Wajah Pertapa di sekitarnya pucat. Serangan Meng Hao muktamad, ganas dan penuh dengan kebencian yang dia sendiri pun tidak sedar. Semakin hari dia sudah semakin biasa dengan kejadian seperti ini.
Dalam kalangan orang yang melihat, kini Meng Hao orang nombor satu penara itu. Mungkin di seluruh Kelas Luaran, dia telah menjadi salah seorang tokoh utama.
Kebanyakan Pertapa mengimbas kembali ke kejadian separuh purnama yang lalu. Dengan asas Pertapaan yang sebegitu tinggi, Meng Hao boleh merampas harta benda mereka sesuka hatinya sahaja. Ya, benar. Pelanggan kedainya tidak gembira, tetapi dia melayan mereka dengan lembut. Sekarang, orang ramai mula berasa kagum pada Meng Hao.
Tiada lagi pertarungan di atas penara hari itu. Setelah Meng Hao pergi, khabar tentang asas Pertapaan Lu Hong dilumpuhkan telah tersebar bak angin. Terutama sekali tentang nama Wang Tengfei yang disebut oleh Lu Hong. Itu menyebabkan khabar itu tersebar dengan lebih pantas. Menjelang waktu malam, semua orang di Kelas Luaran sudah terdengar akan peristiwa yang berlaku dan ketika saat ini, semua orang telah mengenali Meng Ho.
Gunung tertinggi Sekolah Aliran Reliance adalah Gunung Timur yang dilitupi jaluran awan berwarna-warni dan juga pangkalan aktiviti Kelas Dalaman. Ia mempunyai lebih banyak tenaga rohani berbanding gunung yang lain. Ia juga tempat bagi Pengetua Sekolah He Luohua untuk mengasingkan diri dan bertafakur.
Sewaktu zaman kegemilangan Sekolah Aliran Reliance, empat puncak telah diduduki Kelas Dalaman dan dipenuhi dengan Pengikut peringkat ketujuh Pemekatan Qi. Kini, hanya Gunung Timur sahaja yang didiami pengikut Xu dan Chen. Puncak lain telah ditinggalkan.
Di Gunung Timur, terdapat sebuah Gua Dewa yang lebih besar daripada gua milik Meng Hao. Ia sebenarnya Gua Dewa terbaik dalam seluruh Aliran Reliance Kelas Luaran sehingga dapat menandingi kediaman pengikut Kelas Dalaman.
Di dalamnya terletak sebatang Anak Sungai Rohani yang mengalir deras. Ia membuak dengan tenaga rohani yang padat dan harum semerbak.
Dalam kalangan semua pengikut Aliran Reliance Kelas Luaran, hanya ada seorang sahaja yang layak mendiami tempat yang dirahmati sebegitu rupa, iaitu Wang Tengfei.
Dia duduk bersilang kaki dengan berpakaian jubah putih. Wajahnya tenang melihat Lu Hong melutut di hadapannya. Wajah Lu Hong sangat pucat dah tubuhnya menggigil-gigil. Asas Pertapaannya telah pun dilumpuhkan oleh Meng Hao.
"...saya merayu agar Abang Wang melaksanakan keadilan," katanya dengan nafas tersekat-sekat. "Dia begitu licik, jauh lebih licik daripada yang boleh dibayangkan. Dia pasti akan lari dari Sekolah Aliran ini." Setiap kali Lu Hong memandang Abang Wang, dia selalu merasakan inilah contoh manusia paling sempurna dan luar biasa. Tanggapan ini bertambah kuat sepanjang dua tahun lepas apabila asas Pertapaan Wang Tengfei menjadi semakin berkuasa.
"Jika dia lari," kata Abang Wang setelah berdiam buat sementara waktu namun masih kelihatan begitu anggun berbicara, "itu akan melanggar peraturan Sekolah Aliran dan saya akan mengarahkan orang untuk membunuh dia." Wajahnya begitu lembut dan mesra; dia pasti dapat memikat hati sesiapa pun. Jika dia membuka mulut, tutur katanya begitu sopan dan beradab tinggi.
Lu Hong tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia menunduk dan menyerahkan segala untung nasib kepada Wang Tengfei. Badannya menggeletar teruk.
"Baiklah," kata Wang Tengfei. "Cara dia memang terlalu buas. Kita mesti jadikan dia teladan. Saya akan terpaksa menyusahkan Abang Shangguan dan memohon untuk bertemunya, walaupun saya perlu berhati-hati agar tidak menyinggung Kakak Xu pula. Meng Hao mesti melumpuhkan asas Pertapaan dia sendiri, agihkan semua harta rampasan dia dan potong sebelah kaki serta sebelah tangan. Hanya itu sahaja permintaan maaf yang boleh diterima. Kamu puas hati?" Wang Tengfei bercakap seolah-olah dia seorang yang memegang kuasa ke atas segala hal-ehwal Sekolah Aliran Reliance. Seolah-olah dengan satu perkataan sahaja, dia sudah berhak menentukan apa yang terjadi pada asas Pertapaan Meng Hao serta tangan dan kakinya. Namun, senyumannya masih ramah seperti biasa, sempurna tanpa cacat cela.
"Saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Dia ini…memang ganas dan tak terbendung…" Lu Hong menahan rasa geram walaupun hatinya penuh dengan dendam.
"Baiklah, saya akan pastikan dia dibuang dari Sekolah Aliran ini," kata Wang Tengfei dengan tenang, seolah-olah dia bercakap tentang sesuatu yang remeh. "Dia boleh tinggal dalam hutan dan biar takdir menentukan nasibnya kelak."
Pada saat yang sama, Meng Hao duduk bersila dalam Gua Dewa di Gunung Selatan, sambil memandang labu air jadeit dalam tangannya dengan muka yang suram. Setelah berjaya mencapai peringkat keempat Pemekatan Qi dan bertarung dalam perlawanan itu, dia sudah menghabiskan hampir kesemua tenaga rohaninya. Sekarang, tenaganya sudah hampir kosong. Namun, sekurang-kurangnya dia memperoleh labu air ajaib ini.
Nampaknya, segalanya berjalan dengan lancar sejak dia masuk dalam Sekolah Aliran Reliance, tetapi sebenarnya itu semua kerana akalnya yang tajam dan kebijaksanaan dia menilai keadaan. Jika semua ini terjadi pada orang lain, dia sudah tentu akan kehilangan nyawa pada Hari Pengagihan Pil yang pertama lagi.
Namun begitu, dia mendapat perlindungan daripada cermin tembaga serta kuasa misterinya. Tidak lama selepas itu, Abang Zhao pula mahu merebut Gua Dewa daripadanya. Kalau dia tidak mati, situasi Meng Hao tentu akan jadi lebih berbahaya dan dia akan kehilangan semua harta benda miliknya. Itu kali pertama dia membunuh seseorang.
Kalau dia tidak mula berniaga dan membuka kedai itu, dia tak akan mencapai kedudukan sekarang. Sungguhpun begitu, nasib baik yang seakan-akan membawa dia maju ke hadapan turut membawa nasib malang yang bakal dia alami tanpa pengetahuannya lagi.
Semua yang terjadi ibarat petir yang terjadi sebelum ribut melanda. Meng Hao merenung labu air jadeit itu sambil membisu, dia memikirkan tentang pengikut nombor satu dalam Kelas Luaran, Wang Tengfei yang dirahmati. Apabila memikirkan tentang Abang Wang yang sempurna serba-serbi, Meng Hao merasa seolah-olah dihempap oleh keseluruhan gunung itu sendiri. Dia berasa lemas.
Dia mahu lari, tetapi dia sedar dia bukan sekadar hamba tetapi seorang anak murid sekolah. Melarikan diri akan melanggar undang-undang Sekolah Aliran. Itu akan sampai ke pengetahuan pengetua sekolah aliran dan dia tentu akan kehilangan nyawa.
"Kalaulah aku tahu dari awal-awal lagi yang Lu Hong berada bawah perlindungan Wang Tengfei…" gumam Meng Hao sendirian. Beberapa saat kemudian, matanya terpancar dengan tekad dan keazaman.
"Aku masih akan buat perkara yang sama. Kalau aku tak serang dia, dia yang akan bunuh aku. Bukan aku yang paksa dia, dia yang paksa aku dulu. Walau bagaimanapun, kami masih akan tetap bermusuh. Melainkan kalau aku jumpa Cao Yang terlebih dulu dan biarkan dia merompak aku, kesudahannya tentu begini juga. Walaupun terpaksa berbunuhan, aku tak dapat halang orang lain daripada cuba mencantas perniagaan aku." Matanya berkaca sambil merenung keliling Gua Dewa itu.
"Malangnya, Kakak Xu pula sedang memencilkan diri untuk bertafakur…" Benda pertama yang dia buat setelah melumpuhkan asas Pertapaan Lu Hong ialah mencari Kakak Xu. Namun, dia dimaklumkan dalam Kelas Dalaman, Pertapa yang sedang memencilkan diri tidak boleh diganggu sama sekali.
"Labu air jadeit ini…" Ia begitu berkuasa, sehinggakan apabila dia mengujinya menggunakan asas Pertapaan dia sendiri, ia meletup dengan begitu kuat hingga membuat jantungnya berdegup kencang. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana botol ini boleh membantu dia. Mungkin sekarang dia ada harapan untuk mencapai peringkat kelima Pemekatan Qi. Yang peliknya, labu air itu tidak boleh dimasukkan dalam beg sakti, tetapi mesti digantung dari lehernya. Malangnya, dia sudah tidak ada Batu Rohani lagi. Dia sudah menggunakan kesemuanya semasa mahu mencapai tahap ketiga Pemekatan Qi. Jika tidak, dia akan cuba membuat salinan labu air itu…
"Sekolah ini bukan macam dunia biasa. Sangat mudah untuk hilang nyawa di sini. Kalau aku boleh mengelak daripada masalah dengan menyerahkan labu air ini, mungkin lebih baik aku berbuat begitu…" Dia sangat ralat untuk berbuat demikian tetapi nampaknya dia sudah tiada pilihan lain. Semasa dia bergelut dengan fikirannya sendiri, satu suara menyeramkan bergema di keheningan langit malam dan menembusi pintu Gua Dewa yang tertutup rapat.
"Aku Shangguan Song [1. Shangguan Song ditulis dalam Bahasa Cina ialah 上官宋 (shàng guān sòng) - Shangguan merupakan nama keluarga yang jarang ditemui. Song hanya nama biasa tanpa sebarang maksud istimewa], datang untuk membantu Abang Wang menegakkan keadilan. Meng Hao, keluar dari Gua Dewa sekarang dan tunduk padaku."
Suara yang menyeramkan itu seperti mengisi gua dengan bayang-bayang yang kelam dan dingin. Mata Meng Hao mengerdip dan dia mengangkat kepalanya. Dia tidak terkejut pun; sebenarnya dia sudah agak ada orang yang akan mencarinya.
Meng Hao tidak menjawab terus tetapi kemudian dia berkata perlahan-lahan, "Sekarang sudah lewat malam, waktunya tidak sesuai. Abang, jika mahu kata apa-apa, katakan sajalah."
"Sombongnya," kata suara itu lagi dengan rasa tidak puas hati. Kemudian, satu dengusan kedengaran.
Meng Hao masih membisu seribu kata.
"Baik, terpulanglah jika kau tidak mahu buka pintu itu. Aku akan sampaikan juga arahan Abang Wang. Meng Hao, pengikut Kelas Luaran sudah tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap Pertapaannya. Dia menimbulkan kekecohan di Zon Awam Tahap Rendah, menyebabkan ramai rakan sealirannya membuat aduan dan menggunakan keganasan dan kekerasan ke atas orang lain. Namun begitu, dia masih muda dan semua kesalahan ini tidak cukup untuk disabitkan dengan hukuman mati. Jadi, dia mesti menyerahkan semua harta bendanya, asas Pertapaannya dilumpuhkan dan tinggalkan Sekolah ini. Mulai hari ini, kau sudah bukan pengikut Aliran Reliance lagi." Sambil Meng Hao mendengar suara yang menyeramkan itu, mukanya menjadi semakin suram. Namun, apabila dia mendengar kata-kata terakhir itu, dia mula berasa tidak puas hati.
"Abang Wang tak ada hak untuk menentukan peraturan Sekolah!" bantah Meng Hao.
"Abang Wang berhak untuk menentukan peraturan Sekolah," sambung suara di luar itu lagi. Dia tidak mengendahkan langsung sampukan Meng Hao tadi. "Hari esok ialah Hari Pengagihan Pil. Kau mesti tunduk pada Lu Hong, minta maaf dan nantikan hukuman kau." Dengan itu, lelaki itu mengibas lengan jubahnya lalu berlalu pergi.
Meng Hao duduk terdiam sambil berfikir. Malam semakin larut dan tidak lama lagi subuh akan menjelang. Matanya sudah menjadi kemerahan. Dia tidak tahu apa yang dia patut lakukan. Sudah jelas lawannya menuntut labu air jadeit itu semula dan mahu dia mati. Namun begitu, dia kononnya diberi belas kasihan dan hanya diminta melumpuhkan asas Pertapaannya, memotong sebelah kaki dan sebelah tangan dan disingkirkan ke dalam hutan liar. Jika itu benar-benar terjadi, musnahlah hidupnya.
"Apa patut aku buat…" katanya sambil menggenggam penumbuk dan matanya pula merah menyala. Dia terasa begitu lemah dan tidak berdaya. Ini kali pertama dia benar-benar berharap dia seorang yang berkuasa. Kalau dia lebih berkuasa, tiada siapa akan berani membulinya begini. Dia berfikir lagi.
"Jangan kata satu-satunya pilihan aku ialah melarikan diri…" Dia membulatkan tekad, mengangkat kepalanya dan mula berjalan keluar dari Gua Dewa. Namun, apabila kakinya melangkah, dia berhenti dan mula berasa ragu-ragu.
"Tidak, ini tak betul…" Dia menundukkan kepalanya sekali lagi untuk berfikir dan kemudian berpatah balik semula ke dalam Gua Dewa dan terus duduk bersila kembali.
Keesokan paginya, Meng Hao membuka matanya yang kemerahan. Dia tidak melakukan sebarang latihan pernafasan tetapi dia menghabiskan masa sepanjang malam untuk berfikir. Namun, asas Pertapaannya terlalu rendah. Dia tidak dapat memikirkan sebarang cara lain selain lari dari Sekolah Aliran Reliance. Walaupun begitu, tentu lawannya akan menduga dia akan bertindak sedemikian. Jika dia melarikan diri, samalah seperti dia mencari maut dan dia akan diingati sebagai seorang pengkhianat.
Bunyi loceng berdering dari kejauhan. Hari Pengagihan Pil telah tiba. Meng Hao tahu sekiranya dia cuba bersembunyi dalam Gua Dewa sekalipun, bala tentu akan menimpanya juga.
"Undang-undang rimba. Semua masalah ini terjadi hanya kerana asas Pertapaan aku terlalu lemah. Seorang lelaki sejati tak akan menerima segala penderitaan dalam diam, tetapi dia mesti bertindak untuk mengubah nasibnya." Meng Hao mengeluh kecil. Dia sudah diasak ke sudut yang sukar dan sudah tiada jalan lain untuk dia ambil. Dia menenangkan dirinya dan merapikan bajunya. Dia memandang keliling Gua Dewa, membuka pintu utama lalu merenung langit biru serta hutan hijau yang luas terbentang.
Beberapa ketika berlalu dan dia melangkah ke luar. Dia baru berjalan beberapa langkah apabila dia menyedari seseorang berjalan keluar dari hutan di belakangnya sambil merenung tajam. "Kau tak lari. Nampaknya kau ada otak juga." Meng Hao kenal suara itu. Itulah Shangguan Song. Rupanya dia duduk berkawal di luar gua sepanjang malam.
Meng Hao pernah melihatnya. Dia salah seorang pengikut yang berjalan seiring dengan Wang Tengfei tempoh hari di Gunung Timur. Datuknya merupakan salah seorang pengetua Sekolah Aliran. Jadi, dia duduk berkawal luar gua Meng Hao untuk melihat jika dia akan lari atau tidak. Kalau Meng Hao lari semalam, dia tentu akan dicop sebagai pengkhianat dan nyawanya tentu sudah melayang.
Meng Hao memusingkan tubuhnya dan berjalan menuju ke Kelas Luaran.
Shangguan Song ketawa mengejek dan matanya penuh dengan rasa hina terhadap Meng Hao. Sebenarnya, dia ada meninggalkan gua semalam untuk melawat datuknya Shangguan Xiu. Kalau Meng Hao memilih untuk lari pada tengah malam tadi, dia tentu akan diperangkap dan akan dibunuh dengan kejam.
Shangguan Song mengekori Meng Hao sehingga ke Kelas Luaran. Setibanya mereka di sana, seorang demi seorang anak murid melihat Meng Hao dan wajah mereka dipenuhi seribu satu perasaan. Namun, semua orang sudah pun menjangkakan akibat ini dan tiada seorang pun yang mengasihani Meng Hao. Malah, kebanyakan daripada mereka mengejek Meng Hao depan-depan.
Tidak lama kemudian, dia tiba di dataran Kelas Luaran. Tiang berukiran naga itu bersinar cemerlang dan anak murid melata di sana sini. Dari kejauhan, dia melihat Wang Tengfei yang berjubah putih dikelilingi segerombolan anak murid.
Matahari menyinari jubah putihnya dan membuatkannya berkilauan umpama salji. Rambutnya panjang mengurai melepasi bahu. Dia kelihatan sempurna serba-serbi, ibarat seorang Dewa yang terpacul dari lukisan. Perawakannya memikat hati orang ramai untuk lebih mendekatinya. Dia benar-benar kelihatan seperti Insan Terpilih.
Dia bersembang ramah dengan pengikut di sekelilingnya; dia mesra dengan semua orang tidak kira berapa asas Pertapaan mereka. Sesekali dia mengangguk, memberi nasihat tentang Pertapaan dan menyebabkan semua orang melihatnya dengan penuh rasa hormat.
Semua pengikut wanita nampak taksub akannya. Mereka bergayut dan berpaut pada lengannya dan setiap perbuatannya akan membuat mereka hilang pertimbangan.
Malah, pengetua sekolah yang berteleku atas pelantar tinggi juga memandang Wang Tengfei dengan penuh rasa kagum dan kasih sayang.
Walau ke mana-mana pun Wang Tengfei pergi, dia akan menjadi tumpuan semua orang. Rupanya yang tampan, sifatnya yang lemah-lembut, kesempurnaannya bak bidadari, semuanya bercahaya ibarat berlian yang menyinari dan menyilaukan mata Meng Hao. Dia menggenggam tangannya dengan kuat.
Apabila semua pengikut sudah tiba dan proses Pengagihan Pil telah tamat, Wang Tengfei yang mesra dan memikat hati tidak memandang sebelah mata pun pada Meng Hao. Dia tahu Meng Hao sedang memerhatikan dirinya, cuma ia tidak jauh beza daripada seekor belalang yang sedang melihat seekor singa. Dia tidak akan merendahkan martabatnya dengan membalas pandangan Meng Hao.
Apabila semuanya sudah selesai dan tiang berukir naga itu menjadi gelap, suara Wang Tengfei yang lembut berkumandang di udara.
"Mari ke mari!"
Hanya sebaris ayat ringkas tetapi sebaik sahaja ia dilantunkan, semua orang mengalihkan pandangan pada Wang Tengfei dan melihat matanya menatap Meng Hao.
Meng Hao tercegat sambil merenung tajam pada Wang Tengfei. Tiba-tiba, dia dapat merasakan pandangan semua pengikut di medan itu tertumpu kepadanya. Pertapa yang paling dekat dengan dia menjauhkan diri dan membuka ruang luas di sekeliling Meng Hao.
Hatinya sayu dan dihambat kesunyian, seolah-olah seluruh dunia telah meminggirkannya. Seolah-olah satu perkataan dari mulut Wang Tengfei menjadikan dia tidak layak untuk hidup lagi.
Segalanya senyap-sunyi. Pengikut Kelas Luaran lain memandang Meng Hao tanpa sebarang kata. Wang Tengfei terlampau masyhur. Kata-katanya bergema dalam hati setiap orang di situ.
Tiada siapa yang terkejut dengan apa yang terjadi sekarang; berita tentang kejadian semalam telah tersebar dan kebanyakan orang sudah dapat meneka apa yang bakal terjadi hari ini.
Orang kanan sekolah masih tercegat di atas pelantar tinggi dan memandang Meng Hao dari atas.
"Undang-undang sekolah menyatakan apa yang kita ambil akan menjadi milik kita," kata Meng Hao, sepatah demi sepatah. Dia tahu kalau dibandingkan dengan Wang Tengfei, kata-katanya hanya akan dibalas hilai tawa dan ejekan, malah dia mungkin akan diserang. Namun, dia masih mahu bersuara.
Dia tahu sekiranya dia mengeluarkan labu air jadeit itu dan menyerahkannya kepada Wang Tengfei kemudian merayu-rayu memohon maaf, Wang Tengfei tentu akan menerima permohonan maafnya. Dia terpaksa berbuat demikian di hadapan semua orang ini. Mungkin dia masih akan menghukum Meng Hao tetapi dia tidak akan mengusik asas Pertapaan Meng Hao.
Mungkin jika dia melutut dan merayu-rayu, menangis dan mengakui semua kesilapannya, kemudian memohon agar dia dihukum ataupun memalukan dirinya sendiri, Meng Hao boleh selamat.
Sungguhpun begitu, jangan harap Meng Hao akan berbuat begitu! Memang dia bodoh atau gila tetapi dia tidak akan sesekali meminta maaf!
Walaupun dia berhadapan dengan maut sekalipun, dia tidak akan sesekali merayu. Dia tidak akan memalukan dirinya sendiri, dia tidak akan melutut dan merayu minta dikasihani. Tidak sesekali!
Ini soal maruah, soal harga diri. Di dunia ini, ada benda lain yang lebih penting daripada hidup atau mati, dan benda itu tidak boleh dikorbankan atau diperkotak-katikkan. Itulah namanya maruah!
Sebab itulah dia membuka mulutnya dahulu dan bertutur sepatah demi sepatah. Walaupun lawannya itu ialah manusia sehebat Wang Tengfei. Sungguhpun dia berhadapan dengan maut. Walaupun seluruh dunia telah mengabaikannya. Walaupun dia bersendirian, tanpa sesiapa untuk bergantung harap. Walaupun dengan semua ini…dia masih mempunyai maruah dan harga diri. Dia mengangkat kepalanya lalu bersuara.
Inilah dia Meng Hao!
Kata-katanya seperti angin yang meniup bara tenaga dalam tubuhnya. 'Kematian? Apa itu kematian? Peduli apa jika hayat aku sampai setakat sini sahaja? Kau boleh malukan aku, kau boleh lumpuhkan Pertapaan aku. Tetapi kau tidak akan sesekali buat aku tunduk. Kau tidak akan buat aku patah semangat!'
Suaranya bergema memecah keheningan, kuat dan jelas, namun kedengaran sayu dan hiba. Apabila dia bercakap, kesayuan itu jelas kedengaran tetapi mungkin Meng Hao seorang yang boleh memahaminya. Dia menggenggam tangannya. Tiada siapa dapat melihatnya tetapi kata-kata Wang Tengfei diiringi sejenis serangan halimunan yang memaksa Meng Hao untuk tunduk.
Badannya terasa ibarat mahu hancur dan tulang-temulangnya saling bergesel. Dia dapat merasakan satu tekanan hebat yang memaksa dia untuk melutut. Tubuhnya menggeletar tetapi dia menggagahkan diri untuk tetap berdiri dan tidak mengendahkan kesakitan yang bersarang dalam sum-sum tulangnya.
"Barang sakti itu milik saya," kata Wang Tengfei dengan lemah-lembut sambil tersenyum. "Saya menghadiahkannya kepada seseorang jadi ia sudah jadi milik orang itu. Saya tidak memberikannya kepada awak jadi awak tak ada hak untuk merampasnya." Kata-katanya kedengaran mesra tetapi ancaman di sebaliknya memang jelas didengari semua orang. Wang Tengfei mula melangkah ke hadapan sambil tersenyum. Dia mengangkat tangannya dan melambai satu jari ke arah Meng Hao.
Angin menderu-deru di medan itu, berpusar seperti taufan hebat sehingga membuat jubah semua penonton melayang-layang. Meng Hao masih tercegat seolah-olah angin taufan itu umpama tali yang mengikat tubuhnya. Dia tidak dapat bergerak seinci pun. Tiba-tiba, sekalung jed merah jambu meluncur keluar dari dalam jubahnya dan terapung di hadapan Meng Hao. Sebuah perisai merah jambu muncul dan melindungi Meng Hao sepenuhnya.
Wang Tengfei masih kelihatan ramah seperti biasa. Pergerakannya lemah-gemalai dan sambil dia melangkah buat kali kedua, jarinya melambai buat kali kedua.
Satu bunyi dentuman kedengaran sebaik sahaja lambaian jari itu berhenti. Perisai itu meleding dan menggeliang-geliut, ia berkedip selama tiga kali dan kemudian pecah berderai dengan bunyi letupan yang memekakkan telinga. Kalung jed yang dihadiahkan Kakak Xu kepada Meng Hao sudah retak seribu. Darah memancut dari mulut Meng Hao dan tekanan ke atas badannya semakin meningkat. Dia mengetapkan gigi dan masih enggan mengalah. Dia masih berdiri, badannya menggigil tetapi dia tetap tidak mahu berputus asa.
Matanya kini dipenuhi rasa marah membara dan dia menguatkan genggaman tangannya. Kuku jarinya kini terbenam dalam isi tapak tangannya.
Dengan senyuman mesra, Wang Tengfei melangkah ke hadapan buat kali ketiga dan tiba betul-betul di depan Meng Hao. Dia melambaikan jarinya buat kali ketiga dan satu tenaga hebat bertiup kencang di hadapan Meng Hao, mengoyakkan jubahnya bagi mendedahkan botol labu air jadeit yang tergantung dari lehernya. Tenaga halimunan itu merampas labu air itu, merentapnya dari leher Meng Hao dan melayangkannya ke tangan Wang Tengfei.
Wajah Meng Hao bertukar pucat dan dia terbatuk lalu memuntahkan darah. Tubuhnnya menggigil tetapi dia tidak dapat bergerak. Urat darah timbul di bebola matanya dan tangannya digenggam kuat. Dia dapat merasakan kukunya menikam daging tapak tangannya. Darah mula mengalir keluar dari celah jari-jemarinya dan luruh ke tanah.
"Lumpuhkan asas Pertapaan awak. Potong sebelah tangan dan sebelah kaki. Tinggalkan sekolah ini." Senyuman Wang Tengfei tidak pernah lekang, suaranya masih sangat mesra dan didengari oleh semua orang di medan itu. Dia menghulurkan jari buat kali keempat dan menunjuk ke arah dada Meng Hao.
Meng Hao membalas jelingan Wang Tengfei. Sepanjang masa ini, dia hanya bercakap sekali sahaja dan tidak membuka mulutnya untuk menuturkan ayat kedua pun. Dia tidak menjerit mahupun meraung, tetapi tetap kekal membisu. Lebih banyak urat darah timbul pada bebola matanya dan dia menggenggam penumbuk dengan lebih ketat. Begitu kuatnya genggaman dia sehingga kukunya patah dan terbenam dalam isi daging tapak tangannya. Darah menitis umpama hujan lebat.
Keadaan menjadi senyap-sunyi sambil semua orang melihatnya dengan penuh kejian dan cemuhan. Penghinaan mereka membuatkan Meng Hao berasa terasing dari dunia ini, sehingga jiwanya seperti berada di luar tubuh hakikinya.
Namun, dia masih enggan mengalah! Apalah sangat setakat kesakitan pada tubuhnya?
Jari Wang Tengfei sudah hampir mahu jatuh lagi, tetapi sejurus sebelum itu suatu bunyi bergema dari puncak gunung berhampiran dan satu tangan halimunan yang lembut muncul di sebelah Meng Hao dan menghalang jari Wang Tengfei daripada memukulnya lagi.
Satu bunyi dentuman kedengaran. Wang Tengfei mengibaskan lengan jubahnya yang lebar dan mengalihkan pandangan ke tepi. Seorang orang tua yang memakai jubah kelabu panjang berdiri di tengah laman. Mukanya bercapuk-capuk dengan bintik perang dan walaupun dia agak tinggi dan besar, dia tidak kelihatan mengancam pun. Inilah orangnya yang sudah dua kali mengagumi Meng Hao dari kejauhan sebelum ini.
"Kamu sudah ambil balik barang sakti itu," kata orang tua itu. "Sudah-sudahlah." Sambil mengerut dahi, dia memandang Meng Hao yang tercegat tanpa kata-kata sambil darah menitis dari penumbuknya. Dia mengeluh lalu memandang kembali pada Wang Tengfei.
"Memandangkan Orang Tua Ouyang sudah masuk campur, saya sebagai pengikut lebih muda akan mengalah." Wang Tengfei tersenyum seolah-olah tiada apa yang terjadi. Sepanjang masa kejadian, dia hanya bercakap dengan Meng Hao sebanyak dua kali. Cahaya matahari melimpahi susuk tubuhnya, pada rambut panjangnya yang lembut serta wajahnya yang sempurna. Pada dia, Meng Hao tidak jauh beza daripada seekor serangga. Malah, sekarang pun dia sudah melupakan Meng Hao.
Meng Hao yang berlumuran darah ibarat seekor kutu yang mahu melawan seekor gajah yang boleh menghancurkan dia dengan sekali langkah sahaja.
Bagi Wang Tengfei, kejadian yang baru berlaku tadi tidak ada sebarang kesan kepada dirinya. Dia bukannya rasa marah atau benci pada Meng Hao. Dia cuma tidak ada sekelumit pun rasa peduli pada Meng Hao. Sambil tersenyum, Wang Tengfei berjalan semula ke arah khalayak ramai dan sambung bersembang santai seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia memberi nasihat pada pengikut peringkat rendah yang lain dengan penuh mesra.
Semua pengikut perempuan begitu tergila-gilakan dia. Pertapa lain memandangnya dengan penuh rasa hormat. Semua orang tidak mengendahkan Meng Hao, seolah-olah mereka sudah terlupa akan kewujudan dia.
Meng Hao dengan Wang Tengfei ibarat langit dengan bumi. Meng Hao kini berlumuran darah, berpakaian koyak-rabak dan kelihatan begitu menyedihkan.
Meng Hao dapat merasa tanggapan sebenar Wang Tengfei terhadap dirinya. Dia tidak membencinya, tetapi rasa endah tak endah. Setelah Wang Tengfei berlalu pergi, barulah Meng Hao berasa lebih lega walaupun badannya terasa seperti dipanggang api. Dia menggagahkan diri memberi salam tumbuk tanda hormat kepada Orang Tua Ouyang.
Tanpa sepatah kata, Meng Hao batuk dan meludah darah sekali lagi, mengetapkan gigi dan dengan perlahan-lahan dia berjalan pergi. Kakinya terasa seperti mahu patah bila-bila masa sahaja. Badannya bermandi peluh dan setiap langkahnya membuat tubuhnya terasa seperti disula batang berapi. Dia kelihatan seperti anjing yang baru diterajang bertalu-talu.
Sambil dia terhuyung-hayang membawa diri, Orang Tua Ouyang seakan-akan mahu berkata sesuatu, tetapi kemudian dia menukar fikirannya dan hanya memerhatikan Meng Hao pergi.
Meng Hao kembali ke Gua Dewa dan sebaik sahaja pintu utamanya tertutup, dia terjelepuk pengsan. Wang Tengfei sudah mencecah puncak peringkat keenam. Meng Hao tidak tertanding langsung dengannya. Meng Hao enggan mengalah dan melutut di hadapan Weng Tengfei, jadi sudah tentulah dia terpaksa dihukum dengan kecederaan dalaman.
Dia koma selama dua hari penuh. Apabila dia membuka mata akhirnya, tubuhnya terasa seperti disiat-siat. Dia berasa seperti separuh lumpuh tetapi dia tetap berusaha untuk duduk. Apabila dia meletakkan tangan ke atas tanah untuk membantu dirinya bangun, rasa sakit menjalar dari tangannya itu sehingga mencengkam otaknya. Dengan termengah-mengah, dia berjaya duduk dan berdiam diri seketika dalam Gua Dewa.
Seketika kemudian, dia menaikkan tapak tangannya ke muka. Sepuluh cebisan kuku tersembul keluar dari tengah tapak tangannya. Selepas koma selama dua hari, keruping sudah terbentuk atas luka-luka itu tetapi semasa dia berhempas-pulas mahu bangun tadi, keruping itu terkoyak dan kini ia berlubang sambil berdarah.
Meng Hao melihat tangannya tanpa sebarang emosi. Selepas beberapa saat, dia mula mengorek cebisan kuku dari tapak tangannya satu demi satu. Darah hitam mengalir keluar dari celah kulit tapak tangannya yang koyak-rabak, menitis-nitis ke tanah dan mengisi udara gua itu dengan bau hamis.
Sepanjang masa itu, air muka Meng Hao tidak berubah langsung. Bagaikan tangan itu milik orang lain. Wajahnya keras dan semangatnya tampak kental.
Dia melihat pada sepuluh cebisan kuku yang berdarah itu. Selepas beberapa ketika, dia mengumpulkan kesemuanya dan meletakkannya di sebelah katil batu dalam bilik. Dia akan melihatnya setiap hari untuk mengingatkan dia kepada keaiban yang telah dialami.
Satu hari nanti, dia bakal menebus malu ini sebanyak dua kali ganda!
Lidahnya kering kerana sudah lama tidak bercakap tetapi baru sekarang dia membuka mulut. "Mulai sekarang, biar aku bergantung pada diri sendiri saja!" Meng Hao sampai tidak kenal suara garau yang sampai ke telinganya itu.
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT