Download App
3.12% AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 23: Haiwan Kuno!

Chapter 23: Haiwan Kuno!

Editor: EndlessFantasy Translation

Sewaktu Meng Hao duduk bertafakur sendirian di dalam rekahan gunung yang kecil, khabar angin tentang peristiwa yang berlaku berkenaan Pil Rohani Kering itu mula tersebar dan menjadi lebih hangat ketika Zhou dan Yin kembali. Ramai yang nampak mereka, tetapi tiada siapa yang berani bertanya insan yang akhirnya memiliki Pil Rohani Kering itu.

Manakala disebabkan kerana Meng Hao tidak muncul-muncul, desas-desus tentang kematian Meng Hao telah meniti mulut ke mulut.

Pada waktu yang sama, Wang Tengfei berdiri sambil menggenggam tangannya di dalam Gua Dewa Gunung Timur. Bayu gunung itu meniup rambutnya hingga beralun dan jubah panjangnya berkersik. Dia kelihatan sangat sempurna daripada pelbagai segi, terutama sekali wajahnya yang sangat kacak dan tiada cacat cela hingga boleh membuatkan wanita menjadi angau.

Malah, bukan sahaja Pertapa wanita muda, tetapi Dunia Pertapaan di seluruh Negeri Zhao juga akan naik gila hanya dengan anggukan kecil kepalanya.

Kelembutan mata, pembawaan yang ramah, ciri-ciri anggun, bakat terpendam yang luar biasa, asas Pertapaan yang halus, latar belakang keluarga yang menakjubkan... Itu semua bukti yang Wang Tengfei layak untuk menjadi Insan Terpilih dan menyebabkan orang ramai lebih menghormatinya. Dia telah dirahmati Syurga.

Dia berdiri di sana dengan senyuman yang mempesonakan. Matanya seperti dipenuhi dengan bintang sewaktu dia sedang merenung jauh. Renungannya seolah-olah menembusi banjaran gunung dan jatuh tepat pada gunung hitam yang didiami haiwan Syaitan itu.

Sungguh lama dia merenungnya. Matanya berkilauan dengan satu kegembiraan yang sukar difahami.

"Masanya sudah tiba," dia bersuara dengan tersenyum kecil, tetapi hatinya membara. "Saya telah habiskan tiga tahun untuk mentelaah kitab purba itu, kemudian setahun lagi mencari seluruh pelosok Negeri Zhao. Kemudian, saya menanti selama dua tahun di Sekta Reliance ini. Akhirnya, hari yang dinanti sudah tiba. Sebelum Naga Hujan Bersayap mati, ia telah terbang ke tempat ini.

Tidak tercapai akalku yang dua benda paling penting bagiku berkait rapat dengan Sekta Reliance. Adakah takdirku akan dirungkai di sini? Setelah perkara ini berakhir, saya akan masuk Sekta Dalaman dan laksanakan rancangan bagi Kewujudan Asas." Senyumannya menjadi semakin menawan.

"Abang Wang, kami sudah bersedia," seorang lelaki yang berdiri di belakang Wang Tengfei bersuara. Asas Pertapaannya berada di peringkat kelima Pemekatan Qi. Dia bercakap dengan penuh hormat. "Malah pengikut Sekta lain juga telah berhimpun mengikut keperluan abang. Kita pasti akan berjaya. Malangnya, Shangguan Song tidak kembali dan kami tidak tahu di mana dia berada. Kami juga tidak pasti sama ada dia dapat menjemput Guru Pak Cik Shangguan atau tidak."

"Bagus," Wang Tengfei tersenyum. "Sudah lama kita rancang perkara ini. Menurut penaakulan saya, tempoh dua tahun persalinan kulit ular sawa Syaitan itu telah hampir tamat. Ia akan berada dalam keadaan yang paling lemah di saat proses itu selesai." Matanya semakin bercahaya. Bukan sahaja dia telah habiskan masa bertahun-tahun untuk perkara ini, dia juga telah terpaksa membayar nilai empat khazanah berharga dan juga puluhan ribu Batu Rohani untuk menyediakan jampi itu. Itu harga yang begitu mahal dan mencekik darah, walaupun bagi Wang Tengfei. Kini, dia sudah tiada apa-apa lagi.

"Usah khuatir, Abang Wang. Kita pasti akan berjaya. Benarkan Adik dahulukan ucapan tahniah kerana berjaya mendapatkan Teras itu."

"Sudah tentu kita akan berjaya. Saya, Wang Tengfei, tidak pernah gagal." Dia ketawa dan riak wajahnya menjadi semakin girang. Jika kitab purba itu benar, dia akan kembali membawa bersama sebuah khazanah berharga yang akan menemaninya selama-lamanya dan juga satu warisan purba yang akan membenarkannya mengawal langit dan bumi. Bagi Teras Syaitan itu pula, ia boleh dianggap sebagai khazanah sewaktu ia masih di puncak. Namun, setelah beberapa tahun berlalu, ia akan menjadi pudar dan tidak berkesan lagi. Namun, ia masih boleh membantunya menembusi peringkat keenam Pemekatan Qi ke peringkat ketujuh.

"Esok ketika subuh menjelang, kita akan pergi ke gunung hitam itu," ujar Wang Tengfei lembut. Sambil tersenyum, dia menggosok tangan kanannya. Satu tanda merah telah tersembunyi di bawah lengan jubahnya. Dia menggosoknya dan sekali lagi matanya bersinar kegembiraan.

Itu kesan yang ditinggalkan oleh Titisan Darah yang telah jatuh ke atasnya dari Syurga ketika dia berumur enam tahun. Semenjak hari itu, dia sering bermimpi terbang di udara dan menjadi raja di langit.

Titisan Darah itu mengandungi pengetahuan tentang sebuah warisan, serta satu deria istimewa yang bila digandingkan dengan maklumat daripada catatan rekod sejak dua ratus tahun dahulu, telah membolehkan Wang Tengfei menemui secebis petunjuk yang membawanya ke sini.

"Tiada siapa di dunia ini kecuali saya yang boleh laksanakan semua ini. Ini kerana saya sudah ada hubungan rohani dengan warisan itu dan mempunyai Titisan Darah yang unik dalam dunia ini." Dia merenung gunung hitam itu. Senyumannya semakin mempersonakan dan penuh dengan harapan.

"Jika kita masih lagi di zaman Bapa Reliance, maka dia pasti akan mengawal naga itu. Namun, sudah empat ratus tahun dia hilang. Itu tuah bagi saya. Menurut kitab purba dan juga kajian saya sendiri, saya tahu yang sewaktu naga datang ke mari dua ratus tahun lalu, auranya telah dipendam oleh khazanah itu. Hanya ada beberapa orang sahaja yang tahu. Walaupun ini kawasan Sekta Reliance, kawasan ini mempunyai jampi kekangan yang sangat kuat. Bukan sahaja tiada aura yang terpancar keluar, malah jika ada pun, tiada siapa yang dapat merasainya. Kalau ada orang memasuki kawasan itu, penglihatan mereka akan dihadang oleh kuasa ajaib dan mereka tak akan dapat melihatnya."

"Bagi ular sawa Syaitan itu pula, ia telah habiskan kebanyakan masanya untuk tidur. Ia mula meraung hanya kerana proses bersalin kulit itu. Kemudian, sewaktu kulit itu sudah bersalin sepenuhnya, ketika itulah jampi kekangan itu hilang dan akan jadi selamat untuk dimasuki. Saya berterima kasih pada warisan Titisan Darah ini. Tanpanya, saya tak akan berjaya merungkai perkara ini. Tiada siapa yang faham walaupun separuh daripadanya.

Khazanah berharga, warisan sempurna, semuanya di sana, sedang menantikan Wang Tengfei!" Senyumannya semakin melebar, dia melibas lengannya dan berjalan kembali ke Gua Dewa. Cahaya rembulan mengelilinginya bagaikan tidak sanggup berpisah daripadanya. Kejadian ajaib itu telah membuatkan Pertapa lain lebih mengagumi dirinya.

Keesokan harinya, semasa waktu subuh di puncak gunung hitam itu, di dalam rekahan yang tersembunyi, seluruh tubuh Meng Hao telah menjadi merah lembayung, dibasahi peluh jantan dan sejumlah besar kotoran hitam meleleh keluar dari liang romanya.

Dia telah bertafakur selama beberapa hari, tetapi kini matanya telah dibuka. Di luar, raungan ular sawa Syaitan itu semakin kuat. Nampaknya dia sudah tiba ke titik penentuan kritikalnya sendiri.

Namun begitu, Meng Hao tidak terganggu langsung. Dia tetap menumpukan perhatian dan mengasimilasikan asas Pertapaannya. Dia cuba merempuh berkali-kali, tetapi dinding penghalang masih tetap utuh. Matanya sudah menjadi merah. Dia telah menelan sepuluh Pil Rohani Kering hingga kepalanya mula pening dan tubuhnya menggigil teruk. Kedengaran satu bunyi ledakan yang kuat dan tubuhnya seolah-olah terapung seperti sekeping kertas ditiup angin.

Di dalam tubuhnya, salur darah dan Qi berkilauan seperti kristal, kelihatan hampir jernih, umpama petanda yang tidak wujud di dunia fana ini. Tenaga rohani di dalam tubuhnya bergelodak lalu bertakung menjadi sebuah tasik. Ia bukannya besar sangat tetapi ia masih sebuah tasik.

Tasik Teras itu telah wujud di dalam kawasan dantian Meng Hao dan agak berat.

Meng Hao tahu dia boleh mengawal kuasa itu dan membolehkannya meletup dengan kuasa Pemekatan Qi peringkat kelima. Bagi seorang Pertapa yang telah mencapai Kewujudan Asas, ia dikira lemah dan tidak memberi sebarang kesan tetapi bagi Pemekatan Qi, peringkat kelima itu titik penentuan, manakala titik penentuan kedua pula semasa peringkat ketujuh dan seterusnya pada peringkat kesembilan.

Kepalanya berdesing buat masa yang lama. Perlahan-lahan, Meng Hao membuka mata dan matanya bersinar seperti sebelum ini. Bunyi meletup-letup kedengaran bertalu-talu. Dia seperti telah menjadi tinggi sedikit dan walaupun kulitnya masih gelap, tetapi ada aura yang baharu datang daripadanya.

"Peringkat kelima Pemekatan Qi." Meng Hao menarik nafas sedalam-dalamnya dan tersenyum. Dia telah mencapai peringkat kelima Pemekatan Qi. Kini, dia sudah boleh berlatih Hikmat Meringankan Badan. Hikmat itu jika digabungkan dengan pedang terbang, akan membolehkannya bergerak dan menyerang dengan lebih pantas. Ia telah melampaui peringkat keempat.

"Pil Rohani Kering ini benar-benar luar biasa," Meng Hao bersuara sambil melihat pada dua biji Pil Rohani Kering di hadapannya. "Tetapi, ia masih ada hadnya. Mungkin setelah aku banyak menelannya, kesannya akan berkurangan. Macam pil dulu-dulu. Entah aku masih boleh guna atau tidak untuk capai peringkat keenam Pemekatan Qi itu nanti." Sedang dia berfikir, wajahnya berubah dengan tiba-tiba. Raungan ular sawa Syaitan itu kini seperti raungan kesengsaraan. Tiba-tiba, terdengar bunyi letupan. Meng Hao menyandarkan badannya ke hadapan dan menjenguk ke luar rekahan itu.

Sewaktu dia menjenguk, anak matanya mengecil dan dia menggenggam penumbuknya.

Tidak jauh di puncak gunung sana, kelihatan seorang pemuda berjubah putih yang sangat tampan ibarat tubuh sempurnanya dirahmati Syurga. Sebilah pedang emas mengelilinginya dan angin bertiup kencang ketika dia sedang bertarung dengan ular sawa Syaitan itu.

Tidak lain dan tidak bukan... Wang Tengfei.

Dia tersenyum dengan tenang dan mata redupnya itu membuatkan dia seolah-olah seperti matahari. Dia kelihatan bersinar hingga dia bagaikan boleh menghapuskan semua bayang di sekelilingnya.

Serangannya sempurna sekali seperti Syurga telah mengakui setiap pergerakannya.

Terdapat sembilan lagi orang lain bersama dia dan Shangguan Xiu salah seorang daripadanya. Dia melibas lengan jubahnya sewaktu dia mengetuai pertempuran dengan ular sawa Syaitan itu. Bagi orang lain, mereka semua mempunyai tahap Pemekatan Qi peringkat ketujuh atau lebih tinggi. Semuanya orang tidak dikenali dan tidak pernah dilihat oleh Meng Hao. Mereka mengelilingi ular sawa Syaitan itu dan bersedia untuk membunuhnya. Bunyi letupan kedengaran dan ular sawa itu mengeluarkan raungan yang menakutkan.

Meng Hao merenung tajam pada Wang Tengfei. Dia tidak bergerak walau seinci pun. Namun, di dalam matanya terdapat pandangan maut yang semakin kuat, sehingga kelembutan pandangan hilang digantikan olehnya.

Setelah beberapa ketika, raungan ular sawa Syaitan itu menjadi semakin menyedihkan dan badannya telah luka di merata tempat. Darah terpercik di sana sini. Ini benar-benar waktu keadaannya yang paling lemah. Pertapa yang mengepungnya menyerang dengan lebih ganas. Wang Tengfei tersenyum, sempurna seperti biasa. Matanya dipenuhi dengan kegembiraan yang sukar untuk ditafsirkan.

Sudah lama dia menantikan hari ini.

Tiba-tiba, dari puncak sembilan buah gunung di sekitarnya, terpencar lingkaran cahaya perak dan saling kait-mengait untuk membentuk sebuah jampi. Jampi itu perlahan-lahan memenuhi udara dan kemudian berpecah menjadi jaringan perak yang tidak terhingga. Jaringan itu pula bertukar menjadi kabut perak yang dilancarkan ke bawah. Nampaknya, mereka sedang bersedia untuk menyalut ular sawa Syaitan itu.

Namun, ular sawa itu memandang ke langit dan melepaskan satu raungan yang bergema di atas gunung hitam itu dan menggegarkan segala-galanya. Tiba-tiba, di atas kepala ular sawa itu muncul bayangan hantu seekor haiwan.

Makhluk itu berwarna merah terang dengan sayap yang besar dan kepala yang mengerikan. Kuku tajamnya berkilauan dan ia mempunyai ekor yang panjang. Sebaik sahaja bayangan itu muncul, angin yang berpusar di udara telah berubah warna dan setiap orang yang berada di sana kelihatan sangat terkejut. Hanya mata Wang Tengfei sahaja yang menjadi sangat teruja. Mereka bertuah kerana bayangan hantu itu hanya muncul untuk seketika waktu sahaja dan kemudian ia lenyap.

Setelah bayangan hantu itu hilang, ular sawa itu keluar dari rekahan dalam itu. Tubuhnya sangat licin dan berkilat. Ia mengeluarkan raungan yang menakutkan dan meludah kabut merah dari mulutnya. Serangan ini memancut ke semua arah. Pertapa tidak sempat untuk mengelak. Sama juga dengan Wang Tengfei dan mereka hanya mampu melihat sahaja kabut itu menyelubungi mereka dan kemudian menderu pergi. Disebabkan oleh serangan itu, sewaktu kabut perak jatuh dari langit, ia bukan sahaja jatuh ke atas ular sawa Syaitan itu, tetapi ke atas Wang Tengfei dan yang lain-lain.

Ketika kabut itu turun ke arah mereka, jantung Meng Hao mula berdebar-debar. Tadi, dia telah melihat sebilah pedang tertikam pada tubuh ular sawa Syaitan itu. Namun kini, dia sudah tidak nampak lagi. Dia meloncat ke atas dengan serta-merta dan bergerak dengan gerakan terpantas dalam hidupnya. Kemudian dia melompat ke sebilah atas pedang terbang dan ditembak puncak gunung dan rekahan besar itu.

"Cepat! Pergi! Cepat!" Meng Hao berkata di dalam hati. Tanpa menghiraukan keselamatannya, dia meluru ke dalam rekahan yang seperti gua itu tanpa mempedulikan bau aneh yang mengisi ruang itu. Semakin dalam dia masuk ke dalam gua itu, dia ternampak lapisan kulit ular yang sangat besar, dan tertikam padanya ialah sebilah pedang kuno.

Tanpa berlengah lagi, dia mencabut pedang itu. Jantungnya berdegup kencang. Wajahnya merah keterujaan. Baru sahaja dia mahu pergi, ada sesuatu yang membuatkan matanya terbeliak. Walaupun dia berasa sangat teruja, dia tidak mampu bergerak kerana terkejut. Benda itu memang kulit ular sawa, terapi ia juga sesuatu yang lain. Meng Hao tidak pernah melihat sesuatu yang begitu menggerunkan sepanjang hayatnya.

Itu bangkai seekor makhluk. Sebuah bangkai besar yang telah kerepot sepanjang beberapa ratus meter. Gunung hitam itu kelihatan seperti berongga di dalamnya dan bangkai makhluk itu telah memenuhi separuh daripadanya.

Meng Hao juga dapat melihat dua sayap gergasi yang telah hancur luluh. Walaupun sudah mati, tetapi kepala makhluk itu sangat besar dan mengerikan. Makhluk ini kelihatan sama seperti bayangan hantu yang baru sahaja muncul tadi dan sekarang telah jelas yang konon-kononnya ular sawa Syaitan itu sebenarnya ekor makhluk itu.

"Ekor yang bertukar menjadi syaitan!" Meng Hao terpegun. "Haiwan Syaitan apa ini?! Kalau ini haiwan Syaitan... ia mesti ada Teras Syaitan!" Dia mengetap rahangnya. Berdasarkan pengalamannya mengumpul Teras Syaitan, ia tidak terletak di dalam perut makhluk. Kebanyakan Teras Syaitan terletak di dalam kepala. Dia meluru ke arah kepala yang mengerikan itu dan hanya sekali cantas dengan pedang kuno itu, ia terbelah dua. Sangkaannya tepat. Di dalamnya terdapat satu Teras Syaitan yang mereput dan dia terus mengambilnya. Sewaktu dia sedang mahu pergi, hatinya berdebar dengan tiba-tiba. Dari kedudukannya sekarang, dia boleh nampak rangka di bawah bangkai makhluk itu.

Tiada siapa tahu sudah berapa tahun rangka itu terletak hancur di bawah kepala itu. Bersebelahan rangka itu terdapat sebuah beg sakti emas.

Darahnya mendidih. Tiba-tiba, Meng Hao dapat merasakan takdirnya kuat di tempat ini. Dia telah memperolehi pedang, Teras Syaitan dan kini, sebuah beg sakti emas pula. Dia mengambilnya dan terus keluar sepantas kilat dan kemudian menuruni gunung itu dengan rasa sangat teruja.

"Aku sudah kaya! Aku dapat durian runtuh!"

Meng Hao hanya berada di dalam gua itu selama sepuluh helaan nafas dan dalam sepuluh helaan lagi, dia sudah lama meninggalkan gunung itu. Pada saat bayangnya hilang, sebuah bentuk mula muncul dari kabut perak yang terapung di langit. Bayang itu adalah Wang Tengfei dengan jubah putihnya. Dengan satu kibasan lengannya, dia turun perlahan-lahan dari udara. Dia melihat keadaan sekeliling sebentar, kemudian melangkah menuju ke gua itu.


Chapter 24: Siapakah Gerangannya?

Editor: EndlessFantasy Translation

Wang Tengfei kelihatan sangat teruja. Jika sesiapa melihatnya kini, mereka pasti akan terkejut. Tiada siapa yang pernah melihat riak wajahnya begitu.

Bagi orang lain, Wang Tengfei seorang insan terpilih. Riak wajahnya sentiasa tenang, senyumannya ramah dan penampilannya tampan, sempurna dari semua segi.

Namun pada saat ini, dia tidak dapat menyembunyikan keterujaannya. Dia telah merancang perkara ini selama bertahun-tahun dan telah menghabiskan terlalu banyak sumber hanya untuk sampai ke saat ini. Detik yang dinanti-nantikan selama ini. Akhirnya dia akan memiliki khazanah yang akan menjadi miliknya buat selama-lamanya. Hatinya membuak-buak dengan keterujaan melampau.

Salah satu sebab utama dia menyertai Sekta Reliance pada peringkat awal ialah demi mendapatkan khazanah ini.

Dia memasuki gua itu sepantas kilat. Sewaktu dia terlihat bangkai raksasa yang menakutkan itu, dia ketawa dan matanya bercahaya. Dia meluru ke arah ekor makhluk itu iaitu bahagian yang telah bertukar menjadi ular sawa Syaitan. Dia mencari-cari seketika, kemudian riak wajahnya menjadi keliru. Matanya terbeliak. Setelah melihat keseluruhan bangkai itu, tubuhnya kaku.

"Apa yang telah berlaku…? Tak mungkin. Khazanah itu hanya boleh diperolehi setelah ular sawa ini bersalin kulit. Itu satu-satunya masa yang selamat untuk masuk. Kenapa khazanah itu tiada di sini? Mustahil!" Pandangan kejam terpancar dan kepalanya dirasakan seperti berpusing. Dia menggeledah bangkai itu sekali lagi, mencari-cari tempat pedang itu tercacak keluar seperti dalam ingatannya. Sewaktu dia menjumpai kesan tempat tercacak itu, jelas sekali pedang itu telah dicabut. Tubuh Wang Tengfei mula menggigil dan api kemarahan tidak terduga telah muncul di dalam matanya. Dia melepaskan satu raungan yang telah menggegarkan seluruh gunung hitam itu.

Ketika itulah dia sedar yang kepala bangkai itu telah dibelah dua dan Teras Syaitannya telah dikeluarkan. Sewaktu dia melihat rangka itu sekilas, darahnya semakin mendidih.

Penampilannya menjadi ganas dengan api kemarahan. Dia meluru keluar, menyingsing lengan jubahnya dan berharap Titisan Darah di lengannya itu akan menunjukkan tindak balas. Namun, tiada apa-apa yang berlaku. Malah, Titisan Darah itu kelihatan seperti telah dilenyapkan!

Dia mencari di seluruh pelosok gunung hitam itu tetapi tidak berjumpa apa-apa.

Akhirnya, dia kembali dengan tangan kosong ke gua itu dan memandang bangkai makhluk itu. Dia menjerit sekali lagi dengan nyaring.

"Aku habiskan masa tiga tahun untuk mencari kitab purba itu. Tiga tahun tanpa ada masa untuk Pertapaan! Aku habiskan beratus ribu Batu Rohani sebelum aku jumpa petunjuk dari dua ratus tahun lalu yang membawa aku ke Naga Hujan Bersayap ini!" Tubuhnya menggigil dan wajahnya berkerut marah. Sebarang ketampanan pada dirinya telah lenyap, digantikan dengan kegilaan.

"Satu tahun masa dibazirkan dengan mencari di seluruh pelosok Negeri Zhao, di banjaran gunung-ganang dan hutan belantara. Aku pergi ke merata tempat, ke semua wilayah. Tindak balas Titisan Darah ini membawa aku ke mari!" Matanya merah menyala dan dia menggenggam penumbuknya dengan sangat marah. Sesiapa yang melihat keadaannya kini pasti akan jadi sangat terkejut.

"Demi khazanah ini, aku sanggup memulakan pengajian rohani aku di Sekta Reliance tak guna ini. Tak guna! Tak guna! Aku terpaksa bertahan selama hampir tiga tahun!" Hatinya sakit seperti ditusuk oleh pedang halimunan yang telah menghancurkan keangkuhannya hingga menjadi kepingan kecil. Dia sangat yakin dia akan berjaya hinggalah ke saat ini. Kini, dia telah gagal.

"Demi menyediakan jampi untuk mengekang naga itu, aku sudah habiskan kesemua Batu Rohani yang aku miliki! Aku telah guna beberapa pengaruh istimewa daripada Puak aku untuk merahsiakan maklumat tentang Naga Hujan Bersayap ini daripada pengetahuan orang ramai. Malah aku sanggup menolak bantuan orang Puak aku kerana aku mahu khazanah dan Warisan itu untuk menjadi titik permulaan sebenar latihan aku!"

"Siapa? Siapa yang curi khazanah aku?" Tubuhnya menggigil kuat, kepalanya berdengung dan darahnya menggelegak. Dia sudah serahkan segala-galanya, tetapi orang lain yang telah mendapat manfaatnya. Dia meludahkan segumpal darah pada jubah putihnya, mengakibatkan jubahnya kotor dengan warna merah darah.

Ibarat seorang lelaki di dunia fana yang telah membayar wang hantaran perkahwinan, membeli rumah agam yang dihias mewah, bertemu dengan pengantin perempuan paling cantik dan mengatur jamuan perkahwinan besar-besaran serta menjemput kesemua rakan dan keluarga. Kemudian, di hadapan semua orang yang penuh harapan, dia menaiki pelamin perkahwinan dan melihat pengantin perempuannya yang anggun, wajah malu-malu di sebalik kain layah merahnya, kemudian dia menyingkap kain layah itu dan…

Tiba-tiba, dia mendapati dirinya sendiri telah bertukar menjadi orang lain. Semua benda yang dimilikinya telah dinikmati oleh orang lain. Malah, maruahnya juga telah dirampas!

"Siapa yang ambil pedang Pertapaan kuno aku?" Wang Tengfei sekali lagi menjerit kesedihan. Kemudian dia meludahkan segumpal darah lagi. Dia terhuyung-hayang beberapa langkah ke belakang. Wajahnya pucat dan matanya menyala dengan api kemarahan. Dia tidak boleh menerimanya langsung. Dia tidak pernah gagal sebelum ini. Ditambah pula dengan keangkuhannya, ini telah menyebabkan hatinya meluap-luap marah kerana dihina.

"Siapa yang curi khazanah yang aku mahu guna untuk mencela dunia Pertapaan?" Sewaktu dia terfikir tentang harga yang telah dibayar untuk tiba ke saat ini, dia meludahkan lagi segumpal darah. Jubahnya kini hampir merah sepenuhnya ketika dia terhuyung-hayang ke belakang.

"Kau bukan sahaja curi khazanah itu. Kau curi Teras Syaitan itu sekali. Tanpa benda itu, aku tidak boleh capai peringkat ketujuh! Siapa kau? Siapa kau yang merampas masa depan aku! Itu khazanah aku. Itu Teras Syaitan aku!" Perasaan marah masih boleh dilihat di wajahnya sambil dia meneruskan lagi pencariannya tetapi tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Raungan kesedihan Wang Tengfei telah sampai ke telinga Meng Hao sewaktu dia sedang berlari menyelamatkan nyawanya. Matanya bersinar keterujaan dan dia berlari dengan lebih pantas lagi.

"Aku kaya. Benar-benar kaya." Jantungnya berdegup kencang. Mulutnya terasa kering dan kelajuannya ditingkatkan sehingga melampaui had kepantasannya sebelum ini. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk tiba ke Gua Dewa di Gunung Selatan.

Dia mengagak yang khazanah yang diambilnya itu sangat penting bagi Wang Tengfei. Memandangkan dia boleh dikatakan telah mencurinya, dia tidak boleh mengumumkan kewujudan khazanah itu secara terbuka. Dia mahu menyembunyikan dirinya sejauh mungkin, tetapi kalau dia berbuat demikian, itu hanya akan menarik perhatian orang pada dirinya. Sebaliknya, dia patut mendedahkan dirinya dengan penuh berani dan yakin dengan keadilan berada di pihaknya.

Dia menjilat bibirnya dan matanya bersinar. Walaupun Si Gempal masih mempunyai manuskrip jed yang membuka Gua Dewa itu, Meng Hao masih ada satu lagi manuskrip jed yang Kakak Xu beri padanya dan dia tahu yang manuskrip itu juga boleh membuka pintu gua. Kalau hanya ada sebuah kunci sahaja, masakan Kakak Xu boleh membuka pintu gua sewaktu dia duduk mengira Batu Rohaninya tempoh hari?

Sewaktu dia memasuki Gua Dewa, dia tidak nampak kelibat Si Gempal pun. Pada awalnya, dia sangat bimbang. Tetapi kemudian dia sedar yang walaupun pada zahirnya Si Gempal kelihatan dungu, sebenarnya Si Gempal agak bijak dan tidak akan beri peluang orang lain mempergunakannya. Tanpa berlengah lagi, dia duduk bersila dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian, dia mengeluarkan beg sakti emas itu. Dia menjadi semakin gembira sewaktu melihatnya dan ketika membukanya, dia mula mengomel sendirian.

"Beg ini sangat besar. Macam boleh simpan... Apa?" Sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya, tubuhnya terpaku dan dia menarik nafas sekali lagi. Ketika dia melihat beg sakti itu, mindanya menjadi kosong dan kemudiannya berdengung.

"Bagusnya! Bagusnya! Aku benar-benar kaya!" Tangannya menggigil sewaktu memegang erat beg sakti itu. Dia memerlukan beberapa ketika untuk mewaraskan kembali fikirannya. Dia mengeluarkan sebiji Batu Rohani dengan tangan yang menggeletar.

Batu Rohani di dalam beg itu tidak sama seperti Batu Rohaninya yang lain. Batu itu sebesar sebatang jari dan tenaga Rohani yang berpusar di dalamnya tidak padat. Tetapi batu itu juga mengandungi kabut aneh yang berolak di dalamnya dan jumlah batu itu pula... di dalam beg sakti itu terdapat lebih dua ribu Batu Rohani!

Dia tidak pernah melihat kekayaan sebanyak ini dalam hidupnya sehingga dia tidak dapat bernafas buat seketika. Tubuhnya menggigil dan dia merenung kosong. Selain daripada Batu Rohani, terdapat beberapa pasang pakaian dan pelbagai benda lain.

Peluh mula memercik di dahi Meng Hao. Gua Dewa itu bukanlah panas, tetapi tubuhnya terasa seperti sedang membara. Setelah beberapa ketika, dia mula ketawa, gelak ketawa yang penuh keriangan.

"Semua Batu Rohani ini aneh. Besar tetapi tenaga rohaninya biasa sahaja. Tetapi jumlahnya… hahahaha…" Setelah beberapa ketika, dia sudah dapat mengawal dirinya. Dia mengeluarkan satu lagi benda yang diperolehinya iaitu Teras Syaitan yang sudah reput sambil menjilat bibirnya. Matanya bersinar kuat sewaktu melihatnya. Dia menarik nafas dalam.

"Haiwan Syaitan raksasa itu telah mati selama bertahun-tahun. Hinggakan ekornya bertukar menjadi ular sawa Syaitan. Pasti haiwan ini sangat berkuasa ketika masih hidup. Dan Teras Syaitannya…" Pernafasan Meng Hao semakin tidak teratur sewaktu melihat Teras yang kering dan keras itu. Dia mengeluarkan cermin tembaganya dengan niat untuk membuat beberapa salinan.

Baru sahaja dia mengeluarkannya dan sebelum sempat dia meletakkan Teras Syaitan itu pada permukaannya, cermin itu tiba-tiba sahaja mula menjadi sangat panas sehingga hampir melecurkan tangan Meng Hao. Satu kuasa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar telah meletus keluar dari cermin itu menuju ke arah Teras Syaitan itu.

Satu bunyi letupan kedengaran sewaktu tangan Meng Hao dihentam serangan halimunan itu. Dalam sekelip mata, satu lagi kuasa halimunan ditembak keluar dari cermin tembaga itu ke arah Teras Syaitan itu. Seolah-olah Teras Syaitan itu dengan tiba-tiba telah bertukar menjadi makhluk Syaitan berbulu panjang dan cermin tembaga itu naik gila dengan keinginan untuk memusnahkannya.

Meng Hao tergamam. Dia mengambil cermin itu dengan serta-merta tanpa mempedulikan kesakitannya dan memasukkan cermin itu kembali ke dalam beg saktinya. Teras Syaitan itu terjatuh ke tanah dengan satu bunyi yang kuat. Kini, beberapa retakan kecil boleh dilihat di permukaan teras itu yang kering.

"Tak guna. Ini Teras Syaitan, bukan haiwan Syaitan berbulu." Dengan rasa kesakitan, Meng Hao mengutip Teras itu secepat mungkin.

Nasib baik Teras Syaitan reput itu mempunyai lapisan luar yang keras. Serangan ganas cermin tembaga itu telah merosakkan permukaannya. Kini ada satu lubang kecil yang berkilauan muncul di atas permukaan itu dan bau tenaga rohani pekat berasap keluar darinya. Bau itu mengisi seluruh ruang udara Gua Dewa itu dan membuatkan mata Meng Hao bersinar girang. Memandangkan tindak balas ganas cermin tembaga itu, dia tidak berani lagi untuk cuba menyalinnya. Dia teragak-agak untuk seketika dan kemudian menyimpan teras itu.

Setelah mengambil satu lagi nafas panjang, dia mengeluarkan pemerolehan ketiganya iaitu sebilah pedang kuno kecil. Dia memegang pedang itu sambil tersenyum.

"Pedang ini sangat tajam hingga boleh menikam ular sawa Syaitan dan mampu membelah dua kepala syaitan raksasa itu. Ini pasti pedang istimewa." Dia melihat pedang kecil yang dipegangnya. Pedang ini hanya diperbuat daripada kayu dan bukan emas atau besi. Di permukaannya terdapat garisan samar berwarna emas yang mungkin ada ciri kuasa ajaib. Walaupun pedang ini kelihatan kuno, tetapi hanya memikirkan tentang pedang terbang kayu dan ketajaman yang menakjubkan sudah membuatkan Meng Hao sangat teruja.


Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C23
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank 200+ Power Ranking
    Stone 0 Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login

    tip Paragraph comment

    Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.

    Also, you can always turn it off/on in Settings.

    GOT IT