Meng Hao membuka matanya dan melihat Si Gempal sedang seronok mengheret seorang pemuda. Pemuda itu rendah, berkulit kusam dan kurus kering. Dia agak berbeza dengan Si Gempal yang debab dan berkulit cerah.
Meng Hao cam pemuda itu. Dia salah seorang daripada ahli kumpulan yang dibawa ke Sekta Reliance dulu bersama-sama Wang Youcai ke Penempatan Hamba di gunung berlainan.
Ketika itu, dia kelihatan gagah dan berperwatakan baik. Tetapi kini, dia kelihatan muram dan keadaannya teruk. Namun, kecekalan dapat dilihat dalam matanya yang menunjukkan kesan pengalaman pahit dalam Sekta Reliance Luaran.
Tambahan pula, dia begitu berani memasuki Zon Awam dengan hanya mencapai peringkat pertama Pemekatan Qi.
"Selamat sejahtera, Abang Meng," pemuda itu menyapa Meng Hao. Dia kelihatan sedikit teruja. Namun, reaksi itu hilang dan dia memberi salam tumbuk hormat kepada Meng Hao.
"Awak baru sahaja memasuki Sekta?" Meng Hao bertanya. Dia terimbas kembali hari pertamanya dan mengeluh.
"Sudah sepurnama," dia menjawab sambil menundukkan kepalanya.
"Macam mana dengan Wang Youcai?"
"Dia sudah tiada," dia menjawab dengan tiada sebarang reaksi. Setelah habis menjawab, barulah nampak sedikit kesedihan terpancar dari matanya.
"Wang Youcai sudah mati?" Si Gempal terkejut. Meng Hao kekal membatu.
"Dalam Penempatan Hamba, kami dipertanggungjawabkan mengambil air," dia menjelaskan lagi. "Abang Youcai ingat saya terlalu muda, jadi dia banyak bantu saya. Suatu hari, di sebatang jalan gunung, angin kencang meniup kami dan dia terjatuh dari tebing. Dua bulan saya mencari dia, tapi saya hanya jumpa tulang-temulang yang patah... saya yakin dia telah dimakan oleh haiwan liar."
Wajah Si Gempal bertukar menjadi sedih. Meng Hao mengeluh lagi. Mereka berempat tiba pada masa yang sama. Namun, dalam masa kurang setahun, seorang sudah mati. Kesedihan Meng Hao bertambah lagi kerana teringat yang Pak Cik Wang si tukang kayu itu hanya mempunyai seorang anak lelaki.
"Rimau Kecil, awak duduk dengan kami. Dengan adanya Meng Hao, tiada siapa berani buli awak." Si Gempal menepuk-nepuk bahu pemuda yang sedang bersedih itu.
"Tak, tak apalah. Saya... Saya tak apa-apa." Pemuda itu kelihatan teragak-agak. Meng Hao dapat merasakan yang dia sedang memikirkan tentang sesuatu. Akhirnya, dia mengangguk kepalanya dan menolak tawaran Si Gempal. Dia memberi salam tumbuk hormat kepada mereka, kemudian dia terus berlalu pergi dari penara itu.
"Kenapa dengan dia?" Si Gempal bertanya dengan perasaan yang masih terkejut.
"Semua orang ada rahsia masing-masing," suara Meng Hao perlahan. "Mungkin dia bernasib baik dan dia tidak mahu bercerita tentangnya. Kalau tidak, kenapa dia datang ke sini sedangkan dia hanya baru peringkat pertama Pemekatan Qi?" Meng Hao seperti sedang memikirkan sesuatu sambil melihat pemuda itu menghilang di kejauhan.
"Kalau Rimau Kecil ada rahsia sekalipun, kita masih boleh siasat sendiri kalau kita mahu. Dia pandang rendah pada kita." Si Gempal terfikir. Dia tiada apa-apa untuk dirahsiakan dan tidak pernah berfikiran licik. Dia menawarkan bantuan dengan niat baik tetapi ditolak mentah-mentah pula. Ini telah menaikkan darahnya.
Di kawasan bawah Syurga Selatan, musim sejuknya singkat dan berlalu pergi bagaikan dalam sekelip mata sahaja. Kehangatan musim bunga telah tiba dan bunga memekar. Purnama awal musim bunga sudah tiba sekali lagi. Setahun sudah berlalu sejak Meng Hao tiba di Sekta Reliance.
Dengan bantuan Si Gempal, Meng Hao berjaya mengumpul beberapa Batu Rohani dari Zon Awam Tahap Rendah. Namun, dia berjaya mengumpul lebih banyak lagi pil ubat dan barang sakti. Dia sering masuk ke hutan rimba pergunungan itu untuk memburu haiwan syaitan. Malah, dia sampai berkeliaran berhampiran gunung hitam untuk memburu. Malangnya, dia sentiasa pulang dengan tangan kosong. Bunyi ngauman yang datang dari kawasan gunung hitam semakin kuat dan ganas sehingga Meng Hao tidak berani untuk memasukinya.
Dia mempunyai sebiji Teras Syaitan tahap tiga yang disalin beberapa kali dengan cermin tembaga itu. Akhirnya, asas Pertapaannya sudah mencapai pertengahan peringkat keempat. Namun, kemajuannya hampir menemui jalan buntu setelah itu. Walaupun sudah banyak pil ubat ditelan, ia hanya menjadikan tenaga rohaninya lebih tulen.
Seperti ada dinding besar menghalang dan dia tidak dapat memecahkannya untuk pergi ke peringkat kelima. Hikmat Meringankan Badan yang diimpikan juga masih tidak nampak bayangnya.
Dengan bantuan Meng Hao, Si Gempal telah mencapai peringkat kedua Pemekatan Qi, yang membuatkan dia berasa kagum pada dirinya sendiri.
Purnama itu, kesemua pengikut Sekta Luaran yang sudah mencapai lebih tinggi daripada peringkat kelima dan juga Kakak Xu serta Abang Chen telah dihantar keluar dari sekta itu. Mereka kembali bersama-sama dua atau tiga anak muda setiap seorang yang memiliki bakat terpendam yang akan menjadi hamba.
Sekali setahun. Itu peraturan Sekta. Ini satu-satunya cara untuk memastikan kesinambungan kewujudan Sekta ini.
Bayu musim bunga bertiup merentasi tanah itu; membawa kesejukan bersama-samanya. Musim panas kembali. Tidak lama lagi, musim luruh akan tiba dan ketika itu baru sahaja tamat tiga suku tahun. Dalam tempoh ini, dua perkara penting berlaku di Sekta Reliance. Perkara pertama berkaitan dengan seorang Orang Lama Sekta. Selain daripada pemimpin Sekta yang dikatakan telah mencapai tahap Pembentukan Teras, terdapat dua Orang lama yang telah mencapai Kewujudan Asas. Seorang daripada mereka yang telah sampai ke penghujung usianya, meninggal dunia ketika bertafakur. Usianya dalam seratus lima puluh tahun. Sewaktu Meng Hao mendengar perkhabaran ini, dia bertanya pada orang sekeliling dan telah mengesahkan yang itu bukan Orang Lama Ouyang.
Ketika Pertapa mencapai Kewujudan Asas, ia akan memanjangkan umurnya sehingga seratus lima puluh tahun. Tempoh ini bagaikan suatu masa yang panjang. Namun, ia sebenarnya satu tempoh yang genting. Jika Pertapa itu tidak berjaya mencapai Pembentukan Teras, maka pada tahun berikutnya, mereka hanya mampu duduk bertafakur. Kemudian, mereka menjadi kerepot dan Qi serta darah mereka akan meruap secara perlahan-lahan.
Namun, setelah mencapai Pembentukan Teras, usia mereka akan berganda sehingga ke tiga ratus tahun.
Disebabkan kematian Orang Lama ketika dia bertafakur, Sekta Reliance berada dalam keadaan bahaya. Ia sudah pun berada dalam kedudukan yang lemah di Negeri Zhao. Kini, ia berada dalam keadaan lebih bahaya. Tiba-tiba sahaja, Pertapa daripada Sekta lain mula muncul berhampiran sempadan Sekta Reliance.
Mereka kelihatan seperti sedang mencari sesuatu. Maka, Sekta Reliance memasang jampi pertahanan di sekeliling gunung itu. Semua benda dalam lingkungan beberapa ribu ekar berada di bawah perlindungan mereka. Kini, seluruh Sekta itu seolah-olah diselubungi awan ribut yang hitam dan tebal.
Kebanyakan pengikut di Sekta Luaran mempunyai andaian masing-masing. Beberapa orang daripada mereka mempunyai pengetahuan tambahan dan menerima cebisan maklumat. Perkhabaran tersebar dan tidak lama kemudian, ada khabar angin muncul yang menyatakan dunia Pertapaan Negeri Zhao bergolak disebabkan oleh Bapa Reliance, yang telah hilang selama empat ratus tahun.
Tetapi tiada seorang pengikut Sekta Luaran pun yang tahu secara terperinci.
Dalam tempoh ini, asas Pertapaan Meng Hao masih tersekat di pertengahan peringkat keempat. Semua benda yang dia lakukan tidak memberi kesan. Akhirnya, dia mula menerima yang dia sudah berada di jalan buntu.
Dia duduk bersila di Gua Dewa. "Kakak Xu cakap, ada dinding penghalang sebelum melepasi puncak peringkat keempat ke peringkat kelima. Tetapi kenapa dinding penghalang saya muncul lebih awal...adakah kerana saya makan terlalu banyak Teras Syaitan?"
"Kalau itu puncanya, saya perlukan pil ubat yang dibuat khas untuk memecahkan dinding penghalang ini. Atau mungkin saya perlukan beberapa Teras Syaitan tahap tinggi." Dia mempunyai beberapa Batu Rohani, tetapi kekurangan pil ubat yang sesuai. Dia yakin jika dia mempunyai pil ubat yang tepat, dia boleh memecahkan dinding ini ke peringkat kelima Pemekatan Qi.
Kebimbangan dalam Sekta Reliance dapat dirasai. Ramai pengikut yang mundar-mandir dengan hati yang berdebar-debar. Mereka cuba sedaya-upaya untuk menyembunyikan perasaan mereka. Meng Hao juga merasai kegelisahan itu, tetapi dia mahu selesaikan masalah kritikalnya sendiri dahulu.
Si Gempal satu-satunya orang yang masih gembira. Dia lebih berminat dengan kedai mereka di atas penara itu daripada Meng Hao. Malah, sewaktu Meng Hao tidak berasa mahu berniaga pun, dia akan membawa sepanduk itu ke sana sendiri untuk berniaga.
Tiga hari kemudian, bunyi loceng kedengaran. Hari Pengagihan Pil sudah tiba. Ketika Meng Hao dan Si Gempal tiba di medan itu, Meng Hao terperasan seorang lelaki tua berjubah emas di atas pentas bersama Kakak Xu dan Abang Chen yang berdiri di belakangnya.
Jantung Meng Hao mula berdegup kencang ketika melihatnya dan nyalaan api muncul dalam matanya.
"Dalam setahun setengah yang lalu, Pak Cik Guru Shangguan hanya muncul sebanyak tiga kali. Hanya sewaktu Pengagihan Pil Perseorangan. Sudah hampir setahun asas Pertapaan saya tersekat di peringkat keempat ini. Kalaulah ada pil ubat tahap tinggi..." Pengikut Sekta Luaran lain pun berfikiran begitu juga. Tidak lama kemudian, suasana menjadi bising dengan perbualan sesama mereka. Masing-masing mengharapkan supaya pil itu tidak diberikan kepada mereka.
Sekta telah membuat peraturan baharu yang mengharamkan pengagihan pil ubat secara persendirian kepada ahli Sekta Dalaman setelah apa yang Meng Hao lakukan pada pilnya sendiri pada masa itu.
"Itu... Itu Pil Rohani Kering!"
"Ya! Benar! Pil Rohani Kering. Tahun lalu telah diagihkan sebiji dan sekarang sebiji lagi. Hanya sebiji untuk setahun! Itu menunjukkan yang pil itu sangat berharga!"
"Kalau saya dapat, saya pasti akan dapat tingkatkan asas Pertapaan saya."
Suasana menjadi semakin gamat sewaktu orang tua berjubah emas itu mengangkat pil ungu bercahaya itu ke udara.
Ketika pil itu muncul, mata Meng Hao bersinar dengan galak sekali. Dia tidak pernah mempunyai kehendak yang sebegini kuat pada pil ubat itu. Di matanya, itu bukanlah sebiji pil ubat, tetapi satu-satunya harapan untuk dia memecahkan dinding pemisah ke peringkat kelima Pemekatan Qi.
Dia sudah agak lama menjadi ahli Sekta itu, jadi dia sudah kenal beberapa pengikutnya. Kakak Xu dan Abang Chen di Sekta Dalaman, kedua-duanya berada di peringkat ketujuh Pemekatan Qi. Ada khabar angin mengatakan yang mereka akan mencapai peringkat seterusnya tidak lama lagi.
Di bawah mereka, Wang Tengfei yang tersekat di puncak peringkat keenam Pemekatan Qi. Bagi dirinya, Pil Rohani Kering boleh membantunya. Selain dia, terdapat seorang lagi pengikut di peringkat keenam, pengikut nombor dua Han Zong.
Meng Hao hanya pernah melihatnya dua kali dan dia berasa Han Zong ini agak angkuh. Han Zong bagaikan menganggap semua orang di bawahnya. Jika dia berada di sini, dia tidak akan pandang sebelah mata pun pada Pil Rohani Kering, seolah-olah dia mempunyai benda yang lebih bagus daripada pil ubat.
Manakala bagi pengikut peringkat kelima Pemekatan Qi pula, terdapat empat orang di Sekta luaran dan mereka boleh dikatakan hanya ada nama sahaja. Fizikalnya jarang ada kerana mereka selalu memencilkan diri untuk bertafakur atau mengembara ke hutan rimba gunung untuk berlatih.
Pengikut peringkat keempat juga tidak ramai. Termasuk Meng Hao, terdapat tujuh orang kesemuanya. Untuk mereka yang di bawah peringkat keempat, mereka ibarat serangga kecil sahaja.
"Baiklah, semua orang diam." Suara Shangguan Xiu yang berkerepot bergema, sangat kuat seperti biasa. Namun, berbanding dengan tahun lalu, ia tidak memberi kesan pada Meng Hao. Malah, dia menjadi semakin tekad.
"Dalam dua tahun yang lepas, saya telah mengetuai Pengagihan Pil. Biasanya saya lebih suka untuk memilih pengikut baharu. Ini kerana kalau kita terus-menerus dapat pengikut baharu, sekta kita akan berkembang." Dia tersenyum dan matanya memerhatikan orang ramai. Akhirnya, matanya terpaku pada Si Gempal yang berdiri di sebelah Meng Hao. Si Gempal sedang mengasah giginya dengan sebilah pedang dan wajahnya kelihatan acuh tidak acuh sahaja. Nampaknya, Shangguan Xiu sudah membuat keputusan.
Si Gempal kelihatan bulat seperti bola dan jika sesiapa melihat dia mengasah giginya untuk kali pertama, mereka pasti akan berasa sukar untuk memilih sama ada mahu tertawa atau menangis. Shangguan Xiu merenungnya dengan kagum dan kemudian tertawa.
"Tak apalah," dia berkata. "Saya akan beri pil ini pada awak." Dia melambaikan tangan kanannya dan terpancar cahaya ungu berkelip-kelip sewaktu dia menembak Pil Rohani Kering itu kepada Si Gempal. Dengan penuh rasa terkejut, dia bertindak balas dengan menangkapnya secara spontan bagaikan tidak mengerti. Kemudian, riak wajahnya berubah dan Si Gempal mengeluarkan jeritan kecil. Tubuh badannya mula menggigil dan wajahnya menjadi pucat. Dia kelihatan seperti mahu menangis.
"Ini...saya...tak guna, kenapa saya yang dapat?"
Tiba-tiba sahaja dalam sekelip mata, semua orang di seluruh medan itu merenung Si Gempal lantas menjadikan semua bulu roma di badannya meremang. Tubuhnnya menggeletar dan dia memandang Meng Hao dengan senyuman yang menyedihkan.
"Meng Hao, tolong saya..." Dia mahu buang pil itu, tetapi entah kenapa ia tetap melekat di dalam genggamannya. Dia berasa sangat takut dan giginya bergelatukan kerana orang ramai mula mengerumuni mereka.
Setelah cahaya itu malap, dia berpeluh-peluh menggigil. Kemudian, cahaya itu terpadam dan jampi kekangan itu terungkai. Sebelum Si Gempal sempat bersuara, Meng Hao memancarkan ledakan kilat asas Pertapaannya. Kemudian dia menarik Si Gempal dengan menggunakan jubahnya dan meluru keluar dari medan itu.
"Beri saya pil itu," suara Meng Hao seakan-akan berbisik. "Awak kembali ke Gua Dewa dan sembunyikan diri!" Meng Hao mencampakkan padanya manuskrip jed gua itu tanpa berfikir panjang. Si Gempal membaling Pil Rohani Kering itu seperti dia memegang bom jangka di dalam tangannya.
Tubuh Meng Hao melayang sewaktu dia meluru ke hadapan dengan diikuti oleh Si Gempal. Kedengaran bunyi salakan dan ngauman semakin kuat. Dalam sepuluh orang atau lebih sedang mengejar mereka.
"Tak guna, itu Meng Hao. Kau tidak boleh lepaskan diri!"
"Serahkan Pil Rohani Kering itu. Sebagai rakan seguru, aku akan berbelas kasihan dan tak akan bunuh kau. Kalau tidak, nahas kau aku kerjakan!"
Meng Hao tidak berhenti walau sesaat sekali pun. Setelah berjaya membebaskan diri dari orang ramai di Sekta Luaran, dia mencampak Si Gempal jauh darinya. Si Gempal seorang yang baik, tetapi bukannya dungu. Sebaik sahaja kakinya menjejak tanah, dia menjerit kesedihan.
"Pencuri pil!" Dia menjerit. Dia memegang erat manuskrip jed itu sambil melarikan diri. Dia cuba untuk tidak kelihatan mencurigakan dan meluru ke arah Gua Dewa sepantas mungkin.
Orang yang mengejar menukar sasaran setelah mendengar jeritan itu dan terus menyambung memburu Meng Hao.
"Larilah sampai ke hujung dunia sekali pun, kau tak akan terselamat dalam 24 jam ini!"
"Kau berada di peringkat keempat dan kau masih tidak mahu serahkan pil itu?" Dalam kalangan sepuluh pengejar atau lebih, kebanyakannya berada di peringkat keempat Pemekatan Qi dan hanya dua orang daripada mereka di peringkat kelima. Yang lain berada di peringkat ketiga dengan harapan untuk menangguk di air yang keruh.
Siulan aura pedang salju terasa di belakang Meng Hao kerana lebih sepuluh pedang terbang sedang meluru kepadanya dari atas seperti hujan. Namun, dia bertekad untuk menyimpan Pil Rohani Kering itu dan enggan menyerahkannya.
"Aku hanya perlu bertahan selama dua puluh empat jam, kemudian pil ini akan jadi milikku," Meng Hao bersuara dengan matanya bersinar penuh tekad. "Kemudian, aku boleh rempuh dinding penghalang itu untuk mencapai peringkat kelima Pemekatan Qi." Dia meningkatkan kelajuannya. Setelah menghabiskan masa memburu haiwan syaitan di dalam hutan rimba gunung itu, kepantasannya tidak dapat disangkal lagi. Tambahan pula dia lebih tahu selok-belok kawasan pergunungan itu berbanding pengikut lain. Oleh itu, setelah meninggalkan Sekta Luaran, dia berlari menuju ke pergunungan itu.
Dengan melihat sekali imbas aura pedang yang menghampiri dirinya, Meng Hao menepuk beg sakti untuk mengeluarkan pil ubat yang ditelannya serta-merta. Kemudian, dia melancarkan pedang terbangnya ke belakang.
Bang, bang, bang! Beberapa batang pokok telah terkena pedang terbang berkuasa itu dan meletup menjadi serpihan yang tercampak ke merata tempat. Ada beberapa yang mengenai Meng Hao. Dia merasa sakit, tetapi dia menggunakan momentum letupan itu untuk melancarkan dirinya sendiri dalam beberapa meter jauhnya.
Sebelum sempat dia mencecah tanah, empat Ular Api dan tiga Bola Air telah dilancarkan ke arahnya. Dua Ular Api itu hampir lapan belas meter panjang dan setebal seorang manusia. Ia memencarkan haba yang sangat tinggi sehingga menyebabkan beberapa pokok berhampiran terbakar. Itu sememangnya angkara pengikut peringkat kelima yang juga pengikut paling pantas dalam kalangan mereka. Kaki mereka tidak menjejak tanah pun ketika mereka terbang ke arah Meng Hao seperti angin. Muka mereka kelihatan bengis. Sebenarnya, mereka juga seteru antara satu sama lain. Mereka hanya fikir saingan ini hanya melibatkan mereka berdua. Meng Hao tidak masuk pun dalam perkiraan mereka.
Tanpa teragak-agak, Meng Hao menepuk beg saktinya sekali lagi. Dua bilah pedang terbang muncul mengelilinginya dan berhenti menjadi lapik di bawah telapak kakinya. Kemudian, pedang itu dilancarkan ke hadapan dengan membawanya hampir tiga puluh meter sebelum dia hilang keseimbangan badan dan terjatuh. Pergerakan sejenak itu berjaya membuatkannya mengelak Ular Api itu dan menjauhkan diri dari mereka. Raungan ganas bergema ke udara di belakangnya.
Itu teknik yang Meng Hao cipta sendiri. Ia hanya berfungsi untuk beberapa saat. Sekurang-kurangnya ia dapat membantunya untuk mendapat sedikit kelebihan ke atas dua orang Pertapa peringkat kelima itu.
"Kalau aku sudah capai peringkat kelima Pemekatan Qi," Meng Hao berfikir sendirian, "Aku boleh belajar Hikmat Meringankan Badan. Jadi, aku boleh kekal berdiri di atas pedang terbang itu lebih lama dan boleh lepaskan diri dengan lebih mudah lagi. Malangnya, ini bukan benar-benar terbang..." Keinginannya untuk mencapai peringkat kelima Pemekatan Qi menjadi lebih kuat. Tanpa menoleh ke belakang, dia menambahkan kelajuannya. Sebenarnya, laluan yang dipilihnya bukanlah secara rawak. Sebaik sahaja Pil Rohani Kering berada di dalam genggaman Si Gempal, akalnya telah berfikir dengan ligat.
Dia memilih gunung belantara kerana tempat yang ditujunya tidak lain tidak bukan ialah gunung hitam yang didiami Haiwan Syaitan. Setelah memikirkannya sebentar, dia sedar yang cermin tembaga itu boleh menjadi kelebihannya. Dengan cermin itu, dia masih berpeluang untuk terus hidup di dalam kawasan itu walaupun ia berbahaya dan mengandungi haiwan yang mengerikan itu. Taktik ini akan menjadi jika mereka mengekorinya masuk.
"Kalau mereka ini buru aku hingga ke dalam gunung hitam, aku akan terpaksa bunuh mereka." Wajahnya garang. Dia sudah lebih setahun menjadi sebahagian Sekta Reliance dan bukan lagi cendekiawan lemah seperti dahulu. Dia tidak berubah sangat dari segi luaran. Dia sedikit tinggi dan kulitnya masih gelap seperti dahulu. Namun, hatinya dipenuhi dengan ketegasan.
Terutama sekali setelah kejadian dengan Wang Tengfei. Dia tahu yang dia hanya boleh bergantung pada dirinya sendiri sahaja. Satu-satunya jalan yang benar ialah dengan menjadi lebih kuat. Di dalam dunia Pertapaan, hanya undang-undang rimba sahaja yang digunakan. Seseorang itu mesti berhati-hati dan tegas.
Mereka mengejar tanpa kenal erti lelah. Aura pedang berkilau-kilauan. Tidak lama kemudian, kedua-dua Pertapa peringkat kelima telah menghampiri rapat dengannya. Niat membunuh terpancar dari mata mereka. Sebentar tadi, Meng Hao telah mengelak serangan mereka dengan menggunakan teknik istimewa. Selain daripada Wang Tengfei dan Han Zong, mereka umpama raja dalam Sekta luaran. Maka, mereka rasa terhina kerana serangan mereka berjaya dielak.
Mereka menyerang pada masa yang sama, tetapi Meng Hao masih berjaya mengelak daripadanya lantas membuatkan mereka tidak dapat menerimanya. Kini, mereka bukan sahaja mahu membunuh Meng Hao, malah lebih lagi. Setakat teknik menunggang pedang Meng Hao, mereka tidak peduli pun. Mana-mana Pertapa peringkat keempat boleh lakukannya. Namun, memandangkan asas Pertapaan mereka lebih tinggi, melaksanakan teknik itu hanya akan membazirkan tenaga rohani walaupun ia boleh menambahkan sedikit kelajuan. Mereka mengejek Meng Hao yang menggunakan teknik itu kerana ia boleh menghabiskan tenaga rohani dengan lebih pantas.
"Tengoklah kau boleh lepaskan diri atau tidak kali ini!" Mereka menjerit sambil menjeling satu sama lain. Seorang daripada mereka memecut ke hadapan seperti seekor burung besar dengan secara tiba-tiba. Di atas udara, dia melambaikan tangannya dan dua Ular Api marak dan besar dilancarkan ke arah Meng Hao di bawah.
Seorang lagi pula masih terus mengejar Meng Hao. Mereka berdua melancarkan serangan ragam, seorang di udara dan seorang di bawah, bersedia untuk mencabut nyawa Meng Hao.
"Kau masih tidak mahu terima ajal kau?" Seorang daripada mereka menyeringai dengan jelik dan niat membunuhnya mengisi ruang udara.
Riak wajah Meng Hao tidak berubah. Dia mendengus. Dia berani merampas Pil Rohani Kering, jadi sudah pasti dia sudah menyediakan beberapa teknik istimewa. Dia menepuk beg saktinya dan menyelakkan lengan bajunya. Enam bilah pedang terbang muncul dan auranya saling bertindih dan kemudian terbang dengan sangat pantas menjauhi Meng Hao.
"Bom!"
Meng Hao menjerit kecil kesakitan yang kemudiannya bergema sekitar pergunungan itu. Sewaktu dua orang Pertapa yang mengejar mendengar bunyi letupan itu, mereka terkaku kagum dan tidak pasti punca bunyi letupan itu berlaku.
Sewaktu bunyi gemuruh itu kedengaran, Meng Hao telah memuntahkan darah sambil tubuhnya ditembak jauh. Di belakangnya, kesan serangan itu menghilang dan Ular Api runtuh dengan jeritan ngeri. Pertapa peringkat kelima itu terpaksa berundur beberapa langkah dengan dipenuhi kotoran dan wajah mereka bagaikan tidak percaya.
"Bajingan. Kejam betul! Dia letupkan enam bilah pedang terbang sekaligus!"
"Patutlah dia buka kedai! Berapa banyak pedang terbang yang dia ada sebenarnya?"
Mereka berdua menarik nafas dalam-dalam, tetapi masih berkeyakinan. Dengan menggunakan Hikmat Meringankan Badan kelajuan tertinggi, mereka mengejar kembali kerana tidak sanggup membiarkan Meng Hao menakutkan mereka. Menurut jangkaan mereka, pedang terbang Meng Hao hanya tinggal sedikit sahaja. Sungguhpun dia mempunyai kedai di Zon Awam Tahap Rendah, tidak mungkin dia ada barang sakti yang sangat banyak.
"Kali ini, kau pasti mati!" Dua orang pengejar itu meningkatkan kelajuan mereka sambil memasuki pergunungan belantara itu. Pada saat ini, pengikut peringkat keempat yang mengejar telah tiba. Seorang daripada mereka ialah rakan Wang Tengfei, Shangguan Song. Asas Pertapaannya sudah berada di puncak peringkat keempat Pemekatan Qi. Wajahnya menggerunkan. Dalam diam-diam, dia takut pada kelajuan Meng Hao, tetapi dia masih terus mengejar.
Masa terus bergerak dan tidak lama kemudian, sejam sudah berlalu. Meng Hao masih terus berlari, mengekalkan jarak dari pengejarnya. Terdapat beberapa kali dia dalam bahaya. Namun, setiap kali juga dia mengeluarkan pedang terbang, meletupkannya dan melepaskan diri.
Tindakan ini membuatkan Pertapa peringkat kelima yang mengejar itu terpinga-pinga. Mereka mengeluh sendirian kerana tidak pernah menyangka yang Meng Hao mempunyai sangat banyak pedang terbang. Pada ketika ini, Meng Hao sudah letupkan sebanyak dua belas bilah.
Ditambah pula dengan teknik menunggang pedang, kelajuan mengelaknya sangat pantas.
"Tak guna! Sungguhpun dia ada banyak pedang terbang, aku tak percaya yang dia boleh hasilkan banyak lagi. Apa-apa pun, pada kelajuan yang dia kekalkan ini, ditambah pula dengan semua pedang terbang itu, dia sudah guna tenaga rohani dengan sangat banyak!"
"Benar! Asas Pertapaan dia baru di peringkat keempat Pemekatan Qi, tidak setinggi aku. Dia akan mati kalau bazirkan tenaga guna tenaga rohani untuk menaiki pedang terbang itu!" Dua orang Pertapa peringkat kelima yang mengejar itu semakin bersemangat. Sejurus selepas mereka habis bercakap, mereka ternampak kelibat Meng Hao di hadapan dan terlihat sesuatu yang membuat mereka semakin kurang yakin.
Walaupun dia sedang berlari, Meng Hao telah mengeluarkan beg sakti kedua yang dia guna untuk menghasilkan segenggam pil ubat dan menelannya. Dia melakukannya dengan santai supaya orang yang melihat akan sangka dia mempunyai pil ubat yang tidak terkira banyaknya.
Taktik itu sebenarnya menjadi. Dalam empat jam seterusnya, dua orang pengejar itu mendapati yang dia mempunyai sejumlah besar pedang terbang dan pil ubat.
"Untung sangatkah dengan membuka kedai?" Mereka berfikir. Mereka Pertapa peringkat kelima Pemekatan Qi dan tidak mungkin dapat mencapainya tanpa pil ubat. Lagipun, mereka tidak boleh berputus asa kerana mereka telah menghabiskan banyak tenaga dan usaha dalam pemburuan mereka. Jadi dengan rasa berat hati, mereka mengeluarkan lagi pil dan menelan semuanya sebelum meneruskan aksi kejar-mengejar itu. Sekarang tekad mereka hanyalah untuk membunuh Meng Hao.
Setelah enam jam berkejaran, gunung hitam kelam telah muncul di hadapan Meng Hao. Gunung yang tersembunyi di antara pergunungan belantara lain ini melepaskan udara dingin yang dahsyat seolah-olah ia penuh dengan kesuraman dan kejahatan.
Sewaktu dia dapat melihat gunung itu, matanya bercahaya. Dia telah menghabiskan banyak tenaga sepanjang pelariannya dan berasa sedikit penyesalan yang menyakitkan. Bagi dirinya, setiap sebilah pedang terbang dan pil ubat itu bernilai sebiji Batu Rohani. Namun, dia tidak boleh terlalu memikirkannya sekarang. Tanpa berlengah lagi, dia terus meluru masuk ke dalam gunung hitam itu.
Dua orang Pertapa yang mengejar telah mengikut masuk ke dalam gunung hitam itu.
Masa kian berlalu dan ramai lagi pengejar tiba seorang demi seorang. Sewaktu melihat gunung hitam itu, mereka terhenti kekaguman seketika sebelum mereka masuk.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT