Selepas meletakkan bakul yang penuh berisi lobak putih dadu di atas meja, Bu Fang mengerling ke arah Tuan Zhao dengan selamba. Lelaki itu sangat terkejut. Mulutnya ternganga luas dan wajahnya penuh tanda tanya.
Dalam banyak-banyak pilihan yang mereka boleh buat, mereka memilih untuk bertanding memotong lobak putih… Bu Fang pun terkesima. Kaedah berlatih Teknik Pemotongan Meteor ialah dengan memotong lobak putih. Lagipun, dia perlu berlatih dengan pisau berat yang dibuat khas. Disebabkan itu, teknik memotongnya luar biasa.
Selain itu, Bu Fang sudah biasa berbuat demikian kerana dia perlu memotong seribu batang lobak putih setiap hari. Setakat memotong seratus batang dalam lima kali nafas tak menjadi masalah baginya. Jadi, kalau mereka nak salahkan sesiapa, orang itu adalah Tuan Zhao kerana dia pilih sesuatu yang berpihak kepada Bu Fang.
"Mari kita mulakan kategori kedua." Bu Fang berkata dengan selamba. Suaranya yang tenang itu membuatkan semua orang tersedar daripada rasa kehairanan mereka.
"Kamu… Macam mana kamu lakukannya?! Ini sesuatu yang mustahil! Saya dah menghabiskan masa berpuluh-puluh tahun berlatih teknik memotong! Macam mana saya boleh kalah dengan budak tak guna macam kamu!" Tuan Zhao menggumam sambil menggelengkan kepalanya dengan bingung.
Bu Fang meletakkan pisau dapur biasa yang dipegangnya ke atas papan pemotong. Dia menyuruh Tuan Zhao melihat pisau yang dia gunakan.
Bila Tuan Zhao memandang pisau dapur itu, anak matanya terus mengecil. Dia nampak yang bilah pisau itu sudah remuk dan terdapat rekahan di permukaannya.
"Macam mana seseorang boleh capai tahap teknik memotong begini kalau tak berlatih dengan teruk? Kamu memang sudah bertahun-tahun berlatih dengan tekun, tapi saya pun tekun berlatih. Cumanya, kaedah kita berbeza." Bu Fang berkata.
Tuan Zhao terkejut mendengar kata-kata Bu Fang. Kemudian, dia memandang Bu Fang dengan riak wajah suram dan mengangguk. Semangatnya sudah kembali.
"Terima kasih kerana beri tunjuk ajar, Tauke Bu. Mari kita teruskan. Saya akan buat yang terbaik." Tuan Zhao berkata. Lagipun, dia mempertaruhkan maruahnya sebagai cef dalam pertandingan ini. Jadi, dia tak boleh mengalah dengan mudah.
"Kate… Kategori kedua ialah menguji ketepatan teknik memotong anda. Kami telah sediakan dua keping tauhu. Tauke Bu dan Tuan Zhao akan menghirisnya. Sesiapa yang dapat membuat hirisan paling nipis tanpa menghancurkan tauhu ialah pemenangnya." Pada masa itu, Qian Bao sudah hilang keyakinan diri. Teknik Pemotongan Meteor yang ditunjukkan oleh Bu Fang sudah membuatkan dia rasa langsung tak yakin.
Bu Fang mengangguk. Memotong tauhu ialah salah satu cara menguji teknik pemotongan oleh seorang cef. Disebabkan tauhu sangat lembut, kawalan cef terhadap kekuatan dan ketepatan tekniknya sangatlah penting. Bila sekali buat silap, seluruh tauhu itu akan hancur.
Tuan Zhao tidak berkata apa-apa sambil dia mengeluarkan sebilah pisau dapur yang kurang lebar dan menuju ke tauhu yang diletakkan di atas papan pemotong. Wajahnya begitu serius.
Tauhu itu lembut dan berkilat. Teksturnya juga nampak terlalu halus dan boleh hancur dengan satu sentuhan.
Disebabkan suhu di luar lebih sejuk, tauhu itu hanya dibawa keluar bila mereka sudah bersedia. Rasa tauhu itu sedikit suam.
Menghiris tauhu bukan suatu perkara yang mudah, jadi Tuan Zhao perlu memberikan sepenuh dedikasi kepada tugas itu. Dia menumpukan perhatiannya kepada pisau itu sambil dia mula memotong tauhu.
Bila Tuan Zhao mula memotong tauhu itu, Bu Fang mengeluarkan pisau dapur biasa sekali lagi. Pisau itu nampak serupa dengan pisau yang digunakan sebelum ini. Kedua-duanya bersaiz besar.
Matanya merenung tauhu itu. Selepas mengerling ke arah Tuan Zhao yang sedang memotong tauhu dengan penuh konsentrasi, hujung mulutnya melebar sedikit.
Selepas pusingan pertama pertandingan itu, penonton-penonton yang datang tidak lagi percaya kepada Tuan Zhao bulat-bulat. Mereka memerhatikan pergerakan Bu Fang. namun, perasaan hairan dan kagum mula terpancar di wajah masing-masing.
Bila berdepan dengan tauhu yang lembut itu, Bu Fang tidak cermat seperti like Tuan Zhao. Dia mengendalikan tauhu itu seperti lobak putih. Dia memusingkan pisau itu dengan jarinya dan terus memotong tauhu itu.
Apa yang berlaku seterusnya nampak sama seperti sebelum semasa lobak putih dipotong. Bila aliran cahaya dilepaskan, nampak seolah-olah beratus-ratus meteor memancar dalam gelap. Tauhu yang lembut itu mula bergetar.
Dalam empat kali nafas, Bu Fang sudah selesai memotong tauhu itu. Dia mengetepikan pisaunya dan memandang tauhu di hadapannya. Bentuk tauhu itu masih kekal seolah-olah belum dipotong.
"Apa… Apa yang berlaku ni? Tauhu tu masih sama?" Seseorang di kalangan penonton itu berbisik kehairanan. Tauhu itu memang tak berubah bentuknya.
"Sabar." Bu Fang calmly berkata dengan tenang untuk menghentikan perbincangan di kalangan penonton. Menggunakan tangannya, dia mengangkat tauhu yang putih bersih itu dan meletakkannya ke dalam mangkuk lut sinar berisi air. Mangkuk itu telah disediakan oleh Qian Bao supaya rupa tauhu itu boleh dilihat dari setiap sudut selepas dihiris.
Bu Fang memasukkan tauhu itu ke dalam mangkuk dengan berhati-hati dan segera menarik tangannya keluar tanpa menghasilkan riak pada air.
Tak lama kemudian, tauhu di dalam mangkuk lut sinar itu mengalami perubahan yang tak dijangka.
Perubahannya berlaku dengan perlahan. Sejurus selepas dimasukkan ke dalam air, hirisan tauhu yang halus seperti rambut itu mula melayang-layang. Tauhu itu nampak seperti sekuntum bunga yang mekar dengan perlahan dan hirisan tauhu itu bagaikan kelopaknya.
Itu baru lapisan pertama. Seterusnya, lapisan kedua kelopak tauhu mekar di pelbagai arah. Setiap hirisan yang bergerak-gerak dalam air itu sangat halus.
Di bawah permukaannya, tauhu itu nampak seperti memanjang ke atas selepas satu demi satu lapisan hirisan tauhu itu mengembang ke atas disebabkan daya apung. Akhirnya, tauhu itu kelihatan seperti bunga seribu lapis.
"Bunga tauhu seribu lapis, selamat menikmatinya." Bu Fang berkata dengan bersahaja kepada penonton-penonton di situ.
Semua orang menarik nafas dengan terkejut. Mereka sangat kagum yang sebuku tauhu berbentuk kiub itu boleh dipotong menjadi bunga tauhu yang begitu cantik. Kelopaknya yang halus itu nampak mudah hancur...
Cahaya matahari menembusi mangkuk lut sinar itu dan menyinari bunga tauhu seribu lapis yang terapung. Kelopak bunga tauhu yang bergerak-gerak dalam air itu nampak seperti bunga yang bergoyang ditiup angin.
Bila Qian Bao nampak apa yang berlaku di depan matanya, kakinya lemah longlai. Macam mana mereka nak kalahkan bunga tauhu tu? Nampaknya mereka langsung tak dapat menandingi Bu Fang.
'Jadi, bukanlah Tauke Bu tak handal dalam teknik memotong. Dia cuma rasa membazir masa kalau bertanding dengan kami.' Kata Qian Bao dalam hati dengan rasa pahit. 'Aku sendiri yang bodoh sebab memalukan diri sendiri.'
Penonton-penonton di situ berasa kagum dan teruja apabila mereka melihat sendiri bunga tauhu yang indah dalam mangkuk lut sinar itu. Mereka sememangnya tertawan dengan kecantikannya.
Pada masa yang sama, Tuan Zhao masih menghiris tauhunya dengan teliti. Dia tak mengalah dan tak terkesan dengan tekanan luar. Dia memang betul-betul fokus kepada tugas di hadapannya.
Bu Fang mengangguk dan mengagumi Tuan Zhao. Dia seorang cef yang menghormati hidangan sendiri.
Selepas beberapa puluh minit, Tuan Zhao menyiapkan produknya sendiri dan meletakkannya di dalam mangkuk lutsinar. Setiap hirisan tauhu itu sangat halus. Walaupun hasil tangannya tak setanding bunga tauhu seribu lapis, sekurang-kurangnya dia berjaya menunjukkan teknik memotong yang tertinggi.
"Tauke Bu, saya akui yang kemahiran saya tidak setanding kamu. Saya sudah gagal jadi tak perlulah kita teruskan dengan kategori ketiga. Berbanding kamu, kemahiran saya masih banyak kelemahan. Saya masih perlu berlatih dengan lebih tekun." Tuan Zhao berkata dengan tak bermaya dan rasa kesal.
Bu Fang mengangguk. Sistem sudah pun sudah mengumumkan dalam mindanya yang misi itu sudah tamat.
Qian Bao gagal teruk kali ini. Dia rasa tertekan kerana memberi peluang kepada Bu Fang untuk menjatuhkan air mukanya. Dia tak dapat menerima kenyataan yang Bu Fang terlampau berbakat dalam kemahiran masakan dan teknik memotong. Namun, dalam Benua Naga Tersembunyi yang luas itu, tak mustahil akan muncul orang-orang yang pintar seperti Bu Fang.
"Dengan kemahiran masakan Tauke Bu yang sangat hebat dan teknik memotong yang begitu tajam, rugi kalau kamu terus berada di restoran kecil ini. Apa kata Tauke Bu datang bekerja di Restoran Phoenix Abadi. Kalau kita berdua bekerja bersama, dengan kemahiran memasak Tauke Bu dan reputasi Restoran Phoenix Abadi, kita pasti akan dikenali di seluruh benua!" Keinginannya untuk mendapatkan Bu Fang bermain-main dalam fikiran Qian Bao.
"Tak berminat."
Sememangnya Bu Fang akan menolak cadangan itu. Pelawaan Maharaja pun ditolak bulat-bulat. Inikan pula ajakan pemilik Restoran Phoenix Abadi.
Ouyang Xiaoyi berada di meja di hadapan mangkuk lut sinar itu. Matanya yang galak itu penuh rasa takjub melihat bunga tauhu seribu lapis yang nampak seperti dibuat menggunakan kuasa ghaib. Yang Chen juga sangat terkejut. Boleh ke sesuatu seperti itu dihasilkan dengan pisau dapur? Dunia masakan… memang sukar difahami!
Tiba-tiba, mereka dapat merasakan ada tangan yang menekan bahu mereka. Dua-dua rasa terkejut pada masa yang sama. Mereka kemudiannya rasa tak mampu mengawal badan sendiri selepas aura yang kuat menguasai daya tulen mereka.
Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen memandang antara satu sama lain dan menjerit dalam fikiran mereka: Oh tidak!