Download App

Chapter 13: Bab 13

Editor: EndlessFantasy Translation

"Ya, tuan muda. Terima kasih!" Gadis kecil itu dengan hormatnya menundukkan kepala. Setelah beberapa ketika, dia tiba-tiba bertanya, "Tuan muda percaya tak yang kakak Jin Cai telah menganiaya kakak Jin Zhu?"

Zhuge Yue mengerang pendek. "Jin Cai tu bukan seorang yang berani, walaupun dia berani, dia tak cukup bijak untuk memikirkan rancangan ini. Zhu Shun ialah seorang yang berpengaruh di sini, tapi dia dah melakukan kesalahan dan dah dapat hukumannya. Egonya terlalu besar, dan dia asyik nak saja mencari alasan untuk setiap kesalahannya, suka hati dia lah. Tapi, dia tak boleh menuding jari dekat seseorang daripada istana saya dan memberi gambaran yang tak benar mengenai hamba-hamba di istana Qing Shan hanya untuk menyelamatkan diri dia. Dia masih belum belajar daripada kesilapan dia dahulu."

"Jadi kenapa tuan muda tak bantu kakak Jin Cai? Dia akan dipukul sampai mati oleh pihak istana."

"Kalau betul-betul dia yang melakukan semua perkara itu, aku akan pergi tolong dia. Tapi dia senang sangat terjatuh dalam perangkap orang lain, dan itu cukup untuk membuktikan kebodohan dia. Tiada guna aku biarkan orang macam tu tinggal dekat sini."

Cahaya mentari menusuk ke dalam bilik dari retakan di tingkap dan aroma yang menyegarkan daripada bunga plum itu perlahan-lahan menusuk hidung.

Zhu Shun telah berkhidmat di kediaman Zhuge itu lebih dari sepuluh tahun dan tidak pernah membuang masanya berbuat perkara sia-sia. Walaupun dia benar-benar mempercayai bahawa perbalahan antara Jin Cai dan Jin Zhu itulah yang menyebabkan dia dipersalahkan, namun dia bimbang yang Zhuge Yue tidak akan mempercayainya dan berfikir dia telah menganiaya Jin Cai untuk menebus kesilapan lama. Jadi, Zhu Shun tidak membenarkan pihak istana untuk membelasah Jin Cai sehingga mati, namun memilih untuk menunggu sehingga keesokan harinya supaya dia dapat melaporkan kepada Tuan Muda Pertama, yang akan lapang pada masa itu.

Pada malam hari, istana itu menjadi senyap sepi. Di dalam kegelapan bangsal hitam itu, tubuh badan Jin Cai bagaikan telah dicarik-carik, dengan kesan sebatan pada seluruh tubuhnya. Dia nampaknya telah menerima hukuman yang berat. Chu Qiao berdiri di hadapan Jin Cai, mengaut air dengan menggunakan senduk, dan menuangkan ke atas muka Jin Cai. Dia mengerang sedikit dan perlahan-lahan terbangun. Apabila melihat Chu Qiao, dia lantas berteriak dan mengamuk, "Kau betina haram! Kau masih berani jumpa aku?!"

Chu Qiao dengan tenang berdiri di hadapannya dan dengan diam mendengar sumpahan dan kutukan Jin Cai. Setelah seketika, dia tersenyum manis dan berkata, "Kalau kau betul-betul nak mati, jeritlah sekuat hati macam tu."

Baju Jin Cai telah dilumuri warna darah merah, mukanya pucat lesi sementara dia tercungap-cungap dengan kebencian meluap-luap pada anak matanya.

Chu Qiao menggeleng kepalanya lalu berkata perlahan, "Walaupun aku tiada niat untuk menyakiti seekor ular, tapi ular tu akan sentiasa nak mematuk aku. Aku dah bagi amaran sebelum ni, kau tak patut menentang aku. Kalau kau tak ikut aku pada malam itu, pasti kau takkan terima balasan macam sekarang ni. Memang salah kaulah. Macam mana kau boleh tuding jari kepada orang lain?"

"Betina kejam, kalau aku mati, aku akan menghantui kau!"

Chu Qiao lantas melepaskan keluhan panjang. "Jadi kau betul-betul nak mati?"

Jin Cai tercengang manakala Chu Qiao masih menyambung, "Aku tak bermaksud nak anayai kau, dan segala apa yang berlaku hari ni hanyalah untuk mengajar kau. Sayang betul sebab tuan keempat tak nak bantu kau. Nampaknya kau akan menemani Jin Zhu dekat Tasik Ting tu tak lama lagi."

Wajah Jin Cai bertambah pucat setelah mendengar apa yang telah dikatakan Chu Qiao. Dia melihat Chu Qiao dan anak matanya yang mengungkap rayuan demi nyawanya. Dia lantas berkata, "Xing Er, kita bukannya bermusuh kejam sebelum ni, dan kita tak saling membenci sehinggalah baru-baru ni. Kematian Lin Xi adalah idea Jin Zhu, aku hanya ikut je. Kalau kau boleh datang ke sini tanpa dikesan, mesti kau boleh tolong aku. Tolong aku, aku tak nak mati!" Setelah itu; dia menggigil dan mula berteriak.

Chu Qiao mengeluh letih, meletakkan begnya ke bawah dan berkata, "Dah jangan menangis. Kau ingat aku datang sini sebab nak bersembang dengan kau ke? Kau tak berhak untuk mati, dan disebabkan aku yang menyebabkan kau untuk berada dalam masalah ni, aku tak nak biarkan kau macam tu je. Pakai baju ni dan aku akan bawa kau keluar dengan segera." Dia melangkah ke hadapan dan mengerat tali yang diikat di tubuh Jin Cai.

Jin Cai berasa sangat gembira dan lantas bertanya, "Boleh ke kita larikan diri? Kawalan di sini sangat ketat."

"Jangan risau, aku dah rasuah pengawal-pengawal dekat pintu belakang. Tuan akan balik sebentar lagi. Kau hanyalah gundik yang tak penting; tiada siapa yang akan siasat. Selagi kau boleh larikan diri, kau takkan mati."

Jin Cai mengikuti Chu Qiao dengan rapat, dan mereka berdua memanjat keluar dari tingkap melepasi taman batu istana Bukit Merah. Mereka terdengar bunyi tapak kaki secara tiba-tiba. Ianya pengawal yang sedang melakukan rondaan. Kedua-dua gadis itu mencangkuk ke bawah dan tidak menggerakkan sendi-sendi mereka walau sedikit pun.

Chu Qiao berpaling ke belakang dan menghulurkan sebuah beg ke Jin Cai, dan berbisik, "Aku akan pergi mengalihkan perhatian mereka, kau pergi menghala ke arah pintu gerbang barat. Aku dah buat persetujuan dengan pengawal pintu gerbang dekat situ. Masa kau sampai, kau hanya perlu sebut nama aku saja dan kau akan bebas. Ini sedikit duit dan pakaian. Semua ni milik kakak Zhi Xiang, mungkin agak kecil sedikit dan aku tak tau kau boleh muat atau tak. Aku takde duit banyak, itu je yang aku mampu bagi. Kau jaga diri lepas kau pergi dan tolong buat pilihan yang baik lepas ni." Dia memusingkan badannya dan melangkah ke arah lagi satu, membuat bunyi bising semasa dia berlari supaya pengawal-pengawal yang sedang bertugas akan perasan dan mengejarnya.

Jin Cai membuka beg tersebut dan terlihat hanya beberapa helai duit, tidak mampu untuk membeli angsa panggang. Dia mengangkat kedua belah keningnya. Baju-baju di dalam beg itu sama ada koyak rabak ataupun kotor, dan semuanya hodoh dan memberi suatu bau yang tidak menyenangkan. Dia menjadi lebih bengang. Dia berfikir yang sudahlah dia bukan seorang gundik, malah dia juga seorang pelarian. Jika dia ditangkap, dia pasti akan mati. Ini semua disebabkan Jing Xing Er, yang telah berlakon sebagai seorang bidadari. Tak malu sungguh.

Jin Cai menyimpan duit itu ke dalam poketnya dan lalu melemparkan beg ke tanah. Dia tidak mengendahkan jika Chu Qiao tertangkap apabila seseorang terjumpa beg ini dan isi kandungannya setelah Jin Cai berjaya melarikan diri.

Angin yang sejuk tersepoi-sepoi menarik hujung bajunya, bulan terang menyinari bumi.

Pada masa itu, di dalam bilik Zhu Shun, kedengaran bunyi pernafasan kuat dari seorang lelaki dan suara wanita mengerang dengan kata-kata lucah. Malam musim sejuk itu membeku, dan pengawal-pengawal telah lama mencari tempat-tempat yang hangat untuk tidur sebentar. Gadia kecil itu berjengket ke arah pintu bilik Zhu Shun. Dia langsung tidak berbuat apa-apa pergerakan yang boleh menjejaskannya dan tanpa sebarang bunyi.

Chu Qiao melutut di luar pintu bilik Zhu Shun. Matanya bersinar bagaikan permata di dalam bilik yang gelap, menunjukkan kematangan dan perwatakan yang tenang. Lelaki di dalam bilik itu melepaskan satu keluhan yang diikuti dengan bunyi fabrik digerak-gerakkan, seperti dia sedang memakai baju Chu Qiao mengambil sebiji batu kecil dan membalingnya ke arah pintu itu. Batu itu lantas menghentak pintu dengan dentuman perlahan, cukup kuat untuk didengari oleh orang di dalam. Zhu Shun meraih suaranya, "Siapa di luar sana?"

Chu Qiao tanpa membalas mengambil sebiji lagi batu dan melemparkannya ke arah pintu itu.

"Aku datang!" lelaki itu berkata marah. "Tengah-tengah malam buta ni, siapa tu?"

Pintu itu ditarik buka tetapi tiada sesiapa yang kelihatan berada di luar pintu, Zhu Shun mengangkat keningnya terpana, menjengukkan kepalanya melalui pintu dan mula berjalan ke luar. Semasa dia mengangkat kaki untuk melangkah, dia tanpa menyedari telah tersandung seutas tali yang berada di kakinya sebelum jatuh ke tanah.

"Aduh!" dia berteriak kesakitan dan hampir mencarut. Satu guni hitam telah diletakkan di atas kepalanya, menutupi penglihatannya. Dia sangat terkejut dan menyedari bahawa sesuatu yang tidak kena, dan mula berteriak kuat dan melemparkan tangannya ke udara.

Malam itu gelap gelita dan sejuk membeku. Chu Qiao menggenggam pisau belatinya, anak mata dan bibirnya menyerlahkan raut wajah yang membatu. Dia menghalakan pisau belati pada tangan montel pengawal itu dan mengelarnya. Satu teriakan yang hanya kedengaran apabila seekor khinzir berada di rumah penyembelihan kedengaran kuat. Zhu Shun memegang pergelangan tangannya yang sakit menyeksakan dan lantas berguling-guling di atas lantai. Chu Qiao serta-merta melarikan diri ke arah barat, ke arah kebun.

Di belakangnya, terdapat beberapa derapan tapak kaki milik pengawal-pengawal dan juga kedengaran bunyi teriakan seorang wanita. "Apa yang terjadi? Siapa yang buat ini kepada awak, Pembantu Zhu?"

Baju wanita itu tidak dikenakan dengan betul. Dia terperanjat dan berkata, "Saya tak nampak siapa yang buat semua ni. Saya hanya boleh tau yang orang tu pendek, macam… macam budak kecil."

"Mana dia pergi?"

"Ke arah barat!"

"Kejar dia!"

Lebih dari sepuluh pasang tapak kaki bergerak di hadapan Chu Qiao dan melepasinya. Dengan sedaya upaya dia cuba untuk bercangkung dan bersembunyi di sebalik belukar. Suara pengawal-pengawal itu bergerak jauh dan kawasan itu mula membisu. Gadis kecil itu menepuk-nepuk tanah dan kotoran dari tubuhnya sebelum berdiri dan berjalan keluar dengan bersahaja. Rentak perjalanan Chu Qiao tersangatlah bersahaja dan penuh yakin.

Semasa dia melepasi taman batu istana Bukit Merah, dia ternampak beg dengan isi kandungannya yang bertebaran di atas tanah milik Chu Qiao, seperti yang dia sangka. Dia tersengih, mengangkat begnya dan melangkah ke arah istana Qing Shan. Dia memanjat tingkap dengan penuh hati-hati dan menukar ke pakaian tidurnya. Suara di luar semakin kuat dan obor api menyala menerangi langit malam.

Chu Qiao mengusutkan rambutnya dan menggesel mata sebelum membuka pintu dengan raut wajah yang mengantuk. Dia tanpa sengaja terserempak dengan beberapa lagi orang hamba muda yang baru saja membuka pintu bilik tidur mereka.

"Apa yang terjadi?"

Budak-budak suruhan lain berumur lebih kurang tiga belas ke empat belas tahun namun pangkat mereka tidaklah setinggi Chu Qiao. Mereka melopong sambil menggelengkan kepala mereka. Setelah itu kedengaran pintu besar telah di buka dari dewan Xuan, dan mereka semua meluru ke sana.

Zhuge Yue gundah gelana dan terlihat Chu Qiao yang selekeh, juga beberapa hamba yang lain. Dia pantas bertanya kepada pengawalnya, "Apa yang terjadi? Kenapa ada banyak sangat bunyi bising?"

"Tuan Muda, nampaknya ada pembunuh upahan di sini. Tangan Pembantu Zhu dah dipotong. Pengawal-pengawal di pintu gerbang utara dah tangkap Jin Cai yang cuba larikan diri. Dia dibawa balik ke istana."

Zhuge Yue terperanjat lalu terketawa kecil. "Tak sangka Jin Cai ada perwatakan yang macam tu."

Pengawal itu menjeling ke arah Chi Qiao dengan berwaspada. "Bila Jin Cai ditangkap, dia menjerit yang dia telah dianayai oleh Chu Qiao dan dia tak pernah berbuat apa-apa pun."

Apabila ayat itu diungkapkan, semua mata tertumpu terus ke arah Chu Qiao dan dia lalu mengerutkan raut wajahnya sementara matanya yang bersar itu bergelinangan, dan dia berasa dia telah ditipu. Dia berpaling dan cuba untuk meraih simpati Zhuge Yue dengan berkata, "Tuan muda keempat, saya… Saya sedang tidur di dalam bilik saya sementara semua ni berlaku. Saya-saya tak…"

"Tuan Muda Keempat, Xing Er berada di dalam bilik dia sepanjang masa tu, kami semua nampak, "seorang hamba berkelas tiga melangkah ke hadapan dan memberitahu.

Hamba-hamba yang lain mula untuk berdiri demi menyelamatkan Chu Qiao.

Zhuge Yue menganggukkan kepalanya dan lalu mengarah pengutus berita yang berada di dalam bilik itu. "Bagitahu pihak istana, kalau perempuan tu tak berhenti daripada menyebarkan benda-benda mengarut ni, tak perlu bagi dia satu percubaan, campak saja dia ke dalam tasik. Umur Xing Er berapa? Bagaimana Jin Cai boleh menjadi lebih dan lebih mengarut?"

Hamba itu terangguk-angguk serta-merta sebelum beredar ke luar.

Zhuge Yue menoleh ke arah hamba-hamba kecilnya dan berkata kecil, "Pergi masuk tidur." dan kembali ke dewan Xuan.

Chu Qiao tercegat di tempat berdirinya, riak wajahnya jelas menunjukkan ketidakpuasan hati disebabkan oleh penipuan yang telah disebarkan oleh Jin Cai. Hamba lain menarik hujung bajunya dan memujuk, "Xing Er, jangan takut, kita orang saksi kamu. Dia tak boleh tuduh kamu."

Chu Qiao menganggukkan kepalanya dan dengan nada sayu, dia berkata, "Terima kasih rakan-rakan."

Angin mendingin terus bertiup lembut pada larut malam itu. Hari itu adalah hari ke tujuh anak-anak dari keluarga Jing telah pergi meninggalkan Chu Qiao dan Xiao Ba. Mereka yang menyebabkan kematian mereka juga sudah menerima balasan yang adil, dengan darah mereka.

Namun, pembalasan ini belum berakhir di situ sahaja.

Kejadian "pembunuh upahan" itu menjadi topik hangat dan telah menyebabkan suasana hiruk-pikuk di istana sehinggalah pada keesokan paginya. Zhu Shun kini mempunyai sebelah tangan sahaja dan lalu telah melepaskan kemarahannya dengan mengarah orang-orang suruhan miliknya untuk membelasah Jin Cai sehingga mati. Dia sudahpun dicederakan pada malam sebelum itu, jadi pembunuhan Jin Cai hanya mengambil masa selama dua jam. Dia dibaling ke dalam tasik sambil dibaluti dalam tikar jerami untuk diberi makan kepada buaya.

Zhuge Yue seorang yang suka menyendiri dan juga bukanlah seorang yang peramah. Seorang demi seorang gundik di dalam dewan Xuan, Jin Zhu dan Jin Cai telah meninggal dunia. Kini, hanya Chu Qiao seorang sahaja yang masih terus berkhidmat. Dia masih kecil, belum lapan tahun lagi. Dia mempunyai wajah seperti seorang bayi, dan percakapannya juga sedikit kebudak-budakan. Tidak kira betapa cekapnya Chu Qiao dalam hal sebegini, namun orang luar masih berasa pelik kerana seorang anak kecil yang akan mengetuai mereka. Khabar angin telah tersebar ke seluruh kediaman Zhuge sebelum tengahari tiba, mengenai tuan muda yang kini telah mengikuti jejak langkah tuan besar, yang lebih menggemari anak gadis kecil berbanding seorang wanita.


Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Rank -- Power Ranking
    Stone -- Power stone

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C13
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank NO.-- Power Ranking
    Stone -- Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login