Deram-derum!
Bila Song Tao tiba di lorong kedai itu dengan tergesa-gesa, badannya kaku seketika bila dia merasakan angin bertiup kencang. Pada masa itu, dia ternampak satu susuk tubuh yang menyedihkan dalam tiupan angin itu.
"Apa yang berlaku?" Song Tao berkata dalam hati sambil dia menoleh ke belakang dengan rasa hairan. Kemudian, dia terdengar satu bunyi kuat. Tanah mula bergegar dan gumpalan debu terhasil daripada puing di kejauhan.
Song Tao tiba-tiba rasa seram sejuk.
"Oh, bagus juga. Lagi mudah kalau buat begini." Bu Fang berkata dengan puas hati sambil mengangguk. Sekurang-kurangnya, lantai kuarzit yang baru dibaiki itu tak akan dirosakkan oleh tapak kaki Si Hitam lagi.
Sementara Song Tao masih tergamam, dua Raja Pertempuran itu bergegas melarikan diri. Bila mereka nampak Song Tao, mereka menjerit ketakutan, "Tu… Tuan! Cepat lari! Anjing tu… menakutkan!"
Jantung Song Tao hampir gugur. Seperti yang dia jangka… misi itu gagal. Empat orang Raja Pertempuran pun tak dapat bawa pulang Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen. Macam mana dia nak buat laporan bila dia pulang nanti?
Namun, Song Tao tak sanggup beredar begitu sahaja. Dengan itu, dia menuju ke lorong itu untuk berdepan anjing hitam besar menakutkan yang menyebabkan seorang Raja Pertempuran terpelanting dengan sentuhan tapak kakinya.
Si Hitam memandang sekilas ke arah Song Tao dan menjeling bila dia nampak gaya lelaki itu yang berhati-hati. Dia kembali ke depan restoran sambil berjalan seperti kucing dan menyambung tidurnya.
Sementara itu, Ouyang Xiaoyi menarik Yang Chen masuk ke dalam restoran, dan tidak menghiraukan Song Tao yang sedang berdiri di jalan masuk lorong. Tiupan angin sejuk menyebabkan cuaca menjadi dingin.
"Budak tak guna, inilah tempat yang aku sebut-sebutkan tu… Ini kedai.... tauke busuk tu. walaupun pemilik dia nampak biasa-biasa saja, rasa masakan dia sangat sedap." Ouyang Xiaoyi berkata selepas dia menarik Yang Chen ke dalam restoran.
Sambil Yang Chen menilai suasana restoran itu, wajah kebudak-budakannya nampak tak puas hati. Dia menyilangkan tangan di dadanya sambil berkata, "Kau maksudkan tempat sempit ni? Perhiasannya biasa-biasa saja, pelanggan-pelanggannya pun orang biasa… Ada ke makanan sedap di sini? Kau tipu aku, ya?"
Yang Chen tak percayakan kata-kata dia yang ikhlas? Ouyang Xiaoyi terus berasa gelisah. Dia membeliakkan mata sambil berkata, "Kenapa aku nak tipu kau? Kalau betul aku tipu, aku akan suruh tauke busuk sendiri minta maaf pada kau!"
Bu Fang yang berada di sebelah mereka terkejut seketika. Wajahnya nampak keliru sambil dia berkata dalam hati, 'Kenapa aku pula yang kena maaf kalau kau yang menipu? Di mana logiknya tu?'
"Hmph! Kau ingat aku kisah kalau dia minta maaf?" Yang Chen memandang Bu Fang sekilas dan tertawa mengejek. Bu Fang hanyalah seorang cef di matanya. Apa yang seorang cef boleh buat? Naik ke langit?
"Kau ni tak tahu apa-apa. Nanti kau mesti menyesal cakap macam tu!" Ouyang Xiaoyi mengejek sambil dia menoleh ke arah Bu Fang dan berkata, "Tauke busuk, berikan saya sepinggan Tulang Rusuk Masam Manis! Biar dia betul-betul rasa mengidam!"
Yang Chen memuncungkan mulutnya. Bila dia ternampak menu yang tergantung di dinding, anak matanya mengecil seperti sebutir bijan.
"Harga ni salah ke? Kenapa dia gunakan kristal? Kau rasa masakan kau ni penawar ke?!" Selepas melihat harga yang terpapar di menu, Yang Chen terus merungut.
Bu Fang hampir sudah lali dengan rungutannya sehingga dia malas nak menjawab. Kalau Yang Chen tu merungut sekali pun, dia tak akan rugi apa-apa pun. Kalau Yang Chen nak rasa masakan dia, dia masih perlu buat pesanan… Dia masih perlu bayar mengikut harga yang ditetapkan.
Dengan kemahirannya, Bu Fang rasa sangat yakin.
Song Tao tak mahu menyerah kalah, jadi dia masuk ke dalam restoran itu juga. Dengan sekali pandang, dia ternampak Yang Chen yang sedang menyatakan rasa tak puas hatinya. Mata Song Tao bersinar sambil dia berkata dalam hati, 'Pewaris keluarga Yang ni orang penting. Aku mesti bawa dia balik.'
"Nak makan apa? Boleh tengok sendiri menu." Sebelum sempat Song Tao berkata apa-apa, satu suara dingin kedengaran di sebelahnya.
Bu Fang memandang Song Tao tanpa ekspresi sambil menunjuk ke arah menu di belakangnya.
Song Tao terperanjat seketika. Bila dia melihat menu, lubang hidungnya terus mengembang dan mengeluarkan wap… Dia berkata dalam hati, "Celaka. Ini memang terang-terangan nak merompak orang! Memang betullah kedai ni berhati gelap!"
Namun, dia tak boleh mengalah begitu sahaja. Loli Ouyang yang comel itu ada di sini. Yang Chen, si
"Tauke! Berikan saya sepinggan… Nasi Goreng Telur!" Song Tao menahan rasa perit di hati sambil memesan Nasi Goreng Telur yang berharga satu kristal sepinggan itu. Hatinya rasa berdarah. Bukan senang nak dapatkan kristal sekarang ni!
Bila Ouyang Xiaoyi terdengar pesanan Song Tao, dia terus memberi pandangan menghina. Dia mendengus marah dan berkata, "Tauke busuk, cepat masakkan Tulang Rusuk Masam Manis saya yang berharga lima puluh kristal sepinggan tu!"
Sebagai puteri keluarga Ouyang, dia memang tak pernah kekurangan kristal!
"Kamu pula? Apa yang kamu nak makan?" Bu Fang bertanya kepada Yang Chen.
"Disebabkan mereka sudah buat pesanan, berikan aku… Wain Jed Penyejuk Hati." Yang Chen berkata dengan bangga.
Bu Fang tersenyum sambil mengerling ke arah Yang Chen dan berkata, "Budak-budak tak dibenarkan minum alkohol."
Badan Yang Chen kaku seketika. Dia menjegilkan matanya sambil memandang ke arah Bu Fang. Bu Fang pula memandangnya tanpa ekspresi. Selepas seketika, mengalihkan pandangan sambil mengaku kalah… Menyampahnya!
"Lupakan sajalah. Berikan saya sepinggan Daging Masak Merah!"
"Baiklah, tunggu sebentar." Bu Fang mengangguk dan berjalan masuk ke dapur.
Song Tao mengambil tempat duduknya dengan berhati-hati. Matanya sentiasa memerhati kawasan sekelilingnya. Di pintu masuk dapur, dia nampak satu tubuh mekanikal… Itu ke boneka kedai berhati gelap ni yang boleh bertarung dengan Santo Pertempuran kelas ketujuh?
Bila kepala bulat Si Putih berpusing dan mata mekanikal merahnya bertemu mata Song Tao, lelaki itu terus memandang ke tempat lain kerana rasa takut.
"Hmph! Kalau rasa sajian di kedai ni tak sedap… aku akan pandang rendah pada tempat ni! Berani kau letakkan harga yang sangat tinggi untuk makanan yang tak sedap! Aku akan beritahu satu bandar diraja ni supaya orang tahu yang kedai ni menipu!" Yang Chen berkata dengan gaya tsundere.
Ouyang Xiaoyi menjeling matanya. Dia malas nak hiraukan shota berperangai tsundere ni. Pada masa itu, dia hanya fokus untuk makan masakan tauke busuk. Selepas seharian tak makan, dia rasa sangat lapar… Berat badannya pun sudah turun!
Yang Chen masih membebel sendirian. Namun, bau harum daging meresap keluar dari dapur itu tak lama kemudian.
Bau daging itu tersebar perlahan-lahan—seperti sekeping kain sutera yang membelai wajah mereka—dan menjadikan mereka khayal. Hidung comel Ouyang Xiaoyi menghidu aroma daging itu sesungguh mungkin. Wajahnya penuh rasa gembira.
Aroma ni! Inilah aroma tauke busuk!
Selepas seketika, satu kelibat berjalan keluar dari dapur yang gelap. Jari runcing Bu Fang memegang pinggan porselin yang berisi Tulang Rusuk Masam Manis. Warnanya penuh dengan warna dan cahaya terang. Wap panas, beserta bau harum yang kaya, dapat dilihat pada hidangan itu.
Ouyang Xiaoyi sudah tak sabar hendak makan. Mata galaknya merenung ke arah Bu Fang.
"Ini Tulang Rusuk Masam Manis kamu. Makanlah perlahan-lahan." Bu Fang berkata sambil meletakkan pinggan di depan Ouyang Xiaoyi dan mengusap kepalanya.
Kemudian, dia kembali ke dapur dan mula memasak hidangan lain.
Bau wangi Tulang Rusuk Masam Manis itu sangat menarik perhatian. Ia sudah cukup membuatkan Yang Chen, yang tak berhenti-henti merungut sepanjang hari, berasa bingung. Matanya memandang terus ke arah kepingan daging berwarna kuning jingga itu.
Song Tao juga tak dapat menahan diri daripada tertarik dengan aroma itu. Tapi, dia lebih risau bagaimana dia hendak menarik keluar dua orang budak tak guna daripada kedai tu...
'Oh… dan tanpa mencari gaduh.' Song Tao berkata dalam hati sambil menjeling ke arah Si Putih dengan mata mekanikal yang memandangnya sekali lagi.