Download App
5.19% Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 40: Surat kepada Keluarga

Chapter 40: Surat kepada Keluarga

Editor: EndlessFantasy Translation

Unggun api terbakar marak tetapi kedinginan masih mencucuk Gerald Wimbledon hingga ke tulang.

Khemah itu sangat besar dan dibuat daripada kulit haiwan. Bahagian bawahnya dipasak rapat ke tanah. Sepatutnya tiada udara dingin boleh menyelit masuk ke dalam sini. Namun Gerald masih terasa kesejukan sehingga jari-jari kakinya terasa kebas dan beku.

"Air kencing pun boleh beku di tempat seperti ini," Gerald merungut seraya berdiri dan memegang sebuah meja. Urat-urat tangannya tersembul ketika dia mengangkat meja kayu enam kaki persegi itu dan membawanya ke arah unggun api.

Selepas meletakkan meja itu di sebelah unggun api, barulah Gerald berasa lebih selesa. Dia menanggalkan kasut dan meletakkan kaki di tepi unggun api bagi memanaskan badannya. Kemudian dia membentangkan sehelai kertas kekulit dan menyambung suratnya yang tertangguh tadi.

"Ke hadapan sayangku Olivia,

Sudah sebulan lebih Kanda berada di Hermes, tetapi orang-orang agama di sini lebih suka memanggilnya sebagai 'Kota Suci Baru'. Jika bukan disebabkan Perjanjian di Bulan Kunjungan Iblis, Kanda juga tidak ingin berada di sini. Kanda hanya mahu berada di rumah kita dan lemas dalam pelukan hangat Dinda.

Oleh kerana perjanjian yang dibuat itu, angkatan tentera yang dahulunya mengawasi Gereja Inggeris kini sudah bersekutu dengan mereka pula. Ironik, bukan? Namun begitu, Kanda akui semua pencapaian Gereja Inggeris di sini memang luar biasa. 20 tahun lalu, Hermes hanya gunung terpencil dan kampung-kampung kariah Gereja Inggeris bertaburan di kakinya. Namun kini mereka sudah membina jalan berturap untuk naik ke gunung dan turut membina sebuah kubu yang besar di puncak gunung itu.

Kalaulah sekarang musim panas, Kanda tentu akan membawa Dinda melawat tempat ini. Bandar yang dinamakan Kota Suci Baru ini jauh lebih maju berbanding Graycastle. Masihkah Dinda ingat panggung di Graycastle? Kita pernah berkunjung ke sana untuk menonton pementasan Hamlet. Dinda sangat teruja menontonnya dan turut kagum dengan panggung itu kerana ia begitu luas.

Tetapi jika Dinda melihat Dewan Hal Ehwal Ketenteraan di Kota Suci Baru, panggung di Graycastle itu pun tidak tertanding dengannya. Kanda melihatnya sebagai satu mahakarya seni dan bukan sekadar bangunan. Walaupun dewan itu sangat luas, ia tidak disokong oleh sebatang tiang pun. Sebaliknya, kayu-kayan dan tali jerami diikat pada tulang-tulang melengkung dan membuatkan bumbungnya terapung di udara. Bagaimana mereka boleh terfikir membuat sesuatu seperti itu, ya?

Tentang tulang-temulang itu pula, jika benar ia milik makhluk iblis, maknanya mereka tentu setinggi lebih 33 meter. Hanya di Hermes saja makhluk sebesar itu wujud. Tapi Dinda usah risau. Walaupun makhluk iblis itu sangat besar, mereka hanya hamba suruhan syaitan. Dan Tuhan lebih berkuasa daripada semua makhluk iblis, ahli sihir, mahupun syaitan. Dengan kuasa Tuhan, mereka akan hancur menjadi abu."

Selepas menoktahkan ayat itu, Gerald Wimbledon meletakkan pena dan mengusap tangannya yang lenguh. Pelik, dia tidak rasa penat langsung ketika menghayun pedang seberat 15 paun sepanjang hari, tetapi apabila menulis sekejap sahaja, jarinya sudah rasa kebas. "Saya memang sesuai buat kerja berat saja," fikirnya sambil tersenyum kecil.

"Oh, ya. Bila bercakap tentang iblis, Kanda teringat adik Kanda yang dihantar ke tempat yang agak teruk iaitu Pekan Sempadan. Tentu dia sudah lari ke Kubu Longsong walaupun makhluk iblis di kota itu tidak sedahsyat makhluk iblis di Hermes. Kanda tidak salahkan dia. Kalau Kanda dihantar ke tempat tandus begitu, Kanda juga pasti sudah lama lari. Ini membuktikan betapa tidak adilnya Ayahanda. Mungkin ayahanda fikir adik kedua Kanda akan mewarisi takhta dengan kepintarannya. Tapi ayahanda lupa baginda sendiri tidak mewarisi takhta itu dengan kepintaran. Sejak kematian Bonda, Kanda sudah tidak boleh memahami cara pemikiran ayahanda lagi."

Gerald berhenti menulis. Dia tidak tahu sama ada mahu memberitahu perkara sebenar kepada Olivia atau tidak. Dia berfikir sebentar sebelum menyambung surat itu. Jika rancangan ini berjalan lancar, dia patut sudah tiba di Istana Graycastle apabila surat ini sampai ke tangan kekasihnya itu.

"Dinda, benar kata Tukang Nujum Ansger. Jika Kanda tidak melakukan apa-apa, takhta itu tidak akan menjadi milik Kanda. Dia sudah membuat ramalam berdasarkan bintang. Bintang Kiamat sedang bergerak menjauhi matahari. Ia akan terpesong daripada orbitnya lebih kurang empat bulan lagi. Menurut Tukang Nujum Ansger, Kanda sudah tiada banyak masa lagi. Kanda tidak boleh terus berdiam diri.

Selepas pertarungan hari ini, Kanda akan senyap-senyap pulang ke bandar diraja dengan kesateria Kanda yang setia. Rabung Bayu Dingin memang tidak semewah Valencia. Tetapi ia penuh dengan perwira gagah berani. Asalkan dijanjikan emas permata, mereka akan sanggup mengikut apa sahaja arahan. Tetapi bukan itu rancangan sebenar Kanda. Kanda hanya mahu bertemu ayahanda dan bertanya tentang sebab sebenar baginda mengeluarkan Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta. Apa yang membuat ayahanda lupa Kanda yang sepatutnya mewarisi takhta baginda?

Tukang Nujum Ansger sudah mengatur segalanya. Olivia, buah hati kesayangan Kanda, Dinda tidak perlu menunggu lebih lama lagi. Pada hari Kanda ditabalkan menjadi raja, Kanda akan mengahwini Dinda dan menjadikan Dinda permaisuri kerajaan ini. Tetapi jika Kanda gagal… Dinda tidak perlu kembali ke kota diraja, dan hiduplah dengan bahagia di Rabung Bayu Dingin.

Yang mencintaimu,

Gerald."

Gerald memasukkan surat itu ke dalam sekeping sampul dan melekatkannya dengan minyak lilin. Selepas memeriksanya beberapa kali, dia mengetuk meja dan seorang pengawal masuk ke khemahnya.

"Hantarkan surat ini kepada Rose di Bayu Dingin. Awak tak perlu berjalan tanpa henti dan tak perlu menunggang kuda. Awak mesti berpakaian seperti seorang pengembara biasa dan berpura-pura hendak pergi berdagang. Paling penting, awak mesti serahkan surat ini ke tangan Rose sendiri."

"Perintah dijunjung, Tuanku!"

"Bagus. Awak boleh pergi," Gerald melihat pengawal itu keluar dan kemudian duduk semula di meja sambil meletakkan kakinya di hadapan unggun api itu.

Sekarang dia sudah tidak boleh berpatah balik lagi.

Gerald memejamkan mata dan mengenang kembali zaman kecilnya dahulu. Dia sedang bermain sorok-sorok di taman istana bersama Timothy dan Garcia. Apabila Garcia terjatuh, dia dan Timothy cepat-cepat memujuknya. Entah sejak bila hubungan mereka tiga beradik menjadi sedingin dan sejauh ini.

Gerald menggelengkan kepalanya, cuba membuang kenangan yang mengelirukan itu. Dia tiada masa untuk perkara sentimental sebegini. Lagipun dia tahu apabila dia berjaya menduduki takhta Graycastle, semua kekeliruan ini akan terhapus.

Tiba-tiba, bunyi semboyan bergema kuat dari luar khemah Gerald.

"Waaawaaawaaa—!"

"Mereka sudah tiba!" Mendengar teriakan itu, Gerald terus bangun dari kerusinya dan segera menyarungkan kasut. Di luar khemah, angkatan tenteranya sudah mula bergerak. Semua askar sedang berlari dan pembawa panji lalu membentuk satu gelombang menuju ke medan perang. Bunyi gegak-gempita itu dipantulkan dari satu puncak gunung ke puncak gunung lain.

Gerombolan makhluk iblis sudah tiba.

"Semua ikut Beta!" Gerald menaiki kuda perangnya dan memecut ke atas tembok kota.

Sesiapa sahaja yang berdiri di atas tembok Kota Suci Baru itu akan dapat melihat betapa hebatnya pembinaan tembok itu. Ia seperti parit lebar semula jadi yang mustahil boleh didaki, tersergam di kaki Banjaran Puncak Langit. Bahagian atasnya landai dan sangat lebar hingga boleh memuatkan belasan orang berdiri sebelah-menyebelah. Di hadapannya tersergam bongkah ais semula jadi manakala di belakangnya terdapat sebuah dataran tinggi.

Sebab itulah Gereja Inggeris begitu bersungguh-sungguh mahu membina Kota Suci Baru di puncak gunung itu.

Dengan bentuk muka bumi yang unik ini, barisan pertahanan mereka mustahil boleh ditembusi.

Gerald Wimbledon mempunyai wawasan jangka masa panjang. Penubuhan Hermes sudah membuktikan kemampuan sebenar Gereja Inggeris yang luar biasa. Sebuah perkampungan yang sangat maju dibina dalam masa 20 tahun sahaja dengan mengambil kayu balak dan batu-batuan dari kaki gunung hinggalah ke puncaknya.

Walaupun Gerald sudah tidak begitu membenci orang-orang agama lagi, dia mesti mengakui sesuatu. Jika mereka tidak memberi bantuan pertahanan kepada Hermes, semua negara di benua itu akan menghadapi bencana. Atas dasar inilah semua negara bersetuju menandatangani Perjanjian bagi Bulan Kunjungan Iblis.

Apabila Bulan Kunjungan Iblis tiba, empat kerajaan yang berada di sempadan Hermes mesti menghantar angkatan tentera bagi membantu Gereja Inggeris dan berlawan bersama-sama angkatan Perajurit Agama.

Panji-panji keempat-empat negara berkibaran ditiup angin kencang. Lambang alam dan ular Kerajaan Dawn, perisai dan pedang bersilang Kerajaan Wolfheart, mawar ais Kerajaan Everwinter…

…serta lambang menara dan lembing Kerajaan Graycastle.

Gerald Wimbledon menggenggam pedangnya dengan kuat sambil merenung tompok-tompok hitam di kejauhan yang semakin membesar.


Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Rank -- Power Ranking
    Stone -- Power stone

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C40
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank NO.-- Power Ranking
    Stone -- Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login