Hujan darah itu membawa bersamanya bau yang melemaskan dan menusuk hidung. Jun Wu Xie merenung mayat-mayat yang bergelimpangan. Matanya kelihatan tenang.
"Maaf kerana buat kamu terjaga, Wu Xie." Jun Wu Yao tersenyum meminta maaf dan memandang bajunya yang berlumuran darah. "Saya benar-benar berharap kamu tak perlu lihat saya dalam keadaan ini."
Jun Wu Xie mengecilkan matanya. Sebaik terdengar bunyi pergaduhan di halaman hadapan, matanya bersinar dingin.
[Cik! Ada sesuatu yang sedang berlaku.] Kucing hitam kecil itu melengkungkan badannya dengan gelisah.
"Ini angkara Maharaja." Jun Wu Xie membuat kesimpulan. "Jun Wu Yao!"
"Hmm?" Jun Wu Yao tersenyum kecil, matanya membara.
"Bunuh mereka."
"Saya menurut perintah." Jun Wu Yao tersenyum dan susuk tubuhnya bertukar menjadi bayang-bayang yang meluru ke halaman hadapan.
[Cik, Pak Cik Jun Qing!] kata kucing hitam kecil itu.
Jun Wu Xie mencampakkan kucing hitam kecil itu. Badan kucing itu memanjang dan seekor binatang buas berwarna hitam mendarat ke tanah. Jun Wu Xie melompat ke atas badan binatang itu. Matanya membara dengan kemarahan.
"Pergi sana!"
Binatang buas berwarna hitam itu mengorak langkah dan segera pergi mendapatkan Jun Qing.
Keriuhan dan kekecohan terdengar di Istana Lin sepanjang malam itu. Bau kematian menyelubungi kawasan istana.
Jun Qing duduk di atas kerusi rodanya. Matanya mengecil sambil merenung sekumpulan lelaki berpakaian hitam yang telah menceroboh masuk. Dia memegang pedang di tangannya. Hujung pedang itu dibasahi darah yang menitik-nitik ke atas kerusi rodanya, darah dari mayat lima orang penceroboh yang berada di sekelilingnya. Semakin ramai penceroboh yang bergerak merapatinya.
"Nampaknya kemahiran berlawan Tuan masih lagi hebat seperti dulu. Tapi dalam keadaan sekarang, mampukah Tuan menang?" Seorang lelaki berpakaian hitam mencemuh Jun Qing.
Mereka memang sudah sedia maklum tentang kehebatan dan kekuatan yang dimiliki Keluarga Jun. Kalau Jun Qing berada di tahap kesihatan yang baik, dia mungkin mampu mengalahkan mereka semua. Tetapi Jun Qing yang dahulunya amat menggerunkan kini sudah lumpuh. Kemahiran menggunakan pedangnya masih hebat, tetapi dia tidak boleh bergerak.
Jun Qing memandang lelaki-lelaki berpakaian hitam yang mengelilinginya. Wajahnya dingin seperti besi dan matanya memancarkan niat membunuh.
Mereka memilih masa yang paling sesuai untuk datang menyerang, pasti mereka sudah merancang hal ini sekian lama. Sebahagian besar pengawal berada di luar kota dan beberapa orang pengawal yang tinggal tentunya menghadapi kesukaran melawan musuh.
"Orang tak guna macam kau ni berani menunjukkan sikap biadab di Istana Lin. Kau terlalu memandang tinggi pada diri sendiri." kata Jun Qing dengan dingin.
Dia tidak bimbangkan keadaan dirinya, dia lebih risaukan Jun Xian dan Jun Wu Xie!
Jun Xian terpaksa meninggalkan kota dan penceroboh-penceroboh ini terus menyerang Istana Lin. Muslihat ini memang menjadikan Istana Lin sebagai sasaran! Dia risaukan keadaan Jun Xian dan keselamatan Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie tidak mempunyai roh berkontrak dan tidak mampu menghasilkan tenaga rohani. Dia tidak akan selamat jika mereka menemuinya.
"Nampaknya Tuan terlalu sombong. Hanya ada beberapa orang pengawal di sini dan tak ada gunanya Tuan cuba menafikan apa yang akan berlaku. Pengawal yang lain sedang sibuk bertempur di halaman hadapan dan rasanya Cik Muda keluarga ini sudah kehilangan nyawanya. Malam ini bakal menyaksikan kejatuhan Istana Lin. Menyerah saja dan Tuan tidak akan mati terseksa," kata lelaki berpakaian hitam itu dengan megah.
Satu cahaya terang memancar dan mata lelaki berpakaian hitam itu terbeliak ketakutan sebelum dia jatuh ke lantai.
Walaupun dikelilingi penceroboh-penceroboh itu, Jun Qing tidak menyerah kalah. Jubah birunya berkibaran ditiup angin. Wajahnya yang menawan kelihatan menggerunkan. Dia memegang pedangnya dan merenung tajam ke arah musuh-musuhnya.