Download App
0.51% Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 4: Api

Chapter 4: Api

Editor: EndlessFantasy Translation

"Boleh awak ceritakan apa yang terjadi semasa lombong itu runtuh?" tanya Roland.

Anna mengangguk lalu membuka mulut untuk mula bercerita.

Roland terkejut kerana dia mengandaikan gadis itu tentu akan membisu atau mula menyumpah-seranahnya, tetapi sebaliknya dia menjawab semua soalan Roland dengan suka rela.

Ceritanya ringkas sahaja. Ayah Anna seorang pelombong dan sedang bertugas semasa lombong itu runtuh. Sebaik sahaja ahli keluarga para pelombong di situ mendapat tahu tentang kejadian itu, mereka termasuk Anna terus meluru ke tempat kejadian untuk menyelamatkan orang yang mereka sayangi. Kawasan Lombong Cerun Utara itu pula dikhabarkan sebagai sarang raksasa yang sudah lama ditinggalkan dengan banyak terowong yang saling berselirat ke semua arah. Memandangkan para penyelamat bertindak tanpa sebarang arahan mana-mana ketua, mereka berpecah di pintu masuk lombong itu dan hanya jiran Anna, Susan dan Ansgar yang ada bersama Anna semasa dia menemui ayahnya.

Kaki ayah Anna dihempap kereta sorong yang penuh berisi bijih lalu membuatkan dia tidak mampu bergerak tetapi di sebelahnya, ada seorang pelombong lain yang mengambil kesempatan untuk mencuri duit di dalam sakunya. Bila pencuri itu ternampak mereka bertiga, dia menerkam Ansgar sambil menghunus sebilah cangkuk korek sehingga Ansgar terjatuh, tetapi sebelum sempat pencuri itu menghayunkan cangkulnya, Anna membunuh dia terlebih dahulu.

Jiran-jiran Anna bersumpah akan merahsiakan perbuatannya dan membantu dia menyelamatkan ayahnya. Namun begitu, pada keesokan paginya, ayah Anna keluar terdengkot-dengkot dengan topangnya untuk berjumpa pengawal peronda dan melaporkan pada mereka yang anak perempuannya ialah seorang ahli sihir.

"Kenapa?" Roland tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya.

Barov mengeluh kecil lalu menjawab, "Mungkin dia mahukan ganjaran. Sesiapa yang menemui dan melaporkan seorang ahli sihir akan diberi ganjaran 25 keping emas. Ayahnya sudah menjadi cacat seumur hidup, jadi 25 keping emas itu sudah cukup untuk menyara dia sepanjang hayat."

Selepas terdiam sebentar, Roland bertanya lagi, "Macam mana awak boleh bunuh seorang lelaki dewasa yang lebih kuat daripada awak?"

Anna tertawa, dan nyalaan api jamung di dinding penjara itu mula menari-nari pantas ibarat riak permukaan air di sebuah tasik.

"Ia seperti yang awak sangka. Saya menggunakan kuasa syaitan," kata Anna.

"Tutup mulut awak! Perempuan sihir terkutuk!" warden penjara itu menengking Anna, tetapi semua orang boleh mendengar ketar pada suaranya.

"Betul? Beta mahu lihat sendiri," kata Putera Roland tanpa sedikit pun rasa takut.

"Tuanku! Ini bukan perkara main-main!" bentak Ketua Kesateria dengan wajah yang gelisah.

Roland melangkah ke hadapan dari belakang Ketua Kesateria itu dan mula berjalan mendekati pintu penjara itu. "Jika ada sesiapa yang takut dengan dia, saya tidak akan paksa mereka terus berada di sini."

"Jangan risau, dia sudah dikunci dengan Kalung Keramat Tuhan!" jerit Barov untuk menyenangkan hati semua orang, tetapi mungkin dia hanya mahu memujuk dirinya sendiri. "Tidak kira betapa kuatpun dia, dia masih tidak akan mampu melawan kuasa perlindungan Tuhan."

Roland berdiri di hadapan palang bilik penjara itu sejauh sedepa sahaja daripada Anna dan pada jarak ini, dia dapat melihat jelas wajah gadis itu yang berdebu dan penuh lebam-lebam. Raut mukanya lembut dan menunjukkan usianya yang masih muda namun tidak ada sedikit pun rupa keanak-anakan pada wajahnya. Malah tidak ada riak kemarahan pada muka Anna dan ia memberi Roland perasaan kurang senang seperti wajah kanak-kanak yang dia pernah lihat dalam TV. Kanak-kanak yatim piatu yang kononnya hidup dalam kemiskinan dan kelaparan, tetapi ada sesuatu yang berbeza. Semua kanak-kanak itu selalunya terbongkok-bongkok lesu dan tidak bermaya di hadapan kamera, jauh berbeza daripada keadaan Anna sekarang.

Sehingga sekarang pun dia masih cuba berdiri tegak dengan matanya memandang tepat ke muka putera itu. "Dia tidak takut mati," Roland tersedar tiba-tiba, "Dan dia memang menanti kematian."

"Adakah ini kali pertama Tuanku melihat seorang ahli sihir? Hati-hati, jangan sampai keinginan Tuanku itu memakan diri pula," ujar Anna.

"Kalau awak betul-betul ada kuasa syaitan, awak sudah boleh membunuh dengan sekilas pandangan mata awak," cabar Roland kembali. "Jika itu benar, bukan saya yang patut takut dengan awak, tapi ayah awak."

Tiba-tiba api jamung penjara itu menjadi malap, dan ia bukan ilusi semata kerana semua orang dapat melihat nyalaannya menjadi semakin kecil. Roland dapat mendengar orang-orang di belakangnya mula terkumat-kamit berdoa dan bernafas laju, dan sebahagian mereka saling tersadung ketika cuba melarikan diri.

Jantung Roland berdegup kencang dan dia merasakan seolah-olah dia berada di sempadan antara dua alam. Antara alam realiti yang logik dan berjalan mengikut hukum-hukum sains yang dia pernah pelajari serta alam baru yang berbeza sama sekali, penuh dengan misteri dan perkara-perkara ghaib. Kini dia sedang berdiri di hadapan alam misteri ini.

"Jadi benda di lehernya itu Kalung Keramat Tuhan? Ia nampak macam kalung biasa-biasa saja," fikir Roland. Kalung itu hanya seutas rantai besi merah yang memegang loket lutcahaya yang bersinar, dan nampak begitu mudah untuk dimusnahkan jika ahli sihir itu tidak bergari.

Roland mencuri pandang orang-orang di belakangnya, yang masih membaca segala jenis doa dengan penuh cemas. Dia menolehkan kepalanya kembali, menjulurkan tangannya antara palang besi penjara itu, meragut kalung itu dan merentapnya dari leher Anna sehingga rantai itu terputus. Anna turut terkejut, dia sendiri tidak menyangka putera itu akan bertindak sebegitu.

"Ayuh," bisik Roland.

'Adakah awak seorang penipu, seorang ahli alkimia, atau benar-benar seorang ahli sihir? Kalau awak mula keluarkan segala botol dan balang dan mula mengadun-adun asid, saya akan rasa kecewa dengan awak,' fikir Roland dalam hati.

Kemudian Roland terdengar bunyi seperti air menggelegak, bunyi air yang dipanaskan sehingga bertukar menjadi wap. Persekitaran mereka mula menjadi lebih panas, dan air lumpur di lantai yang mereka sedang pijak mula berbuih-buih.

Roland dapat melihat api mula menyala marak dari kaki Anna, dan tanah yang dia pijak mula terbakar. Api jamung yang tergantung di dinding belakang mereka mula mengaum-ngaum seolah-olah diberikan bekalan oksigen yang banyak, lalu menyala dengan sangat cerah. Kini seluruh penjara itu terang-benderang seperti hari siang dan menyebabkan semua orang yang ada pada masa itu berteriak ketakutan.

Ahli sihir itu mula melangkah dan api yang mengelilinginya turut bergerak mengiringi. Apabila dia mendekati pintu bilik kurungannya, palang-palang yang memenjarakan dia mula dijilat api.

Roland berundur tanpa sedar menjauhi api yang panas melampau itu. Dalam sekelip mata, dia terasa seolah-olah sedang berada pada musim panas, tetapi kepanasan ini hanya berpunca daripada satu tempat sahaja dan bukan kerana terik matahari yang menyelubungi bumi. Bahagian hadapan tubuhnya terasa bahang api yang membakar itu tetapi bahagian belakangnya masih terasa sejuk. Peluh dingin mengalir membasahi belakang Roland.

"Jadi betullah dia tidak takut api," fikir Roland.

Roland teringat pada kata-kata Pembantu Menterinya. Sekarang baru dia faham maksudnya.

Jika dia sendiri ialah api, mana mungkin dia takut pada dirinya sendiri?

Kemudian, palang besi penjara itu mula bertukar warna daripada merah menjadi kuning dan mula mencair. Maknanya suhunya kini sudah mencecah lebih 1500 darjah Celsius, dan Roland tahu memang mustahil untuk menghadapi suhu setinggi itu tanpa sebarang lapisan perlindungan. Jadi dia mengikuti jejak langkah orang lain dan berundur selangkah demi selangkah sehingga dia merapatkan diri pada dinding yang paling jauh daripada kurungan itu.

Jika dia masih kekal di tempat tadi, api itu tentu sudah dapat menyambar dan membakar jubahnya – malah baju Anna sendiri sudah hangus menjadi abu dan tubuh Anna kini dibaluti bebola api.

Selepas entah berapa lama, barulah api itu terpadam.

Apa yang tinggal hanyalah beberapa jamung yang kembali menyala perlahan di dinding penjara itu seolah-olah tiada apapun yang terjadi, tetapi pakaian Anna yang hangus, udara yang masih berbahang, dan palang besi kurungan Anna yang sudah cair membuktikan kejadian tadi bukan khayalan semata-mata.

Selain Roland dan Ketua Kesateria, orang-orang lain sudah tersungkur ke tanah, malah warden penjara itu begitu takut sehingga tidak mampu menahan dirinya daripada terkencing. Kini Anna berdiri tanpa seurat benang di luar bilik penjaranya dan gari di tangannya sudah hilang entah ke mana. Dia langsung tidak cuba menutup tubuhnya yang telanjang itu, tangannya kekal di sisinya dan matanya yang biru masih kelihatan tenang seperti tadi.

"Sekarang Tuanku sudah lihat sendiri siapa diri saya yang sebenarnya," kata Anna, "jadi sekarang boleh Tuanku bunuh sahaja saya?"

"Tidak," Roland melangkah ke hadapan, membuka jubahnya lalu menyarungkannya ke tubuh Anna, seraya berkata dengan nada yang masih sedikit menggeletar, "Cik Anna, Beta ada tugas untuk awak."


Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Rank -- Power Ranking
    Stone -- Power stone

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C4
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank NO.-- Power Ranking
    Stone -- Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login