Jun Wu Xie telah berjalan keluar dari arena tempur daerah pertama. Belum pun jauh dia berjalan, dia tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki yang deras di belakangnya. Tanpa sedar, Jun Wu Xie berpaling lalu terpandang pelajar Akademi Pembunuh Naga yang meluru ke arahnya dengan pantas.
"Tentang kejadian malam itu, saya benar-benar…" Lin Qi dapat mengejar Jun Wu Xie dengan susah payah. Dia mahu memohon maaf atas kejadian malam itu dan merayu pada Jun Wu Xie agar tidak memukulnya dengan terlalu teruk dalam perlawanan mereka nanti.
Sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya, seorang gadis yang cantik tiba-tiba muncul di antara Lin Qi dan Jun Wu Xie.
"Perlawanan kamu belum mula lagi. Peraturan kejohanan tidak membenarkan sebarang pergaduhan atau pertempuran berlaku sekarang ni." Qu Ling Yue berdiri di hadapan Jun Wu Xie dan melindunginya daripada Lin Qi sambil merenung tajam pada Lin Qi yang sedang menggelabah.
Lin Qi terkejut seketika dan dia terus sedar siapa Qu Ling Yue. Dia berasa agak keliru.
[Kenapa orang dari Akademi Panji Perang ada di sini?]
[Dan… apa yang dia maksudkan?]
[Kenapa dia seolah-olah mengatakan saya mahu mencari gaduh dengan Jun Xie?]
Jun Wu Xie memandang Lin Qi dan Qu Ling Yue yang muncul satu demi satu lali keningnya terangkat.Sebelum sempat dia bercakap, dia mendapati tangannya tiba-tiba telah ditarik oleh Qu Ling Yue.
"Kalau kamu berani melanggar peraturan dalam diam, saya pasti akan buat aduan!" Mata Qu Ling Yue mengecil sambil dia merenung garang pada Lin Qi. Kemudian dia terus mengheret Jun Wu Xie berjalan pergi dari situ. Lin Qi langsung tidak diberi peluang untuk bercakap.
Lin Qi berdiri dengan tergamam. Dia kelihatan bingung memandang Qu Ling Yu yang mengheret Jun Wu Xie pergi dari situ. Lama kemudian barulah dia sedar semula.
[Sekejap!]
[Budak perempuan dari Akademi Panji Perang tu dah salah faham dengan niat saya!]
[Saya bukannya nak cari gaduh dengan budak tu, tahu!? Saya di sini untuk merayu pada dia supaya berbelas kasihan sewaktu pertempuran kami!!]
Malangnya ketika Lin Qi sudah sedar kembali, Qu Ling Yue sudah pun menarik Jun Wu Xie dan mereka hilang dari pandangannya…
Lin Qi terasa seperti mahu menarik-narik rambutnya ketika itu!
Jun Wu Xie diheret oleh Qu Ling Yue merentasi beberapa buah jalan sebelum mereka sampai ke satu kawasan yang kurang sesak. Mata Jun Wu Xie itu merenung wajah Qu Ling Yu yang sedikit kemerah-merahan. Sewaktu berada di satu tempat yang lengang, Qu Ling Yue akhirnya berhenti. Dia berpaling memandang Jun Wu Xie dan baru sahaja mahu membuka mulutnya untuk bercakap apabila dia menyedari Jun Wu Xie sedang merenungnya. Pada ketika itu, Qu Ling Yue yang baru tadi kelihatan tegas dan garang, tiba-tiba seolah-olah menyedari sesuatu. Dia cepat-cepat menarik tangannya dan pipinya menjadi kemerah-merahan.
"Kamu… kamu… kamu jangan salah faham… Saya… saya bukannya baik… tak… bukan orang jahat… Saya bimbang orang dari Akademi Pembunuh Naga tu… akan menyusahkan kamu… Jadi saya…" Qu Ling Yue akan teragak-agak untuk bercakap jika dia berasa gelisah. Dia kelihatan menggelabah dan malu-malu memandang Jun Wu Xie... yang lebih pendek daripadanya itu. Qu Ling Yue kelihatan sama seperti haiwan kecil yang telah tercedera.
"Kenapa kamu bantu saya?" Jun Wu Xie kelihatan tenang dan tidak berperasaan. Walaupun dia tidak tahu mengapa pelajar dari Akademi Pembunuh Naga itu mengejarnya, perbuatan Qu Ling Yue pula jelas menunjukkan dia cuba melindungi Jun Wu Xie.
Hal ini membuatkan Jun Wu Xie berasa ingin tahu. Jun Wu Xie tidak fikir bahawa dia dan Qu Ling Yue saling mengenali.
Qu Ling Yue terkejut dan mindanya terus teringatkan lelaki teramat tampan yang muncul di Rumah Lelong Roh Api tempoh hari. Wajahnya serta-merta menjadi merah dan nampaknya ada asap akan keluar dari telinganya!
Hakikatnya, dia menyedari kehadiran Jun Wu Xie disebabkan kejadian ketika hari itu. Dia terlihat lelaki yang teramat tampan itu di Rumah Lelong Roh Api. Lei Chen memberitahunya yang lelaki itu datang dari Akademi Zephyr. Pada hari itu, Jun Wu Xie berada di sebelah lelaki kacak itu! Sebaik terpandang Jun Wu Xie di arena tadi, Qu Ling Yue terus teringat pada wajah yang tidak dimamah usia serta tampan tanpa cela itu.