Wanita berambut hitam itu kelihatan seperti baru berusia 20 tahun, sedangkan dia baru sahaja mencapai umur 18 tahun tidak lama dahulu. Mungkin dia sendiri yang kelihatan tua. Sebab itukah dia dipanggil pak cik?
Lagi satu... nama dao? Dia kemudian teringat nama-nama ID dalam sembang grup chuunibyou itu. Ada yang bernama Raja Agung Gunung Kuning, Pertapa Malas Sungai Utara, Mahaguru Gua XX, Mahaguru Istana XX. Kesakitan yang dia rasakan pada hatinya semakin meningkat.
Song Shuhang terbatuk. "Kamu boleh panggil saya Song Shuhang. Lagi satu, kita tidak sepatutnya bertanya tentang nama dao sewaktu kali pertama kali berjumpa." Song Shuhang menjawab. Dia tidak mahu dianggap sebagai seorang chuunibyou.
"Oh? Maafkan saya, Senior. Saya terlupa sebentar." Bulu Lembut berasa malu. Sebagai seorang pertapa, dia tidak sepatutnya menyebut tentang nama dao dan hal-hal berkaitan di khalayak ramai. Dia terlupa tentang peraturan asas itu sebentar tadi kerana dia terlalu gembira dan teruja.
"Dan tak perlu panggil saya Senior." Song Shuhang terbatuk dua kali dan dia merasakan penyakit batuknya yang hampir pulih itu akan datang semula dan akan menjadi lebih serius.
"Baiklah." Walaupun Bulu Lembut membalas dengan penuh hemah, dia berasa muram dalam hatinya. Senior ini nampaknya bukan jenis orang yang mudah didekati? Memang betul, bukan semua orang dalam kumpulan itu mesra seperti Pertapa Sungai Utara itu.
Selain itu, senior ini juga berada di jalan Luo Xin tetapi tidak memberitahu apa-apa dalam sembang grup itu. Mungkin dia seorang yang pentingkan diri dan memang tidak berniat untuk membantu? Selepas berfikir begitu, gadis itu berasa lebih tertekan.
Sewaktu Bulu Lembut sedang berfikir, Song Shuhang menambah. "Tapi kamu boleh panggil saya Song Shuhang."
"Oh?" Bulu Lembut terkejut. "Tapi tidakkah itu kelihatan seperti kurang sopan?"
"Awak boleh terus panggil saya dengan nama Song Shuhang. Kalau awak rasa tak selesa dengan panggilan nama penuh, awak masih boleh panggil saya dengan nama Shuhang, Si Kecil Hang atau Si Kecil Song." Song Shuhang menjawab dengan tegas.
Sekiranya Bulu Lembut terus memanggilnya dengan panggilan 'senior', dia akan merasa sangat malu kerana ini adalah dunia sebenar.
"Senior... Shuhang." Apabila Bulu Lembut ingin memanggil nama Song Shuhang, dia berasa kekok dan terus menambah panggilan Senior.
Walau bagaimanapun dia cuba bertenang dan kemudian menunjukkan wajah yang gembira. Nampaknya senior ini baik orangnya, tak sama seperti senior lain yang lebih dingin dan bersikap acuh tak acuh. Kalau begitu, mungkin senior ini akan membantunya hari ini!
Song Shuhang mengeluarkan tangannya dan mengusap wajahnya dengan kuat, jelas menunjukkan dia mengalah. "Baiklah, terpulang kepada kamu hendak panggil saya apa."
"Senior Song datang ke sini untuk bantu saya?" Bulu Lembut bertanya dengan nada gembira.
"Mari kita bercakap sambil berjalan," Song Shuhang kemudian mengambil beg besar di tangannya. Lebih elok mereka berdua bercakap di tempat yang lebih sunyi kerana beg besar yang dibawa mereka akan menyusahkan orang ramai untuk berjalan di situ.
Bulu Lembut mengikut Shuhang.
"Saya telah melihat log sembang grup itu. Tempat yang kamu perlu pergi terletak di kawasan jalan Luo Xin di Bandar J. " Song Shuhang menjawab.
"Ya, kawasan jalan Luo Xin di Bandar J. Senior, tunggu sebentar, mungkinkah... " Bulu Lembut ialah seorang yang pintar dan dengan pantas dapat meneka dari cara percakapan Song Shuhang. Wajahnya kemudian menjadi muram semula. "Mungkin ini bukan jalan Luo Xin?"
"Memang betul ini jalan Luo Xin. Tetapi, ini jalan Luo Xin di Daerah Jiangnan dan bukannya di Bandar J." balas Song Shuhang sambil mengeluh.
"..." Wajah kecil molek Bulu Lembut bertukar kemerah-merahan kerana dia berasa sangat malu. Selepas beberapa ketika, dia bertanya dengan perlahan, "Senior Song tahu bagaimana nak pergi ke kawasan jalan Luo Xin di Bandar J?"
"Saya belum pernah ke sana, tetapi rasanya awak boleh menggunakan bantuan navigasi?" Song Shuhang menjawab dengan mesra.
Bulu Lembut mengetuk kepala dan sekali lagi mengeluarkan telefon usangnya itu... tetapi baru dua kali dia menyentuh skrin, telefonnya tiba-tiba mengeluarkan melodi yang lembut dan skrin telefon terpadam.
Bulu Lembut mengangkat kepalanya dan melihat Song Shuhang dengan air matanya bergenang. "Senior Song, telefon saya habis bateri."
"..." Song Shuhang sekali lagi merasakan kesakitan di hatinya. Gadis cantik berambut hitam ini nampaknya seorang yang dungu?
Tetapi dia tetap menghulurkan telefon bimbitnya. "Gunakan telefon saya."
"Terima kasih, Senior!" Bulu Lembut mengambil telefon Shuhang dan menyentuh skrin beberapa kali.
Tiba-tiba, satu melodi terdengar dari telefon Song Shuhang dan skrin telefon terpadam.
Sekali lagi, Bulu Lembut mengangkat kepalanya dan melihat ke arah Song Shuhang. Matanya yang digenangi air mata itu bagaikan diselubungi pula dengan lapisan kabus. "Senior Song, telefon ini juga sudah kehabisan bateri."
Habislah. Song Shuhang kemudian teringat semula yang telefonnya hanya mempunyai 6% bateri apabila dia keluar membeli-belah sebentar tadi. Selepas 3 jam dibiarkan dan selepas dia melayari laman web tadi, bateri telefon itu akhirnya habis.
Sewaktu dia dengan kekok mengambil semula telefonnya, Song Shuhang bertanya. "Bulu Lembut, kamu hendak cepat ke Tokong Lampu Berhantu itu?"
"Tak juga, tapi sebaiknya, saya mahu sampai secepat mungkin kerana mungkin akan ada perubahan selepas beberapa ketika." Suara Bulu Lembut masih lagi lembut. Tidak lama lagi ayahnya akan pulang dari rumah Senior Pedang Berang Melulu Tiga dan menangkapnya semula.
Ya. Mungkin kerana ini jugalah dia tidak suka melayan Pedang Berang Melulu Tiga itu.
Kalau ayahnya pulang ke rumah semula, dia tidak akan dapat keluar rumah secara rahsia lagi seperti ini.
"Jadi, awak mahu ikut saya balik ke asrama saya? Saya boleh menyemak jadual perjalanan untuk awak di komputer dan mengecas telefon bimbit awak pada masa yang sama. Tetapi jarak dari sini ke asrama saya ialah dua puluh minit, "Song Shuhang memberitahu Bulu Lembut.
Song Shuhang ialah seorang lelaki yang mempunyai keperibadian yang sesuai dengan penampilannya. Wajah dan keperibadiannya benar-benar menunjukkan dia seorang yang baik hati.
Oleh itu, mustahil untuk dia tidak mempedulikan keadaan Bulu Lembut. Selain daripada lelaki homoseksual, jarang ada lelaki yang akan membiarkan seorang wanita cantik keseorangan.
"Asrama? Senior tinggal di situ?" Mata Bulu Lembut bersinar cemerlang. "Jarak dua puluh minit itu tak jadi masalah!"
"Baiklah. Jadi, mari ikut saya?" Song Shuhang cuba bertanya.
Bulu Lembut menganggukkan kepalanya dengan kuat sambil mengheret begnya yang besar dan mengikut Shuhang dari belakang.
Song Shuhang bimbang kerana Bulu Lembut seperti mudah diculik dan kemudiannya dijual. Dua batang gula-gula lolipop sudah cukup sebagai umpan untuk menculik gadis ini.
❄️❄️❄️
Ada satu pepatah menyebut, sepakat membawa berkat.
Secara logiknya, jika dua individu bekerjasama, mereka akan menjadi lebih bersemangat.
Walau bagaimanapun... apabila Song Shuhang dan Bulu Lembut berjalan selama lima minit, Song Shuhang sudah keletihan dan mula bernafas dengan kuat.
Dia memaksa dirinya memberikan senyuman yang pahit dan memandang Bulu Lembut di sebelahnya. Kata-kata lelaki bercermin mata hitam yang kacak sebentar tadi muncul dalam minda Shuhang.
Ada banyak kelebihan sekiranya kita mempunyai kaki yang panjang, bukankah begitu? Satu langkah yang diambil Bulu Lembut menyamai dua langkahnya!
Walaupun Bulu Lembut cuba memperlahankan langkahnya, Song Shuhang masih perlu berjalan laju. Macam manalah dia tak letih?
"Senior nampaknya tercungap-cungap?" Bulu Lembut melihat Shuhang dengan ekspresi wajah yang aneh. Ini tak mungkin berlaku. Bagaimana berjalan kaki selama lima minit boleh membuatkan seorang senior yang mahir dalam pertapaan menjadi letih?
"Hu, kita tidak perlu tergesa-gesa, jadi mari berjalan dengan perlahan-lahan." Song Shuhang cuba mengawal pernafasannya.
"Baiklah." Bulu Lembut mengangguk, seolah-olah memahami, tetapi sebenarnya, dia tidak faham. Dia merasakan ada yang tak kena dengan keadaan 'senior' ini, seolah-olah staminanya lemah.
Walau bagaimanapun, dia seorang wanita muda yang bijak dan tidak akan mengganggu privasi orang lain. Memandangkan Senior ini tidak menjelaskan apa-apa, sudah pasti dia tidak akan bertanya, kalau tidak dia akan dianggap menjengkelkan.
Oleh itu, dia mengambil inisiatif dan cuba berjalan perlahan seperti Song Shuhang dengan mengurangkan langkahnya sambil mengekalkan tahap kelajuan yang sama .
Song Shuhang akhirnya berasa lebih tenang.
Kedua-duanya berjalan dengan perlahan dan meninggalkan kawasan jalan Luo Xin.
Secara kebetulan, di belakang mereka masih ada tiga orang lelaki yang sedang menilai pelbagai bentuk kaki di dataran awam itu. Mereka juga membawa beg besar dan kecil sambil meninggalkan kawasan jalan Luo Xin.
"Oh? 100 markah, aku nampak kaki yang layak dapat 100 markah!" Si gemuk, Ah Xu, menunjuk pada bahagian belakang Bulu Lembut dengan penuh rasa teruja.
Lelaki kacak yang ceria segera menegakkan badannya. "Di mana? Aku mesti kejar dia sekarang!"
"Kau pasti tak ada peluang." Lelaki berambut pendek bercakap dengan nada malas. "Ada seorang lelaki di sebelahnya."
Lelaki kacak itu memandang Song Shuhang yang berada di sebelah Bulu Lembut dan berasa sedih dengan serta-merta. "Gadis itu sudah berpunya. Tak guna!"
"Walaupun dia sudah berpunya, pasti dia seorang yang tidak setia. Selagi dia masih mempunyai tubuh badan dengan kaki yang menawan itu, masih belum terlambat untuk kau cuba memikat dia. Kau pergilah kejar dia!" Ah Xu tertawa dengan perlahan-lahan.
"Aku tidak suka mengganggu hubungan orang lain." Lelaki kacak itu mempunyai prinsip yang tegas.
Tiba-tiba, dia terpandang belakang tubuh Song Shuhang. "Hei, bukankah kita pernah lihat lelaki itu?"
"Ya. Aku tidak hairan kalau kau biasa melihatnya. Sewaktu kita sedang berbincang tentang wanita dengan 100 markah di dataran awam Luo Xin, dia duduk di sebelah kita. " Lelaki berambut pendek terus membalas dengan malas.
"..." Si gemuk Ah Xu.
"..." Lelaki kacak.
Dia duduk di sebelah kita, dia duduk betul-betul di sebelah kita... kata-kata ini berulang-ulang di telinga lelaki kacak itu.
Dia kemudian tiba-tiba berlutut. "Dia inikah yang digelar Tuhan Penaklukan?!"
Asrama sekolah adalah tempat yang indah, terutamanya asrama perempuan yang sememangnya sudah menjadi kawasan larangan buat pelajar lelaki. Mana-mana lelaki yang berani untuk melangkah masuk ke sana akan menghadapi masalah yang besar.
Tetapi berbeza pula dengan asrama lelaki yang bagaikan taman permainan buat pelajar perempuan. Para gadis bebas untuk berulang-alik ke dalam atau ke luar asrama pada bila-bila masa. Jadi tiada siapa yang menahan Song Shuhang sewaktu dia membawa seorang gadis masuk ke dalam asrama.
Lagipun, hari itu ialah hari Ahad dan kebanyakan pelajar di asrama sama ada berada di luar untuk bersuka-ria atau tinggal di dalam untuk bermain permainan komputer. Apabila Shuhang kembali ke asrama dengan Bulu Lembut, mereka tidak menarik perhatian ramai.
Asrama Shuhang berada di tingkat dua. Walaupun asrama itu dilengkapi lif, dia dan rakan sebiliknya biasanya akan menaiki tangga. Lebih cepat naik tangga berbanding menggunakan lif kerana hanya ada satu tingkat.
"Boleh saya bantu awak bawa beg itu?" Shuhang memandang ke arah beg besar yang dibawa oleh Bulu Lembut. Sebagai seorang lelaki, sudah jadi tanggungjawabnya untuk membantu wanita membawa bagasi dan beg.
"Terima kasih senior!" Bulu Lembut tersenyum malu sambil menyerahkan beg besarnya pada Song Shuhang.
Song Shuhang melihat Bulu Lembut menarik beg pakaian yang besar itu dan juga membawanya melalui kawasan jalan berbonggol. Nampaknya tidak susah membawa beg itu.
Jadi Song Shuhang menyangkakan yang beg besar itu tidak penuh dan juga tidak terlalu berat.
Namun apabila dia memegang beg pakaian itu dan cuba untuk mengangkatnya, wajahnya menjadi merah!
Dia hanya dapat mengangkat beg pakaian itu sedikit walaupun dia telah menggunakan seluruh kekuatannya. Oh Tuhan! Berat beg itu sekurang-kurangnya lima puluh atau enam puluh kilogram, hampir sama berat dengan seorang lelaki dewasa!
Dia merenung Bulu Lembut terutamanya ke arah tangan kecil yang kelihatan seperti tidak bermaya itu. Adakah gadis ini seorang gadis Amazon? Bagaimana dia boleh membawa barang-barang yang beratnya hampir 70 kilogram sepanjang perjalanan tanpa rasa penat?
Dan betapa naifnya dia memikirkan gadis ini mudah diculik? Dengan kekuatannya, mana-mana lelaki yang mahu menculiknya perlu menyediakan keranda buat diri sendiri.
"Senior?" Bulu Lembut memandang ke arah Shuhang dengan ragu-ragu.
"Ahem! Mari kita naik lif. "Song Shuhang membuat keputusan dengan pantas. Dengan kekuatannya, dia mungkin boleh membawa bagasi itu ke tingkat atas, tetapi itu pasti amat memenatkan.
"Okey," Bulu Lembut mengangguk walaupun sebenarnya dia tidak begitu faham. Namun, sebagai seorang gadis yang baik, dia tidak akan bertanya perkara tidak sepatutnya. Sebagai seorang tetamu, dia tidak akan mengganggu keputusan tuan rumah. Tetamu sepatutnya menyenangkan tuan rumah.
Lif naik perlahan-lahan. Mereka tidak perlu menunggu lama kerana hampir tiada orang menggunakan lif pada waktu ini.
❄️❄️❄️
Asrama itu kelihatan kosong.
Rakan sebiliknya biasanya kembali ke asrama pada pukul tiga atau empat petang dan kadang-kadang akan balik pada waktu malam.
Sebagai bilik untuk empat orang, saiz bilik itu tidak besar tetapi dilengkapi dengan bilik mandi, balkoni, papan untuk mencuci pakaian serta dapur kecil.
"Duduklah. Awak mahu minum apa-apa?" Song Shuhang menghidupkan komputer dan meminta Bulu Lembut duduk.
Bulu Lembut duduk dan menjawab, "Semangat Teh Hijau."
"Apa?" Song Shuhang keliru.
Semangat Teh Hijau? Apa itu? Minuman barukah? Kenapa dia tidak pernah mendengarnya?
Dia berfikir sejenak dan tidak lama kemudian dia teringat akan identiti sebenar perempuan muda berkaki panjang ini - walaupun dia masih muda dan cantik, dia masih seorang peminat Chuunibyou Xianxia!
Apa yang dipanggil Semangat Teh Hijau itu mestilah sesuatu yang diimaginasikan para Chuunibyou dalam sembang grup itu.
Song Shuhang merasakan hatinya mula sakit semula.
"Buat sementara waktu, saya tak ada minuman seperti itu tapi saya ada jus oren, air kosong, air minuman bergas dan susu. Yang mana satu awak mahu?" Song Shuhang terus memintanya memilih satu jenis minuman. Dia takut sekiranya Bulu Lembut meminta dia menyediakan 'Teh Tonik Darah Naga', 'Cecair Burung Phoenix' atau benda-benda dahsyat yang lain.
Bulu Lembut terkejut, 'Senior tidak ada Teh Hijau Semangat?'
Teh itu adalah teh semangat yang paling biasa para pertapa hidangkan kepada tetamu.
Ia mengandungi sedikit sahaja qi rohani, tetapi baunya yang harum. Dengan bau haruman yang kuat, teh itu adalah teh semangat yang paling murah boleh didapati untuk dijamu kepada tetamu. Orang yang minum teh ini dapat meningkatkan tahap kesihatan badannya. Walaupun Teh Hijau Semangat itu tidak mempunyai kesan ajaib seperti pil ubat, harganya berjuta kali ganda lebih murah. Bukankah minuman ini harus dimiliki setiap pertapa?
'Tunggu, saya sudah faham!
Tuan ini sememangnya seorang pertapa. Pertapa sebenar hidup di tempat yang sibuk, jadi dia dapat hidup seperti orang biasa. Dikatakan juga bahawa terdapat beberapa orang pertapa lama akan hidup dalam kalangan orang biasa setiap lima puluh atau seratus tahun dengan tujuan untuk mengawal minda mereka sendiri, yang dipanggil "pengalaman hidup duniawi"! Walaupun ia tidak dapat meningkatkan kekuatan mereka, ia dapat membuatkankehendak mereka lebih utuh serta membersihkan minda mereka!'
"Tolong berikan saya jus oren, terima kasih." Bulu Lembut menunjukkan senyuman yang manis.
"Okey, tunggu sebentar."
Beberapa minit kemudian, Song Shuhang menyerahkan segelas jus oren yang dikeluarkannya dari dalam peti sejuk di dapur.
Bulu Lembut mengambilnya sambil berkata, "Terima kasih Tuan."
"Sama-sama." Song Shuhang menjawab. Dia benar-benar seorang gadis yang baik dengan perwatakan yang lemah-lembut dan bersopan-santun. Tetapi dia berasa kasihan kerana gadis itu seorang Chuunibyou. Dia duduk di depan komputer dan cuba melayari internet.
Dia membuka Peta Baidu dan memasuki kawasan jalan Luo Xin di Bandar J.
Tidak lama kemudian, peta menunjukkan lokasi kawasan Luo Xin di Bandar J.
"Saya telah menyemaknya. Tempat itu terletak lebih jauh sedikit dari jalan Luo Xin di Bandar J," kata Song Shuhang.
Ia mengambil masa lima jam dari Lapangan Terbang Jiangnan ke kawasan Luo Xin di Bandar J dengan teksi. Tetapi, Bulu Lembut telah pergi ke destinasi yang salah. Mujurlah Pekan Kolej Jiangnan hanya terletak bersempadan dengan Bandar J, jadi dia tidak perlu mengambil arah yang bertentangan. Dia hanya perlu membelok ke arah jalan di sebelahnya.
Sekiranya dia bermula dari Pekan Kolej Jiangnan, tanpa mengambil kira keadaan jalan raya, ia mungkin mengambil masa tiga jam setengah ke kawasan Jalan Luo Xin di Bandar J dengan menaiki kereta. Keadaan jalan di bahagian ini juga memang sangat buruk. Jadi, ia sebenarnya mungkin mengambil masa lima jam atau lebih.
Apabila Bulu Lembut menghampiri Song Shuhang dan melihat yang jarak ke tokong itu yang agak jauh, dia terkejut, "Tuan, bolehkah kita pergi ke sana dengan teksi dengan jarak yang jauh begitu?"
"Ya, tapi saya takut pemandu teksi tidak mahu membawa awak ke sana," kata Song Shuhang.
Kemudian dia menjelaskan kepada Bulu Lembut.
Perjalanan lima jam itu sememangnya terlalu jauh. Walaupun pemandu teksi di Jiangnan boleh membawa mereka dari Jiangnan dan sehingga ke beberapa bandar yang berdekatan, kebanyakan pemandu teksi tidak dapat bekerja untuk masa yang lama.
Ia mengambil masa lima jam untuk sampai ke sana dan lima jam lagi untuk kembali ke sini. Dengan pemanduan sepuluh jam, berapa orang pemandu yang mereka perlukan? Jadi, walaupun mereka mempunyai wang yang banyak, keadaan yang menyusahkan itu tidak dapat membantu mereka.
"Jadi apa yang perlu kita lakukan?" Bulu Lembut bertanya.
"Ambil kereta api laju. Terdapat sebuah stesen yang terletak berhampiran dengan kawasan jalan Luo Xin di Stesen Bandar J ke Heixiang. Dan, terdapat juga sebuah stesen yang terletak berhampiran dengan pekan kolej ini. Lebih mudah dan pantas sekiranya anda menaiki kereta api laju berbanding teksi. Paling lama pun, ia akan mengambil masa dua jam." Song Shuhang menjelaskan kepada Bulu Lembut.
"Bila kita akan bertolak?" Mata Bulu Lembut mula bersinar.
"Tidak perlu tergesa-gesa, kita boleh menempah tiket dalam talian. "Saya telah menyemaknya. Kereta api laju dari Stesen Pekan Kolej ke Stesen Heixiang akan bertolak pada pukul empat petang. Jadi, kita boleh mendaftar masuk pada jam 3:30 petang."
Eeeh? Tunggu sekejap!
"Bila kita akan bertolak?" Kita?
Adakah gadis ini berfikir yang saya akan membawa dia ke kawasan jalan Luo Xin di Bandar J?
Saya masih ada kelas esok. Saya masih seorang pelajar dan saya tidak boleh meninggalkan sekolah sesuka hati!
"Jadi Tuan, mari kita tempah tiket dalam talian. Adakah Tuan perlukan kad ID saya? " Dia agak gembira dan berasa sangat bertuah kerana bertemu dengan pertapa tua yang lebih baik seperti Tuan Song.
"Ahem, kita?" Song Shuhang terbatuk lagi. "Adakah anda maksudkan yang saya perlu menempah dua tiket? Anda dan saya?"
"Ah? Tuan tidak akan pergi bersama saya? " Bulu Lembut berhenti bercakap, kemudian rona pipinya mula merah.
Dia sangat teruja. Dan tidak sekiranya dia menganggap pertapa Song Shuhang akan menemaninya ke Bandar J tanpa bertanya terlebih dahulu.
"Maafkan saya kerana terburu-buru. Saya tidak sempat bertanya Tuan terlebih dahulu. Bolehkah Tuan menemani saya ke kawasan jalan Luo Xin di Bandar J? Saya... Saya sebenarnya kurang arif dengan jalan baharu. Saya takut saya tidak dapat menemui Tokong Lampu Berhantu," kata Bulu Lembut.
Song Shuhang mendesah dan menolak pelawaannya, "Saya ingin membantu anda, tetapi saya takut saya tidak boleh buat begitu."
Kereta api laju itu mungkin akan tiba pada jam 6:30 petang. Dia tidak tahu apa yang Bulu Lembut akan lakukan, jadi dia tidak tahu bila dia akan selesai dengan urusannya di tokong itu. Tetapi dia yakin yang dia tidak akan dapat kembali pada tengah hari esok.
Dan dia mempunyai kelas petang esok!
Bulu Lembut kelihatan sangat kecewa. Kekecewaan mudah dibaca pada raut wajahnya. "Tuan terlalu sibukkah?"
"Ya, kerana saya masih mempunyai kelas petang esok," kata Song Shuhang.
Melihat Bulu Lembut yang sangat kecewa dan hampir menitiskan air mata itu, tiba-tiba dia merasakan dia terlalu kasar dengan Bulu Lembut. Adakah dia telah menyakiti hatinya yang rapuh itu?
Jadi, dia menambah, "Sekiranya... Maksud saya, jika anda tidak tergesa-gesa, saya boleh pergi bersama anda pada hari Jumaat depan. Saya seorang pelajar sekarang ini dan saya hanya bercuti pada hujung minggu. "
Jumaat depan? Bulu Lembut masih kecewa. Walaupun dia tidak keberatan untuk menunggu satu atau dua hari, lima hari agak lama. Dan dia juga yakin ayahnya pasti tidak akan tinggal di rumah Pedang Berang Melulu Tiga itu lebih daripada sepuluh hari.
Tetapi, sesuatu tiba-tiba muncul dalam fikirannya dan matanya kembali bersinar. Dia bertanya dengan bersungguh-sungguh, "Tuan Song, jika anda tidak mempunyai kelas esok petang... bolehkah Tuan pergi bersama saya ke Bandar J?"
Paragraph comment
Paragraph comment feature is now on the Web! Move mouse over any paragraph and click the icon to add your comment.
Also, you can always turn it off/on in Settings.
GOT IT