"Tolong jangan buat begitu." Song Shuhang segera menyuruh dia berhenti. "Tiga hari lepas, Saudari Bulu Lembut telah menghantar dua pensyarah saya ke hospital. Salah seorang daripada mereka masih dirawat di hospital, seorang lagi profesor bahasa Inggeris bertongkat yang Tuan baru saja lihat sebentar tadi. Sekiranya Tuan terus hantar pensyarah lain ke hospital, semua orang pasti akan mula sedar ada sesuatu yang tak kena."
"Ah? Bulu Lembut pun pernah buat macam ini juga? Tsk, jadi tak perlulah saya buat lagi. Kalau saya buat pensyarah lain masuk ke hospital, semua orang akan terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba."
Song Shuhang menambah lagi, "Lagipun, ini bukanlah tempat yang sesuai untuk saya buat Cecair Penguat Badan kerana rakan sebilik saya mungkin akan balik pada bila-bila masa. Sekiranya mereka tahu yang Tuan datang mencari saya di kelas untuk menghasilkan ubat, mereka pasti akan menghantar kita berdua ke Hospital Sakit Jiwa Da Shi Shan."
Dia sudah kenal dengan tingkah laku tiga rakan sebiliknya itu. Mereka pasti akan buat begitu.
Mahaguru Ubatan mendesah. "Inilah sebabnya kenapa manusia sangat menyusahkan. Rakanku Shuhang, apa kata kamu keluar dari dunia manusia dan menyertai salah satu sekta dalam kumpulan kami? Beberapa sekta dalam kumpulan kita memang sangat hebat dan berada dalam kedudukan yang tertinggi dan terhormat di China. Contohnya, Sekta Da Luo, Tokong Kelana Kejauhan, Pulau Roh Kupu-kupu dan Pedang Kuning Misteri semua mempunyai reputasi terkenal dalam kalangan pertapa.
"Saya akan cuba fikirkan dahulu." Song Shuhang menjawab. Mungkin suatu hari nanti, dia akan memilih untuk memasuki sekta. Tapi, sekarang mungkin dia lebih selesa untuk jadi pertapa bebas.
Menurut terminologi pertapa, hubungannya dengan dunia manusia masih belum terputus dan dia tidak dapat memahami dunia pertapaan dengan lebih mendalam. Sebab itulah dia tidak dinasihatkan untuk menyertai mana-mana sekta dan menumpukan perhatian pada pertapaan.
"Adakah kamu tidak lapang langsung pada sebelah petang? Bolehkah kalau saya buat keputusan untuk mewujudkan satu kemalangan sehingga pelajaran kamu dibatalkan untuk hari ini? Dengan kemalangan itu, tiada sesiapa pun akan mengesyaki apa-apa." Mahaguru Ubatan memberikan cadangan kepada Shuhang. Cadangannya itu boleh membuatkan seseorang berasa gerun.
"Tuan Mahaguru Ubatan, tolong jangan lakukan perkara-perkara yang menakutkan sebegitu," jawab Song Shuhang dengan nada serius. "Saya hanya perlu mengambil cuti dan tidak pergi ke kelas. Saya telah pun sediakan borang permohonan cuti."
"Adakah ia akan mempengaruhi pembelajaran kamu jika kamu mengambil cuti? Saya risau jika kamu tidak dapat mengejar rakan sekelas kamu dalam pembelajaran nanti." Mahaguru Ubatan bertanya dalam nada bimbang.
'Yang mana lebih serius? Masalah perkembangan pembelajaran aku atau kemalangan yang memberi kesan kepada seluruh kawasan kolej?'
"Jangan risau. Saya hanya perlu mencari rakan sekelas dan pinjam nota pelajaran daripada mereka sekiranya saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Sekarang ini, prestasi pembelajaran saya masih lagi baik." Song Shuhang membalas dengan yakin.
Mahaguru Ubatan menjawab, "Baguslah kalau begitu. Mari kita cari lokasi yang sesuai untuk menapis pil dan bancuh Cecair Penguat Badan!"
"Bagaimana kalau kita keluar dari kampus dahulu dan mencari rumah untuk disewa?" Song Shuhang bercakap. Pada mulanya dia berniat untuk menyewa sebuah apartment di luar dan secara kebetulan dia boleh melakukannya hari ini.
"Ya, boleh juga. Saya memang perlu menyewa rumah kerana saya mungkin perlu tinggal bersama kamu selama beberapa hari dan tidak bagus rasanya jika saya tidak mempunyai tempat untuk tidur sepanjang saya berada di sini." Mahaguru Ubatan mengangguk. "Jadi boleh kita keluar sekarang?"
Mahaguru Ubatan ialah orang yang pantas bertindak dan tingkah lakunya ini ditunjuk dalam kumpulan sembang grup itu.
"Baik, mari kita pergi." Song Shuhang membalas dan mengambil dompet serta kad kreditnya.
Semasa dia mengambil dompet, dia melihat ke arah pasu yang berisi Tumbuhan Naga Berbisa di sebelah komputernya.
Dia pun bertanya, "Mahaguru Ubatan, sebelum ini Tuan pernah menyebut dalam kumpulan, Tuan sedang mengutip Tumbuhan Naga Berbisa. Adakah Tuan masih memerlukannya sekarang?"
"Saya telah membeli beberapa batang tanaman daripada rakan Dao dalam kumpulan, tetapi kualitinya kurang baik. Saya perlukan tanaman yang lebih berkualiti untuk membuat eksperimen. Tapi saya tetap akan gunakannya buat masa sekarang. Adakah kamu mempunyai Tumbuhan Naga Berbisa bersama kamu sekarang ini?" Mahaguru Ubatan bertanya.
"Ya, ada di sini." Song Shuhang menunjuk ke arah Tumbuhan Naga Berbisa di sebelah komputernya.
Dan sebenarnya… Nasib Song Shuhang sememangnya sangat baik. Lima puluh hingga enam puluh tahun yang lalu, Tumbuhan Naga Berbisa yang Roh Kupu-kupu Yang Mulia gunakan sebagai pendinding datang dari akar tanaman yang berkualiti tinggi. Lagipun, Mahaguru Ubatan masih mempunyai bekalan yang banyak untuk ramuan yang lain.
Mahaguru Ubatan baru menyedari akan kewujudan pasu yang berisi Tumbuhan Naga Berbisa berwarna hitam ungu yang tumbuh di dalamnya. "Menarik. Saya dah masuk ke dalam bilik ini selama beberapa minit dan saya tidak perasan akan kewujudan batang pokok Tumbuhan Naga Berbisa ini!"
Mahaguru Ubatan telah mempelajari tentang dengan tumbuh-tumbuhan perubatan herba selama lebih dari lima ratus tahun. Dia seorang yang sangat arif dalam bidang ini. Tidak kiralah sama ada ia berada di kawasan pergunungan atau di dalam hutan, selagi ada ubat semangat di sana, dia dapat mencarinya walaupun dengan mata yang tertutup. Dalam situasi ini, Tumbuhan Naga Berbisa ini hanya diletakkan di sebelah komputer Song Shuhang tetapi dia tidak menyedari tumbuhan itu berada di sana sejak dia memasuki bilik Shuhang.
Apa yang begitu pelik tentang Tumbuhan Naga Berbisa ini?
Mahaguru Ubatan kemudian mendekati tumbuhan itu dan memerhatikannya dengan teliti sambil menghidu, mencubit dan memetik hujung kecil daun merasanya.
"Ini tumbuhan yang bagus. Batang Tumbuhan Naga Berbisa ini telah berkembang di kawasan dengan roh qi dan hantu qi yang banyak selama lima puluh hingga enam puluh tahun dan telah digunakan sebagai pendinding utama sebelum ini. Kualitinya lebih tinggi daripada tumbuhan bergred tinggi. Memandangkan tumbuhan ini digunakan sebagai pendinding utama, mutasi telah berlaku dan menyebabkan ia mempunyai keupayaan menyembunyikan diri yang baik. Sebab itulah saya tidak perasan akan kewujudannya di sini sebentar tadi," Mahaguru Ubatan tertawa. Kualiti tumbuhan ini telah memenuhi keperluannya dan ia juga telah mengalami mutasi dan sememangnya mempunyai nilai yang tinggi.
Song Shuhang bertanya. "Adakah Tumbuhan Naga Berbisa ini memenuhi keperluan Tuan Mahaguru?"
"Inilah yang saya perlukan... adakah kamu berniat untuk menjual Tumbuhan Naga Berbisa ini kepada saya?" Mahaguru Ubatan melihat Song Shuhang dan tersenyum. "Sebelum itu, saya perlu jelaskan kepada kamu terlebih dahulu. Tumbuhan ini secara dasarnya bahan perubatan yang lebih berharga dan harga tangkai ini pastinya bukan harga biasa. Sebagai contoh, nilai kedua-dua kotak ramuan ubat yang Bulu Lembut berikan pada kamu tidak dapat mencapai nilai Tumbuhan Naga Berbisa ini walaupun pada kadar satu per sepuluh. Oleh itu, adakah kamu pasti kamu mahu menjualnya kepada saya?"
"Saya tidak akan gunakannya walaupun saya menyimpannya. Lagipun, sekiranya Tuan tidak menghantar resipi Cecair Penguat Badan Mudah secara percuma dalam kumpulan itu, saya tidak akan mempunyai peluang untuk mengenali dunia pertapaan ini," kata Song Shuhang.
Mahaguru Ubatan menggelengkan kepalanya. "Walaupun tanpa resipi saya, selagi kamu berada di Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan, kamu akan mempunyai peluang untuk mengetahui tentang kewujudan 'pertapaan'. Tetapi, nilai resipi itu berbeza bergantung pada seseorang itu. Bagi Mahaguru Utama Prinsip Pemikir, Raja Agung Gerimis Rembulan dan lain-lain pula, memandangkan mereka mempunyai jumlah pengikut yang besar dalam sekta mereka, nilai resipi itu menjadi sangat tinggi. Walau bagaimanapun, kamu hanya pertapa bebas yang masih berada pada peringkat awal dan kamu bersendirian. Jadi, untuk kamu pula, nilai resipi ini tidak dapat dibandingkan dengan nilai batang Tumbuhan Naga Berbisa ini.
Mahaguru Ubatan mengangkat Tumbuhan Naga Berbisa itu dengan kedua-dua tangannya dengan perlahan. Apabila kedua tangannya itu bersentuhan, tumbuhan itu hilang.
Song Shuhang bertanya dengan nada ingin tahu. "Lingkaran ruang? Beg penyimpanan?"
"Ini bukannya salah satu barang simpanan ruang berharga. Peralatan tersebut melibatkan peraturan ruang dan ruang simpanan bersaiz 50 meter padu serta mempunyai nilai sebanyak semua aset saya." Mahaguru Ubatan ketawa. "Saya hanya menggunakan jampi kelas gred pertengahan yang dipanggil 'Bidang Ubatan' yang serupa dengannya. Setiap Mahaguru Penapis Pil akan arif dengan kemahiran ini. Kaedah ini hanya boleh digunakan untuk mengangkut ramuan ubat-ubatan dan barang-barang lain tidak boleh dialihkan ke dalam. Selepas ilmu pertapaan kamu telah sampai ke Tahap Empat, kamu juga boleh mempelajari helah mudah itu. Helah ini tak sukar untuk dipelajari."
Song Shuhang menganggukkan kepalanya seolah-olah memahami walaupun sebenarnya dia masih tidak faham dengan betul.
"Oh ya, pada mulanya saya hanya ingin mendapatkan inspirasi daripada kamu untuk membaiki resipi Cecair Penguat Badan Mudah dan pada masa yang sama mengajar teknik pedang asas serta teknik meditasi kepada kamu. Saya tidak sangka kamu akan menyiapkan hadiah untuk saya. Sekarang saya berasa malu untuk mengajar teknik meditasi dan teknik pedang asas yang saya sediakan kepada kamu." Semasa bercakap, Mahaguru Ubatan mengeluarkan telefonnya dan membuka perbualan sembang grup Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.
Dia bukan seorang yang akan mengambil kesempatan daripada pertapa muda. Memandangkan Song Shuhang telah memberikan Tumbuhan Naga Berbisa yang berkualiti tinggi kepada dia, dia memutuskan untuk mendapatkan dua set teknik pertapaan dengan gred yang lebih tinggi... sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada bahan yang dia bawa bersamanya sekarang ini.
Dalam Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.
Mahaguru Ubatan: " @Sami Kelana Prinsip Pemikir , Mahaguru Utama Prinsip Pemikir, pinjamkan kitab eksplorasi gua empat belas tahun yang lalu kepada saya. Kitab yang saya mahu adalah ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ dan ❮Kitab Meditasi Diri Yang Sebenar❯. Nanti kita berunding tentang harganya."
Saat dia melihat Mahaguru Ubatan menulis mesej yang panjang, Song Shuhang berasa risau dengan keadaan Mahaguru itu. Walaupun terdapat hanya lima puluh perkataan berserta dengan tanda baca, Mahaguru Ubatan mengambil masa hampir lima minit untuk menaipnya. Dengan peluh yang membasahi wajahnya, Mahaguru memadam ayatnya kemudian menulis dan memadamnya kembali.
Pada ketika ini, dia akhirnya memahami mengapa Mahaguru Ubatan akan cuba memendekkan mesejnya dalam kumpulan. Tetapi kalau dia menghadapi kesukaran, mengapa dia tidak menggunakan fungsi mesej suara?
Sembang grup Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan menjadi meriah sebaik sahaja Mahaguru Ubatan menghantar mesejnya ke dalam kumpulan.
Pertapa Bebas Sungai Utara mengusik,"Jadi mengapa saudara Mahaguru Ubatan ini hanya meminta dua teknik asas? Adakah dia berbuat begitu demi untuk membantu proses Penubuhan Asasi Seratus Hari rakan muda kita si Shuhang itukah? Kedua-dua teknik ini agak baik. Adakah Mahaguru Ubatan ini juga sudah tersihir dengan Shuhang seperti yang berlaku pada Bulu Lembut?"
Bulu Lembut menghantar simbol 😠. "Tuan Sungai Utara, saya bukannya tersihir dengan Tuan Shuhang!"
"Enema?" Pedang Berang Melulu Tiga sangat aktif. Ayah Bulu Lembut akhirnya sudah keluar dari rumahnya dan pulang ke Pulau Roh Kupu-kupu semalam! Selepas terpaksa menahan dirinya selama beberapa hari, dia akhirnya mengeluarkan jenaka lucahnya sebaik sahaja dua perkataan ditulis dalam perbualan itu. Lega rasanya. Dia sudah bersedia untuk menulis beberapa jenaka lucah lagi dalam kumpulan itu.
"Jangan cuba mencari maut, Saudara Pedang Berang," Pertapa Bebas Sungai Utara mengingatkan dia. "Sekarang ini, seseorang boleh log masuk ke dalam akaun sembang melalui telefon bimbit dan komputer pada masa yang sama."
Bagaimana jika ayahnya menggunakan akaun 'Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu' melalui telefon bimbit?
Wajah Pedang Berang Melulu Tiga berubah secara tiba-tiba dan dia cepat bertukar kepada mod mengintai. 'Oh, tuhan, bagaimana saya boleh terlupa?' Sekiranya betul Roh Kupu-kupu Yang Mulia sedang melihatnya, dia pasti akan melompat keluar dari pesawat dan kembali menyeksa Pedang Berang Melulu Tiga jika dia tahu Pedang Berang berani membuat jenaka lucah tentang 'enema' di hadapan anak perempuannya.
Mahaguru Ubatan ketawa, dan jari-jarinya dengan cepat meluncur di atas permukaan telefon. Walau bagaimanapun, selepas beberapa ketika, dia hanya dapat menghantar beberapa perkataan, "Tumbuhan Naga Berbisa berkualiti tinggi memang sangat menguntungkan!"
Sami Kelana Prinsip Pemikir masuk dalam talian. Dia menghantar yang pertama, dan kemudian menghantar gambar 🗡️.
"Bagus!" Mahaguru Ubatan menjawab.
Perbualan antara mereka berdua sangat pelik.
Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu: "Tuan berdua, adakah ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ dan ❮Kitab Meditasi Diri Yang Sebenar❯ itu betul-betul bagus?"
"Ia teknik-teknik Tokong Buddha yang sudah wujud sejak lapan ratus tahun yang lalu. Walaupun hanya digunakan untuk Pertubuhan Asas pengikut mereka, kekuatan ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ setanding dengan teknik pertahanan diri pangkat pertama. Ia teknik yang sangat baik berbanding dengan teknik mempertahankan diri yang lain untuk Pertubuhan Asas," Pertapa Bebas Sungai Utara menjelaskan. "Sayangnya, Tokong Buddha telah runtuh dan hilang dalam sungai sejarah dan banyak teknik alaminya juga telah hilang."
Mahaguru Ubatan mengangguk tanda dia puas dengan penerangan itu dan mematikan telefon.
Kemudian, dia menuju ke arah balkoni asrama, menjangkau dengan jari dan menunjuk ke arah langit.
Song Shuhang melihatnya dengan penuh rasa ingin tahu kerana dia sendiri tidak tahu apa yang Mahaguru Ubatan mahu lakukan.
Sepuluh minit sudah berlalu...
Mahaguru Ubatan mengekalkan posturnya tanpa bergerak, seperti patung.
Song Shuhang mahu pergi ke arahnya dan bertanya kepadanya tentang apa yang berlaku, tetapi kemudian, mata Mahaguru Ubatan terbuka luas dan dia berseru dengan suara yang rendah. Jari yang menunjuk ke arah langit tiba-tiba menyala dengan cahaya merah.
Sejujurnya, postur ini memang nampak hebat.
Walau bagaimanapun, di mata Song Shuhang, jari Mahaguru Ubatan kelihatan seperti sekeping besi dengan bara merah. Pemandangan itu membuatkannya kelihatan seperti watak kartun yang secara tidak sengaja mengetuk jari dengan tukul dan membuat jarinya menjadi besar dan merah.
"Baiklah, selesai!" Mahaguru Ubatan tersenyum bangga.
"?" Song Shuhang kelihatan sangat keliru.
Selepas melihat wajah keliru Shuhang, Mahaguru Ubatan menerangkan," Saya baru saja beritahu Mahaguru Utama Prinsip Pemikir akan koordinat kedudukan kita. Dia akan menghantar kitab ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ dan ❮Kitab Meditasi Diri Yang Sebenar❯ dalam empat atau lima jam lagi."
"Adakah Mahaguru Utama Prinsip Pemikir akan datang ke sini juga?" Shuhang bertanya.
"Tidak, mengapa dia perlu datang ke sini? Saya cuma beritahu koordinatnya sahaja supaya dia boleh menghantar kitab-kitab itu dengan pedang terbang." Mahaguru Ubatan berkata dengan bangga.
"Barulah saya faham." Song Shuhang mengangguk. Satu gambaran muncul dalam fikirannya: Di pergunungan, seorang sami tua tersenyum lembut, dia menarik pedang pendek dari jubahnya kemudian menggantungkan bungkusan yang mempunyai beberapa kitab suci pada mata pedang itu.
Bagi kitab suci pula, mungkin rupanya seperti buku dengan helaian kertas yang diikat benang. Atau seperti dalam bentuk helaian skrol.
Kemudian, sami itu menunjuk ke arah langit dan mengesahkan koordinat dengan seseorang dari jarak jauh. Selepas itu, sami tua itu membelai pedang pendek. "Swish", pedang pendek terbang tinggi dengan bungkusan yang digantung padanya. Sangat hebat.
'Hebatlah. Menghantar buku dengan pedang. Alam mana yang perlu aku capai sebelum aku dapat berbuat begitu juga?' Song Shuhang berasa cemburu dalam diam.
Menunggang pedang terbang! Mengambil pesawat masih tidak dapat dibandingkan dengannya.
Langit biru, tempat terletaknya impian dan cinta manusia!
❄️❄️❄️
"Marilah, kita keluar dan cari tempat tinggal. Kemudian kita akan tapis 'cecair penguat badan' sekali lagi! Adakah kamu mahu bawa periuk elektrik dan periuk panas?" Mahaguru Ubatan bertanya.
Sambil bersusah-payah untuk mencarinya, Song Shuhang akhirnya mengeluarkan beg hitamnya sendiri dan memasukkan dua barang itu ke dalamnya. Lagipun, dia sudah terbiasa menggunakan periuk elektrik dan periuk panas. Jika tidak ada periuk elektrik atau periuk panas, atau periuk lain yang dia temui itu dari jenama yang berlainan di tempat yang dia akan sewa, dia mungkin tidak dapat menyempurnakan 'cecair penguat badan' itu dengan betul.
Kemudian, dia membuka almari dan mahu mengambil ubat herba untuk membuat 'cecair penguat badan'.
"Rakanku Shuhang, kamu tak perlu bawa ramuan herba. Saya sendiri akan sediakan ramuan herba untuk kamu kerana saya yang meminta pertolongan kamu." Mahaguru Ubatan menghentikan langkah Shuhang. Lagipun, dia seorang ahli alkimia terkenal! Bagaimana dia boleh meminta seseorang untuk membantunya melakukan percubaan dengan formula pil tanpa menyediakan ramuan ubatnya sendiri? Orang lain pasti akan tertawa jika mereka tahu tentangnya!
Song Shuhang mengangguk dan mengunci almari. Ini bukan masa untuk dia berlagak hebat. Lagipun, dia hanya mempunyai tiga puluh dua bahagian herba ubat. Menurut Pertapa Bebas Sungai Utara, tiga puluh dua ramuan herba mungkin tidak mencukupi untuk Penubuhan Asasi Seratus Hari. Jadi, dia lebih baik sekiranya dia berjimat.
Dia menarik beg sambil bertanya, "Mari pergi. Adakah Tuan mempunyai sebarang ciri-ciri tertentu untuk apartment yang akan kita sewa?"
Mahaguru Ubatan menjawab, "Saya perlukan ruang yang tenang dan kalis bunyi. Jika tidak, saya perlu sediakan pendinding kalis bunyi. Semua itu akan menyusahkan."
Song Shuhang memeriksa dompet dan mengira perbelanjaannya. Ibunya berikan 3,000 yuan kepada dia setiap bulan. Lagipun, zaman sekarang ini tidak sama seperti dua puluh tahun yang lalu. Pada masa dahulu, seorang pelajar kolej boleh menjalani hidup yang baik dengan 1,000 yuan sebulan.
Memandangkan dia tidak membuat kerja sambilan, lebih baik sekiranya dia menyewa selama sebulan dahulu.
"Dengan 500 atau 600 yuan, kita sepatutnya dapat menyewa sebuah apartment kecil." Song Shuhang berkata.
Mahaguru Ubatan segera membantah, "Bukankah rumah itu nanti terlalu kecil? Sekurang-kurangnya, kita perlukan rumah keluarga tunggal berasingan yang besar. Jika tidak, saya tidak boleh meletakkan relau saya di sana."
'Rumah keluarga tunggal... berasingan? Dan besar? Tuan, betulkah Tuan mahukan sebuah apartmen dan bukannya vila?'
Song Shuhang tersenyum pahit. "Apartmen itu memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 yuan sebulan untuk disewa. Saya tidak mempunyai wang yang cukup."
"Saya akan bayarkan. Kamu telah banyak membantu saya dan tidak manis rasanya jika kamu masih perlu membayar sewa rumah!" Mahaguru Ubatan memotong cakap Shuhang dengan pantas. Sebagai seorang ahli lama, tidak mungkin dia akan biarkan seorang ahli baru membayar sewa untuknya, bukan?
"Baiklah, mari kita cari apartment yang baik. Walau bagaimanapun, tidak ada banyak rumah besar berasingan di sekitar kolej itu." Apatah lagi untuk menyewa rumah besar berasingan yang memerlukan lebih daripada 10,000 yuan sebulan. Song Shuhang berasa risau setiap kali dia terfikirkan tentang hal itu. Tetapi pada masa yang sama, dia mempunyai soalan.
"Tuan, adakah Tuan mempunyai pekerjaan biasa atau sumber pendapatan seperti orang biasa?" Song Shuhang terfikir sejak beberapa hari lalu, sejak ahli-ahli kumpulan itu tidak terpencil dari dunia manusia dan menggunakan peralatan moden seperti komputer dan telefon bimbit serta melayari Internet, maknanya mereka perlu membayar bil perkhidmatan itu? Bagaimana mereka membayarnya? Adakah mereka membayar dengan emas atau sesuatu yang lain seperti emas?
"Kami sememangnya ada sumber pendapatan sendiri. Lagipun, kami tidak terasing dari dunia manusia. Saya tidak tahu mengenai sumber pendapatan orang lain, tetapi saya mampu membiayai perbelanjaan harian saya sendiri dengan pendapatan daripada penapisan pil." Mahaguru Ubatan mengangguk.
Selepas dia menjawab pertanyaan Shuhang, dia memandang Shuhang dan bertanya, "Mengapa? Adakah kamu ada masalah dengan wang dalam dunia manusia?"
Song Shuhang mengangguk dan menjawab dengan jujur, "Selepas memasuki dunia pertapaan, saya baru sedar saya mungkin memerlukan banyak wang. Saya terfikir untuk menyewa sebuah rumah di luar kampus supaya dapat menyimpan rahsia saya tentang pertapaan dan penapisan pil. Tetapi, untuk menyewa rumah, saya perlu memikirkan tentang kosnya."
Dia malu untuk memberitahu tentang perancangannya untuk membuat kerja sambilan.
You may also Like
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT