Pedang terbang Meng Hao dan teknik sihir khas Wang Tengfei membuat para Petapa sekelilingnya terpesona. Mereka tidak lagi memandang rendah terhadap Meng Hao, tetapi agak terkejut dengan pelbagai barang saktinya.
Bukan mereka sahaja. Shangguan Xiu, Orang Lama Ouyang, dan juga Pemimpin Sekolah He Luohua memandang dengan kagum.
Wang Tengfei kuat, mampu menakutkan pertapa-pertapa lain. Semua orang tahu tentang hal ini, jadi melihat Meng Hao menunjukkan kekuatan setanding dengan kehebatan Wang Tengfei menyebabkan semua orang yang menonton berasa terkejut.
Pada saat ini, empat puluh bilah pedang terbang turun ke arah Wang Tengfei dari pelbagai arah, Pedang Ribut yang kelihatan mampu menghancurkan mana-mana benda hidup yang berada di laluannya. Lawan biasa yang mempunyai Pemekatan Qi peringkat keenam mungkin akan menghadapi kesukaran menentang teknik ini.
Meng Hao batuk darah. Satu-satunya cara untuk memaksa dirinya untuk tetap berdiri tegak ialah meneruskan pengambilan Teras Syaitan.
Suatu bunyi letupan meletus sewaktu empat puluh pedang terbang Meng Hao bertembung dengan kuasa serangan jari kedua Wang Tengfei. Lebih separuh daripada pedang-pedang itu musnah, tetapi serangan jari tidak dapat melakukan apa-apa terhadap Meng Hao selain memaksa dia batuk darah sedikit.
Sesiapa sahaja akan berhati-hati dalam pendekatan mereka untuk menguruskan Meng Hao, tetapi Wang Tengfei seperti biasa, tetap dengan sikap acuh tak acuhnya. Dia melangkah ke hadapan dan melambaikan tangannya untuk kali ketiga.
Tenaga rohani Meng Hao sudah hampir habis. Tetapi dia mempunyai banyak Teras Syaitan untuk menambah tenaga rohaninya. Sepanjang masa ini, dia berjaya mengekalkan tenaga kerohaninya di tahap yang sekata. Ketika dia menyaksikan Wang Tengfei membuat gerakan ketiga, dia teringat serangan jari yang sama telah memusnahkan botol labunya. Niat membunuh di matanya bertambah kuat. Dia tidak berundur tetapi terus mengambil langkah ke hadapan, jari-jemari dalam gerakan mantera. Tiga atau empat beg saktinya mula bergetar, dan kemudian tiba-tiba aura pedang muncul satu demi satu sehingga mengejutkan penonton.
Sambil melambaikan lengannya, Meng Hao menghantar satu gelombang, dua gelombang, tiga gelombang pedang terbang yang berubah menjadi hujan pedang yang mempesonakan. Satu pedang, sepuluh, dua puluh, tiga puluh bilah pedang... Tujuh puluh bilah pedang dalam empat gelombang, aura pedang yang luar biasa. Semuanya meluru ke arah Wang Tengfei.
Meng Hao kerapbatuk darah, kemudian mengambil pil perubatan. Matanya benar-benar merah, tetapi niat membunuh di dalam matanya masih kuat seperti biasa. Walaupun dia kehabisan tenaga rohani, dia akan tetap berusaha sehabisnya!
Wang Tengfei berdeham dingin. Dengan begitu ramai orang melihatnya, dia tidak mahu mengelak serangan itu, tetapi ada terlalu banyak pedang terbang. Pedang-pedang itu kelihatan seperti menghampiri dalam satu garisan tegak, tetapi ada sesuatu yang tidak kena dengan serangan itu. Dia dapat merasakan jika dia cuba untuk mengelak dari serangan, dia masih akan berdepan kematian.
Buat pertama kalinya, suatu perasaan muncul di mata Wang Tengfei. Dia mengangkat jarinya, dan segera menukar ke serangan jari keempat. Satu riak muncul di hadapannya, dan pada saat riak itu sedang merebak, jari-jari Meng Hao berhenti bergerak dan dia merapatkan kedua telapak tangannya dengan rata di depannya.
"Pedang Buatan Angin!" Sebaik sahaja kata-kata itu keluar dari mulut Meng Hao, tujuh puluh pedang terbang itu tiba-tiba mula bergabung bersama.
Para penonton ternganga kerana terkejut apabila gelombang pedang keempat menambah kelajuan, menghentam gelombang ketiga, yang kemudiannya merebak ke hujan pedang gelombang kedua, dan akhirnya mengenai belakang gelombang pertama. Kemudian angin deras menekan dari pelbagai arah untuk membentuk pedang terbang menjadi lebih padat! Dari jauh, kelihatan seolah-olah sebilah pedang terbang raksasa telah terbentuk.
Ini adalah Pedang Terbang Matriks Meng Hao, yang dibuat bersama dengan pengeluaran Bilah Anginnya. Ini teknik pedang yang telah dikembangkannya sewaktu dia berada di atas gunung hitam. Pedang ini menembak ke arah Wang Tengfei dengan kekuatan yang tidak dapat ditahan-tahan. Bunyi letupan memenuhi ruang udara saat alunan di hadapan Wang Tengfei mulai melengkung seolah-olah ditolak oleh kekuatan yang besar. Ini seterusnya menyebabkan Wang Tengfei, buat pertama kalinya, berundur ke belakang.
"Betapa sombongnya kau untuk memaksa aku untuk berundur ke belakang." Ini kali pertama dia bercakap dengan Meng Hao sepanjang pertempuran. Tangan kirinya menampar beg saktinya dan sebuah patung kristal berkilauan muncul. Ini patung kuda yang kelihatan seakan-akan hidup, penuh tenaga dan semangat.
Bunyi kuda itu memenuhi udara, dan patung kristal itu menjadi hidup, melompat keluar dari telapak tangan Wang Tengfei dan terbang lurus ke arah pedang gergasi Meng Hao. Sebaik sahaja kedua-duanya bertembung, pedang gergasi itu mula musnah, bermula dari hujungnya. Lapisan demi lapisan pedang itu dihancurkan oleh kuda kristal. Dalam sekelip mata, sebahagian besar pedang gergasi itu telah musnah, dan satu-satunya yang tersisa ialah kepalanya. Pedang terbang berselerak di semua arah.
Melihat keadaan ini, hati penonton berdebar-debar dan mereka mempunyai sedikit masa untuk memikirkan apa yang sedang berlaku. Mereka kelihatan terkejut dan tidak percaya.
Dan kemudian, tepat ketika pedang raksasa itu dipecahkan hingga hanya tinggal hulu pedang, sebilah pedang baru terbang keluar dari tengah-tengah pedang lainnya. Pedang yang diperbuat daripada kayu. Pedang itu meluru ke arah kuda kristal, dan apabila bertembung di antara satu sama lain, satu ledakan yang paling kuat kedengaran. Bunyi ledakan ini bergema beberapa kali.
Ketika ini, hanya pedang kayu itu berada di bawah kendalian Meng Hao. Segalanya merupakan satu tipu muslihat untuk menyembunyikan pedang kayu ini bagi membolehkan serangan ini dilakukan secara mengejut.
Pedang yang sepatutnya menjadi milik Wang Tengfei, kini berada di dalam tangan Meng Hao. Bagi Wang Tengfei, pedang ini satu khazanah, tetapi bagi Meng Hao, pedang ini bernilai dua ribu Batu Rohani. Tidak kira betapa hebat nilainya, inilah senjata paling kuat yang Meng Hao miliki, pastilah dia akan menggunakannya.
Di tengah-tengah ledakan yang memekakkan itu, kuda kristal mula bergetar dan banyak retakan muncul di permukaannya. Kemudian, kuda itu hancur berkecai.
Raut wajah Wang Tengfei berubah serta-merta. Pedang kayu itu ditembak ke arahnya, bersama-sama pedang terbang yang masih ada. Saat pedang kayu itu semakin dekat, dia mengangkat lengannya secara refleks, menumpukan asas Pertapaannya di jari dan menembaknya dengan satu letupan. Letupan itu menyebabkan semua pedang terbang berputar, tetapi bukan pedang kayu yang terus bergerak sehingga menusuk jari Wang Tengfei dan menghancurkannya. Kemudian pedang itu berputar kembali dan terapung di sisi Meng Hao.
"Jari itu membuatkan aku terhina," kata Meng Hao perlahan. "Hari ini, aku memusnahkannya!" Dia memuntahkan banyak darah, terhuyung-hayang beberapa langkah ke belakang. Darah menitis dari tepi mulutnya.
