Hari itu, dalam perjalanan balik dari menangkap roh hantu, Bulu Lembut telah memberitahu Song Shuhang ayahnya telah mengunci satu roh hantu di dalam 'Tokong Lampu Berhantu'. Tetapi, Bulu Lembut telah menundukkan dua roh hantu.
Roh hantu tidak boleh beranak, oleh itu dari mana datangnya roh hantu yang lagi satu itu?
Mungkin, dua roh hantu merupakan jantan dan betina. Mereka ditakdirkan untuk bertemu walaupun dipisahkan dengan jarak beribu-ribu batu, dan oleh itu kisah percintaan terlarang dua hantu terhasil?
Atau mungkin, seseorang itu sengaja meletakkan roh hantu di dalam Tokong Lampu Berhantu untuk membiarkannya menjadi matang.
Kalau ia merupakan sebab yang pertama, tidak akan ada masalah.
Tetapi, sebab yang kedua boleh menghasilkan masalah yang lebih besar.
'Jika ia merupakan sebab yang kedua, adakah dia mahu mengambil balik roh hantu itu?' Mata Song Shuhang kelihatan bersinar, 'Dan, akhirnya membunuh saya?'
Disebabkan mereka mempunyai kuasa yang lebih daripada dunia biasa, pertapa yang berkuasa susah untuk dikawal dengan undang-undang dunia manusia biasa.
Hanya moral dan etika sendiri, serta garisan asas menjadi seorang 'manusia' akan mengawal seorang pertapa. Apabila moral dan etika dihancurkan dan kawalan diri sudah hilang, banyak pertapa sanggup membuat apa sahaja.
Pembunuhan, kekejaman, penindasan… menganggap nyawa manusia sebagai tidak bernilai dan sesuatu yang boleh diambil sesuka hati… banyak benda yang memenuhi dunia pertapa yang berbahaya dan kejam.
Awak telah mengambil khazanah saya, oleh itu saya akan membunuh seluruh keluarga awak. Beberapa pertapa yang melampau dari sekta jahat memang akan berbuat perkara sebegitu.
Song Shuhang yang belum menyelesaikan Penubuhan Asasi telah didedahkan kepada sebelah dunia pertapa yang kejam lebih awal.
'Tapi, saya perlu juga mengambil kira kemungkinan yang terakhir.' Song Shuhang memicit manik ais pengikat roh. Kemungkinan yang terakhir ialah "khazanah boleh menimbulkan nafsu hati'. Dia tidak menggunakan usaha yang besar untuk menyembunyikan manik ais pengikat roh, dan seorang yang berniat jahat mungkin telah melihatnya semasa dia tidak memberi perhatian. Selepas itu, orang itu mula berfikir untuk membunuhnya dan mencuri khazanahnya.
Jika ia betul-betul orang jenis ini, ia akan lebih menyusahkan mangsa.
'Tapi, orang itu sudah memasuki bilik, malah datang ke katil saya, oleh itu kenapa dia tidak mencederakan saya?' pisau tersebut sudah jatuh di tepi katilnya; tidak ada sebab untuk menyerah jika orang itu begitu dekat dengan kejayaan.
'Adakah terdapat seseorang yang telah menyelamatkan saya?' Song Shuhang mengingat balik bau darah yang lemah itu.
Adakah dia Senior Mahaguru Ubat?
Song Shuhang menyimpan pisau itu dengan cermat,dan bercadang untuk menziarahi Mahaguru Ubat sebelum pergi ke kelas pagi.
Dia mempunyai banyak syak wasangka untuk ditanyakan kepada senior.
Lagipun, dia hendak mendapatkan nasihat daripada senior tentang cara untuk 'meningkatkan sikap waspada' dan 'menyembunyikan khazanah'.
Selepas bersiap, Song Shuhang memakai baju dan cepat meninggalkan asrama tanpa menjamah sarapan.
Semasa meninggalkan asrama lelaki, dia terlihat bayangan besar dari jauh, melambai kepadanya.
"Pelajar Shuhang." Bayangan tersebut mendekatinya, dia merupakan orang besar dari semalam, Nan Haomeng, yang telah dibelasah olehnya.
Song Shuhang berhenti dan memandangnya dengan ragu-ragu.
"Saya dah jumpa orang yang menyiasat awak." Nan Haomeng berkata dengan suara yang perlahan selepas mendekati Shuhang.
Song Shuhang sedikit terkejut, "Awak sungguh cekap, cepatnya."
Baru lepas satu malam, betul?
"Memang perlu cepat. Dalam era yang bergerak pantas ini, jika awak tak meningkatkan kecekapan awak, awak akan dihapuskan oleh dunia ini." Nan Haomeng berfalsafah, tetapi ditambahkan dengan bentuk badan yang besarnya, ia menimbulkan perasaan aneh yang tidak dapat digambarkan.
Sebenarnya, kelancaran penyiasatannya melebihi jangkaan Nan Haomeng. Dia hanya telah meminta dua ahli kelab yang tidak berguna itu untuk membantu mencari orang yang dikehendaki oleh Song Shuhang, tetapi tidak sangka mereka secara kebetulan telah mendapatkan maklumat dengan begitu cepat.
Sebab utamanya ialah kerana mereka sendiri telah menyiasat tentang Song Shuhang selepas dibelasah oleh Song Shuhang. Di bawah asas yang sudah wujud, mereka dengan cepat telah menjumpai sasarannya.
"Siapa tu?" Song Shuhang betul-betul memerlukan maklumat itu sekarang.
"Dia merupakan pelajar dalam kolej kita, Lin Tao, seorang pelajar tahun dua dari Kursus Kewangan yang tinggal di asrama. Asramanya tak jauh dari sini, nak pergi tengok tak?" Nan Haomeng menjawab.
Song Shuhang mengerut dahinya. Dia bukan orang asing, tapi seorang pelajar kolej kita?
Dia sedar dengan cepat orang yang menyiasatnya memang tidak akan begitu bodoh untuk menyiasat dengan terbuka. Pada zaman sekarang, dengan sedikit duit, seseorang itu boleh menggunakan orang lain untuk mengumpulkan maklumat tentangnya dengan senang sahaja.
Pelajar inilah salah seorang yang diarahkan untuk berbuat begitu.
Song Shuhang melihat jam, " Sekarang masih awal, mari kita pergi menjenguknya."
Dengan itu, Song Shuhang mengepalkan penumbuknya dengan ketat.
Asrama lelaki Kursus Kewangan.
Sangat jarang bagi Lin Tao bangun awal. Anginnya baik sejak dua hari ini. Pagi semalam, seorang lelaki 'kaya tapi bodoh' yang memakai cermin mata hitam telah memberikannya duit yang cukup untuk perbelanjaan setahun, dan menyuruhnya menyiasat tentang pelajar Kolej Bandar Jiangnan bernama Song Shuhang.
Pihak lelaki kaya memberitahu anak perempuannya sering melepak dengan pelajar yang bernama Song Shuhang sejak beberapa hari ini. Dia agak bimbang, oleh itu dia telah menyuruh Lin Tao mendapatkan maklumat peribadi Song Shuhang.
Ketika Lin Tao mendengarnya, dia tahu orang itu berbohong. Tetapi, selepas melihat jumlah duit yang diberi, dia berpura-pura mempercayai lelaki itu.
Tidak ada orang yang akan menolak duit, dan ia hanya untuk menyiasat maklumat seorang pelajar, ia begitu mudah, seperti mengangkat tangan. Oleh itu, dia menerima duit tersebut, dan mengumpul maklumat tentang Song Shuhang.
Dengan rezeki terpijak itu, Lin Tao telah hidup dengan baik selama dua hari ini.
"Tok tok," bunyi ketukan kedengaran dari pintu.
"Minta maaf kerana mengganggu, pelajar Lin Tao tinggal di sini ke?" suara yang lembut kedengaran dari luar pintu; dengan mendengar suara itu, seseorang akan berasa lembut hati.
'Siapa yang sedang mencari saya begitu awal pagi?' Lin Tao berfikir, tapi dia masih membuka pintu.
Ketika dia membuka pintu, Lin Tao berasa perasaan yang gelap di depan mataya. Lelaki yang setinggi dua meter seperti menara besi berdiri di depan pintu tanpa apa-apa ekspresi, penuh dengan perasaan menindas; ia amat menakutkan.
Tanpa disedari dia ingin menutup pintu.
"Awak Pelajar Lin Tao?" suara lembut itu berbunyi lagi.
Pada masa ini, Lin Tao perasan seorang pelajar yang kelihatan baik hati berdiri di tepi lelaki besar itu.
Selepas melihat lelaki ini, keresahan Lin Tao berkurangan sedikit, "Ya saya, kenapa awak cari saya?"
"Selamat berkenalan, nama saya Song Shuhang." Ekspresi peramah Song Shuhang hilang.
Song Shuhang, nama yang macam pernah didengar…?
Celaka, bukankah dia orang yang disiasat oleh lelaki 'kaya tapi bodoh' itu?
Lin Tao dengan segera menyedari sesuatu yang tidak betul sedang berlaku. Dia mengundur langkah dengan cepat, dan ingin menutup pintu.
Namun, Song Shuhang menghulurkan tangan dan menekan pintu dengan lembut, "Nampaknya pelajar Lin Tao ni kenal saya."
Selepas itu, Lin Tao menyedari pintu yang ditarik tidak bergerak langsung.
Dia sangat takut, kekuatan jenis apakah ini? Lelaki ini tidak kelihatan begitu kuat, tetapi dia menghalang pintu dengan satu tangan. Lin Tao menggunakan seluruh tenaga dan juga badannya, tetapi pintu tidak bergerak satu inci pun.
"Daripada reaksi awak, saya telah berjumpa lelaki yang betul. Oleh itu, pelajar Lin Tao, awak nak bercakap dengan saya, atau nak bercakap dengan penumbuk saya?" Song Shuhang bercakap dengan menekankan setiap suku kata; dia pun akan marah di bawah situasi di mana seseorang itu telah menjual maklumat peribadinya, hampir membuatkannya terbunuh.
Disebabkan maklumat ini, kawan dan saudara maranya mungkin akan dicederakan ataupun mungkin dibunuh! Kalau dia tidak marah, dia akan menjadi penyelamat dunia yang penuh dengan belas kasihan.
Untuk seketika, Song Shuhang juga telah berfikir untuk membelasah lelaki ini sehingga dia berada dalam keadaan vegetatif.
"Jangan bertindak terburu-buru, ini kolej. Kalau awak bertindak dengan melulu, tidak akan ada orang yang akan melepaskan diri daripada akibatnya."
"Terima kasih untuk peringatan." Song Shuhang mengangguk, "Pelajar Lin Tao, adakah awak tidak akan melangkah keluar dari kolej seumur hidup awak?"
Kalau awak melangkah keluar dari kolej, masa itu awak akan bercakap dengan penumbuk saya—Lin Tao bukan orang bodoh, tidak mungkin dia tidak faham maksud perkataan itu.
"Mari kita cari tempat untuk bercakap. Saya berjanji akan memberitahu awak semua yang saya tau." Lin Tao bersenyum dengan kepahitan; seperti yang dijangkakan, ketamakan merupakan dosa yang paling teruk antara tujuh dosa berat.
Song Shuhang melepaskan tangan kanannya dari pintu, berpusing dan berjalan ke arah bumbung.
Pada masa ini, Lin Tao betul-betul ingin menutup pintu, dan meminta pertolongan cikgu asrama. Tetapi, melihat lelaki tinggi dua meter itu, dia menelan air liurnya dan memutuskan sebaliknya.
Lin Tao tahu satu hari nanti dia mesti perlu keluar dari kolej, dan pada masa itu lelaki setinggi dua meter ini mungkin akan mencarinya dan ingin menunjukkan kehebatan penumbuknya yang sebesar dua periuk… Sebelum masa itu datang dia hanya boleh membuat penempahan katil hospital yang mendekati tingkap dan mempunyai peredaran udara serta pemandangan yang bagus di dalam hospital yang dia biasa pergi.
Di belakangnya, walaupun rakan sebiliknya ingin tahu apa yang sedang berlaku, disebabkan Nan Haomeng yang berbadan besar berada di sana, mereka tidak berani untuk bertanya banyak kerana takut ditarik ke dalam pertengkahan Lin Tao.
Walaupun mereka ingin membantu Lin Tao, hati mereka ingin membantu, tetapi apakan daya tidak kesampaian.
❄️❄️❄️
Sama seperti asrama Song Shuhang, bumbung di sini juga dikunci dan dia tidak mempunyai kuncinya…
Tetapi, itu bukan masalah sebab ia bukan asramanya.
Terbeliak biji mata Nan Haomeng dan Lin Tao melihat Song Shuhang memegang mangga pintu dan menariknya dengan senang. Selepas itu, mangga pintu ditarik keluar bersama dengan skru pintu.
Ia mudah seperti memetik daun.
Ini tidak boleh digambarkan sebagai orang yang kuat, ini merupakan dinosaur Tyrannosaurus yang berbentuk manusia.
Lin Tao tidak boleh menahan diri dan menggeletar kesejukan.
Naik ke bumbung, Song Shuhang bertanya dengan serius. "Sekarang, bolehkah awak memberitahu saya siapa yang suruh awak menyiasat saya?"
"Saya tak kenal orang tu." Lin Tao senyum dengan kepahitan. Seperti yang dijangkakan, Song Shuhang bertanyakan perkara ini dengan segera. Inilah soalan yang dia paling tidak ingin dengar, sebab dia tidak mempunyai jawapannya.
Pada masa dia habis bercakap, dia nampak muka Song Shuhang bertukar menjadi dingin.
Lin Tao mencari jalan untuk memulihkan situasi ini. "Tunggu sekejap, saya agak-agak ingat rupanya. Dia lebih tinggi satu kepala dari saya, lebih kurang 183cm. Ya, dia juga sedikit kurus dan jarinya panjang dan langsing. Dengan jelasnya, jarinya lebih panjang daripada orang biasa dan kelihatan hampir sama dengan jari ungka. Disebabkan dia memakai kaca mata hitam, saya tak nampak mukanya. Tetapi, bibirnya agak tebal, seperti sosej bengkak."
"Itu saja?" Muka Song Shuhang kelihatan seperti gunung berapi yang hampir akan meletup bila-bila masa sahaja.
"Ada lagi satu perkara! Walaupun pihak lain cuba untuk menyembunyikannya semasa bercakap, saya boleh cam loghatnya asal dari kawasan Bandar J dan Daerah Jiangnan. Sebab saya tinggal di sana sejak kecil, saya agak sensitif terhadap loghat itu." Lin Tao bercakap dengan pantas.
Kawasan di antara Bandar J dan Daerah Jiangnan juga merupakan kawasan Jalan Luo Xin.
'Seperti yang dijangkakan, adakah ia disebabkan Roh Hantu itu?' Song Shuhang agak-agak mengesahkan kesangsiannya.
"Selain daripada itu, saya tak tau apa-apa maklumat lain. Lagipun, saya tak dedahkan banyak maklumat awak, cuba tempat tinggal dan beberapa kawan baik dan beberapa saudara terdekat awak. Rakan sekelas awak dalam kolej patut tau semua maklumat ni dan ia boleh dicari melalui rangkaian kolej. Oh ya… Inilah pampasan yang diberi oleh lelaki itu dan saya akan memberikan semua kepada awak…" Lin Tao mengeluarkan seberkas wang daripada koceknya dengan cepat, dengan harapan Song Shuhang akan memahami keadaannya.
Memandang berkas wang itu, pemikiran Song Shuhang tidak dapat dikawal lagi.
Disebabkan wang ini, pihak lain memberikan data peribadinya kepada orang asing secara rambang, menyebabkan nyawanya terancam. Lagipun… jika masalah tidak diselesaikan secepat mungkin, keluarga dan kawan-kawannya pun akan berada dalam bahaya.
Celaka!
Song Shuhang mencengkam kolar Lin Tao dan menariknya ke arah dirinya dengan garang sambil mengepalkan penumbuk kanan dan menumbuk mukanya.
Ini pergerakan yang terlarang di antara teknik perlawanan, yang dipanggil Tumbukan Muka Pemutusan Persahabatan!
Lin Tao ditumbuk sampai terbang, darah mengalir dari mulutnya dicampur dengan serpihan gigi yang pecah. Mukanya menjadi bengkak selepas itu.
Akhirnya, Song Shuhang memaksa diri mengawal majoriti kekuatannya. Kalau tidak, dengan tumbukan yang mengandungi kemarahannya, satu tumbukan cukup untuk membuatkan Lin Tao terlantar sakit di katil dan tidak dapat menjaga diri sendiri.
Sekarang, dia hanya memcahkan beberapa batang giginya dan menyebabkan mukanya menjadi bengkak. Inilah hasil daripada pengawalan diri Song Shuhang.
Lin Tao mamai selepas ditumbuk, dan hanya mengerang kesakitan selepas seketika. Tetapi, dengan mukanya yang bengkak, ditambah dengan fakta separuh daripada giginya sudah terkeluar, suara tangisannya kedengaran pelik, dan dia tidak dapat mengeluarkan tangisan yang kuat.
"Bermula dari saat ni, apa yang berkaitan dengan saya harus dipadamkan daripada minda awak. Kalau tak, lain kali, bukan sekadar satu tumbukan saja." Song Shuhang mengelapkan kesan darah pada penumbuknya. "Manakala muka dan gigi awak, baik awak fikirkan satu sebab untuk dijelaskan kepada orang lain. Saya tak kisah awak cakap awak tumbuk sendiri ke, jatuh ke apa, asalkan, jangan kaitkan saya dengan apa-apa sebabnya. Saya harap saya takkan ada peluang untuk bertemu dengan awak lagi."
Tidak akan ada kali kedua.. Kalau betul-betul ada lagi, Song Shuhang tidak dapat menjamin yang dia tidak akan membuatkan perkara yang lagi melampau. Rasanya Buddha pun mungkin boleh bertahan tiga kali sahaja?
Song Shuhang dan Nan Haomeng meninggalkan bumbung.
Hanya Lin Tao tertinggal di bumbung, menangis dengan wang yang berselerak di lantai. Dia tidak tahu sama ada wang ini cukup untuk memperbaiki giginya kerana bayaran pergigian agak mahal masa ini.
❄️❄️❄️
"Shuhang, awak tak takut Lin Tao akan melaporkan kepada pihak berkuasa awak telah membelasahnya dengan teruk ke? Masa tu pihak kolej akan memaksa awak berhenti belajar atau sebagainya bukan?" Nan Haomeng bertanya dengan bingung.
"Ya, saya tak takut." Song Shuhang menjawab dengan tenang.
Tanpa disedari, ketenangannya menyebabkan Nan Haomeng mempunyai prarasa yang tidak menyenangkan.
"Sebab, saya tak akan mengaku yang saya telah membelasahnya. Lagipun…" Song Shuhang memusing dan memandang Nan Haomeng semasa bercakap. "Awak rasa kenapa saya membenarkan awak menemani saya ke sini?"
"Apa maksud awak? Bukankah saya membawa awak ke sini secara sukarela?" Nan Haomeng berasa ada sesuatu yang tidak kena.
"Katakan, di antara saya dengan awak, siapakah yang lebih menonjol?" Song Shuhang bertanya dengan sikap acuh tak acuh.
Nan Haomeng menjerit dengan garang, "Awak nak menganiayai saya?"
"Ya, saya menganiayai awak." Song Shuhang mengangguk. "Kalau awak rasa tak adil, nak pukul saya ke?"
'Pergi mampuslah, pukul awak. Saya hanya akan dibelasah oleh awak kalau itu berlaku. Mana ada peluang untuk saya memukul awak?'
Nan Haomeng mengetap giginya dan memusing sambil berlari ke arah bumbung. Dia berasa ada keperluan untuk mengugut pelajar Lin Tao supaya mengelakkan situasi di mana pihak lain membuat sesuatu yang dia tidak sepatutnya buat dengan minda yang bercelaru.
❄️❄️❄️
Di langit, Datuk Matahari telah naik dengan susah sambil mengeluarkan cahaya dan kehangatan secara berterusan tanpa mementingkan diri sendiri. Sebenarnya, di bawah cuaca yang begitu panas, semua orang secara ikhlas berharap ia akan mogok selama sehari atau dua.
Sebelum kelas bermula, Song Shuhang pergi ke kediaman Mahaguru Ubat untuk meminta nasihat daripada Mahaguru Ubat kerana dia mempunyai terlalu banyak soalan.
Sekarang, di halaman apartmen lima tingkat itu, terletak sebuah kereta vintaj Volkswagen Santana. Itulah jenis kereta yang pernah diguna oleh sekolah memandu bertahun-tahun dahulu, dan ia berbentuk seperti segi empat. Kereta jenis ini tidak lagi wujud dalam pasaran kerana sudah lama lapuk.
Tidak sangka masih ada orang yang membawa kereta jenis ini? Song Shuhang teragak-agak jika kereta ini masih dibenarkan untuk dibawa di atas jalan raya.
'Ada tetamu?' dia berfikir selepas mengeluarkan kuncinya semasa bersedia untuk membuka pintu.
Pada masa itu, pintu itu dibuka dahulu.
Seorang perempuan yang berambut paras bahu berjalan keluar. Dia mempunyai bentuk badan yang kecil lebih kurang 1.5m tinggi, tetapi auranya sangat kuat dan dia menunjukkan perasaan yang berkuasa seperti harimau tua yang sedang memeriksa kawasan tawanannya dengan setiap langkah yang diambil.
Dia menyengetkan kepala dan memandang Shuhang. Mereka saling berlalu, masing-masing mempedulikan hal sendiri. Selepas itu, dia pergi ke belakang Santana vintaj, membuka belakang kereta, dan mengeluarkan relau penapisan pil yang mempunyai isi padu satu meter persegi.
Selepas itu, dia hanya nampak dia mengangkat kakinya dan menendang relau pil dengan garang. Kasihan relau itu melepaskan tangisan yang sengsara.
Angin perempuan ini kelihatan sangat buruk dan kemarahannya juga teruk.
'Nilai keberangannya sudah melebihi carta.' Hati Song Shuhang menggeletar dan berasa ia lebih baik mengelakkan diri daripada perempuan ini.
Pada ketika Song Shuhang bersedia untuk menyelinap masuk ke dalam apartmen dan mencari Mahaguru Ubat, suatu bunyi yang pelik kedengaran dari belakang.
Selepas itu, relau pil yang telah ditendang itu mula membesar, seperti dimasukkan angin. Dalam seketika, ia telah membesar kepada saiz yang hampir sama dengan kereta itu.
Ia boleh bertukar kepada saiz besar dengan hanya tendangan?
Adakah ini sihir yang boleh memampatkan isi padu sesuatu benda?
Terdapat beribu-ribu jenis sihir, dan setiap jenis mempunyai kebolehan yang hebat. Ia hanya kerana awak tidak pernah berfikir tentangnya. Inilah sebenarnya pertapaan!
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT