Bandar diraja, kediaman Ouyang.
Ekspresi Tok Ouyang penuh ketegasan sambil dia duduk di bahagian atas dewan besar. Kebanyakan ahli keluarga Ouyang sudah tiba di dewan itu.
Ouyang Zongheng berwajah serius seperti patung sambil dia duduk di bawah ayahnya. Suasana dalam dewan itu sangat suram.
Xiaoyi merajuk sambil memuncungkan mulut dan matanya penuh rasa tak puas hati. Dia memandang sekilas ke arah Tok Ouyang yang duduk di bahagian atas dan mendengus sambil memalingkan mukanya.
"Budak tak guna, cuba jaga Xiaoyi elok-elok. Dia tak akan dibenarkan keluar dari kediaman ni walau selangkah." Kepala Tok Ouyang sakit bila dia mengenangkan perilaku Ouyang Xiaoyi. Tapi, dia masih bermasam muka bila memberikan arahan kepada tiga orang gasar keluarga Ouyang itu.
Ketiga-tiga orang gasar keluarga Ouyang itu mengangguk. Pandangan mereka terpaku ke arah Ouyang Xiaoyi. Namun, bila mereka dijeling oleh Ouyang Xiaoyi yang muram itu, ketiga-tiga adik beradik lelaki itu mengalih pandangan kerana rasa bersalah.
"Atuk! Kenapa saya tak dibenarkan keluar pula! Restoran tu perlukan pertolongan saya!" Ouyang Xiaoyi bertanya kepada Tok Ouyang dengan marah.
Tok Ouyang memandangnya dengan marah. "Xiaoyi, Atuk hanya memikirkan tentang kamu. Sejak beberapa hari ni, keadaan di bandar diraja sudah menjadi semakin teruk. Putera mahkota dan putera kedua terang-terangan mengumpan pegawai kerajaan. Mereka sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan penyokong! Kami risaukan keselamatan kamu!"
"Kalau betul sekali pun… Atuk tak boleh halang saya daripada bekerja di restoran tu!" Ouyang Xiaoyi masih tak puas hati dan memuncungkan mulut sambil mengembungkan pipinya.
"Kerja… Nak kerja apa? Kamu tu anak seorang jeneral! Tergamak kamu merayau ke sana sini dan bekerja sebagai pelayan restoran! Memalukan!" Tok Ouyang berasa bengang dengan kedegilan Xiaoyi. Janggutnya tersentap-sentap kerana marah.
Bila Ouyang Xiaoyi terdengar kata-kata itu, dia menyilangkan lengan di dadanya. Dia memandang Tok Ouyang dengan dingin dan tertawa perlahan. "Atuk, semalam lain yang atuk cakap! Bila saya capai tahap Semangat Pertempuran kelas keempat, Atuk bukan main seronok! Atuk pun tak kisah saya jadi pelayan tiap-tiap hari!"
Badan Tok Ouyang kaku dan mukanya nampak rasa malu. Namun, dia terus tersengih sambil berkata tanpa segan silu, "Kalau Atuk kata tak boleh pergi, tak boleh pergilah! Hari ni, kamu kena duduk dalam rumah ni diam-diam!"
"Hmph! Atuk busuk! Saya tak nak kawan dengan Atuk lagi!"
Ouyang Xiaoyi begitu marah! Dia mendengus ke arah Tok Ouyang dan meninggalkan dewan besar dengan marah sambil meninggikan kepalanya.
"Apa yang kau bertiga ni buat?! Pergilah jaga budak tu!" Tok Ouyang menjerit marah kepada tiga orang gasar keluarga Ouyang yang khusyuk menyaksikan kejadian itu.
Di bawah Tok Ouyang, Ouyang Zongheng sedang menyapu peluhnya sambil dia berkata dalam hati, "Ayah… Ayah nak jadi contoh macam mana pada budak-budak muda tu..."
Tok Ouyang kembali tenang selepas tiga orang gasar keluarga Ouyang beredar dengan lemah longlai. Dia menoleh ke arah Ouyang Zongheng dan bertanya, "Macam mana keadaan Maharaja?"
Ekspresi Ouyang Zongheng berubah dingin sambil dia membalas dengan serius, "Keadaannya tak begitu baik."
Tok Ouyang tiba-tiba mengeluh. Maharaja sudah menghabiskan zaman remajanya berkempen melawan sekta dan Baginda sudah bertempur dengan ramai pakar. Kecederaannya bertambah-tambah dan menyebabkan sakit yang tersembunyi. Bila sudah sampai usia tua, Maharaja Changfeng yang kuat itu pun tak dapat menahan penyakit yang tiba-tiba menjadi teruk.
Ouyang Zongheng pun mengeluh panjang. Situasi dalam bandar diraja sememangnya sudah buruk. Kalau Maharaja mangkat, seluruh bandar diraja akan jadi kacau bilau. Itulah sebabnya Tok Ouyang melarang Ouyang Xiaoyi meninggalkan kediaman itu.
Untuk seketika, dewan besar itu senyap sunyi dan tiada sesiapa yang bersuara.
Selepas beberapa ketika, satu kelibat menghampiri dewan besar itu. Dia masuk dengan pantas dan melutut di hadapan Tok Ouyang dengan satu sampul surat di tangannya.
Kelopak mata Tok Ouyang bergerak-gerak sambil dia membuka sampul itu dan membaca isi kandungannya dengan laju.
Bila dia selesai membaca, ekspresinya nampak dahsyat dan janggutnya bergetar-getar.
Ouyang Zongheng menelan air liur dan bertanya, "Ayah… Apa yang berlaku?"
Dengan letusan daya tulen dari tangannya, surat itu hancur menjadi abu. Mata Tok Ouyang penuh rasa sedih dan hiba.
"Baginda… sudah mangkat."
Bila Tok Ouyang mengucapkan kata-kata itu, dia terus tergamam.
...
Di jalan utama bandar diraja, satu tubuh kecil molek sedang berjalan sambil melompat ke arah Restoran Kecil Fang Fang.
"Hmph! Atuk bodoh, kenapa atuk suruh abang bertiga yang dungu tu jaga saya. Dengan kepala tunggul macam tu, tak mungkin mereka dapat jaga Xiaoyi yang pandai dan licik ni!" Mata Ouyang Xiaoyi melengkung seperti bulan sabit. Dia terbayangkan wajah datuknya yang berang bila orang tua itu sedar yang dia sudah lari. Dia tak dapat menahan rasa gembiranya.
"Eh? Salji turun."
Ouyang Xiaoyi berkata dengan tiba-tiba sambil dia berjalan. Dia memandang ke atas dengan rasa hairan. Angin musim sejuk bertiup di langit kelabu dan salji yang putih bak bulu angsa turun perlahan-lahan.
Xiaoyi mengangkat tangannya yang putih melepak dan salji itu pun jatuh ke tapak tangannya. Ia perlahan-lahan cair dan menjadi air yang sejuk sehingga ke tulang. Pemandangan itu nampak seperti langit sedang menangis.
"Cantiknya." Xiaoyi berkata perlahan sambil wap putih terhasil dari mulutnya. Dia mengibaskan tangannya dan meneruskan perjalanan.
Salji yang turun di bandar diraja itu tidak dijangka. Ramai pejalan-pejalan kaki di jalan utama berhenti untuk menikmati pemandangan salji turun sebelum meneruskan perjalanan.
Di belakang Ouyang Xiaoyi, ada beberapa kelibat yang sedang mengekorinya. Dalam sekelip mata, mereka berjalan laju dan mengepungnya.
Mata Xiaoyi yang galak itu terbeliak sambil daya tulen meletus keluar dari badannya semasa dia cuba untuk melarikan diri daripada kepungan itu.
Namun, tahap pertapa penyerang-penyerang itu lebih tinggi. Mereka semua adalah Raja Pertempuran kelas kelima. Ouyang Xiaoyi berjaya ditangkap sebelum dia sempat bergelut untuk melepaskan diri.
"Lepaskan aku! Ayah aku Jeneral Ouyang dan atuk aku orang veteran dinasti ni! Kalau kau culik aku... mampuslah kamu semua!" Ouyang Xiaoyi berasa berang! Ada juga orang yang berani menculik anak seorang jeneral dalam bandar diraja itu!
Pakar-pakar Raja Pertempuran itu menjeling ke arah Ouyang Xiaoyi. Mereka langsung tak mengendahkannya sambil menyumbat mulutnya dengan kain dan membawanya pergi.
"Pergi balik dan laporkan kepada tuan muda yang misi sudah selesai."
Salah seorang daripada mereka mengangguk dan meninggalkan kumpulan itu dengan melonjak naik ke udara.
...
Bu Fang berlingkar di atas kerusi. Sambil dia melihat salji tebal yang turun dari langit kelabu itu, dia memeluk tubuhnya dengan lebih erat.
Cuaca semakin sejuk disebabkan salji turun.
Pelanggan tak begitu ramai pada hari itu sehingga menyebabkan Bu Fang rasa tak senang. Pendek cerita, ramai pelanggan-pelanggan tetapnya yang tidak muncul.
"Adakah sebab salji turun?" Bu Fang berkata perlahan sambil terus berlingkar di atas kerusi.
Tiba-tiba, bunyi tapak kaki yang kuat kedengaran dari lorong. Tiga kelibat kasar yang menyerupai beruang muncul di depan kedai.
'Eh? Bukankah mereka ni adik beradik Ouyang yang kebal?' Bu Fang berkata dalam hatinya. Dia agak terperanjat sambil melihat mereka bertiga dengan penuh rasa hairan.
"Tauke Bu… Budak perempuan Xiaoyi tu ada di sini ke?" Ouyang Zhen serta merta bertanya sambil bernafas dengan laju.
"Budak tu tipu kami dan lari keluar senyap-senyap! Ingatkan adik kami tu boleh dipercayai!" Ouyang Di berkata.
Bu Fang memandang mereka bertiga tanpa perasaan dan berkata dengan bersahaja, "Ouyang Xiaoyi tak ada datang ke sini hari ni."
"Dia tak ada?! Macam mana… Dia..." Ouyang Wu menjeling ke arah Bu Fang. kemudian, dia terfikirkan sesuatu. Ekspresi ketiga-tiga adik beradik itu berubah bila mereka memandang ke arah masing-masing dan berkata, "Oh tidak!"
Xiaoyi melarikan diri secara rahsia untuk datang bekerja di kedai itu. Tapi, dia tak ada di dalam… Hanya ada satu kemungkinan.
"Tak guna! Si bangsat tu berani culik adik aku…" Ouyang Zhen menjerit marah. Ketiga-tiga adik beradik itu naik angin dan terus beredar sambil meninggalkan Bu Fang yang kebingungan.
Bu Fang melihat mereka beredar tanpa ekspresi dan terus tersenyum kehairanan. "Tiga adik beradik ni dah jadi bodoh ke?"