersebut berpusing di luar kawalan lalu terjatuh ke dalam Lautan Utara.
Tapi... itu hanya satu pedang. Ding Xin telah berhabis-habisan dengan mengurangi hayat hidupnya sendiri dan merosakkan asas Pertapaannya untuk menggunakan kekuatan penuh sihir penyelamat. Namun, dia hanya mampu menyasarkan sihir itu pada salah satu pedang kayu itu sahaja. Meskipun pedang yang kedua bergetar, ia terus menusuk ke dada Ding Xin. Kemudian, pedang itu kelihatan seperti kehilangan kekuatan rohani yang mengawalnya lalu jatuh ke dalam Lautan Utara.
Pedang itu telah menusuk Ding Xin, tetapi tidak menembus jantungnya. Dengan bantuan Qi Ungu dari Timur, ia dapat menghindari kecederaan yang parah. Meskipun begitu, dia meraung kesedihan saat darah mengalir keluar dari dada dan mulutnya.
Rambutnya menggerbang dan jubah putihnya dibasahi darah. Matanya merah dan dia menutup luka di dadanya dan mengeluarkan teriakan ngeri. Dalam semua pertempuran yang pernah dihadapinya semenjak awal hingga sekarang, dia tidak pernah mengalami kecederaan yang begitu serius. Tetapi sekarang, dia telah cedera parah disebabkan oleh seorang Pertapa yang bukan siapa-siapa dan tidak pernah dipedulikan di Negeri Zhao yang terpencil dan dipandang rendah olehnya. Selain itu, dia terpaksa menggunakan teknik menyelamatkan nyawanya. Matanya suram saat dia menatap Lautan Utara.
"Nyawa kamu telah diambil oleh Qi Ungu aku dari Timur. Tapi sebab kamu berani mencederakan aku, aku akan menyeret mayat kamu dan merobeknya menjadi berkeping-keping!" Dada Ding Xin terasa sangat sakit. Dia telah menggunakan darah dari asas Pertapaannya dan telah merosakkan hayat hidupnya. Pada saat ini, dia telah turun ke tahap kelapan Pemekatan Qi. Wajahnya pucat dan dipenuhi kemarahan. Dia mengeluarkan pil perubatan dan memakannya. Kemudian, dengan tiba-tiba riak wajahnya berubah. Dia menatap luka di dadanya dan wajahnya dipenuhi ketakutan.
"Kekuatan rohani aku telah disedut melalui luka pedang… " Ini sesuatu yang belum pernah dialami Ding Xin sebelumnya. Dia tersentak saat dia menyedari betapa menakjubkan dua pedang kayu milik Meng Hao itu. Dia segera terjun ke dalam Lautan Utara untuk mencari mayat Meng Hao dan kedua-dua pedang itu.
Jauh di dasar Lautan Utara, tubuh Meng Hao perlahan-lahan tenggelam. Matanya terpejam dan dia tidak bergerak. Dia kelihatan seperti sudah mati. Qi Ungu dari Timur milik Ding Xin telah memusnahkan jangka hayat dan asas Pertapaannya. Meskipun kekuatan Ding Xin tidak mampu dibandingkan dengan tahap Pembentukan Asas, dia berada di puncak tahap kesembilan Pemekatan Qi. Jika Meng Hao berada di tahap kelapan, dia pasti akan mati.
Ketika ini, tubuh Meng Hao dingin dan satu-satunya yang tinggal ialah percikan kecil yang berkelip dalam rohnya. Percikan itu tidak akan bertahan lama sebelum hilang dan kemudian dia akan mati.
Saluran Qi Meng Hao telah hancur dan tubuhnya tidak mempunyai kekuatan untuk terus bernyawa. Teras lautnya bagaikan sudah benar-benar mengering.
Namun, dia tidak sanggup dan dia tidak rela mati. Sayangnya, ini adat dunia Pertapaan. Dia tidak mampu melawannya. Saat tubuhnya tenggelam lebih dalam, percikan kehidupan Meng Hao semakin lama semakin pudar. Segalanya sunyi dan percikan itu akan padam.
Gumpalan Qi mengalir keluar dari dalam Lautan Utara. Bunyi dengung mampu didengari dan jauh di dalam air, gelombang mengalir keluar untuk mengelilingi Meng Hao. Tiba-tiba, tubuhnya mulai bersinar.
Ketika cahaya mula tersebar, tenaga rohani dari Lautan Utara mengalir ke dalam tubuh Meng Hao dari semua arah dan memperbaiki saluran Qi-nya. Darah berwarna ungu keluar dari lubang dan pori-porinya.
Semua kerosakan disebabkan oleh Qi Ungu dari Timur telah diperbaiki dan setiap kecederaan yang yang dialaminya telah disembuhkan ketika tenaga rohani dari Lautan Utara mengalir ke dalam tubuhya.
Satu bunyi letupan kedengaran dari dalam dirinya apabila saluran Qi Meng Hao mula mengalir semula. Tubuhnya yang tak bernyawa telah berubah dan dalam sekelip mata sahaja, dia hidup kembali.
Bunyi guruh kedengaran ketika sejumlah besar tenaga rohani mengalir ke Teras lautnya. Sekali lagi teras lautnya beralun tanpa batas. Dia masih di tahap kelapan Pemekatan Qi, tetapi dia dapat membuat kemajuan yang sangat ketara dan tahap kekuatannya saat ini hampir sama dengan seseorang di tahap kesembilan Pemekatan Qi.
Dalam Teras lautnya, Teras Syaitannya beralun dan mengalirkan aura Syaitan. Ia mula menyerap semua Qi Syaitan yang telah dikumpulkan Meng Hao. Aura Syaitannya berkembang lebih kuat dan lebih cerah.
Akhirnya, Meng Hao membuka matanya.
Dia kelihatan tenang. Dia tidak bersemangat atau hairan. Dia sengaja memilih Lautan Utara sebagai tempat pertarungannya. Itu semua pertaruhan dan dengan harapan Syaitan Lautan Utara akan membantunya.
Apabila dia membuka matanya, Meng Hao meluruskan tubuhnya. Hanya ada air di bawah kakinya dan walaupun dia tidak begitu jauh, dia dapat melihat dasar tasik. Semuanya gelap gelita. Namun, kerana pasir berwarna perak yang bertaburan, terdapat sedikit cahaya yang samar-samar menerangi sekitarnya.
Dalam air keruh, Meng Hao mampu melihat sebuah kapal.
Kapal tersebut usang lalu tenggelam di dasar tasik. Meng Hao tiba-tiba sedar dia mengenali kapal ini. Itu... kapal yang pernah dinaikinya pada hari itu ketika dia menyeberangi tasik ini!
Dia merenung kapal itu tanpa berkata apa-apa, lalu memberi salam tumbuk hormat dan membongkok hormat.
Malahan ketika dia membongkok, dia dapat mendengar ketawa seorang gadis muda bergema di dasar tasik. Ketawa itu kedengaran dimana-mana sahaja, membuatkan Meng Hao tidak dapat mencari sumbernya. Meng Hao mengecilkan matanya dan menatap dasar tasik.
Ketika gelak ketawa kedengaran, dia melihat satu lengan muncul dari pasir perak di dasar tasik itu. Tangannya putih bagaikan jed. Seiring dengan lengan itu muncul timbunan mayat. Mayat tersebut ialah beberapa wanita muda yang terapung dari pasir perak.
Rambut hitam mengelus wajah mereka ketika mereka timbul dari dasar tasik. Mata mereka tertutup dan wajah mereka kelihatan pucat tetapi rupawan. Di tengah-tengah air tasik yang beralun itu, Meng Hao berasa hairan ketika dia menyedari semua wanita... kelihatan serupa!
Pada masa yang sama, seorang gadis kecil muncul dan berdiri di atas kapal yang usang itu. Dia tersenyum tersipu-sipu pada Meng Hao. Dia kelihatan dipenuhi dengan kepolosan seperti anak kecil, tetapi ketika Meng Hao memandangnya, kepalanya mula berpusing dan dia mendengar tempikan di dalam kepalanya.
Dia baru sahaja perasan wajah mayat itu sangat mirip dengan wajah gadis ini, seolah-olah mereka ialah perempuan itu setelah dia dewasa!
"Abang, mahukah kamu tinggal bersama saya di sini selama-lamanya?" kata gadis kecil itu sambil ketawa kecil. Suaranya masih muda dan ketika dia berbicara, belasan mayat yang melayang di sekitarnya berhenti bergerak. Walaupun mata mereka tertutup, Meng Hao terasa bagaikan mereka semua merenung terus ke arahnya.
Fikiran Meng Hao berpusing dan bunyi menderu memenuhi fikirannya. Segala-gala yang ada di hadapannya mula menjadi suram dan kemudian hancur.
Tiba-tiba, matanya terbuka. Dia masih terapung di dalam tasik yang agak jauh dari dasar tasik dan lebih jauh dari yang baru sahaja dia pergi. Apakah semua itu hanya mimpi? Tidak ada kapal, tidak ada mayat, dan tidak ada gadis kecil yang ketawa.
Meng Hao terkaku. Setelah beberapa saat, dia sedar tubuhnya telah disembuhkan. Dia menundukkan sedikit kepalanya kepada dasar tasik yang jauh darinya, meskipun dia tidak mampu melihat apa-apa pun di sana.
Dia tahu semua yang baru saja dilihatnya bukanlah ilusi. Semua itu nyata!
Dia mengangkat tangannya dan membongkok dengan salam tumbuk hormat.
"Aku akan selalu mengingati dua kebaikan kamu. Aku mengandaikan kamu ingin menjadi lautan dan inilah yang paling penting bagi kamu. Aku, Meng Hao dari generasi muda berjanji suatu hari nanti, ketika asas Pertapaan aku tinggi melangit, aku akan datang membantu kamu. Jika ada cara lain yang mampu aku lakukan, tolong beritahu aku." Meng Hao membongkok hormat lagi selama sepuluh saat. Kesunyian memenuhi setiap sudut.
Dia menegakkan belakangnya. Dia melihat ke bawah untuk kali terakhir lalu memecut ke permukaan tasik.
Ketika Meng Hao mula bergerak ke permukaan, dua pedang kayunya yang telah tenggelam di dalam air mula bergetar. Kemudian, kedua-dua pedang tersebut bergerak ke arah Meng Hao.
Salah satu pedang baru sahaja dikesan oleh Ding Xin. Matanya bercahaya ketika dia menggapai untuk mengambil pedang itu. Namun, kemudian pedang itu mula bergerak. Gelombang tersebar daripadanya dan kemudian dalam sekelip mata, gelombang itu bergerak jauh.
Ketika Ding Xin melihat perkara yang terjadi, dia berasa sangat terkejut. Tanpa ragu-ragu, dia berlari mengejarnya.
"Khazanah ini hidup!" fikir Ding Xin. Jantungnya mula berdebar kencang saat dia dengan memecut lebih cepat dengan penuh semangat untuk memintas pedang kayu itu.
Meng Hao menelusuri Lautan Utara dengan laju dan bergerak lebih pantas. Teras laut di dalam dirinya beralun dan bergelora sebelum dia melihat permukaan tasik. Dia keluar dari air lalu mengalirkan gelombang yang melanda ke semua arah.
Pada masa yang sama ketika dia bergerak keluar dari tasik, dua pedang kayunya muncul bersiung di udara dari arah yang berbeza semasa kedua-dua bilah terbang ke arahnya. Mereka mengelilinya dan salah satu daripada pedang kayu itu berada di bawah kakinya manakala yang satu lagi terbang di sebelahnya.
Ketika itu, Ding Xin meledak keluar dari tasik sambil matanya tertancap pada Meng Hao. Wajahnya kelihatan seperti tidak percaya. Bagaimana Meng Hao ... masih hidup?!
"Mustahil! Dia tidak berada di tahap Pengukuhan Asas. Tiada siapa yang dapat menahan Qi Ungu dari Timur yang sempurna daripada Sekta aku yang disokong dengan pengorbanan asas Pertapaan aku sendiri dan hayatku!!" Dia menjegil Meng Hao sambil berundur sedikit tetapi masih belum percaya dengan apa yang dilihatnya.
Mungkin dia tidak mahu percaya kerana pada masa ini dia tidak lagi berada di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Bahkan tahap kelapan Pemekatan Qi-nya agak tidak stabil. Luka di dadanya tidak sembuh dan tenaga rohaninya berterusan bocor. Dia bimbang dia mungkin akan segera turun daripada tahap kelapan Pemekatan Qi ke tahap ketujuh.
Wajahnya terus menjadi pucat. Namun, dia tidak seperti Qiu Shuihen dan yang lain. Meskipun dia terkejut melihat Meng Hao masih hidup, dia kembali tekad dalam sekelip mata. Tanpa teragak-agak, dia meluncur pergi dengan daun raksasa yang muncul di bawah kakinya dan membawanya pergi jauh. Dia tidak berlawan tetapi melarikan diri.
Dia tidak mempunyai pilihan selain daripada melarikan diri. Dia dapat mengagak Meng Hao pulih sepenuhnya dan asas Pertapaannya telah meningkat sedangkan dia sendiri menderita akibat kecederaan dalaman yang parah. Dia tidak mempunyai pilihan lain selain berundur.
Meng Hao memandang dingin ketika Ding Xin melarikan diri. Meng Hao tidak terus mengejar, tetapi sebaliknya memandang ke arah tasik sambil membuat salam tumbuk hormat.
"Aku akan ingat kebaikan ini sehingga akhir hayatku!" kata Meng Hao dengan suara yang berbisik. Kemudian, dia mengangkat kepalanya dan melibas lengan bajunya. Pedang di bawah kakinya berdengung dan dia berubah menjadi sinar cahaya semasa dia bergerak laju untuk mengejar Ding Xin.
"Mulai sekarang, pemburu pula diburu," katanya dengan mata yang dipenuhi dengan niat membunuh. Setelah meninggalkan Sekta Reliance, Meng Hao tidak pernah berkeinginan untuk membunuh sesiapapun seperti yang dia rasa terhadap Ding Xin sekarang. Kecuali mungkin Shangguan Xiu. Keinginannya untuk membunuh memenuhi matanya sehingga ia bersinar. Sepanjang Pertapaannya, dia belum pernah cedera parah. Bahkan, itu sebenarnya tidak dianggap sebagai cedera. Dia sudah ... terbunuh!
Satu sinar yang menyilaukan memenuhi matanya ketika dia berlari dalam pemburuan. Dalam sekelip mata, dia meninggalkan Lautan Utara. Setelah seketika, dia telah bertemu dengan Ding Xin yang sedang makan pil perubatan waluapun asas Pertapaannya terus menurun.
Meng Hao tidak berkata apa-apa. Sebaliknya, dia hanya mengangkat jarinya dan pedang kayu yang terbang di sebelahnya memecut ke hadapan mengejar Ding Xin. Ding Xin yang berwajah pucat menoleh ke belakang setelah menyedari kekuatan pedang yang aneh itu. Dia menepuk beg saktinya dan busur hitam panjang segera muncul di tangannya. Dia tidak mengendahkan tenaga rohaninya yang terus-menerus hilang lalu menarik busurnya dan menembak anak panah.
Anak panah itu bergemuruh ke arah pedang kayu. Ketika kedua-duanya bertembung, satu letupan kedengaran dan anak panah itu musnah. Pedang kayu itu bergegar.
Raut wajah Meng Hao kosong. Dia mengangkat jarinya sekali lagi dan pedang kayu sekali lagi memecut ke hadapan. Ding Xin yang serba pucat tidak mempunyai pilihan lain selain daripada melepaskan satu lagi anak panah.
Kedengaran sebuah letupan dan pedang kayu itu terus menyerang Ding Xin.
Mata Ding Xin menjadi merah. Adakah dia tidak sedar Meng Hao sedang membalas dendam dan berniat untuk menyusutkan asas Pertapaannya dan menyebabkannya berasa sangat letih?
Setelah turun daripada tahap kesembilan Pemekatan Qi, kecederaannya bertambah teruk. Dia sudah lemah, tetapi dia takut dengan pedang kayu tersebut. Maka, dia tidak dapat melakukan apa-apa selain daripada menggunakan anak panahnya untuk mempertahankan diri. Malangnya, keadaannya yang lemah telah menyebabkan anak panahnya turut lemah dan tidak mempunyai kekuatan seperti sebelumnya. Ketika dia menembak anak panahnya yang keenam, tubuhnya tiba-tiba menggeletar ketika asas Pertapaannya mula turun dengan mendadak daripada tahap kelapan Pemekatan Qi kepada tahap ketujuh.
Pedang kayu yang berada di hadapannya tiba-tiba menusuk dadanya. Lukanya tidak kritikal tetapi darah membuak-buak keluar. Ding Yin melepaskan jeritan sengsara dan cuba untuk melarikan diri dengan lebih cepat.
Tubuhnya menggeletar ketika dia merasakan tenaga rohani yang mengalir keluar lebih banyak daripadanya. Asas Pertapaannya yang goyah turun dengan cepat, daripada tahap kelapan Pemekatan Qi ke tahap ketujuh!
Sebenarnya, Asas Pertapaannya tidak merosot. Namun, dia kehilangan tenaga rohaninya dengan sangat cepat dan tanpa sebarang kesembuhan. Dia hilang tenaga rohani dengan begitu banyak sehingga tahap kekuatannya berada pada tahap ketujuh Pemekatan Qi.
Dia telah makan pil perubatan, tetapi malangnya kecederaan daripada kedua-dua pedang itu telah membocorkan tenaga rohaninya. Tiada cara baginya untuk sembuh pada masa ini.
"Aku pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung!" teriak Ding Xin dengan pekikan yang garang. "Jika kamu berani membunuh aku, Sekta Takdir Ungu Lembayung akan mencari dan memburu kamu meskipun memakan masa ratusan tahun! Mereka tidak akan berhenti sampai kamu mati!" Dia terdesak. Dia mengeluarkan jeritan yang menyeramkan ketika pedang kayu Meng Hao melepasinya. Pedang itu tidak menikamnya tetapi mencederakannya, lalu tenaga rohaninya hilang dengan lebih cepat.
"Aku dah mati sekali," kata Meng Hao selamba. Matanya dingin ketika dia melambai jarinya sekali lagi.
Masa berlalu. Satu jam telah berlalu dalam sekelip mata sahaja dan selama itulah tangisan sengsara Ding Xin terus kedengaran. Tubuhnya menjadi kaku dipenuhi dengan ratusan luka pedang. Dia bermandikan darah. Tiada satu pun daripada lukanya yang kritikal, tetapi dia mengeluarkan begitu banyak darah sehingga kelihatan seperti orang mati.
Ding Xin seorang Pertapa dan ketika pandangannya semakin kabur, perkara yang paling menakutkannya bukanlah lukanya pada badannya, tetapi tubuhnya yang menjadi bagaikan penapis. Tenaga rohaninya mengalir keluar darinya dengan sangat cepat sekali.
Tahap keenam Pemekatan Qi, yang kelima, yang keempat ...
…
Kedengaran letupan dan Ding Xin jatuh ke tanah sambil memuntahkan darah. Dia bergegas ke hadapan untuk melarikan diri sepantas yang boleh. Dia tidak lagi mampu melakukan apa-apa penerbangan. Asas Pertapaannya telah turun begitu rendah bagaikan dia berada di tahap ketiga Pemekatan Qi.
"Meng Hao, jika kamu membunuh aku, kamu akan dibunuh tanpa pengebumian yang sewajarnya! Aku pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung. Jika aku mati, itu akan menimbulkan masalah bagi seluruh Negeri Zhao. Jangan berani membunuh aku!" Tubuhnya menggeletar. Dia melawan perasaan takut di hatinya dan terbatuk lebih banyak darah.
Meng Hao menyambar daun terbang raksasa Ding Xin. Tanpa berkata apa-apa, dia menggerakkan jarinya sekali lagi dan pedang kayu itu meluncur ke arah Ding Xin.
Masa berlalu dengan pantas. Di tengah hutan sana, Ding Xin tidak lagi menyerupai pengikut daripada Sekta yang hebat. Dia menatap Meng Hao dengan mata yang dipenuhi dengan dendam. Namun, dalam dendam itu juga ada penyesalan. Dia menyesali keinginannya untuk melihat lawannya menggunakan Teras Syaitan. Sebaliknya, dia seharusnya tidak berlembut pada awalnya dan segera membunuh Meng Hao.
"Aku sepatutnya membunuh kamu dengan kejam!" katanya sambil menggertakkan giginya dengan dadanya yang berombak. Nampaknya, dia lebih tertarik menghamburkan kemarahannya daripada bernafas.
"Kamu tahu, kamu mengajar aku sesuatu," kata Meng Hao. Dia selesai membalas dendamnya. Tangannya diangkat dan pedang itu jatuh. Kepala Ding Xin terbang ke udara dan darah terpercik ke merata-rata tempat. Ia jatuh lalu berguling di tanah di bawah sepohon pokok besar.
Matanya masih penuh dengan rasa tidak percaya. Dia tidak boleh mempercayainya kerana dia pengikut daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung yang berada di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Dia adalah Yang Terpilih dan akan mencapai Pengukuhan Asas. Maka, dia akan benar-benar menjadi Yang Terpilih dan namanya bakal menggegarkan Wilayah Selatan.
Namun, di sini dia mati di Negeri Zhao terpencil, dibunuh oleh Meng Hao, seperti seekor serangga yang boleh dikawal dan dimusnahkan dengan mudah.
Meng Hao menutup matanya buat tempoh yang lama. Ini bukan kali pertama dia membunuh seseorang dan kali ini dia tidak beremosi. Dia sudah mati.
"Hari itu semasa aku bertemu dengan Yan Ziguo, aku sepatutnya membunuh dia dan juga semua orang yang bersamanya." Matanya penuh dengan keazaman. Dia sekarang merasai akibat daripada keraguannya ketika itu, semasa dia memiliki kesempatan untuk membunuh Yan Ziguo.
"Aku tidak mahu mati untuk kali kedua." Dia mengangkat tangan kanannya dan membuat isyarat memanggil. Beg sakti Ding Xin terbang ke arahnya. Kemudian, dia melibas lengan bajunya dan Ular Sawa Berapi muncul. Ia memakan tubuh dan kepala Ding Xin sehingga menjadi abu.
Meng Hao berpaling dan berlalu pergi.
Pada suatu petang, salji mula turun dari langit semasa dia berjalan kejauhan. Salji menutupi diri, jejak kakinya dan bau darah. Salji menemaninya semasa dia semakin jauh berjalan.
"Akulah salji semasa musim sejuk. Jika aku terlalu dekat dengan musim panas, maka ... musim panas akan mencairkan aku. Itu bukanlah dunia salji, juga bukan dunia aku." Meng Hao menghilang kejauhan. Dia kelihatan seperti seorang sarjana, tetapi jauh di lubuk hatinya, dia sedingin salju.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT