"Memang meriah! Seperti yang diharapkan daripada bandar diraja Empayar Bayu. Tempat ini lagi meriah daripada sekta kita yang buruk tu." Ni Yan menggumam pada dirinya sendiri apabila dia meneliti persekitarannya. Badan langsingnya tersembunyi di bawah jubah yang longgar ketika dia berjalan perlahan-lahan di Jalan Panjang yang terletak di bandar diraja.
Penjaja dan peniaga kecil menjual pelbagai barangan di tepi jalan pada awal pagi di musim sejuk. Suasana di situ memang riuh-rendah. Salji yang turun dari langit pun tidak dihiraukan oleh para penjual.
Tang Yin dan Lu Xiaoxiao berjalan rapat di belakang Ni Yan kerana mereka takut Ni Yan akan hilang di celah-celah orang ramai. Semuanya elok-elok sahaja tentang mahaguru
"Xiaoyinyin, kamu patut buka gerai di plaza sekta kita nanti. Kamu mungkin dapat buat duit lebih. Kamu pun mungkin boleh meriahkan lagi sekta kita. Biasanya, saya tak nampak sesiapa pun bila saya keluar dari bilik saya. Memalukan." Ni Yang berkata kepada Tang Yin yang berada di belakangnya.
Tang Yin memaksa dirinya untuk ketawa. Mengapa Maharaja Pertempuran Kelas Keenam seperti dia perlu membuka gerai di plaza sekta mereka yang tiada pengunjung itu... Dia bukan seorang yang bodoh.
"Lagi satu, apa nama restoran milik senior kamu tu?" Ni Yan menelengkan kepalanya. Sebahagian daripada muka cantiknya yang tersembunyi di bawah velnya terdedah.
Tang Yin baru hendak membalasnya, tapi sebelum dia boleh berkata apa-apa, Ni Yan mencelahnya. "Oh, memandangkan dia seorang yang sombong dan tahap pertapanya juga tinggi, restorannya mestilah restoran yang paling terkenal di bandar diraja..."
Tang Yin melihat Ni Yan dengan bingung apabila Ni Yan berjalan ke arah seorang wanita pertengahan umur yang sedang menjual sayur-sayuran untuk bertanya restoran manakah yang paling terkenal di bandar diraja itu.
"Restoran paling terkenal di bandar diraja? Semestinya Restoran Phoenix Abadi." Wanita pertengahan umur itu menjawab dengan telor yang pekat.
Restoran Phoenix Abadi? Ni Yan mengangguk. Selepas mengucapkan terima kasih kepada wanita pertengahan umur itu, dia terus berjalan ke hadapan. Tang Yin dan Lu Xiaoxiao merenung jauh ke dalam mata satu sama lain dengan rasa bingung. Akhirnya, Tang Yin membuka mulutnya dan berkata, "Mahaguru, nama restoran yang disebutkan oleh senior tu adalah... Restoran Fang Fang."
"Restoran Fang Fang? Lebih elok kalau dia namakannya
Walaupun Ni Yan merupakan ketua ketiga daripada Sekta Cakerawala Rahsia, dia berbeza daripada ketua-ketua lain yang mempelajari astrologi dan peramalan. Sebaliknya, dia mempelajari seni masak-memasak secara sepenuhnya. Dia suka memasak menggunakan daging binatang semangat dan mengkaji sajian-sajian baru. Tapi, apa yang paling penting ialah dia seorang pelahap.
Dia terlalu gila akan makanan.
Fikiran Tang Yin menjadi kacau apabila dia melihat mahagurunya berjalan dengan angkuh di hadapannya. Mahaguru mereka memang tidak boleh mengawal dirinya setiap kali mereka bercerita tentang makanan. Nampaknya Restoran Phoenix Abadi akan menderita sebentar lagi.
Walaupun mahaguru mereka suka makan, minatnya itu membuatkan dia menjadi lebih cerewet.
Mereka bertiga pun tiba di Restoran Phoenix Abadi. Restoran yang dihias dengan cantik itu masih penuh dengan pelanggan. Pelanggan-pelanggan tetap restoran itu asyik datang dan pergi dan operasi perniagaan berjalan seperti biasa.
Walaupun salah seorang cef Restoran Phoenix Abadi telah ditewaskan oleh pemilik restoran yang tak berhati perut itu dalam perlawanan teknik pemotongan, ia tidak menghalang pelanggan-pelanggan daripada makan di sini.
"Ya Tuhan, adakah ini kali pertama kamu datang ke sini? Sila masuk."
Sebaik sahaja Ni Yan dan pengikut-pengikutnya melangkah masuk ke dalam restoran itu, Kak Chun yang cantik dan berumur pertengahan tahun itu berjalan ke arah mereka sambil mengayunkan pinggulnya.
Apabila Ni Yan melirik matanya ke arah Kak Chun sekali lalu, matanya terus memandang ke arah lain. Ini menyebabkan Kak Chun berasa sangat malu.
Selepas Tang Yin berjalan ke arah Kak Chun untuk berbual dengannya, Kak Chun dengan gembiranya membawa mereka bertiga ke sebuah meja kosong di tingkat satu.
Apabila Ni Yan duduk di atas kerusi, jubah panjangnya terangkat sedikit dan kakinya yang putih melepak terdedah. Kemudian, keningnya berkerut ketika dia membuat satu garisan di atas meja dengan jarinya dan dia memberikan penilaiannya dengan sedih, "Kebersihan di sini sangat teruk dan ia menyebabkan selera makan saya hilang. Saya berikan markah yang rendah."
Mata Kak Chun terbeliak dan dadanya kempas-kempis... Mengapa dia rasa yang dia pernah dengar kata-kata ini?
"Bawakan saya semua sajian terbaik di tingkat satu!" Ni Yan berkata kepada Kak Chun selepas dia habis membuat penilaian kebersihan restoran itu.
Kak Chun merasa lebih terkesan dengan apa yang diperkatakan Ni Yan tadi. Dia teringat kepada kata-kata sama yang diujar kepadanya oleh seorang lelaki muda sebelum ini. Lelaki muda tampan yang selalu tiada ekspresi itu...
Ya Tuhan, adakah wanita ini berada di sini untuk mencari salah juga?
Kak Chun betul-betul takut dengan Bu Fang pada hari itu.
Walau bagaimanapun, memandangkan Bu Fang seorang pelanggan pada hari itu... dia terpaksa menerima segala permintaannya. Oleh itu, dia pun menyuruh seseorang untuk memasak sajian untuk Ni Yan.
Semasa sajian sedang disediakan, Kak Chun menceritakan peraturan dan susun atur Restoran Phoenix Abadi kepada Ni Yan.
"Jadi, kamu kata restoran ni ada tiga tingkat dan tingkat satu ialah tingkat yang paling teruk?" Ni Yan bertanya. Apabila Kak Chun mengangguk, Ni Yan berhenti bercakap dan hanya menjawab, "Oh."
Setelah menunggu seketika, sajian pertama pun tiba. Seorang pelayan dengan sehelai tuala putih di atas bahunya datang ke arah mereka dan meletakkan sepinggan Kepala Singa Masak Merah di hadapan Ni Yan.
Ni Yan menanggalkan velnya dan wajahnya yang sangat cantik terdedah kepada Kak Chun dan pelayan itu. Kecantikannya boleh membuatkan seseorang lupa untuk bernafas.
Pelayan itu terkejut. Matanya hampir terkeluar daripada soketnya... Ni Yan terlalu cantik! Kecantikannya setanding dengan wanita tercantik di bandar diraja, iaitu Xiao Yanyu!
Walau bagaimanapun, setelah dia menggigit sedikit bebola Kepala Singa Masak Merah itu, Ni Yan mengerutkan dahinya. Dia terus menyenaraikan semua kelemahan Kepala Singa Masak Merah itu dengan pantas sekali. Pelayan dan Kak Chun menjadi bingung apabila mereka mendengar kritikan Ni Yan itu.
Tindakan Ni Yan itu mengingatkan mereka tentang lelaki muda yang memberikan kritikan pedas terhadap Restoran Phoenix Abadi pada hari itu...
Walaupun ada sedikit perubahan yang dilakukan kepada Kepala Singa Masak Merah dengan mengikut penilaian Bu Fang, Restoran Phoenix Abadi tidak begitu menghiraukan sajian itu kerana ia merupakan sajian tingkat satu sahaja. Akibatnya, sajian itu dikritik teruk oleh Ni Yan.
Sajian lain juga mengalami nasib yang sama. Walaupun penampilan Ni Yan sangat cantik, mulutnya sangat pedas apabila dia mengkritik sajian-sajian restoran itu. Dia jauh lebih kejam daripada Bu Fang.
Kak Chun berasa sangat marah selepas mendengar kritikannya dan Ni Yan merancang untuk naik ke tingkat dua selepas habis makan sajian di tingkat satu.
Memandangkan Tang Yin ada wang, Kak Chun tidak boleh menghalang mereka. Dia hanya boleh memanggil Qian Bao dengan tergesa-gesa kerana dia rasa wanita cantik ini mampu membuat kacau lebih daripada Bu Fang...
Apabila Qian Bao bergegas ke tingkat dua, Ni Yan sudah selesai memakan separuh daripada sajian yang dihidangkan.
"Hmm? Ketam Bunga Goreng ni boleh tahan sedapnya. Walaupun kualiti dagingnya teruk, cef dapat memasaknya dengan elok dan dia pandai mengawal suhu minyak. Isi perut ketam juga dimasak dengan elok... Sajian ini jauh lebih sedap berbanding dengan sajian-sajian lain." Ni Yan memberikan penilaiannya selepas menyuap Ketam Bunga Goreng.
Qian Bao berdiri di tepi dengan air mata mengalir di pipinya. Wanita ini memang menakutkan. Dia memberi kritikan yang sama seperti Bu Fang dan memuji aspek-aspek yang telah diperbaiki oleh mereka dengan mengikut penilaian Bu Fang.
"Secara keseluruhan, sajian di tingkat dua jauh lebih baik daripada tingkat satu. Tapi, kelemahan masih ada. Mari kita pergi ke tingkat tiga sekarang." Ni Yan berkata ketika dia berdiri.
Setelah mendengar kata-kata itu, raut wajah Qian Bao segera berubah menjadi kekok. Hanya tetamu kehormat seperti maharaja sahaja yang dibenarkan naik ke tingkat tiga. Identiti wanita yang berdiri di hadapan mereka ini tidak diketahui olehnya. Memang mustahil baginya untuk membiarkan wanita itu naik ke tingkat tiga.
"Minta maaf, tingkat tiga Restoran Phoenix Abadi tidak terbuka kepada pelanggan biasa pada masa ini." Qian Bao berkata.
Tang Yin dan Lu Xiaoxiao terkejut. Ni Yan pun terkejut juga. Dia memusingkan kepalanya dan matanya yang cantik merenung ke arah ke Qian Bao.
Qian Bao berasa agak takut apabila dia melihat renungan tajam Ni Yan itu, jadi dia memaksa dirinya untuk mengulang kata-katanya.
Ni Yan tidak berpuas hati dengan kata-kata Qian Bao itu. Dia melihat Qian Bao dengan wajah yang dingin dan berkata dengan nada yang jelas, "Biar saya naik, kalau tak... saya akan jahanamkan restoran kamu."
Ekspresi Qian Bao terus menjadi dingin. Adakah wanita di hadapannya merancang untuk membuat kacau di restorannya? Dia menepuk tangannya dan tiga Raja Pertempuran Kelas Kelima tiba-tiba muncul.
"Pelanggan yang dihormati, kamu perlu tengok keupayaan kamu dulu sebelum kamu cuba untuk buat kacau di restoran saya. Kalau tak..."
Gedebuk!!
Ni Yan mengangkat tangannya dan menekannya sedikit ke bawah. Tiba-tiba, sebelum Qian Bao dapat menghabiskan kata-katanya, ketiga-tiga Raja Pertempuran Kelas Kelima itu ditekan ke lantai. Kata-kata yang ingin dikatakan oleh Qian Bao juga tersekat di dalam tekaknya...
"Kalau tak, apa?" Ni Yan bertanya dengan manis sambil tersenyum apabila dia memandang Qian Bao.
---