Download App
6.88% Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 53: Nyalaan Hati (Bahagian II)

Chapter 53: Nyalaan Hati (Bahagian II)

Editor: EndlessFantasy Translation

Keesokan harinya selepas Anna sedarkan diri, Nightingale datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Roland.

"Kami tak tahu sebabnya, tapi Anna mungkin ialah ahli sihir pertama yang menghadapi Hari Kebangkitan tanpa sebarang rasa sakit," Nightingale tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya. Dia sudah lama tinggal bersama Roland jadi dia terbiasa menggunakan perkataan "Hari Kebangkitan" dan bukannya "Azab Syaitan" untuk menggambarkan proses perubahan ahli sihir. "Patik mahu bawa saudara patik dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir ke Pekan Sempadan. Patik harap Tuanku akan menerima mereka sebagaimana Tuanku telah menerima Anna."

Inilah yang Roland harap-harapkan. Kebolehan Anna seorang sudah memajukan proses penempaan panas sehingga pekan itu bakal mengalami revolusi awal Zaman Perindustrian, jadi apatah lagi kalau dia ada sekumpulan ahli sihir? Tetapi memikirkan keselamatan Nightingale, dia cuba memujuk ahli sihir itu untuk tidak pergi ke Banjaran Puncak Langit sehingga Bulan Kunjungan Iblis berakhir.

Namun Nightingale sudah tidak sabar-sabar lagi. "Ramai saudara patik tentu akan menderita sepanjang musim sejuk ini. Jika patik boleh ajak mereka ke sini lebih awal, mungkin lebih ramai antara mereka boleh menghadapi Azab Syaitan mereka dengan selamat. Jangan risau, kebanyakan makhluk iblis tidak boleh mengesan kehadiran patik."

"Jadi, bila Hari Kebangkitan awak pula?" sudah lama Roland mahu bertanya tentang itu.

Nightingale memanjat kudanya dan menjawab, "Hujung musim sejuk atau awal musim bunga." Dia melambaikan tangan kepada Roland dan mengarahkan kuda itu mula berjalan. "Jangan risaukan patik. Kesakitan itu sudah tidak begitu perit dari tahun ke tahun."

Jawapannya membuat Roland termenung panjang.

Dia asyik memikirkan bagaimana Anna berjaya mengharungi Hari Kebangkitannya dengan selamat. Selepas 'dibangkitkan', Anna berkata dia langsung tidak berasa sakit, jauh berbeza daripada gambaran Nightingale tentang peristiwa itu –"Seorang ahli sihir mendapat kuasanya daripada syaitan, jadi dia sudah dikira tercemar dan dianggap jahat." Tanggapan itu sudah terpahat kuat dalam fkiran semua orang kerana mereka telah melihat ahli sihir menggelupur kesakitan pada Hari Kebangkitan mereka. Jika ada ahli sihir mati semasa Hari Kebangkitan ini, darah mereka akan kering sepenuhnya, tubuh mereka akan mengecut, dan kulit mereka akan terbakar seperti dibakar api neraka, jadi ini mengukuhkan lagi persepsi mereka yang mengatakan ahli sihir mendapat kuasa daripada syaitan.

Tetapi Roland langsung tidak mempercayai perkara itu.

Dia cuba menyelami memori Putera Roland yang asal tetapi gagal menemui sebarang bukti yang menyatakan kewujudan dewa atau syaitan. Memandangkan kuasa itu bukan kurniaan dewa, maknanya ia tidak boleh digunakan sebagai penentu antara kebaikan dan kejahatan. Malah jika dewa wujud pada zaman ini dan mereka sering masuk campur dalam urusan manusia, penganutnya patut dikurniakan kuasa ini selepas mereka memilih agama kepercayaan mereka, dan bukan sebaliknya.

Menurut Nightingale, kuasa sakti terkumpul dalam tubuh ahli sihir. Mungkinkah tubuh itu akan rosak sekiranya kuasa sakti selalu dihalang keluar dari tubuh? Roland semakin yakin dengan teori ini kerana ahli sihir sering diseksa dan ditindas oleh manusia biasa, jadi mereka terpaksa menyembunyikan kebolehan mereka dan berpura-pura hidup seperti manusia normal. Mereka tidak berpeluang menggunakan kuasa sakti mereka sebelum mencecah usia dewasa.

Sudah tentu Roland tidak berfantasi yang istananya sebuah taman kayangan indah. Dia sudah bercakap dengan Anna kerana dia tahu Anna pernah menghadapi kesakitan semasa Hari Kebangkitan sebelum ini. Apa yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini ialah dia telah diberi kebebasan untuk menggunakan kuasa sihirnya setiap hari sejak hari pertama dia menjejakkan kaki di istana ini.

Kata-kata Nightingale sebelum dia pergi tadi menguatkan andaian Roland. Nightingale sering menggunakan kebolehan halimunannya kerana ia tidak disedari oleh manusia biasa, dan dia juga terpaksa berlatih menggunakan kebolehannya. Tambahan pula, kini dia sudah tidak perlu menggunakan kebolehannya secara sembunyi-sembunyi. Mungkin disebabkan itulah azab yang sering dideritai mereka semasa Hari Kebangkitan sudah tidak memberi kesan kepadanya lagi.

Selepas Roland pulang ke istana, dengan serta-merta dia meminta Nana memperbanyakkan latihan. Jika tiada sesiapa tercedera semasa mempertahankan pekan, dia akan berlatih dengan menyembuhkan haiwan-haiwan kecil. Jika teori Roland ini dapat dibuktikan melalui latihan Nana, ia akan memberi kesan hebat ke atas komuniti ahli sihir, kerana "sumpahan syaitan" kini akan berubah kepada "kurniaan Tuhan." Selagi Roland boleh memastikan istananya selamat dan terbuka kepada semua ahli sihir, mereka tentu akan datang berduyun-duyun ke sini.

Apapun, selepas serangan tempoh hari, kini semuanya kembali seperti biasa.

Roland menggesa proses pembuatan Enjin Wap II dipercepatkan kerana ia boleh membantu Anna membiasakan diri dengan kebolehan barunya itu.

Satu lagi bangsal dibina di laman belakang istana sebagai tempat berlindung daripada salji. Roland merasakan lebih selamat untuk membina makmal uji kaji di dalam kawasannya sendiri.

Menurut Nightingale, kebolehan seorang ahli sihir akan bertambah stabil sesudah dia dewasa dan dia mungkin akan mendapat kemahiran baru pula. Roland tidak melihat Anna mengeluarkan sebarang kuasa baru, namun cara gadis itu mengawal apinya sekarang sudah jauh berbeza.

Tidak, Roland rasa sudah kurang tepat untuk memanggilnya sekadar "api" sekarang. Api yang dihasilkan Anna sebelum ini sememangnya tidak dapat difahami manusia biasa, tetapi api hijau yang baru ini seakan-akan langsung tidak mengikut hukum alam semula jadi .

Roland menggelarkannya Nyalaan Hati.

Nama itu dirasakan sesuai kerana api tersebut boleh menyala jauh dari Anna dan dapat berubah bentuk mengikut keinginan Anna, seperti yang dia sedang lakukan sekarang.

Satu nyalaan api hijau berlingkar di atas plat besi sejauh dua meter dari Anna, dan berayun dari kiri ke kanan seolah-olah memberi tabik. Tetapi Roland tahu ia sedang dikawal oleh Anna. Biasanya suhu api itu akan mengikut suhu badan tetapi jika Anna mahu ia menjadi lebih panas, suhunya akan serta-merta meningkat dan bertukar warna daripada hijau cerah kepada hijau gelap. Ia juga boleh membesar menjadi seperti unggun api, dan boleh bergerak perlahan mengikut keinginan Anna.

Namun begitu, ia tidak boleh muncul terlalu jauh dari Anna. Walaupun setelah diuji berkali-kali, Nyalaan Hati tetap akan terpadam jika ia berada sejauh lima meter atau lebih dari Anna.

Satu lagi ciri Nyalaan Hati itu ialah ia boleh dihasilkan dengan banyak oleh Anna, walaupun buat masa sekarang dia masih belajar mengawal dua api secara serentak.

Sejak kebelakangan ini, keadaan di sempadan kekal tenang. Makhluk iblis masih muncul di sebalik tembok kota tetapi tanpa kehadiran makhluk iblis kacukan, sukar untuk mereka menceroboh barisan pertahanan Pekan Sempadan. Seperti yang dikatakan Roland, makhluk iblis lebih pantas dan kuat berbanding haiwan biasa tetapi ia tetap haiwan liar. Makhluk iblis akan diusir ke bahagian tengah tembok kota agar angkatan tentera awam yang berada di sana seramai 100 orang boleh menghapuskan mereka.

Selain pemeriksaan rutin harian, Roland turut menghabiskan banyak masa dalam projek pembinaan.

Roland mengasingkan sebidang tanah di bahagian selatan istana itu dan dia merancang untuk membina rumah yang akan diduduki ahli sihir yang bakal tiba kelak. Sebagai pembiaya projek, dia melantik Karl untuk menjadi jurubina beberapa rumah batu dua tingkat. Reka letaknya mesti luas dan selesa, pintu masuk dan keluar yang senang, sistem pengaliran lancar dan beberapa isu lain perlu dipertimbangkan kerana Roland ingin mewujudkan satu taman perumahan moden.

Malah Roland mempertimbangkan untuk mengagihkan kediaman ahli sihir di kawasan baru dan lama di pekan itu agar mereka boleh menetap bersama rakyat biasa. Selepas dia berfikir lebih panjang, dia membatalkan niat itu. Cara itu mungkin boleh menyemai hubungan baik antara mereka dengan lebih cepat tetapi jika ada sebarang salah faham berlaku, akibatnya nanti mungkin lebih memudaratkan dan tidak boleh dipulihkan lagi. Lagipun buat masa sekarang hanya angkatan tentera awam yang ada pandangan baik terhadap ahli sihir.

Tambahan pula, Roland tidak pasti jika semua ahli sihir yang dibawa Nightingale baik dan tidak berbahaya. Kebanyakan daripada mereka sudah banyak berhadapan pengalaman buruk dengan dunia luar, jadi Roland bimbang kemungkinan mereka banyak menyimpan dendam. Ahli sihir sebaik Anna dan Nana agak sukar untuk ditemui.

Jadi jika semua ahli sihir hidup bersama, lebih baik mereka diletakkan di bawah satu pengurusan berpusat. Undang-undang dan peraturan berkaitan mesti dirangka sebelum ketibaan mereka. Roland tidak ada sesiapa untuk memberi khidmat nasihat tentang perkara ini. Dia tiada pengalaman bekerja di Agensi Keselamatan Negara untuk Kuasa Adiwira dan dia juga bukan ketua pasukan Avengers, bagaimana mungkin dia tahu cara untuk menjaga sekumpulan orang yang punya kuasa ajaib! Dia mesti membuat satu sistem sementara buat masa ini. Ia akan dibuat berdasarkan sistem pengurusan kakitangan yang digunakan dalam bahagian sumber manusia syarikat dan dia akan mengubah suai sistem itu secara beransur-ansur mengikut keperluan nanti.

Ya, Roland sedar rancangan ini penuh dengan kelemahan. Namun dia pelopornya, jadi kepada siapa dia boleh bertanya? Jika dia memilih untuk terus menjadi putera yang konservatif di Pekan Sempadan, mungkin dia boleh mencapai kemajuan perindustrian dalam masa puluhan tahun lagi. Tetapi dia hanya manusia biasa, jangka hayatnya mungkin tidak akan sampai sehingga puluhan tahun!

Jika dia mahu menerajui kemajuan pekan ini dan menjadi pelopor pemodenan, dia mesti bersemangat waja dan berani.

Ketika Roland baru sahaja mahu menulis perancangannya di atas sehelai kertas kulit, Barov membuka pintu biliknya dan berjalan masuk.

Barov menepuk-nepuk salji pada jubahnya dan memberi tabik kepada puteranya itu seraya berkata, "Tuanku, utusan dari Kubu Longsong sudah tiba."


Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Rank -- Power Ranking
    Stone -- Power stone

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C53
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank NO.-- Power Ranking
    Stone -- Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login