Negeri Zhao terletak di bahagian selatan Wilayah Selatan yang bersambung dengan benua kecil Barat. Kedua-dua daerah ini sebahagian daripada tanah Syurga Selatan yang dipisahkan oleh Laut Bimasakti dan berkemungkinan pada masa dulu, tanah Syurga Selatan tidak terpisah seperti ini.
Bagi menjelaskan lagi keadaan ini, Negeri Zhao berada di tepi Wilayah Selatan yang terletak jauh dari laut. Hanya dengan melepasi banyak gunung, barulah Laut Bimasakti dapat dilihat.
Negeri Zhao tidaklah terlalu besar dan padat. Namun, ibu kota itu merupakan tempat yang sibuk. Meskipun udara petang dipenuhi dengan salji yang turun, rumah disinari dengan cahaya tanglung yang menghangatkan seisi warga di dalam.
Sesiapa yang tidak memiliki rumah dan berjalan-jalan di malam yang bersalji akan berasa kesepian yang tidak terungkap.
Meng Hao berjalan menyelusuri jalan di bawah dada langit yang gelap. Ramai orang yang biasanya dapat dilihat pada siang hari tidak kelihatan. Sesiapapun yang bergerak pasti memakai topi buluh yang lebar dan menundukkan kepala ketika mereka bergegas berjalan.
Melihat jauh ke hadapan, Meng Hao hanya dapat melihat bentuk bangunan yang besar dan terkemuka. Ia sebuah menara pagoda.
Menara Tang.
Ketinggiannya mencecah hampir tiga ratus meter dan ia kelihatan seperti gunung yang mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang berada di dalam kota. Salji mengelilinginya tetapi tidak dapat menyembunyikan bukti penjagaan istimewa yang dilakukan oleh Raja Zhao, para sarjana dan lain-lain yang telah membinanya.
Ia menghadap Tanah Timur, Tang Besar dan Chang'an.
Meng Hao belum pernah melihat ibu kota ataupun Menara Tang sebelum ini. Tetapi ketika dia berjalan menyelusuri jalan ke sana, dia tahu di sebalik rasa keraguannya... ini pasti Menara Tang.
Dia selalu membayangkan suatu hari nanti dia akan menjadi pegawai kerajaan dan kemudian dia akan mendaki ke puncak dan merenung jauh merentasi seluruh kawasan.
Dia memandang Menara Tang yang terletak di tengah-tengah salji yang turun. Masa pun berlalu.
"Sebelum ibu dan ayah menghilang," gumamnya pada dirinya sendiri, "angin ungu bertiup di luar. Orang mengatakan itu petanda baik dan makhluk cakerawala muncul di langit..." Dia berjalan ke hadapan dan merenung Menara Tang.
Dia berfikir tentang semua yang terjadi pada malam itu dan tidak boleh melupakannya. Pada malam itu, dia kehilangan masa mudanya. Sejak malam itu, dia tidak lagi memiliki ayah dan ibu untuk bergantung. Bermula saat itulah dia mula menjadi kuat.
Itulah detik dia mula bercita-cita ke Tanah Timur, Tang Besar!
Khabar angin tersebar mengatakan orang tuanya meninggal tetapi Meng Hao tahu mereka hanya hilang. Mereka berada di suatu tempat di luar sana. Dia tidak akan melupakan jubah ungu yang dipakai ayahnya pada malam itu ketika dia berdiri di sebelah tingkap sambil memandang angin ungu. Dia juga tidak akan melupakan bagaimana ayahnya menatap ke arahnya dengan tatapan mata yang terganggu.
Dia tidak akan pernah melupakan malam itu ataupun suara perlahan ibunya yang menangis.
Dia tidak pernah menceritakan kisah ini kepada sesiapapun tetapi telah menyimpannya jauh di dalam lubuk hatinya.
Ketika Menara Tang semakin hampir, dia tertanya-tanya kenapa dia tiba-tiba memikirkan hal sebegitu daripada masa lalu. Dia mengeluh. Keluhannya pecah berkeping-keping dalam angin bersalji. Keluhan itu tidak meninggalkan ibu kota, Negeri Zhao ataupun Wilayah Selatan. Ia juga tidak akan melintasi Laut Bima Sakti ataupun sampai ke Chang'an.
"Mungkin kerana ibu selalu bercakap tentang Tang Besar," gumamnya. "Dia memberitahu aku di ibu kota setiap negara terdapat Menara Tang dan orang mengatakan menara itu merupakan tempat yang paling dekat dengan Chang'an tanpa perlu berada di sana."
Semasa dia menghampiri kawasan yang mengelilingi Menara Tang, dia memandang ke atas.
Salji turun dalam kepingan tebal dan angin musim sejuk membisik di sekelilingnya. Semakin banyak salji di atas menara. Dari tempat dia berdiri, dia boleh melihat dengan jelas ia dibina dengan baik sekali. Asasnya mempunyai lapan sisi dan menegak seperti pagoda besar.
Ia dibina daripada bahan hijau dan kelihatan seperti yang dibayangkannya.
Walaupun keadaan bersalji, askar berkawal di sekitar sempadannya. Kawasan ini hanya boleh dimasuki oleh pegawai berpangkat tinggi dan orang yang berkuasa untuk menawarkan korban dan melaksanakan upacara.
Namun, tentera biasa tidak sedar ketika tubuh Meng Hao berlalu dan memasuki menara tersebut.
Satu tangga kuno melengkuk dibina di dalam, tangga demi tangga menjangkau ke atas. Dindingnya diukir dengan lukisan berwarna cerah yang menggambarkan Tanah Timur, Tang Besar dan Chang'an.
"Aku ingat lagi cerita ibu tentang Tang Besar kepadaku. Waktu itu aku sangat kecil, aku tidak begitu faham apa yang ibu katakan. Tetapi apabila aku terfikir semula, cara ibu menggambarkan Tanah Timur, Tang Besar dan Chang'an... seolah-olah dia telah melihatnya dengan mata sendiri. Jika tidak, bagaimana dia boleh menggambarkan semuanya dengan sangat terperinci? Seperti ukiran ini." Dia memeriksanya sambil menaiki tangga. Akhirnya, dia sampai ke puncak menara dan penghujung ukiran. Ukiran tersebut menggambarkan kehidupan dan budaya, pemandangan yang indah dan kisah legenda yang menakjubkan dengan tidak terhitung jumlahnya. Semuanya sangat menyentuh perasaan dan memberi ilham.
Di luar, salji bertebaran di udara dan diterpa angin kencang lalu menebal di atas menara. Meng Hao menarik nafas dalam-dalam dan memandang jauh. Satu-satunya yang boleh dilihatnya ialah salji. Dia tidak dapat melihat Tanah Timur, Tang Besar, atau Chang'an.
"Jadi kita tidak dapat melihat Chang'an dari sini," dia merungut secara senyap. Dia berdiri di sana dengan diam, benar-benar asyik dengan apa yang sedang difikirkannya. Dia bukan seorang pegawai kerajaan untuk menawarkan pengorbanan ke langit di sini. Dia seorang Petapa dari tahap kelapan Pemekatan Qi.
"Aku melalui jalan yang berbeza daripada sebelumnya tetapi menuju arah yang sama." Angin meniup rambutnya dan salji melekat padanya tanpa mencair seperti mengalu-alukan hidupnya; bagaikan dirinya salji.
Setelah beberapa ketika, dia duduk bersila dan mula bermeditasi dengan tenang.
Pada waktu malam, salji turun lebih lebat. Lampu bersinar di dalam rumah di ibu kota. Dari atas Menara Tang, semuanya menjadi gelap dan sunyi. Dalam kegelapan yang sunyi, Meng Hao boleh melihat dirinya bertahun-tahun yang lalu, lantas membawanya kembali ke Daerah Yunjie di tengah-tengah salji.
Malam bersalji perlahan-lahan berlalu.
Apabila fajar menyingsing, Meng Hao membuka matanya. Sukar untuk mengatakan sama ada dia melirik matahari terbit ataupun matahari terbit meliriknya terlebih dahulu.
Kota ini hidup tatkala fajar tiba. Tidak lama kemudian, jalan dipenuhi ramai orang. Meng Hao melihat dunia fana yang terbentang di hadapannya.
Dia memerhatikan dengan senyap sehingga berlabuhnya malam. Waktu fajar menyingsing. Satu hari, dua hari, tiga hari.
Selama tujuh hari, Meng Hao menatap segala-galanya. Pada mulanya, matanya nampak redup dan lemah tetapi menjadi ceria dan akhirnya menjadi tenang.
Sesuatu telah berubah dalam fikirannya. Dia telah mencapai makrifat mengenai kehidupan itu sendiri. Pada waktu subuh hari kelapan, dia memandang ke bawah untuk melihat para pegawai dan tentera tiba di Menara Tang untuk melakukan upacara. Seorang lelaki pertengahan umur berdiri di sana memakai jubah emas. Di belakangnya terdapat ramai orang, berdiri dengan kemas dalam formasi. Dia menawarkan pengorbanan ke langit dan bumi seperti yang dilakukan ramai orang awam di seluruh kota.
Meng Hao berdiri ketika mereka mula tunduk ke langit. Dia meninggalkan menara untuk mengelakkan penghormatan mereka. Dia melangkah ke atas kipas yang berharga lalu meluncur ke hadapan kerana sudah tiba masanya untuk dia pergi. Ketika dia bersiap untuk pergi, dia melihat kembali ke menara sekali lagi.
Semasa dia melihatnya, matanya membulat.
Dia melihat ramai orang menyembah sujud di luar Menara Tang yang kemudiannya mula bersinar lembut. Itu ialah cahaya berkilauan yang tidak boleh dilihat oleh manusia, tetapi boleh dilihat oleh seseorang yang dipenuhi dengan tenaga rohani.
Cahaya itu bergerak ke atas menyebabkan awan mendung di mana pusaran yang besar muncul. Ini juga tidak dapat dilihat oleh mata manusia tetapi bukan Meng Hao. Dia dapat melihat pusaran dengan jelas menyebabkannya menarik nafas. Dia kelihatan goyah.
Di dalam pusaran tersebut, dia dapat melihat timbunan tulang dan abu mayat yang tidak berkesudahan yang penuh dengan aura mengerikan dan berkilauan serta berkabus hitam. Dia tidak dapat melihat banyak butiran terperinci tetapi dapat merasakan suasana yang misteri dan mengerikan.
Fikirannya terganggu terutamanya ketika dia menyedari di dalam pusaran kabus hitam terdapat keranda besar. Di tengah-tengah abu mayat, kelihatan mayat yang mengecut duduk bersila di sebelah keranda. Tiba-tiba, mayat tersebut membuka matanya. Matanya berwarna kelabu seperti abu dan di dalamnya terdapat tujuh titik cahaya redup berputar seperti bintang. Pandangan mayat itu meluncur keluar dari dalam pusaran terus kepada Meng Hao.
Jantungnya berdebar-debar dan tanpa disedari, dia memejamkan matanya ketika merasakan rasa tusukan sakit di dalamnya. Rasanya seolah-olah tujuh bintang akan muncul di dalam matanya sendiri, sama seperti yang ada pada mata kelabu itu.
Tiba-tiba, kedutan muncul di tubuhnya dan kabus hitam yang mengerikan mula merembes keluar dari liang-liang romanya.
Meng Hao berasa sangat terkejut dan berundur dengan serta-merta. Pada masa yang sama, pusaran itu tiba-tiba disedut ke dalam awan. Perasaan sedih yang dialami itu lenyap dan semuanya kembali normal. Seolah-olah apa yang baru sahaja dilihatnya hanyalah halusinasi.
Namun, tubuhnya masih berkedut dan gumpalan samar aura kematian terus merembes keluar dari dirinya. Riak wajahnya berubah beberapa kali. Dia memandang Menara Tang. Cahaya itu sudah tiada tetapi orang ramai terus melakukan penghormatan. Wajahnya menjadi gelap dan tanpa ragu-ragu dia menggunakan kipas yang berharga itu sehingga had maksimumnya. Tubuhnya berubah menjadi aliran cahaya dan dia menghilang di kejauhan.
Dia melangkah keluar dari ibu kota sambil memandang ke arah Menara Tang beberapa kali. Matanya mengimbas langit dan keraguan mula muncul dalam hatinya.
"Ini tidak mungkin halusinasi... Menara Tang... apakah tempat itu sebenarnya? Pada mulanya aku fikir ia merupakan tempat manusia tetapi itu sememangnya tidak benar! Tempat apakah di dalam pusaran itu...? Abu mayat, aura kematian dan semua tulang itu..." Kepalanya menjadi pening ketika memikirkan mayat yang dilihatnya di tengah-tengah abu mayat.
Matanya tidak berperasaan, suram dan mengerikan terutama tujuh bintang di dalam anak matanya yang kelabu. Ketika dia memikirkan hal ini, tubuhnya menjadi dingin dan mengeluarkan peluh.
"Keranda... itu." Meng Hao menarik nafas dalam dan matanya dipenuhi ketakutan.
"Siapakah yang berada di dalam keranda itu dan mengapa ia tiba-tiba muncul di dalam pusaran. Kenapa...? Adakah ia berkaitan dengan Menara Tang...? Adakah itu ada kaitan dengan Tang Besar di Tanah Timur?" Meng Hao berfikir dengan teliti sambil melihat kembali ke arah Menara Tang. Perasaan kagum dalam dirinya semakin kuat. Dia menarik nafas dalam sekali lagi lalu meluncur ke hadapan sebelum jatuh ke tanah dan berlari.
Dia mula terfikir dilihat oleh mayat dalam pusaran… ialah satu malapetaka....
Ibu kota kelihatan semakin jauh. Telah lama waktu berlalu dan selama itulah Meng Hao menolak perasaan takut yang bergetar di dalam hatinya. Dia mengerutkan kening sambil meneliti tubuhnya yang berkedut-kedut walhal sebelum ini dia agak kurus, tetapi sekarang dia telah menjadi kurus kering.
Masalah itu merupakan perkara kedua yang membimbangkan Meng Hao. Tubuhnya terus-menerus memancarkan kabus hitam seolah-olah dirinya terus terbakar walaupun dia cuba untuk menghindarinya. Kabus itu melayang tinggi ke udara, membolehkan sesiapa yang berdekatan dapat mengetahui kedudukannya dengan jelas.
"Tubuh aku terus berhenti berkedut tetapi aura hitam yang pelik ini tidak berhenti. Aku nampak terlalu menonjol...." Dia terbang ke hadapan secepat mungkin sambil berusaha mencari tempat untuk bersembunyi di pergunungan. Setelah kabus hitam itu hilang, dia akan keluar semula.
Dua jam kemudian, dia duduk dalam keadaan marah di kawasan pergunungan yang terpencil. Setelah memencilkan diri dalam Gua Dewa, dia mendapati kabus hitam itu boleh menembusi beberapa objek.
"Celaka, berapa lama kabus ini akan terus memancarkan kabus hitam ini?" Dia menggertakkan giginya dan tidak berani berhenti di mana-mana. Jika dia berhenti, kabus itu akan terus berkumpul di atasnya dan dia akan mudah dilihat sesiapapun. Siapa pun yang melihatnya pasti akan berfikir terdapat barang khazanah berhampiran dengannya.
Meng Hao mengerutkan kening lalu bergerak lebih dalam ke arah pergunungan. Dia terus bergerak ke hadapan secepat mungkin. Apabila tenaga rohaninya habis, dia akan makan pil perubatan. Hanya dengan cara ini dia dapat mencegah aura hitam itu berkumpul bersamanya. Sekurang-kurangnya, aura itu tidak mudah dilihat bila tersebar nipis, meskipun masih terapung di langit.
Tujuh hari telah berlalu dan Meng Hao berasa takut serta penat kerana tidak berpeluang untuk berehat. Kabus tak berguna itu berwarna hitam di siang hari lalu bersinar putih pada waktu malam.
Selepas hari ketujuh, dia mendapati jumlah kabus yang menghilang daripada tubuhnya itu menjadi semakin lemah. Dalam anggarannya, hampir sebulan diperlukan untuk menghilangkan kabus hitam itu sepenuhnya.
Dia tidak berani untuk tinggal lama di dalam gua kerana dia mungkin akan menarik perhatian. Dia tidak pasti sama ada pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung telah pergi ataupun tidak. Oleh itu, dia tidak mempunyai apa-apa pilihan melainkan terus bergerak ke hadapan.
Pada hari tertentu, dia duduk bersila di atas kipas yang disayanginya dan terbang meredah hutan. Tiba-tiba, dia mengangkat kepalanya dan matanya berkedip. Dari jauh, dia dapat melihat empat susuk yang memecut laju ke arahnya.
Dengan kening berkerut, dia berhenti terbang lalu turun ke tanah. Dia menepuk beg saktinya lalu pedang terbang muncul. Meng Hao masuk ke dalam lubang yang baru sahaja dibuatnya menggunakan pedang sakti.
Dia telah mencuba kaedah ini sebelum ini dan mendapati kabus itu tidak menembusi pokok tersebut. Walau bagaimanapun, setelah kira-kira sepuluh nafas, pokok itu akan layu.
Dia telah melakukan perkara ini beberapa kali dalam seminggu yang lalu untuk mengelak daripada dikesan oleh Pertapa yang lain.
Dia duduk di dalam lubang pada pokok sambil menunggu empat orang tersebut pergi. Malangnya, mereka tidak hanya melewati kawasan tersebut tetapi berhenti dan mula mencari dengan teliti. Salah seorang daripada mereka ialah seorang pemuda berjubah ungu. Raut wajahnya bersahaja ketika dia melompat ke atas pokok dan kekuatan asas Pertapaannya terpancar. Dalam tangannya, ada sebiji mutiara putih.
Aura hitam yang telah dikeluarkan Meng Hao terus disedut ke dalam mutiara putih yang mula menjadi hitam.
Jantung Meng Hao mula berdegup kencang ketika dia melihat kejadian ini.
Kumpulan itu terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang wanita. Wanita tersebut memakai skirt labuh dan agak cantik. Terdapat pandangan misteri berkilauan pada matanya yang mungkin orang lain gambarkan sebagai syaitan. "Bila difikirkan semula, hal ini sangat pelik," katanya. "Sejak akhir-akhir ini, aura kematian yang tebal ini selalu muncul di pergunungan."
Kedua-dua orang lelaki yang berdiri di sampingnya mengerutkan kening sambil memandang sekeliling hutan.
"Apapun sebabnya, kita mesti pergi setelah kita selesai menyerap aura ini," kata salah seorang lelaki yang kedengaran agak berdebar. "Apapun sebabnya, ini sesuatu yang sangat pelik. Mungkin lebih baik jika kita tidak mengetahui benda itu sebenarnya."
"Apa yang kamu takutkan?" kata perempuan itu sambil tersenyum. Dia memandang pemuda berjubah ungu dengan pandangan yang mempesonakan dan matanya bersinar menawan. "Dengan adanya Abang Yan di sini, kita selamat daripada sebarang bahaya. Dia pengikut Sekta Dalaman daripada tahap kelapan Pemekatan Qi. Dia boleh mencegah bencana dan siapa tahu, mungkin kita akan bernasib baik. "
Pemuda dengan mutiara tersebut mempunyai tahap kelapan Pemekatan Qi dan jelas dia ialah ketua. Manakala yang lain semuanya berada di tahap keenam.
Mutiara itu tidak mengambil masa yang lama untuk menyerap kesemua aura hitam tersebut. Sekarang, mutiara itu menjadi gelap dan kelihatan seperti tidak dapat menyerap lagi. Meng Hao duduk di sana, memerhatikan mereka sambil mengelamun.
"Jom pergi," kata pemuda bernama Yan. Dia melibaskan lengan bajunya yang lebar lalu mereka berempat mula berjalan. Pada saat ini, Meng Hao mengerutkan kening. Mereka mengambil masa yang lama menyebabkannya kesuntukan masa. Aura hitam baru mula meresap keluar dari atas pokok.
Sebaik sahaja aura itu muncul, lelaki yang bernama Yan berpaling dan memandangnya dengan mata yang berkelip.
Meng Hao menghela nafas lega dan kemudian keluar dari dalam pokok. Dia melibas lengan bajunya dan meluncur secepat mungkin.
Penampilannya mengejutkan empat orang tersebut, begitu juga dengan aura hitam yang dipancarkannya. Pemuda yang bernama Yan itu merenungnya.
"Rakan Taois, sila berdiri di belakang sebentar," dia menyeru. Tangannya memancarkan tanda mantera. Dalam sekelip mata, angin hitam muncul dan membentuk tengkorak hodoh yang menyeringai. Tengkorak itu membuka rahangnya dan melantun ke arah Meng Hao.
Dia menyuruh Meng Hao berhenti. Namun, tengkorak ini memiliki kuasa penuh tahap Pemekatan Qi kelapan dan bergerak sepantas kilat dengan kekuatan yang luar biasa.
Pada masa yang sama, dua orang lelaki yang lain dan wanita tersebut menyerang dengan mata berkilauan. Dua bilah pedang terbang dan gelang jed berubah menjadi sinar cahaya yang menembak terus ke arah Meng Hao. Gelang jed wanita itu mengeluarkan suara berdengung ketika terbang di udara lalu membesar dan bersedia untuk menghancurkannya.
Meng Hao mengerutkan dahi. Anginnya tidak baik sebelum ini kerana terlalu geram dengan aura hitam itu. Pada waktu ini, mereka telah membangkitkan semangat membunuh yang kuat dalam dirinya. Dia terus mendengus dingin.
Tangan kanannya diangkat dan Ular Sawa Berapi yang panjangnya dua puluh atau tiga puluh meter menderu muncul. Ia meluncur ke arah empat barang sakti yang bergerak ke arahnya lalu memancarkan haba yang sangat panas.
Ledakan meletus di udara. Gelang jed hancur dan dua bilah pedang terbang lebur. Tengkorak itu hilang disebabkan oleh perlanggaran yang berlaku. Ular Sawa Berapi meraung dan kemudian menghilang.
"Tahap kelapan Pemekatan Qi!" kata wanita itu. Kedua-dua pemuda di sebelahnya termengah-mengah dengan pandangan yang tajam. Pertapa yang bernama Yan mengambil langkah ke hadapan sambil merenung tajam ke arah Meng Hao.
"Aku Yan Ziguo, pengikut daripada Sekta Badai Salju," katanya dengan dingin dan matanya berkedip seperti kilat. "Rakan Taois, kamu tidak perlu pergi terburu-buru. Bolehkah kamu jelaskan mengenai aura kematian tebal yang berasal dari tubuh kamu?" Meng Hao berada di tahap kelapan Pemekatan Qi dan begitu juga Yan Ziguo, jadi dia juga bercakap dengan suara yang dingin.
Meng Hao membalas renungan dinginnya dan tidak berkata apa-apa. Dia menepuk beg saktinya dan sekelip mata kipas yang berharganya muncul. Dia meluncur dengan pantas. Yan Ziguo memandang kipas itu dengan kehairanan.
"Barang sakti yang membolehkannya terbang. Dia bukan daripada peringkat Pengukuhan Asas, jadi dia hanya boleh meluncur. Dia akan segera kembali ke tanah." Jantung Yan Ziguo mula berdegup lebih pantas. Kipas itu ialah barang sakti yang hanya diperoleh pengikut tahap kesembilan Pemekatan Qi dalam sekta. Dengan dengusan yang dingin, dia bertindak untuk mengejar. Tiga yang lainnya teragak-agak sebentar sebelum mengikutinya.
"Celaka!" kata Meng Hao dengan mata yang semakin dingin. Lawannya telah melihat kekuatan asas Pertapaan dan penggunaan sihirnya, ini amaran yang jelas. Namun, lawannya masih mengejar. Meng Hao berasa sangat kurang senang.
Tangannya bergerak dalam pola mantera kemudian dia menghalakan ke arah empat orang pengejar. Dalam sekelip mata, empat sinar cahaya ditembak dari empat bulu kipas tersebut. Empat sinar cahaya itu membelah udara seperti pedang terbang yang terus menuju ke arah empat orang di belakangnya.
Yan Ziguo mengecilkan matanya dan menepuk beg saktinya. Sebuah perisai kayu kecil sebesar telapak tangannya muncul. Ia berkembang dengan cepat menjadi sebesar saiz kepala ketika terbang ke depan untuk menyentuh bulu itu. Bunyi letupan dahsyat kedengaran ketika kedua-duanya berlanggar.
Tiga orang yang lainnya terkejut dan mereka berebut untuk mengeluarkan barangan sakti. Di tengah letupan seterusnya, mereka meludahkan darah dari mulut mereka dan berundur dalam ketakutan.
Ketiga-tiga bulu tersebut tidak rosak sama sekali. Meng Hao melambaikan jarinya dan bulu tersebut ditembak ke arah Yan Ziguo.
Wajah Yan Ziguo herot dan mulutnya melolong. Satu kabus hijau tiba-tiba keluar dari liang romanya dan seterusnya membentuk kabus tebal yang mengelilinginya dan berubah menjadi tengkorak raksasa hijau. Tengkorak raksasa hijau terus terbang menuju ke arah tiga bulu yang menuju ke arahnya.
Suara letupan kedengaran dan tengkoraknya musnah. Tiga bulu tersebut tidak lagi bersinar tetapi telah menjadi bengkang-bengkok. Tiga bulu itu terbang kembali ke arah Meng Hao.
"Aku beri amaran kepada kamu," kata Meng Hao dengan dingin, matanya berkedip, "jika kamu terus mengganggu aku...." Tanpa menyudahkan ayatnya, dia berpusing dan menghilang di kejauhan, tubuhnya bertukar menjadi sinaran prismatik.
Yan Ziguo tidak mengejar. Dia menjegil terhadap pengunduran Meng Hao, tangannya menggigil di dalam lengan bajunya. Meng Hao merupakan orang asing baginya. Namun, orang asing ini baru sahaja memaksanya untuk menggunakan sihir keselamatan.
"Kipas itu bukan hanya satu kurniaan khazanah untuk terbang, tetapi senjata yang kuat!" katanya pada diri sendiri sambil jantungnya berdegup kencang. Dia berpaling untuk melihat ketiga-tiga kawannya yang selekeh. "Adakah di antara kamu pernah mendengar tentang seseorang dari Negeri Zhao yang berada di tahap kelapan Pemekatan Qi dan memiliki kipas khazanah?"
"Seseorang yang sangat muda berada di tahap kelapan Pemekatan Qi pasti akan mencipta namanya sendiri di sini," kata salah seorang pengikut Sekta Angin Dingin. "Tapi aku tidak dapat memikirkan sesiapa pun dalam kalangan ketiga-tiga Sekta besar yang padan dengan gambaran yang dikatakan."
"Siapakah dia? Tidak mungkin dia Pertapa dari Negeri Zhao, kan?" Yan Ziguo mengerutkan kening, bahkan lebih tertarik kepada kipas khazanah Meng Hao.
"Abang Yan," kata pengikut perempuan itu yang kedengaran ragu-ragu. "Aku teringat ada seseorang pernah menyebut tentang kipas khazanah sekitar sebulan yang lalu. Dia ialah Abang Sun Hua daripada Sekta Aliran Berliku. Dia mengatakan beberapa pengikut daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung Wilayah Selatan melakukan satu pertukaran dengan pengikut Sekta Reliance bernama Meng Hao. Salah satu barangnya ialah kipas bulu."
Yan Ziguo kelihatan terkejut. Dia menepuk beg saktinya dan serpihan jed muncul di tangannya. Inilah barang yang diedarkan kepada pengikut Sekta Dalaman. Di dalamnya terdapat penggambaran Meng Hao yang dimeterai dengan arahan sesiapa yang bertembung dengannya akan mengetahui betapa kuatnya dia.
Arahan tersebut sudah beberapa bulan lalu, jadi Yan Ziguo hampir lupa tentangnya. Sambil mengimbas serpihan jed, dia melihat gambar wajah Meng Hao dari dekat dan dia pasti inilah orang yang sama ditembunginya tadi.
"Jadi inilah dia!" kata Yan Ziguo, matanya bersinar. Mulutnya tersenyum dingin. Dia baru sahaja hendak mengatakan sesuatu apabila tiba-tiba, tanah bergegar dan langit berubah menjadi merah. Sesuatu yang mengejutkan terjadi tidak terlalu jauh di Wilayah Selatan dan kesan sampingannya tersebar ke seluruh kawasan.
You may also Like
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT