Pada wajah kacak Xiao Yue, anak matanya yang hitam legam itu nampak seperti bintang berkerlipan di waktu malam. Ia nampak megah dan mempesonakan sambil matanya memandang ke arah Ji Chengxue.
Ji Chengxue terperanjat mendengar kata-kata Xiao Yue. Keningnya yang tampan itu berkerut rapat. Dia menghela nafas panjang dan menghembus udara panas yang menerbangkan emping-emping salji yang sedang turun.
"Apa maksud kata-kata kamu?" Ji Chengxue bertanya dengan nada yang lebih dingin daripada sebelum ini.
Dia memang tak pernah faham kenapa Xiao Yue sanggup mencederakan ibunya sendiri, Ji Ru'Er. Walaupun Xiao Yue sudah mendalami seni pedang sebelum insiden itu berlaku, dia langsung tak menunjukkan gaya yang dia akan tersasar jauh...
Bila Xiao Yue menikam ibunya dengan tikaman pedang itu tiga tahun lalu, insiden itu lebih mengejutkan berbanding semasa Xiao Yue beralih arah dan menyertai Astaka Pedang Void.
Ada masanya, Ji Chengxue berasa berang kerana Ji Ru'Er ialah kakak kandungnya dan saudaranya yang paling rapat dalam istana diraja. Ji Ru'Er sentiasa boleh diharap dan menjadi tempat dia mengadu apabila dia berasa sedih.
Pada masa itu, bila Ji Ru'Er hendak berkahwin, dia menekan pedangnya ke dada Xiao Meng dan menyuruhnya bersumpah. Walaupun perlakuannya nampak kebudak-budakan, jelas yang Ji Chengxue begitu kasihkan kakaknya.
Selepas ibunya meninggal dunia, Ji Ru'Er telah menjadi orang yang paling disayangi Ji Chengxue.
Tiga tahun lalu, bila Ji Chengxue dapat tahu yang Ji Ru'Er telah koma selepas dicederakan Xiao Yue, dia mencari Xiao Yue dengan pedangnya sepanjang malam untuk membunuhnya. Walaupun di tak berjaya berbuat sedemikian, itulah bukti kasih sayangnya terhadap kakaknya itu.
Semasa ekspedisi terakhir menentang sekta di luar sempadan, Xiao Yue merupakan orang yang datang melawat Ji Chengxue. Pada satu ketika yang sangat bahaya, dia telah menyelamatkan nyawa Ji Chengxue.
Inilah sebabnya kenapa Ji Chengxue berasa hairan dan perlukan penjelasan Xiao Yue.
"Bapa saudaraku, mungkin apa yang patik hendak jelaskan ini sukar untuk dipercayai. Tapi, bagaimana kalau patik beritahu yang ibu patik telah buat segalanya demi Tuan Putera dan keluarga Xiao?" Xiao Yue mengeluh perlahan. Matanya memandang ke bawah dan dia nampak sedang bersedih.
"Tahap pertapa ayah patik iaitu seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh sememangnya tak dapat ditandingi dalam bandar diraja ini. Kalau betul dia nak bunuh patik, patik tak akan mampu menghalangnya… Namun, patik masih ada di sini. Tuan Putera tahu tak kenapa?" Xiao Yue berkata. Pada masa itu, dia bertarung dengan Xiao Meng dari Restoran Kecil Fang Fang ke bandar diraja. Ada banyak peluang untuk Xiao Meng membunuhnya, tapi dia tidak berbuat demikian sehingga ke akhirnya.
Xiao Yue mengerti yang ayahnya sudah pasti telah mendapat tahu tentang sesuatu.
Mata Ji Chengxue mengecil sedikit sambil dia menyuruh Xiao Yue meneruskan kata-katanya. Mungkin, inilah masanya untuk dia meleraikan rasa sangsinya.
Namun, Xiao Yue tidak bercakap banyak dan tidak memberi penerangan yang jelas kepada Ji Chengxue. Dia menoleh ke arah Ji Chengxue dan berkata, "Ibu selalu berharap yang ayah akan menyokong Tuan Putera. Selepas kemangkatan Baginda Maharaja, dia berharap yang Tuan Putera akan naik takhta."
"Sayangnya, ayah tak bersetuju. Dia tak mahu menyokong mana-mana putera kerana dia hanya taat kepada maharaja sebenar. Ibu mengatakan yang ayah terlalu jujur… dan dia mungkin menyebabkan malapetaka menimpa keluarga Xiao."
Mata Ji Chengxue mengecil sambil dia memandang Xiao Yue dengan penuh makna. Dia mendapati yang air muka Xiao Yue masih suram.
"Apa kaitannya semua ini dengan perbuatan kamu menikam jantung ibu kamu? Apa yang kamu cuba nak beritahu Beta?" Pandangan Ji Chengxue tajam seperti pedang sambil dia memaksa Xiao Yue menjelaskannya.
Xiao Yue menoleh dan berkata, "Ibu hanya mahu membantu Tuan Putera dan melindungi keluarga Xiao... Tuan Putera patut faham maksud kata-kata '
"Seperti yang dijangka, kekanda Beta memang sangat bijak. Dia begitu memahami situasi ini. Jadi, dialah yang menyuruh kamu mencederakannya supaya kamu mendalami seni pedang. Kemudian kamu telah memberontak melawan empayar dan menyertai Astaka Pedang Void? Apa matlamatnya?" Ji Chengxue bertanya.
"Dia mahu patik sokong Tuan Putera sebagai wakil keluarga Xiao," Xiao Yue berkata dengan tenang. Fikirannya sekarang begitu buntu.
"Tak masuk akal… Apa yang dia tahu?! Adakah dia rasa dia perlu mengorbankan dirinya? Berani dia buat keputusan sebegitu tanpa berbincang dengan Beta! Dia tak pernah terfikir ke perkara ini akan membuatkan Beta susah hati? Dan kamu, kenapa kamu berkomplot dengan dia?"
Buat pertama kalinya, Ji Chengxue hilang budi pekertinya dan menjadi terlalu beremosi. Matanya merah sambil dia memarahi Xiao Yue dan menuding jari ke arahnya. Selepas beberapa ketika, dia akhirnya kepenatan.
"Disebabkan ayahanda sudah mangkat kerana penyakitnya, kamu nak sokong Beta menjadi maharaja seterusnya? Beta tak setanding kekanda-kekanda Beta dan kamu pula tak dapat mewakili seluruh keluarga Xiao… Bagaimana Beta nak bersaing dengan mereka? Apa yang dia telah lakukan ialah menyiksa dirinya sahaja." Ji Chengxue mengeluh.
Selama ini, dia merasakan yang cita-cita Xiao Yue telah menyebabkan Ji Ru'Er koma. Dia tak sangka semua ini sebahagian daripada rancangan kakaknya untuk mendapatkan dia menjadi maharaja seterusnya.
Bila dia teringat zaman kanak-kanaknya dan pandangan manis kakaknya bila dia bersedih, keinginan Ji Chengxue untuk bersaing dengan abang-abangnya menjadi semakin kuat. Dia melakukannya bukan untuk sebab lain melainkan demi niat baik kakaknya.
...
Waktu malam musim sejuk tiba dengan begitu cepat dan salji pun telah berhenti turun. Di langit malam yang penuh bintang, dua bulan sabit bertembung dan memancarkan cahaya yang menawan.
Waktu restoran beroperasi sudah tamat dan Bu Fang telah memasang palang pada pintu. Si Hitam, yang sedang berbaring di pintu masuk, menguap dengan luas dan menggumam sendiri sebelum menyambung tidur.
Bu Fang melirikkan mata ke arah Si Hitam dan tersengih. Anjing malas ini sememangnya kekal malas.
Tiba-tiba, bunyi tapak kaki kedengaran dari lorong dan satu kelibat muncul dari kegelapan.
Bu Fang mengecam susuk tubuh itu dan memandangnya kehairanan. Dia berasa pelik kenapa orang ini datang ke restoran pada waktu sebegini.
"Tauke Bu, kamu dah tutup kedai untuk hari ini?" Xiao Yue bertanya dengan suara garau sambil tersenyum kecil ke arah Bu Fang.
Bu Fang memandangnya sekilas tanpa ekspresi sambil membalas, "Waktu perniagaan sudah tamat jadi saya tutuplah kedai."
Xiao Yue mengangguk. Tiba-tiba, dengan satu pancaran cahaya, muncul satu kotak kayu cendana di tangannya. Bahagian luar kotak itu cantik berhias dan satu bau berubat meresap keluar dari bahagian dalamnya.
Xiao Yue memandang Bu Fang dengan serius dan berkata, "Tauke Bu, saya… ada sedikit permintaan. Kesan masakan eliksir, Sup Ayam Herba Sej kamu, sangat menakjubkan. Adakah kamu mampu memasak masakan eliksir lain juga?"
"Asalkan bahan-bahannya disediakan, saya boleh masak." Bu Fang membalas dengan yakin sambil memandang Xiao Yue dengan penuh tanda tanya. Adakah dia hendak minta Bu Fang sediakan masakan eliksir?
"Ini herba semangat Orkid Jantung Ametis kelas keenam dan binatang semangat laut kelas kelima iaitu Abalone Semangat Langit. Saya harap Tauke Bu boleh gunakan ramuan ini untuk menyediakan masakan eliksir… Saya sanggup bayar seberapa banyak jumlah sebagai ganjaran." Xiao Yue berkata dengan bersungguh-sungguh sambil dia memandang Bu Fang penuh berharap.
Bu Fang mengangkat keningnya sambil dia memandang abalone yang bersaiz dua tapak tangan dan menarik nafas terkejut. Dia tak sangka Xiao Yue boleh mendapatkan ramuan yang begitu susah untuk diperolehi.
Bu Fang dapat merasai pandangan ikhlas di mata Xiao Yue. Walaupun dia tak tahu apa yang Xiao Yue ingin lakukan dengan masakan eliksir itu, dia tahu daripada bahan-bahan itu yang dia ingin menyelamatkan seseorang.
Bu Fang tidak menolak. Dia mengangguk sambil menerima bahan-bahan itu. Selepas menyimpannya di dalam ruang simpanan sistem, dia berkata, "Disebabkan kamu hanya membawa satu bahagian untuk setiap ramuan ini, saya tak boleh menjanjikan apa-apa. Kalau saya gagal… saya tak akan ambil bayaran."
Xiao Yue terperanjat seketika dan kemudian dia mengangguk. Dia faham yang menyediakan masakan eliksir sangat sukar, jadi dia tak minta sebarang jaminan. Namun, ramuan-ramuan itu sangat sukar dicari jadi dia hanya mampu menyediakan satu bahagian.
"Kalau begitu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tauke Bu terlebih dahulu. Kalau kamu berjaya, bila saya boleh datang ambil masakan eliksir itu?" Xiao Yue bertanya.
Disebabkan Bu Fang sudah mengambil bahan-bahan itu, dia tak bercakap banyak. Selepas meletakkan palang pintu terakhir, suaranya kedengaran dari belakang pintu, "Kalau tak ada apa-apa kemalangan, datang semula dalam masa tiga hari."
Xiao Yue mengangguk, berpusing dan beredar.
Hanya tinggal tiga hari sahaja sebelum maharaja dimakamkan...
...