Wang Tengfei mengambil beberapa langkah berat ke belakang, mengabaikan rasa sakit dijarinya. Matanya dipenuhi perasaan tidak percaya. Dia merenung pedang kayu yang terapung di sisi Meng Hao. Kata-kata Meng Hao yang baru saja diucapkan terngiang-ngiang di telinganya. Kemudian, kemarahan yang tidak terkata muncul di dalam dirinya.
Dia mengenali pedang ini!
Ketika jari Wang Tengfei dimusnahkan, semua Pertapa di dataran itu terkejut. Perbualan menjadi rancak kembali.
"Meng Hao memusnahkan jari Abang Wang Ini...ini tidak mungkin!"
"Abang Wang cedera, dia Yang Terpilih, tetapi Meng Hao menghancurkan jarinya... Meng Hao..."
"Sangat menakutkan kerana dia mempunyai banyak pedang terbang dan dia menggunakan tujuh puluh pedang terbang untuk membuat pedang gergasi. Hebatnya!"
Shangguan Xiu menarik nafas panjang. Semua yang berlaku seolah-olah tidak dapat dibayangkan. Dia bukan satu-satunya orang yang terkejut. Orang Lama Ouyang berdiri dan memandang Meng Hao, matanya diisi kekaguman yang mendalam dan penuh dengan harapan.
Malah He Luohua yang berdiri di puncak Gunung Timur, melihat ke arah Meng Hao dengan matanya berkilauan.
Bunyi perbualan itu mencapai telinga Wang Tengfei, tetapi dia tidak mengendahkannya, seolah-olah dia langsung tidak mendengar apa-apa. Api kemarahan menyala di matanya, dan dia merenung tajam pedang kayu yang mengelilingi Meng Hao.
"Jadi, kaulah orangnya!" Wang Tengfei tidak peduli untuk menghentikan darah daripada mengalir keluar dari jarinya. Dia hanya pernah marah sekali dalam hidupnya, iaitu pada hari di dalam gua sewaktu menyedari khazanah yang diburunya selama bertahun-tahun telah dirampas. Penghinaan dan kegilaan yang dirasainya, dan kebenciannya terhadap orang yang tidak dikenali itu telah meresap ke dalam tulangnya.
Ini penyesalan terbesarnya. Jeritan nyaringnya pada hari itu masih bergema di telinganya. Seringkali dia terganggu ketika bermeditasi dalam keheningan malam, hatinya luka dan dia merasakan seperti orang bodoh. Setiap kali dia memikirkannya, dia melawan keinginan untuk menjadi gila.
Hari ini kali kedua dalam hidupnya dia marah. Dia mengenali pedang itu. Di matanya, pedang itu miliknya. Khazanah miliknya sendiri yang dapat mengawal langit dan bumi. Dan hari ini, khazanah itu berada dalam tangan Meng Hao.
"Jadi, kaulah orangnya!" Mata Wang Tengfei meluap dengan niat membunuh. Keinginannya untuk membunuh Meng Hao lebih kuat daripada biasa. Keadaan ini sangat berbeza dari wajahnya yang selalu tenang dengan senyuman sehinggakan para Pertapa di sekitarnya mula memperkatakan hal itu.
"Kau yang curi harta aku!" Wang Tengfei merenung pedang kayu, niat membunuh meliar di matanya. Dia merasakan keinginan untuk memusnahkan Meng Hao. Dia tiba-tiba tertawa, dan ketika bunyi ketawanya memenuhi ruang dataran, dia kelihatan lebih mengagumkan.
"Saya tidak tahu apa yang Abang Wang katakan," kata Meng Hao dengan dingin sambil mengelap darah dari mulutnya. "Pedang ini milik kamu? Adakah kamu pasti kamu tidak tersilap?" Dia memakan Teras Syaitan.
"Aku merancang bertahun-tahun untuk mendapatkan pedang itu, hanya ada satu saja dalam dunia ini. Garisan emas di permukaannya diukir dari Syurga, sudah tentu aku tidak melakukan kesilapan." Wang Tengfei memandang ke langit dan ketawa. Bunyi ketawa itu sedih, seolah-olah membuatkan segala-gala yang berada di sekitarnya menjadi dingin..
Wang Tengfei menjeling Meng Hao dengan mata yang dingin, kemudian melangkah ke hadapan. Dia menampar beg saktinya, dan dua sinar cahaya bersinar keluar. Dua khazanah ajaib muncul, satu harimau batu, satu lagi naga air batu.
Khazanah itu disertai dua bunyi yang bergema di dataran. Ngauman harimau, dan raungan naga air. Khazanah itu segera berubah bentuk. Yang pertama menjadi seekor harimau putih, panjangnya beberapa puluh meter. Satu lagi menjadi seekor naga air yang hebat. Kedua-duanya mengelilingi Wang Tengfei, menjadikannya kelihatan lebih mengagumkan.
"Kau boleh tidak mengakuinya, tetapi pedang itu milik aku," kata Wang Tengfei, suaranya mengerikan. "Aku tak pernah benarkan kau mengambil pedang itu dan aku tak akan izinkan kau membawa pedang itu pergi." Jari-jarinya bergerak dalam pola mantera, dan harimau putih mengaum dan melompat ke arah Meng Hao. Naga air meraung dan mengikuti harimau putih itu. Badan naga itu menjadi seperti satu jalur pelangi.
Meng Hao bergerak ke belakang dan melambaikan tangan kanannya. Pedang kayu itu meluru ke hadapan, diikuti oleh Bilah Angin dan Ular Sawa Berapi.
Sebuah ledakan bergema dan Meng Hao batuk berdarah. Ketika dia terbang kembali, dia melihat Wang Tengfei berjalan keluar dari letupan, jubah salji putihnya dan rambut panjangnya ditiup angin. Ekspresi niat membunuh muncul pada penampilannya yang tampan. Matanya bersinar dengan cemuhan.
"Mengarut!" kata Meng Hao. "Kau sedar yang pedang ini amat luar biasa, jadi kau mahu menggunakan latihan Sekta Dalaman ini sebagai peluang untuk merompak aku!"
"Tak guna kita terus bercakap. Aku akan membunuh kau hari ini. Kemudian baru kau tahu kau tak layak mengambil barang milik Wang Tengfei." Matanya dingin, dia melambaikan tangannya lagi. Harimau putih dan naga air sekali lagi menyerang Meng Hao disertai dengan ngauman dan raungan.
"Hanya satu? Hanya ada satu di dalam dunia ini?" Meng Hao ketawa dengan pandangan yang mencemuh. Dia tidak berusaha menyembunyikan nada mengejeknya yang dingin. "Apa kata kau lihat sendiri kalau betul pedang ini hanya ada satu saja dalam dunia ni seperti yang kau katakan?" Tangan kirinya menampar beg saktinya, dan sinar hitam mengelilingi Meng Hao. Suara dengungan nyaring terdengar, seperti bunyi pedang. Itu adalah salinan pendua pedang kayunya.
Sekarang setelah pedang kedua itu muncul, kedua-dua bilah pedang berputar di sekeliling Meng Hao. Pedang-pedang itu kelihatan serupa daripada setiap aspek. Aura pedang bersinar terang, dengan kuasa yang besar.
Ketika dia melihat pedang kayu kedua, tubuh Wang Tengfei bergetar. Matanya terbeliak dan dipenuhi perasaan tidak percaya. Fikirannya menjadi huru-hara, dan dia merasakan seolah-olah dia baru saja dihancurkan oleh sebuah gunung. Dia terus hilang kawalan terhadap harimau putih dan naga air.
"Ini... ini..." Kepalanya berputar. Kejadian yang berlaku ini ialah sesuatu yang dia tidak jangkakan. Dia tidak tahu apa yang hendak difikirkan dan tidak dapat mengawal mindanya .
"Pedang ini juga milik kau?" Mata Meng Hao bersinar, dan dia melangkah ke hadapan, tiba-tiba memancarkan kekuatan asas Pertapaannya. "Inikah pedang yang kau katakan hanya ada satu di dunia ini?" Dia mengambil satu lagi langkah ke hadapan.
Wang Tengfei tidak dapat menjawab. Merasakan tekanan rohani Meng Hao, dia secara tanpa sedar telah mengambil dua langkah ke belakang.
"Pedang ini hanya ada satu saja dalam dunia?" Mata Meng Hao berkelip-kelip seperti cahaya kilat. Dia terus bergerak ke hadapan, seolah-olah semua kuasa yang dimilikinya menyokongnya.
Wajah Wang Tengfei semakin pucat, dan dia terus berundur.
"Wang Tengfei, kedua-dua pedang ini milik Meng Hao! Pedang langit dan bumi aku!" Dengan matanya bernyala, Meng Hao melompat ke udara, tangannya bergerak pantas dalam pola mantera. Kedua-dua bilah pedang kayu itu bersinar terang, menembak ke arah harimau putih dan naga air.
Ledakan berbunyi ketika harimau putih itu pecah dan naga airnya hancur. Dipenuhi dengan kekuatan yang seolah-olah mampu memusnahkan apa sahaja di dunia ini, kedua-dua pedang kayu itu ditembak ke arah Wang Tengfei.
Melihat pedang-pedang itu mendekatinya, Wang Tengfei tiba-tiba mengangkat kepalanya. Dia menghempas tangan kanannya ke tanah, dan satu batang colok yang besar muncul. Saat colok itu terbakar, kepulan asap terhasil dan kemudiannya ditembak ke arah Meng Hao. Ketika bergerak, asap itu berubah menjadi dua figura yang menghentam dua bilah pedang kayu itu. Kedengaran satu ledakan yang gemuruh.
Batang colok itu hancur, dan pedang kayu itu kembali kepada Meng Hao, yang meludahkan darah. Di sebalik kepulan asap itu, dia melihat Wang Tengfei bergerak ke hadapan. Wang Tengfei tidak berjalan di atas platform, tetapi melayang di udara, dibawa ke hadapan oleh asap itu. Dia merenung Meng Hao dengan ekspresi yang aneh kemudian memandang dua pedang kayu itu. Ketika ini, dia masih benar-benar keliru tentang dua pedang kayu itu, dan mula meragui dirinya.
Menurut kajiannya dari catatan kuno, pedang kayu itu benar-benar unik di langit dan di bumi. Tidak ada yang kedua. Namun, pedang itu memang sama seperti yang pernah dilihatnya, kecuali sekarang terdapat dua pedang yang serupa…
Meng Hao melihat Wang Tengfei melayang di udara dan mendengus dingin. Dia menampar beg saktinya dan dua pedang terbang yang biasa muncul. Dia melangkah ke atas pedang itu yang kemudiannya membawa dia terbang ke udara. Ini menimbulkan kekecohan di kalangan para Pertapa yang sedang memerhatikan pertarungan itu.
"Hanya Pertapa yang telah mencapai Kewujudan Asas boleh terbang, tapi lihat, Meng Hao boleh terbang..."
"Abang Wang mempunyai beberapa barang ajaib yang membolehkannya terbang untuk sementara waktu, tetapi Meng Hao... dia tidak menggunakan tenaga rohani sama sekali. Dia menggunakan pedang terbang untuk terbang."
Niat membunuh berkelip-kelip di mata Wang Tengfei saat dia melihat Meng Hao. Dia menyingkirkan masalah pedang kayu itu daripada mindanya. Tidak kira sama ada ini Khazanah yang dia cari atau tidak, dia akan mengambilnya.
Ketika niat membunuh memenuhi udara, Wang Tengfei menampar beg saktinya. Satu kertas kuning muncul di hadapannya. Kertas azimat. D permukaannya tertulis pelbagai corak mistik, dan azimat itu mengeluarkan tekanan rohani yang kuat serta bersinar dengan cahaya keemasan. Azimat ini kelihatan agak berbeza daripada yang digunakan oleh Han Zong.
"Jika kau izinkan aku mengambil khazanah itu, kau akan merasa bangga saat sampai ke mata air kuning di dalam neraka nanti," kata Wang Tengfei, sambil memandang Meng Hao. Dia berasa agak tertekan. Azimat ini ialah barang sakti yang terakhir dalam beg saktinya. Dia telah menggunakan semua barang sakti lain sewaktu mencari pedang kayu.
Kalau tak kerana terpaksa, dia tidak akan menggunakan azimat itu. Biasanya, azimat ini boleh digunakan sebanyak tiga kali. Tetapi dengan tahap asas Pertapaannya, dia hanya boleh menggunakannya sekali. Walaupun begitu, azimat ini masih berkuasa, cukup untuk membunuh seorang Pertapa di peringkat kelapan Pemekatan Qi.
Merenung Meng Hao dengan dingin, Wang Tengfei tiba-tiba mengangkat tangan kanannya dan melambai-lambai di depannya. Pada saat yang sama, dia memuntahkan sebagian tenaga rohaninya, untuk dipindahkan ke azimat itu.
Azimat itu bersinar dengan kecerahan yang tidak dapat diukur. Sewaktu Meng Hao terbang ke udara, dia memandang ke arah azimat itu. Tiba-tiba dia merasakan kesakitan yang mencucuk-cucuk di dalam badannya.
Ketika ini wajah Wang Tengfei berubah. Dia tiba-tiba menyedari yang dia tidak mempunyai tenaga rohani yang cukup... Malah dia baru sedar yang tenaga rohani di dalam tubuhnya terus mengalir keluar melalui jarinya yang terluka.
Disebabkan kemarahannya sewaktu melihat pedang kayu pertama, kemudian berasa terkejut dan keliru dengan kemunculan pedang kedua, dia tidak merasakannya sehingga sekarang. Buat masa ini, tenaga rohaninya tidak cukup untuk mengaktifkan azimat itu sepenuhnya, dan dia tidak mempunyai cukup masa untuk mengambil pil perubatan bagi menambah tenaga rohaninya.
"Walaupun azimat ini tidak dapat digunakan sepenuhnya, kekuatannya masih cukup untuk membunuh seseorang di peringkat keenam Pemekatan Qi. Sangat mudah untuk membunuh kau!" Tanpa teragak-agak, dia melepaskan azimat itu yang tiba-tiba kelihatan seperti matahari dan meluru ke arah Meng Hao.
Di dalam persimpangan di antara hidup dan mati ini, satu cahaya aneh muncul di dalam mata Meng Hao. Ketika dia terbang di udara, tiba-tiba dia melihat sekilas mimpi yang pernah dia alami pada hari dia makan Teras Syaitan Naga Hujan Terbang. Dalam mimpi itu, dia memandang ke dalam sebuah tasik dan melihat satu pantulan imej Naga Hujan Terbang kuno. Sekarang, dia dapat melihat benda yang sama sekali lagi..
"Pemerintah di langit..." Meng Hao merasakan dia dilimpahi nasib yang baik. Dia menutup matanya, dan ketika matahari keemasan yang dipanggil oleh azimat itu semakin dekat, Teras Syaitan yang berehat di dalam Tasik Teras Meng Hao mula bergetar. Kemudian, satu kuasa besar tenaga rohani meledak, mengisi tubuh Meng Hao dan menyebabkan dia menyentap tangannya ke hadapan.
Pedang-pedang yang Meng Hao telah hilang kawalan sebelum ini tiba-tiba mula bergetar, kemudian diangkat naik dan menuju ke arah Meng Hao dengan laju. Pada masa yang sama, pedang terbang lain di dalam beg saktinya terbang keluar, bersama-sama dengan pelbagai barangan sakti yang dimilikinya. Kesemuanya mula bergabung, bersinar dengan sangat cerah. Ini semua berlaku, bukan kerana tenaga rohani Meng Hao, tetapi kerana Teras Syaitan!
Entah mengapa Teras Syaitan tiba-tiba mula bertindak, dan telah menggunakan beberapa jenis kuasa dari neraka untuk mengawal hampir seratus pedang terbang dan barangan sakti. Dalam sekelip mata, kesemuanya telah bergabung untuk membentuk...Naga Hujan Terbang kuno!
Bentuknya tidak berapa jelas, mungkin susah untuk dibezakan oleh para penonton. Malah Wang Tengfei sendiri tidak menyedarinya, memandangkan kini dia telah kehilangan hubungan darahnya dengan Legasi. Hanya Meng Hao dapat merasakannya.
Kedua-dua pedang kayu itu ialah taring Naga Hujan Terbang. Naga itu mengeluarkan bunyi raungan yang dipenuhi dengan kekuatan langit dan bumi dan menyerang ke arah azimat itu. Sebaik sahaja kedua-duanya bertembung, kedengaran letupan bergemuruh yang menggoncang keseluruhan Sekta Reliance. Pengikut Sekta Luaran yang berada di sekeliling berundur ke belakang. Sesetengah daripada mereka yang memiliki Asas Pertapaan peringkat rendah hampir pengsan.
Kedua-dua azimat dan Naga Hujan Terbang mengandungi kuasa melebihi peringkat Pemekatan Qi keenam. Apabila kedua-duanya bertembung, seseorang yang berada di peringkat ketujuh sekalipun akan terkesan. Hanya seseorang yang berada di peringkat kelapan mungkin dapat menahan kuasa itu.
Ketika itu bunyi gema daripada letupan itu kedengaran, matahari keemasan terus malap, dan Naga Hujan Terbang mula hancur. Lapisan demi lapisan, satu pedang, sepuluh pedang, seratus pedang... perlahan-lahan jatuh, bersama-sama barangan sakti yang telah bergabung untuk membentuk seekor naga tadi. Semuanya jatuh dan berubah menjadi abu yang kemudiannya hilang ditiup angin.
Azimat itu perlahan-lahan lenyap, dan barang-barang sakti yang membentuk Naga Hujan Terbang hilang...tetapi dua pedang kayu itu tidak menerima nasib yang sama. Sebaliknya, kedua-duanya menembak ke arah Wang Tengfei yang kelihatan pucat.
Wang Tengfei memerhatikan saat pedang itu menghampiri dan menikam dadanya. Saat pedang itu menusuk lebih jauh ke dalam jantungnya, satu keluhan kedengaran dari Gunung Timur.
"Baiklah, tidak ada lagi yang boleh dilakukan." Bersama keluhan itu, satu kuasa yang lembut muncul di sebelah Wang Tengfei, menghalang pedang kayu itu. Wang Tengfei diangkat dan ditarik keluar daripada platform kemudian diturunkan ke dataran. Dia batuk darah, matanya kosong dan keliru. Dia tidak percaya... dia telah kalah.
He Luohua muncul di platform. Orang Lama Ouyang segera memberi tabik genggam kepadanya. "Salam, Pemimpin Sekolah."
Satu dengungan kedengaran di kalangan pengikut Sekta Luaran. Setiap orang menyambut Pemimpin Sekolah dengan penuh hormat.
Meng Hao kelihatan pucat. Tenaga rohaninya sudah habis. Jika tidak kerana kuasa daripada Teras Syaitan Naga Hujan Terbang, dia pasti tidak akan dapat meneruskannya. Beg saktinya kini telah kosong sepenuhnya tanpa barang sakti. Pada pendapatnya, pertempuran ini sangat sengit sekali.
Walaupun dia tidak sanggup membiarkan Wang Tengfei terus hidup, kehadiran Pemimpin Sekolah di sini, tidak memberikannya pilihan. Dia tidak akan dapat membunuh Wang Tengfei hari ini.
Tanpa berkata apa-apa, dia turun ke platform, sikap keras kepalanya memaksa dirinya kekal berdiri tegak. Dia mengambil beberapa langkah ke hadapan, kemudian mengambil azimat Wang Tengfei, yang telah melayang ke tanah. Dia memasukkan azimat itu ke dalam jubahnya. Selepas itu dia mengangkat kepalanya dan memandang He Luohua.
"Dalam perlawanan ini, Meng Hao ialah pemenangnya," kata He Luohua, memandang Meng Hao dengan sambil tersenyum kecil. "Mulai hari ini, dia ialah ahli ketiga Sekta Dalaman Reliance." Suaranya kedengaran di seluruh dataran yang sunyi itu. Fikiran para penonton masih lagi bingung, butiran pertempuran tadi masih bermain dalam kepala mereka.
Wang Tengfei kelihatan keliru dan apabila mendengar kata-kata He Luohua, dia ketawa pahit. Dia memandang orang ramai yang seolah-olah sudah melupakannya, dan hatinya penuh dengan penyesalan. Dia ketawa lagi, kemudian batuk berdarah, dan terus tidak sedarkan diri.
Ketika Wang Tengfei pengsan, Meng Hao menggigit lidahnya sendiri. Dia memberi salam kepada He Luohua, kemudian duduk bersila dan mulai bermeditasi.
Orang Lama Ouyang memandangnya dengan mata yang penuh rasa kagum. Dia menampar beg saktinya dan menghasilkan pil ubat, yang terbang ke arah Meng Hao. Meng Hao mencapainya dan memasukkan pil itu ke dalam mulutnya.
Dia sangat berasa amat letih. Meskipun matanya hampir mahu tertutup, dia meneruskan latihan pernafasannya dan perlahan-lahan berusaha untuk memulihkan dirinya.
You may also Like
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT