Meng Hao pernah pergi ke Daerah Yunkai beberapa kali sebelum ini. Kebiasaannya, dia ke sana apabila dia perlu membeli pen, dakwat, kertas dan batu pengasah dakwat. Mungkin kerana kekayaan yang berlebihan di kampung ini mendorong permintaan untuk perhiasan ilmiah, harga bekalan bertulis di sini lebih murah.
Walaupun tiga tahun telah berlalu, tempat itu tetap kelihatan seperti dahulu. Sepanjang perjalanan Meng Hao, perhatiannya tertarik pada tanglung-tanglung yang tergantung di luar kebanyakan kedai. Terdapat kaligrafi kwainter "Li" pada setiap tanglung.
Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Si Gempal, ayahnya orang yang paling kaya di Yunkai, dan memiliki kira-kira separuh daripada daerah itu. Mereka bukan hanya memiliki tanah, tetapi juga kedai-kedai, dan semuanya telah ditanda dengan kwainter "Li."
Setelah bertanya pada orang sekeliling, dia mendapat tahu lokasi rumah Si Gempal dan menuju ke sana. Matahari sudah mula terbenam di kaki langit, menjadikan langit gelap dan menyelubungi tanah dengan cahaya yang lembut.
Dia tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke penghujung timur Daerah Yunkai. Meng Hao dapat melihat satu kawasan kediaman yang besar, dipenuhi dengan bangunan yang kelihatan hebat. Di atas pintu utama, yang dijaga oleh orang suruhan, ialah papan yang ditulis dengan perkataan "Rumah Agam Li." Kedengaran suara nyanyian dan tarian yang meriah dari dalam.
Tubuh Meng Hao bergerak sekilas dan dia terus berada di dalam.
Rumah agam itu besar, mengelilingi halaman dalam di mana penyanyi dan penari sedang mengadakan pertunjukan. Meng Hao terpandang seorang lelaki di pertengahan usia yang sangat gemuk dan mengenakan jubah mewah. Dia sangat mirip dengan Si Gempal, sudah tentu lelaki ini ayahnya. Duduk di sebelahnya ialah seorang pemuda yang tampak bijak.
Dia kelihatan sangat sombong, dan mengenakan pakaian yang mahal. Namun badannya kelihatan agak lemah, seolah-olah dia terlalu keletihan disebabkan terlalu banyak minum wain dan bersama dengan wanita. Dia memegang cawan wain di tangannya, dan ekspresi tidak senonoh bersinar di matanya saat dia melihat ke arah penyanyi dan penari itu.
"Masih belum sampai?" kata pemuda itu, sambil mengerutkan kening. Nada suaranya dingin dan bosan.
"Bila-bila masa sahaja," kata ayah Si Gempal, kelihatan sangat malu, dengan senyuman terpaksa. "Tuan Muda Zhao, tolong tunggu sekejap saja lagi. Menantu saya cenderung berlengah-lengah." Bahkan ketika kata-kata keluar dari mulutnya, beberapa orang gaji muncul dari kejauhan. Berjalan di belakang mereka ialah seorang wanita muda. Dia mengenakan pakaian yang panjang dan tipis, dan rambutnya didandan dengan penyepit rambut burung phoenix. Penampilannya suci dan indah, namun ada raut ketakutan di wajahnya. Dia kelihatan menggigil seolah-olah dia kesejukan.
"Ayah..." katanya ketika dia menghampiri mereka dan tunduk hormat.
"Xiang'er, ini Tuan Muda dari keluarga Zhao di Daerah Yunhai," kata ayah Si Gempal dengan lembut. "Apa kata kamu mengajukan minum ucap selamat kepadanya?" Dia memandang menantu perempuannya dengan pandangan serba salah. Meskipun anaknya telah hilang selama bertahun-tahun, gadis ini terus menunggunya pulang dan tidak pernah merungut. Dia melayan ayah mertuanya dengan penuh ketaatan.
"Salam, Tuan Muda Zhao," kata gadis itu dengan lembut smabil menundukkan kepalanya. Dia takut, tetapi dia tahu keluarga mertuanya mengalami masalah ketika ini. Dia mengangkat bekas wain dan menuangkannya ke dalam cawan, yang dia hulurkan kepada Tuan Muda Zhao dengan kedua belah tangannya.
Tuan Muda Zhao memandangnya, matanya bersinar terang. Dia menelan air liur. Gadis itu sangat cantik, dan di dalam hatinya, dia sudah bersedia untuk menimbulkan kekacauan. Senyuman miang muncul di wajahnya. Tuan Muda Zhao menerima wain itu, kemudian cuba untuk menyambar tangan gadis itu dan menyebabkan dia ketakutan. Gadis itu melangkah ke belakang dan cawan yang dipegangnya jatuh ke lantai.
"Berani kamu!" teriak Tuan Muda Zhao, matanya membara. Dia menendang meja, menyebabkan wain dan makanan berselerakan. Dia menghalakan jarinya ke arah ayah Si Gempal. "Kamu dengar cakap saya, Li Dafu. Adik saya sudah kembali, dan sekarang dia seorang Dewa. Dia mahukan harta milik kamu, bukan nyawa kamu! Saya merasa kasihan dengan kamu dan bercakap baik tentang kamu kepadanya, tetapi kemudian kamu memalukan saya seperti ini?"
"Tuan Muda Zhao, ini..." Ayah Si Gempal tergesa-gesa mahu bercakap.
"Diam! Biar aku beritahu kamu, masalah ini belum selesai! Jika kamu tahu apa yang baik untuk kamu menantu perempuan kamu akan bermalam bersama saya. Jika dia membuat saya senang hati, maka saya akan terus berkata yang baik-baik tentang kamu kepada adik saya..." Dia ketawa dingin, matanya merenung ke arah gadis itu kelihatan pucat lesi. Pandangan yang jahat sekali lagi muncul di wajahnya.
Wajah ayah Si Gempal menjadi pucat. Pada awalnya, pemuda itu hanya menyebut tentang minum ucap selamat, yang dipersetujuinya. Tetapi ini sudah berlebihan. Dia mengetap giginya. Anaknya hilang, dan dia juga tidak dapat melindungi menantunya sendiri. Apa gunanya dia hidup?
"Biarlah!" dia meraung. "Keluar dari sini! Halau lelaki ini! Jika keluarga Li muflis sekalipun, saya tidak akan bertoleransi dengan penghinaan dari keluarga Zhao!"
"Sungguh mengagumkan," Tuan Muda Zhao ketawa. Dia berpusing dan pergi, pandangan matanya kelihatan menggerunkan.
Memerhatikan tempat jamuan itu dikemas, gadis muda itu menggigit bibirnya. Air mata mengalir di wajahnya. Dia menundukkan kepala dan nampak seperti hendak mengatakan sesuatu.
"Jangan risau tentang masalah ini," kata ayah Si Gempal dengan tenang. "Undang-undang masih wujud di dunia ini. Tolong hantar Cik Muda balik ke bilik." Hamba suruhan muncul untuk mengiringi wanita muda itu pergi. Segalanya sunyi. Ayah Si Gempal mula bergetar. Dia terhuyung-huyung, tiba-tiba kelihatan semakin tua.
Kemudian dia menggelengkan kepalanya dan mula berjalan. Tak lama, dia tiba di sebuah bangunan. Dia membuka pintu dan berjalan masuk. Bilik itu kelihatan mewah, tetapi pasti lebih baik jika semuanya tidak dipenuhi dengan kesan gigitan.
"Fugui, kamu dimana?" rungut ayah Si Gempal sambil duduk di atas kerusi. "Kenapa kamu belum kembali...?" Dia kelihatan lebih tua dari sebelumnya. Dia menggosok-gosok lembut tanda gigitan di atas meja.
"Dia baik-baik saja," kata satu suara, memecah kesunyian. Ayah Si Gempal mengangkat kepalanya. Matanya dipenuhi ketakutan ketika dia menyedari entah bagaimana, ada orang lain berdiri di dalam bilik itu, di sebelah jendela. Dia tidak tahu bila atau bagaimana orang itu boleh berada di situ.
Orang itu memakai jubah biru yang panjang, dan kelihatan seperti seorang sarjana. Dia, tidak lain tidak bukan adalah Meng Hao.
"Kamu..." Li Dafu berdiri dan kelihatan terkejut. Dia berundur ke belakang.
"Saya kawan Li Fugui dari Sekta, Meng Hao dari Daerah Yunjie." Meng Hao berpusing. Matanya bergerak daripada memandang beberapa bekas gigitan di ambang jendela kepada Li Dafu yang sedang berdiri.
"Meng Hao!" kata Li Dafu, terkejut. Dia kenal nama itu. Ketika dia menyiasat kehilangan anaknya bertahun-tahun yang lalu, dia mendapat tahu ada tiga orang budak lelaki yang lain turut hilang pada masa yang sama. Salah seorang daripada mereka bernama Meng Hao.
"Fugui, dia..." Tubuh Li Dafu mula menggeletar. Di dalamnya hatinya, dia berasa ragu-ragu.
"Dia tidak berada di Negeri Zhao pada masa ini, tapi saya rasa dia akan kembali tidak lama lagi." Meng Hao berjalan ke hadapan dan duduk di atas kerusi. "Saya baru sahaja melihat apa yang terjadi di halaman," katanya dengan dingin. "Saya akan tinggal di sini untuk beberapa hari bagi menyelesaikan masalah ini." Dia mengambil sekeping kertas dan meletakkannya di atas meja. "Tolong tempa tiga bilah lembing untuk saya, mengikut spesifikasi ini. Satu besi, satu perak, dan satu lembing emas." Kemudian, Meng Hao menutup matanya.
Li Dafu teragak-agak, tetapi menganggukkan kepalanya. Walaupun situasi ini agak luar biasa, dia memilih untuk percaya dengan apa yang baru sahaja Meng Hao katakan. Tanpa berkata apa-apa, dia mengambil kertas itu dan bergegas pergi.
Tuan Muda Zhao meninggalkan rumah Li, dan Daerah Yunkai dengan wajah yang menggerunkan. Ditemani oleh orang suruhannya, dia kembali ke Daerah Yunhai dalam kegelapan malam sambil menggertakkan giginya. Saat dia berjalan, dia menampar wajahnya dengan keras, meninggalkan kesan tapak tangan yang jelas. Sejurus kemudian, dia tiba di sebuah halaman besar, dan raut wajahnya tiba-tiba berubah menjadi rasa hormat, bahkan kagum. Dia bercakap dengan suara yang perlahan.
"Adik sedang tidur?"
"Apa masalahnya?" kata satu suara yang dingin. Suara itu agak nyaring, seolah-olah pemiliknya ialah seorang budak lelaki yang baru sahaja baligh.
"Bukan sahaja rumah Li enggan mendengar cadangan kamu. Mereka juga memalukan dan menampar saya." Tuan Muda Zhao cuba menunjukkan raut wajahnya yang paling malu.
Pintu itu perlahan-lahan terbuka, dan seorang pemuda berjalan keluar. Dia kelihatan berusia sekitar dua belas atau tiga belas tahun, dan mengenakan gaun bersulam yang mewah. Dia mempunyai ciri-ciri yang tampan dan kelihatan cantik. Jika Meng Hao ada di sini, pemuda ini akan berkelakuan seperti pengampu. Dia salah seorang pengikut yang diselamatkan oleh Orang Lama Ouyang pada hari Sekta Reliance dibubarkan. Dia hamba Meng Hao, Zhao Hai.
Dia memiliki idea yang sama seperti Si Gempal, untuk menjadi pemilik tanah yang hebat. Selepas Si Gempal tiada, dia telah kembali ke daerah ini dan mula merampas harta keluarga kaya di situ. Dia sebenarnya sudah mula merancang bagaimana hendak menghadapi Li Dafu saat dia masih lagi berada di Sekta Reliance. Malangnya, setelah kembali, dia mendapat tahu keluarga Li melarang ahlinya untuk mendedahkan maklumat harta keluarga.
"Dasar bodoh, tak guna," kata Zhao Hai dengan mencemuh dingin. "Kamu fikir saya sebodoh kamu? Kedudukan tapak tangan itu salah. Kamu memukul diri sendiri." Ekspresi jijik muncul di wajahnya. Tetapi, orang ini ialah abangnya. Dia mengerutkan kening. "Sudahlah. Saya hampir mencapai kejayaan pada asas Pertapaanku. Dalam masa tujuh hari, saya akan pergi dengan kamu ke rumah Li." Dia berpaling dan kembali ke bilik, menghempas pintu di belakangnya. Tuan Muda Zhao kelihatan senang. Hatinya terbakar ketika dia membayangkan tangisan sedih gadis muda ketika berada di bawah badannya, tujuh hari dari sekarang.
Tujuh hari berlalu. Zhao Hai keluar dari rumah Li di Daerah Yunhai, tangannya digenggam di belakang, diikuti oleh Tuan Muda Zhao. Mereka membawa segerombolan orang suruhan keluarga. Mata mereka dipenuhi dengan niat membunuh saat mereka menuju ke Daerah Yunkai.
Di Daerah Yunkai, Meng Hao duduk bersila di bilik Si Gempal, bermeditasi dengan diam. Sekitar waktu tengah hari, terdengar satu ketukan perlahan di pintu. Meng Hao perlahan-lahan membuka matanya dan melihat Li Dafu memasuki bilik. Di belakangnya terdapat sepuluh orang suruhan keluarga. Tiga kelompok yang terdiri dari tiga orang, dan setiap kelompok membawa sebilah lembing yang diperbuat daripada besi, perak, dan emas.
Garisan halus yang diukir di atas permukaan setiap lembing, membuat lembing-lembing itu kelihatan primitif tetapi juga mewah. Meng Hao mengangkat tangannya, dan lembing besi terbang di udara ke arahnya. Li Dafu dan orang gajinya ternganga kerana hairan dan terkejut.
Lembing besi itu sangat berat. Melihat Meng Hao merampasnya dari jauh membuatkan mereka takut.
Badan Li Dafu menggeletar, dan matanya bersinar. Sebelum ini, dia sudah mengagak yang Meng Hao bukan orang biasa. Meskipun tidak mempercayai Meng Hao sepenuhnya, dia masih memenuhi permintaan untuk membuat tiga bilah lembing. Tapi sekarang, dia benar-benar percaya kata-kata Meng Hao sebelum ini. Orang ini nampaknya bukan sekadar orang biasa.
Meng Hao mengangguk kemudian mengambil lembing perak dan emas. Dia menguji kedua-duanya, lalu memasukkan semua lembing itu ke dalam beg saktinya dengan melibas lengan bajunya. Ketika kejadian ini berlaku, kedengaran bunyi gedebuk sewaktu hamba suruhan di situ berlutut dan menunduk kepadanya. Raut wajah mereka penuh dengan perasaan terkejut.
"Seorang Dewa!"
Li Dafu seolah-olah membeku di tempatnya dan menggigil dengan kuat. Dia juga kelihatan seolah-olah akan berlutut. Sebelum ini, dia ada merasakan yang orang ini agak luar biasa. Tetapi, dia tidak pernah membayangkan yang orang ini mungkin seorang dewa. Kemudian, dia menjadi lebih teruja bila dia teringat lelaki itu ada mengatakan anaknya kawan daripada Sektanya.
"Jangan cakap... Jangan cakap yang budak yang tak guna itu dah jadi seorang Dewa!?"
Dia baru nak bertanya ketika Meng Hao mengangkat kepalanya dan memandang ke arah tingkap. Kekecohan kedengaran dari luar dan diikuti bunyi retak ketika pintu utama terbuka.
"Li Dafu, keluar ke sini! Adik aku seorang Dewa, dan dia ada sini untuk melawat kamu. Datang ke sini dan tunduk padanya!"
Li Dafu mendongak. Meng Hao berdiri dan berjalan menuju ke pintu. Li Dafu tergesa-gesa mengikutinya dan mereka segera tiba di halaman luar rumah agam. Serpihan pintu berselerakan di merata-rata tempat bersama raungan sekumpulan hamba suruhan. Tuan muda yang sombong itu berdiri di situ. Di belakangnya, seorang pemuda dengan sebelah tangannya di belakang, yang satu lagi di depannya. Seekor Ular Berapi sebesar jari berlingkar di tangannya.
Pemuda muda itu kelihatan bangga dan pantang menyerah. Ular Berapinya itu pula menyebabkan orang-orang di sekelilingnya perlahan-lahan menjauhkan diri kerana ketakutan dan kehairanan.
"Adik, ini Li Dafu," kata Tuan Muda Zhao sambil mengabaikan Meng Hao yang berdiri di belakangnya.
"Kamu rupanya ya?" Zhao Hai mengangkat dagunya saat dia mula bercakap dan tiba-tiba terlihat Meng Hao. Tubuhnya tiba-tiba menggeletar dan matanya dipenuhi dengan rasa tidak percaya. Ular Berapi itu terus menghilang dan wajahnya pucat ketakutan. Tanpa disedari, wajahnya kelihatan tak menyenangkan.
"Li Dafu," teriak Tuan Muda Zhao yang angkuh dan tidak menyedari perubahan raut wajah Zhao Hai, "berani kamu tidak berlutut di hadapan saudara aku? Dengar sini, dia seorang Dewa! Kamu faham tak apa maksudnya tu? Dia boleh musnahkan seluruh keluarga kamu dengan lambaian tangannya!"
"Kamu masih belum membawa gadis itu keluar? Cepat sediakan bilik yang bagus. Jika dia melayan aku dengan baik dan aku gembira, mungkin jika kamu merayu, aku boleh bagi pewaris kepada kamu. Kalau tidak, keturunan kamu akan hilang!" Semakin dia berbicara, semakin dia bersemangat. Namun di belakangnya, wajah Zhao Hai pucat lesi. Dia gementar ketika melihat Meng Hao dan kepalanya pening. Dia terdengar kata-kata yang diucapkan oleh abangnya itu dan hatinya penuh rasa takut.
"Jika tidak," sambung Tuan Muda, "maka, heh heh, kamu akan mati bersama-sama dengan sarjana yang berdiri di sebelah kamu... Hei, siapa dia? Anak angkat kamu? Berani kamu tenung aku. Adakah kamu ingin mati? Saudaraku seorang Dewa..." Sebelum dia sempat selesai berbicara, kata-katanya itu kedengaran seperti guruh di telinga Zhao Hai dan menyebabkannya melompat ke udara. Dengan penuh rasa marah, dia menampar wajah abangnya itu.
"Diamlah!!" Dia berteriak dan berbunyi seperti hendak menangis. Dia sangat mengenali Meng Hao. Dia teringat statusnya semasa dia berada di Sekta Dalaman dan kemenangannya ke atas Wang Tengfei. Tiada orang di dalam Sekta Luaran yang tidak mengenali Meng Hao atau asas Pertapaan tingkat keenamnya. Meng Hao bagaikan gunung yang tinggi yang mampu menghancurkan Zhao Hai sehingga mati tanpa perlu bersusah payah.
Walaupun abangnya menangis kesakitan, Zhao Hai jatuh melutut dan badannya menggeletar. "Hamba Zhao Hai menyampaikan salam... salam kepada Abang Meng..."
Abangnya berdiri di sampingnya sambil ternganga kerana terkejut. Dia menutup wajahnya dengan tangan dan berkata tanpa berfikir, "Adik, kamu panggil dia apa? Abang Meng? Hahaha! Jadi dia saudara kita! Ah, pasti dia minat dengan gadis itu juga. Berikan saja Meng..."
"Diam!!" teriak Zhao Hai. Dia kelihatan seperti sangat takut seolah–olah dia akan mati. Tubuhnya menggeletar dengan kuat sambil dia teringat semula semua perkara yang dia dengar tentang Meng Hao dari pengikut-pengikut Sekta Luaran. Dengan rasa gelisah, dia melompat dan menampar wajah abangnya lagi.
Li Dafu melihat dengan rasa kagum. Dia menarik nafas lalu menatap Meng Hao dengan kaku. Dia ada meneka yang Meng Hao seorang Dewa. Tapi dia tidak pernah membayangkan bila berjumpanya, Dewa berkuasa daripada keluarga Zhao itu akan berasa takut sehingga menggeletar.
Bukan dia seorang saja. Semua hamba suruhan di sekitarnya menyaksikan dengan kehairanan. Pandangan mereka penuh rasa hormat saat mereka melihat Meng Hao.
"Abang Meng..." kata Zhao Hai sambil berlutut sekali lagi. Matanya penuh rasa takut.
Dengan wajah yang suram, Meng Hao menatap Zhao Hai dengan dingin tanpa berkata apa-apa.
Jantung Zhao Hai berdebar dan dia mengetap rahangnya. Dia melihat abangnya berdiri di sebelah dan matanya dipenuhi dengan kemarahan. Dia tidak berani mengeluh kepada Meng Hao. Jadi, dia memutuskan untuk melepaskan rasa marah kepada abangnya.
Dia melambai tangan kanannya dan sekali lagi, Ular Berapi sebesar jari muncul. Ular itu menyerang Tuan Muda Zhao yang tiba-tiba menjerit nyaring. Dia jatuh ke tanah sambil berguling-guling. Dalam beberapa ketika, dia telah berubah menjadi mayat hangus.
"Aku merayu kepada Abang Meng, selamatkan aku," kata Zhao Hai tanpa mengendahkan abangnya. Dia berlutut di depan Meng Hao dan bersujud berulang kali.
"Kamu seperti enggan meninggalkan dunia manusia," kata Meng Hao dengan dingin. "Kerana itu, bermula hari ini, kamu boleh menenangkan fikiran kamu dan hidup sebagai manusia. Dia mengangkat satu jari dan tiba-tiba, wajah Zhao Hai menjadi pucat dan dia memuntahkan darah. Pusat tenaganya hancur dan tahap kedua Asas Pertapaannya musnah. Dia bukan lagi seorang Pertapa, tetapi seorang manusia.
Dia terhuyung-hayang sambil memberi tabik hormat kepada Meng Hao dengan genggaman tangan. Kemudian dia berpusing dan berlalu pergi dengan sedihsambil dipapah oleh orang-orangnya. Lama-kelamaan, dia hilang daripada pandangan.
"Aku tidak mendisiplinkannya dengan cukup baik," kata Meng Hao, tidak memandang semasa Zhao Hai pergi. "Dia hamba suruhan aku yang melarikan diri daripada Sekta. Dia telah memberikan masalah kepada kamu, Pak Cik Li." Dia tunduk kepada Li Dafu dengan tabik genggam.
"Tak ada perkara buruk yang berlaku. Semuanya baik-baik saja," kata Li Dafu sambil menggelengkan kepalanya. "Terima kasih, Dewa." Dia tunduk hormat. Kepalanya masih pening memikirkan yang Dewa dari rumah Zhao ialah orang suruhan Meng Hao.
"Tak perlu, Pak Cik Li," Meng Hao tersenyum. "Si Gempal ... Li Fugui kawan rapatku di Sekta. Aku datang ke sini bagi pihaknya untuk melawatmu. Jadi, sudah tentulah aku tak akan menutup mata terhadap kejadian seperti ini." Dia mundur selangkah, menunjukkan tabik genggam sekali lagi. "Aku minta diri dulu." Dia pergi dengan sekelip mata. Dalam beberapa langkah, dia pergi meninggalkan Li Dafu yang nampak agak murung. Dia memikirkan tentang anaknya. Kemudian, dia tersenyum lagi. Matanya dipenuhi dengan kebanggaan dan harapan.
"Anakku telah berjaya. Dia seorang Dewa! Aku akan bakar colok di dewan penyembahan nenek moyang. Perkara ini telah membawa kemuliaan kepada keluarga dan nenek moyang kita."
Meng Hao meninggalkan Daerah Yunkai. Sekarang sudah tengah hari dan jubahnya meliuk ditiup angin musim luruh. Angin gunung bertiup semakin kuat ketika dia menghampiri Gunung Daqing.
Dia berdiri di tempat yang sama di puncak gunung itu sewaktu dia berada di situ dengan rasa kagum tiga tahun lepas. Wajahnya penuh beremosi. Tiga tahun berlalu dengan begitu cepat. Wajahnya tidak lagi muda dan naif. Dia lebih matang tetapi Gunung Daqing tetap sama seperti biasa. Gunung itu tidak akan pernah berubah dengan sungai besar yang mengalir tanpa henti di bawahnya.
Sambil dia tunduk memandang sungai, Meng Hao teringat labu air yang telah dilemparnya ke dalam sungai pada tahun itu. Dia terfikir bagaimana dia bertemu dengan Kakak Xu, Si Gempal, Wang Youcai dan Si Harimau Kecil.
Diam-diam, dia melompat ke udara dan ke atas pedang terbang. Dia terbang menuruni gunung ke celah di tebing lalu masuk.
Ia betul-betul sama seperti sebelumnya. Meng Hao berdiri dan melihat di sekeliling. Tahun itu, Kakak Xu berada di tahap ketujuh Pemekatan Qi. Dan sekarang, dia seorang Pertapa tingkat ketujuh. Tiga tahun dulu terasa seperti satu lingkaran besar dengan titik permulaan dan pengakhiran yang sama.
"Tetapi, jika tiga tahun itu benar-benar satu lingkaran, mungkin maksud saya kembali ke sini saya telah mencapai titik permulaan yang baharu.... Seperti kata bijak pandai, jika kamu tidak mengambil langkah pertama, kamu tidak akan pernah tahu ke mana arah tujunya." Dia menutup matanya sebentar lalu membukanya.
"Aku sudah mengambil langkah pertamaku yang baharu. Tahun itu, aku kekurangan wang, dan sekarang aku kekurangan Batu Rohani. Nampaknya, tak banyak yang berubah." Meng Hao menggelengkan kepalanya sambil memikirkan jumlah Batu Rohani yang sedikit di dalam beg saktinya. Dia tidak dapat mengelak daripada merasa pedih ketika dia berpaling dan meninggalkan gua. Di atas pedangnya yang terbang, dia menuju ke arah sungai.
Tiba-tiba, matanya mengecil dan dia mengangkat kepalanya. Di atas Gunung Daqing, di tempat yang sama dia berdiri tadi terdapat seorang lelaki memakai jubah berwarna keemasan. Dia menatap Meng Hao dengan dingin.
"Jadi, kamu sudah kembali ke sini," katanya dengan suara jahat yang seolah-olah menjadikan matahari terbenam semakin gelap. Hanya matanya saja yang kelihatan dengan penuh rasa tamak dan ingin membunuh.
Itu Shangguan Xiu!
Pada hari Sekta dibubarkan, dia orang pertama yang melarikan diri. Setelah beberapa hari berlalu, dia muncul kembali. Selepas bertanya sekeliling, dia dapat tahu tentang pembubaran Sekta dan bagaimana Bapa Reliance telah menanamkan rasa takut ke dalam hati seluruh dunia Pertapa Negeri Zhao. Jadi, bagi menutup jejaknya, dia telah beredar. Dia memutuskan sudah tiba masanya untuk menuai beberapa tanaman ubat yang dia tanam secara rahsia dulu.
Walau bagaimanapun, dalam perjalanannya, dia melalui Gunung Daqing yang membuatnya terfikir saat dia menyiasat Meng Hao. Dia tahu ini tempat Xu Qing menemuinya. Jadi, dia membuat keputusan untuk tinggal selama beberapa hari dengan harapan akan bertemu dengan Meng Hao.
Niat membunuh bersinar di mata Meng Hao. Dia berada di tahap ketujuh Pemekatan Qi. Jadi, dia dapat mengesan tahap Pertapa lainnya. Shangguan Xiu berada di tingkat kesembilan. Meskipun asas Pertapaannya tidak lengkap, dia semakin hampir. Kalau bernasib baik, dia pasti dengan segera akan berjaya mencapai Pengukuhan Asas yang akan menjadikannya salah seorang pakar terkuat di Negeri Zhao.
Meng Hao tahu dia bukanlah lawannya meskipun dia memiliki banyak barang sakti. Namun, kini, beg saktinya belum diisi kembali,dan dia hampir tidak memiliki Batu Rohani. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk bertarung.
Tanpa sepatah kata, dia berlalu pergi. Tubuhnya berubah menjadi kabur. Saat dia bergerak pergi, Shangguan Xiu ketawa dingin. Di dalam Sekta, dia takut dengan Orang Lama Ouyang dan tidak berani melawan pengikut Sekta Dalaman. Tapi itu dulu. Keinginannya untuk membunuh Meng Hao dan mengambil khazanahnya berkobar-kobar. Tubuhnya bergerak sepantas kilat dan azimat muncul di hadapannya. Dia memanggilnya dan dia segera mengejar Meng Hao.
"Kali ini, tiada latihan kenaikan tahap khas! Bagaimana kamu nak lepas daripada tangan aku?!" Senyum menyeramkan kelihatan diwajah Shangguan Xiu. Dia bertekad untuk berjaya!
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT