Warna merah yang pekat itu memedihkan mata para pemuda ini dan bau darah yang hanyir menusuk hidung mereka. Tubuh tiga orang guru rebah di hadapan mata mereka sementara Gu Ying yang baru membunuh guru-guru tersebut berdiri dengan bersahaja di satu sisi. Senyuman kejam bermain-main di bibirnya.
Sewaktu percikan darah itu menghujani kawasan tersebut, Gu Ying berdiri di bawahnya. Senyumannya memaparkan kegirangannya. Mata Gu Ying tidak sedikit pun menunjukkan perasaan kasihan atau simpati, sebaliknya dipenuhi keghairahan akibat pembunuhan tersebut!
"Kalau ada sesiapa yang enggan pergi, kamu akan menerima nasib yang sama seperti mereka," kata Gu Ying sambil menelengkan kepalanya. Dia tersenyum berseri-seri sambil memandang semua pemuda di hadapannya yang sedang terkejut.
Senyuman Gu Ying amat menawan. Tetapi di bawah hujan darah yang terpercik ke seluruh mukanya, senyumannya itu membuatkan orang lain berasa seram sejuk!
Ning Rui berdiri sambil ketawa besar. Dia tidak menahan gelak ketawanya ketika memandang para pelajar yang sedang tergamam. Ning Rui berpaling memandang adik-beradik Fan yang berdiri berdekatan pintu pagar utama.
"Kalau kamu tahu hal sebenar pun, apa gunanya? Kamu nak balas dendam atas kematian ayah kamu? Ha ha… Sayangnya. Mustahil boleh dilakukan kalau sekadar ada kamu berdua. Bukan hanya mustahil, malah kamu berdua akan kehilangan nyawa di sini!" Ning Rui tiba-tiba merasakan kebimbangan dan keraguannya tadi hanya sia-sia.
[Dengan adanya Gu Ying di sini, tak penting sama ada mereka tahu hal sebenar atau tidak!]
[Mereka ditakdirkan untuk mati di sini!]
[Orang yang dah mati tak akan dapat mendedahkan rahsia ini pada orang lain!]
Setelah Gu Ying menunjukkan kuasa dan kekejamannya, para pelajar yang mahu menentang tadi tiba-tiba menjadi gerun. Mata mereka terbeliak kerana terkejut. Pelajar-pelajar yang lebih penakut sudah pun mula menangis.
Sepanjang tempoh ini, mereka semua tahu yang Gu Ying telah membunuh ramai orang di Akademi Zephyr. Tapi mereka tidak sangka yang Gu Ying begitu melampau sehingga menyerang guru-guru mereka! Apa yang lebih mengejutkan adalah Gu Ying memiliki kuasa yang begitu mendominasi. Ketiga-tiga orang guru itu berada pada sekurang-kurangnya tahap roh hijau. Walaupun mereka tidaklah boleh dianggap memiliki kuasa tempur yang kuat, tetapi hakikatnya mereka telah ditumpaskan dengan sekelip mata. Ini bukannya sesuatu yang boleh dicapai oleh orang biasa!
Gu Ying jelas sekali sebaya dengan pemuda-pemuda lain di situ. Tetapi bagaimana dia boleh memiliki personaliti yang menggerunkan dan menjalankan pembunuhan dengan begitu ganas?
Gu Ying memberi pandangan penuh cemuhan pada para pemuda yang ketakutan di hadapannya. Matanya menunjukkan sedikit kekecewaan.
[Macam ini pun kamu semua dah takut?]
[Bosan betullah!]
Tapi seketika kemudian, Gu Ying mengalihkan perhatiannya pada Fan Zhuo dan Fan Jin. Mereka berdua perlu mati. Tetapi sebelum itu, ada beberapa soalan yang dia mahu tanyakan.
"Fan Jin, kalau kamu beritahu saya di mana Jun Xie sekarang ni, saya akan berikan kamu kematian yang pantas dan tidak menyakitkan," kata Gu Ying secara tiba-tiba. Kakinya melangkah merentasi tanah yang dibasahi darah itu dan perlahan-lahan bergerak menuju Fan Jin dan Fan Zhuo. Fan Jin telah dibawa pergi oleh Wen Xin Han dan semua itu merupakan sebahagian daripada rancangan Jun Xie. Kini Fan Jin telah muncul di Akademi Zephyr, jadi dia pasti telah bertemu dengan Jun Xie sebelum ke sini. Pasti dia tahu di mana si musang licik itu sedang bersembunyi pada ketika ini.
"Sombong betul kamu ni ya." Fan Jin ketawa dingin.
Mata Gu Ying mengecil. "Kamu lebih rela diseksa? Atau kamu cuma mengimpikan saya akan menghantar kamu bertemu ayah kamu secepat mungkin? Kalau kamu tak beritahu apa yang saya mahukan, saya akan patahkan kaki dan tangan kamu. Kemudian di depan mata kamu, saya akan patahkan setiap tulang dalam tubuh adik kamu. Kalau itu yang kamu mahukan, tak perlu beritahu apa-apa."
Nada Gu Ying semakin kejam.
Tetapi kekejamannya itu amat menggembirakan Ning Rui!
Ning Rui benar-benar berharap Gu Ying akan menyeksa adik-beradik Fan itu perlahan-lahan sehingga mati. Dia mahu mereka mengalami kesakitan yang memeritkan sebelum bertemu ayah mereka.
Sebaik adik-beradik Fan itu mati dan semua pelajar Akademi Zephyr bergelimpangan di dasar Cenuram Penghujung Syurga, tiada siapa yang akan tahu tentang segala perbuatan kejinya di sini!