Masa terus berlalu dan pada satu ketika, Abang Chen meninggalkan Meng Hao. Walaupun Meng Hao baru sahaja memasuki Sekta Dalaman, dia masih lagi mentah dan Chen Fan bertanggungjawab untuk memberikan penerangan padanya supaya dia boleh memahami maksud sebenar Pertapaan. Untuk membantunya mengetahui maksud mara ke hadapan supaya tidak ketinggalan dan memahami laluan hidup dan mati dunia Pertapaan.
Memasuki Sekta Dalaman ialah langkah pertama yang sebenar bagi merentasi ambang dunia Pertapaan. Langkah seterusnya Pengukuhan Asas.
Meng Hao duduk sendirian di atas batu tongkol sambil merenung langit, melihat bulan dan gugusan bintang. Dia berdiam diri dan mindanya dipenuhi pelbagai perkara. Dia berasa agak keliru.
Masa terus berlalu dan kini sudah menjelang waktu tengah malam. Wang Tengfei duduk di dalam Gua Dewanya. Dia melihat tangan kanannya yang kehilangan jari telunjuk. Dia kelihatan bingung. Di hadapannya ialah kepingan jed yang terbelah dua. Setelah dia kembali sedar, itulah perkara pertama yang dia lakukan.
Dia tidak berjaya memasuki Sekta Dalaman. Oleh itu dia tidak berjaya menyelesaikan matlamat keduanya. Dia hampir putus harapan. Sebaik sahaja dia sedar dia mematahkan kepingan jed itu menjadi dua sambil tersenyum pahit.
Dia telah ditewaskan dengan sepenuhnya oleh seekor serangga. Dia telah ditewaskan oleh pedang Meng Hao serta asas Pertapaan Meng Hao yang lemah. Jika He Luohua tidak masuk campur, dia pasti sudah menemui ajalnya.
Kekalahan ini telah mengakhiri perjalanannya di Sekta Reliance ini. Dia tidak keluar dari Gua Dewanya setelah dia sedar dari pengsan. Dia hanya duduk dalam kebingungan.
Dia Insan Terpilih. Kedudukan Puaknya di dalam Wilayah Selatan tidak dapat dikalahkan. Dia sangat angkuh sejak dari zaman kanak-kanaknya lagi, seolah-olah dunia berada di bawah tapak kakinya. Sebab itulah dia enggan untuk tinggal bersama Puaknya, tetapi sanggup datang ke Negeri Zhao dan Sekta Reliance ini untuk mencari Warisan dan khazanah itu. Malah dia juga menangguhkan Pengukuhan Asas untuk mengejar dua matlamat ini. Kini, segala-galanya telah musnah ibarat abu yang berterbangan di udara.
Gelak ketawa pahit Wang Tengfei bergema di dalam Gua Dewa. Dia terus ketawa sambil menggenggam penumbuknya dengan erat. Namun kukunya tidak begitu tajam, jadi dia tidak dapat mengalami kesakitan yang dirasai oleh Meng Hao tempoh hari.
Dia tidak dapat menerimanya. Jika dia tumpas di tangan seorang Insan Terpilih, dia boleh menerima kekalahan itu. Tetapi, orang yang merampas tempatnya di dalam Sekta Dalaman dan yang telah menginjak-injaknya ialah orang yang dia tidak pandang sebelah mata sekalipun. Seekor serangga yang tidak namanya juga Wang Tengfei tidak ingat. Dia benar-benar tidak boleh menerimanya.
Pada ketika ini, pintu utama Gua Dewa Wang Tengfei tiba-tiba musnah tanpa sebarang bunyi. Seluruh pintu itu bertukar menjadi abu yang jatuh perlahan-lahan ke lantai Gua Dewa itu.
Seorang lelaki pertengahan usia berdiri di muka pintu. Dia memakai jubah hitam sambil tangannya diletakkan di belakangnya. Dia kelihatan kurus kering tetapi mempunyai aura keangkuhan. Cahaya bulan yang menyinarinya kelihatan seperti bergetar dan membentuk riak. Kewujudan lelaki ini menggegarkan banjaran gunung di kawasan sekitar.
Terdapat seorang gadis muda di sebelah lelaki pertengahan umur itu. Gadis itu mungkin berusia lapan belas atau sembilan belas tahun. Gadis itu begitu jelita, tinggi dan berbadan langsing. Dia tidak semakai secalit solekan sekalipun, namun wajahnya tetap berseri seperti langit fajar. Rambutnya disemat menjadi bentuk ekor burung layang-layang dan tubuhnya seolah-olah diukir daripada jed. Dia memakai pakaian yang nipis dan berwarna hijau terang. Dia berdiri di bawah cahaya bulan dengan memancarkan aura sakti, tenang dan bebas daripada kekotoran dunia. Dia kelihatan seperti dewi yang turun dari langit.
"Puak Wang ialah salah satu daripada tiga Puak Pertapa terhebat di Wilayah Selatan," lelaki pertengahan umur itu bersuara dengan tenang. Suaranya mengandungi kedinginan yang mengagumkan dan sukar untuk dijelaskan. "Puak ini telah menewaskan banyak Sekta dan telah wujud selama sepuluh ribu tahun di Wilayah Selatan.
"Kamu Insan Terpilih Puak Wang. Sejak lahir, kamu sudah ditakdirkan untuk mencapai perkara luar biasa dan bangkit lebih tinggi daripada langit. Kamu telah ditakdirkan untuk terlibat di dalam pergelutan dengan Dewa lain."
Sewaktu Wang Tengfei mendengar kata-kata lelaki pertengahan tahun itu, dia mendongak perlahan-lahan dan tidak mempedulikan jarinya yang sudah terputus itu.
"Apalah sangat setakat halangan-halangan kecil ini? Negeri Zhao yang menyedihkan ini tidak mempunyai sebarang kepentingan di Wilayah Selatan. Negeri ini hanya dipenuhi orang-orang picisan. Jika saya hantar seorang sahaja ahli Puak yang berada di tahap Pertumbuhan Roh ke sini, dia boleh menghapuskan mereka semua." Lelaki pertengahan umur itu bercakap dengan penuh yakin. Kata-katanya tidak boleh dibantah sama sekali. Wang Tengfei menggenggam penumbuknya dan matanya mula membara.
"Musuh sebenar kamu ialah insan Terpilih yang lain dalam Puak kamu, Pewaris dua Puak besar di Wilayah Selatan dan pengikut lima Puak yang lain. Hanya mereka yang layak jadi musuh kamu. Jika mereka lihat keadaan kamu yang menyedihkan sekarang, bagaimana kamu berani mengatakan yang kamu ini daripada keturunan Wang?!"
"Apa nama keluarga kamu?" kata lelaki pertengahan umur itu sambil mengibaskan lengan bajunya.
"Nama saya Wang!" Wang Tengfei berdiri dan matanya berkilauan.
Lelaki pertengahan umur itu memandang Wang Tengfei dengan lama dan kemudian pandangannya menjadi lembut.
"Kamu ibarat Burung Roc Puak Wang. Dalam masa beberapa tahun, kamu akan mencapai Pengukuhan Asas. Di masa depan, di laluan utama ke Pembentukan Teras, kamu akan dibantu oleh Qi Ungu Lembayung dari hikmat Timur milik Sekta tunang kamu. Kamu akan berjaya mencapai Pembentukan Teras tidak lama lagi. Selepas itu, kamu akan mencapai Pertumbuhan Roh. Selepas itu berlaku, kamu akan dapati yang orang picisan yang menewaskan kamu di dalam Negeri Zhao ini masih lagi berlatih Pemekatan Qi."
"Ketika itulah kamu benar-benar boleh memandang hina pada serangga itu." Dia memberikan pandangan bermakna pada Wang Tengfei dan kemudian berpaling.
"Tengfei," gadis cantik itu bersuara. Suara perlahannya begitu merdu. Ditambah pula dengan kecantikan yang menjadikan dirinya sangat menawan. Kesempurnaannya sama seperti kesempurnaan Wang Tengfei. Jika mereka ditakdirkan bersatu, mereka ibarat jodoh yang bersemi di kayangan dan bakal mencetuskan rasa cemburu pada sesiapa sahaja yang sedang menuju Keabadian.
Wang Tengfei melihat gadis itu tanpa bersuara. Ini tunangnya.
"Mari kita pulang," kata gadis itu dengan lembut sambil memandang Wang Tengfei dengan kasih sayang.
Wang Tengfei mengangguk. Dia mengekori gadis itu keluar dari Gua Dewa dan mereka melangkah ke hadapan bersama-sama lelaki pertengahan tahun itu. Tiba-tiba kedengaran satu bunyi yang menggegarkan langit malam. Satu panahan petir menyambar dari langit dan bertukar menjadi kapal perang terbang yang hampir tiga ratus meter panjangnya. Kapal itu berwarna hitam dan membangkitkan ketakutan maut terutama sekali tiang bendera besar di mana berkibarnya bendera merah bersulam perkataan "Wang."
Di atas kapal itu terdapat ramai lelaki dengan riak wajah tidak beremosi. Mereka sedang berdiri dalam keadaan siap sedia sambil memancarkan aura dingin.
Bunyi bingit yang baru kedengaran bersama-sama kemunculan kapal perang itu membuatkan pengikut Sekta Reliance menggigil ketakutan. Mereka melihat pemandangan itu dengan penuh rasa tidak percaya.
Meng Hao masih duduk di atas puncak Gunung Timur. Tersentak daripada pertapaannya, dia melihat ke arah kapal perang hitam dengan bendera merah yang mengejutkan itu dan hatinya gementar.
"Saya patut halang kamu daripada datang ke tempat mundur ini," kata lelaki pertengahan umur itu sewaktu mereka melangkah masuk ke dalam kapal. "Sekalipun Kitab Suci Rohani Indah dikhabarkan pernah dilihat di sini, peristiwa itu berlaku ratusan tahun lalu." Wang Tengfei berdiri melihat ke arah Sekta Reliance. Dia memadam semua memorinya sejak beberapa tahun lalu secara perlahan-lahan.
Pandangannya tidak lagi mesra dan lembut, senyumannya tidak lagi ikhlas dan menawan. Dia menjadi dingin, terutama sekali di matanya yang memancarkan kebencian. Kini dia berbeza sepenuhnya daripada Abang Wang yang dahulu.
Dia memandang ke arah Meng Hao yang sedang duduk di atas puncak gunung. Mereka berdua saling merenung buat seketika dan kemudian sekali lagi Wang Tengfei memandang rendah pada Meng Hao. Bagi dirinya, Meng Hao ialah seekor serangga. Keangkuhan menyelubungi dirinya kerana nama keluarganya ialah Wang!
Pada saat ini, lelaki pertengahan umur itu ternampak Meng Hao yang sedang duduk di situ. Dia tidak mendedahkan asas Pertapaannya, tetapi pandangannya sudah cukup untuk menyebabkan ngauman dahsyat yang menggegarkan seluruh Gunung Timur. Pandangannya itu menusuk Meng Hao seperti pedang yang tajam.
Riak wajah Meng Hao berubah dan dia membatukkan segumpal darah. Seluruh tubuhnya berasa seram sejuk dan dia dapat merasakan kuasa yang dahsyat menimpa dirinya. Kepalanya berpusing dan dia kehilangan keupayaan walaupun untuk berfikir. Dia sangat lemah sehingga merasakan seolah-olah dia boleh pengsan dengan hanya satu pukulan sahaja.
Dia dapat membayangkan ajalnya sudah tiba. Tubuhnya akan kering dan kerepot, rohnya akan terpadam. Darah menitik jatuh dari dahinya.
Kesunyian. Ketidakupayaan. Kematian. Semuanya bergabung menjadi satu tangan gergasi yang menekannya, perlahan-lahan menghancurkannya menjadi keping-kepingan tanpa sebarang harapan untuk pulih sama sekali.
Tiba-tiba, dengusan dingin kedengaran dan memenuhi seluruh Sekta Reliance. Satu susuk tubuh berpakaian biru muncul di hadapan Meng Hao.
"Asas Pertapaan kamu berada di tahap Pembentukan Teras. Bukan Teras Campuran juga, tetapi sekurang-kurangnya di tahap Ungu atau Merah Lembayung. Namun awak buli seorang budak mentah yang mempunyai Pemekatan Qi peringkat rendah? Adakah kamu ini benar-benar
Bunyi itu bergemuruh, seolah-olah semua benda yang berada di sekitarnya akan hancur kerananya. Kemudian bunyi itu bertukar menjadi lapisan demi lapisan riak yang datang dari He Luohua. Dia berdiri di situ seolah-olah hanya dia seorang sahaja berada di dunia ini. Dia merenung tajam pada Wang Xifan yang sedang berdiri di dalam kapal perang.
"Nampaknya saya telah membuatkan Rakan Penganut Tao He marah," kata Wang Xifan sambil ketawa kecil. "Saya di sini untuk bawa Tengfei pergi. Terima kasih kerana menjaga dia selama bertahun-tahun ini." Matanya terpancar keangkuhan yang tidak dapat dijelaskan. Dia melibas lengan bajunya. Kapal perang itu mula berdengung, kemudian bertukar menjadi jaluran warna, menderu ke langit yang dipenuhi bintang dan hanya meninggalkan kerlipan-kerlipan cahayanya.
Meng Hao memuntahkan darah lagi, tetapi masih terus merenung jauh dan mata dinginnya bercahaya.
He Luohua memandang Meng Hao sambil berdiam diri, kemudian dia mengeluh dan berlalu pergi. Meng Hao merenung jauh ke arah kapal perang yang menghilang itu.
"Jadi itulah Pertapa di tahap Pembentukan Teras. Dia boleh menghancurkan saya dengan hanya sekali pandang sahaja dan itu hanyalah tahap Pembentukan Teras. Setelah itu tahap Pertumbuhan Roh dan kemudian tahap Pemisahan Roh dan tahap lain... Puak Wang dari Wilayah Selatan!" Meng Hao mengetap giginya dengan marah dan api membara di dalam matanya.
'Jika kamu tidak kuat, maka kamu tidak layak wujud. Jika kamu tidak kuat, kamu tidak layak untuk mengamalkan Pertapaan. Jika kamu tidak kuat, maka kamu tidak layak untuk terus hidup, tetapi hanya untuk dipijak-pijak. Kamu sanggup untuk melalui kehidupan begini?' Kata-kata Abang Chen bergema di dalam kepalanya. Semakin lama semakin kuat kata-kata itu tertanam ke dalam mindanya, ke dalam tulangnya, dan ke dalam jiwanya.
"Aku tidak sanggup!" Suara Meng Hao perlahan. Dia menggenggam penumbuknya. Suaranya lemah, tetapi bukan di dalam hatinya. Suara hatinya bergema seperti bunyi petir.
"Aku tidak sanggup untuk biarkan sesiapa mengambil kesempatan terhadap diriku!"
"Aku tidak sanggup untuk menjadi orang yang lemah!"
"Aku tidak sanggup membiarkan hak aku untuk melawan dirampas!"
"Aku akan jadi kuat! Aku akan jadi berkuasa!" Sejak dahulu lagi Meng Hao menyimpan impian untuk menjadi kaya dan mengembara ke Tang Agung di Tanah Timur. Dia masih mempunyai hasrat itu, tetapi kini dia mempunyai azam baru. Dia akan menjadi kuat. Di atas laluan pertapaan, laluan yang mengingkari Syurga, jika kita tidak kuat, kita akan mati.
Setengah bulan telah berlalu. Meng Hao menghabiskan sebahagian besar masanya dengan duduk bersila di Astaka Sakti, mempelajari catatan kuno. Sekarang dia mempunyai pemahaman yang lebih mendalam mengenai Negeri Zhao dan Wilayah Selatan.
Dia juga telah menemui peta bagi kawasan Syurga Selatan yang dilukis dengan tangan. Peta ini menunjukkan Tang Agung di Tanah Timur, Hulu Sungai Utara dengan seruling Qiang Di, Tanah Barat Orang Gasar, dan tentulah Wilayah Selatan, di mana dia sedang berada.
Seluruh dunia dipaparkan secara rapi di atas satu peta, dan Meng Hao menghafal peta tersebut. Wilayah Selatan terdiri daripada kawasan tanah Syurga Selatan, sedangkan Negeri Zhao hanya satu titik kecil.
"Wilayah Selatan ini begitu besar sehingga dapat menampung beribu-ribu Negeri Zhao..." Dia memandang ke langit biru di luar Astaka Sakti, matanya dipenuhi dengan ekspresi terpesona.
"Jadi ternyata pengembaraan ke Tang Agung di Tanah Timur tidak begitu mudah. Kamu perlu menyeberangi Laut Bima Sakti..." Selepas beberapa ketika, Meng Hao melihat peta itu semula. Terdapat empat kawasan utama di tanah Syurga Selatan. Tanah Timur dan Hulu Sungai Utara membentuk satu benua kecil yang dipisahkan oleh lautan luas dari Tanah Barat Orang Gasar dan Wilayah Selatan, yang membentuk satu lagi benua kecil.
Apabila matahari mula terbenam di sebalik pergunungan barat dan hari mula senja, Meng Hao menggosok-gosok matanya kemudian memulangkan peta itu ke tempatnya sebelum meninggalkan Astaka Sakti. Dia memandang jauh ke arah timur untuk seketika, kemudian berpaling dan menuju ke Gua Dewa Sekta Dalaman miliknya.
Di dalam Gua Dewa, mutiara bercahaya yang bertatah di permukaan gua memancarkan cahaya lembut ke dinding berwarna hijau muda. Terdapat lima bilik batu serta sebuah Mata Air Panas Rohani yang membuak-buak mengisi gua itu dengan Tenaga Rohani yang padat. Ini kelebihan yang diberikan kepada para pengikut Sekta Dalaman. Meng Hao masuk dan duduk bersila di atas sekeping jed putih yang tebal. Jed ini tidak diperbuat daripada Batu Rohani, tetapi bermeditasi di atasnya membantu minda seseorang menjadi lebih jelas dan jed ini merupakan harta yang jarang ditemui.
Jed ini juga khas untuk para pengikut Sekta Dalaman sahaja.
"Hanya pengikut Sekta Dalaman yang dianggap sebagai pengikut Sekta Reliance," fikir Meng Hao dalam diam sambil memandang di sekelilingnya. Dinding batu berwarna hijau muda dihias ukiran pelbagai jenis burung dan binatang buas. Setiap ukiran seolah-olah mempunyai makna yang mendalam. Melihatkan ukiran ini sahaja cukup menimbulkan suasana elegan.
"Kelebihan ini sangat berbeza daripada apa yang diberikan kepada pengikut Sekta Luaran. Ini untuk menekankan sifat cemerlang para pengikut Sekta Dalaman. Sama seperti di dunia fana, terdapat satu pembahagian di antara lapisan. Berkat usaha keras, seseorang itu boleh melangkaui Sekta Luaran. Selepas itu, jika ingin mencapai tahap lebih tinggi, seseorang itu mesti menjadi lebih kuat!
Tidak lama kemudian tiba waktu senja dan Meng Hao terdengar satu suara bernada hormat dari luar.
"Abang Besar Meng, Li Fugui dari kaki gunung memohon untuk berjumpa." Suara ini milik sorang budak lelaki yang merupakan hamba suruhan. Selepas Meng Hao menyertai Sekta Dalaman, budak lelaki ini telah ditugaskan untuk menjaga urusan hariannya.
Ini satu lagi kelebihan hidup dalam Sekta Dalaman. Pada mulanya, Meng Hao mengalami kesukaran untuk membiasakan diri. Dia tidak pernah ada orang yang berkhidmat untuknya sebelum ini. Tetapi apabila dia melihat hamba suruhan Abang Besar Chen membantunya, Meng Hao dapat menerima keadaan ini dengan lebih mudah. Walau bagaimanapun, dia tetap teguh dengan keinginannya untuk menjadi bertambah kuat.
Hanya yang kuat dapat memiliki kuasa ke atas orang lain, dan mengelak orang lain mengawalnya. Peraturan dunia Pertapaan dan Sekta Reliance sama sahaja. Peraturan yang tidak munasabah atau adil, tetapi hakikatnya peraturan itu tetap wujud.
Kewujudan ialah kebenaran. Dunia ini pada asasnya memang tidak munasabah, dan secara semula jadinya keadilan sebenar itu tidak wujud.
"Panggil dia masuk," kata Meng Hao dengan tenang. Dengan penuh hormat, hamba suruhan yang muda itu mematuhi arahannya. Seluruh kehidupannya milik Meng Hao setelah ditugaskan untuk melayannya.
Tidak lama selepas itu, Si Gempal masuk, mengklik giginya dan berjalan dengan langkah yang panjang. Ini bukan kunjungan pertamanya, tetapi yang ketiga. Setiap kali datang, dia merasa teruja. Bagi pengikut Sekta Luaran, ini bukanlah tempat yang boleh dilawati tanpa persetujuan orang yang mereka ingin jumpa.
Hamba muda itu mengiringi Si Gempal dengan hormat. Si Gempal memandang di sekelilingnya, menyentuh pelbagai barang dengan kagum. Bahkan jed putih yang diduduki Meng Hao juga telah disentuhnya.
"Ini bukan kali pertama awak ke sini," kata Meng Hao sambil ketawa dan memerhatikan Si Gempal.
"Meng Hao, tempat ini sangat luar biasa. Setiap kali saya datang, saya tidak dapat mengawal diri. Gua Abadi seorang pengikut Sekta Dalaman ialah tempat legenda. Kamu nak tahu, selepas kali terakhir saya datang ke sini, sekumpulan pengikut Sekta Luaran berkerumun di sekeliling saya bertanyakan pelbagai soalan. Saya orang penting sekarang!" Tubuhnya bergetar, dan dia mengambil masa untuk berhenti memikirkannya. Dia duduk di depan Meng Hao.
"Jika awak mahu, saya boleh minta Gua Abadi Wang Tengfei diberikan pada awak."
"Itu...itu sangat hebat," kata Si Gempal. Dia kelihatan teruja, tetapi pada masa yang sama agak malu.
"Zhao Hai," kata Meng Hao dengan tenang. Dia melambaikan tangan kanannya, dan pintu utama dibuka. Hamba suruhan muda itu bergegas masuk dan memberikan Meng Hao satu tabik hormat.
Dia kelihatan seperti berusia empat belas atau lima belas tahun, hampir sebaya dengan Si Gempal. Wajahnya lemah-lembut, dan dia baru sahaja tiba di gunung itu baru-baru ini. Dia dikatakan berasal dari kampung yang sama dengan Harimau Kecil dan keluarganya kaya.
"Bawa Papan Rohani saya ke Astaka Pengagihan Gua dan dapatkan kepingan jed Gua Abadi Wang Tengfei." Dia melambaikan tangannya, dan satu kepingan jed putih terbang ke tangan hamba suruhannya itu.
Hamba muda itu menerima tugasan yang diberikan, kemudian berlalu pergi dengan ekspresi wajah penuh hormat.
"Meng Hao, bila awak akan turun dari gunung?" Tanya Si Gempal dengan penuh bersemangat. "Saya berjanji dengan para pengikut Sekta Luaran yang awak akan pergi untuk memeriksa mereka. Awak tidak boleh memungkiri janji, saya sudah berjanji dengan mereka."
"Orang Lama Ouyang kata saya akan mempengerusikan Hari Pengedaran Pil nanti," kata Meng Hao sambil tersenyum. "Saya rasa majlis itu akan berlangsung lusa ini." Mereka berdua telah bersama-sama menyertai Sekta tiga tahun lalu. Ikatan persahabatan yang mendalam telah lama terbina di antara mereka.
"Hebat, lusa inilah. Oh ya, perniagaan kita sudah semakin maju sejak setengah bulan yang lalu. Saya sudah mengasingkan 80% bahagian kamu." Dia menyerahkan satu beg sakti pada Meng Hao, sambil kelihatan gembira. Si Gempal juga nampaknya sudah faham maksud di sebalik Sekta Reliance. Dengan adanya sokongan dari Meng Hao, siapa di Sekta Luaran yang berani melawan kata-katanya?
Lebih baik lagi, pengikut perempuan Sekta Luaran yang cantik telah mula mengampu dia sehingga dia seolah-olah melayang-layang di udara. Buat masa ini, Si Gempal agak terkenal.
"Shangguan Xiu ada menimbulkan sebarang masalah pada awak baru-baru ini?" tanya Meng Hao tiba-tiba, matanya bersinar.
"Tiada siapa yang melihat keparat itu akhir-akhir ini," jawab Si Gempal, suaranya menjadi serius. "Saya telah menugaskan seorang pengikut untuk melakukan pengintipan bagi pihak saya. Dia mengatakan Shangguan Xiu duduk bermeditasi di tempat yang terpencil sepanjang hari dan tidak pernah keluar."
"Berhati-hatilah" Meng Hao memberi amaran bukan untuk pertama kalinya. "Jika terjadi sesuatu, patahkan token mesej yang saya berikan."
Tidak lama kemudian, Zhao Hai kembali dengan kepingan jed Gua Abadi Wang Tengfei. Meng Hao memberikannya kepada Si Gempal. Kedua-duanya bergelak ketawa dan berbual-bual sehingga larut malam. Nampaknya Si Gempal tidak mahu pergi. Malah dia seolah-olah menjadi semakin teruja.
Meng Hao terkejut dengan perkara ini, tetapi sewaktu dia teringat hari itu hari apa, dia ketawa.
"Hari ini Buah Perubatan diedarkan di Sekta Dalaman," kata Meng Hao.
Si Gempal menjilat-jilat bibirnya dan mengangguk. Hatinya penuh rasa iri hati dengan perbezaan di antara pengikut Sekta Dalaman dan Luaran. Setiap bulan Buah Perubatan akan diedarkan. Ini sejenis Buah Rohani khusus yang diseduh dengan Pil Perubatan. Rasa Buah Rohani sama seperti Pil Perubatan, tetapi jauh lebih berkesan berbanding Pil Perubatan biasa.
Pengikut Sekta Dalaman menerima buah tersebut sebulan sekali.
Selepas habis sebatang colok terbakar, Zhao Hai masuk. Dia sebenarnya tidak suka pada Si Gempal, tetapi langsung tidak menunjukkan perasaan itu di wajahnya. Di tangannya ada Buah Perubatan yang dibungkus dalam daun hijau yang besar.
Buah itu mengeluarkan aroma yang lembut sehingga menyebabkan Zhao Hai menelan air liurnya. Dia meletakkan buah itu ke bawah dan berlalu pergi.
Apabila daun besar itu ditanggalkan, haruman perubatan mengisi udara. Di dalam daun itu ada dua buah bersaiz kecil yang separuh lut sinar dan berwarna merah muda. Kedua-dua biji buah itu kelihatan sangat lembut, seolah-olah boleh pecah jika disentuh. Di dalam setiap satunya terdapat sebiji pil perubatan yang hampir tidak kelihatan.
Mata Si Gempal terbeliak. Dia tidak pernah makan Buah Perubatan sebelum ini, tetapi pernah mendengar mengenainya dari beberapa pengikut Sekta Luaran baru-baru ini. Selepas bertanya beberapa soalan, dia telah mengetahui tarikh pengedaran buah ini dan bergegas melawat Meng Hao dengan perasaan teruja. Dia mengambil sebiji buah dan memasukkannya ke dalam mulutnya. Dia menggigit buah itu kemudian menelannya, dan satu rasa yang lazat memenuhi mulutnya. Kemudian kepalanya mula merasai kehangatan yang kemudiannya tersebar ke seluruh tubuhnya.
"Sungguh luar biasa. Pasti sayalah pengikut Sekta Luaran pertama yang dapat makan Buah Perubatan. Kalau hal ini tersebar, pasti para gadis akan berasa sangat iri hati. Semua orang akan cemburu dengan tuah Tuan Besar Si Gempal." Tiba-tiba seolah-olah teringatkan sesuatu, dia cepat-cepat menutup mulutnya supaya aroma harum itu tidak hilang. Dia memberi isyarat menggunakan tangannya kepada Meng Hao untuk mengatakan dia harus pergi, sebelum berlari keluar.
'Saya ada bukti!' fikirnya. 'Saya perlu mencari beberapa pengikut perempuan dan biarkan mereka menghidu bau ini.' Semakin dia memikirkannya, semakin dia berasa teruja. Dia berlari menuruni gunung dengan lebih cepat.
Rancangan bijak Si Gempal amat jelas dan ini menyebabkan Meng Hao ketawa. Dia perlahan-lahan memasukkan baki Buah Perubatan itu ke dalam mulutnya. Buah itu sangat lazat, penuh dengan rasa Perubatan yang padat.
"Ini lagi satu kelebihan pengikut Sekta Dalaman..." Sambil makan Buah Perubatan, dia mengeluh. Kehidupan ini bukanlah sesuatu yang dapat dinikmati oleh para pengikut Sekta Luaran. Jika dia mahu, dia hanya perlu membuat isyarat, dan mana-mana pengikut wanita yang cantik akan setia padanya.
Dua hari kemudian tibalah Hari Pengedaran Pil. Meng Hao berjalan keluar dari Gua Dewa, diikuti rapat oleh si hamba muda Zhao Hai. Di tangannya ada beg sakti berwarna ungu. Beg itu dipenuhi Batu Rohani dan Pil Perubatan untuk diedarkan.
Angin gunung menyambut ketibaan fajar sewaktu Meng Hao bergerak turun. Sepanjang perjalanannya, pengikut Sekta Luaran yang dia temui terkejut melihatnya, kemudian berhenti dan memberinya tabik genggam.
"Salam, Abang Besar Meng."
"Abang Besar Meng kelihatan elegan seperti biasa. Sudah lama saya tidak berjumpa kamu, Adik Seguru sangat rindu dengan kamu."
"Salam, Abang Besar Meng, bakat terpendam kamu sangat hebat. Asas Pertapaan kamu juga menakjubkan, kamu pasti akan menjadi tonggak Sekta."
Ditemani segala pujian dan sanjungan yang diterimanya, Meng Hao terus berjalan sehingga tiba ke dataran yang sudah dipenuhi sejumlah besar pengikut Sekta. Menyedari kehadirannya, mereka memberi tabik hormat, dan kemudian sanjungan dan pujian kedengaran lagi.
Dia mengangguk, tersenyum, kemudian melompat, membawa Zhao Hai bersamanya ke platform. Ini bukan kali pertama dia di sini, tetapi ini kali pertama dia mengedarkan Pil Perubatan.
Dia memandang ke arah orang ramai. Wajah setiap orang dipenuhi ketaatan penuh hormat. Secara beransur-ansur, wajah Meng Hao menjadi semakin terganggu. Dia mengimbas kembali ke kali pertama dia ke Hari Pengedaran Pil. Ketika itu Wang Tengfei telah memalukannya. Banyak kenangan terlintas di fikirannya.
Akhirnya, dia menarik nafas dan berkata, "Bunyikan loceng."
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT