Apabila Meng Hao bercakap, semuanya menjadi sunyi. Mata semua orang tertumpu kepada lembing waja yang terpacak dalam tanah.
Qian Shuihen ketawa dengan kuat sambil menunjukkan salam tumbuk hormat kepada Meng Hao.
"Jadi, Abang Meng bersedia untuk menjual khazanah ini. Aku, Qian, tidak akan membiarkan kamu kerugian." Dia mengeluarkan beg saktinya dan melemparkannya ke tanah. "Ini lima ratus Batu Rohani!" Kedengaran bunyi berdenting ketika lima ratus Batu Rohani muncul dan membentuk gunung kecil. Pengikut-pengikut Negeri Zhao yang berada di sebelah merasa terlalu seronok menyaksikan malapetaka yang menimpa Meng Hao. Lima ratus Batu Rohani bukanlah jumlah yang kecil, tetapi jumlah yang sangat besar. Jika dia menjual barang yang berharga dengan harga tersebut, dia akan menjadi bahan ketawa.
Bukan mereka sahaja yang memikirkan harga tersebut. Meng Hao turut mengerutkan kening. Apa yang membezakan antara Meng Hao dan pengikut-pengikut Negeri Zhao ialah pemikirannya. Menurut anggarannya, lembing waja itu mungkin bernilai dua keping perak. Untuk menukarkannya dengan lima ratus Batu Rohani bermaksud dia boleh mendapat untung yang besar.
"Kamu bergurau?" kata Lu Song. "Jangan cuba membuli Abang Meng. Kamu fikir kamu boleh membeli khazanah seperti itu dengan hanya dengan lima ratus Batu Rohani? Aku akan membelinya dengan harga seribu lima ratus Batu Rohani!" Sambil mendengus dingin dan melibas lengan bajunya, dia menghasilkan beg sakti. Lebih banyak bunyi berdenting kedengaran ketika seribu lima ratus Batu Rohani yang bersinar muncul, menghasilkan longgokan yang lebih tinggi daripada apa yang dimiliki Qian Shuihen. Itulah pemandangan indah yang membuatkan semua orang berdebar-debar dengan penuh harapan.
Jantung para pengikut Zhao berdebar kencang. Bagi mereka, seribu lima ratus Batu Rohani itu banyak. Meskipun mereka ialah pengikut daripada tiga Sekta besar, masih susah untuk mereka kumpulkan sebanyak itu. Mereka tercungap-cungap menyaksikannya. Bahkan Sun Hua kelihatan menggeletar dengan keinginan yang kuat. Zhou Kai yang berdiri di belakangnya kelihatan tercengang. Kekagumannya terhadap Meng Hao semakin kuat dan dia berasa menyesal dalam hatinya. Dia tidak sepatutnya memanggil nama Meng Hao sebentar tadi. Dia menghela nafas, menyedari kesilapannya yang menyebabkan Meng Hao terpaksa menjual khazanahnya.
"Adik Seguru Song betul-betul berani," kata Qian Shuihen sambil memandang Lu Song dengan dingin. Dia bertekad untuk mendapatkan khazanah itu. Setakat yang dia tahu, itulah tiketnya ke Sekta Dalaman dan dia tidak akan berputus asa tidak kira berapa pun harga yang dia perlu bayar. Sampai sekarang, lawan sebenarnya ialah Lu Song. Mereka berdua sememangnya tidak berbincang untuk mendapatkan lembing itu bersama.
"Kamu semua! Beri aku Batu Rohani kamu," kata Qian Shuihen sambil berpusing untuk melihat lima atau enam pengikut di belakangnya. "Setelah kita kembali ke Sekta, aku akan mencari cara untuk bayar balik." Tanpa ragu-ragu, mereka membuka beg sakti dan mengeluarkan semua Batu Rohani mereka
"Dua ribu seratus Batu Rohani," kata Qian Shuihen dengan tenang, seolah-olah dia tidak kisah. "Abang Meng, semua barang ini kepunyaan aku." Dia menatap Lu Song dengan dingin.
Wajah Lu Song berubah. Seribu lima ratus Batu Rohani yang ditawarkan telah dipinjam daripada segelintir pengikut di belakangnya. Melihat jumlah yang dihasilkan oleh Qian Shuihen dan Meng Hao yang kelihatan berat hati, Lu Song tiba-tiba menepuk beg saktinya.
"Abang Meng, saya tidak lagi mempunyai Batu Rohani. Tapi, saya mempunyai pil perubatan." Sebiji botol muncul di tangannya. "Berikut merupakan tiga Pil Air Syurga, sesuai untuk mana-mana Pertapa daripada tahap kelapan Pemekatan Qi atau lebih rendah. Ini ialah salah satu pil terbaik yang dihasilkan oleh Cawangan Toko Pil Pertapaan daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung kami. Setiap pil bernilai lima ratus Batu Rohani. "
Renungan tajam yang muncul di mata pengikut Negeri Zhao semakin menggerunkan. Mereka tahu betapa berharganya Pil Air Syurga.
Sun Hua bernafas lebih kencang. Dia telah mendengar Orang Lama daripada Sekta bercakap tentang Pil Air Syurga dan sedar itulah salah satu daripada tiga jenis pil yang paling berkesan dalam Wilayah Selatan bagi Pertapa Pemekatan Qi tahap kelapan. Bahkan di dalam Sekta Takdir Ungu Lembayung, anggota terkemuka daripada Sekta Luaran akan mengalami kesusahan untuk mendapatkannya.
Qian Shuihen mengerutkan kening, matanya terarah kepada Lu Song. Sambil mengetapkan rahangnya, dia menepuk beg sakti dan menghasilkan botol pil sendiri.
"Saya tidak mempunyai Pil Air Syurga," kata Qian Shuihen dengan penuh sensasi. "Tetapi, memandangkan Abang Meng berada di tahap ketujuh Pemekatan Qi, silalah terima tujuh Pil Rohani Bumi ini. Mereka diberikan kepada aku kerana perkhidmatanku dalam Sekta. Mereka sangat bersesuaian untuk tahap ketujuh Pemekatan Qi. "
"Aku juga mempunyai sedikit Pil Rohani Bumi," kata Lu Song sambil ketawa dingin. Dia melihat kembali para pengikut di belakangnya. Mereka mengetapkan gigi dan menghasilkan beg sakti lalu menyerahkan lebih daripada sepuluh Pil Rohani Bumi. Mata mereka menjadi merah sambil memandang Qian Shuihen dan kumpulannya.
"Abang Qian, lihat...." kata Meng Hao dengan malu-malu. Jantungnya berdegup kencang.
Wajah Qian Shuihen berubah ketika menyedari tawarannya tidak sepadan dengan tawaran Lu Song. Tetapi inilah kesempatannya untuk masuk ke dalam Sekta Dalaman. Dia tidak akan membiarkannya terlepas.
"Adik Seguru Lu, kamu memang bertekad untuk bersaing dengan aku hari ini, bukan? Baiklah!" Matanya berkedip tajam. Dia menepuk beg saktinya dan tiba-tiba sinar hitam muncul, lalu berubah menjadi satu ceracak hitam. Ia berkilauan seperti kilat dan menghasilkan bayangan yang banyak. Bayangan yang banyak itu berkumpul di tangan Qian Shuihen dan semuanya menjadi senyap.
Suasana menjadi gelap gelita dan tidak dapat dijelaskan.
"Abang Meng, ini ialah barang sakti yang diberikan kepada aku oleh Sekta. Barang ini disebut Ceracak Neraka. Rasanya dingin dan gelap. Jika barang sakti ini mencederakan lawan, lukanya akan membeku dan kesejukan yang melampau akan dirasai pada tubuh mereka." Qian Shuihen memaksa dirinya untuk mengabaikan hatinya yang sakit ketika bercakap.
Apabila ceracak itu muncul, para pengikut di belakang Qian Shuihen memandang dengan penuh iri hati. Raut wajah Lu Song berubah dan dia nampak tertekan. Dia tidak pernah membayangkan Qian Shuihen akan menawarkan ceracak hitam.
Mata Meng Hao terbuka luas dan jantungnya berdegup lebih kencang. Bukan hanya dia. Kedengaran bunyi riuh-rendah dalam kalangan pengikut-pengikut Negara Zhao yang berhampiran.
"Itulah Ceracak Neraka daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung. Aku pernah mendengar Orang Lama bercakap tentangnya. Hanya Sekta Takdir Ungu Lembayung yang memilikinya. Dikatakan terdapat hanya seratus lapan yang masih wujud dan setiap satu daripadanya sangat kuat."
Mulut Sun Hua kering dan pandanganya terpaku ke arah ceracak itu. Sesungguhnya dia berharap dia ialah Meng Hao supaya dia dapat memiliki khazanah tersebut.
Lu Song mengherotkan wajahnya. Dia menggertakkan giginya dengan marah lalu berfikir tentang peluangnya untuk menyertai Sekta Dalaman dan hanya ada satu tempat sahaja yang tersedia. Dia tidak akan berundur daripada kesempatan ini. Sambil menahan kekecewaan, dia menepuk beg saktinya lalu terhasillah satu khazanah.
Khazanah itu merupakan kipas berbulu yang terdiri daripada enam belas bulu pelbagai warna. Sebaik sahaja kipas itu muncul, kekuatan rohani yang mengejutkan terpancar dan menanamkan rasa takut ke dalam hati para penonton.
"Abang Meng, ini ialah khazanah aku yang paling berharga. Ini ialah Kipas Bima Sakti. Kamu langsung tak perlu berlatih dan kamu terus boleh menggunakannya. Sesiapa yang menggunakannya boleh terbang melayang dan bertukar saiz. Enam belas bulu ini boleh terbang untuk menyerang atau membentuk bulatan di sekeliling kamu sebagai perisai. Jadi, fungsinya ialah untuk menyerang dan bertahan. Ini bukan khazanah Sekta kami, tetapi sesuatu yang saya perolehi dengan nasib baik. Izinkan aku menawarkannya kepada kamu dalam urusan pertukaran ini, Rakan Taois." Mukanya dipenuhi ekspresi yang tidak menyenangkan, dan hatinya sedih kecewa. Tetapi, dalam persaingan dengan Qian Shuihen bagi mendapatkan tempat di Sekta Dalaman, dia harus teruskan tanpa ada rasa kesal.
Apabila kipas itu muncul, raut wajah Qian Shuihen berubah. Dia berundur dua langkah, matanya merah. Dia tahu khazanah ini sangat berharga. Menyerahkannya hampir seperti mempertaruhkan nyawa seseorang.
Pengikut Negeri Zhao kelihatan terkejut dan kepala mereka berdengung. Mereka mungkin tidak biasa melihat kipas tersebut, tetapi jelas barang itu sangat luar biasa hebatnya. Kipas itu memancarkan kekuatan rohani yang kuat membuatkan jantung mereka berdebar-debar kerana terkejut.
Mata Sun Hua terbeliak dan badannya menggigil seolah-olah dipenuhi dengan iri hati yang kuat.
Meng Hao menarik nafas dalam. Pada saat itu, dia sebenarnya tidak rasa gembira tetapi bimbang. Dia sudah menyinggung perasaan Si Aneh Song dan memikirkan dia akan membuat Sekta Takdir Ungu Lembayung tersinggung, dia berpeluh dingin. Nampaknya sama ada dia ingin menjualnya ataupun tidak... dia mesti melakukannya.
Pada ketika ini, penampilan, kerutan dahi, dan pandangan gelap di matanya membuatkan orang sekeliling yang menyaksikannya berfikir dia tidak melihat khazanah di depannya cukup berharga untuk dijual.
"Abang Meng, aku juga mempunyai Pil Melepasi Batas yang berguna pada tahap kesembilan Pemekatan Qi." Mengabaikan rasa sakit di hatinya, Qian Shuihen menepuk beg saktinya lalu menghasilkan satu botol pil. "Pil ni sangat berharga. Mana-mana Petapa dari tahap kesembilan Pemekatan Qi akan menjadi gila hanya dengan melihat satu pil. Meskipun tidak dapat dibandingkan dengan Pil Pengukuhan Asas, pil ini masih sangat berharga." Sewaktu bercakap, dia tidak melihat Meng Hao, tetapi melihat Lu Song.
"Lembing ini..." konflik bergolak di dalam hati Meng Hao. Dia mahu bercakap lebih banyak lagi, bila Lu Song tiba-tiba mengangkat kepalanya ke langit lalu ketawa dengan kuat. Dia mengangkat tangannya dan mengeluarkan kantung broked daripada jubahnya. Dia membalikkannya dan satu pil bulat tebal jatuh. Pil itu berwarna hitam tetapi tidak memancarkan sedikit pun kekuatan rohani. Namun, melihat bagaimana Lu Song memperlakukannya dengan sangat berhati-hati, pil itu memang jelas sejenis khazanah.
"Abang Meng, pil ini tidak boleh digunakan semula. Bahkan, ini ialah pil ajaib yang luar biasa. Bila kamu hancurkannya, pil ini akan berubah menjadi kala jengking hitam yang sangat beracun yang boleh mencederakan Pertapa tahap Pemekatan Qi kesembilan dan mungkin boleh membunuhnya. Pil ajaib ini diberikan kepada aku oleh puak aku. Nah, ambillah! " Mata Lu Song merah. Tetapi, mereka tidak melihat Meng Hao, melainkan Qian Shuihen. Dia menawarkan pil ajaib dalam proses pertukaran ini untuk mengancam Qian Shuihen, seolah-olah menjadi pemutus bagi siapa yang akan berjaya.
Raut wajah Qian Shuihen berubah dan matanya berkedip, penuh dengan niat membunuh. Tetapi dia cepat mengawal dirinya kemudian berkata dengan santai, "Mungkin kita berdua patut membuat pertukaran untuj khazanah itu, lalu membawanya kembali kepada Orang Lama Wu dan membiarkannya memutuskan apa yang patut dilakukan."
Lu Song tidak membalas. Dia sebenarnya tidak ingin menyerang. Jika dia berada di tempat terpencil di mana tiada yang melihat, mungkin dia akan melakukannya. Tetapi keadaan menjadi rumit dengan begitu ramai orang yang menonton. Dia hanya ingin mengugut Qian Shuihen. Setelah mendengar cadangan itu, dia mengangguk. Meskipun itu menyakitkan, apabila dia melihat Pil Melepasi Batas di tangan Qian Shuihen, dia hanya boleh mengetakkan rahangnya dan meletakkan pil ajaibnya dihadapannya.
Melihat keadaan ini, Qian Shuihen menjadi tenang. Tanpa meminta kepada Meng Hao, dia mengambil lembing waja dan meluncur pergi. Lu Song pergi bersamanya sambil memegang lembing. Mereka bergerak ke arah gerbang kota dan menatap antara satu sama lain dengan curiga.
Para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang lain segera mengikuti mereka dan menghilang melalui gerbang kota dan kejauhan pergi. Mereka kelihatannya menuju ke arah banjaran Gunung Perisai Negeri.
Jantung Meng Hao berdegup kencang. Tanpa ragu-ragu, dia melibas lengan bajunya dan mengumpulkan semua benda. Kemudian dia berpusing dan beredar secepat mungkin. Mata para pengikut Negeri Zhao berkilauan cerah, terutama mata Sun Hua. Matanya dipenuhi semangat dan dia bergerak untuk mengejar lalu menyerang Meng Hao. Tetapi Meng Hao melambai tangan kanannya dan kipas itu terbang lalu mendarat di bawah kakinya. Kelajuannya meningkat dengan cepat dan dia meluncur jauh.
Pada masa yang sama, seorang lelaki pertengahan usia yang duduk di tepi Tungku pil di dalam Astaka Ratusan Khazanah membuka matanya. Matanya menyala seperti cahaya ketika dia melihat Meng Hao menghilang.
"Para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung ini menjadi semakin teruk pada setiap generasi," katanya dengan dingin. "Mereka bodoh. Meskipun mereka tidak mempunyai Deria Kerohanian pada tahap Pengukuhan Asas, mereka masih boleh meneka benda itu tidak berguna."
Apabila mendengar hal ini, Qiao Ling dan gadis-gadis lain yang baru sahaja melihat semuanya berlaku kelihatan seperti tidak percaya.
"Itu hanyalah lembing waja," lelaki itu berkata perlahan. "Anggota muda daripada generasi junior yang bernama Meng, dia sendiri yang menyatakannya," Dia menutup matanya lagi.
Fikiran Meng Hao rasa sangat berkecamuk. Dia berdiri di atas kipas yang baru saja dia dapatkan dan menggunakan kekuatan rohani sebanyak yang dia mampu untuk melarikan diri dengan kelajuan yang tinggi. Dia takut jika dia sedikit lambat, dia akan diserang dan dirompak.
"Pertamanya aku telah menyinggung Si Aneh Song," keluh Meng Hao, "dan kemudian Sekta Takdir Ungu Lembayung... Tapi itu bukan salah aku, mereka memaksa aku untuk berdagang." Dalam fikirannya, dia tidak bersalah. Pada saat itu, dia tidak punya pilihan selain mendagangkan lembing itu.... Sambil mengeluh berulang kali, dia memaksa dirinya untuk bergerak lebih cepat, semakin dekat ke banjaran Pergunungan Perisai Negeri.
"Aku perlu mencari tempat untuk bersembunyi buat seketika, jika ada yang dapat mengejar aku, aku akan berada dalam bahaya..." Meng Hao mengerutkan kening. Kekuasaan kipas itu kian menghilang dan dia jatuh ke tanah. Sambil menyimpan kipas itu, Meng Hao mula berlari.
"Bilakah aku boleh mencapai tahap Pengukuhan Asas? Selepas itu aku pasti akan dapat terbang!"
Dua hari telah berlalu, Meng Hao tidak ada masa langsung untuk berehat. Dia hanya melarikan diri sambil memikirkan bagaimana dia tidak berehat langsung semenjak dikejar oleh Shangguan Xiu dari Gunung Daqing. Tetapi, dia tiada pilihan lain. Memikirkan apa yang akan terjadi jika dia tidak melarikan sangat mengerikan untuk difikirkannya.
Sementara itu, jauh di banjaran Gunung Perisai Negeri, di atas dataran tinggi di sebelah gunung khazanah, Wu Dingqiu mengangkat sebiji batu Go sambil tersenyum lebar. Setelah berfikir tidak kurang daripada sejam, dia dengan perlahan meletakkan sebiji batu Go itu di papan.
Dengan muka seperti besi, Si Aneh Song mendengus dingin dan menghempas sebiji batu Go ke papan.
"Si Aneh Song, asas Pertapaan kamu sangat hebat. Kamu tidak harus bersikap seperti ini" kata Wu Dingqiu sambil mengusap janggutnya dan ketawa. Dia kelihatan tenang seperti air. "Pertapa daripada generasi kita seharusnya dapat memupuk Qi kita dan menenangkan minda kita. Walaupun gunung-ganang runtuh di sekeliling, ekspresi kita tidak seharusnya berubah. Tetapi, tengok diri kamu ini! Adakah kamu benar-benar tidak selesa kerana seseorang yang tidak penting daripada generasi muda? "
"Jika situasi kita berubah, kamu juga akan bertindak begini," kata Si Aneh Song dengan dingin.
"Semestinya tidak! Jika aku, Wu, berada di dalam situasi ini, aku akan memujinya dan tidak akan merasa marah. Dalam Sekta Takdir Ungu Lembayung, kami memupuk pembawaan kami dan tidak akan membiarkan perkara seperti ini membuat kami marah. Jangan marah Si Aneh Song, tetapi jika macam ini Pertapaan kamu, kamu perlu belajar sesuatu dengan Sekta Takdir Ungu Lembayung." Wu Dingqiu ketawa, jelas sangat gembira dengan dirinya sendiri.
"Macam inilah," kata Wu Dingqiu. "Selepas kita selesai permainan Go ini, kamu boleh ikut aku ke Sekta Takdir Ungu Lembayung. Aku akan membenarkan kamu membaca Manual Pertapaan Moral kami dan kemudian kamu akan memahami apa yang dimaksudkan dengan memupuk Qi dan menenangkan minda." Senyuman Wu Dingqiu begitu lebar sehingga kedutan muncul di mukanya.
Si Aneh Song mendengus. Dia malas hendak berkata apa-apa dan hanya sekadar merenung jauh. Senyuman Wu Dingqiu semakin melebar dan dia juga merenung jauh. Tidak lama kemudian, dua susuk tubuh dapat dilihat berkejaran ke arah mereka melalui hutan. Mereka adalah Qian Shuihen dan Lu Song. Mereka memegang lembing waja dengan erat ketika mereka semakin menghampiri dataran tinggi. Mereka diikuti oleh sekumpulan kecil pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang lain.
Qian Shuihen dan Lu Song melangkah ke dataran tinggi dan kedua-duanya mula bercakap pada masa yang sama.
"Salam, Pemimpin Wu. Saya telah menyelesaikan tugasan itu, saya telah memperolehi barang berharga itu melalui proses pertukaran."
"Salam, Pemimpin Wu, mujurlah saya tidak gagal dalam misi saya, saya berjaya membuat pertukaran untuk lembing ini."
Wajah Si Aneh Song menjadi muram ketika gelak tawa Wu Dingqiu kedengaran.
"Cemerlang. Tahniah buat kamu berdua." Dia ketawa. "Aku dengan sendiri akan memasukkan kamu berdua ke dalam Sekta Dalaman. Kamu berdua tidak menimbulkan sebarang masalah kepada budak itu, kan?"
"Saya dengan gembira ingin melaporkan kami telah membuat pertukaran yang adil," kata Qian Shuihen dengan tergesa-gesa. Di sebelahnya, Lu Song mengangguk dengan bersungguh-sungguh, kelihatan sangat teruja. "Kami tidak menimbulkan masalah kepadanya."
"Si Aneh Song, mari kita lihat lembing suci yang berharga ini." Wu Dingqiu ketawa. Dia melibas lengan bajunya dan lembing waja itu terbang ke arahnya.
Sejurus ia menyentuh tangannya, ekspresi Wu Dingqiu berubah. Matanya berkelip ketika dia memeriksa lembing itu dengan lebih teliti. Si Aneh Song yang sedang muram juga melihat lembing itu dengan teliti. Tiba-tiba matanya mula bersinar. Dia melihatnya dengan mulut terbuka dan lalu tersenyum.
Ekspresi Wu Dingqiu kelihatan sangat menakutkan. Tidak kira dari aspek mana dia melihat lembing itu, itu lembing biasa. Tidak mahu mempercayai itu benar, dia menghalakan lembing itu pada binatang Syaitan secara rawak di kaki gunung. Makhluk itu tidak langsung menyedarinya.
Ekspresi di wajahnya berubah menjadi lebih menakutkan. Dia mengangkat kepalanya dengan perlahan dan memandang dingin ke arah Qian Shuihen and Lu Song.
"Apa yang kamu tukarkan untuk lembing ini?" tanya Wu Dingqiu, sepatah demi sepatah.
Kelihatan gugup, Qian Shuihen berkata, "Saya telah memberi dua ribu Batu Rohani, tujuh Pil Rohani Bumi, salah satu Ceracak Neraka Sekta, dan... dan Pil Rentas Penara."
Wajah Wu Dingqiu kelihatan lebih mengerunkan.
Seterusnya, Lu Song berkata: "Saya memberikan seribu lima ratus Batu Rohani, tiga Pil Rohani Syurga, satu kipas berharga dan pil sakti."
Si Aneh Song ketawa terbahak-bahak. Itu gelak tawa yang melegakan, seolah-olah semua kemurungannya yang terpendam daripada beberapa hari lepas tiba-tiba hilang.
Wu Dingqiu sudah cukup marah, tetapi ketika dia mendengar harga yang telah dibayar oleh kedua pengikutnya dan gelak ketawa Si Aneh Song, kemarahannya meletus. Dia tiba-tiba meraung marah. "Si bodoh tak berguna! Ini ialah lembing palsu!"
Raungan itu bergema seperti guruh dan menghancurkan papan Go. Rekahan muncul di permukaan gunung. Qian Shuihen dan Lu Song jatuh ke tanah dengan darah yang menyembur keluar daripada mulut mereka. Kepala mereka berputar ketika satu perkataan Wu Dingqiu bergema di dalam hati mereka.
"Palsu..." Mereka terkejut.
Perkataan ini tersebar di semua arah bersama dengan suara raungannya dan didengari hampir ke separuh banjaran Gunung Perisai Negeri sehingga sampai ke Bandar Peradaban Timur.
Akhirnya berita ini didengari oleh Sun Hua dan dia berasa sangat keliru. Selepas seketika, ekspresinya berubah dan kelihatan seperti terkejut.
"Lembing itu palsu?" Dia memandang kawan-kawannya dan mereka mula menyedari apa yang telah berlaku.
"Tidak mungkin lembing waja itu palsu, mungkinkah...?"
Di dalam Astaka Ratusan Khazah, Qiao Ling sedang memperkenalkan barangan sakti kepada seorang Pertapa ketika dia mendengar bunyi bising di luar. Dia kagum apabila dia teringat kembali pada lembing waja Meng Hao dan dia mempamerkan riak wajah yang aneh.
Di sebelah tungku pil, lelaki pertengahan umur itu membuka matanya dan matanya berkelip dengan ungkapan yang mengejek. Tanpa berkata apa-apa, dia menutup matanya kembali.
Jauh dari dataran tinggi Pergunungan Perisai Negeri, Meng Hao menundukkan kepalanya dan berlari lebih cepat.
Gelak tawa Si Aneh Song kedengaran di seluruh pergunungan itu. Wajah Wu Dingqiu kelihatan sangat mengerikan. Dia, seorang pemimpin Sekta Takdir Ungu Lembayung telah diperdayakan oleh seorang Pertapa di tahap Pemekatan Qi. Walaupun dia tidak terlibat secara langsung, dia pasti akan malu jika perkara ini tersebar.
Wu Dingqiu hendak mengesan dan mencari Meng Hao dengan segera. Dia berpaling untuk melihat Qian Shuihen dan Lu Song, yang berdiri di sana ketakutan. Dia rasa meluat, tetapi dalam hatinya dia mengeluh. Pengikut-pengikut ini telah menghabiskan masa mereka di dalam Sekta dan tidak mempunyai pengalaman berurusan dengan orang luar. Mereka masih mentah, tidak berpengalaman dan tidak mampu menangani tipu muslihat.
Dengan hembusan dingin, dia melemparkan lembing waja ke tanah. Dia mengambil beberapa langkah ke hadapan dan menggunakan derianya untuk mencari Meng Hao. Tetapi, langkahnya dihalang oleh Si Aneh Song yang sedang ketawa dengan senang hati.
"Rakan Taois Wu, janganlah marah," kata Si Aneh Song. "Sekta Takdir Ungu Lembayung kamu menekankan keperluan untuk memupuk Qi dan menenangkan minda demi membentuk pembawaan seseorang. Jangan biarkan perkara kecil seperti ini membangkitkan kemarahan kamu. Dengan pertapaan seperti ini, kamu harus melakukan sedikit kajian dalam Manual Pertapaan Moral Sekta kamu." Si Aneh Song ketawa berbahak-bahak. Sebelum ini, Wu Dingqiu telah menghalangnya pergi walaupun puas Si Aneh Song memberikan alasan. Sekarang, sudah pasti Si Aneh Song akan melakukan perkara yang sama kepada Wu Dingqiu.
"Kamu..." wajah Wu Dingqiu semakin mengerunkan dan dia menatap Si Aneh Song dengan tajam. Tetapi dia tidak mengatakan apa-apa.
"Kamu telah merosakkan papan Go ini, sekarang kita tidak dapat menyelesaikan pertarungan kita," kata Si Aneh Song dengan senyuman. "Macam inilah: kamu nak bawa aku ke Sekta Takdir Ungu Lembayung, bukan? Jom kita pergi! Kita boleh berbual dan bermain Go selama berbulan-bulan." Kemurungan telah hilang sepenuhnya daripada hati Si Aneh Song. Melihat Wu Dingqiu seperti ini, dia sangat gembira. Dia sudah tidak peduli lagi mengenai khazanah yang telah diambil Meng Hao. Apa yang paling penting baginya ialah rupa kemarahan dan penghinaan yang dialami Wu Dingqiu.
Dia menarik dan memegang Wu Dingqiu dengan niat tidak mahu melepaskannya.
Wu Dingqiu menjadi murung. Dia merenung tajam Si Aneh Song, kemudian mengeluh panjang. Dia tahu lelaki itu tidak akan membiarkannya mengejar Meng Hao. Dia menghentak kakinya dengan marah, kemudian membenarkan Si Aneh Song menariknya ke udara.
"Kamu yang tidak berguna tidak akan dapat bersaing," kata Wu Dingqiu, melihat ke bawah Qian Shuihen dan Lu Song yang sedang mengigil. "Kenaikan tahap ke Sekta Dalaman terbatal. Kembali ke Sekta dan segera bermeditasi sendirian!" Pengikut lain menyaksikannya dengan wajah pucat.
"Celaka kamu Meng Hao," kata Lu Song sambil menundukkan kepalanya dan wajahnya merah padam. "Aku tak akan lupakannya, bangsat!" Dia mengetapkan giginya ketika dia mengingati ekspresi malu-malu Meng Hao dan matanya dipenuhi kemarahan yang melampau. Dia belum pernah bertemu orang yang kurang ajar sepanjang hidupnya. Lembing itu jelas palsu. Wajahnya kelihatan penuh kekesalan ketika dia memikirkan betapa banyak dia telah bayar untuk lembing itu. Ketika dia memikirkan tentang kehilangan peluang untuk memasuki Sekta Dalaman, dia menjadi sangat marah sehingga dia hampir memuntahkan darah.
"Tidak tahu malu! Bedebah! kata Qian Shuihen sambil memikirkan barangan berharganya. Dia mengambil lembing waja itu. "Meng Hao, kamu orang jahat!" Sewaktu dia memikirkan kegagalannya memasuki Sekta Dalaman, dia hampir hendak menjadi gila. Kemudian, apabila dia memikirkan semua pil perubatan dan barangan saktinya, kebenciannya terhadap Meng Hao semakin bertambah.
Kedua-dua mereka saling berpandangan, mempamerkan riak yang penuh dengan kekesalan.
"Kita akan letakkan lembing ini di dalam Sekta untuk mengingatkan kita mesti membunuh Meng Hao!"
Keinginan membunuh terpancar di mata mereka. Namun, ujian kebolehan telah berakhir dan mereka dikehendaki kembali ke Sekta. Dendam dan niat untuk membunuh Meng Hao hanya boleh disembunyikan di dalam hati mereka dan tidak mungkin akan terpadam.
Sementara itu, Meng Hao rasa takut setengah mati dan merasakan dia telah disalah anggap. Sambil mengeluh, dia meningkatkan kelajuannya dan berlari secepat mungkin selama tujuh hari berturut-turut. Akhirnya dia menemui gua Dewa di satu pergunungan. Keletihan, dia duduk bersila dan mula bermeditasi sambil melakukan latihan pernafasan.
"Berbaloikah...?" Dia mengeluh pada dirinya sendiri. Dia keletihan setelah berhari-hari melarikan diri kerana terlalu takut ditangkap. Sekarang, dia sangat penat.
Dua hari kemudian pada waktu subuh, dia membuka matanya dan mulai berlari lagi. Selama setengah bulan, dia tidak berani membiarkan siapa pun melihatnya. Akhirnya, jauh di pergunungan yang terpencil, ketika dia merasa selamat, dia menggunakan pedang terbang untuk mengukir sebuah gua. Dia mengurungkan dirinya di dalam gua itu untuk bermeditasi.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT